Memaparkan catatan dengan label AM - HIBURAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AM - HIBURAN. Papar semua catatan

Sabtu, September 17, 2011

KCB - OVJ : PAKEJ AGAK BERKESAN BINTANG DAN PELANGI

Ketika Cinta Bertasbih (filem dan sinetron) dan Dalam Mihrab Cinta (filem)

Sejak 2-3 bulan ini bersama-sama anak-anak gemar menonton filem dan sinetron Indonesia khususnya 'Ketika Cinta Bertasbih' (KCB); semalam berkempatan dua kali menonton DVD filem 'Dalam Mihrab Cinta' (DMC) bersama-sama anak-anak. Kini sejak 2-3 bulan juga mula kenali pelakon bernama Kholidi Asadi Alam, Oki Setiana Dewi, Dude Harlino, Meyda Sefira, Yasmine Wildblood, Andi Arsyil Rahman, Tsania Marwa, Asmarindah, Boy Hamzah, dan ramai lagi. DMC lakonan utama Dude Harlino, Meyda Sefira dan Asmarindah merupakan sebuah cerita umum yang mudah namun penuh mesej tentang kesedaran dalam kehidupan seharian.

Komedi Bersahaja dan Spontan 'Opera Van Java'

Selain minat tonton KCB melalui Saluran Bintang 141 sejak dua bulan lalu satu lagi rancangan komedi yang tidak dilepaskan iaitu 'Opera Van Java' (OVJ). Ya... melalui OVJ yang disaksikan petang tadi ada bukti terus terpapar serta bertambah jelas dan kukuh bahawa AMY SEARCH cukup popular serta disebut-sebut di Indonesia sejak dua dekad sehingga kini. Petang tadi sempat menonton OVJ iaitu sebuah rancangan komedi spontan yang unik dan begitu menghiburkan melalui Saluran Bintang 141; melalui episod OVJ itu membawa judul "Isabella" yang menonjolkan watak bernama Amy (lakonan Sule) disamping selingan nyanyian lagu-lagu kumpulan Search seperti 'Isabella' dan 'Fantasia Bulan Madu'.

Sabtu, Februari 26, 2011

TRIPLE MALAYA: SESUATU YANG DITUNGGU DI JB...

Khabarnya ada konsert yang agak berskala besar dinamakan dan dijenamakan sebagai KONSERT TRIPLE MALAYA pada 5 Mac 2011 ini di Gemencheh, Negeri Sembilan. Konsert ini sepatutnya 'wajib hadir' di Johor Bahru dahulu sebelum ke negeri lain kerana Johor merupakan 'negeri asas aliran rock 1980-an' (selain negeri P. Pinang / Perak). Search dan Wings ada DOUBLE TROUBLE yang sememangnya unggul dan terserlah kehebatannya menjelajah banyak negeri di Malaysia sejak 2-3 tahun lalu; makanya giliran gabungan tiga kumpulan iaitu AMUK - MAY - XPDC pula yang menjejak konsert yang menyerlah...!

Sabtu, Disember 18, 2010

"CER... CERITA..." - HKLBR: GABUNGAN KRITIKAN BERMAKNA...


"Cer... Cerita..."
Selaku peminat filem arahan dan tulisan Mamat Khalid maka sempatlah pergi menonton filem terbaharunya berjudul 'Hantu Kak Limah Balik Rumah' (HKLBR) di pawagam. Filem yang dikategorikan sebagai "komedi seram" yang dikaitkan dengan sambungan secara tidak langsung dengan filem 'Zombi Kampung Pisang' (tahun 2007). Sejak filem 'Lang Buana' (2003), 'Rock' (2005), 'Man Laksa' (2006), 'Zombi Kampung Pisang' (2007), 'Kala Malam Bulan Mengambang' (2008), 'Estet' (2010) dan 'HKLBR' (2010) diri ini pasti menontonnya sama ada di pawagam atau dapatkan VCD/DVD filem Mamat Khalid. Rasa-rasanya setakat ini 4 filem beliau iaitu 'Rock', 'Man Laksa', 'Zombi Kampung Pisang' dan 'Kala Malam Bulan Mengambang' telah ditonton banyak kali sama ada melalui VCD/DVD dan televisyen Astro tetapi tetap ingin menontonnya lagi...; kekerapan tontonan ini bukan kerana aksi lakonnya semata-mata tetapi suka menghayati dialog sinis dalam humornya yang berkesan.
Ringkasnya HKLBR menghiburkan tetapi bukanlah hiburan itu yang utama ingin dinikmati (sesuai dengan usia kini) tetapi mesej kritikan dan sindiran yang terkandung dalam filem ini yang boleh menjana pemikiran secara lebih mendalam. Memang sepanjang jalan cerita dan babak serta "kelakuan" pelakon yang dipaparkan dalam HKLBR ini penuh dengan gelak ketawa dalam kalangan majoriti penonton tetapi banyak dialog yang dituturkan ada menyentuh tentang situasi masyarakat dan perkembangan dalam negara.
Sejak seminggu ini terpapar dalam akhbar perdana harian bahawa HKLBR ini cukup menghiburkan dalam humor yang digarap (tetapi ada sindiran dan kritikan untuk menjana minda) dengan mudah oleh Mamat Khalid. Dapat dibaca melalui akhbar Berita Harian, Harian Metro, Utusan Malaysia dan KOSMO bahawa filem ini cukup mendapat sambutan dalam seminggu ini (khabarnya sehingga semalam sudah RM3 juta dikutip...). Jika ingin dikupas secara panjang dan perinci tentang filem HKLBR ini perlu ada beberapa siri tulisan / catatan tetapi diri ini terfikir bahawa suatu hari nanti ingin juga buat kajian dan penyelidikan secara ilmiah (khususnya tentang pemikiran dan kritikan) tentang filem-filem yang dihasilkan oleh Mamat Khalid sejak tahun 2003 sehingga kini.
Banyak babak dan dialog dalam HKLBR ini yang punyai unsur percampuran unsur humor dan kritikan sehingga dirasakan menontonnya selama hampir 1 jam 50 minit itu sebentar sahaja; namun ada babak "Bomoh Siam" (lakonan Kamarul 'Farouk' Yusof - loghat Kelantan bercampur Siam) dan "Bomoh Indonesia" (lakonan pelakon emas Mamat Khalid iaitu Sofi Jikan) cukup membuatkan ketawa besar dalam kritikan yang bersahaja. Dua babak dan situasi ini (Bomoh Siam dan Indonesia) merupakan antara puluhan babak dan dialog yang cukup mengesankan serta punyai unsur 'spektakular'. Salah satu unsur penting juga merupakan paparan loghat daerah masyarakat negeri Perak cukup besar menguasai dialog para pelakon HKLBR. Seperti biasa juga unsur muzik, nyanyian dan latar muzik 'evergreen' pasti diselit oleh Mamat Khalid. Rasa-rasanya jika ada kesempatan masa mahu lagi menonton di pawagam tetapi jika tayangannya sudah tamat tempoh wajib tayang di pawagam maka pasti menunggu untuk membeli DVD HKLBR yang bakal diterbitkan nanti...
Sesungguhnya filem ini juga dikatakan "kekampungan" berbanding filem-filem moden dan kebaratan terbitan Skop Production yang berteraskan "kelajuan kenderaan - gejala sosial - seksi - ghairah" tetapi filem-filem Mamat Khalid tetap ada pengikut yang ramai kerana mesej dan kritikan serta sindiran yang membuatkan majoriti penonton berfikir.
Banyak dan sarat yang ingin dicatat melalui blog ini tentang HKLBR namun cukuplah setakat ini dalam entri kali ini, mungkin dalam tulisan entri yang lain. Kini sedang menunggu juga hasil karya baharu Mamat Khalid berjudul 'Apokalips' yang bakal ditayangkan pada tahun 2011 nanti...

