Khamis, Disember 31, 2009

BERAKHIRNYA 2009 - SELAMAT DATANG 2010

Foto Hiasan: 'ASTAKA BAHASA' - Dami buku antologi karya puisi pelajar yang akan diterbitkan DBPWS sedikit masa lagi...



Pencapaian Program Tahun 2009

1. Secara jujur dan ikhlas dinyatakan bahawa pelaksanaan program pengembangan dan apresiasi sastera DBPWS tahun 2009 dapat digerakkan secara kasarnya sebanyak 95% mengikut perancangan yang dibuat bermula Disember 2008 ditambah pula perancangan dari semasa ke semasa mengikut keadaan dan permintaan.

2. Sebanyak 36 program dan aktiviti yang terlaksana dalam konteks anjuran penuh, anjuran bersama dan status dengan kerjasama bagi negeri Johor dan Melaka pada tahun 2009 ini. Atas bantuan dan kerjasama pelbagai jabatan kerajaan dan petubuhan bukan kerajaan di negeri Johor dan Melaka maka terlaksanalah program dan aktiviti yang meliputi skala besar, skala sederhana dan skala kecil.

3. Dalam setahun menggerakkan program tersebut terdapat beberapa kekangan peribadi (dibaca sebagai cabaran, hikmah dan rahmat-Nya) yang melanda diri ini (tetapi ini bukanlah boleh dijadikan alasan yang mewajarkan untuk kurang menggerakkan program!) sepanjang 12 bulan dalam tahun 2009 ini. Antara halnya termasuklah:
i. Cuti selama 31 hari (16 Januari - 15 Februari) kerana pembedahan mata.
ii. Terpaksa ‘kuarantin diri sendiri’ (tidak boleh berlama-lamaan keluar dari Johor Bahru: 4 Mac - 4 Mei) kerana isteri ditahan di hospital selama 2 bulan.
iii. Menerima cahaya mata baharu yang ketiga - isteri bersendirian berpantang hanya di rumah, bukannya bawa balik ke kampung.

4. Perjalanan semakin rancak untuk 6 bulan kedua (Julai - Disember 2009) dengan pelbagai program yang tertunggak yang sepatutnya diadakan dalam tempoh 6 bulan pertama (Januari - Jun) termasuklah 7 program sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 Negeri Johor dan Melaka yang diadakan sepanjang bulan Oktober 2009. Antara 36 program yang telah dilaksanakan termasuklah (hanya menyebut beberapa program yang agak berskala besar serta cabaran dan rintangan yang agak besar):
i. Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Melaka 2009: 10-12 Mac di Air Keroh D’Village, Ayer Keroh, Melaka. (Anjuran bersama DBPWS dan JPNM)
ii. Kursus Pengucapan dan Penilaian Sajak Negeri Johor: 2 April di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Sri Gading, Batu Pahat, Johor. (Anjuran bersama DBPWS dan JPNJ)
iii. Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Johor 2009: 14-16 April di Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor. (Anjuran bersama DBPWS dan JPNJ)
iv. Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Takzim ke-7: 17 Julai di PERSADA Johor, Johor Bahru. (Anjuran Kerajaan Negeri Johor diselenggarakan oleh YWJ dengan kerjasama MKNJ DBPWS, PPJ)
v. Kolokium Penulis Johor 2009: 18 Julai di Balai Seminar DBPWS, Johor Bahru, Johor. (Anjuran bersama DBPWS dan PPJ)
vi. Pengucapan Puisi Alam Gunung Ledang: 31 Julai - 2 Ogos di Kompleks Taman Negara Gunung Ledang, Tangkak, Johor. (Anjuran PTNJ, DBPWS, PPJ dan YWJ)
vii. Sayembara Deklamasi Puisi Patriotisme Sekolah Daerah Johor Bahru: 8 Ogos di Plaza Angsana, Johor Bahru. (Anjuran DBPWS dan Perpustakaan Sultan Ismail MBJB)
viii. Program Kembara Seni dan Sejarah 2009: 8 - 9 Ogos di Pontian Kecil dan Pulau Pisang, Pontian, Johor. (Anjuran bersama PPJ dan Pejabat Daerah Pontian dengan kerjasama DBPWS)
ix. Bicara Karya Sastera Negeri Johor 2009: 20 Ogos di SMK Raja Muda, Muar, Johor. (Anjuran BTKS DBP, DBPWS dan PPJ Muar)
x. Majlis Pelancaran BBK 2009 Negeri Melaka dan Gema Puisi Patriotisme (Sempena BBK 2009 Melaka): 1 Oktober di Melaka Mall, Melaka. (Anjuran bersama DBPWS, IKSEP dan Kerajaan Negeri Melaka)
xi. Pementasan Monodrama ‘Rebab Berbisik’ dan Pementasan Teater Mini 15 Minit ‘Bidan Ketujuh’ (Sempena BBK 2009 Melaka): 3 - 4 Oktober di Panggung Seri, Taman Budaya, Ayer Keroh, Melaka. (Anjuran bersama DBPWS dan JKKNNM dengan kerjasama IKSEP dan RTM Melaka)
xii. Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan (Sempena BBK 2009 Johor): 4 - 8 Oktober di Kukup, Pontian, Johor. (Anjuran KPM diselenggarakan oleh JPNJ dengan kerjasama DBPWS)
xiii. Pementasan Teater Negeri Johor ‘Srikandi Tanah Jauhar’ (Sempena BBK 2009 Johor): 23 - 24 Oktober di Auditorium RTM Johor, Johor Bahru. (Anjuran bersama DBPWS dan Persatuan Teater KESUMA-I Johor Bahru dengan kerjasama JKKNNJ dan RTM Johor)
xiv. Pemilihan / Penilaian Karya dan Penerbitan Buku Antologi Puisi dan Cerpen Pelajar Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Negeri Johor dan Melaka 2008-2009: November - Disember. (Pelibatan bersama Unit Sastera dan Unit Penerbitan DBPWS)
xv. Dialog Penyair Johor: 26 Disember di Restoran Baser, Kota Tinggi, Johor. (Anjuran PPJ dan DBPWS)

5. UCAPAN SETINGGI-TINGGI PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH atas kerjasama dan budi serta jasa yang penuh pelbagai jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan terutamanya PPJ termasuklah individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan 36 program yang telah terlaksana sepanjang tahun 2009 ini. Tanpa anda dan pelbagai jabatan serta pertubuhan bukan kerajaan maka program tersebut sukar untuk diadakan.
Perancangan Asas Program Tahun 2010 (Januari - Jun)

1. Pemotongan peruntukan perbelanjaan sebanyak 30 - 40% mungkin mengekang sedikit perancangan dan pelaksanaan program sastera dalam tahun 2010, namun ini bukanlah boleh dijadikan alasan untuk mengurangkan pelaksanaan program dan aktiviti tetapi berbelanja secara bijak dan strategik.

2. Antara perancangan asas Januari - Jun 2010 (dalam bentuk awalan - diputuskan secara rasmi peringkat demi peringkat) program itu termasuklah:
i. Anugerah Sastera Negeri Melaka: 22 Januari 2010 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
(Anjuran Kerajaan Negeri Melaka diselenggarakan IKSEP dengan kerjasama DBPWS)
ii. Bicara Karya Sastera Negeri Melaka: 22 Januari 2010 di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka. (Anjuran DBPWS, BTKS DBP dengan kerjasama IPGPPM)
iii. Ekpresi Sastera Melaka (Radio Melaka FM): Februari - Julai 2010.
iv. Bersama Pengarang KOMSAS (Daerah Kota Tinggi): Februari 2010 di SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor. (Anjuran bersama DBPWS dan PPD Kota Tinggi)
v. Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor 2010: Februari 2010 di Kulai Jaya, Johor. (Anjuran bersama DBPWS dan JPNJ)
vi. Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Melaka 2010: Februari 2010 di Ayer Keroh, Melaka. (Anjuran bersama DBPWS dan JPNM)
vii. Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Tradisional (KOMSAS) Daerah Segamat: Mac 2010 di SMK Gemereh, Segamat, Johor. (Anjuran bersama DBPWS dan PPD Segamat)
viii. Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Tradisional (KOMSAS) Daerah Batu Pahat: Mac 2010 di Batu Pahat, Johor. (Anjuran bersama DBPWS dan PPD Batu Pahat)
ix. Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Tradisional (KOMSAS) Daerah Mersing: Mac 2010 di Mersing, Johor. (Anjuran bersama DBPWS dan PPD Mersing)
x. Dialog Penulis Johor - Singapura: April 2010 di Johor Bahru, Johor. (Anjuran bersama DBPWS dan PPJ)
xi. Celik Sastera dan Budaya: April 2010 di Tangkak, Johor. (Anjuran bersama YPJ dan DBPWS)
xii. Gema Puisi Mersing: April 2010 di Mersing, Johor. (Anjuran bersama JKMM Endau, DBPWS dan PPJ)
xiii. Seminar Puisi Melayu Tradisional dan Malam Gema Puisi: April 2010 di IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka. (Anjuran bersama IPG Kampus Perempuan Melayu (IPG KPM) dan DBPWS)
xiv. Bicara Karya Sastera Negeri Johor 2010: Mei 2010 di Batu Pahat, Johor. (Anjuran BTKS DBP, DBPWS dan PPJ)
xv. Wacana Karya Sastera dalam Nilai Patritiotisme: Mei 2010 di Melaka (Anjuran IKSEP dan DBPWS)
xvi. Malam Puisi Citra Kota Tinggi: Jun 2010 di Kota Tinggi, Johor. (Anjuran bersama DBPWS dan PPJ)
xvii. Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2010: Julai 2010 di Johor Bahru, Johor. (Anjuran DBPWS dengan kerjasama JKKNNJ dan MTNJ)


3. Perancangan 6 bulan pertama seperti di atas pastinya tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa bantuan dan kerjasama pelbagai jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan seperti PPJ dan badan-badan lain.
Catatan:
Jangan dilupa bahawa tahun 2010 ini juga merupakan tahun Piala Dunia yang bermula Jun nanti... kemungkinan tumpuan agak sedikit terganggu tetapi pelaksanaan program atas nama tugas hakiki harus diutamakan!

