Memaparkan catatan dengan label SASTERA - DBPWS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SASTERA - DBPWS. Papar semua catatan

Jumaat, Januari 27, 2012

PENYERTAAN SAYEMBARA MENULIS CERPEN DAN PUISI NEGERI JOHOR 2012

Buku antologi karya puisi Sayembara Puisi Johor 2004.



SAYEMBARA MENULIS CERPEN DAN PUISI NEGERI JOHOR 2012
Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS)

1. PENDAHULUAN
DBP Wilayah Selatan mengambil inisiatif menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen dan Puisi Negeri Johor 2012. Sayembara seumpama ini kali terakhir diadakan pada tahun 2004 dan 2005 oleh DBP Wilayah Selatan khususnya buat warga negeri Johor. Sayembara ini diharap dapat menyemarakkan kegiatan apresiasi kesusasteraan, khususnya melibatkan penulisan karya kreatif dalam kalangan masyarakat di negeri Johor serta anak negeri Johor di seluruh negara selain menjadi wadah mengembangkan bakat khasnya dalam bidang penulisan cerpen dan puisi.

2. OBJEKTIF
2.1 Memupuk dan menyemai perasaan kecintaan terhadap bidang penulisan kreatif dan berusaha ke arah pencapaian yang lebih cemerlang dalam bidang ini.
2.2 Menghimpunkan karya-karya cerpen dan puisi baharu dan bermutu dalam pelbagai tema antaranya termasuklah kemanusiaan, moral, seni budaya, kepimpinan atau sejarah, kebudayaan, pembangunan, kecemerlangan, keistimewaan tempat dan sebagainya secara umum.
2.3 Mengumpul karya hasil pemenang yang bermutu bagi tujuan penerbitan.
2.4 Menghasilkan antologi cerpen dan puisi yang berkualiti dan mencapai kualiti isi kandungan yang sewajarnya berdasarkan tema yang diketengahkan.
2.5 Menjadi wadah pilihan yang penting bagi menyuburkan aktiviti seni kesusasteraan di negeri Johor.
2.6 Menghargai dan menghayati sumbangan penulisan karya sastera dalam membina tamadun bangsa.

Syarat dan borang penyertaan boleh diperoleh di Pejabat DBP Wilayah Selatan, Larkin Perdana, Johor Bahru, Johor. Tarikh tutup menghantar borang penyertaan pada 31 Mac 2012.

Untuk maklumat lanjut, silalah hubungi pihak DBPWS:
i. En. Rusdi Abd Rahman
(e-mel: rar@dbp.gov.my / no. tel.: 07-2358802 / no. faks.: 07-2358686)
ii. En. Raja Shaiful Azizul Azuan (e-mel: azuan@dbp.gov.my / no. tel.: 07-2341813)

Sekian, terima kasih.

Rabu, Julai 27, 2011

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI PATRIOTISME SEKOLAH RENDAH DAERAH JOHOR BAHRU 2011

Para pemenang menerima hadiah dan replika cek.


Sebahagian peserta peringkat akhir sayembara.


Johan sayembara.


Seorang peserta di pentas akhir sayembara.


Sayembara Deklamasi Puisi Patriotisme Pelajar Sekolah Rendah dan Pertandingan Koir Lagu Patriotik Sekolah Menengah Daerah Johor Bahru anjuran bersama PSI MBJB, DBPWS dan PPD Johor Bahru diadakan selama tiga hari (13 - 15 Julai 2011) di Plaza Angsana, Johor Bahru. 123 pelajar sekolah rendah daerah Johor Bahru menyertai kategori sayembara deklamasi puisi. Program yang merupakan gandingan bersama DBPWS, PSI MBJB dan PPD Johor Bahru ini diadakan dalam konteks menyambut bulan patriotisme. Program sebegini telah berlangsung selama tujuh tahun berturut-turut sejak tahun 2005.

Pada tahun 2011 ini ada sedikit pertukaran dibuat pabila sebelum ini hanya sayembara deklamasi puisi hanya untuk pelajar sekolah menengah manakala pertandingan koir khusus pelajar sekolah rendah telah ditukar iaitu sayembara untuk pelajar sekolah rendah dan sebaliknya untuk pertandingan koir. Tahun ini juga program dilaksanakan awal (biasanya dalam bulan Ogos) kerana sepanjang bulan Ogos merupakan bulan Ramadan. Terima kasih buat semua pihak sama ada secara langsung dan tidak langsung membantu penuh komited dalam menjayakan program ini di sebuah tempat tumpuan utama warga bandar raya Johor Bahru.