Selasa, Oktober 26, 2010

KDT JB 2010


Sudah seminggu mencari untuk membeli akhirnya semalam dapat juga impian hati. Selepas mendapat perkhabaran bahawa produk ini sudah mula teredar seminggu yang lalu maka diri ini mencarinya... 8 kedai dikunjungi. Hairannya produk ini tentang tempat acaranya di Johor Bahru tetapi lambat sampai di bandar raya Johor Bahru ini? Jurujual kedai beritahu bahawa produk itu belum sampai...! Hairan juga, kenapa?
Apa-apapun produk ini sudah dimiliki kini, moga-moga produk ini menepati cita rasa yang sebaik mungkin atau setidak-tidaknya mutu suntingan muzik dan visualnya dapat meninggalkan beberapa kesan yang dapat diingati dan dibanggakan.

Jumaat, September 03, 2010

IRON MAIDEN DAN KUMPULAN 'INDIE' ENTAH APA-APA...

Kumpulan 'indie' entah apa-apa tiada langsung aura seumpama kemunculan awal yang hebat kumpulan-kumpulan dalam 'Battle of The Bands'...!

Hangat sejak 2-3 lalu radio memutarkan lagu-lagu hari raya, penguasaan lagu-lagu hari raya cukup terasa kini. Seperti biasa jika dalam kenderaan pasti buka radio ketika memandu; entah mengapa sejak 1-2 bulan belakangan ini tidak pernah dengar cakera padat (CD) kerana alat pemain CD dalam kereta rosak (belum sempat dibaiki).
Semalam dalam kereta ketika perjalanan pulang dari Melaka ke Johor Bahru sekitar pukul 9 - 10 malam seperti biasa dengar radio, ketika siaran 'Arena Rock Sinar FM' yang jadual siarannya pukul 3-4 petang dan 9-10 malam setiap hari Isnin - Jumaat terdengarlah lagu yang diminta oleh seorang pendengar melalui 'facebook' Sinar FM iaitu lagu berjudul "Revolusi" kumpulan Bunkface. Terkejut juga pabila pihak Sinar FM boleh memutarkan lagu kumpulan 'indie' yang entah apa-apa ini dalam kategori rock...? Apakah kumpulan entah apa-apa ini layak masuk dalam kategori siaran 'Arena Rock Sinar FM'? Kumpulan entah apa-apa ini sebenarnya lebih glamor berbanding aliran muziknya yang rasa-rasanya 'tiada jiwa'?
Selang selepas itu ada pendengar pula meminta lagu "The Trooper" yang cukup akrab dengan kumpulan Iron Maiden. Inilah yang amat sesuai dalam kategori 'rock' berbanding dengan aliran kumpulan entah apa-apa itu. Amat-amat jauh tahap, darjat, mutu dan jiwa lagu seumpama "The Trooper" dengan lagu "Revolusi" itu. Apakah aliran 'indie' (konon-kononnya kumpulan entah apa-apa gelarkan...) sebegini layak sebaris dengan legenda rock seperti Metallica, Iron Maiden dan banyak lagi kumpulan legenda yang lain.
Maka teringat dua malam yang lalu pabila sempat bertemu dan berbual-bual dengan ikon aliran 'muzik metal pelbagai kategori' iaitu Cikgu Azhar Salleh. Dalam pertemuan selama hampir 3 jam itu sempat juga sedikit dibualkan secara bersahaja dan santai tentang kecenderungan golongan masyarakat pelbagai peringkat umur tentang aliran muzik yang diminati. Aliran muzik yang diminati juga sekurang-kurangnya dan sekecil-kecilnya dapat mempengaruhi minda pemikiran seseorang serta mungkin kelakuan seseorang juga...?
Apa-apapun minat aliran muzik seseorang sememangnya tidak boleh dihambat dengan paksaan, masing-masing bebas membuat pilihan aliran muzik yang rasa sesuai dengan jiwa dan diri tidak kiralah cenderung terhadap aliran tradisi, jazz, pop, balada, rock (banyak aliran boleh dipilih), 'indie' dan pelbagai lagi cabang muzik yang ada dalam konteks di Malaysia ini.
Namun sedikit kecewa pabila ada cubaan sebagai salah satu contoh kecil untuk menyamakan aliran rock seperti yang dibawakan oleh Iron Maiden dengan aliran kumpulan entah apa-apa yang konon-kononnya berlagak sebagai teras utama muzik 'indie' itu...

Jumaat, Julai 30, 2010

SANTAI: METALLICA TETAP KONSISTEN UNGGUL...



Foto-foto klip video 'The Day That Never Comes'.

Dua malam berturut-turut secara tidak sengaja dan tanpa dirancang tertekan alat kawalan jauh televisyen lalu sempat menonton rangkaian Astro Hitz 705. Rangkaian Astro Hitz ini merupakan rangkaian yang memaparkan klip-klip video lagu-lagu berbahasa Inggeris. Sekitar pukul 9 - 10 malam ada slot rancangan yang dinamakan "Riffs" yang hanya memaparkan klip-klip video muzik berentak pantas dalam pelbagai kategori atau genre 'rock'.
Berkesempatan menonton dan menghayati lagu dan tayangan klip video Metallica berjudul 'The Day That Never Comes'. Klip video lagu ini memaparkan kisah beberapa askar di sebuah gurun 'bertembung' dengan dua watak (seorang berpurdah) yang mengalami kerosakan kereta. Para askar cuba untuk 'menembak' tetapi akhirnya membantu menolak kereta yang rosak itu.
Hakikatnya bukannya kisah askar itu tetapi mesej lagu ini serta hakikatnya rentak muzik yang dibawakan oleh anggota Metallica tetap mantap dan unggul dalam kelas serta mutunya tersendiri walaupun sudah berusia dan lama jejaknya. Jika didengar muzik dan suara Metallica tanpa melihat visual klip video pasti penggemar muzik yang amat arif tentang genre muzik Metallica tidak akan salah menekanya pabila kali pertama mendengarnya...
Dalam slot "Riffs" ini juga dipaparkan beberapa klip video daripada kumpulan yang berentak pantas dalam pelbagai kategori genre rock. Sekadar untuk bersantai dan menikmati muzik genre sebegini dalam merehatkan minda serta menonton klip video tiada salahnya tidak kiralah sesebuah kumpulan itu semangnya kumpulan unggul bertaraf legenda mahupun yang baharu berjinak dalam genre pantas rock sebegini.
Janganlah terlalu 'layan dan taksub' dengan genre muzik yang dibawakan oleh kumpulan seperti Jumpa Pak Cik Hussin, Bunkface, Hujan dan seangkatannya yang kononnya dengan bendera 'alternatif' tapi lebih 'indah khabar glamor daripada muziknya...'