Rabu, Disember 30, 2009

SANTAI: SEARCH 'LIVE IN JB 2009'

Kulit Cakera Padat (CD) Album.


Hillary Ang dan Lirik Lagu - dalam CD album ini.

1. Album SEARCH LIVE IN JB 2009 CITY OF "ROCK N ROLL" mula berada dipasarkan dua bulan yang lalu, diri ini segera mendapatkan cakera padat (CD) kerana album ini merupakan rakaman Konsert Search Di Awan Biru pada 9 Mei 2009 di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru, Johor. Pastinya konsert ini disaksikan bersama 'otai' rock bernama Witra pada ketika itu. Setelah mendengar berbelas-belas kali CD ini maka hari ini barulah berkesempatan untuk menukilkan sesuatu dalam blog yang rencam sifatnya ini.
2. Pabila album mula dihebahkan diri ini segera mendapatkannya kerana ingin menikmati muziknya, ya... berlainan sekali berbanding ketika konsert yang sebenarnya pabila rakaman muzik asalnya telah disunting dan diadun dalam bentuk 'mastering' untuk kesesuaian mutu muzik dalam sesebuah album apatah lagi melibatkan album konsert sebegini. Mutu bunyi album ini memang pada tahap yang tinggi dan menyelerakan didengar serta dinikmati.
3. Pernah selepas konsert sebenarnya di Johor Bahru pada 9 Mei 2009 yang lalu, diri ini bersetuju dengan pendapat Witra bahawa mutu muziknya agak kurang memuaskan serta kurang dapat dinikmati dalam konteks sebuah konsert atau mungkin ketika itu telinga ini kurang menangkap alunan muziknya kerana kedudukan ketika konsert itu kerana duduk di bahagian tepi stadium - ya... mungkin kotak pembesar suara (speaker) kurang menghala kepada penonton yang duduk menyaksikan dari bahagian tepi stadium!
4. Album yang memuatkan 13 'track' lagu (ada 'track' dalam CD ini digabung 2-3 lagu serentak - kesemuanya sebanyak 19 lagu dan irama solo) ditebitkan secara eksklusif oleh Sony Music Entertainment manakala penerbitnya oleh kumpulan Search sendiri. Antara lagu yang terkandung dalam album ini termasuklah 'Paranoid', 'Balada Pemuzik Jalanan', 'Setelah Hujan', 'Langit dan Bumi', 'Pelesit Kota', 'Bencana', 'Isi dan Kulit', 'Mat Rock' dan 'Pasti' termasuklah lagu wajib Search iaitu 'Fantasia Bulan Madu'.
5. Alunan gitar solo Hillary Ang cukup memberikan kesan mendalam, manakala drum solo Yazit cukup membuatkan tangan dan kaki ini ingin sekali bermain drum (tapi tidak pandai...). Selain Amy, Hillary dan Yazit, pemuzik lain seperti biasa Din dan Nasir termasuk pemain keyboard / sessionist bernama Roza.
6. Jika anda peminat muzik 'rock otai' bolehlah mendengar CD konsert Search di Johor Bahru ini untuk menikmati muzik dan gema suara Amy termasuk laungan penonton yang hadir menyaksikan konsert ini, yang pasti laungan suara diri ini dan Witra tiada dalam CD ini kerana ketika konsert duduknya di bahagian tepi pentas.


Ahad, Disember 27, 2009

DIALOG PENYAIR JOHOR DI KOTA TINGGI

Menikmati kopi Kota Tinggi sambil berdialog - Shamsudin Othman, Mohd Kasim Mahmud dan Hj. Shapiai Mohd Ramly.

Gegantung acara dan foto kenangan restoran ditenggalami banjir besar.

Para hadirin: Cikgu Amiruddin tekun mencatat - SM Zakir khusyuk mendengar.

Menikmati nasi ayam paling popular di Kota Tinggi sebelum dialog bermula.
Bersempena Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Johor (PPJ) ke-32, satu program diusahakan oleh Cikgu Amiruddin Ali, Ketua 1 PPJ iaitu Dialog Penyair Johor pada 26 Disember 2009 pukul 8.30 malam di Restoran Baser, Kota Tinggi, Johor. Panel yang diundang merupakan penulis mapan dan prolifik negeri Johor pelbagai genre kreatif iaitu Hj. Shapiai Ramly dan Shamsudin Othman yang dipengerusikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud. En. Abd. Ghapar Hj. Abdullah, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat DBP turut hadir dalam program berbentuk santai dalam sebuah restoran sahaja namun meriah.
Dalam dialog ini sempat mencatat banyak perkara yang dilontarkan namun beberapa perkara yang disampaikan oleh panel dan pengerusi yang agak 'hangat' seperti di bawah:
Shamsudin Othman
- Penyair Johor menguasai dunia puisi tanah air sekitar tahun 1960-an tetapi dalam tahun 1970-an dan 1980-an pula dikuasai penyair dari Kelantan dan Terengganu, namun perjalanan penyair Johor tetap konsisten cuma tidak menguasai dunia puisi tanah air.
- Harapan agar 'roh puisi Usman Awang' dapat dikuasai kembali serta mendapat tempat pada tahap istimewa seperti kejayaan besar Usman Awang oleh penyair Johor kini.
- Penyair Johor harus berani mencipta karya puisi hebat sekurang-kurangnya dapat setaraf dengan Usman Awang.
- Selepas Usman Awang, penyair Johor seperti kurang menguasai persada puisi tanah air, bangkitlah kembali untuk menyaingi penyair dari Pantai Timur.
- W.B. Rendra dan Zulfazlan Jumrah merupakan penulis muda yang ada harapan serta sedang meningkat naik dalam kalangan penulis Johor kini.
- Bengkel yang sistematik dan terarah seperti Minggu Penulis Remaja (MPR) yang mengambil masa selama 7 - 10 hari harus digiatkan serta dijadikan contoh.
- Penyair dari Pantai Timur kini dalam landasan untuk meraih pelbagai hadiah dan anugerah sastera peringkat kebangsaan, di manakah penyair Johor khasnya dalam kalangan penyair muda, khasnya penyair wanita Johor?
Hj. Shapiai Mohd Ramly
- Johor diakui terlalu ramai penyanyi bukannya penyair.
- Siapakah penyair Johor yang boleh diangkat selepas Usman Awang...?
- Golongan penyair walaupun ada ratusan puisi yang dihasilkan tetapi untuk mengangkat 5 - 10 puisi 'hebat dan mendapat tempat' seperti contoh Latiff Mohidin dan T. Alias agak sukar, kenapa?
- Kita kena ada pengkritik untuk mengangkat puisi seseorang penyair - barulah seseorang penyair itu mendapat tempat dalam konteks karya yang dihasilkan serta dirinya, seperti seorang pengkritik mengangkat karya Latiff Mohidin...
- PPJ kena kumpulkan penyair Johor yang dahulu hingga kini, diadakan sebuah perhimpunan penyair yang dapat meninggalkan kesan.
- PPJ harus terus giat menerbitkan antologi seperti sempena mesyuarat agung secara konsisten serta menerbitkan kumpulan puisi individu penyair Johor seperti yang pernah diadakan dahulu.
- Wujudkan Anugerah Penyair Johor sebagai pengiktirafan utama atas karya dan pelibatan penulis dalam genre puisi, boleh sarankan kepada Kerajaan Negeri.
Mohd Kasim Mahmud
- Ramai penyair Johor pernah berkhidmat di Kota Tinggi; lihat sahaja Shamsudin Othman, Hj. Shapiai Mohd Ramly, Amiruddin Ali dan beberapa nama lain.
- Jangan dilupa bahawa ramai sebenarnya penyair Johor (sempat disebut beberapa nama) yang sering karya tersiar dalam media arus perdana iaitu Nazim Mohd Subari dan SM Salim.
- Jangan dilupa penyair Azhar Salleh yang banyak menghasilkan puisi bertemakan bahasa yang sememangnya banyak meluahkan rasa dalam konteks semangat dan hal bahasa.

