Selasa, Mei 24, 2011

'PUMP FUEL' - SATU ILMU SERTA PENGALAMAN BAHARU DAN BERMAKNA...

Letaknya 'PUMP FUEL' di tengah di bahagian bawah tempat duduk penumpang belakang.


Tersadai sebuah kereta dalam kesesakan lalu lintas.


Tempat duduk penumpang belakang terpaksa dibuka...


Sekitar pukul 3.30 petang (23 Mei 2011 - Isnin) melalui Jalan Pudu untuk menyusur masuk Jalan Bukit Bintang yang tengah sesak kenderaan kereta, bas dan teksi; ketika itu sedang menjawab telefon bimbit kenalan dari Kota Tinggi, Johor tiba-tiba kereta berhenti lalu tidak bergerak secara automatik. Kaki menekan pedal minyak dan brek bersilih ganti... kereta tidak bergerak langsung. Panik mula menguasai diri seketika sambil beberapa buah kereta dan bas di belakang membunyikan hon kenderaan masing-masing dengan kuat.

Secara tiba-tiba ada penunggang dan pembonceng motosikal datang membantu menolak kereta ke tepi di tempat hentian bas berhadapan Hotel Swiss Garden (jalan menuju ke Bukit Bintang), dua insan ini lalu menawarkan diri untuk membantu lalu mereka menuju ke sebuah bengkel servis dan membaiki kenderaan katanya di hadapan iaitu di sekitar Jalan Pudu. Menunggu kira-kira 20 minit maka datanglah dua pekerja bengkel kereta lalu memeriksa apakah kerosakan sebenar kenderaan, beliau kata bukannya pasal bateri atau fungsi kunci kereta untuk memulakan kenderaan tapi katanya masalah 'PUMP FUEL'. Terkejut juga dengar kata-kata itu serta inilah kali pertama dengar dan tahu fungsi tentang 'PUMP FUEL', kedudukannya di bahagian tengah bawah tempat duduk penumpang di belakang.

Pekerja bengkel pulang kembali ke kedainya untuk menempah alatan yang dinamakan 'PUMP FUEL' itu, tunggu lagi mereka datang sekitar 3o minit untuk membawa alatan itu. Mereka memasang alatan itu dalam sekitar 20 minit juga... maka siap lalu kenderaan boleh dimulakan dengan baik dan lancar. Harga 'PUMP FUEL' dan upahnya dalam RM380.00. Menurut pekerja bengkel itu bahawa 'PUMP FUEL' itu harus sentiasa diperiksa atau diganti setidak-tidaknya sekitar 10,000 - 15,000 KM perjalanan atau 2 tahun sekali... rupa-rupanya sudah 6 tahun guna kenderaan ini tidak pernah sekalipun memeriksa alatan ini apatah lagi tidak tahu maklumat itu...!

Apa-apapun syukur kepada-Nya yang memudahkan penyelesaian masalah ini dalam keadaan yang lancar dan baik biarpun di tengah-tengah kesesakan jalan utama di Kuala Lumpur itu. Satu ilmu baharu diperoleh tentang kenderaan yang dialami sendiri menambahkan lagi serba sedikit pengetahuan dalam diri.

Khamis, Mei 19, 2011

MAN U TIDAKLAH SEHEBAT FOREST...?

Buku yang mencatat seribu satu maklumat tentang bola sepak dunia.





Berharap agar Barcelona rangkul lagi piala ini... jangan dan jauhilah Man U untuk pegang atau sentuh piala ini di Wembley 28 Mei nanti...!


Buku tentang bola sepak dunia berstatus buku ensiklopedia yang dimiliki ini merupakan buku rujukan segera dan bermanfaat untuk mengetahui perkembangan serba ringkas dan cepat tentang bola sepak peringkat dunia. Buku 256 halaman berjudul 'The World Encyclopedia Of Football' memaparkan perkembangan bola sepak sejak tahun 1800 sehingga terkini (berdasarkan tahun cetakan semasa), buku yang ada dimiliki ini merupakan cetakan tahun 2009.

Buku ini banyak juga paparkan perkembangan bola sepak Eropah apatah lagi perkembangan bola sepak di Great Britian. Pelbagai ruangan yang terpapar termasuklah pasukan yang meraih Liga Perdana English sejak tahun 1889 dan pemenang Piala FA England sejak tahun 1872 sehingga tahun 2009. Dipaparkan juga pelbagai keputusan dalam beberapa kejohanan utama peringkat antarabangsa termasuklah Piala Dunia dan Piala Eropah. Pasukan kelab yang hebat dan mencatat sejarah hebat seperti Liverpool dan Chelsea (termasuklah Man U...) juga dipaparkan.

Menariknya juga pasukan kebanggaan ramai yang berlabel 'ego dan lagak besar' iaitu Man U hanya sedikit setingkat kecil sahaja upayanya dalam menjuarai Champions League berbanding pasukan Nottingham Forest, Man U juara 3 kali tahun 1968, 1999 dan 2008 manakala Forest juara 2 kali tahun 1979 dan 1980. Dalam hal ini rasa-rasanya lebih hebat sedikit Forest pabila dapat merangkul juara dua tahun berturut-turut...?

LIGA SEMI PRO DAHULU... JOHOR HEBAT DAN TERNAMA

Buku rujukan ketika hangatnya Liga Semi Pro suatu masa dahulu.