Jumaat, Jun 24, 2011

BENGKEL PENGHAYATAN WARISAN PUISI MELAYU PELAJAR MELAKA

Pintu masuk ke Perkampungan Seni Muara Sungai Duyung, Melaka.


Sebahagian para peserta bengkel.


YB Datuk Othman Mohamad, Speaker DUN Melaka merasmikan bengkel.


Program Bengkel Penghayatan Warisan Puisi Melayu (Nazam, Gurindam, Seloka dan Syair) Pelajar Sekolah Menengah Negeri Melaka anjuran bersama Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), DBPWS dan Lembaga Bahasa Melayu Melaka dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Melaka diadakan pada 17 - 19 Jun 2011 di Perkampungan Seni Muara Sungai Duyung, Permatang Pasir, Melaka.

MALAM PUISI SUNGAI MELAKA 2011

Pinggiran Sungai Melaka di Taman Rempah, Melaka.



Kumpulan Desta 5 menyampaikan lagu-lagu puisi.

Persembahan lagu Dondang Sayang.


Malam Puisi Sungai Melaka diadakan sempena Pesta Sungai Melaka 2011 pada 11 Jun 2011 di Pentas Taman Rempah, Persiaran Sungai Melaka, Melaka. Program dikendalikan oleh Persatuan Penulis Melaka (PENAMA) dan Perbadanan Sungai Melaka dengan mempelawa pihak DBPWS terlibat secara anjuran bersama. Program yang sama juga pernah diadakan pada tahun lepas bersempena Pesta Sungai Melaka 2011 melibatkan PENAMA dan DBPWS.

Ahad, April 17, 2011

LIPUTAN DAN FOTO PPMPSMNJ 2011 - PAPARAN AKHBAR HARIAN




Hari ini dan semalam (17 dan 16 April 2011) tersiar dalam akhbar Sinar Harian dan Utusan Malaysia berita Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor (PPMPSMNJ) 2011 yang diadakan pada 12 - 14 April 2011. Foto warna yang dipaparkan merupakan rakaman di luar dan di dalam Bilik Kuliah/Mesyuarat, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, Johor Bahru. Terima kasih buat wartawan akhbar Sinar Harian dan Utusan Malaysia.

Jumaat, April 15, 2011

PPMPSMNJ - "DASAWARSA MEMBINA PENULIS REMAJA"

Cikgu Mohd Kasim Mahmud penuh yakin menyampaikan ilmu penulisan cerpen.

Gaya menarik Cikgu Azhar Salleh dengan penyampaian penuh jitu dan hangat...!
Gaya Cikgu Azhar Salleh seumpama seorang ahli politik terkenal dan berwibawa...!


Para pelajar riang mendengar celoteh Cikgu Azhar Salleh.


Latar pentas perkampungan.

Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor (PPMPSMNJ) 2011 bermula pada 12 - 14 April 2011 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, Johor Bahru. Pemilihan tempat ini atas sebab biayanya yang bersesuaian dengan peruntukan kecil yang ada, namun walaupun biaya kecil diterima program ini wajib diteruskan! Usia program ini juga telah masuk tahun ke-10 makanya dibina slogan khas sempena perkampungan ini iaitu "DASAWARSA MEMBINA PENULIS REMAJA". Program anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) melibatkan seramai 50 pelajar dan 12 guru pengiring dari seluruh sekolah menengah dalam negeri Johor yang terangkum 10 daerah kesemuanya.


Hari Pertama - 12 April 2011

Program bermula pukul 2 petang - 3.30 petang dengan pendaftaran peserta dan guru pengiring serta sesi taklimat dan penerangan. Program diteruskan pada pukul 4.30 - 6.30 petang dengan sesi 'Penulisan Cerpen' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud, penulis prolifik bidang cerpen, puisi dan novel peringkat negeri dan kebangsaan berasal dari SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor. Tugasan untuk menghasilkan sebuah atau lebih cerpen untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar. Perkampungan kali ini turut dibantu dengan penuh komited oleh guru pengiring iaitu Hamzah Rahman Soriat, Hamzah Hamdan, Mohd Taufek Mahmud, Zaid Akhtar, Rohaidah Yon, Khuzaimah Siraj, Siti Hadijah Sunok dan beberapa guru baharu.

Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi 'Penulisan Puisi' yang disampaikan oleh Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP merangkap penulis prolifik karya puisi dan cerpen negeri Johor dan kebangsaan. Beliau seperti biasa membuatkan 'suasana jadi hangat dengan celoteh berilmunya (bukan celoteh biasa)'. Beliau meminta para pelajar menghasilkan 3 puisi yang wajib dihantar pada hari terakhir perkampungan.