Khamis, Disember 24, 2009

MAJLIS HADIAH TUNAS REMAJA - CERPEN

1. Majlis ini diadakan pada 23 Disember 2009 (Rabu) di Dewan Bankuet DBP, Kuala Lumpur.
2. Diri ini dikhabarkan oleh pegawai program selaku urus setia utama tentang majlis penyampaian hadiah ini dua minggu yang lalu. Ketika itu pegawai yang menguruskan program ini sebenarnya ingin memberitahu bahawa pelajar sekolah Johor membolot hadiah 1 - 2 - 3 serta meraih 3 hadiah sagu hati. Salah satu cerpen yang meraih hadiah terkandung juga dalam buku antologi pada foto yang terpapar di sebelah.

3. Sekadar makluman umum, Hadiah Tunas Remaja ini diusahakan dan digerakkan oleh Bahagian Pengembangan Sastera Remaja dan Kanak-kanak DBP pada bulan Mac / April yang lalu. Konsepnya - setiap sekolah perlu menghantar karya cerpen yang terbit dalam majalah sekolah masing-masing iaitu majalah tahun 2008. Cerpen ini dinilai untuk menerima hadiah iaitu tempat pertama, kedua dan ketiga serta hadiah sagu hati.
4. Ketika borang penyertaan mula dikeluarkan, pegawai program ini meminta agar diri ini menghebahkan dan menyebarkan maklumat hadiah ini sebanyak dan seluas mungkin kepada sekolah-sekolah menengah di Johor dan Melaka; maka diri ini giat sedaya upaya yang seadanya menggerakkan hal hebahan dan mengedarkan borang penyertaan sedaya mampu yang terjangkau dalam keterbatasan diri ke beberapa daerah di negeri Johor dan Melaka.
5. Pabila pegawai program itu nyatakan kepada diri ini dua minggu yang lalu bahawa pelajar Johor bolot hadiah utama 1 - 2 - 3 serta 3 sagu hati, maka diri ini rasa puas juga kerana ada sepicing dan senipis usaha yang digerakkan diri ini walaupun sekadar menyebarkan maklumat dan borang penyertaan kepada sekolah-sekolah menengah di negeri Johor dan Melaka.
6. Namun jauh di sudut hati rasanya banyak lagi sekolah di negeri Johor sekadar memandang sepi tentang hal penyertaan karya kreatif yang dihasilkan pelajar untuk dinilai... kebanyakan sekolah tidak mengambil berat tentang hal sastera dan berkarya maka peranan beberapa pihak termasuk DBP harus giat dan berusaha gigih semampunya agar perkara tentang sastera dan pengkaryaan pelajar boleh diketengahkan untuk manfaat ramai.


Catatan kecil: 2 buah buku antologi karya puisi dan cerpen pelajar Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2008 - 2009 anjuran penuh DBPWS dengan kerjasama JPNJ dan JPNM bakal terbit sedikit masa lagi yang berjudul 'Astaka Bahasa' (antologi puisi) dan 'Mawar: Taman Ezzflowz' (antologi cerpen), mungkin dalam masa 1 - 2 minggu lagi... sesiapa yang inginkan buku cetakan terhad ini bolehlah beritahu diri ini supaya dapat disimpan awal. Terima kasih.

MAJLIS 'YANG INDAH ITU BAHASA'


1. Bahagian Komunikasi Korporat DBP telah menganjurkan majlis 'Yang Baik Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa' iaitu sebuah majlis penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak dan individu yang bersama-sama menjayakan program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009.

2. Seramai 200 orang hadir yang terdiri daripada pelbagai badan kerajaan, swasta, media penyiaran dan individu dalam majlis yang dilangsungkan pada 22 Disember 2009 (Selasa) di Dewan Bankuet DBP, Kuala Lumpur.

3. Diri ini sempat mengambil sijil khas iaitu Sijil Penghargaan dan Sijil Penyertaan BBK 2009 yang mempunyai tandatangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia untuk dibawa pulang serta ingin diagihkan kepada pelbagai pihak dan individu yang menjayakan BBK 2009 negeri Johor dan Melaka khasnya yang banyak menyumbang tenaga dan penat lelah dalam menjayakan program BBK 2009 peringkat negeri Johor dan Melaka sepanjang program yang berlagsung dalam bulan Oktober yang lalu.

4. Dalam majlis santai beserta majlis penyampaian sijil dan cenderamata penghargaan kepada banyak pihak, selingan lagu turut dimuatkan. Istimewanya juga penampilan Ramli Sarip yang membawakan lagu-lagu bertemakan puisi serta lagu baharunya dalam majlis ini. Pihak media cetak dan elektronik utama negara juga turut hadir dalam majlis ini.

(Catatan: Foto latar pentas Majlis pelancaran BBK 2009 Negeri Melaka pada 1 Oktober 2009)

Isnin, Disember 21, 2009

SANTAI: SEPI MALAM DI KUALA LUMPUR

Foto KLCC dirakam dari bilik penginapan menggunakan kamera digital berkuasa rendah dan murah milik sendiri, pastinya jarak agak jauh maka fotonya bergoyang...

SEPI MALAM DI KUALA LUMPUR

Bukannya menyendiri
merenung detik pemula
di sini merangkak lalu berjalan
meninggalkan semalam
meraih hari mendatang
kadang kala terlupa
mencari harga utuh muhasabah
memanggil diri
kembali.

Jalan TAR - 22/12/2009 - 12.10 tengah malam.


(Catatan: Puisi segera tanpa makna khusus sekadar suka-suka dicipta tanpa diperam dan disunting... tiba-tiba rasa ingin menulis sebuah puisi segera dari dalam bilik penginapan di sebuah hotel di Kuala Lumpur setelah asyik melihat cahaya KLCC dan Menara KL.)

Jumaat, Disember 18, 2009

BANGGA DAN BIMBANG...

Foto Hiasan : Man U terus bersaing mengejar Chelsea dalam EPL.


Bangga
1. Rasa bangga atas kejayaan pasukan bola sepak bawah 23 tahun Malaysia yang berjaya meraih emas dalam Sukan SEA ke-25 di Laos semalam.
2. Sememangnya sebelum perginya pasukan ini ke Laos tiada harapan buat Malaysia meraih emas apatah lagi majoriti rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan bola sepak negara (termasuk diri ini) 'sinis dan jadi bahan lawak' pabila sebut pasal pasukan bola sepak Malaysia.
3. Kritikan sinis yang dilemparkan sebenarnya membuktikan ramai yang masih prihatin dan sayang akan bola sepak Malaysia. Kebanggaan mula berputik selepas Malaysia menewaskan Thailand dalam peringkat kumpulan serta menewaskan Laos dalam perlawanan separuh akhir.
4. Bangga melihat aksi dan skil pemain Malaysia walaupun tidaklah sehebat pemain dalam liga-liga negara Eropah seperti kutipan dalam entri sokernet.blogspot bertajuk 'Malaysia Menang Emas Dalam Sukan Bola' seperti di bawah:
- Juga, sejak 1989, antara taktik serangan terbaik yang dipersembahkan oleh pemain Malaysia, setuju? (Come on, rasanya ada empat lima miss opportunity stail EPL, kira orait la tu dari trademark Malaysia sebelum ini).
- Juga, selari dengan corak serangan yang menarik, ada beberapa throughpass kreatif dari Malaysia. Tak ada la sampai tahap Eropah la kan, tapi orait la untuk standard Malaysia.
- Juga Malaysia sudah ada jarang trademark pass tepi tapi tak ada siapa yang sambut bola.

Bimbang
1. Bimbang rasanya... seperti kata dalam sokernet.blogspot bahawa '- Ah, bila pikir balik FAM yang bakal mendabik dada kata kejayaan ini hasil kepala otak diorang, otak jadi lesu. Kata-kata ini juga ada benarnya kerana takut 'penyakit rasa bangga dan riak melampau' akan dijunjung oleh sebuah badan yang jaga bola sepak negara sejak selepas merdeka hingga kini.
2. Melihat gaya pemain Malaysia sambut kemenangan semalam semacam lagak pasukan Man U / Liverpool / Chelsea raih piala EPL atau lagak Barcelona / Real Madrid raih Champions League atau Brazil / Itali / Perancis raih Piala Dunia. Bimbang rasanya kerana mungkin ada unsur 'riak dan bangga diri melampau' dalam kalangan pemain Malaysia... makanya mungkin rasa 'tak sedar diri melampau' akan membekas dalam diri pemain (minta dijauhkan).
3. Laporan pascaperlawanan dan berita dalam televisyen semalam juga 'menakutkan' jika diteliti kata-kata yang diluahkan, 'pujian terlampau' menjadi inti pati yang tidak terkawal, manakala dalam laporan akhbar utama hari ini juga bernada sama.
4. Bimbang menyelubungi rasa, takut 'penyakit unggul' sukan Malaysia akan kembali pabila menang sesuatu maka 'riuh dan besar kepala' selepas itu terus merudum... harap tidak begitu berulang terjadinya 'penyakit' ini.
5. Apa-apapun PASUKAN UTAMA bola sepak kebangsaan juga harus buktikan sesuatu dalam bentuk peningkatan dan kejayaan yang lain juga khasnya peringkat Asia Tenggara dalam kejohanan yang lebih besar dan unggul.