Selasa, Mei 18, 2010

KUTIPAN: BERITA DITUNGGU SECARA RASMI...


Perkhabaran tahap ringan dan pertengahan sudah mula didengar menjelang seminggu Konsert Double Trouble (KDT) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 Mei 2010 yang lalu bahawa KDT juga dirancang akan ke Johor Bahru jika KDT 1 Mei ini berjaya serta mendapat sambutan luar dugaan.

Setelah selesai 2-3 hari KDT 1 Mei itu maka perkhabaran itu semakin menuju ke tahap besar pabila dikhabarkan bahawa KDT akan ke Johor Bahru pada tarikh pilihan iaitu 5 Jun 2010 cuma tempat belum pasti. Minggu lepas khabar itu dikukuhkan lagi oleh Sdra. Sharrul Rizal (peminat tegar Search) yang menyatakan bahawa 5 Jun 2010 di Stadium Larkin, Johor Bahru merupakan KDT di Johor Bahru. Sdra. Sharrul Rizal merupakan penyampai sumber utama tentang hal ini sejak sebelum KDT 1 Mei lagi; hinggakan (secara gurauan) mohon dengan beliau untuk berada di belakang pentas jika KDT di Johor Bahru nanti... Beliau merupakan antara tenaga kuat dalam hal kumpulan Search ini.

Dalam akhbar Harian Metro hari ini mula terpapar secara penuh tentang KDT di Johor Bahru seperti kutipan sebahagian berita yang dikutip dalam web berita Harian Metro (hmetro.com.my) di bawah. Cuma berharap agar tiada urusan besar yang lain pada tarikh ini untuk sama-sama menyaksikan KDT ini.

Double Trouble beralih ke Larkin
Oleh Elrafaei Sapi - 2010/05/18

KEJAYAAN Konsert Double Trouble menggandingkan dua gergasi rock handalan, Search dan Wings tidak terhenti setakat di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur semata-mata.Hakikat ini kerana konsert yang gah itu akan dianjurkan pula di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 5 Jun ini.
Tentunya ini perkhabaran yang sangat menggembirakan peminat dua kumpulan rock itu terutama dari selatan tanah air dan Singapura.
Konsert Double Trouble pada 1 Mei lalu ternyata hebat kerana ia diserbu 20,000 peminat dan memberikan tamparan hebat kepada konsert artis Indonesia, Ungu yang berlangsung pada tarikh yang sama di Bukit Jalil.
Ketika itu, vokalis Amy bersama Awie berpadu suara menghiburkan peminat mereka menerusi pelbagai lagu hit yang pernah dirakam menerusi dua album Double Trouble diterbitkan pada 1992 dan 1998. Pastinya, persembahan itu akan terpahat dalam ingatan peminat setia yang menjulang kegemilangan rock Malaysia sejak zaman 1980-an.
Pengurus Kanan, Bahagian Pengiklanan, Pemasaran & Promosi (AMP), Aida Husin berkata, penganjuran konsert kali kedua di Stadium Larkin itu dibuat berdasarkan sambutan yang cukup menggalakkan daripada penonton di ibu negara.
Atas sambutan hangat itu, kami berkeyakinan meneruskan konsert yang sama kerana masih ramai belum berpeluang menyaksikan Wings dan Search bergabung semula di pentas.
"Harga tiket konsert akan datang masih dikekalkan RM70. Lokasi ini menjadi pilihan strategik penganjur yang mampu memuatkan kapasiti sekitar 10,000 penonton.
"Seperti persembahan di Kuala Lumpur, kami sememangnya berhasrat mengadakan konsert kedua kalau mendapat sambutan positif daripada peminat. Begitu juga, andai konsert kedua ini mencatat kejayaan, ia akan diadakan di kawasan utara dan mungkin di Borneo pula.
"Dalam pada itu, penganjur masih bekerjasama dengan Sinar FM sebagai stesen radio rasmi. Search dan Wings sangat teruja dan mereka akan cuba menonjolkan persembahan terbaik dengan beberapa kelainan. "Ada lagu yang akan ditukar untuk memberi keistimewaan kepada persembahan di Johor. Kami berharap peminat setia Wings dan Search tidak akan melepaskan peluang yang hebat ini," kata Aida.

Sabtu, Mei 15, 2010

KENAPA SINAR FM NOMBOR 1?

Menurut laporan kajian terbaharu yang diisytiharkan secara rasmi melibatkan stesen radio yang didengar masyarakat Malaysia, stesen radio Sinar FM berjaya meraih tempat pertama dengan mengalahkan stesen radio 'glamor' yang bernada muzik terkini dan bernada remaja seperti Hot FM dan Era FM.

Selaku pendengar utama Sinar FM sememangnya agak tekejut dengan laporan ini, tidak sangka juga radio yang berkonsepkan 'retro' dan menyiarkan banyak lagu-lagu sekitar tahun 1970-an sehingga 1990-an dapat nombor 1 dalam jumlah paling ramai pendengar di Malaysia. Selaku pendengar Sinar FM khususnya terutama di pejabat dan di dalam kereta juga sesekali di rumah makanya mungkin menjadi salah seorang penyumbang kepada kenaikan taraf nombor 1 Sinar FM ini.

Secara pendapat dan pandangan peribadi sahaja kenapakah Sinar FM boleh mendapat nombor 1 antaranya seperti berikut:
1. Setelah ketiadaan juruhebah bernama Linda Onn maka Sinar FM makin bertambah bilangan pendengarnya, mendadak naik jumlah peminatnya. Si juruhebah yang dikategorikan 'syok sendiri' dan 'sering bangga dan angkat diri sendiri' setelah meninggalkan Era FM terus bertugas di konti Sinar FM. Si juruhebah ini sempat bertugas di konti Sinar FM rasa-rasanya selama 8-9 bulan. Beliau meninggalkan Sinar FM dengan pendapat seumpama 'menghina' rasanya pabila menyatakan radio Sinar FM bukan aliran muziknya yang kononnya beliau ini berlabel 'muzik urban'. Setelah juruhebah asal dari Johor Bahru meninggalkan Sinar FM sejak 6-7 bulan lalu maka jumlah pendengar Sinar FM bertambah, tahniah!

2. Kekuatan Sinar FM bergantung kepada ketuanya Rustam dan empat juruhebah iaitu Abby Fana, Salleh Yaakob, Raja Azura, dan Khairil Rashid yang bersiaran bermula pukul 6 pagi sehingga 2 petang. Kadang kala ada antara mereka bercuti atau ada urusan lain makanya juruhebah berganti. Segmen pagi, tengah hari dan awal petang yang ramai pendengarnya. Juruhebah seperti Nila Kurnia, Zaidi Zainal, Najman, dan Jamal Jamaludin pada tahap biasa sahaja. Jika Nila Kurnia menggantikan juruhebah lain pasti akan ditutup radio atau ditukar kepada siaran lain kerana Nila Kurnia ini boleh juga dikategorikan sebagai tahap kecil 'syok sendiri' juga serta banyak dan kerap tersasul.

3. Segmen awal pagi melibatkan gandingan Salleh Yakob - Raja Azura - Khiaril Rashid dan secara solo Abby Fana bermula pukul 10 pagi - 2 petang cukup ceria dan menghiburkan dengan pelbagai keletah dan usik gurauan disulam informasi yang boleh dimanfaatkan pelbagai lapis golongan pendengar.

