Ahad, Disember 27, 2009

DIALOG PENYAIR JOHOR DI KOTA TINGGI

Menikmati kopi Kota Tinggi sambil berdialog - Shamsudin Othman, Mohd Kasim Mahmud dan Hj. Shapiai Mohd Ramly.

Gegantung acara dan foto kenangan restoran ditenggalami banjir besar.

Para hadirin: Cikgu Amiruddin tekun mencatat - SM Zakir khusyuk mendengar.

Menikmati nasi ayam paling popular di Kota Tinggi sebelum dialog bermula.
Bersempena Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Johor (PPJ) ke-32, satu program diusahakan oleh Cikgu Amiruddin Ali, Ketua 1 PPJ iaitu Dialog Penyair Johor pada 26 Disember 2009 pukul 8.30 malam di Restoran Baser, Kota Tinggi, Johor. Panel yang diundang merupakan penulis mapan dan prolifik negeri Johor pelbagai genre kreatif iaitu Hj. Shapiai Ramly dan Shamsudin Othman yang dipengerusikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud. En. Abd. Ghapar Hj. Abdullah, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat DBP turut hadir dalam program berbentuk santai dalam sebuah restoran sahaja namun meriah.
Dalam dialog ini sempat mencatat banyak perkara yang dilontarkan namun beberapa perkara yang disampaikan oleh panel dan pengerusi yang agak 'hangat' seperti di bawah:
Shamsudin Othman
- Penyair Johor menguasai dunia puisi tanah air sekitar tahun 1960-an tetapi dalam tahun 1970-an dan 1980-an pula dikuasai penyair dari Kelantan dan Terengganu, namun perjalanan penyair Johor tetap konsisten cuma tidak menguasai dunia puisi tanah air.
- Harapan agar 'roh puisi Usman Awang' dapat dikuasai kembali serta mendapat tempat pada tahap istimewa seperti kejayaan besar Usman Awang oleh penyair Johor kini.
- Penyair Johor harus berani mencipta karya puisi hebat sekurang-kurangnya dapat setaraf dengan Usman Awang.
- Selepas Usman Awang, penyair Johor seperti kurang menguasai persada puisi tanah air, bangkitlah kembali untuk menyaingi penyair dari Pantai Timur.
- W.B. Rendra dan Zulfazlan Jumrah merupakan penulis muda yang ada harapan serta sedang meningkat naik dalam kalangan penulis Johor kini.
- Bengkel yang sistematik dan terarah seperti Minggu Penulis Remaja (MPR) yang mengambil masa selama 7 - 10 hari harus digiatkan serta dijadikan contoh.
- Penyair dari Pantai Timur kini dalam landasan untuk meraih pelbagai hadiah dan anugerah sastera peringkat kebangsaan, di manakah penyair Johor khasnya dalam kalangan penyair muda, khasnya penyair wanita Johor?
Hj. Shapiai Mohd Ramly
- Johor diakui terlalu ramai penyanyi bukannya penyair.
- Siapakah penyair Johor yang boleh diangkat selepas Usman Awang...?
- Golongan penyair walaupun ada ratusan puisi yang dihasilkan tetapi untuk mengangkat 5 - 10 puisi 'hebat dan mendapat tempat' seperti contoh Latiff Mohidin dan T. Alias agak sukar, kenapa?
- Kita kena ada pengkritik untuk mengangkat puisi seseorang penyair - barulah seseorang penyair itu mendapat tempat dalam konteks karya yang dihasilkan serta dirinya, seperti seorang pengkritik mengangkat karya Latiff Mohidin...
- PPJ kena kumpulkan penyair Johor yang dahulu hingga kini, diadakan sebuah perhimpunan penyair yang dapat meninggalkan kesan.
- PPJ harus terus giat menerbitkan antologi seperti sempena mesyuarat agung secara konsisten serta menerbitkan kumpulan puisi individu penyair Johor seperti yang pernah diadakan dahulu.
- Wujudkan Anugerah Penyair Johor sebagai pengiktirafan utama atas karya dan pelibatan penulis dalam genre puisi, boleh sarankan kepada Kerajaan Negeri.
Mohd Kasim Mahmud
- Ramai penyair Johor pernah berkhidmat di Kota Tinggi; lihat sahaja Shamsudin Othman, Hj. Shapiai Mohd Ramly, Amiruddin Ali dan beberapa nama lain.
- Jangan dilupa bahawa ramai sebenarnya penyair Johor (sempat disebut beberapa nama) yang sering karya tersiar dalam media arus perdana iaitu Nazim Mohd Subari dan SM Salim.
- Jangan dilupa penyair Azhar Salleh yang banyak menghasilkan puisi bertemakan bahasa yang sememangnya banyak meluahkan rasa dalam konteks semangat dan hal bahasa.

