Selasa, September 29, 2009

BBK 2009 NEGERI JOHOR DAN MELAKA


Bermula tahun 2009 sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) telah bertukar nama iaitu Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK). Sekadar pemakluman umum, BBSN mula diadakan pada tahun 1999 hingga 2008. Sambutan BBK 2009 berlangsung sepanjang bulan Oktober 2009, manakala kegiatan dan aktiviti BBK 2009 bagi peringkat negeri Johor dan Melaka yang dikendalikan oleh diri ini seperti di bawah:


1. Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Prauniversiti Negeri Johor,
30 September 2009, Hotel Good Hope, Skudai, Johor Bahru.
Anjuran bersama SPRM Johor, DBPWS dan JPNJ.


2. Majlis Pelancaran BBK 2009 Negeri Melaka,
1 Oktober 2009, Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka.
Anjuran bersama DBPWS, IKSEP dan Kerajaan Negeri Melaka.


3. Gema Puisi Patriotisme,
1 Oktober 2009, Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka.
Anjuran bersama DBPWS, IKSEP dan Kerajaan Negeri Melaka.

4. Pementasan Monodrama ‘Rebab Berbisik’ dan Teater 15 Minit ‘Bidan Ketujuh’,
3 - 4 Oktober 2009, Panggung Seri, Taman Budaya Melaka, Ayer Keroh, Melaka.
Anjuran bersama DBPWS dan JKKNNM dengan kerjasama IKSEP dan RTM Melaka.

5. Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan, 4 - 8 Oktober 2009, Kukup, Pontian, Johor.
Anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia diselenggarakan oleh Jabatan Pelajaran Johor dengan kerjasama DBPWS.

6. Pementasan Teater Negeri Johor ‘Srikandi Tanah Jauhar’,
23 - 24 Oktober 2009, Auditorium RTM Johor, Johor Bahru.
Anjuran bersama DBPWS, Persatuan Teater KESUMA-I dengan kerjasama RTM Johor dan JKKNNJ.



Dijemput semua menghadirkan diri dalam program dan aktiviti yang dirancang seperti maklumat di atas. Sokongan dan komitmen anda semua terhadap kelangsungan dan keupayaan bahasa dan sastera Melayu amat dihargai.


Isnin, September 28, 2009

BANTULAH USAHAWAN BUMIPUTERA...?

Pergi ke sebuah kedai berstatus bumiputera yang menjual nilai tambah (top-up) talian telefon bimbit dan menjual pelbagai jenama telefon lewat petang tadi kali ini cukup terkesan menyentuh jiwa. Penjual di sebuah kedai di Bandar Baru Uda tidak jelita dan betubuh agak gempal serta berkulit agak gelap asyik menekan telefon bimbitnya... mungkin asyik menghantar pesanan ringkas (sms) - saya fikirkan mungkin beliau sedang asyik bercinta dengan lelaki paling tampan dan kacak di dunia ini.
Lalu saya berkata, "Nilai tambah telefon bimbit RM30".
Beliau si gadis tidak menawan ini dengan muka selamba dalam nada suara tidak mesra langsung serta asyik dengan sms berkata "Berapa ringgit?", saya ulang RM30 untuk talian Celcom.
Beliau yang tidak mesra pelanggan dalam wajah yang tidak jelita bertanya lagi, "Nak kad top-up atau nak masukkan terus nilai RM30 ke telefon?".
Saya jawab dalam nada tenang, "Masukkan terus nilai RM30 ke nombor..." saya belum habis perkataan terakhir beliau terus dalam nada tinggi bertanya "Nombor handphone apa?", lalu saya jawab dalam tenang, "Nombor 019-......." lalu saya berikan duit RM50.
Beliau masih dalam nada sombong "Duit RM10 sekeping-keping tak ada ke...?", lalu saya jawab tenang lagi "Maaflah, tiada."
Kata hati, Maaf...! Beliau yang tidak jelita dan bertubuh agak gempal saya lihat bertambah tidak jelita, gempal dan memualkan!


Soalnya, pada dinding kedai itu tertera dalam huruf besar dan jelas dibaca dari jauh ayat "TERIMA KASIH KERANA MEMBANTU USAHAWAN BUMIPUTERA". Makanya, itulah mungkin kali terakhir saya boleh membantu USAHAWAN BUMIPUTERA ini, lebih baik saya membantu USAHAWAN BUMIPUTERA lain yang benar-benar mesra pelanggan dan baik terhadap pelanggan dalam berkomunikasi serta berbudi bahasa walaupun kedai usahawan bumiputera itu tidak tertera perkataan tersebut. Bukan soal penjual itu penuh jelita dan cantik amat atau rupa paras yang tidak menawan serta tidak 'berbentuk tubuhnya' tetapi yang penting penjual harus berkomunikasi dengan baik dan mesra dengan pelanggan walaupun pelanggan itu berbelanja hanya 10 sen di kedainya; yang berwajah tidak jelita serta tidak menawan itu akan menjadi jelita dan menawan secara automatiknya jika berkomunikasi serta berbudi bahasa dengan baik dan mesra dengan pelanggan!

Ahad, September 27, 2009

SILALAH TONTON KAISOH-TAISHOW @ MASQUERADE



1. Setiap Ahad pukul 7.30 malam (1-2 bulan sebelumnya pukul 7.00 malam) rangkaian TV3; pasti tidak terlepas menonton sebuah rancangan yang penuh seni kreativiti persembahan iaitu 'Kaisoh-Taishow' @ Masquerade. Rasanya perkataan 'Kaisoh-Taishow' ini dalam bahasa Jepun. Maksud ringkas Masquerade dalam Kamus Inggeris - Melayu Dewan:
i. majlis tari-menari bertopeng
ii. sandiwara
Manakala maksud Masquerader - Penyamar.


2. Rancangan selama 30 minit yang penuh kreativiti ini cukup mendedahkan nilai-nilai seni dan pemikiran kreatif sesebuah kumpulan atau individu yang membuat pelbagai bentuk persembahan dengan paparan selama seminit atau dua minit pelbagai sudut kreatif contohnya acara sukan, ais krim mencair, kombinasi alam, televisyen, jentera peralatan, jemuran kain, dan pelbagai jenis kreativiti yang tidak dapat dijangkau oleh fikiran. Penilaian diberikan dengan markah penuh 20, jika melepasi markah 15 merupakan lulus.


3. Buat peminat seni persembahan dan kreatif digalakkan untuk menonton rancangan hiburan yang penuh nilai kreativiti dan inovasi. Boleh rasanya untuk ditiru atau diambil sebahagian daripada aksi persembahan dalam rancangan ini kerana kreativiti itu bersifat subjektif. Nilai seni dan kreativiti sebegini harus dicontohi kerana melibatkan perkembangan fikiran yang positif berbanding asyik menonton puluhan rancangan hiburan yang kadang-kadangnya membodohkan fikiran dan minda penonton... ya sekadar hiburan kosong tanpa nilai kesedaran yang dapat membina minda untuk lebih kreatif dan maju.


4. Maka, silalah jika anda semua ada kesempatan sedikit masa untuk menonton rancangan ini kerana berguna buat cabaran minda yang memerlukan kreativiti dalam pelbagai aspek kehidupan. Selamat menonton.


Sabtu, September 26, 2009

KONSERT ALAM MUZIK M. NASIR: REALITI DAN ANGAN-ANGAN...


REALITINYA...

1. Hari ini sempat menonton Konsert Alam Muzik M. Nasir menerusi siaran Astro Prima 105 secara penuh selama dua jam. Sungguh teruja rasanya menikmati sebuah konsert yang bermutu nilai hidangan muzik, lirik dan persembahan solo M. Nasir atau dikenali 'Sifu' muzik Malaysia walau hanya menonton televisyen, jika ketika itu berada di Kuala Lumpur pastinya diri ini akan berusaha untuk menyaksikan secara langsung.