Hakikatnya, setelah bergelar radio nombor 1 di Malaysia makanya cabaran untuk mengekalkan status ini lebih berat dan perit namun pabila sudah memperoleh status ini maka stesen ini sebenarnya dapat perhatian luar biasa setelah wujud 6 tahun lalu.
Mungkin pihak pengurusan radio ini sendiri tidak menjangka dapat status ini atau tidak pernah terlintas untuk dapatkannya... mungkin sebelum ini sekadar sasaran 5 terbaik di Malaysia sahaja tapi inilah luar jangka daripada sentuhan masyarakat di luar sana.

Harapan selaku pendengar Sinar FM agar stesen terus kekalkan kualiti siaran dan bahannya serta 4-5 juruhebah utama yang ada kini. Walau mungkin kajian musim hadapan mendapati Sinar FM jatuh sedikit namun Sinar FM telah berjaya menyentuh nombor 1 mengalahkan stesen radio yang lebih utamakan muzik terkini atau muzik hangat atau muzik urban yang lebih sekadar utamakan unsur glamor semata-mata...

TAHNIAH SINAR FM!

Rabu, April 28, 2010

KUMPULAN 'INDIE' BUKAN TANDINGANNYA...

Semakin hampir Konsert Double Trouble Search - Wings yang dijadualkan berlangsung di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2010 nanti. Semakin rancak juga radio rasmi untuk konsert ini iaitu Radio Sinar FM mengadakan promosi antaranya panggilan pendengar yang boleh menyebut kata laluan dan melagukan lagu Search - Wings.

Radio Sinar juga mengundang ahli kumpulan Search - Wings ke studio untuk temu bual. Petang tadi sekitar pukul 4.30 - 5.30 petang sempat mendengar temu bual yang melibatkan juruhebah bernama Nila Kurnia bersama Amy, Yazid, Eddie dan Black. Temu bual petang tadi agak kurang lancar pabila juruhebah semacam 'tidak berapa pandai' bertanya kepada ahli kumpulan Search - Wings ini.

Juruhebah ada bertanya kepada Amy begini bunyinya, "...antara kumpulan Bunkface, Hujan, Meet Uncle Husin, Azlan The Typewriter... kumpulan manakah yang boleh setanding dengan pencapaian Search kini...?". Amy tidak menyatakan kumuplan manakah yang boleh setanding tetapi Amy bijak menjawab dengan menyatakan bahawa kumpulan muzik rock dahulu begitu teliti dalam menghasilkan sesebuah album, bukannya hanya 2-3 lagu yang diminati, lagu-lagu dalam album harus sesuai dengan pelbagai situasi iaitu untuk semua peringkat termasuk lagu-lagu yang sesuai untuk konsert dimuatkan dalam sesebuah album... Makanya tersirat secara mendalam kata-kata Amy itu.


Hakikatnya setakat ini memang tiada kumpulan yang kononnya perjuangkan muzik 'indie' ini yang boleh setanding dengan Search serta kumpulan Wings dan lain-lain kumpulan rock era 1980-an. Maaf cakap..., kumpulan 'indie' ini hanya pertaruhkan glamor dan lagak semata-mata tanpa melonjak mutu muzik dan persembahan. Kumpulan 'indie' (kononnya cukup popular) lebih terarah kepada muzik dan lirik 'kosong tanpa jiwa' yang dihidangkan tanpa ada didikan pemikiran yang bernas dan jitu khususnya buat penggemar muzik era rock 1980-an; kumpulan sebegini tiada jiwa dalam lirik dan iramanya, mereka berhibur berhabis-habisan sahaja nampaknya...? berhibur kosong tanpa didikan moral yang jelas...?


Sepatutnya pabila temu bual dengan insan yang penuh pengalaman dalam muzik sejak 2-3 dekad perlulah seorang juruhebah yang juga mengetahui banyak tentang muzik era rock 1980-an seperti Rustam (Ketua Radio Sinar). Rustam semenjak menjawat ketua ada juga kadang-kadang menyiarkan lagu-lagu kumpulan Iron Maiden, Metallica (walau hanya diulang 2-3 lagu yang sama), Loudness, Black Sabbath dan kumpulan seangkatannya. Radio Sinar kerap juga menyiarkan lagu-lagu kategori 'retro rock' era 1980-an dan 1990-an yang kadang kalanya jarang diputarkan dalam siaran radio lain.


Dalam temu bual itu juga Amy dan Yazid ada menyebut bahawa tiket konsert pada 1 Mei 2010 telah terjual sebanyak 75%. Amy juga ada menjawab soalan juruhebah perempuan itu bahawa muzik rock seperti era 1980-an akan kembali diminati suatu hari nanti dalam 'putaran perkembangan muzik' di Malaysia ini kerana irama dan susunan muzik rock punyai ketelitian dan keistimewaan yang dijaga kualitinya.

Ahad, April 25, 2010

HAKIKATNYA... YANG MENANG TETAP MAY

Yang menang malam ini selayaknya menang, tahniah... ada pengajaran besar buat yang menang dan yang kalah malam ini. Yang kalah perbaiki diri dan organisasi untuk kembali muhasabah diri untuk lebih bermutu dan berstrategi dalam pertarungan... itulah namanya pertandingan dalam bentuk pengundian. Inilah HAKIKAT (seumpama tajuk album May) dalam pertarungan.
Yang menang malam ini semestinya dan tetap kumpulan May! Diri ini bukanlah mengikuti sangat hal-hal tentang 'Jomheboh' namun disebabkan kali ini diadakan di Teluk Danga, Johor Bahru serta mengetahui bahawa May ada membuat persembahan maka lihatlah juga konsert sempena Jomheboh melalui TV3 bermula sekitar pukul 9.30 malam, menontonnya kerana ingin lihat May buat persembahan.



May juga yang lebih bertenaga berbanding artis lain yang entah apa-apa dan entah tarafnya jenis apa seperti Tomok dan lain-lain, persembahan May mendapat tepukan dan diikuti dengan nyanyian juga oleh para penonton. Persembahan May tetap mantap melalui lagu 'Dari Kaca Mata' tetapi sedikit kecewa pabila entah artis manakah yang bernama Black diajak untuk menyanyi bersama-sama lagu 'Sendiri'... hancur pabila suara Black ini menyanyi bersama-sama Mus. Black bagai langit dan bumi jauh rendah darjatnya berbanding Mus!



Rangkaian lagu 'Sinar - Cintamu Mekar di Hati' diteruskan secara solo oleh Mus dengan jayanya tanpa bersama-sama artis yang entah apa-apa tarafnya seumpama Black itu, berjaya dan mantap. Lalu bertanya sendiri... bilakah akan ada konsert penuh May di Johor Bahru ya...? Dapat juga perkhabaran bahawa jika konsert Search-Wings 'Double Trouble' pada 1 Mei 2010 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur berjaya dan meninggalkan impak besar maka konsert ini akan dirancang untuk dibawa ke Johor Bahru juga... Sama-sama ditunggu...

Selasa, April 13, 2010

'DOUBLE TROUBLE' SEPATUTNYA ADA DI JB...

Kulit album 'Double Trouble' pertama Search dan Wings.

