Kutipan yang diambil secara langsung dalam ruangan Sastera Berita Harian (17 November 2010) tentang program Kolokium Hak Cipta Penulis anjuran bersama PPJ dan DBPWS yang diadakan pada 7 November 2010 di Kolej Komuniti Pagoh, Muar, Johor.Terima kasih buat Sdra Mohd Nazmi Yaakub atas laporan dan liputan program ini.Kolokium Hak Cipta Penulis
Harapan awal selesai royalti pengarang yang buku dipilih teks KOMSAS
Oleh Nazmi Yaakub
Berita Harian, 17 November 2010
nazmi@bharian.com.myKOLOKIUM Hak Cipta Penulis tidak hanya mendedahkan selok-belok hak cipta dan membuka peluang kepada pengarang untuk mengemukakan masalah membabitkan pelanggaran hak cipta, bahkan merintis jalan penyelesaian awal terhadap isu hak cipta dalam Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).
Ini kerana kolokium anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) itu, mendedahkan kekeliruan yang dihadapi pengarang yang karya mereka dipilih sebagai teks KOMSAS apabila kontrak perjanjian yang mengandungi isu royalti hanya membabitkan Kementerian Pelajaran dengan penerbit buku.
Selain kekeliruan dalam pembahagian royalti dalam teks KOMSAS, kolokium yang turut mendapat kerjasama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) itu, turut menjadi medan untuk pengarang melontarkan pelanggaran hak cipta yang dihadapi mereka.
Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Syed Mohd Zakir Syed Othman, berkata 25 karya eceran dalam antologi cerpen dan puisi KOMSAS dipilih daripada karya pelbagai pengarang yang diterbitkan dalam buku antologi dan kumpulan yang berlainan.
“Bagaimanapun, masalah timbul apabila penulis tidak tahu mekanisme pembahagian royalti kerana kontrak perjanjian hanya menyebut pembayaran royalti lapan peratus kepada penerbit, manakala urusan pembayaran royalti kepada penulis diserahkan kepada penerbit.
“Hal ini menimbulkan tanda tanya kepada pengarang mengenai jumlah royalti yang sepatutnya diterima kerana setiap penerbit mempunyai mekanisme tersendiri dalam pembayaran itu,” katanya pada kolokium yang dipengerusikan oleh Setiausaha PPJ, Mohd Rosli Bakir di Kolej Komuniti Pagoh, Pagoh, baru-baru ini.
Syed Mohd Zakir berkata, kekeliruan itu diambil kesempatan oleh sebahagian penerbit khususnya penerbit kecil yang seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi sehingga ada yang membayar royalti terbabit secara pukal atau mengguna pakai pembahagian royalti 10 peratus daripada jumlah yang diterima.
“Katakan sebuah buku yang mengandungi 25 karya eceran berharga RM10 dengan royalti diterima lapan peratus atau 80 sen dan diterbitkan sebanyak 500,000 naskhah, maka jumlah royalti yang bakal diterima ialah RM400,000 atau RM16,000 untuk sebuah karya.
“Sekiranya penerbit mengguna mekanisme asal mereka, iaitu 10 peratus, maka penulis menerima RM1,600, iaitu tidak sampai satu peratus pun daripada royalti keseluruhan,” katanya pada kolokium yang dirasmikan oleh Pengerusi ITNM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan dihadiri Pengarah DBPWS, Nor Hashimah Ali; Ketua Satu PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kolokium Hak Cipta Penulis, Mohd Taufek Mahamud.
Melalui pendekatan terbabit, penerbit memperoleh keuntungan bersih lebih RM14,000 tanpa perlu mengeluarkan sebarang modal kerana penerbitan dan pemasaran buku untuk teks KOMSAS itu sebenarnya diuruskan oleh Kementerian Pelajaran.
“Malah ada sesetengah penerbit mendapat sehingga sembilan karya dan sekiranya mereka membuat bayaran secara sekali gus, sudah tentu mereka tidak lagi membayar royalti untuk tahun yang berikutnya. Penerbit seperti ini sebenarnya mengambil peluang daripada kelompongan perjanjian itu,” katanya.
Bagaimanapun, pendedahan Syed Mohd Zakir yang asalnya bertujuan untuk berkongsi isu soal hak cipta itu mendapat perhatian daripada Pegawai Penyelaras Khas Timbalan Perdana Menteri, Mohd Salihudin Rasul yang berjanji untuk mempertemukan wakil persatuan penulis dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikan isu terbabit.
Mohd Salihudin berkata, pandangan dalam kolokium itu bakal dikemukakan kepada Muhyiddin kerana beliau sebelum ini juga diarahkan untuk mengemukakan sebarang cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri sebelum 15 November lalu.
Terdahulu daripada itu, Penolong Pengarah Bahagian Hak Cipta, Perbadanan Hak Cipta, Siti Salwa Ghazali, berkata pengarang dan penulis perlu mempertahankan hak cipta pada karya mereka dengan mengumpulkan bukti apabila ada pihak yang melanggar hak berkenaan.
“Antara pembuktian yang boleh dibuat adalah melalui akuan bersumpah, surat berdaftar yang mengandungi karya dengan beralamat sendiri, kertas kerja atau proses penghasilan karya dan ISBN yang diperoleh daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM),” katanya.
Pengarang yang juga bekas pengamal undang-undang, Nisah Haron berkata, pengarang boleh mengesan kesalahan ciplak terhadap karya mereka dengan membuat perbandingan teks asal yang ditulisnya dengan teks yang disyaki ciplak.
“Bagaimanapun, setakat ini tidak ada had berapa peratus persamaan antara karya asal dengan karya tiruan itu kerana belum ada sebarang kes berkenaan yang dibawa ke mahkamah.
“Oleh itu, pengarang wajar untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah supaya nanti barulah ada keputusan yang boleh dijadikan rujukan dalam isu seperti ini,” katanya ketika menjawab persoalan pelanggaran hak cipta yang dihadapi oleh novelis Johor, A Hamid Jemain.
Penganjuran Kolokium Hak Cipta itu boleh disifatkan sebagai langkah tepat DBPWS dan PPJ kerana ia menjadi medan terbuka kepada pengarang dan penulis untuk mengetahui hak mereka dan menyuarakan masalah yang dihadapi.
Ini menunjukkan ramai penulis dan pengarang yang berada di negeri masih belum terdedah kepada isu hak cipta kerana ada di kalangan mereka memendam masalah yang dihadapi selama 10 tahun, sekali gus memerlukan persatuan penulis negeri untuk mengadakan landasan seperti Kolokium Hak Cipta.