2. Konsert yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 27 Februari - 1 Mac 2009 dipenuhi penonton yang terhibur sepanjang konsert berlangsung. Antara 30 lagu yang dipersembahan dengan mutu pemuzik dan irama yang hebat termasuklah LANGGAM PAK DOGO, Mentera Semerah Padi, Sahabat Gua, Ada, Apokalips, dan Rajawali Terbang Tinggi. Di bawah diperturunkan lirik LANGGAM PAK DOGO ciptaan Arwah Loloq:



Langgam Pak Dogo Rindu menikam dek cinta Sita
Hilang bekas hilang sisa amarah
Bongkar akar bongkar mimpi Suralaya
Datang bingung berpaulan diambang yuda
Ajak menung bawah panji wilmana

Apa hikmah tersemat di balik perintah!
Temu hulu hilir menyusur
Adat hidup temukan matiJangan tuan terus masygul (duk nengu sugul )
Adat wira harus tahan uji

Ya kalau begitu aku berjanji
Hadapan teman ku yang berperkerti tinggi
Titian takdir seruncing manapun ku seberangi
Di mulut naga gemala sakti terkunci
Kan ku sambar ku rampas jadikan bukti

Langgam Dogol langgam keramat
Bisik-bisik dalam kelambu
Lagak bodoh tapi tapi bersengat
Sambil elak (bila ngelik ) dia main siku

Riwayat bermula dari dahulu
Pandang belakang tersangatlah jauh
Perlu menyilang irama dengan lagu
Kapal belayar usah dilabuhkan sauh!

Asal debu pasti pulang ke debu
Dari tegap bertimbuh baik rebah merempuh
Bersambunglah petir (litar) berdentum dentam
Hujan tak turun laut berlimpahan

Asyik (ghalik) merancang dendam seribu malam
Siang menerang semakin berganda rawan
(koho sie koho bergande rawe)
Keronsang terlekat kerana peniti
Hujan pelangi pula sebabkan igauan

Tidak terlintas nyawa dipertaruhkan
Dikandung badan!
Sesaat berangan terlepaslah habuan
Ikan tak dapat umpan pula hilang


3. M. Nasir bersama tenaga pemuzik profesional dan produksi yang penuh pengalaman meninggalkan kesan yang membekas dalam jiwa. Bukan hanya aspek irama muzik itu semata-mata tetapi mutu liriknya yang tinggi dalam pilihan kata yang indah dan berseni dalam lagu-lagu M. Nasir yang diri ini banggakan, apatah lagi lagu dan lirik M. Nasir untuk beberapa kumpulan rock 'otai' 1980-an cukup meninggalkan kesan.

Di bawah petikan tentang konsert tersebut yang diambil dalam portal rasmi Istana Budaya:


Konsert Alam Muzik M.Nasir

Alam Muzik M.Nasir mengisahkan tentang perjalanan seni M.Nasir menjangkau tiga puluh tahun bergelar anak seni.Konsert eksklusif Ikon muzik Malaysia ini akan memperlihatkan M. Nasir mengalunkan lebih kurang 30 buah lagu untuk pertunjukan secara tiga malam berturut-turut secara solo. Konsert yang berdurasi selama dua jam tanpa henti ini akan menyaksikan kepelbagaian genre muzik dipersembahkan dari pop, keroncong, tradisional, balada, irama Malaysia dan lain-lainnya.
Himpunan 15 orang pemuzik profesional yang terkenal dan diakui sebagai terbaik di Malaysia seperti Mohar, Zulkifli Mahat, Ramli Rebana, Jay-Jay, Ujang (sekadar menyebut beberapa nama) akan mengiringi persembahan. Aznan Alias @ Nan yang telah lama bersekutu dengan M. Nasir, bertindak sebagai pemimpin muzik konsert.Aspek penting dalam persembahan seperti arahan, skrip pentas, bunyi, penatacahayaan, layar perak, prop, kostum dan lain-lain lagi akan ditangani oleh tim produksi profesional dan berpengalaman. Sebuah pentas telah di reka khas oleh Usop Kopratasa untuk kegunaan konsert ini.
Konsert Alam Muzik M.Nasir ini akan diterbitkan olah saudara Ali Bakar yang berpengalaman selama 30 tahun dalam penerbitan konsert–konsert mega artis antarabangsa dan tempatan. Beliau juga banyak terlibat dalam penerbitan konsert M. Nasir sebelum ini, seperti Konsert Gong Impian, 1992 di Dewan MCA, Jln. Ampang, KL., Konsert Canggung, 1994 di Stadium Negara, Konsert Andalusia pada tahun 2000 di Stadium Merdeka dan beberapa konsert dan acara-acara lain lagi. Untuk makluman juga, setiap RM1 dari pembelian tiket Konsert Alam Muzik M.Nasir ini akan disalurkan terus ke tabung NSTP Charity Fund yang banyak membantu golongan kanak-kanak dan kurang berkemampuan di Negara ini bagi mendapatkan rawatan dan pembedahan. Selain dari itu pihak NSTP Group yang bertindak selaku Akhbar Rasmi Konsert Alam Muzik M.Nsir ini juga akan mengadakan jualan cenderahati konsert berupa mouse pad dan mug yang ditandatangani oleh M.Nasir. Hasil jualan cenderahati ini akan disalurkan ke tabung NSTP Charity Fund. Sesungguhnya konsert ini akan menjanjikan satu pengalaman yang unik dan menghiburkan buat anda semua.


ANGAN-ANGAN...

Angan-angan diri ini sejak dahulu... ya, lebih tepat sejak mula terlibat penuh dalam penganjuran kegiatan dan program sastera ini - ingin melihat atau lebih 'ekstrem' lagi ingin membikinkan satu konsert khas lagu-lagu puisi yang punyai elemen tarikan yang menarik di sebuah tempat yang gah dan besar seperti Istana Budaya atau di sebuah auditorium yang besar dengan kelengkapan peralatan muzik, audio dan pencahayaan yang sempurna mengikut tema setiap lagu-lagu puisi yang didendangkan kepada orang ramai. Yang pastinya juga unsur dan aspek publisiti dan promosi harus seiring hebat serta mengujakan pembaca dan pendengar di seluruh tanah air.
Ini hanya angan-angan yang ada dalam minda ini...

Isnin, September 21, 2009

PERTEMUAN JIRAN - MANCHESTER DAN LONDON

Terry bersama Keane.
Tevez bersama Ferdinand.


Dalam kesibukan menyambut hari raya, janganlah lupa tentang pertarungan English Premier Laegue (EPL). Semalam sempat menyaksikan secara penuh dua pertembungan dua jiran di dua bandar raya besar England iaitu Man U menentang Man City di Old Trafford, Man U dan Chelsea melawan Spurs di Stamford Bridge, Chelsea.


Man U Dapat 'Bonus' Pengadil Lagi...
Hebat perlawanan Man U lawan Man City sejak permulaan, akhirnya keputusan yang terus memihak kepada Man U. Michael Owen menjaringkan gol kemenangan pada minit 96, pengadil semacam memberi bonus kepada Man U pabila hingga minit ke-96 masih meneruskan perlawanan sedangkan rasa-rasanya hanya masa tambahan cuma 4 minit sahaja. Yang sedihnya juga penonton Man U tidak profesional pabila setiap kali Tevez menerima, membawa dan menendang bola, beliau akan disorak 'boo...'. Man U menewaskan Man City 4 - 3 melalui dua jaringan Fletcher, Rooney dan Owen; manakala jaringan Man City oleh dua jaringan Bellamy dan Barry. Sememangnya Man U terus memperoleh 'bonus' pengadil?

Chelsea: 6 Kali Berterusan Menang, Spurs Kalah Lagi
Spurs yang mengganas melalui empat perlawanan pertama dengan kemenangan tewas lagi buat dua perlawanan berturut-turut. Minggu lepas tewas kepada Man U, semalam tewas 0 - 3 kepada Chelsea. Pertembungan dua jiran di London ini tampak berat sebelah pabila Chelsea banyak menguasai permainan. Ini kemenangan agak besar Chelsea sepanjang 6 perlawanan lalu. Gol Chelsea dijaringkan oleh Ashley Cole, Ballack dan Drogba. Chelsea terus unggul di tempat pertama dengan 6 perlawanan, 6 kemenangan dan 18 mata penuh, di belakang sedang mengejar Man U (6 perlawanan - 15 mata), Liverpool (6 perlawanan - 12 mata), dan Man City (5 perlawanan - 12 mata).


Ahad, September 20, 2009

SALAM INGATAN DAN SALAM AIDILFITRI

Hari ini 1 Syawal 1430 Hijrah bersamaan 20 September 2009, Hari Raya Aidilfitri. Kesempatan yang ada melalui ruangan blog ini, saya memohon maaf jika ada salah dan silap serta tersalah dan tersinggung kata serta perbuatan sepanjang berurusan secara rasmi dan tidak rasmi juga secara langsung dan tidak langsung buat saudara dan saudari juga tuan-tuan dan puan-puan yang mengenali dan belum mengenali diri saya ini. Walaupun mungkin terdapat perbezaan paparan pendapat, teras fahaman, isi dan isu dalam blog ini; namun kesempatan berkongsi idea dan tulisan bersama anda semua cukup bermakna buat diri ini.


MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Khamis, September 17, 2009

KASUT ALIPH: SATU NOSTALGIA KECIL


Foto dikutip dalam laman web muzikrock.com
Muzikrock.com merupakan salah satu laman utama untuk mengenang zaman rock 1980-an. Sedang asyik membaca entri yang ada maka terbaca satu entri tentang KASUT ALIPH yang cukup menyegarkan kembali nostalgia zaman persekolahan sekitar tahun 1987 -1989 (tingkatan 3 - 5). Mengutip sebahagian tulisan dalam laman muzikrock.com tentang KASUT ALIPH ini seperti dibawah:
Foto kenangan: Kasut jenama Aliph
Kasut sukan berjenama Aliph mula dipasarkan pada pertengahan tahun 1980-an, iaitu ketika zaman kebangkitan muzik rock di Malaysia. Seperti mana yang diketahui umum, kasut sukan adalah antara aksesori penting yang melengkapkan gaya artis dan band rock pada zaman tersebut, tidak kira di Malaysia atau di luar negara. Sejak itu, pemakaian kasut sukan tidak lagi hanya untuk bersukan atau beriadah, tetapi telah menjadi sebahagian daripada fesyen dan kegunaan harian yang kekal hingga ke hari ini...

Kasut Aliph ini cukup sinonim dalam zaman rock ketika itu, menjadi rebutan dan 'kebanggaan' anak sekolah menengah dan remaja termasuk orang dewasa ketika itu. Jika sambutan hari raya (salah satu musim larisnya kasut ini) ketika itu pasti ramai yang membelinya sehingga pekedai terpaksa menempah lebih kerana stoknya cepat habis. Buat pelajar sekolah ketika itu (termasuk diri ini) jika memiliki kasut ini pasti 'dipandang tinggi' (konon-kononnya) dalam kalangan rakan sesama usia; pelajar sekolah menengah agak sukar memilikinya jika tiada wang cukup untuk membelinya, maka terpaksa 'ikat perut' untuk menyimpan wang agar dapat membeli dan memakainya!

Begitulah kuatnya jenama kasut ini yang merupakan salah satu daripada puluhan lambang dan barangan yang menggambarkan zaman dan pesatnya era rock ketika itu (1980-an). Kasut ini merupakan satu kenangan indah buat pemakainya kerana sesiapa yang memilikinya pasti digelar 'rockers' (konon-kononnya) - walaupun belum tentu individu itu tahu banyak tentang muzik rock era itu.

Entri ini bukan untuk promosi kasut Aliph ini tetapi sekadar berkongsi secebis nostalgia zaman lewat 1980-an, mungkin anda juga ada sesuatu kenangan kecil dan besar tentang kasut ini ketika era rock ketika itu.

Rabu, September 16, 2009

PASUKAN F1 1 MALAYSIA... HEBAT?

Kereta contoh F1 1 Malaysia?

Selaku peminat Formula 1 (F1), berita yang didengar semalam dan dibaca dalam akhbar hari ini sedikit 'memeranjatkan hati', Malaysia bakal punyai pasukan F1 sendiri bergelar 1 Malaysia, sungguh hebat!? Diketahui umum bahawa pelibatan Petronas dalam F1 ini sudah sedekad, terkini Petronas merupakan antara penaja utama untul pasukan F1 BMW Sauber. Tajaan yang besar ini semestinya tidak dapat dihitung oleh rakyat biasa di kawasan pedalaman agaknya...

Maka jika benar pasukan F1 1 Malaysia bakal bertanding dalam kejohanan F1 bermula tahun hadapan, selaku rakyat kecil yang biasa terfikir juga berapakah jumlah wang yang bakal dibelanjakan? Mampukah pasukan baharu ini bersaing dengan pasukan mantap seperti Ferrari, Mclaren Mercedes, Brawn GP, Red Bull? Siapakah pelumba F1 1 Malaysia ini yang akan bersaing dengan Kimi Raikonnen, Lewis Hamilton, Ruben Barrichello, Button. Sebastian Vettel dan lain-lain nama nama yang sudah teruji pengalamannya? Popularkah pasukan F1 1 Malaysia ini? Mungkinkah dua pelumba pasukan baharu ini dalam setiap perlembaan hanya menghabiskan saingan pada kedudukan dua terbawah serta gagal menghabiskan perlumbaan? Mungkinkah pasukan ini akan dapat memperkenalkan lagi Malaysia ke persada dunia?

Sebahagian kutipan dalam akhbar Berita Harian hari ini (16 September 2009) tentang pasukan F1 1 Malaysia seperti di bawah:

F1 1Malaysia: Teknologi anak tempatan sertai perlumbaan

PUTRAJAYA: Pasukan F1 1Malaysia akan membuat penampilan sulung dalam Kejuaraan Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mulai tahun depan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata projek itu menggabungkan teknologi Proton dan Lotus, kepakaran Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Petronas dan Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) serta bantuan SIC, Persatuan Permotoran Malaysia dan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia.

"Ini pasukan Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya, maknanya kereta ini (atas) direka bentuk, dibuat dan diuji di SIC dan adalah kereta buatan Malaysia. "Kumpulan mengendalikan pitstop juga rakyat Malaysia. Kita akan kenal pasti pelumba yang sesuai untuk kendalikan kereta ini," katanya pada sidang media di sini, semalam. Dua pemandu pasukan itu dijangka diperkenalkan pada 31 Oktober ini selepas tapisan daripada enam calon.

"Ini adalah satu perkembangan yang sangat bermakna dan pasti dapat menaikkan imej Malaysia dalam perlumbaan F1, khususnya dan persada antarabangsa amnya," katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan I, berkata pasukan berkenaan akan dibiayai menerusi gabungan sektor awam dan swasta dengan pembabitan kerajaan menerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Proton Holdings Berhad. Pasukan itu turut mendapat kerjasama tiga tokoh korporat, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes; timbalannya, Datuk Kamarudin Meranun dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Mengenai kos yang akan dikeluarkan oleh kerajaan dalam projek itu, Najib berkata:
"Ia dilakukan melalui Proton, saya tak tahu kalau mereka (syarikat) hendak berikan angka." Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata, projek itu bukan pembaziran kerana ia membabitkan sektor swasta dan akan memberi pendedahan yang besar kepada Malaysia, khususnya jenama Proton dan Lotus.

GUNUNG LEDANG - DALAM PROSES PEMBIKINAN ANTOLOGI PUISI




Foto-foto kenangan para peserta Pengucapan Puisi Alam Gunung Ledang; mereka juga penyumbang karya besar untuk antologi puisi yang sudah terkumpul kini.
1. Setelah berusaha mengingatkan para peserta Pengucapan Puisi Alam Gunung Ledang (PPAGL) pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2009 yang lalu; ingatkan para penulis ini melalui telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana diri ini sebagai penyalur dan pelorong utama buat Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) untuk mengumpul karya-karya puisi peserta, maka terkumpullah karya dihajati sebaiknya.
2. Pihak PTNJ sememangnya berhasrat besar untuk menerbitkan sebuah antologi puisi yang bertemakan Gunung Ledang sebagai koleksi unggul pertama penulisan karya sastera (khasnya puisi) untuk diabadikan bersama khazanah alam semula jadinya serta alam legendanya. Hasrat ini berjaya dijelmakan melalui penganjuran program PPAGL dengan mengumpulkan para penulis dan pengkarya di kaki dan di puncak Gunung Ledang.
3. Setelah sebulan lebih menunggu para peserta dan bukan peserta (yang bersedia menyumbang walaupun tidak hadir - kerana berhalangan serta tempat terhad) menghantar karya secara berperingkat, maka hasilnya telah terkumpul sebanyak 75 karya puisi yang masih hangat dan belum disunting lagi berada dalam komputer dan di meja saya. Secara peribadi, terasa teruja membaca puisi penulis dan pengkarya yang menghantarnya - ya dalam pilihan kata yang teliti serta terpilih indah dalam jalinan kata demi kata serta baris ayat yang kuat bercerita tentang legenda dan alam Gunung Ledang itu sendiri. Tahniah buat para penulis yang menyumbang karya tersebut!
4. Nama-nama besar puisi tanah air dan negeri Johor yang menyumbang 2 - 3 puisi karyanya termasuklah (hanya menyebut beberapa nama) Amiruddin Ali, Shamsudin Othman, Rahimidin Zahari, SM Zakir, Shapiai Mohd Ramly, Azhar Salleh, W.B. Rendra, A. Hamid Jemain, Zulfazlan Jumrah, Mohd Rosli Bakir, Mohamad Taufek Mahamud, Yahaya Suip, dan Rahimah Muda. Puisi yang unik dengan satu tema iaitu Gunung Ledang dicernakan dalam pelbagai bentuk penyampaian antaranya bernada romantisme dan marah, sinis dan sinikal, bangga dan pasrah, lucu dan usikan, puja dan sebagainya.
5. Proses selanjutnya puisi-puisi yang terkumpul ini (dalam bentuk mentah dan kasar) akan diserahkan terlebih dahulu kepada pihak PTNJ, lalu seterusnya proses penyuntingan dalam aspek ketepatan dan kesalahan ejaan (termasuk kesalahan menaip), seterusnya proses ke arah penerbitan dan percetakan sebenarnya. PTNJ berhasrat untuk menerbitkan buku antologi secepatnya dalam bulan November nanti. Kos penerbitan buku yang berstatus khidmat sosial (bukan untuk dijual) ini akan ditanggung pihak PTNJ.
6. Semoga buku ini berjaya diterbitkan dengan baik seadanya, terima kasih buat semua para penulis / pengkarya yang sudi secara sukarelawan menyumbang puisi karya penat lelah tuan dan puan semuanya untuk khazanah ilmu serta pelbagai manfaat dapat dinikmati ramai masyarakat. Sumbangan ikhlas dan sukarela tuan dan puan penulis amat besar maknanya buat dokumentasi pihak PTNJ dan juga DBPWS. Terima kasih buat PTNJ yang punyai inisiatif besar untuk hal-hal sebegini serta melibatkan secara bersama pihak DBPWS, PPJ dan YWJ dalam program yang julung kali seumpamanya buat para peserta tempoh hari. Terima kasih dan Tahniah.