Khamis, Disember 17, 2009

ALAM BAHARU: UQP 1041 - 1


ALAM BAHARU
Berdebar diri
meniti arah itu
langkah disusun beriring semangat diri
dalam doa dan azam terikat janji
berpaksi misi mengukuh peribadi
untuk secebis ruang berbakti
untuk mengerti dunia rasmi
meraih harap dan pengalaman seni
berpadu pasti bersulam murni
dalam rapi hilanglah sangsi
ke alam baharu menabur budi
dalam berani dan cekal hati.
Larkin - Skudai: 16 Disember 2009.
Catatan:
1. Terima kasih buat Hj. Zulkifli Khair atas kepercayaan dan tawaran ini, walaupun mulanya agak sangsi dengan upaya diri ini untuk berbakti namun atas dasar menimba pengalaman dan meraih ilmu maka diri ini memberanikan diri. Akhirnya diri ini memperoleh resolusi iaitu ruang dan peluang ini tidak harus dipandang sepi demi kelangsungan penyebaran nilai-nilai murni bersandarkan kreativiti.
2. Terima kasih Cikgu Azhar @ Sifuku kerana memberikan dorongan dan semangat melalui kata-kata penuh bermisi kepada diri ini serta atas bantuan dan keizinan tentang bahan-bahan yang bakal disediakan. Hasil kutipan pengalaman, semangat dan ketekunan yang besar Sifuku ini - dijadikan pedoman dan azimat buat diri ini untuk berbudi dan berbakti.
3. Membimbing insan berminda global 'sains - teknologi - komputer' yang tidak mengerti tentang dunia sastera dalam rencah kreatif merupakan cabaran besar harus ditempuhi demi melebarkan lagi nilai apresiasi terhadap dunia sastera dan bahasa, inilah peluang secebis yang ada untuk berbakti. Masih ada ruang untuk meniti untuk berbakti walaupun masih kurang pengalaman diri.
Bersambung...

Isnin, Disember 14, 2009

PAPARAN PUISI YANG MENGEJUTKAN DIRI...?

Puisi 'Kembali Hakmu' yang tersiar dalam Mingguan Malaysia - 7 Mei 2006.

Beberapa rakan baik ada bertanya tentang kesinambungan entri sebelum ini iaitu berjudul 'Perihal Seorang Sahabat dan MPR'. Diri ini sebenarnya masih belum percaya sepenuhnya tentang hal itu selagi belum melihat sendiri atau melihat bukti fotonya. Walaupun masih belum yakin sepenuhnya namun sekadar berkongsi cerita yang diperoleh melalui sahabat baik diri ini maka dipaparkan kisah kecil itu seadanya dengan rasa rendah diri serta sekadar niat berkongsi cerita.
Sahabat baik dari UPM menceritakan kepada diri ini bahawa ketika beliau berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia (UM) 2-3 bulan yang lalu atas urusan rasmi pejabatnya, katanya beliau terpandang pada dinding pejabat pemberita UM di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur paparan puisi yang dibingkaikan di situ. Beliau terkejut pabila melihat paparan puisi berjudul 'Kembali Hakmu' terpampang di situ.
Diri ini bertanya berkali-kali kepada beliau benarkah hal yang dilihat itu, beliau penuh yakin tentang paparan itu serta menambah bahawa terpampang juga puisi yang dibingkaikan iaitu puisi Allahyarham Ssaterawan Negara (SN) Usman Awang. Diri ini bertanya kenapa terpampang sebegitu, beliau menjawab bahawa puisi yang terpampang itu berkenaan Utusan Melayu @ Utusan Malaysia. Beliau ada nyatakan jika tidak silap dirinya bahawa puisi SN Usman Awang yang terpampang itu tentang puisi mogok akhbar UM, ya... jika tidak silap iaitu puisi berjudul 'Duri dan Api'.
Sayangnya beliau tidak mengambil foto tentang puisi 'Kembali Hakmu' serta puisi SN Usman Awang yang terpampang itu... Diri ini masih tidak percaya kepada diri sendiri (bukan tidak percaya kepada sahabat itu) bahawa puisi itu tergantung dalam bentuk paparan berbingkai lalu memohon beliau suatu hari nanti jika ada urusan lagi di pejabat UM itu tolonglah dirakam foto untuk diri ini lebih yakin serta dapat menyimpan foto itu sebagai salah satu unsur 'motivasi dan semangat diri' untuk terus berkarya.
Benar diri ini sudah lama tidak menulis puisi secara konsisten dan bersungguh-sungguh dalam tahap tumpuan utama, rasanya selepas pertengahan tahun 2008 sehingga kini kecuali sesekali ada menulis puisi yang rasanya tidak bermutu untuk dihantar kepada pihak akhbar arus perdana. Ada menulis sikit itupun untuk penerbitan khas seperti sempena sesebuah program dan acara.
Malah pernah ada kejutan (yang menjadi penentu kelangsungan diri ini berkarya) pabila puisi diri ini yang ditulis pada Februari 1996 ketika masih menuntut dahulu tersiar dalam majalah Dewan Sastera Januari 1999 tetapi diri ini malu untuk tunjukkan kepada sahabat dan rakan lain kerana dalam diri ini rasa puisi itu tidak layak langsung untuk menghuni 'Puisi Bulan Ini' dalam sebuah majalah utama dan terunggul tentang sastera tanah air. Ketika itu sekadar 'suka-suka paksa' menghantar 4-5 buah puisi ke majalah Dewan Sastera kerana 'disuruh @ dipaksa' oleh pembimbing undangan kelas tutorial bagi subjek sastera / karya kreatif iaitu Tuan Sutung Umar R.S.
Maka dengan cerita yang dibawakan oleh sahabat baik dari UPM ini - diri ini rasa kembali bersemangat untuk berkarya secara konsisten dan bersungguh-sungguh namun ketentuan-Nya jua yang diri ini harapkan agar menyuburkan kembali semangat dan motivasi untuk berkarya. Insya-Allah.
Catatan kecil: Kisah tentang puisi SN Usman Awang berjudul 'Duri dan Api' yang berkaitan tentang mogok UM boleh dibaca melalui buku biografi SN Usman Awang berjudul 'Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh' terbitan DBP tahun 2006.

Jumaat, Disember 11, 2009

PERIHAL SEORANG SAHABAT DAN MPR

Seorang sahabat baik telah saya hubungi kerana mahu mengkhabarkan tentang namanya yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera Disember 2009 (foto), beliau bertanya tentang apa? Lantas saya beritahu namanya termuat dalam senarai graduan Minggu Penulis Remaja (MPR). Nama para graduan MPR yang terpapar dalam majalah ini melibatkan peserta bermula pertengahan tahun 1980-an sehingga kini.
Sahabat saya ini merupakan graduan MPR tahun 1988, menurutnya ketika itu beliau tingkatan 5. Beliau dominan dalam menulis genre puisi serta ada juga menulis cerpen. Ketika sekolah menengah karya beliau banyak tersiar dalam majalah Dewan Siswa maka itulah beliau dipanggil untuk menjadi peserta pada tahun itu. Beliau menulis dan menghantar karya ketika zaman gemilangnya iaitu zaman mudanya tetapi berhenti berkarya (katanya) sekitar tahun 1997-1998. Beliau juga ada beritahu bahawa pada tahun lepas beliau ada hantar karya puisi melalui pos kepada pihak akhbar arus perdana, lalu dalam tempoh sebulan karyanya tersiar dalam Mingguan Malaysia; lalu saya beritahu bahawa maknanya karyanya masih diterima dan prolifik! Ya... selepas 10 tahun tidak menghantar karya lalu karya sahabat saya ini tersiar.
Sahabat saya kini berkhidmat di UPM merupakan rakan yang akrab khasnya ketika sama-sama belajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur, sama-sama mengambil Pengajian Media serta sama-sama menyimpan satu kenangan yang sukar dilupakan ketika mengadakan lawatan ke Padang, Indonesia pada sesi pengajian 1994-95.
Saya memberitahu beliau bahawa ada Perhimpunan Alumni MPR pada 19 Disember 2009 di DBP Kuala Lumpur. Saya bersungguh-sungguh menyeru beliau hadirlah ke perhimpunan itu, beliau nyatakan bahawa tiada undangan diterima - lantas saya nyatakan kepadanya bahawa saya akan berusaha agar beliau dapat hadir ke perhimpunan itu yang akan berlangsung seminggu lagi.
Beliau juga memberitahu bahawa ketika Hizairi Othman menerajui Alumni MPR beliau ada juga terlibat menyertai program yang dikelolakan oleh pengurusan Alumni MPR ini tetapi selepas 'kehilangan' Hizairi bermula tahun 2000 maka beliau terputus hubungan rasmi dengan Alumni MPR. Saya menggesa beliau agar terlibatlah kembali dalam penulisan dan Alumni MPR, saya akan berusaha sedaya upaya yang dalam diri untuk menggalakkan beliau kembali terlibat dalam dunia penulisan kreatif dan kegiatan sastera (walaupun usianya satu tahap berbeza dengan saya).
Hasil perbualan saya dengan beliau itu juga, suatu perkara yang mengejutkan saya - beliau mendedahkan suatu hal yang disaksikan sendiri oleh beliau di satu tempat kerana hal ini melibatkan diri saya, apatah lagi hal ini melibatkan karya penulisan kreatif serta sedikit ada libatkan Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang! Apakah hal itu...? Hal ini membuatkan saya 'naik semangat dan bermotivasi' kembali...?

