Beberapa rakan baik ada bertanya tentang kesinambungan entri sebelum ini iaitu berjudul 'Perihal Seorang Sahabat dan MPR'. Diri ini sebenarnya masih belum percaya sepenuhnya tentang hal itu selagi belum melihat sendiri atau melihat bukti fotonya. Walaupun masih belum yakin sepenuhnya namun sekadar berkongsi cerita yang diperoleh melalui sahabat baik diri ini maka dipaparkan kisah kecil itu seadanya dengan rasa rendah diri serta sekadar niat berkongsi cerita.
Sahabat baik dari UPM menceritakan kepada diri ini bahawa ketika beliau berkunjung ke pejabat Utusan Malaysia (UM) 2-3 bulan yang lalu atas urusan rasmi pejabatnya, katanya beliau terpandang pada dinding pejabat pemberita UM di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur paparan puisi yang dibingkaikan di situ. Beliau terkejut pabila melihat paparan puisi berjudul 'Kembali Hakmu' terpampang di situ.
Diri ini bertanya berkali-kali kepada beliau benarkah hal yang dilihat itu, beliau penuh yakin tentang paparan itu serta menambah bahawa terpampang juga puisi yang dibingkaikan iaitu puisi Allahyarham Ssaterawan Negara (SN) Usman Awang. Diri ini bertanya kenapa terpampang sebegitu, beliau menjawab bahawa puisi yang terpampang itu berkenaan Utusan Melayu @ Utusan Malaysia. Beliau ada nyatakan jika tidak silap dirinya bahawa puisi SN Usman Awang yang terpampang itu tentang puisi mogok akhbar UM, ya... jika tidak silap iaitu puisi berjudul 'Duri dan Api'.
Sayangnya beliau tidak mengambil foto tentang puisi 'Kembali Hakmu' serta puisi SN Usman Awang yang terpampang itu... Diri ini masih tidak percaya kepada diri sendiri (bukan tidak percaya kepada sahabat itu) bahawa puisi itu tergantung dalam bentuk paparan berbingkai lalu memohon beliau suatu hari nanti jika ada urusan lagi di pejabat UM itu tolonglah dirakam foto untuk diri ini lebih yakin serta dapat menyimpan foto itu sebagai salah satu unsur 'motivasi dan semangat diri' untuk terus berkarya.
Benar diri ini sudah lama tidak menulis puisi secara konsisten dan bersungguh-sungguh dalam tahap tumpuan utama, rasanya selepas pertengahan tahun 2008 sehingga kini kecuali sesekali ada menulis puisi yang rasanya tidak bermutu untuk dihantar kepada pihak akhbar arus perdana. Ada menulis sikit itupun untuk penerbitan khas seperti sempena sesebuah program dan acara.
Malah pernah ada kejutan (yang menjadi penentu kelangsungan diri ini berkarya) pabila puisi diri ini yang ditulis pada Februari 1996 ketika masih menuntut dahulu tersiar dalam majalah Dewan Sastera Januari 1999 tetapi diri ini malu untuk tunjukkan kepada sahabat dan rakan lain kerana dalam diri ini rasa puisi itu tidak layak langsung untuk menghuni 'Puisi Bulan Ini' dalam sebuah majalah utama dan terunggul tentang sastera tanah air. Ketika itu sekadar 'suka-suka paksa' menghantar 4-5 buah puisi ke majalah Dewan Sastera kerana 'disuruh @ dipaksa' oleh pembimbing undangan kelas tutorial bagi subjek sastera / karya kreatif iaitu Tuan Sutung Umar R.S.
Maka dengan cerita yang dibawakan oleh sahabat baik dari UPM ini - diri ini rasa kembali bersemangat untuk berkarya secara konsisten dan bersungguh-sungguh namun ketentuan-Nya jua yang diri ini harapkan agar menyuburkan kembali semangat dan motivasi untuk berkarya. Insya-Allah.
Catatan kecil: Kisah tentang puisi SN Usman Awang berjudul 'Duri dan Api' yang berkaitan tentang mogok UM boleh dibaca melalui buku biografi SN Usman Awang berjudul 'Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh' terbitan DBP tahun 2006.
8 ulasan:
Itu tanda 'diri ini' (Rusdi) punya bakat besar dalam puisi. Kekangan tugas jangan jadikan alasan. Begitu juga tersiar atau tidak tersiar karya bukan juga ukuran. Yang penting bakat yang ada mesti dimanfaatkan. Sama jugalah dengan 'diri ini' (saya), bukan jugalah penulis terkenal. Hanya guru pencen yang suka menulis.
salam en.rusdi. benar, itu boleh dijadikan motivasi dan satu penghargaan buat penulis itu sendiri. selamat kembali serius berkarya. saya menunggu puisi en.rusdi seterusnya di akhbar perdana. ;)
Salam Rusdi. Sang daif bahasa & sastera hanya mampu memerhati...