Sabtu, September 12, 2009

TAHAP LAMA: ANGKUHNYA BOLA SEPAK MALAYSIA

1. Sedang banyak pasukan di benua lain kini bergelut dan bersusah payah untuk memperoleh tiket ke Piala Dunia 2010, pasukan bola sepak Malaysia tetap pada tahap lama - permainan tidak seberapa baik serta bermutu tetapi tetap jaguh dalam kata-kata angkuh.
2. Baca akhbar hari ini (12 September 2009); tajuk akhbar tempatan melaporkan bahawa nada angkuh masih menguasai skuad Malaysia tentang kejayaan skuad bawah 23 tahun Malaysia menewaskan pasukan Lesotho. Pasukan Lesotho ini juga pasukan muda yang rasa-rasanya pasukan tahap 3 dalam pasukan bola sepak kategori skuad mudanya. Maka 'hebohlah dan bernada angkuhlah' 1 Malaysia atas kejayaan besar (kononnya) tewaskan pasukan Lesotho ini. Akhbar laporkan seperti sebahagian kutipan di bawah termasuk tajuk dalam Harian Metro iaitu Lesotho jadi 'soto':
Lesotho jadi ‘soto’ - Harian Metro

PENANGAN yang dibawa pulang ketika menyertai perlawanan persahabatan dengan Arab Saudi dan Jordan, baru-baru ini nyata memberi impak bermakna buat skuad kebangsaan untuk melakarkan kemenangan besar ke atas Lesotho dalam aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.


Skuad negara belasah Lesotho - Berita Harian
Anak didik Rajagobal pamer rentak cemerlang kuasai ruang permainan
MALAYSIA menggunakan Lesotho sebagai medan latihan menajamkan serangan menjelang Sukan Sea Laos dengan meledakkan lima gol tanpa balas ke atas pasukan lemah benua Afrika dalam perlawanan persahabatan di Stadium MBPJ, malam tadi.
Malaysia yang bermula garang sejak sepak mula akhirnya mendahului menerusi kesilapan pertahanan Lesotho yang membuat lambungan sisi ke rakan sepasukannya yang disambar oleh Zaquan Adha sebelum merembat kencang melepasi penjaga gol, Samuel Ketsekille dua minit sebelum rehat.


Malaysia belasah Lesotho - Utusan Malaysia
PETALING JAYA - Skuad bawah 23 Malaysia mengakhiri fasa kedua persediaan ke Sukan SEA Laos dengan membelasah Lesotho 5-0 dalam satu perlawanan persahabatan semalam.
Mohd. Zaquan Adha Razak, Norshahrul Idlan Talaha, Abd. Manaf Mamat (2) dan Amirul Hadi Zainal memastikan kemenangan di Stadium Petaling Jaya itu dengan gol pada minit ke-40, 44, 83, 87 dan 90.
Kemenangan besar itu diperoleh selepas skuad negara pulang daripada Jelajah Asia Barat yang menyaksikan mereka dikalahkan Arab Saudi 1-2, Kelab Al-Qadisiyah 0-1 dan mengikat Jordan 0-0.

"Kita telah bermain dengan Jordan, China , Kenya dan Arab Saudi yang lebih baik rankingnya tetapi mereka tidak mampu menjadikan kita pasukan belasahan," kata ketua jurulatih negara, K. Rajagobal.


Skuad Malaysia belasah Lesotho - KOSMO
SKUAD bola sepak kebangsaan mudah membenam Lesotho 5-0 pada aksi persaha- batan antarabangsa di Stadium MBPJ, Kelana Jaya malam tadi.
Malaysia memperoleh gol pembukaan pada minit ke-40 selepas Zaquan Adha Radzak mudah menolak bola masuk ke gawang Lesotho hasil kesilapan pertahanan lawan, Thabo Masualle.

Khamis, September 10, 2009

SEKITAR KELAYAKAN PIALA DUNIA 2010: ZON EROPAH DAN AMERIKA SELATAN - 2


ZON EROPAH BAKI 2 PERLAWANAN - SEPANYOL DAN ENGLAND LAYAK!


1. Selesai perlawanan semalam, semua pasukan telah bermain 8 perlawanan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2010 Zon Eropah, hanya tinggal 2 lagi perlawanan untuk setiap pasukan (kecuali pasukan dalam kumpulan 9 Eropah yang bermain hanya 9 perlawanan) yang bakal diadakan pada 10 dan 14 Oktober 2009.



2. Pasukan Belanda (juara kumpulan 9), Sepanyol (juara kumpulan 5) dan England (juara kumpulan 6) telah mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2010. Menanti lagi 6 pasukan Zon Eropah yang akan layak secara automatik (selaku juara kumpulan) dalam baki dua perlawanan kelayakan pada 10 dan 14 Oktober 2009 nanti. Pasukan naib juara kumpulan akan bertarung secara timbal balik untuk melengkapi 13 pasukan wakil Zon Eropah yang akan bertanding dalam Piala Dunia 2010 nanti. Formula FIFA untuk Zon Eropah ini seperti di bawah (kutipan dalam laman web fifa.com ):


Determining Europe's runners-up
When the group phase of European Zone qualifying reaches its conclusion on 14 October 2009, the nine section winners will be guaranteed a place at the 2010 FIFA World Cup South Africa™. Thereafter, the eight best runners-up will compete in two-legged play-offs, with the continent's four remaining tickets to the world finals at stake.
Group 9 consists of five teams, one less than the other pools. When calculating the best runners-up, therefore, matches played against the sixth-placed finishers in Groups 1 to 8 will not be taken into consideration. The criteria will be as follows;
- Total points- Goal difference- Goals scored- Goals scored away from home- Disciplinary record *- Drawing of lots
* Yellow card, -1 point; two yellow cards in the same match, -3 points; red card, -3 points; yellow card followed by a direct red card in the same match, -4 points.



3. Pasukan pilihan yang cemas kini untuk layak secara automatik merupakan pasukan Perancis (kumpulan 7 bersaing dengan Serbia), Portugal (kumpulan 1 bersaing dengan Denmark, Sweden dan Hungary), dan Jerman (kumpulan 4 bersaing dengan Russia). Manakala pasukan pilihan dan juara bertahan Piala Dunia iaitu Itali (pendahulu kumpulan 8 dengan 20 mata) memerlukan 3 mata daripada 2 baki perlawanan untuk layak secara automatik selaku juara kumpulan. Pesaing kumpulan 8 bersama Itali merupakan pasukan Republik Ireland (kini 16 mata).



4. Mungkinkah pasukan bukan pilihan iaitu Slovakia, Slovenia dan Ireland Utara akan layak secara automatik dengan menjuarai kumpulan 3. Sungguh mengecewakan dalam kumpulan 3 ini pabila Republik Czech (salah satu pasukan pilihan) terumbang ambing serta amat tipis untuk layak ke Piala Dunia walaupun melalui jalan perlawanan 'play-off' nanti. Rasa-rasanya Republik Czech harus tumpukan sahaja untuk Piala Eropah pada 2012 nanti.