Kulit album klasik - 'Battle Of The Bands 2'.

Mendengar siaran Radio Sinar FM sekitar pukul 9 - 10 malam tadi (12 April 2010) ada sesuatu yang agak istimewa. Sekitar hampir satu jam satu segmen khas iaitu ada artis undangan, bukan artis 'murahan' atau artis 'glamor dan kacak' atau 'artis kumpulan indie glamor' yang diundang tetapi yang diundang ahli kumpulan Search dan Wings - tetamunya Eddie, Kid, dan Black.
Mereka bertiga diundang khas untuk segmen promosi Konsert Double Trouble yang bakal diadakan pada 1 Mei 2010 di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Selama hampir satu jam secara berselang ada temu bual dan hanya lagu Search dan Wings sahaja diputarkan.
Khabarnya tiket konsert ini berharga RM70.00. Eddie sempat menyatakan bahawa pihak Search dan Wings juga ada impian ingin bergabung juga bersama kumpulan rock era 1980-an secara serentak dalam satu konsert seperti Lefthanded, Rusty Blade, dan May seumpama 'Battle of The Bands' dahulu. Tambah beliau lagi bahawa Konsert Double Trouble ini tidaklah ditaja oleh syarikat besar hanya komitmen tinggi tenaga belakang tabir Search dan Wings yang keras berusaha untuk adakan konsert pada 1 Mei nanti.
Kecewa juga pabila hanya Kuala Lumpur dipilih lokasi konsert ini... kenapa bandar raya Johor Bahru tidak tersenarai? Bukankah bandar raya Johor Bahru dan Singapura merupakan antara pemangkin utama dan unggul semarak rock era 1980-an dan awal 1990-an selain Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (negeri asal Sifuku Azhar)? Ini tidak adil buat rakyat Johor dan Singapura...! Perlukah penghuni bandar raya Johor Bahru terus dihidangkan dengan konsert kumpulan 'indie glamor' dan kumpulan dari Indonesia sahaja sepanjang tahun ini...?
Pihak pengurusan Search dan Wings harus 'turun padang' ke sini... bukankah 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'? Bimbang nanti 'undi dan sokongan' kepada Search dan Wings nanti beralih arah... Hehehe...

Isnin, April 12, 2010

RAPTAI PESTA GENDANG DI MELAKA




Catatan: Sebahagian foto yang sempat dirakam ketika raptai acara Pesta Gendang Nusantara ke-13 di Dataran Bandar Raya MBMB, Ayer Keroh.

Bermula hari ini (Isnin, 12 April 2010) sehingga hari Rabu ini (14 April 2010) berada di Melaka atas urusan tiga program seperti berikut:
i. Bicara Eksekutif Budaya - anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM) dengan kerjasama DBPWS pada 13 April 2010 (Selasa) di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
ii. Seminar Puisi Melayu Tradisional - anjuran bersama IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM) dan DBPWS pada 13 - 14 April 2010 (Selasa - Rabu) di IPGKPMM, Durian Daun, Melaka.
iii. Malam Gema Puisi Tradisional - anjuran bersama IPGKPMM dan DBPWS pada 14 April 2010 (Rabu) di IPGKPMM, Durian Daun, Melaka.
Pada hari Khamis (15 April 2010) Melaka cuti umum kerana menyambut ulang tahun ke-7 Melaka Bandar Raya Bersejarah. Pelbagai acara dan sambutan diadakan termasuklah Pesta Gendang Nusantara ke-13 yang diadakan dua malam pada 13 -14 April 2010.
Sempat berkunjung ke Dataran Bandar Raya MBMB, Ayer Keroh sekitar pukul 10.15 - 11.00 malam menyaksikan raptai acara Pesta Gendang Nusantara ke-13. Pentas yang besar dilengkapkan dengan sistem bunyi dan pencahayaan yang bermutu membuatkan para penonton teruja menyaksikan raptai ini. Sempat melihat persembahan raptai kumpulan dari Nanjing, China, Singapura, Dumai, Sumatera Selatan, dan kumpulan kebudayaan negeri Perak. Khabarnya sebanyak 60 kumpulan membuat persembahan untuk dua malam acara ini, acara ini antara jenama utama persembahan besar negeri Melaka setiap tahun sejak 13 tahun yang lalu.

Ahad, Mac 21, 2010

SESAK LUAR BIASA DI PLAZA ANGSANA


























































Petang tadi (21 Mac 2010 - sekitar pukul 4-5 petang) sempat berkunjung ke Plaza Angsana (PA), Johor Bahru. Sering ke PA kerana dekat dengan rumah, hanya 2 kilometer sahaja. PA sebuah kompleks beli-belah yang sememangnya menjadi tumpuan ramai dan amat popular khususnya pada hari Jumaat sehingga Ahad setiap minggu.
Sejak semalam ada promosi tentang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 di PA ini. Khabarnya jerayawara ABPBH ke Johor Bahru ini merupakan kali ketiga selepas di Kedah dan Terengganu. Jerayawara ABPBH diadakan untuk mempromosikan undian artis dalam pelbagai kategori 'popular' dalam akhbar Berita Harian serta menjelang majlis gemilangnya pada 4 April 2010 di Genting Highlands. ABPBH kiranya sudah menjangkau usia 21 tahun khabarnya.
PA pada petang tadi sungguh sesak pada tahap luar biasa, bermula di ruang letak kereta dan motosikal sehingga menyebabkan motosikal terpaksa diletakkan di ruang lain! Kereta memang susah untuk diletakkan. Masuk ke dalam PA bertambah mengejutkan terutama di ruang pentas utama - berlaga bahu dan berlaga tangan serta bermacam-macam berlaganya sesama manusia; manusia penuh sesak dan penuh ghairah untuk menyaksikan persembahan artis jemputan. Patutlah amat penuh sesak luar biasa!
Sempat juga menjenguk dari jauh (dari aras 3 PA - seperti rakaman foto di atas), sesungguhnya manusia yang ada penuh sesak 'cukup ceria dan bahagia' bergembira menyaksikan persembahan artis yang diminati itu. Melihat gelagat dan aksi para penonton sekitar 30 minit ketika itu yang pelbagai ragam jenis baju, jenis seluar, jenis rambut, dan 'pelbagai jenislah' - ada santai, ada gaya 'indie', ada gaya seksi, ada gaya ghairah dan pelbagailah gaya.
Memang situasi ini sungguh klise dalam masyarakat masa kini, beginilah amat kuat, luas dan besar pengaruh masyarakat menyanjungi artis..., ya sememangnya itu hak dan minat masing-masing tetapi yang terfikir sejenak juga ketika riuh di PA pabila artis lelaki yang dikategorikan 'cute' (tetapi belum tentu bermutu) cukup mendapat tepukan gemuruh serta ghairah dalam tempik sorak yang luar biasa para penonton dalam kalangan anak gadis dan wanita - umpamanya di Amerika Syarikat @ Britian @ Jepun pula rasanya...
Jauh dalam hati terlintas...; alangkah hebatnya jika sambutan (penonton tanpa dipaksa dan tanpa disediakan makan minum, datang penuh minat hati) acara apresiasi sastera dan bahasa begitu sesak penontonnya semacam ini...!
(Catatan: Foto di atas dirakam menggunakan telefon bimbit yang berkuasa 2.0 megapixels sahaja.)