KRITIK KERANA MASIH SAYANG...

Sebentar tadi dapat perkhabaran dalam berita radio (pukul 7 malam) dan berita Buletin Utama TV3 (8 malam - tajuk berita kedua utama disiarkan) bahawa pasukan bola sepak Malaysia Sukan SEA Laos layak ke separuh akhir selepas menewaskan Thailand 2 - 1. Tahniah buat pasukan bola sepak bawah 23 tahun kerana berjaya layak ke separuh akhir serta berjaya menewaskan Thailand.
Alang-alang sudah berjaya ke separuh akhir teruskan bersungguh-sungguh untuk meraih pingat emas nanti! Tapi janganlah pula rasa 'riak dan angkuh' menebal di dada pemain dan pengurusan pasukan bola sepak Malaysia yang berada di Laos kini kerana berjaya tewaskan Thailand... Tingkatkan usaha menambahkan mutu permainan.
Beberapa hari yang lalu saya menulis (mengkritik) dalam dua entri tentang pasukan Malaysia ini. Saya dihubungi oleh 3-4 orang rakan melalui telefon dan SMS yang agak sinis menyatakan saya tidak patriotik!, lalu saya menjawab bahawa sayalah orang yang patriotik kepada negara dalam hal ini kerana kritikan itu menandakan saya prihatin dan ambil tahu - kritikan itu menandakan bahawa masih ada rasa sayang dan cinta terhadap pasukan bola sepak kebangsaan. Teguran dan kritikan itulah melambangkan rasa sayang agar pasukan kebangsaan tidak terus 'hanyut tertinggal' berbanding pasukan bola sepak negara serantau di Asia Tenggara.
Sekali lagi - kritikan itu tanda minat, ambil tahu dan sayang...

Khamis, Disember 10, 2009

PENILAIAN TEATER JOHOR KE FESTIVAL TEATER MALAYSIA 2010

Dua anak kecil duduk di kerusi paling hadapan penuh asyik dan tekun menyaksikan pementasan teater 'Walinong Sari'.

Teater 'Walinong Sari' - kerja teknikal pencahayaan yang membanggakan.

Teater 'Walinong Sari' - mutu lakonan cukup mengesankan khalayak.

Monolog 'Lubang Neraka' - lakonan dan mesej yang seimbang.

Monolog 'Lubang Neraka' - set dan pencahayaan pentas yang bermutu.

Teater Kanak-kanak 'Money, Money, Money' (teater dalam bahasa Inggeris sepenuhnya) - terlalu banyak selingan lagu!

Catatan: Foto di atas rakaman sendiri yang menggunakan kamera digital berkuasa rendah.
Pada hari Sabtu dan Ahad yang lalu (5 - 6 Disember 2009) berkesempatan menyaksikan tiga teater di Auditorium RTM Johor, Johor Bahru sempena Penilaian Festival Teater Malaysia Peringkat Negeri Johor 2009. Penilaian dijalankan untuk memilih wakil dari seluruh negeri ke peringkat akhir Festival Teater Malaysia yang akan dilangsungkan pada tahun 2010 nanti. Festival ini semestinya anjuran tetap Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia. Bagi peringkat negeri Johor diuruskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor dengan kerjasama Majlis Teater Negeri Johor.
Peringkat saringan negeri Johor telah diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Tiga kategori dipertandingkan iaitu teater umum, teater monolog dan teater kanak-kanak, maka tiga kumpulan yang terpilih bagi setiap kategori dalam peringkat saringan dinilai sekali lagi. Panel penilai ke setiap negeri untuk memilih 6 kumpulan @ pementasan terbaik bagi kategori umum, 6 pementasan kategori monolog terbaik, dan 4 pementasan kategori kanak-kanak dari seluruh negeri akan ke peringkat akhir Festival Teater Malaysia tahun hadapan.
Selaku penonton rasanya pementasan teater 'Walinong Sari' dan monolog 'Lubang Neraka' semacam boleh layak (ini cuma andaian dalam hati...); bukan kerana para tenaga produksi dan pelakonnya dikenali diri ini tetapi atas dasar kekuatan mutu pementasan dan keyakinan di pentas yang ditonjolkan. Hakikatnya panel penilai yang mempunyai borang pemarkahan lalu mengisi kotak-kotak pemarkahan menentukan layak atau tidak kumpulan @ pementasan dari Johor ini ke peringkat kebangsaan nanti, panel penilai yang menjelajah ke seluruh negeri lebih arif dan cekap menentukannya kerana pementasan ini bukan sekadar pementasan biasa tetapi pementasan teater yang dinilai - pasti banyak aspek yang dilihat dan ditentukan kewajarannya oleh penilai.

Isnin, Disember 07, 2009

TERIMA KASIH KHAIRY, TERIMA KASIH MSN

Kutipan kartun 'Senyum Kambing' Utusan Malaysia halaman depan 7 Disember 2009.



______________________________________________________

Kutipan sumber berita BERNAMA 7 Disember 2009:

Skuad Negara Diberi Amaran Keras,
Skuad Wanita Ditegah Beraksi Di Perlawanan Antarabangsa

PETALING JAYA, 7 Dis (Bernama - 6.58 petang) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan amaran keras kepada skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun negara supaya tidak mengulangi tindakan luar kawalan selepas mereka mencetuskan insiden kekecohan menyerang pengadil perlawanan selepas mengalami kekalahan 1-3 di tangan pasukan Vietnam pada temasya Sukan SEA Laos ke-25 semalam.
FAM turut mengeluarkan tegahan terhadap skuad bola sepak wanita negara, yang menjadi pasukan belasahan di temasya yang sama, daripada beraksi dalam mana-mana pertandingan antarabangsa mulai tahun depan.
Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas mesyuarat FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin.
"Pihak FAM hari ini telah menerima laporan pengurus pasukan Malaysia di Vientiane yang melaporkan tahap pengadilan yang tidak memuaskan. Berikutan itu pengurus pasukan telah membuat aduan rasmi berhubung mutu pengadilan dengan pihak penganjur," katanya.
Selain itu, Khairy berkata pihak FAM, menerusi pengurus pasukan, telah memberi amaran keras kepada setiap pemain supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut dalam dua baki perlawanan Kumpulan A nanti.
"Walaupun, mutu pengadilan tidak baik atau tidak setuju dengan keputusan pengadil perlawanan, mana-mana pemain tidak boleh bertindak mengikut emosi masing-masing. Disiplin harus diutamakan kerana ia melambangkan sikap profesional," tambahnya.
_____________________________________________________

Insiden Kekecohan Pemain Bola Sepak M'sia Memalukan Negara - MSN

VIENTIANE, 7 Dis (Bernama - 4.40 petang) -- Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong menganggap insiden pemain bola sepak lelaki Malaysia mencetuskan kekecohan selepas perlawanan menentang Vietnam semalam tidak sepatutnya berlaku dan memalukan negara. Beliau berkata alasan jurulatih kebangsaan K. Rajagobal yang mendakwa insiden tersebut berlaku kerana pengadil perlawanan tidak membuat keputusan yang tepat, adalah tidak benar kerana pada beliau, pengadil berlaku adil.
"Pengadil semalam berlaku adil malah membuat beberapa keputusan yang menguntungkan Malaysia," katanya kepada pemberita di sini Isnin.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden pemain bola sepak lelaki Malaysia yang menimbulkan kekecohan selepas tamat perlawanan saingan Kumpulan A menentang Vietnam semalam. Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, Malaysia tewas 1-3, sekaligus menyukarkan laluan negara ke separuh akhir.
Rajagobal mendakwa insiden tersebut berpunca daripada kekecewaan pemainnya berhubung sikap pengadil perlawanan yang didakwa banyak membuat keputusan tidak tepat yang merugikan Malaysia. Dalam insiden tersebut, pemain-pemain Malaysia mengerumuni pengadil selepas pemain gantian, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak dilayang kad merah sejurus sebelum tamat perlawanan. Insiden tersebut termasuk tindakan pemain Malaysia membaling botol air minuman kepada pengadil bagaimanapun berjaya dileraikan selepas pihak keselamatan Laos dan pegawai perlawanan menyuraikan pemain dan membawa mereka ke bilik persalinan.
Zolkples turut membidas pegawai pasukan Malaysia termasuk jurulatih kerana didakwa mengapi-apikan semangat pemain untuk mencetuskan kekecohan."Kecuali penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe yang saya lihat tenang dan duduk sahaja di bangku simpanan," katanya.
Beliau berkata pasukan Malaysia sepatutnya menerima keputusan perlawanan kerana pemain Vietnam sememangnya bagus daripada segi kecerdasan dan kelajuan. Berdasarkan pemerhatian beliau, pemain negara bermain di bawah kemampuan sebenar dan terlalu menghormati pemain lawan.