ZON AMERIKA SELATAN: SENGIT - ARGENTINA TERUS KALAH LAGI, SEMAKIN CEMAS DAN LEMAS!


1. Brazil telah layak minggu lalu, kali ini diikuti oleh pasukan Paraguay yang mengalahkan Argentina 1 - 0. Argentina terus cemas dalam kelelahan untuk layak secara automatik dalam 4 pasukan terbaik daripada 10 pasukan Zon Amerika Selatan ini.
2. Argentina yang bermain 16 perlawanan (berbaki 2 lagi perlawanan) kini hanya mengumpul 22 mata (kedudukan ke-5) di belakang Brazil (15 perlawanan - 30 mata), Paraguay (16 perlawanan - 30 mata), Chile (15 perlawanan - 27 mata), dan Ecuador (16 perlawanan - 23 mata). Pesaing lain yang mengancam Argentina untuk layak automatik merupakan pasukan Ecuador, Uruguay dan Colombia; tiga pasukan ini mengumpul mata yang berbeza 1 - 2 mata sahaja di belakang Argentina hasil daripada 16 perlawanan.
3. Baki dua perlawanan untuk 10 pasukan Zon Amerika Selatan akan berlangsung pada 10 dan 13 Oktober 2009 nanti. Argentina kemungkinan agak tipis untuk layak secara automatik dalam 4 pasukan teratas zon ini ke Afrika Selatan. Argentina akan bertemu Peru (tempat sendiri) pada 10 Oktober 2009 dan menentang Uruguay (tempat lawan) pada 13 Oktober 2009. Kemungkinan Argentina sekadar meraih tempat ke-5 dalam kumpulan Zon Amerika Selatan ini. Mengikut format FIFA, pasukan tangga ke-5 Zon Amerika Selatan ini akan bermain 'play-off' menentang pasukan tangga ke-4 Zon Amerika Utara, Tengah dan Carribbean untuk layak ke Piala Dunia 2010.
ARGENTINA KINI CEMAS DAN LEMAS BERSAMA TOKOH BESAR DAN HEBAT BOLA SEPAK DUNIA - MARADONA!
SAMA-SAMA KITA NANTIKAN PERLAWANAN KELAYAKAN YANG BERBAKI 2 PERLAWANAN LAGI BUAT PASUKAN-PASUKAN DALAM ZON EROPAH DAN AMERIKA SELATAN INI. INGAT TARIKH 10, 13 DAN 14 OKTOBER 2009 UNTUK PENENTUAN PASUKAN DALAM DUA ZON INI YANG LAYAK SECARA AUTOMATIK KE PIALA DUNIA 2010.

Rabu, September 09, 2009

TEATER ANUGERAH MERDEKA - SUATU CATATAN UMUM PERIBADI

Foto selingan: Pementasan Teater 'Roh Semberani' (tahun 2008).

Poster Teater Anugerah Merdeka 2009.

Menerusi laporan akhbar Berita Harian (ruangan HIP) hari ini berjudul "Dua teater pendek ke skala besar"... Tahniah buat kumpulan Persatuan Teater KESUMA-I Johor Bahru kerana terpilih untuk mementaskan teater yang lebih berskala besar. Pelibatan kumpulan ini dalam Teater Anugerah Merdeka 2009 pada 17 - 19 Ogos 2009 di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur merupakan anjuran DBP dan Merdeka Award.

Sekadar Catatan Umum Peribadi

Secara peribadi saya telah dihubungi oleh En. A. Wahab Hmazah pada awal minggu pertama Ogos 2009 yang ingin saya maklumkan dan salurkan 2-3 kumpulan dari Johor untuk menghantar penyertaan dalam Teater Anugerah Merdeka 2009, lalu saya hubungi beberapa kumpulan di Johor (termasuk sebuah kumpulan Singapura) yang saya kenali melalui telefon dan SMS.

Selang dua tiga hari berikutnya maka dapatlah 3 kumpulan yang menghantar sinopsis dan pelakon serta krew terlibat untuk teater mini 15 minit ini. Saya segera hantar sinopsis termasuk senarai pelakon dan krew 3 kumpulan ini kepada En. A. Wahab Hamzah melalui e-mel dan faksimile.
Selang seminggu selepas itu ketika saya berkembara ke Pulau Pisang, Pontian pada 9 Ogos 2009, saya menerima SMS En. A. Wahab Hamzah menyatakan kumpulan Persatuan Teater KESUMA-I melalui tajuk Reyok, Nafas Bangsa terpilih antara 16 kumpulan yang bakal mementaskan teater mini 15 minit pada 17 - 19 Ogos 2009 di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur.

Berkebetulan ketika itu Pengarah Reyok, Nafas Bangsa iaitu Pn. Rahimah Muda turut sama ketika di Pulau Pisang, Pontian itu, lalu saya terus menunjukkan SMS yang menyatakan kumpulan dan karyanya terpilih daripada 40 penyertaan yang diterima pihak Anugerah Merdeka dan DBP yang meliputi seluruh negara. En. A. Wahab Hamzah hanya memberitahu bahawa ada sedikit honorarium yang akan diberikan kepada setiap kumpulan yang membuat pementasan itu.

Sidang media tentang pementasan ini diadakan pada 13 Ogos 2009 di DBP, Kuala Lumpur. Kumpulan KESUMA-I ini tidak dapat hadir dalam sidang media itu. Pada hari yang sama saya mendapat maklum bahawa KESUMA-I diberikan giliran pementasan pada 18 Ogos 2009, juga dimaklumkan bahawa bukan calang-calang kumpulan, pelakon, pengarah dan penggiat teater yang terpilih antaranya nama besar seperti Mamat Khalid, Khir Rahman, Vanidah Imran, Farid Kamil, Ladin Nuawi, dan Rahimidin Zahari. Pada 17 Ogos 2009 (sebelum kumpulan berangkat ke KL), saya memohon kumpulan agar adakan pratonton Reyok, Nafas Bangsa di Balai Seminar DBPWS, Johor Bahru. Selepas pratonton saya cuma doakan agar kumpulan ini membuat pementasan yang baik dan bermutu... itu sahaja!

Namun pada 18 Ogos 2009 saya dimaklumkan oleh kawan di KL bahawa pihak Anugerah Merdeka dan DBP akan memilih 2 atau 3 kumpulan yang terbaik untuk diberikan peluang mementaskan teater mini ini ke pementasan yang berskala besar. Saya hairan...? mengapa 2 minggu sebelum pementasan tiada dimaklumkan tentang adanya pemilihan sebegini pula? Maka kawan dari KL menjelaskan keputusan ini baru diputuskan selepas sidang media tempoh hari; namun saya tidak berharap apa-apapun.

Setelah pementasan selasai pada 19 Ogos 2009 saya terdengar 'khabar-khabar nakal yang janggal' bahawa Reyok, Nafas Bangsa terpilih, beberapa kenalan memberitahu perkara yang sama, namun saya tetap berpegang teguh bahawa selagi TIADA SURAT RASMI maka tiada kepastian semuanya ini. Walaupun telah tersiar dalam akhbar Berita Harian (ruangan hiburan - HIP) hari ini... tapi sehingga kini saya nasihatkan kumpulan agar menunggu SURAT RASMI daripada pihak Anugerah Merdeka dan DBP tentang terpilihnya Reyok, Nafas Bangsa untuk dipentaskan kepada skala yang lebih besar.
_________________________________________________

Di bawah ini disertakan berita berkenaan yang dikutip dalan BH Online (ruangan HIP):
Dua teater pendek ke skala besar
DUA teater yang dipentaskan sempena Festival Teater Pendek Anugerah Merdeka pada Ogos lalu, dipilih untuk dikembangkan dan dijadikan pementasan lebih besar. Teater pendek itu ialah Merdeka Apa? karya dan arahan Mamat Khalid, manakala satu lagi ialah Reyok Nafas Bangsa daripada Rahimah Muda. Kedua-duanya adalah antara 16 teater yang dipentaskan dalam festival anjuran bersama Sekretariat Anugerah Merdeka dan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) di Stor Teater DBP pada 17 hingga 19 Ogos lalu.
Teater lain yang dipentaskan ketika itu ialah Selendang Tun Fatimah Sundang Melaka, Mat Arshad Mati Dibunuh, Satu, Apa Maknanya 63, Sehelai Surat Berkisah dan Bidan Ketujuh.Karya teater lain ialah Maafkan Aku, The Price, Lampu Suluh Jam Dinding, Merdeka Apa?, Merdekakah Kita, Mereka Mereka Merdeka, Satu Enam Empat Kaunter Empat, Lima Jam Sebelum Laungan Merdeka di Stadium Merdeka dan 3-1...1-3.
Selama tiga malam berturut-turut, Sekretariat Anugerah Merdeka dan DBP akan memilih dua teater yang dianggap paling menonjol dan berpotensi untuk dikembangkan. Setiap teater yang dipentaskan dinilai dan diberi markah oleh seorang wakil daripada setiap kumpulan teater yang terbabit yang dilantik oleh kumpulan itu sendiri. Merdeka Apa? dan Reyok-Nafas Bangsa memperolehi undian tertinggi untuk layak dipentaskan dalam skala lebih besar pada Januari 2010 nanti. Selain itu penganjur dan Sekretariat Anugerah Merdeka juga amat berpuas hati dengan kejayaan dan sambutan yang sangat memberangsangkan daripada penggiat dan peminat teater.