Isnin, Mac 08, 2010

BERAKHIRNYA RAJA LAWAK 4 - PENGACARA JUGALAH YANG MENONJOL...

Zizan dan Johan di pentas Plaza Kota Raya, Johor Bahru ketika sesi uji bakat mencari peserta RL4 pada bulan Disember 2009 yang lalu.

Sebahagian penonton yang menyaksikan sesi uji bakat RL4 di Plaza Kota Raya, Johor Bahru pada Disember 2009 yang lalu.
(Catatan: Foto dirakam menggunakan kamera telefon bimbit yang berkapisiti rendah.)

Selesai akhirnya rancangan realiti Raja Lawak (RL) musim ke-4 semalam. Kumpulan Kecik dinobatkan oleh para pengundi Sistem Mesej Singkat (SMS) selaku juara pada musim ini. Inilah kaedah undian SMS dalam rancangan realiti TV yang harus diterima (sama ada suka atau tidak suka) untuk menobatkan seseorang itu juara. Soal mutu atau tidak bermutu merupakan soal kedua, yang penting penganjur rancangan realiti TV sebegini mengutamakan unsur komersil terlebih dahulu.
Persaingan antara tiga peserta peringkat akhir RL4 ini biasa-biasa sahaja namun komedi yang ditonjolkan oleh peserta bernama Alex cukup mendapat perhatian atas kandungan dan mutu lawak jenakanya namun undiannya tetap rendah kerana kurangnya 'penyokong kipas' (mengambil kata-kata Zizan dan Johan selaku pengacara RL iaitu asal perkataan fan club). Memang nasib tidak menyebelahi Alex untuk meraih juara kerana Alex bertubuh gempal tidak seperti 'lawanya' anggota kumpulan Kecik. Idlan seorang peserta pilihan untuk juara kurang menunjukkan mutu persembahan yang baik, sekadar isu dan kandungan yang sama namun dalam tema komedi muzikal yang ditonjolkan oleh Idlan semalam cukup menghangatkan suasana Auditorium MBSA Shah Alam.
Tertarik dengan tulisan Sdra. Nazmi Yaakub berjudul 'Kalau mahu tahu apa itu komedi tragedi, tontonlah Raja Lawak' dalam blognya kawat.blogspot.com tentang RL ini. Mengutip sebahagian kata-katanya:
Rancangan Raja Lawak adalah rancangan yang lawak. Serius. Rancangan itu sendiri adalah lawak. Lawak kepada komedi itu sendiri. Lawak yang mensplastikkan komedi. Lawak yang menerajang dan menempelak seluruh apa yang dunia ketahui tentang komedi. Tetapi pada masa sama, Raja Lawak ialah komedi tragedi yang paling hebat. Sepanjang persembahannya ialah lawak tetapi ia diakhiri dengan tragedi paling menyayatkan hati. Tragedi kepada komedi.

Namun begitu RL sejak musim ke-2 hingga ke-4 ini yang menariknya serta ditunggu-tunggu keletah dan aksi dua pengacaranya iaitu Zizan dan Johan dalam menghidupkan rancangan RL. Kata-kata dan aksinya (tidak dinafikan bahawa kadang-kadang ada juga terselit sedikit unsur 'lawak bodoh' dan 'terlampau') berjaya menarik gelak ketawa penonton di studio dan di rumah, jika dibuat kajian penonton lebih tergelak serta besar ketawanya pabila Zizan dan Johan berkata-kata dan beraksi berbanding kata-kata dan aksi sebahagian peserta yang kurang berilmu dan 'membodohkan' diri mereka sendiri.
RL perlu diteruskan lagi untuk mencari bakat lawak jenaka yang benar-benar mesra masyarakat tapi setelah bergelar selebriti lawak janganlah pula lupa diri dan sombong serta angkuh terhadap masyarakat; lihat sahaja Juara RL2 yang telah 'besar kepala', 'menunjuk-nunjuk' dan 'separuh lupa diri' kini, moga-moga juara itu cepat mengubah dirinya...
Mengikuti RL sejak musim pertama hingga keempat ini, sememangnya sekadar hiburan semata-mata namun dalam keadaan sebegitu dapat berfikir juga akan 'lawak berisi, lawak bermesej, lawak bermutu dan lawak bodoh' yang dipaparkan dan ditonjolkan dalam konteks kandungan lawak atau komedi di Malaysia kini.

Ahad, Februari 28, 2010

SANTAI: MENTARI MERAH DI UFUK BARAT

Baju T 'Search - Langit dan Bumi' yang dihadiahkan oleh Sdra. Sharrul Rizal.

Treler membawa kelengkapan konsert Search di Johor Bahru pada 9 Mei 2009.

Secara kebetulan serta tidak disengajakan menonton rancangan Melodi TV3 (Ahad - 28 Februari 2010 - 1.15 tengah hari), ada paparan cerita dan visual video tentang jelajah konsert Search di Britian. Memang diri ini mengikuti serba sedikit tentang perkembangan konsert Search ini melalui blog seorang pengikut tegar Search iaitu blog Sdra. Sharrul Rizal (sharrulrizal.blogspot.com - Dari Khutub Khanah) serta melalui beberapa pautan facebook tentang Search dan media cetak (sebelum Search ke Britian). Dalam blog Sdra. Sharrul Rizal dipaparkan beberapa foto konsert Search itu.
Dalam rancangan Melodi TV3 itu dipaparkan serba sedikit visual aksi konsert dan temu bual bersama Search serta beberapa peminat. Konsert yang dilangsungkan di tiga tempat iaitu di Dublin (16 Februari 2010), di London (18 Februari 2010) dan di Liverpool (21 Februari 2010). Walau hanya seketika dipaparkan aksi konsert Search di Britian ini ketika rancangan Melodi TV3 namun rasa teruja juga melihatnya, ya juga paparan foto dalam blog Sdra. Sharrul Rizal.
Terima kasih TV3 dan Sdra. Sahrrul Rizal kerana paparan cerita dan foto tentang jelajah konsert 'Mentari Merah di Ufuk Barat' tersebut.

Ahad, Februari 07, 2010

RAJA LAWAK 4 - ANJXXG TERKELUAR JUGA...


Sudah musim ke-4 menyaksikan rancangan realiti TV iaitu Raja Lawak yang tersiar dalam rangkaian Astro Prima 105. Sudah 3 individu @ kumpulan telah dinobatkan johan sebelum ini, johan sebelum ini cukup berbakat dan punyai nilai dan idea lawak yang baik dan berkesan (bukannya terlalu banyak bergantung kepada lawak bodoh semata-mata).

Menonton Raja Lawak (sebuah rancangan pertandingan realiti TV yang berunsurkan hiburan) ini sekurang-kurangnya dapat menambahkan serba sedikit ilmu dan pengamatan terhadap suasana dan tingkah laku masyarakat Malaysia masa kini, berbanding menonton realiti TV seperti Akademi Fantasia (AF) yang penuh dalam kelalaian serta merugikan masa juga penuh dengan khayalan glamor tanpa ada unsur ilmu dan pengajaran yang mebina pemikiran yang boleh dijadikan panduan mulia (maaf ya buat peminat tegar AF...).

Raja Lawak Musim ke-4 (sehingga minggu 6...)