Hari Kedua - 13 April 2011

Hari kedua program bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari diadakan sesi sambungan 'Penulisan Puisi dan Cerpen'. Sesi petang bermula 2.30 petang sehingga 4.30 petang diteruskan dengan sesi sambungan hal-hal penulisan cerpen oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi sambungan penulisan puisi yang disampaikan oleh Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Sesi Cikgu Azhar Salleh terus 'hangat dan panas' atas penyampaian ceramah serta bimbingan Cikgu Azhar yang 'membakar', diselitkan dengan motivasi dan kesedaran terhadap nasib serta perkembangan bahasa Melayu kini. Tugasan untuk menghasilkan 3 puisi untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar serta perlu dihantar selewat-lewatnya pagi esok (hari terakhir).


Hari Akhir - 14 April 2011


Program bermula pukul 8.30 pagi sehingga 1.15 tengah hari diadakan sesi 'Penilaian Karya Cerpen dan Puisi' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud dan Cikgu Azhar Salleh. Semua tugasan menghasilkan sebuah cerpen dan 3 puisi yang diamanahkan kepada setiap pelajar berjaya disiapkan. Sijil penyertaan dan penghargaan diserahkan kepada para pelajar dan penceramah/pembimbing. Seperti biasa dalam tempoh 1-2 minggu terdekat ini penceramah akan menilai karya cerpen dan puisi untuk dikemaskan dan disunting bagi dihantar ke majalah terbitan DBP khususnya majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta juga untuk diterbitkan dalam buletin Jendela Selatan DBPWS. Selain itu, karya pelajar ini juga akan dinilai dan dipilih untuk dimuatkan dalam antologi pelajar perkampungan negeri Melaka dan Johor seperti amalan yang lepas dilaksanakan oleh DBPWS sejak tahun 2002 - 2010.



Terima kasih buat Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu Mohd Kasim Mahmud, serta semua guru pengiring yang sebahagian besarnya guru yang prolifik dalam penulisan kreatif sama ada peringkat negeri dan kebangsaan; seribu penghargaan terima kasih juga buat pihak JPNJ; juga berbanyak terima kasih buat urus setia DBPWS iaitu En. Syaidul Azam Kamarudin, Siti Hajar Elah, Mohd Rizal, Raja Azuan, Shahrur, Roz Idayu dan Faizah atas khidmat dan bantuan yang dihulurkan dalam menjayakan program perkampungan ini yang sudah masuk 10 tahun ini.

Sabtu, Februari 26, 2011

FOTO-FOTO SISI LAIN PPMPSMNM 2011

Azhar Salleh - bayang - puisi agama.

Azhar Salleh - bayang - puisi agama.

Puisi prolifik Azhar Salleh berjudul 'Pesan Puteri' dalam antologi puisi Gunung Ledang.

"Kata-kata yang terbaik dalam susunan yang terbaik."

Paparan puisi - peserta - komputer bimbit.

Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Melaka (PPMPSMNM) 2011 bermula pada 22 - 24 Februari 2011 di Ismah Beach Resort, Pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah, Melaka. Program anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka (JPNM) melibatkan seramai 40 pelajar dari seluruh sekolah menengah dalam negeri Melaka. Program ini bermula sejak tahun 2002 sehingga tahun ini telah berlangsung sebanyak 8 kali dengan komitmen serta izin penuh pihak JPNM.

PPMPSMNM 2011

Rakaman foto kenangan peserta, penceramah dan urus setia.

Cikgu Mohd Kasim Mahmud tekun dalam penilaian tugasan peserta.

Renungan penuh ilmu dan pengalaman Cikgu Azhar Salleh sambil Cikgu Abd. Rani mencatat sesuatu yang bermanfaat buat semua peserta.

Latar pentas yang mudah dan berkadar murah sahaja atas sebab peruntukan yang ada juga agak kecil...

Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Melaka (PPMPSMNM) 2011 bermula pada 22 - 24 Februari 2011 di Ismah Beach Resort, Pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah, Melaka. Program anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka (JPNM) melibatkan seramai 40 pelajar dari seluruh sekolah menengah dalam negeri Melaka. Program ini bermula sejak tahun 2002 sehingga tahun ini telah berlangsung sebanyak 8 kali dengan komitmen serta izin penuh pihak JPNM.