6 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

en.rusdi,terima kasih tulisan entri ini. tahniah kepada PPJ dan kepimpinan diketuai Cikgu Amir. dan DBPWS yang banyak menyokong aktiviti bersama. -> seleranya tengok nasi ayam tu.he.he.

Melihat Kesunyataan berkata...

Rusdi,
Terima kasih kerana laporan yang menarik tentang dialog penyair itu. Memang Sifu kita tu sudha banyak menghasilkan sajak. Saya berharap benar untuk membaca Kumpulan puisi perseorangannya.
Tentang WB Rendra juga ramai yang bertanya. Selalu ada saya, adalah rendra.
Forum 1 Malaysia pagi mesyuarat juga menarik dengan isu-isu yang dibawakan oleh ahli panel kita, terutama Ketua Satu PPJ, Amiruddin Ali. Dia bertegas dengan peranan ahli politik dan pendidik.
Amiruddin juga kekal sebagai Ketua Satu, menang tanpa bertanding.

Zaid Akhtar berkata...

Ttahniah, Cikgu Amir.

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Entri ini menjadi dokumentasi yang amat menarik kerana bersifat pelaporan. Tahniah atas usaha RAR ini. Johor tidak ketandusan penyair pelapis yang bakal mengangkat kesusasteraan yang mantap suatu hari nanti. Nazim Subari, WB Rendra, Zulfazlan Jumrah, dan lain-lain merupakan pencetus kebangkitan sastera Johor. Cuma yang diharapkan ialah sokongan dan tindakan yang mampu menghasilkan lebih ramai penulis baru dan memperteguh penulis yang mapan. Saranan Tuan Haji Shapiai amat menarik untuk dihalusi. Insya-Allah tuan haji, mudah-mudahan 2010 nanti, akan lahirlah kumpulan puisi perseorangan Azhar Salleh! (waduh...dari tahun ke tahun!)Saya percaya dengan kepimpinan lama dan baru dalam PPJ, akan bergerak lebih jauh selepas ini. Tahniah kepada Cikgu Amir dan AJK yang telah diamanahkan ini. Pastinya, kalungan tahniah kepada 'ayahanda' kita, Tuan Haji Shapiai.

Zulfazlan Jumrah berkata...

Salam En. Rusdi. Terima kasih untuk entri ini. Walaupun saya tak dapat hadir (kekangan waktu kuliah), saya tetap menanti dan mengikuti perkembangan di bumi daksina. Hati tetap di selatan. Apa pun, tahniah untuk seluruh warga PPJ dan DBPWS. Percayalah, kita bernafas udara yang sama, merentas lembah perjuangan yang sama.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Sdra. Wahyu,
Seperti biasa (dalam ungkapan klise tetapi perlu dinyatakan) diri ini hanya mampu seadanya atas dasar minat - cinta - sayang serta itulah tugas hakiki menggerakkan program pengembangan sastera di negeri Johor dan Melaka.
Tentang nasi ayam malam itu: diri ini makan tambah dua pinggan... Hehehe...

Tn. Hj. Shapiai,
Satu hal paling tidak dapat dilupakan kata-kata Tn. Hj. iaitu "JOHOR DIAKUI TERLALU RAMAI PENYANYI BUKANNYA PENYAIR...".
Sifu itu sebenarnya pada tahap 'jatuh hukum wajib' untuk diterbitkan sebuah kumpulan puisinya sendiri, Sifu itu tidak layak lagi berada dalam sebuah antologi penulis yang ramai, tahapnya cukup lengkap dan sempurna untuk memiliki kumpulan puisi persendirian... Apa-apapun kita hanya mampu melorongkan idea, tuan empunyalah yang menentukannya.

Cikgu Zaid,
Tahniah kerana 2-3 orang pelajar SMKA Segamat terpilih... terpilih apa ya..? Nantikan entri seterusnya...

Cikgu Azhar @ Sifuku,
Nama Sifuku ini disebut-sebut kerana tahap kepenyairannya yang terbukti berkesan dan mantap (Amaran: Siapa yang nafikannya, boleh berhujah dengan diri ini...!) khususnya yang disebut tentang hal-hal @ isu-isu bahasa pada malam tersebut.
Seperti biasa RAR hanya pelorong dan penggerak semampu adanya yang terjangkau untuk penulis @ penyair @ penggiat sastera di negeri Johor ini, tuan empunya dirilah yang menentukan hala tuju seterusnya...

Sdra. Zulfazlan,
Nama anda dan WB Rendra disebut-sebut dalam kalangan penulis muda untuk menaikkan nama Johor dalam dunia kepenyairan tanah air, kenapa...? bolehlah Sdra. tanya Tuan Shamsudin Othman dan Hj. Shapiai, mereka ada jawapan yang konkrit.