090909 - HARI RADIO MALAYSIA: SATU PUJIAN DAN TEGURAN BUAT SINAR FM

1. Hari ini 9 September 2009 merupakan Hari Radio Malaysia. Mungkin ramai yang kurang mengetahuinya, diri ini sendiri juga pada mulanya tidak sedar tetapi setelah mendengar hebahan berulang kali dalam radio sejak seminggu yang lalu barulah tahu.
2. Secara terus terang diri ini selalu mendengar stesen dan siaran radio Sinar FM sama ada di pejabat dan dalam kereta. Sinar FM merupakan stesen radio utama diri ini. Sejak 2 tahun belakangan ini Sinar FM melonjak jumlah pendengarnya kerana keistimewaan juruhebahnya dan sajian lagu yang disiarkan. Menurut kajian, Sinar FM ini diminati dan didengari majoritinya pendengar berumur 30 tahun ke atas. Umum mengetahui lagu-lagu yang disiarkan merupakan lagu-lagu segar tahun 1970-an hingga 1990-an, kadang kala lagu-lagu era 1960-an dan 1950-an disiarkan dalam segmen tertentu. Selain Sinar FM, diri ini juga meminati dan mendengar 2 rangkaian stesen radio Singapura iaitu WARNA (94.2 FM) dan RIA (97.8 FM).
3. Sebut hal Sinar FM ini maka kekuatannya banyak bergantung kepada juruhebahnya, jika segmen pagi (6 pagi - 10 pagi) pasti 'riuh dan segar' dengan keletah Salleh Yaakob, Raja Azura dan Khairil Rashid. Manakala disambung pukul 10 pagi hingga 2 petang dikelolakan dengan penuh riang, usikan dan berilmu oleh Abby Fana. Diri ini cukup senang dan selesa mendengar radio Sinar FM ketika waktu awal pagi sehingga awal petang ini (6 pagi - 2 petang).
4. Cuma kurang sedap didengar pabila segmen petang (2 petang - 6 petang) yang dikendalikan oleh Linda Onn kerana juruhebah ini seumpama 'syok sendiri' serta kadang kala fokus cerita atau sembang-sembangnya yang dicipta khas untuk pendengar memuji dan memperkatakan tentang diri juruhebah yang seorang ini. Cara beliau mengendalikan siaran dalam segmennya masih terikat dengan gaya stesen radio muda-mudi dan remaja seperti dalam radio ERA, lontaran isu yang dibuat-buat lebih kepada 'provokasi' agar pendengar @ pemanggil 'memuji dan memperkatakan' tentang dirinya, selain itu banyak bicaranya pasal cinta, kecewa cinta, putus cinta, ditinggalkan kekasih kerana cinta dan pelbagai hal cinta lagi. Rasanya beliau sesuai untuk stesen radio yang berjenama muda-mudi @ remaja dalam lingkungan umur 16 hingga awal 20-an tahun.
5. Sempena Hari Radio Malaysia ini, semalam (8 September 2009) terdengar dalam pukul 6.50 petang Sinar FM mengumumkan waktu solat Maghrib dan berbuka puasa untuk bandar-bandar utama seluruh negara; dalam rakaman itu disebutnya waktu solat Maghrib dan berbuka puasa bagi Johor Bahru dan Singapura pukul 7.13 minit malam! sedangkan semalam waktu Maghrib di Johor Bahru pukul 7.08 minit malam. Beza besar 5 minit kerana 7.13 minit malam merupakan waktu Maghrib bagi Johor Bahru pada permulaan Ramadan 18 hari yang lalu, mungkin stesen radio Sinar FM tersalah putarkan rakaman suara juruhebah yang umumkan waktu tersebut yang merupakan rakaman yang lama. Pengurusan Sinar FM harus peka dalam keadaan pendengar yang cukup prihatin tentang waktu berbuka puasa buat masa kini!
6. Selamat Hari Radio Malaysia. Semoga perkhidmatan yang diberikan kepada pendengar terus meningkat berlandaskan dunia teknologi penyiaran media massa yang semakin cepat dan maju berkembang. Tahniah Sinar FM kerana menjadi antara pilihan utama pendengar (5 teratas) stesen radio di Malaysia.

Ahad, September 06, 2009

LAGU ERA ROCK 'OTAI' - LAGU SEMANGAT DAN KESEDARAN

Album 'HAKIKAT' MAY tahun 1989 (terbitan Warnada).
Dalam sebuah album zaman Rock Otai (sekitar tahun 1987 - 1992) pasti ada lagu popular yang berkemundang dalam sesebuah stesen radio di seluruh negara ketika itu, kebanyakan lagu popular itu pasti juga berirama 'slow rock' serta bertemakan 'cinta-kecewa-suka-bahagia'. Namun yang menarik dalam album 'Hakikat' MAY terbitan tahun 1989 ini, tiga buah lagu yang diri ini angkat selaku LAGU SEMANGAT DAN KESEDARAN yang sehingga kini dijadikan lagu semangat dan motivasi buat diri ini.


Lagu sebegini ada bernada perlahan dan rancak dalam kategori rock tetapi liriknya yang bergabung baik dengan iramanya membuatkan lagu sebegini tetap MALAR HIJAU dalam hati ini, juga banyak lagu-lagu Search, Wings, Rusty Blade dan banyak lagi kumpulan lain seangkatannya terdapat lagu bermutu irama dan liriknya yang diri ini kategorikan sebagai LAGU SEMANGAT DAN KESEDARAN buat hidup diri ini sendiri.


Entah mengapa sejak seminggu ini diri ini kerap berulang-ulang mendengar 3 lagu ini ketika dalam kereta dalam perjalanan pergi dan pulang pekabat. 3 lagu dalam satu album MAY ini iaitu 'Pelayaran' (4 minit 38 saat), 'Dalam Kembara' (4 minit 12 saat), dan 'Hakikat Perjuangan' (5 minit 06 saat). Di bawah ini disertakan lirik 3 lagu tersebut yang dikutip dalam web ilirik.com.my. Sama-sama kita menikmati dan memperoleh manfaat berguna yang sewajarnya melalui lagu dan lirik lagu ini.
DALAM KEMBARA

Di alunan ini
Ku luahkan keresahan
Untuk menempuhi
Liku liku dunia
Berdebar hatiku
Meneruskan langkah ini
Di manakah arah
Harus kutujui

Sepanjang jalan
Penuh kesulitan
Apakah diriku
Akan berjaya
Hanya pegangan
Sebagai cahaya
Untuk menyuluh
Di lorong gelita

Oh Tuhan berikanlah semangat
Untuk aku terus berdiri
Agar dapatku meneruskan langkah ini
Dan mencari
Kebenaran

Selagi riwayat
Belum berakhir
Takkan ku henti
Perjalanan ini

Lagu: MAY
Lirik: Mus

_____________________________________________

PELAYARAN

Berilah peluang kepada diriku
Meneruskan pelayaran ini
Dan mencari secebis erti
Untuk aku berdiri
Usahlah kau menghalang diriku
Untuk mengejar cita ini
Agar ku capai kejayaan
Dalam hidup

Ku hanya memberi satu kesenian
Untuk dinikmati bersama
Akan ku hulur dengan caraku
Yang ikhlas ini

Aku juga insan seperti mu
Perlu melengkapkan diri
Melalui lorong hidupku
Akan ku teruskan
Pelayaran ini
Sehingga hujungnya

Lagu: MAY
Lirik: Mus
_____________________________________________

HAKIKAT PERJUANGAN

Berdiri megah
Lagak pahlawan
Menyumbang tenaga
Membela nusa bangsa
Pertahan kedamaian

Setia ikrar
Sedia berkorban
Demi maruah negara
Menghapus musuh durjana

Semangat perjuangan
Walau dihujani
Peluru tak bermata
Kau harungi
Dengan ketabahan

Teruskanlah
Perjuangan

Bangun segera
Pejuang perkasa
Teruslah berbakti
Semangat tetap membara
Jangan mati sebelumnya

Lagu: MAY
Lirik: Mus

SEKITAR KELAYAKAN PIALA DUNIA 2010 - ZON AMERIKA SELATAN DAN EROPAH

KELAYAKAN PERINGKAT ZON AMERIKA SELATAN -
Brazil Layak ke Piala Dunia 2010, Argentina Terus Kalah dan Cemas!