Hari Pertama - 22 Februari 2011
Hari pertama program bermula pukul 4 petang dengan diadakan sesi taklimat dan penerangan (selepas selesai pendaftaran sekitar pukul 2 - 4 petang). Program diteruskan pada pukul 5 - 6 petang dengan sesi 'Motivasi Penulisan' yang disampaikan oleh Tn. Hj. Abd. Rani Embi yang merupakan penulis kreatif negeri Melaka dan guru SMA Tahfiz, Jasin, Melaka. Perkampungan kali ini turut dibantu oleh guru pembimbing yang penuh komited iaitu Cikgu Hajah Rohayah Abu, Cikgu Abd. Razak dan Cikgu Maziah.
Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi 'Penulisan Cerpen' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud, seorang penulis prolifik karya kreatif khususnya cerpen, novel dan puisi peringkat negeri Johor dan kebangsaan. Beliau juga merupakan Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa di SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor. Tugasan untuk menghasilkan sebuah atau lebih cerpen untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar.

Hari Kedua - 23 Februari 2011
Hari kedua program bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari diadakan sesi 'Penulisan Puisi' yang disampaikan oleh Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP merangkap penulis prolifik karya puisi dan cerpen negeri Johor dan kebangsaan. Sesi petang bermula 2.30 petang sehingga 4.30 petang diteruskan dengan sesi sambungan hal-hal penulisan cerpen oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud.
Sesi pukul 6 petang sehingga 7.30 malam merupakan 'sesi kunjungan peribadi' melibatkan penceramah dan urus setia ke kawasan pantai Pengkalan Balak, Melaka. Sesi ini merupakan sesi 'menyelerakan' pabila menjamah cucur Alor Gajah di tepi pantai.
Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi sambungan penulisan cerpen dan puisi yang disampaikan oleh Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Sesi yang 'hangat dan panas' atas penyampaian ceramah serta bimbingan Cikgu Azhar yang panas, diselitkan dengan motivasi dan kesedaran terhadap nasib serta perkembangan bahasa Melayu kini. Tugasan untuk menghasilkan sebuah cerpen dan ditambah 3 puisi untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar serta perlu dihantar selewat-lewatnya pukul 12 tengah malam.

Hari Akhir - 24 Februari 2011
Hari akhir program bermula pukul 8.30 pagi sehingga 1.15 tengah hari diadakan sesi 'Penilaian Karya Cerpen dan Puisi' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud dan Cikgu Azhar Salleh. Semua tugasan menghasilkan sebuah cerpen dan 3 puisi yang diamanahkan kepada setiap pelajar berjaya disiapkan. Sijil penyertaan dan penghargaan diserahkan kepada para pelajar dan penceramah/pembimbing. Seperti biasa dalam tempoh 1-2 minggu terdekat ini penceramah akan menilai karya cerpen dan puisi untuk dikemaskan dan disunting bagi dihantar ke majalah terbitan DBP khususnya majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta juga untuk diterbitkan dalam buletin Jendela Selatan DBPWS. Selain itu, karya pelajar ini juga akan dinilai dan dipilih untuk dimuatkan dalam antologi pelajar perkampungan negeri Melaka dan Johor seperti amalan yang lepas dilaksanakan oleh DBPWS sejak tahun 2002 - 2010.

Terima kasih buat Cikgu Azhar Salleh, Cikgu Mohd Kasim Mahmud, Cikgu Hj. Abd. Rani Embi, Cikgu Hajah Rohayah, Cikgu Abd. Razak, dan Cikgu Maziah selaku pembimbing/penceramah serta guru pembantu/fasilitator; seribu penghargaan terima kasih juga buat pihak JPNM khususnya En. Roslan; juga berbanyak terima kasih buat urus setia DBPWS iaitu En. Syaidul Azam Kamarudin, Siti Hajar Elah, Shahrur dan Roz Idayu atas khidmat dan bantuan yang dihulurkan dalam menjayakan program perkampungan ini.

Isnin, Februari 21, 2011

PROGRAM FEBRUARI 2011: BENGKEL PEMERKASAAN KOMSAS SEKOLAH MENENGAH DAERAH PONTIAN




Program Bengkel Pemerkasaan KOMSAS Sekolah Menengah Daerah Pontian pada 19 Februari 2011 (9 pagi - 12.30 tengah hari) anjuran bersama PPD Pontian, DBPWS dan PPJ di SMK Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pontian, Johor. Dua penceramah / pembimbing: Cikgu Hj. Mohd Rosli Hj. Bakir dan Cikgu Amiruddin Md. Ali Hanafiah. Seramai 110 pelajar melibatkan semua sekolah menengah daerah Pontian menyertai bengkel ini.

PROGRAM FEBRUARI 2011: PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DAERAH KULAIJAYA




Program Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Daerah Kulaijaya pada 19 Februari 2011 (9 pagi - 4.00 petang) anjuran bersama PPD Kulaijaya, DBPWS dan PPJ di SMK Sultan Alauddin, Kulaijaya, Johor. Penceramah / pembimbing: Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Seramai 100 pelajar menyertainya yang melibatkan kesemua 15 buah sekolah menengah daerah Kulaijaya, Johor.