Pada minggu ke-3 (jika tidak silap) seorang jurinya iaitu Din Beramboi secara terus terang menggelarkan kumpulan AN2 sebagai kumpulan ANJXXG..!, sudah selayaknya kumpulan AN2 itu diberi gelar ANJXXG kerana idea dan paparan lawaknya tahap 'membodohkan' diri dua orang ahli kumpulan ini namun kumpulan ini bertahan kerana RUPA PARAS MANJA DAN AGAK KACAK ATAU ISTILAH YANG POPULAR KINI 'CUTE'... maka undian untuk kumpulan ini agak tinggi kerana harapkan muka 'cute' semata-mata (amat benar serta sokong penuh kata-kata Afdlin Shauki - Bob Lokman - Din Beramboi setiap minggu). Minggu demi minggu kumpulan ANJXXG @ AN2 ini kekal namun semakin tinggi 'lawak bodohnya' terserlah. Juri yang terdiri daripada Bob Lokman, Din Beramboi dan Afdlin Shauki terus kritik dalam nada sinikal.

Malam ini (minggu 6) akhirnya kumpulan ANJXXG @ AN2 terkeluar juga setelah bertahan dengan bangganya dengan 'lawak tidak menjadi dan lawak bodohnya'. Tidak dapat dinafikan terdapat juga peserta lain dalam musim ini yang punyai tahap 'lawak bodoh' namun mereka cepat sedar diri serta cepat mengubah diri dalam penampilan idea dan bahan lawaknya berbanding kumpulan ANJXXG @ AN2 ini. Tambah parah juga Din Beramboi malam ini juga mengambil contoh dialog dalam lawak kumpulan ANJXXG @ AN2 ini iaitu "pergi jahanamlah...", maka selayaknya pada tahap sebenarnya kumpulan ANJXXG @ AN2 ini terkeluar...

Sesungguhnya menonton Raja Lawak sebegini dapat memberikan serba sedikit gambaran tentang tahap pemikiran terhadap manusia yang menjadi pelawak dan kandungan lawak pada zaman kini; sekurang-kurangnya ada nilai pemikiran dan pengajaran yang boleh dikutip dalam idea serta bahan lawak / bahan sinis yang disampaikan oleh pelawak individu mahupun berkumpulan.

Berbanding rancangan realiti TV AF yang saban tahun melalaikan itu (sudah tahun ke-8 rasanya melalaikan manusia remaja Melayu khususnya...), apakah nilai pemikiran positif yang diperoleh? Namun apakan daya cita rasa, minat dan pemikiran masing-masing berbeza, kita dalam negara demokrasi amat bebas rasanya dalam soal hiburan seumpama AF sebegini...!?

Ahad, Januari 10, 2010

SANTAI: SISI LAIN JUARA LAGU KE-24...

Kulit album 'Battle of The Band' tetap diingati ketika kemunculan awal era rock 'otai' pada tahun sekitar 1980-an. Kulit album tercatat 'Hapuskan Cetak Rompak'.

LIRIK DAN TAJUK LAGU
- Ada lirik lagu dalam Juara Lagu (JL) ke-24 ini yang mudah, frasa seperti ‘aku cinta kamu, kamu cinta aku…’. Mungkin mutu lirik tidak diutamakan tetapi nada muzik dan glamor seseorang artis atau kumpulan muzik itu yang diutamakan, ya… kini semuanya ‘wajib’ komersil berbanding mutu.
- Tajuk lagu juga bercampur-campur, ada tajuk seperti ‘Becinta’, ‘Aku Rindu Sayang Kamu’, ‘Pakai Buang’, ‘Aku Skandal’, ‘Situasi’, 'Pergi', 'Cinta Adam dan Hawa'. Adakah kata ‘Becinta’ dalam Kamus Dewan?, ya… difahamkan bahawa ‘Becinta’ ini menggabungkan perkataan ‘benci’ dan ‘cinta’?
- Lirik lagu 'Cinta Adam dan Hawa' tulisan Arwah Loloq tetap menarik dan pemilihan kata yang baik dalam rangkap yang bermutu.

EKSPLOITASI PELAJAR SEKOLAH
- Satu perkembangan yang ‘hebat’ pabila dalam lagu yang disampaikan oleh Aizat iaitu ‘Kau Aku’ menggunakan pelajar sekolah rendah dengan memakai pakaian seragam sekolah yang lengkap menari dan ikut serta buat persembahan.
- Inilah unsur eksploitasi yang nyata ditonton oleh jutaan rakyat Malaysia; pelajar sekolah rendah ini mungkin mendapat izin Kementerian Pelajaran Malaysia? ya… sesuatu pembaharuan dalam membina masyarakat Malaysia yang ‘hebat’ suatu masa nanti!

PERSEMBAHAN SEARCH
- Search membuat persembahan dalam selingan persembahan kumpulan era 1960-an hingga kini. Search mewakili kumpulan muzik era 1980-an, ya… era rock ‘otai’.
- Lagu ‘Pawana’ dan ‘Fantasia Bulan Madu’ - gaya Search memakai kostum (baju dan seluar ketat) dan rambut palsu yang menggambarkan era rock kapak @ rock ‘otai’ 1980-an.
- Gaya dan suara Amy Search usah diperkatakan lagi… kumpulan Search sendiri jangan ditandingi lagi, ini legenda besar muzik Malaysia yang tidak akan terpadam.

Rabu, Januari 06, 2010

SANTAI: METALLICA DAN 'TINNITUS'


Suatu ketika dahulu pernah miliki 2 album ini dalam bentuk pita kaset...
Petikan akhbar Utusan Malaysia - 6 Januari 2010 (Ruangan Luar Negara)
Pemain dram Metallica hidap penyakit 'Tinnitus'
NEW YORK 5 Jan. - Bunyi riuh di dalam sebuah dewan konsert sangat bingit dan gamat. Penonton-penonton melaungkan 'Metallica... Metallica'. Lars Ulrich memegang kayu pemukul dram tinggi di atas kepalanya. Hanya dalam masa beberapa saat, suasana yang awalnya gamat berubah sepi. Ulrich memulakan permainan dram bertenaga dan 'ditelan' bunyi yang sangat menggegarkan iaitu raungan gitar, dentuman gitar bass dan paluan rancak dramnya.
"Saya telah bermain muzik rock yang bingit selama kira-kira 35 tahun. Saya bermain muzik tanpa sebarang perlindungan,'' kata Ulrich, 46, pemain dram kumpulan muzik heavy metal Metallica.
Pada awal kerjayanya, tanpa sebarang perlindungan yang dipakai di telinga, bunyi bising daripada muzik terus terngiang-ngiang di telinganya biarpun Ulrich berada di luar pentas.
"Ia sentiasa bermain di telinga saya. Ia seperti tidak mahu pergi dan tidak pernah berhenti,'' katanya kepada CNN.
Bagaimanapun ia bukanlah bunyian yang didengar daripada bunyi sebenar. Ia adalah satu keadaan yang dipanggil 'tinnitus', satu persepsi yang menyebabkan seseorang mendengar bunyi walaupun ia sebenarnya tiada.
"Ia adalah satu rasa khayalan bunyi seperti ilusi kesakitan apabila tangan dipotong dan anda rasa kesakitan pada tangan yang telah hilang.
"Ia akan berlaku apabila anda menghidap 'tinnitus','' kata Richard Salvi, seorang pakar 'tinnitus' terkemuka dari Pusat Pendengaran dan Kesihatan di Universiti Buffalo, New York.
'Tinnitus' boleh berlaku berterusan atau sekejap-sekejap. Ia sering disifatkan sebagai bunyian nyaring di telinga, namun kadang kala boleh berbunyi seperti dengung, siulan atau bunyi klik.
Menurut Persatuan Tinnitus Amerika, lebih 50 juta orang di Amerika Syarikat (AS), mengalami beberapa darjah 'tinnitus'. Bagi 12 juta pesakit yang menghidapnya, hidung mereka hilang fungsi menghidu.
Ulrich berkata, masalah pendengarannya menjadi lebih teruk semasa siri jelajah konsert 1988 dan anehnya, ia berlaku semasa dia tidur.
''Saya biasanya akan tertidur dengan televisyen masih menyala. Saya akan terjaga di tengah malam untuk menutupnya. Tetapi ia sebenarnya tidak bernyala pun.
''Bila saya sedar saya kerap mengalaminya iaitu menutup televisyen yang tidak bernyala, saya sedar yang saya mungkin ada isu kesihatan,'' katanya. - Agensi
___________________________________________________________