TAHNIAH MALAYSIA - TERUSKAN NADA 'ANGKUH DAN SEJUTA ALASAN'

Foto Hiasan: Rancangan kegemaran yang bakal muncul sedikit masa lagi - apakah kaitan dengan bola sepak Malaysia?




Seperti ramalan awal tempoh hari pasukan bola sepak Malaysia akhirnya 'tunduk' kepada Vietnam 1 - 3, bukannya Malaysia tidak pandai bermain bola sepak tetapi sifat 'keangkuhan' tempoh hari ketika 'membelasah' Timor Leste menandakan bahawa Malaysia bakal perit menentang Vietnam. Terima sahajalah kekalahan ini tetapi tidak pabila pemain-pemain Malaysia berkerumun 'mengasak' pengadil kerana tidak berpuas hati! Pasti juga alasan pemain Malaysia kerana KEPENATAN KERANA MEMBELASAH TIMOR LESTE menyebabkan mereka tewas kepada Vietnam...

Hebat sangatkah pemain-pemain Malaysia itu umpama Ronaldo - Messi - Kaka - Rooney - Torres - Gerrard - Drogba - dan pemain-pemain ternama Liga EPL, La Liga, Serie A? Cukuplah dengan penyakit 'cakap besar' pasukan Malaysia, ramai rakyat Malaysia sudah bosan dengan 'cakap angkuh dan cakap besar' sebegini!

Menentang Thailand nanti pasti akan ada pula alasan lain yang bakal tercipta. Tunggu dan lihat sahaja nanti. Pasukan bola sepak Malaysia sudah terkenal dengan 'sejuta alasan' seperti juga kata Cikgu Nizar bahawa mungkin alasan kekalahan berpunca daripada Si Penjual Kacang Kuda di tepi padang...


Sabtu, Disember 05, 2009

UNDIAN PIALA DUNIA 2010: WAKIL ASIA TIDAK LAYAK KE PUSINGAN KEDUA...?

Bakal pemain pasukan bola sepak Malaysia di tepi Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu merenung jauh nasib bola sepak Malaysia: "Bilakah Malaysia akan bermain dalam Piala Dunia... kecuali menjadi tuan rumah mungkin Malaysia Boleh!"

Awal pagi tadi (5 Disember 2009: 1 pagi - 2.30 pagi) sempat meyaksikan siaran langsung melalui Astro 811 undian kumpulan untuk 32 pasukan dalam Piala Dunia 2010. Undian berjalan lancar serta ditambah persembahan selingan lagu dan budaya juga paparan visual tentang persediaan Afrika Selatan ke arah kejohanan bola sepak paling besar di dunia ini yang hadir empat tahun sekali ini. Maka penentuan kumpulan A hingga H seperti di bawah:
A - Afrika Selatan, Mexico, Uruguay, dan Perancis.
B - Argentina, Nigeria, Korea Seatan, dan Greece.
C - England, Amerika Syarikat, Algeria, dan Slovenia.
D - Jerman, Australia, Serbia, dan Ghana.
E - Belanda, Denmark, Jepun, dan Cameroon.
F - Itali, Paraguay, New Zealand, dan Slovakia.
G - Brazil, Korea Utara, Ivory Coast, dan Portugal.
H - Sepanyol, Switzerland, Honduras, dan Chile.

Sekadar ramalan awal, diri ini secara peribadi memilih 2 pasukan bagi setiap kumpulan yang berhuruf miring dan gelap di atas akan ke pusingan kedua. Mengikut peraturan jadual perlawanan pusingan kedua seperti berikut:

Ramalan perlawanan pusingan kedua
- Pemenang A lawan kedua B : Perancis lawan Nigeria.
- Pemenang B lawan kedua A : Argentina lawan Mexico.
- Pemenang C lawan kedua D : England lawan Ghana.
- Pemenang D lawan kedua C : Jerman lawan Slovenia.
- Pemenang E lawan kedua F : Belanda lawan Paraguay.
- Pemenang F lawan kedua E : Itali lawan Cameroon.
- Pemenang G lawan kedua H : Portugal lawan Chile.
- Pemenang H lawan kedua G : Sepanyol lawan Brazil.

Ramalan perlawanan pusingan kedua di atas mungkin berubah menjadi pertemuan pasukan pilihan lebih awal iaitu:
- Perancis lawan Argentina.
- England lawan Jerman.
- Itali lawan Belanda.
- Brazil lawan Portugal.

Ramalan secara sinis juga bahawa pasukan yang mewakili kuota Asia tidak akan melangkah ke pusingan kedua, kecuali ketika Piala Dunia 2002 pabila Korea Selatan - Jepun menjadi tuan rumah sehingga membawa Korea Selatan ke perlawanan separuh akhir! Sepatutnya pasukan dari Asia cuma 2 pasukan sudah cukup, berilah kuota lebih kepada pasukan Eropah seperti Republik Ireland, Sweden, Republik Czech, Croatia, Bosnia, dan Rusia.

Khamis, Disember 03, 2009

MARTABAT BAHASA MELAYU - BERNAMA TV

Tiga ahli panel diskusi 'Memartabatkan Bahasa Melayu' - Helo Malaysia BERNAMA TV (Astro 502).


Shamsudin Othman - ahli panel yang penuh semangat, tenang dan berkeyakinan ketika kemukakan hujah dan menjawab soalan. Tahniah anak jati Johor!

(Catatan: Foto di atas dirakam secara langsung menggunakan kamera peribadi.)

1. Semalam sempat menonton dan mengikuti rancangan bual bicara 'Helo Malaysia' melalui siaran BERNAMA TV (Astro 502) pukul 10 hingga 11 malam. Isu dan isi perbincangan tentang 'Memartabatkan Bahasa Melayu' dipengerusikan oleh Sherkawi Jirim dengan menampilkan tiga ahli panel iaitu Shamsudin Othman (dirujuk sebagai Pensyarah UPM), Borhan Mohd Zin (Pengerusi Biro Perhubungan Komunikasi dan Media GAPENA) dan Ahmad Ibrahim (Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia).

2. Sempat mencatat juga tentang isi ringkas yang disampaikan oleh ahli Shamsudin Othman antaranya seperti berikut:
- krisis identiti masyarakat kini tidak yakin dengan diri sendiri.
- pihak pelaksana di atas sendiri yang tidak berperanan.
- konsep pelaksana dan pelaksanaan yang mengelirukan.
- teras bangsa Malaysia paksinya bahasa Melayu.
- konsep 1 Malaysia cuba memartabatkan bahasa Melayu ke tahap bahasa ilmu tinggi.
- mengangkat martabat bahasa Melayu itu perlu dalam gagasan 1 Malaysia.

3. Juga sempat mencatat isi hujah dua panel lain termasuk pengerusi seperti di bawah:
- orang Melayu sendiri yang tidak martabatkan bahasa Melayu.
- kepimpinan melalui teladan.
- kalau pemimpin perlekeh bahasa maka orang bawah bagaimana.
- pelaksana itu pemimpin utama.
- GAPENA berjanji hidup mati pertahankan bahasa Melayu.
- pokok pangkalnya kesungguhan kita.

4. Menarik juga perbincangan semalam sehingga menyentuh soal bahasa Melayu dalam konsep gagasan 1 Malaysia, konsep pelaksana (pemimpin), bahasa ibunda kaum lain, teras bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam perlembagaan negara, dan pelbagai lagi isi yang tersentuh dalam tempoh hampir satu jam diskusi ini.

5. Tahniah buat Tuan Hj. Shamsudin Othman yang lancar dan penuh ilmu dalam menyampaikan hujah dan isi serta idea dalam rancangan ini semalam.

NADA KEANGKUHAN MULA TERSEBAR...

Pemain kanak-kanak 'Kelab Padi Malinja BBU' gembira menyumbat gol...


Pasukan bola sepak Malaysia berjaya mengalahkan Timor Leste 11 - 0! Dengar dalam berita televisyen dan dan radio sejak semalam dan hari ini ungkapan 'belasah', 'menang penuh bergaya', 'rekod baharu jaringan' dan pelbagai ungkapan bernada angkuh...! Bunyinya macam hebat sungguh semacam sudah berjaya menjuarai Piala Asia atau Piala Asia Tenggara. Secara peribadi diri ini tidak hairan serta tiada rasa bangga langsung Malaysia menang besar (kononnya) ke atas Timor Leste. Pasukan Timor Leste ini sebuah pasukan baharu yang tampil dalam Sukan SEA yang berkemungkinan akan menewaskan @ memalukan Malaysia dalam 2-3 tahun lagi.
Baca pula akhbar hari ini menambahkan lagi rasa 'geram' dengan laporan yang mula bernada 'angkuh dan sombong' seperti tajuk akhbar di bawah:
i. Timor Leste jadi santapan 'Raja' - Berita Harian
ii. Permulaan garang - Harian Metro
iii. Langkah kanan - Harian Metro
iv. Timor Leste kena belasah - Utusan Malaysia
v. Skuad B-23 sumbat 11 gol - KOSMO
Ingat... Malaysia akan menentang Vietnam hari Ahad ini, jika Malaysia menang pastinya laporan bernada 'angkuh besar' menghiasi berita televisyen, radio dan akhbar... makanya harapan agar Malaysia kalah menentang Vietnam dan Thailand nanti agar Malaysia 'sedar diri' tentang keupayaan sebenar dalam bola sepak berbanding negara Asia Tenggara yang lain seperti Thailand, Vietnam, Singapura, Myanmar dan Indonesia.