PROGRAM FEBRUARI 2011: BENGKEL PENULISAN SKRIP DRAMA RADIO DAN TV MELAKA


Program Bengkel Penulisan Skrip Drama Radio dan Televisyen anjuran bersama IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM) dan DBPWS diadakan pada 11 - 12 Februari 2011 di Dewan Tun Fatimah, IPGKPMM, Durian Daun, Melaka. Penceramah / Pembimbing: Cikgu Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Sdra Mohd Fairuz @ MF Kencana. Seramai 80 peserta menghadiri bengkel dua hari ini.

Program Januari 2011: Program Pengajaran dan Penghayatan KOMSAS Negeri Melaka 2011


Program Pengajaran dan Penghayatan KOMSAS Negeri Melaka 2011 diadakan pada 26 - 27 Januari 2011 di Bahagian Teknologi Pendidikan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka (JPNM), Bukit Katil, Melaka anjuran bersama JPNM dan DBPWS. Program dua hari ini yang melibatkan seramai 100 guru bahasa Melayu dari seluruh negeri Melaka antaranya bertujuan untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kemahiran guru tentang pengajaran dan penghayatan KOMSAS termasuk puisi tradisional. Sesi ceramah dan bimbingan disampaikan oleh 4 tenaga utama KOMSAS negeri Melaka iaitu Hj. Ab. Rani Embi, Hjh. Rohaya Abu, Pn. Raziah Md. Jani, dan Pn. Hanizah Yaakub.

Rabu, Februari 02, 2011

PROGRAM JANUARI 2011: PEMENTASAN TEATER PUISI TARI 'PRIMADONA... PERAHU MIMPI' - 28 - 30 JANUARI 2011





Program PEMENTASAN TEATER PUISI TARI 'PRIMADONA... PERAHU MIMPI' diadakan pada 28 - 30 Januari 2011 di Dewan Sultan Iskandar UTM, Skudai, Johor Bahru anjuran Grup Inspirasi Unik, UTM dan PDK DUN Nusajaya dengan kerjasama DBPWS dan JKKNJ. Penampilan khas pelakon adik beradik Anne Ngasri dan Bell Ngasri. 4 pementasan (setiap pementasan selama 2 jam) diadakan sepanjang 3 hari yang melibatkan pementasan teater berskala besar arahan Zamri Pangat dan skrip oleh Rahimah Muda. Tenaga pelakon, produksi, penari dan pemuzik seramai 150 orang.

Sabtu, Januari 15, 2011

PPMPSMNJ SUDAH BERUSIA 10 TAHUN...

PPMPSMNJ 2010 - Kulaijaya.

PPMPSMNJ 2009 - Pasir Gudang.

PPMPSMNJ 2008 - Kota Tinggi.

PPMPSMNJ 2007 - Pontian.
(Catatan: Foto berkumpulan PPMPSMNJ di atas hanya dapat dipaparkan untuk tahun 2007 - 2010 kerana bermula tahun 2007 barulah ada kamera digital yang rasmi, foto-foto sebelum tahun 2007 terdapat dalam bentuk cetakan manual sahaja serta ada yang telah rosak. Foto di atas pastinya wajib ada AS kerana AS merupakan antara pembimbing / penceramah utama yang besar sumbangannya dalam menjayakan PPMPSMNJ.)