Salam RAR,
Bakat itu umpama sebutir mutiara di dasar lautan. Jika dibiarkan, akan terus terbenam ditelan pasir....
Tuan Rusdi, Tahniah saya ucapkan. Hendaknya janganlah meletakkan jawatan sebagai penulis...
>foto yang biasa. gambar karot dan periuk kera. Ya saya sangat suka akan gambar tumbuh2an.
Salam, Tuan Rusdi, saya Nissa' Yusof, mantan MPR. Kalau boleh saya mahu tahu siapa 'sahabat MPR' yang dimaksudkan dalam entri sebelum ini. kami turut membantu pihak DBP berkenaan jemputan ke perhimpunan alumni, dan memang kami sedaya upaya cuba menjejak senior-senior MPR.
Kalau boleh, saya perlukan alamat emel dan nombor telefon beliau. Ini emel saya; nissa.yusof@gmail.com
terima kasih dan tahniah. sejujurnya, saya suka membaca puisi-puisi tuan :)
Salam RAR,
Tahniah pertama; puisi tuan ada kekuatan hebat! Kembalilah semula!
Tahniah kedua; selamat bertugas sebagai coach yang memiliki wibawa!
Tn. Hj. Shapiai,
Tuan seorang penulis yang konsisten sejak tahun 1970-an lagi sehingga kini, saya MENAFIKAN SEKERAS-KERASNYA kenyataan bahawa tuan 'bukan jugalah penulis terkenal' itu, dan saya pasti ramai juga sependat dengan penafian saya ini... hehehe...
Terima kasih atas sokongan tuan.
Sdra. Wahyu,
Rasa ingin serius berkarya sentiasa ada cuma kadang kala terhalang oleh tugasan seharian tapi itu bukanlah halangan untuk kembali bermotivasi dan giat kembali menulis...
Terima kasih atas ucapan Sdra. Wahyu yang merupakan salah satu unsur motivasi buat diri ini.
Tuan Samsudin,
Janganlah hanya mampu memerhati sahaja, tuan juga belum cuba maknanya tidak perlu hanya memerhati, marilah sama-sama memeriahkan dunia penulisan tanah air (kreatif dan ilmiah).
Cikgu Nizar,
Memang bakat itu umpama sebutir mutiara di dasar lautan, tapi ada caranya untuk mengutip 'mutiara' itu... itulah yang sedang 'mengganggu' diri - bagaimanakah untuk mengutipnya kembali agar tidak terus tenggelam...
Terima kasih atas kata-kata perangsang itu cikgu.
Tuan Azam,
Rasa-rasanya diri ini hanya layak untuk menggerakkan penulisan buat insan lain dalam bentuk menggerakkan program tapi benar kata tuan bahawa 'jangan letak jawatan' dalam penulisan sendiri. Hal yang tuan maksudkan ini akan dijadikan sumber dorongan diri ini.
Tidak dinafikan foto yang tuan rakam memang ada keunikan yang bermutu - cukup sifatnya.
Terima kasih tuan kerana mengutus kiriman kata-kata melalui blog kerdil ini.
Puan Nissa',
Terima kasih kerana sudi berkunjung dan membaca blog kerdil saya yang seadanya itu. Berkenaan perkara yang ditanyakan oleh puan itu, saya telah berikan nama dan nombor telefon bimbit sahabat saya mantan MPR 1988 itu kepada Pn. Malissa Ab. Malek, Urus Setia Alumni MPR DBP untuk beliau hubungi sahabat saya tersebut bagi tindakan selanjutnya.
Sekali lagi ucapan terima kasih atas kunjungan puan ke blog kerdil saya tersebut serta usaha puan menjejak mantan MPR terutamanya ketika awal MPR diwujudkan.
Cikgu Azhar @ Sifuku,
Kembali Semula! Insya-Allah atas sokongan dan kata-kata semangat yang khusus itu - apatah lagi Sifuku sendiri yang mendorong.
Terima kasih atas jasa baik cikgu kerana sudi mengizinkan dan meminjamkan bahan-bahan cikgu untuk menggerakkan hal berkenaan sebagai 'coach' itu. Kata 'Wibawa' itu belum layak untuk hamba terima selagi belum diuji secara mendalam dan perinci.
Catat Ulasan