Baru sekejap tadi habis menyaksikan (10.20 pagi) perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2010. Perlawanan yang dinanti seluruh dunia, Argentina lawan Brazil, Argentina tewas 1 - 3 kepada Brazil. Brazil mengesahkan layak ke Afrika Selatan pada Jun 2010 nanti walaupun masih berbaki 3 perlawanan daripada 18 perlawanan semuanya peringkat Zon Amerika Selatan yang melibatkan perlawanan timbal balik 10 pasukan.
Argentina dengan reputasi pasukan hebat dan mantap dalam kendalian jaguh besar bola sepak dunia Maradona telah melalui 15 perlawanan dengan mengalami 5 kekalahan, 6 kemenangan dan 4 seri berkemungkinan agak sukar untuk layak secara automatik ke Piala Dunia 2010 memandangkan pasukan hebat ini hanya menduduki tangga ke-4 (mengumpul 22 mata) dalam kumpulan ini berada di belakang Brazil (30 mata), Paraguay (27 mata) dan Chile (26 mata), manakala di bawahnya tempat ke-5 dihuni pasukan Colombia (20 mata) dan Ecuador (20 mata).


Catatan: Permainan Argentina menentang Brazil di tempat sendiri cukup membosankan walaupun membariskan pemain utama antaranya Messi, Veron, Zenetti dan lain-lain. Tiada kreatif yang benar-benar mengancam kotak penalti Brazil ditambah kelemahan pertahanan yang ketara sehingga tiga gol mudah Brazil masuk ke gawang Argentina. Brazil mantap melalui Luis Fabiano, Kaka, dan Robinho dalam permainan yang bermutu. Perlawanan ini tidaklah hebat sangat namun Brazil bijak menggunakan taktikal atas kelemahan Argentina.


Perlawanan Tumpuan 9 September 2009 - Zon Amerika Selatan:
Paraguay lwn Argentina (Asuncion, Paraguay)
Uruguay lwn Colombia (Montevideo, Uruguay)
Brazil lwn Chile (Bahia, Brazil)


KELAYAKAN PERINGKAT ZON EROPAH -
Portugal Tipis ke Piala Dunia,
England dan Sepanyol Selangkah Lagi ke Afrika Selatan


Portugal yang memiliki pemain-pemain hebat dan mahal berkemungkinan gagal ke Piala Dunia 2010, semalam Portugal yang bersama Denmark, Hungary, Sweden, Albania dan Malta dalam Kumpulan 1 Eropah (Kumpulan Maut) hanya mencatat seri menentang Denmark hasil jaringan penyamaan minit ke-90 oleh Ronaldo (pemain paling mahal dunia). Portugal telah bermain 7 perlawanan daripada 10 perlawanan keseluruhannya dalam kumpulan ini dengan hanya mengutip 10 mata pada kedudukan tangga ke-4 di belakang Denmark (7 perlawanan - 17 mata), Hungary (7 perlawanan - 13 mata), dan Sweden (7 perlawanan - 12 mata). Peluang Portugal yang berbaki 3 perlawanan lagi tipis untuk layak melainkan Portugal berjaya menduduki tangga kedua kumpulan, dan seterusnya bermain dalam perlawanan 'play-off' menentang pasukan yang berkedudukan tangga kedua dalam Kumpulan 2 - 9 Eropah.
Perlawanan kelayakan peringkat Eropah yang menarik perhatian semalam; Sepanyol membelasah Belgium 5 - 0 (kumpulan 5), Itali tewaskan Georgia 2 - 0 (kumpulan 8), dan Perancis terus bergelut dengan Serbia bagi merebut juara kumpulan 7, Perancis hanya seri 1 - 1 dengan Romania di Paris.
Semalam England hanya menentang Slovenia dalam perlawanan persahabatan, England menang 2 -1 di Wembley. England kini mendahului Kumpulan 6 telah bermain 7 perlawanan dengan mengumpul mata kemenangan maksimum 21 mata, di belakangnya Croatia (8 perlawanan - 17 mata). Namun England masih berbaki 3 perlawanan lagi akan menentang Croatia pada 9 September ini di London, jika menang England layak ke Afrika Selatan.


Sepanyol yang mengungguli Kumpulan 5 dengan mata kemenangan maksimum 21 mata hasil 7 kemenangan berturut-turut pasti juga akan ke Afrika Selatan jika menang ke atas Estonia pada 9 September ini di Sepanyol. Belanda mengetuai Kumpulan 8 telah layak awal ke Piala Dunia 2010. Peluang terlalu amat tipis buat pasukan pilihan lain seperti Republik Czech dan Romania untuk sekurang-kurangnya bermain 'play-off' dalam menentukan tiket ke Piala Dunia 2010 dalam konteks kuota Zon Eropah.


Perlawanan Tumpuan 9 September 2009 - Zon Eropah:
England lwn Croatia (London, England)
Hungary lwn Portugal (Budapest, Hungary)
Itali lwn Bulgaria (Turin, Itali)
Serbia lwn Perancis (Belgrade, Serbia)
Sepanyol lwn Estonia (Merida, Sepanyol)
Scotland lwn Belanda (Glasgow, Scotland)

Jumaat, September 04, 2009

SANTAI: TENIS TERBUKA AMERIKA




1. Sejak melanggan ASTRO 3-4 tahun yang lalu rangkaian kegemaran pastinya bermula angka 8 iaitu rangakaian 811 hingga 815. Rangkaian sukan 24 jam ini kadang-kadang amat memuaskan tetapi kadang-kadang membosankan juga mengikut musim atau bulan tertentu.


2. Jika terdapat sesuatu kejohanan sukan yang besar dan mendapat tempat di seluruh dunia, maka ASTRO akan menambahkan rangkaian khas sukan terutama mewujudkan rangkaian 816. Wujudnya rangkaian tambahan khas 816 ini melibatkan kejohanan sukan besar antaranya bola sepak Piala Dunia dan Piala Eropah, tenis, sukan Olimpik dan Asia, badminton dan sebagainya. Namun begitu ketika kejohanan bola sepak Piala Dunia 2006 di Jerman yang berlangsung selama sebulan sebanyak 4 rangkaian wujud iaitu 816 hingga 819.


3. Sejak 2-3 tahun belakangan ini minat terhadap kejohanan dan perlawanan tenis semakin meningkat. Melalui siaran sukan ASTRO mulalah kenal secara mendalam apakah seni dan hebatnya perlawanan tenis. Dahulu pernah juga ikuti kejohanan tenis melalui berita televisyen dan akhbar semata-mata, maka kenallah juga nama seperti Ivan Lendl, Boris Becker, Pete Sampras, Andre Agassi, Stefi Graf, Martina Navratilova, Gabriel Sabatini dan lain-lain.


4. Terkini (sejak 2-3 hari lepas) kerap juga menonton kejohanan tenis Terbuka Amerika. Kejohanan ini merupakan taraf Grand Slam dalam tenis termasuklah kejohanan Terbuka Perancis, Terbuka Australia, dan Wimbledon dalam kalendar kejohanan tenis dunia. Kini sudah tahu agak mendalam tentang kiraan mata perlawanan tenis (0/15/30/40...), juga kenali istilah dan makna dalam permainan tenis antaranya 'double fault', 'tie break', 'challenge', dan lain-lain seadanya.


5. Dalam kejohanan tenis terutamanya kejohanan Grand Slam sering ada kejutan yang hebat, bukan seperti badminton yang hanya nama-nama yang sama sahaja yang akan masuk peringkat suku akhir /separuh akhir. Melalui tontonan perlawanan tenis mulalah mengenali nama tersohor pemain tenis lelaki dan wanita yang terkini antaranya Federer, Nadal, Djokovic, Murray, Roddick, Ana Ivanovic, Maria Sharapova, Darina Safina, Jelena Jankovic, Serena/Venus Williams, dan lain-lain lagi.