Selasa, Disember 01, 2009

BOLA SEPAK MALAYSIA - MENCIPTA ALASAN AWAL?

Pemain kanak-kanak 'Kelab Padi Malinja BBU' keletihan di padang...

Maskot Sukan SEA ke-25 Laos.


Pasukan bola sepak Malaysia untuk Sukan SEA ke-25 Laos mula 'mencipta alasan' pabila alasan penangguhan pesawat ke Laos yang sepatutnya berlepas pada petang semalam terpaksa ditunda pada sebelah pagi tadi. Terdengar dan terbaca berita tentang kelewatan melalui berita televisyen dan akhbar - juga tercetus 'alasan awal' kemungkinan pemain 'hebat' Malaysia akan keletihan kerana terpaksa bertemu pasukan Timor Leste pada hari esok (Rabu). Terdengar melalui berita malam ini 'ciptaan alasan' diterbitkan melalui mulut 1-2 orang kuat FAM tentang 'masalah besar' yang melanda pasukan bola sepak Malaysia ini...!

Secara sinis ini mungkin 'ciptaan alasan awal' jika Timor Leste berjaya mengejutkan Malaysia - maka alasan kerana kelewatan ini boleh dijadikan sumber utama jika Malaysia tewas nanti... Malaysia diletakkan dalam kumpulan bersama pasukan Thailand, Vietnam dan Timor Leste.

______________________________________________________
Kutipan Akhbar Utusan Malaysia - 1 Disember 2009

Penerbangan skuad bola sepak ke Vientiane ditangguh
KUALA LUMPUR - Penerbangan yang membawa pasukan bawah 23 negara ke Sukan SEA Laos, semalam terpaksa ditunda ekoran berlakunya masalah teknikal. Penangguhan itu dibuat ekoran kegagalan mendapat kebenaran mendarat lebih awal daripada pihak berkuasa Laos. Kebenaran hanya diperoleh pada pukul 4.30 petang dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk berlepas pagi ini. Pasukan negara dijadualkan berlepas pagi semalam menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Penerbangan tersebut merupakan kerjasama antara TUDM dengan FAM bagi membawa pasukan bola sepak negara ke Laos. Mengulas lanjut perkara tersebut, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, keputusan itu terpaksa dibuat kerana waktu sudah lewat dan pemain sudah penat menanti di Pangkalan TUDM Subang. Katanya, penerbangan menggunakan kapal terbang TUDM mengambil masa sehingga tiga jam lebih untuk tiba di Laos. Sehubungan itu katanya, pemain ditempatkan di sebuah hotel bagi menanti penerbangan hari ini.
"Pasukan negara akan berlepas ke Laos pada pukul 8 pagi esok (hari ini) di Pangkalan TUDM Subang," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), di sini, semalam.

SANTAI: KORUS DAN LIRIK LAGU INDONESIA

Foto hiasan: Pementasan Teater 'ROH SEMBERANI' 2008 - Sebuah pementasan berteraskan budaya Jawa bercampur budaya Melayu dijalin kekuatan pengaruh persembahan Kuda Kepang.


Entah mengapa tiba-tiba lirik lagu sebuah kumpulan Indonesia iaitu Wali Band menarik perhatian... tertarik perhatian bukan kerana mutu lirik dan melodinya. Lagu berjudul 'Cari Jodoh' yang disampaikan oleh kumpulan ini mula terdengar oleh telinga ini melalui stesen radio Singapura Ria 89.7 juga terdengar dalam radio tempatan serta terpandang video klip lagu ini melalui stesen televisyen Indonesia (yang boleh ditonton di beberapa kawasan dalam Johor Bahru) sejak 2-3 bulan lalu.

Terkejut dan rasa tergelak juga pabila anak mudah ingat korus lagunya, lirik lagu ini terutama bahagian korusnya yang memang mudah dihafal dalam loghat atau lenggok bahasa Indonesia oleh pelajar sekolah rendah...! Pabila ditanya, kata anak bahawa kawan-kawannya di sekolah sering nyanyikan korus lagu ini. Besar sungguh pengaruh lagu-lagu Indonesia dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah kini, itu belum ambil kira dalam kalangan masyarakat umum lepasan sekolah...

Terkini, paparan televisyen tempatan juga siarkan iklan nada dering telefon termuat lagu 'Cari Jodoh' ini - maksudnya lagu ini mudah popular dalam kalangan masyarakat Malaysia setelah 2-3 bulan bersiaran dalam radio Malaysia! Lirik lagunya dikutip terus tanpa suntingan melalui laman web sumber dari Indonesia seperti di bawah:



Cari Jodoh - Wali Band

Apa salahku apa salah ibuku
Hidupku dirundung pilu
Tak ada yang mau dan menginginkan aku
‘tuk jadi pengobat pilu
‘tuk jadi penawar rindu
‘tuk jadi kekasih hatiku

Timur ke barat selatan ke utara
Tak juga aku berjumpa
Dari musim duren hingga musim rambutan
Tak kunjung aku dapatkan
Tak jua aku temukan
Oh Tuhan inikah cobaan

(Korus)
Ibu-ibu bapak-bapak
Siapa yang punya anak
Bilang aku aku yang tengah malu
Sama teman-temanku
Karna cuma diriku yang tak laku-laku

Pengumuman-pengumuman
Siapa yang mau bantu
Tolong aku kasihani aku
Tolong carikan diriku kekasih hatiku
Siapa yang mau

Ibu-ibu… bapak punya anak
Bilang-bilang aku aku yang tengah malu
Sama teman-temanku
Karna cuma diriku yang tak laku-laku.. wooo..oo.oo

wooo..oo.oo.. Ku tak laku-laku…

wooo..oo.oo.. Ku tak laku-laku…
wooo..oo.oo.. Ku tak laku-lakuuu…

BAHASA MELAYU DAN SUKAN


Selaku peminat dan pengikut rangkaian sukan Astro (Saluran 811 hingga 816) pasti ada sedikit kejutan pabila ESPN SportCenter Malaysia menyiarkan berita sukan dalam bahasa Melayu. Semalam pukul 10.30 malam diri ini dan anak dapat mengikuti berita SportCenter dalam bahasa Melayu sepenuhnya termasuk catatan tentang keputusan perlawanan sukan dan kedudukan liga bola sepak Eropah melalui visual yang dipaparkan.

Sememangnya rangkaian sukan Astro melalui Saluran 811 hingga 816 banyak menyiarkan perlawanan dalam sukan (khasnya bola sepak) dan berita sukan seluruh dunia, namun dengan penyiaran berita sukan dalam bahasa Melayu melalui ESPN SportCenter merupakan suatu kebanggaan kerana mengangkat peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Memang siaran berita pertama dalam bahasa Melayu melalui saluran ini semalam masih ada kekurangan penyampaiannya tetapi boleh diperbaiki melalui peringkat demi peringkat. Tahniah kepada ESPN SportCenter Malaysia atas usaha baik ini dalam menyuburkan penggunaan bahasa Melayu secara meluas melalui penyiaran televisyen yang bersifat serantau ini.

________________________________________________________

Kutipan akhbar Utusan Malaysia - 1 Disember 2009

ESPN lancar edisi bahasa Melayu

KUALA LUMPUR - Peminat sukan tempatan kini berpeluang mengikuti berita dan informasi sukan tempatan dan antarabangsa dalam edisi bahasa Melayu di saluran sukan Astro, ESPN StarSports yang ke udara pertama kali pada 10.30 malam semalam. Program SportsCenter Malaysia edisi bahasa Melayu itu dikendalikan oleh pengacara Lisa Wong dan Reem Shahwa.
Berikutan tumpuan yang semakin tinggi terhadap berita sukan tempatan, para penonton berpeluang menyaksikan lebih banyak wira-wira sukan di saluran ESPN, juga liputan lebih menyeluruh sukan antarabangsa dalam bahasa Melayu.

Program SportsCenter Malaysia dilancarkan pada April 2007 dalam bahasa Inggeris dan ia terus menjadi saluran kegemaran di kalangan peminat sukan dan mencatat rating penonton yang tinggi. Pengarah Urusan ESPN StarSports, Manu Sawhney, berkata, pihaknya terus komited untuk membawa info sukan terbaik kepada para penonton saluran tersebut.

''Program SportsCenter Malaysia dalam edisi bahasa Melayu merupakan bukti komitmen kami untuk menyampaikan berita sukan tempatan dan antarabangsa yang terbaik untuk para peminat.
''Ia dilakukan demi memenuhi keperluan dan bahasa pilihan para penonton.
''Dengan jumlah peminat sukan yang semakin bertambah di Malaysia, berita sukan dalam edisi bahasa Melayu ini akan membawa sukan lebih dekat dengan mereka, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,'' katanya.