Sejak 2-3 tahun lalu sehingga kini kancah bola sepak Malaysia khususnya pertandingan liga tempatan dan skuad kebangsaan mula mendapat perhatian kembali. Setelah kejayaan membanggakan skuad kebangsaan hujung tahun 2010 dalam meraih juara Piala ASEAN Suzuki maka setakat ini saingan dalam bola sepak tempatan musim ini juga semakin rancak dalam perebutan Liga Super dan Piala FA.

Maka, diri ini juga membuka dan membaca kembali sebuah buku terbitan tahun 1992 iaitu ketika hangat saingan bola sepak semi pro Malaysia berjudul 'Bolasepak Malaysia Cabaran dan Masa Depan' tulisan KDYTM Tengku Abdullah, Tengku Mahkota Pahang. Buku ini menarik untuk dibaca dan dirujuk kembali dalam situasi dan perkembangan terkini bola sepak Malaysia. Banyak saranan dan pencapaian yang dipaparkan dalam buku ini termasuk banyak juga foto nostalgia ketika saingan Liga Semi Pro tahun 1990 - 1992.

Menariknya banyak juga foto pasukan Johor yang terpapar dalam buku ini (antaranya termasuklah foto Abbas Saad dan Erwin Boban), memang ketika itu Johor menguasai saingan bola sepak tempatan ketika itu. Namun kini Johor semakin tersisih dan tenggelam (kecuali pencapaian agak baik pasukan Johor FC), bilakah pasukan Johor mahu bangkit kembali...?

Sabtu, Mei 07, 2011

DASAWARSA DI SINI: BANYAK LAGI KURANGNYA...

Buletin 'Jendela Selatan' yang pertama terbit tahun 2001.


Sebahagian foto-foto acara / program tahun 2001 (foto ketika itu masih secara manual - belum ada kamera digital).


Sebahagian foto-foto acara / program tahun 2001 (foto ketika itu masih secara manual - belum ada kamera digital).


Sebahagian foto-foto acara / program tahun 2002 (foto ketika itu masih secara manual - belum ada kamera digital).


Tarikh 2 Mei 2011 genaplah secara tepat dasawarsa berada di Johor atau lebih tepat berkhidmat di wilayah daksina ini (negeri Johor dan Melaka). Terlalu banyak pengalaman yang diperoleh sama ada berskala besar, sederhana dan kecil bersulam saat-saat suka, gembira, senyum, manis, hiba, sakit, pahit, hitam dan pelbagai lagi yang positif dan negatif. Semua serta terlalu banyak pengalaman yang diperoleh ini dalam konteks kerja hakiki dan kehidupan seharian sebenarnya limpahan rahmat besar-Nya yang tiada nilainya dalam kesempatan pusingan hidup yang dikurnia-Nya. Bermula sifar pada 2 Mei 2001 sehingga kini grafnya sudah amat berlainan sekali.

Banyak serta panjang lebar senarainya untuk dihuraikan sepanjang menyumbang tenaga dalam konteks kerja hakiki, pelbagai kejayaan berstatus dan berskala besar, sederhana dan kecil dapat dikecapi dan dinikmati namun banyak juga kekecewaan, kegagalan dan keperitan yang dialami namun hanya Dia Yang Maha Esa mengetahuinya. Apakah corak dan rentak 5 atau 10 tahun akan datang...? Hasil pengalaman yang diperoleh selama ini akan menjadi kunci utama untuk bergerak seterusnya di sini atau mungkin di tempat lain bagi tahun-tahun yang mendatang ini.

Hakikatnya... pengalaman yang diperoleh atas nama kerja hakiki dan kehidupan seharian selama ini atas besar rahmat-Nya serta dibantu secara penuh komitmen secara langsung dan tidak langsung oleh rakan-rakan yang terlibat dalam konteks kerja hakiki sama ada dalaman dan luaran; benar yang amat yakin sekali bahawa tanpa sokongan dan bantuan rakan-rakan dalam konteks kerja hakiki maka diri ini tidak akan mencapai tahap yang ada kini.

Sungguh demi sesungguhnya amat-amat berterima kasih tahap besar buat rakan-rakan yang terlalu besar membantu sepanjang dasawarsa ini terlalu ramai sebenarnya untuk disenaraikan tapi cukuplah setakat beberapa nama besar yang sering membantu dalam senang dan susah khususnya konteks kerja hakiki iaitu Cikgu Azhar Salleh, Cikgu Amiruddin Ali, Cikgu A. Rani Embi, Cikgu Mohd Rosli Bakir, serta ramai lagi yang rasa-rasanya ada sekitar 70-80 nama yang boleh disenaraikan yang seiring membantu dalam konteks kerja hakiki. Rakan-rakan dalam organisasi yang sama di sini atau di luar juga berjasa besar membantu dan menjayakan pelbagai perkara kerja hakiki, terima kasih teramat besar buat semuanya.

Hakikatnya juga bahawa dalam banyak yang telah dibuat serta yang berjenama berjaya penuh, separuh berjaya dan gagal (besar, sederhana dan kecil) berkait soal kerja hakiki sebenarnya secara sedar diri sendiri serta atas kesedaran insaf diri bahawa masih banyak yang belum mampu dibuat dan dihasilkan atas beberapa sebab yang sukar dinyatakan dalam tulisan ini. Rasa senang dan gembira serta selesa juga bersulam rasa kecewa dan hiba (besar dan kecil) yang dialami ini merupakan satu lonjakan yang harus menyedarkan diri sendiri juga untuk terus bergerak dan berkhidmat ke arah yang lebih positif selagi mampu dan seadanya atas rahmat-Nya juga.