6. Siapakah pilihan yang bakal juara Terbuka Amerika kali ini. Pilihan: Nadal (lelaki) dan Safina (wanita)....



Khamis, September 03, 2009

BH SASTERA: BERITA BICARA KARYA SASTERA JOHOR 2009

DARI KIRI; Ruzaini, Azhar, Mohamad Taufek Mahamud dan Dr Arbak ketika melapah tiga karya penulis kelahiran Johor di Muar, baru-baru ini.
(Sumber BH Online)

Dalam akhbar Berita Harian (ruangan Sastera) hari ini tersiar berita program Bicara Karya Sastera Johor 2009. Terima kasih buat wartawan dan ketua unitnya kerana menyiarkan berita ini yang dapat dibaca oleh pembaca 1 Malaysia. Dalam versi cetakan akhbar yang sebenar berita ini berjudul 'Novelis Selatan tetap kreatif', manakala dalam versi laman web Berita Harian Online judulnya 'Sumbangan Pengarang Johor'. Namun begitu isi kandungan beritanya tetap sama. Berikut kutipan penuh berita berkenaan yang diambil dalam web Berita Harian Online:

Sumbangan pengarang Johor
Oleh Rusdi Abd Rahman bhsastera@nstp.com.my
Memartabatkan dunia sastera tanah air lewat karya
BICARA Karya Sastera Johor 2009 memperakukan usaha pengarang negeri itu dalam memartabatkan dunia sastera tanah air dengan memaparkan ketajaman pemikiran dan pengamatan, berusaha membentuk akal budi masyarakat Melayu dan memaparkan realiti masyarakat melalui karya. Tiga panel pada program tahunan anjuran DBP Wilayah Selatan dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera DBP dengan kerjasama Panitia Kesusasteraan Melayu Daerah Muar dan Persatuan Penulis Johor (PPJ), di SMK Raja Muda, Parit Jawa, Muar, baru-baru ini, memberi tumpuan kepada karya penulis kelahiran negeri itu.
Munsyi Dewan yang juga penulis bidang bahasa dan karya kreatif, Azhar Salleh, mengiktiraf Keris Sebilah Itu memaparkan ketajaman fikiran dan pengamatan pengarang dalam meninjau persoalan masyarakat, ketika merincikan Kritikan Sosial dalam Keris Sebilah Itu - Suatu Penerapan Teori Konseptual Kata Kunci “Pengarang banyak melontarkan pandangan jujur, ikhlas dan bernas melalui konsep yang terpadu dalam pemikirannya. Salah satu falsafah Teori Konseptual Kata Kunci ialah seseorang pengarang itu dapat dikatakan mempunyai konsep tersendiri mengenai sesuatu isu, hal, perkara, atau objek,” katanya. Azhar menegaskan bahawa tujuan utama karya adalah untuk memberi pendidikan dan membantu pembangunan minda serta sikap, lalu dalam naskhah itu, pengarang melihat persekitarannya sambil mencungkil permasalahan mahupun kemelut yang berlaku.
“Pengarang Keris Sebilah Itu, Shapiai Mohd Ramly yang berpengalaman dalam bidang pendidikan melihat kepincangan dalam masyarakat perlu disuara dan diketengahkan,” katanya dengan menghujahkan tiga perkara utama yang berkaitan dengan teori yang dipilih iaitu prinsip kepengaruhan, prinsip pemilihan kata dan prinsip kesan. Pensyarah Bahasa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Arbak Othman ketika melapah Rujukan dan Tafsiran Estetik dalam Cerpen WB Rendra: Suatu Pendekatan Semiotik, memperakukan WB Rendra melalui Antologi Cerpen Mazhab Cinta berusaha membentuk akal budi dalam usaha memastikan karya kreatifnya itu bermutu. “Rata-rata cerpen WB Rendra dalam antologi ini berkisar pada permasalahan percintaan anak-anak muda dalam proses mendewasakan perasaan, tetapi tidak sepenuhnya. Walaupun beberapa cerpen berkisar pada persoalan percintaan antara muda-mudi, kebijaksanaan pengolahan cerita terserlah,” ujarnya. Ditambah pula, apabila persoalan cinta berhasil dikaitkan dengan perjuangan ideologi, mahupun persoalan yang berat, tetapi bukan berfungsi pada tema, tanpa menafikan mutu karya sesuai untuk golongan remaja yang tidak dapat diangkat untuk dipersoal dan diperdebat oleh perhitungan orang dewasa.
Guru Kanan SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar, Ruzaini Yahya yang juga penulis prolifik Johor, meletakkan Meniti Batas sebagai karya yang membawa pendekatan realiti masyarakat, ketika memperincikan Meniti Batas: Potret Realiti Masyarakat. ”Meniti Batas karya Zulkifli Khair, memiliki mutu sebuah novel relevan sekali untuk dinilai berdasarkan pendekatan sosiologi kerana ia menampilkan kisah masyarakat. Sesuai dengan kedudukan karya sastera sebagai dokumen sosial. Pengarang secara tidak langsung didorong masyarakatnya untuk merakam sesuatu mengenai mereka,” katanya. Ruzaini Yahya berpendapat bahawa novel dewasa sulung Zulkifli itu akan mendapat kedudukan istimewa sekiranya saranan progresifnya dapat diterima serta dijadikan landasan khususnya dalam menjana ekonomi masyarakat dalam bidang perniagaan. Program yang dihadiri 130 peserta daripada kalangan guru dan pelajar tingkatan enam dalam daerah Muar, AJK PPJ, penulis dan penggiat sastera negeri Johor itu, turut dihadiri ketiga-tiga pengarang yang dibicarakan.

Selasa, September 01, 2009

BAHASA DI BAZAR RAMADAN: SUATU PENGALAMAN KECIL

Sejak 1 Ramadan 1430 H bermula 22 Ogos 2009, banyak muncul Bazar Ramadan di merata tempat. Di Johor Bahru khasnya di Bandar Baru Uda, Tampoi dan Larkin sahaja (yang sempat dikunjung) terdapat 7 - 8 Bazar Ramadan. Pelbagai juadah lazat dan hebat mudah diperoleh, pastinya juga juadah dan lauk masakan Kelantan dan Terengganu yang dicari kerana ketika ini sahajalah juadah negeri Pantai Timur mudah dibeli.


Bukan soal juadah yang ingin diperkatakan di sini tetapi sedikit pengalaman kecil melalui pendengaran, komunikasi pembeli dengan penjual, dan visual tulisan yang dipaparkan. Bahasa dan sebutan yang pelbagai dapat didengar yang merangkumi pelbagai jenis juadah dan kuih serta`tertera tulisan nama setiap juadah dan kuih. Satu pengalaman kecil yang agak membekas dan menggelikan hati seperti berikut:

i. Bazar Ramadan Plaza Angsana - 2 juruhebah sibuk dengan tugasnya mempromosi gerai jualan yang ada di situ, lalu salah seorang rakannya bertanya apakah makna dan terjemahan bagi 'black pepper'? Rakannya dengan penuh yakin dengan menggunakan mikrofon menyatakan terjemahannya 'kertas hitam', lalu rakannya menegur bahawa terjemahan dalam bahasa Melayu 'lada hitam'! Seluruh kawasan letak kenderaan Plaza Angsana mendengar 'perbualan lucu' 2 juruhebah itu.
ii. Bazar Ramadan Stadium Larkin - Seorang pembeli bertanya ada jual 'caramel' kepada seorang penjual yang sudah berusia lanjut. Kebingungan mak cik penjual itu, pembeli itu melihat ke kanan dan ke kiri... lalu ternampak kuih 'caramel' yang diingininya, mak cik tersebut dengan selamba menyebut "ohh... cakaplah kuih puding telur...".
Catatan - ejaan bahasa Melayu dalam Kamus Dewan Edisi Keempat - Karamel: gula hangus yang digunakan sebagai pewarna dan perasa makanan.
iii. Bazar Ramadan Stadium Larkin - penjual lauk Gulai Kawah dieja dan ditaip besar iaitu GULAR KAWAH. Sempat tegur peniaga itu kerana sering juga beli Gulai Kawah di gerainya.
iv. Ejaan RAMADAN banyak dieja RAMADHAN secara meluas pada kain rentang dan pelbagai bentuk makluman bercetak yang tersebar di sekitar Johor Bahru.