Khamis, November 26, 2009

NASI KUKUS - NASI GULAI KAWAH - NASI BERLAUK: BERAT BADAN BERTAMBAH...!

Contoh foto Nasi Kukus - ini Nasi Kukus yang terhidang di hotel yang nampaknya agak mewah hidangannya...


Berada di negeri Kelantan atas urusan rasmi serta bersambung cuti pasti tidak melepaskan peluang untuk menjamah pelbagai jenis masakan dan makanan. Bermula 21 November hingga hari ini (Khamis) makan bertambah kerana selera cukup 'mengghairahkan', ya... makanan dan masakan Kelatan agak sukar diperoleh di Johor, jika dapat sekalipun rasanya kurang enak berbanding menikmatinya di negeri Kelantan sendiri. Sama juga Nasi Kandar di Pulau Pinang tidak sama rasanya di negeri Johor.
Makan NASI KUKUS - NASI GULAI KAWAH - NASI BERLAUK merupakan pilihan utama sepanjang hari bermula awal pagi sehingga malam. Pastinya NASI KUKUS cukup popular dan menyelerakan buat masa kini kerana ayam goreng berempah bersama kuah, sedikit sayur dan sambal pedasnya. Orang ramai beratur panjang di kedai yang terkenal dalam hal masakan NASI KUKUS ini! Jangan dilupa NASI GULAI KAWAH yang cukup menggiurkan hingga tambah nasi sampai tiga kali! Selain tiga jenis nasi tersebut, pelbagai jenis kuih juga dimakan dengan jumlah yang banyak.
Kesan keghairahan makan makanan tersebut sejak 6 hari berturut-turut maka berat badan terasa naik mendadak! Setakat tinjauan rambang masakan asam pedas Johor dan Melaka tiada di Kelantan, namun pabila berada di Kelantan ini maka masakan Kelantan menjadi 'ketagihan' yang sukar dikawal...?
Mungkinkah kerana hal makanan maka suatu hari nanti akan menabur khidmat di Kota Bharu, Kelantan @ DBPWT?

Isnin, November 23, 2009

SASTERAWAN NEGARA DI KOTA BHARU - PROMOSI KARYA SASTERA PERLU GIAT DAN AGRESIF!

Dato' Dr. Anwar Ridhwan bersama Rahimidin Zahari (pengerusi sesi) dalam Majlis Astaka Minda di DBPWT.


1. Rasa beruntung serta bertuah dapat menghadiri sebuah majlis ilmu yang melibatkan Sasterawan Negara yang baharu dinobatkan iaitu Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Program Majlis Astaka Minda Bersama SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan bertemakan 'Memperkasakan Sastera Kebangsaan' di Dewan Seminar DBP Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, Kelantan pada 23 November 2009 (Isnin). Majlis ini merupakan anjuran penuh Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBPWT yang diusahakan oleh En. Shahrul Rizal (Pustakawan merangkap Pengurus Program Sastera DBPWT yang terkini).
2. Ceramah berkisar tentang pemerkasaan sastera dalam negara serta luar negara. Semalam (Ahad - 22 November 2009) SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan juga mengadili Pertandingan Monodrama Adaptasi Cerpen DBPWT selaku Ketua Hakim. Idea adaptasi cerpen kepada skrip monodrama lalu dipentaskan juga merupakan jasa sumbangan pandangan beliau sebelum pertandingan itu dijalankan.
3. Banyak isu dan idea yang disampaikan oleh Dato' Dr. Anwar Ridhwan dalam majlis ini, namun satu isu yang menarik perhatian diri ini yang ingin dikongsi serba ringkasnya melalui entri blog ini - PROMOSI KARYA SASTERA. Menurut Dato' Dr. Anwar Ridhwan, "sebagus dan sebaik sesebuah karya sastera itu tidak akan ke mana jika tiada usaha promosi yang giat untuk disebarkan kepada masyarakat umum, karya sastera yang tinggi nilainya tidak akan dinikmati oleh masyarakat umum jika produknya tidak diketahui oleh masyarakat...!"
4. Selain itu, isu mata pelajaran sastera yang berkait dengan penutupan kelas sastera di sekolah yang serius juga disentuh oleh beliau; serta pelbagai isu dan isi kandungan penuh bermakna yang disampaikan oleh SN ini perlu mendapat perhatian pihak pemerintah - ya... pabila sudah bergelar SN maka diharap suara SN didengar dan diberikan perhatian oleh pihak berkuasa.

PERTANDINGAN MONODRAMA ADAPTASI CERPEN DBPWT



Pada`22 November 2009 (Ahad) bertempat di Dewan Seminar DBP Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, Kelantan berlangsung buat julung kalinya Pertandingan Monodrama yang diusahakan oleh DBPWT. Pertandingan monodrama ini agak berlainan dan unik kerana mengambil karya cerpen untuk dijadikan skrip lalu dipentaskan. Lima kumpulan menyertai pertandingan yang mensyaratkan hanya 20 minit pementasan monodrama. Kelainan inilah yang menjadikan pertandingan kelolaan DBPWT ini cukup menarik perhatian. Bermula perancangan, idea awal dan pengurusan oleh En. Syaidul Azam Kamarudin (mantan Pengurus Projek Sastera DBPWT) lalu diteruskan oleh Sn. Shahrul Rizal (Pustakawan serta merangkap Pengurus Projek Sastera DBPWT yang terkini) maka pertandingan berlangsung dengan baik dan lancar.
Hakim yang mengadili pertandingan yang menawarkan hadiah sebanyak RM3,000.00 (johan), RM 2,000.00 (tempat kedua), RM1,000.00 (tempat ketiga) dan RM500.00 untuk dua hadiah sagu hati merupakan Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan, En. Rahimidin Zahari (Pegawai Istana Budaya) dan En. Hassan Jali (mantan Pengarah JKKNN Kelantan). Terdapat kumpulan yang memaparkan pementasan yang bertenaga dan penuh semangat lalu mengangkat mesej dalam karya cerpen yang ditetapkan dengan teratur dan difahami oleh khalayak.
Diri ini berkesempatan menyaksikan pertandingan ini kerana undangan khas pihak DBPWT. Asal hasrat pihak DBPWT berminat untuk mengadakan pertandingan monodrama ini setelah diri ini mengusahakan Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007 yang diadakan pada bulan April 2007 dahulu. Pihak DBPWT ada bertanyakan serta merujuk gerak kerja diri ini dalam mengadakan pertandingan sebegini, lalu diri ini tidak bersembunyi lalu memberikan banyak hal berbentuk lisan dan kertas perancangan (seadanya dan semampunya) tentang konsep dan kaedah penganjuran pertandingan sebegini. Membanggakan pihak DBPWT mempunyai kaedah yang berlainan dengan mengangkat karya cerpen untuk dijadikan skrip lalu dipentaskan.
TAHNIAH PIHAK DBPWT ATAS PENGANJURAN PERTANDINGAN MONODRAMA INI YANG PUNYAI KELAINAN SERTA UNIK ATAS DASAR MENGANGKAT KARYA CERPEN UNTUK DIPERTANDINKAN DAN DIPENTASKAN.

Ahad, November 22, 2009

PERJALANAN KE KOTA BAHRU - HUJAN DAN BANJIR

Melalui jalan yang dilintasi air banjir yang agak deras di jalan Kuala Krai menuju Kota Bharu (selepas bandar Kuala Krai) - foto dirakam dari dalam kereta sendiri.


Pemandangan arus air deras Sungai Kelantan dari sebuah hotel ternama di Kota Bharu yang terletak di pinggir Sungai Kelantan.

Selepas berada di Kuala Lumpur pada 20 November 2009 (Jumaat), maka pada 21 November 2009 (Sabtu) bertolaklah ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur melalui Bentong - Kuala Lipis - Gua Musang - Kuala Krai. Pemergian ke Kota Bharu kerana diundang pihak DBP Wilayah Timur (DBPWT) untuk menghadiri dua program iaitu Pertandingan Monodrama Adaptasi Cerpen (22 November 2009 - Ahad) dan Majlis Astaka Minta Bersama Sasterawan Negara Dato' Anwar Ridhwan (23 November 2009 - Isnin).

Hujan sepanjang perjalanan bermula dari Bentong sehingga ke Kota Bharu. Selepas melalui bandar Kuala Krai untuk menuju ke Kota Bharu kesesakan kenderaan di jalan raya tersebut terjadi, rupanya air sudah mula naik di sebatang anak sungai di situ (seperti foto di atas), arus air pantas melintasi jalan namun masih boleh dilalui kenderaan kecil tetapi harus berhati-hati. Ramai masyarakat di situ keluar menyaksikan perkara ini termasuk pihak keselamatan menjaga keadaan dengan lancar.

Sampai di Kota Bharu sudah awal malam, menginap di sebuah hotel yang betul-betul di pinggir Sungai Kelantan. Hotel ini telah dibantu awal tempahannya oleh kakitangan DBPWT. Arus air Sungai Kelantan deras serta sudah meninggi pada tahap berjaga-jaga (seperti foto di atas).