Rabu, Jun 06, 2012

MUZIK UNTUK SEKSAAN...?

MUZIK SEBAGAI KAEDAH SEKSAAN CIA. Menarik dan peroleh maklumat baharu pabila membaca tulisan Johardy Ibrahim dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini. Antara lagu yang digunakan untuk kaedah ini termasuklah "ENTER SANDMAN" (Metallica), lagu tema rancangan kanak-kanak "Sesame Street" dan "Barney and Friends". Khabarnya pihak CIA gunakan lagu-lagu ini untuk 'seksaan' kepada tahanan di Kem Guantanamo?

Jumaat, April 27, 2012

PENILAIAN BERMULA...

Penilaian sudah bermula....
31 Mac 2012 lalu merupakan tarikh tutup Sayembara Menulis Cerpen dan Puisi Negeri Johor 2012. Luar jangkaan tahap biasa juga penyertaan yang diterima, kiraan umum setelah dijilidkan kesemua karya bahawa dicatatkan sejumlah 495 puisi dan 198 cerpen diterima. Ini hanyalah sekadar angka penyertaan karya yang diterima, mutu dan tahap karya akan diserahkan kepada para panel penilai untuk membuat penilaian sedikit masa lagi. Agak mengejutkan ramai juga dalam kalangan pelajar sekolah (kemungkinan atas galakan yang giat guru di sekolah) yang menyertai sayembara kali ini.
 

 

Isnin, April 23, 2012

BERJANJI...

Mengambil inspirasi unggul AS, maka berjanji dengan diri sendiri untuk kembali aktif (sekurang-kurang menulis 2-3 entri seminggu) menulis dan mencatat sesuatu serta apa-apa sahaja dalam blog sendiri setelah 3-4 bulan tidak mencatatkan sesuatu. Mahu dikatakan aktif menulis dalam FB tidak juga (sekadar 1-2 entri dalam 3-4 hari sahaja)... makanya harus berjanji dengan sendiri untuk kembali mencatat apa-apap sahaja dalam blog ini walaupun blog ini tidaklah dikunjungi ramai seperti blog politik dan sebagainya. Ya... diri ini berjanji untuk diri sendiri, harapan agar hal ini bukanlah "indah khabar daripada rupa". Insya-Allah.

Jumaat, Januari 27, 2012

PENYERTAAN SAYEMBARA MENULIS CERPEN DAN PUISI NEGERI JOHOR 2012

Buku antologi karya puisi Sayembara Puisi Johor 2004.



SAYEMBARA MENULIS CERPEN DAN PUISI NEGERI JOHOR 2012
Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS)

1. PENDAHULUAN
DBP Wilayah Selatan mengambil inisiatif menganjurkan Sayembara Menulis Cerpen dan Puisi Negeri Johor 2012. Sayembara seumpama ini kali terakhir diadakan pada tahun 2004 dan 2005 oleh DBP Wilayah Selatan khususnya buat warga negeri Johor. Sayembara ini diharap dapat menyemarakkan kegiatan apresiasi kesusasteraan, khususnya melibatkan penulisan karya kreatif dalam kalangan masyarakat di negeri Johor serta anak negeri Johor di seluruh negara selain menjadi wadah mengembangkan bakat khasnya dalam bidang penulisan cerpen dan puisi.

2. OBJEKTIF
2.1 Memupuk dan menyemai perasaan kecintaan terhadap bidang penulisan kreatif dan berusaha ke arah pencapaian yang lebih cemerlang dalam bidang ini.
2.2 Menghimpunkan karya-karya cerpen dan puisi baharu dan bermutu dalam pelbagai tema antaranya termasuklah kemanusiaan, moral, seni budaya, kepimpinan atau sejarah, kebudayaan, pembangunan, kecemerlangan, keistimewaan tempat dan sebagainya secara umum.
2.3 Mengumpul karya hasil pemenang yang bermutu bagi tujuan penerbitan.
2.4 Menghasilkan antologi cerpen dan puisi yang berkualiti dan mencapai kualiti isi kandungan yang sewajarnya berdasarkan tema yang diketengahkan.
2.5 Menjadi wadah pilihan yang penting bagi menyuburkan aktiviti seni kesusasteraan di negeri Johor.
2.6 Menghargai dan menghayati sumbangan penulisan karya sastera dalam membina tamadun bangsa.

Syarat dan borang penyertaan boleh diperoleh di Pejabat DBP Wilayah Selatan, Larkin Perdana, Johor Bahru, Johor. Tarikh tutup menghantar borang penyertaan pada 31 Mac 2012.

Untuk maklumat lanjut, silalah hubungi pihak DBPWS:
i. En. Rusdi Abd Rahman
(e-mel: rar@dbp.gov.my / no. tel.: 07-2358802 / no. faks.: 07-2358686)
ii. En. Raja Shaiful Azizul Azuan (e-mel: azuan@dbp.gov.my / no. tel.: 07-2341813)

Sekian, terima kasih.