Baru awal masuk minggu kedua Januari 2011 namun sudah ada 5 program yang melibatkan Unit Sastera DBPWS untuk bulan Januari 2011 ini. Program ini sama ada berskala besar, sederhana dan kecil melibatkan DBPWS secara bersama dan rakan kerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan seperti maklumat di bawah:
i. Malam Semerbak Johor Lama - 22/1/2011.
ii. Dialog Johor Lama 400 Tahun - 23/1/2011.
iii. Penghayatan dan Pengajaran KOMSAS Negeri Melaka - 26-27/1/2011.
iv. Seminar Pemikiran Sasterawan FELDA - 27/1/2011.
v. Pementasan Teater Amal 'Primadona... Perahu Mimpi' - 28-30/1/2011.
Kini juga sedang merancang program untuk bulan Februari - April 2011 (sebahagiannya sudah ada kepastian tarikh dan tempat) antaranya program tradisi dan tetap iaitu Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka. Dalam sedar dan tidak sedar rupanya Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor (PPMPSMNJ) tahun 2011 merupakan tahun ke-10 atau bilangan yang ke-10. PPMPSMNJ khususnya telah mula diadakan pada tahun 2002 yang melibatkan izin dan kerjasama penuh pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor. Secara pelaksanaannya sejak tahun 2002 setiap daerah dipilih untuk menjadi tuan rumah, daerah Muar merupakan tuan rumah pertama manakala daerah Kulaijaya merupakan daerah tuan rumah pada tahun lalu 2010.
Pada tahun 2011 ini daerah Johor Bahru akan dijadikan tuan rumah. Terpilihnya daerah Johor Bahru untuk tahun 2011 ini maka lengkaplah satu pusingan yang melibatkan semua 10 daerah di negeri Johor untuk PPMPSMNJ. Setakat ini banyak bahan dan dokumentasi berkenaan program PPMPSMNJ sejak tahun 2002 - 2010 masih utuh dalam simpanan apatah lagi sudah ada 7 antologi terbitan DBPWS (dalam konteks khidmat sosial) hasil karya pelajar yang terlibat.
Makanya, ada cadangan agar diaturkan satu program khas berbentuk pertemuan 'santai ilmiah' atau istilahnya alumni agar dapat menghimpunkan bekas pelajar yang pernah menyertai PPMPSMNJ. Cadangan ini merupakan satu cadangan yang baik serta ada manfaatnya, insya-Allah akan diusahakan serta memerlukan bantuan besar khususnya daripada para pembimbing / penceramah dan rakan-rakan lain yang pernah terlibat termasuklah bekas pelajar dalam PPMPSMNJ. Sokongan besar anda semua amat diperlukan dan sungguh dihargai.

Isnin, September 20, 2010

SMNSJ KE-3 2010 DAN HSDT KE-8 2011

Dua penulis karya sastera prolifik negeri Johor: Rahimah Muda dan W.B Rendra meraih hadiah atas usaha gigih yang cukup bermakna...

Pemenang utama SMNSJ ke-3.

Rahimah Muda dan "Tiara Pesona" menerima hadiah kemenangan utama.

Persembahan selingan yang berkesan dan meriah walaupun masih ramai tertumpu dengan sambutan hari raya...

Majlis penyampaian hadiah Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor (SMNSJ) ke-3 selesai diadakan pada 18 September 2010 (8.30 malam - 10.30 malam) di PERSADA Johor, Johor Bahru, Johor. Majlis penyampian hadiah sayembara ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor yang diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan (DBPWS), YWJ Citra dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Johor.
Sayembara kali ketiga ini mula dibuka penyertaannya pada awal Januari tahun 2009 sehingga Disember 2009 manakala penilaiannya sepanjang 6 bulan pertama tahun 2010 ini. Dalam sayembara pertama hanya ada pemenang tempat ketiga dan sagu hati dan sayembara kedua ada pemenang meraih tempat kedua, ketiga dan sagu hati; namun untuk kali ketiga ini semua hadiah diraih yang melibatkan hadiah pertama, kedua dan ketiga serta lima hadiah sagu hati.
Pn. Rahimah Muda meraih tempat pertama dengan membawa pulang RM35,000.00 melalui novelnya berjudul "Tiara Pesona" dan hadiah sagu hati RM5,000.00; maka kesemuanya beliau membawa pulang sebanyak RM40,000.00. Tempat kedua diraih oleh penulis dari Riau, Indonesia dengan membawa pulang RM25,000.00. Tempat ketiga diraih penulis penuh prolifik yang muda lagi berpotensi besar negeri Johor dan kebangsaan iaitu Sdra Wahyu Budiwa Rendra dengan meraih RM15,000.00. Lima hadiah sagu hati menawarkan wang tunai RM5,000.00 diraih antaranya oleh Rahimah Muda, Mohd Kasim Mahmud dan Razali Endun.
Persembahan fragmen sejarah Johor sekitar tahun 1718 juga dipersembahkan yang menarik inat para hadiri seramai 300-350 orang serta ada persembahan selingan lagu-lagu Melayu tradisi yang diiringi kumpulan muzik YWJ secara langsung.

HSDT ke-8 Tahun 2011
Tahun hadapan 2011 sastera Johor dimeriahkan pula dengan penyertaan untuk Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) ke-8 2011. HSDT yang diadakan setiap dua tahun sekali akan mula menerima penyertaan seawal Januari 2011 juga merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor diselengarakan oleh YWJ dengan kerjasama DBPWS, Persatuan Penulis Johor dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor. Pelibatan DBPWS dalam HSDT sejak tahun 2001 iaitu ketika HSDT ke-3 sehingga kini iaitu HSDT ke-8. Nantikan maklumat penuh tentang penyertaan dan hadiah serta pelbagai maklumat HSDT ke-8 dalam waktu terdekat ini; yang pasti DBPWS akan giat juga mempromosikannya.