Catatan:
- Misteri juga penyakit ini, boleh membawa dalam tidur rupanya...
- Mungkin bukan hanya mendengar muzik yang kuat dan bingit sahaja boleh menyebabkan penyakit ini timbul tetapi jika kerap juga mendengar deklamasi puisi yang kuat boleh membuatkan seseorang terkena sindrom ini...? Ya.. contohnya jika sering mendengar deklamasi puisi yang dimulakan dengan 'ngauman harimau'!
- Penyakit 'Tinnitus' ini rasanya juga boleh berlaku kepada pendengar muzik yang memasang kuat suara (volume) CD atau kaset secara kerap...? Namun pendengar dan peminat utama 'muzik dan irama keras' pasti bijaksana mengawalnya... tidaklah sampai 'hidung hilang fungsi menghidu'.

Selasa, Disember 01, 2009

SANTAI: KORUS DAN LIRIK LAGU INDONESIA

Foto hiasan: Pementasan Teater 'ROH SEMBERANI' 2008 - Sebuah pementasan berteraskan budaya Jawa bercampur budaya Melayu dijalin kekuatan pengaruh persembahan Kuda Kepang.


Entah mengapa tiba-tiba lirik lagu sebuah kumpulan Indonesia iaitu Wali Band menarik perhatian... tertarik perhatian bukan kerana mutu lirik dan melodinya. Lagu berjudul 'Cari Jodoh' yang disampaikan oleh kumpulan ini mula terdengar oleh telinga ini melalui stesen radio Singapura Ria 89.7 juga terdengar dalam radio tempatan serta terpandang video klip lagu ini melalui stesen televisyen Indonesia (yang boleh ditonton di beberapa kawasan dalam Johor Bahru) sejak 2-3 bulan lalu.

Terkejut dan rasa tergelak juga pabila anak mudah ingat korus lagunya, lirik lagu ini terutama bahagian korusnya yang memang mudah dihafal dalam loghat atau lenggok bahasa Indonesia oleh pelajar sekolah rendah...! Pabila ditanya, kata anak bahawa kawan-kawannya di sekolah sering nyanyikan korus lagu ini. Besar sungguh pengaruh lagu-lagu Indonesia dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah kini, itu belum ambil kira dalam kalangan masyarakat umum lepasan sekolah...

Terkini, paparan televisyen tempatan juga siarkan iklan nada dering telefon termuat lagu 'Cari Jodoh' ini - maksudnya lagu ini mudah popular dalam kalangan masyarakat Malaysia setelah 2-3 bulan bersiaran dalam radio Malaysia! Lirik lagunya dikutip terus tanpa suntingan melalui laman web sumber dari Indonesia seperti di bawah:



Cari Jodoh - Wali Band

Apa salahku apa salah ibuku
Hidupku dirundung pilu
Tak ada yang mau dan menginginkan aku
‘tuk jadi pengobat pilu
‘tuk jadi penawar rindu
‘tuk jadi kekasih hatiku

Timur ke barat selatan ke utara
Tak juga aku berjumpa
Dari musim duren hingga musim rambutan
Tak kunjung aku dapatkan
Tak jua aku temukan
Oh Tuhan inikah cobaan

(Korus)
Ibu-ibu bapak-bapak
Siapa yang punya anak
Bilang aku aku yang tengah malu
Sama teman-temanku
Karna cuma diriku yang tak laku-laku

Pengumuman-pengumuman
Siapa yang mau bantu
Tolong aku kasihani aku
Tolong carikan diriku kekasih hatiku
Siapa yang mau

Ibu-ibu… bapak punya anak
Bilang-bilang aku aku yang tengah malu
Sama teman-temanku
Karna cuma diriku yang tak laku-laku.. wooo..oo.oo

wooo..oo.oo.. Ku tak laku-laku…

wooo..oo.oo.. Ku tak laku-laku…
wooo..oo.oo.. Ku tak laku-lakuuu…

Ahad, September 27, 2009

SILALAH TONTON KAISOH-TAISHOW @ MASQUERADE



1. Setiap Ahad pukul 7.30 malam (1-2 bulan sebelumnya pukul 7.00 malam) rangkaian TV3; pasti tidak terlepas menonton sebuah rancangan yang penuh seni kreativiti persembahan iaitu 'Kaisoh-Taishow' @ Masquerade. Rasanya perkataan 'Kaisoh-Taishow' ini dalam bahasa Jepun. Maksud ringkas Masquerade dalam Kamus Inggeris - Melayu Dewan:
i. majlis tari-menari bertopeng
ii. sandiwara
Manakala maksud Masquerader - Penyamar.


2. Rancangan selama 30 minit yang penuh kreativiti ini cukup mendedahkan nilai-nilai seni dan pemikiran kreatif sesebuah kumpulan atau individu yang membuat pelbagai bentuk persembahan dengan paparan selama seminit atau dua minit pelbagai sudut kreatif contohnya acara sukan, ais krim mencair, kombinasi alam, televisyen, jentera peralatan, jemuran kain, dan pelbagai jenis kreativiti yang tidak dapat dijangkau oleh fikiran. Penilaian diberikan dengan markah penuh 20, jika melepasi markah 15 merupakan lulus.


3. Buat peminat seni persembahan dan kreatif digalakkan untuk menonton rancangan hiburan yang penuh nilai kreativiti dan inovasi. Boleh rasanya untuk ditiru atau diambil sebahagian daripada aksi persembahan dalam rancangan ini kerana kreativiti itu bersifat subjektif. Nilai seni dan kreativiti sebegini harus dicontohi kerana melibatkan perkembangan fikiran yang positif berbanding asyik menonton puluhan rancangan hiburan yang kadang-kadangnya membodohkan fikiran dan minda penonton... ya sekadar hiburan kosong tanpa nilai kesedaran yang dapat membina minda untuk lebih kreatif dan maju.


4. Maka, silalah jika anda semua ada kesempatan sedikit masa untuk menonton rancangan ini kerana berguna buat cabaran minda yang memerlukan kreativiti dalam pelbagai aspek kehidupan. Selamat menonton.