Selaku peminat dan pengikut rangkaian sukan Astro (Saluran 811 hingga 816) pasti ada sedikit kejutan pabila ESPN SportCenter Malaysia menyiarkan berita sukan dalam bahasa Melayu. Semalam pukul 10.30 malam diri ini dan anak dapat mengikuti berita SportCenter dalam bahasa Melayu sepenuhnya termasuk catatan tentang keputusan perlawanan sukan dan kedudukan liga bola sepak Eropah melalui visual yang dipaparkan.
Sememangnya rangkaian sukan Astro melalui Saluran 811 hingga 816 banyak menyiarkan perlawanan dalam sukan (khasnya bola sepak) dan berita sukan seluruh dunia, namun dengan penyiaran berita sukan dalam bahasa Melayu melalui ESPN SportCenter merupakan suatu kebanggaan kerana mengangkat peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Memang siaran berita pertama dalam bahasa Melayu melalui saluran ini semalam masih ada kekurangan penyampaiannya tetapi boleh diperbaiki melalui peringkat demi peringkat. Tahniah kepada ESPN SportCenter Malaysia atas usaha baik ini dalam menyuburkan penggunaan bahasa Melayu secara meluas melalui penyiaran televisyen yang bersifat serantau ini.
________________________________________________________
Kutipan akhbar Utusan Malaysia - 1 Disember 2009
ESPN lancar edisi bahasa Melayu
Berikutan tumpuan yang semakin tinggi terhadap berita sukan tempatan, para penonton berpeluang menyaksikan lebih banyak wira-wira sukan di saluran ESPN, juga liputan lebih menyeluruh sukan antarabangsa dalam bahasa Melayu.
Program SportsCenter Malaysia dilancarkan pada April 2007 dalam bahasa Inggeris dan ia terus menjadi saluran kegemaran di kalangan peminat sukan dan mencatat rating penonton yang tinggi. Pengarah Urusan ESPN StarSports, Manu Sawhney, berkata, pihaknya terus komited untuk membawa info sukan terbaik kepada para penonton saluran tersebut.
''Program SportsCenter Malaysia dalam edisi bahasa Melayu merupakan bukti komitmen kami untuk menyampaikan berita sukan tempatan dan antarabangsa yang terbaik untuk para peminat.
''Ia dilakukan demi memenuhi keperluan dan bahasa pilihan para penonton.
''Dengan jumlah peminat sukan yang semakin bertambah di Malaysia, berita sukan dalam edisi bahasa Melayu ini akan membawa sukan lebih dekat dengan mereka, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,'' katanya.
2 ulasan:
Salam. Ini satu perkembangan yang menarik. Lebih daripada itu, sektor penterjamahan akan bertambah meriah. Bolehlah saya hantar "sebut harga". Bilalah agaknya sifu-sifu bahasa nak ambil peluang ini...
Salam RAR,
Perkara ini merupakan suatu perkembangan yang sangat positif. Jika kita mengikuti siaran Astro Super Sport atau ESPN, kita sering melihat komentator dalam perlawanan bola sepak itu dibuat dalam 2 bahasa, iaitu bahasa Inggeris dan Kantonis/Mandarin. Jika RAR selalu menonton siaran AXN, lihat terjemahan bahasa Melayu yang digunakan. Bukan setakat sangat baik, kadang-kadang membuatkan saya membuka kamus untuk mencari makna perkataan yang digunakan (bahasa yang jarang amat digunakan oleh televisyen Malaysia dalam konteks penterjemahan.
Catat Ulasan