Khamis, September 09, 2010

MELAKA - KL - MELAKA - JB: DEMI TUGAS BBK 2010

Tajuk entri kali ini bukanlah tentang laluan bas ekspres yang banyak terpapar di kaunter jualan tiket bas di Larkin, Johor Bahru dan di Melaka Sentral; ini sebenarnya pergerakan diri ini dalam menyelesaikan beberapa perkara dalam tempoh 3 hari 2 malam.
Pada hari Sabtu hingga Isnin lalu (4 - 6 September 2010) berada di Melaka dan Kuala Lumpur, cuma di Kuala Lumpur sekejap sahaja kerana urusan segera yang perlu diselesaikan. Semua urusan di Melaka merupakan urusan 'sentuhan-sentuhan' tahap memantapkan lagi segala pengurusan yang semampunya serta sebaik mungkin tentang program-program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Negeri Melaka khususnya. Banyak perkara harus diselesaikan mengikut jadual dalam bulan puasa ini agar tidak terkejar-kejar dalam menguruskan banyak hal pabila pelbagai pihak sibuk pula dengan urusan hari raya selepas ini sedangkan sambutan BBK 2010 disyaratkan sepadatnya dalam bulan Oktober ini sahaja. Hakikatnya juga untuk 'menjual dan mempromosi' hal-hal berkaitan kebahasaan dan kesusasteraan yang "kurang diminati, kurang didekati, kurang digemari, dan kurang laku sifatnya..." perlulah sesuatu tindakan serta gerak kerja yang tahap agresif dan proaktifnya agak luar biasa dalam keadaan semampu dan sedayanya...!
Kekangan yang bakal dihadapi diri ini sepanjang pertengahan bulan September sehingga pertengahan Oktober ini serba sedikit membuatkan diri ini agar dapat menyelesaikan gerak kerja program BBK 2010 yang dirancang; ya... kemungkinan diri ini 'dicutikan' selama 30 hari termasuk hari cuti am serta hari Sabtu dan Ahad (12 September - 11 Oktober 2010...)? Namun atas dasar 'minta - cinta - sayang' terhadap kerja-kerja yang diamanahkan rasa-rasanya tidak sampai 30 hari bercuti dalam konteks cuti sebenarnya.
Banyak perkara harus diselesaikan sebaik mungkin dengan pihak yang dipohon untuk bersama-sama dalam penganjuran program-program BBK 2010 Melaka. Terkini program BBK 2010 Melaka asalnya 7 program telah bertambah 3 lagi program menjadikan 10 program semuanya. Penambahan program ini setelah diamanahkan oleh pihak tertinggi pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka melalui satu mesyuarat di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada minggu lepas.
Jika tiada aral dan halangan besar, setakat hari ini diri ini akan mengendalikan 10 program daripada 16 program DBPWS untuk BBK 2010 Johor dan Melaka sepanjang bulan Oktober ini. 7 program dikendalikan untuk negeri Melaka dan 3 program untuk negeri Johor. Senarai pecahan program yang sebenarnya akan dikhabarkan secara berperingkat kerana kemungkinan ada pertukaran atau penambahan lagi dalam mengendalikan program BBK 2010 Johor dan Melaka ini.

Rabu, September 01, 2010

PEMAKLUMAN: SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI 'BAHASA JIWA BANGSA' NEGERI JOHOR 2010

10 puisi pilihan tema bahasa diambil daripada buku antologi ini yang merupakan terbitan khas DBPWS pada tahun 2006 sempena sambutan 50 tahun penubuhan DBP.

SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI ‘BAHASA JIWA BANGSA’
Sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2010 Negeri Johor

Anjuran DBP Wilayah Selatan
dengan kerjasama Radio Malaysia Johor FM dan Persatuan Penulis Johor (PPJ)

PENDAHULUAN
Sayembara yang diadakan khas sempena BBK 2010 Negeri Johor merupakan salah satu daripada pelbagai program yang dirancang dan bakal diadakan sepanjang sambutan BBK 2010 khususnya peringkat negeri Johor. Sayembara ini khasnya diharap dapat menyemarakkan kegiatan apresiasi kesusasteraan dalam kalangan anggota masyarakat khususnya rakyat negeri Johor bersesuaian dengan sambutan BBK 2010.

OBJEKTIF
Antara objektif sayembara ini termasuklah:
i. Memupuk dan menyemai perasaan dan semangat jati diri dan kecintaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara sempena sambutan BBK 2010 Negeri Johor.
ii. Mempopularkan puisi-puisi bertemakan bahasa dan patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai unsur penting dalam usaha menanamkan semangat cintakan negara.
iii. Memartabatkan puisi kebangsaan sebagai salah satu unsur budaya kebangsaan yang penting dalam membina negara Malaysia yang cemerlang.
iv. Menyemarakkan semangat dan kecintaan rakyat di negeri Johor agar terus utuh dan bangga mempunyai satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan semua bangsa.

SYARAT-SYARAT PENYERTAAN
1. Sayembara ini terbuka kepada semua yang menetap dan berkhidmat/bekerja di negeri Johor kecuali individu yang pernah meraih johan peringkat negeri Johor dalam Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka (kategori sajak / puisi moden) tahun 2008, 2009 dan 2010.
2. Dua kategori disediakan:
i. Kategori Terbuka Lelaki.
ii. Kategori Terbuka Wanita.

3. Sayembara akan diadakan pada 23 OKTOBER 2010 (SABTU) DI DBP WILAYAH SELATAN (DBPWS), LARKIN PERDANA, JOHOR BAHRU, JOHOR seperti maklumat di bawah:
Pendaftaran Peserta: 8.00 pagi - 9.00 pagi
Sayembara (Peringkat Saringan): 9.00 pagi - 1.00 tengah hari
Sayembara (Peringkat Akhir): 3.00 petang - 5.00 petang
4. Giliran peserta ditetapkan oleh pihak Urus Setia DBPWS.
5. Setiap peserta yang layak menyertai sayembara ini akan dihubungi melalui telefon oleh pihak urus setia DBPWS.
6. Peserta dikehendaki mendeklamasikan hanya sebuah (1) puisi sahaja daripada 10 buah puisi bertemakan bahasa yang ditetapkan pihak penganjur. Dilampirkan 10 buah puisi berkenaan bersama-sama syarat dan borang penyertaan ini.
7. Deklamasi puisi yang dimaksudkan adalah pembacaan puisi, bukannya menyanyikan puisi dengan irama-irama tertentu dengan dibantu bunyi daripada rakaman kaset, cakera padat atau sebagainya.
8. Peserta perlu menghafal puisi pilihan mereka. Walau bagaimanapun peserta dibolehkan membawa teks puisi pilihan secara berhemah dan tertib ketika mendeklamasikannya bagi mengelak daripada terlupa yang boleh mengganggu kelancaran ketika deklamasi.
9. Peserta dibenarkan memakai pakaian yang bersesuaian dengan tema puisi. Pergerakan yang tidak sesuai dengan tema dan mesej puisi boleh mengurangkan markah.
10. Peserta tidak dibenarkan membawa alat bantu (props) yang tidak besesuaian termasuk alat bantu yang menghasilkan bunyi-bunyian daripada semua jenis alat muzik termasuk alat perakam.
11. Semua perbelanjaan pengangkutan, penginapan dan makan minum peserta merupakan tanggungjawab peserta sendiri. Pihak penganjur tidak bertanggungjawab atas keselamatan dan pergerakan/perjalanan peserta pergi dan balik dari rumah ke tempat acara.
12. Borang penyertaan boleh diperoleh:
i. Kaunter Pengawal DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru, Johor.
ii. Balai Pengawal Radio Malaysia Johor FM,
Jalan Tasek Utara, Johor Bahru, Johor.
Tarikh tutup menghantar borang penyertaan pada 8 Oktober 2010.
Maklumat lanjut, silalah hubungi pihak urus setia DBPWS:
i. En. Rusdi Abd Rahman, DBPWS (no. tel.: 07-2358802 / no. faks.: 07-2358686)
ii. En. Mohd. Rizal Mohd. Ali (no. tel.: 07-2368282 / no. faks.: 07-2358686)
13. Borang penyertaan hendaklah dihantar kepada:
Urus Setia Sayembara Deklamasi Puisi ‘Bahasa Jiwa Bangsa’
(sempena BBK 2010 Negeri Johor),
DBP Wilayah Selatan,
No.1 & 3, Susur Dato Muhd Said Sulaiman 1,
Larkin Perdana,
80350 Johor Bahru, Johor Darul Takzim.
(u.p.: En. Rusdi Abd Rahman / En. Mohd. Rizal Mohd. Ali)


Hadiah (Setiap Kategori - Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita):
a. Pertama - Wang tunai RM500.00 / Sijil Penghargaan / Hadiah Iringan.
b. Kedua - Wang tunai RM400.00 / Sijil Penghargaan / Hadiah Iringan.
c. Ketiga - Wang tunai RM300.00 / Sijil Penghargaan / Hadiah Iringan.
d. 7 hadiah sagu hati - Wang Tunai RM100.00 / Sijil Penghargaan / Hadiah Iringan.


Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, sila hubungi:
Rusdi Abd. Rahman (no. telefon: 07-235 8802).

Sekian, terima kasih.