Khamis, Julai 30, 2009

KUTIPAN: KECIL-KECILAN CUMA TAPI TERSEBAR 1 MALAYSIA



DARI kiri; Shapiai, Hamzah Hamdan dan Mohamad Taufek pada sesi forum Kolokium Penulis Johor 2009: Hala Tuju Penulis Johor anjuran DBP Wilayah Selatan dan PPJ di Larkin Perdana, Johor Bahru, baru-baru ini.

PPJ mahu terus unggul

Setiap ahli boleh menyumbang dalam menentukan hala tuju
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahimmailto:Rahimrashiqah@bharian.com.my

PERSATUAN Penulis Johor (PPJ) yakin akan kemampuannya menentukan hala tuju perjuangan mereka meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai hambatan semasa khususnya sikap masyarakat Melayu semakin tidak memberi perhatian pada sastera dan bahasa mereka. Semangat ini yang dapat dikesan pada Kolokium Penulis Johor 2009: Hala Tuju Penulis Johor anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) di DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru, baru-baru ini.

Pengerusi PPJ Daerah Muar, Mohamad Taufek Mahamud, berkata keupayaan penulis muda Johor dalam memastikan dunia bahasa dan sastera terus berkembang merangsang minat generasi muda Johor terhadap sastera Melayu. “Setiap ahli boleh menyumbang dalam menentukan hala tuju PPJ dengan mempromosikan persatuan dan memupuk minat masyarakat dalam penulisan. Teknologi maklumat (IT) wajar dimanfaatkan sama ada melalui blog atau laman web sendiri bagi menyebarkan karya,” katanya. Mohamad Taufek menasihatkan ahli PPJ mendalami IT kerana generasi muda cenderung melayari internet berbanding membaca karya cetakan, selain pendekatan melalui alam siber mesra pengguna dan memungkinkan keseimbangan karya sastera di kalangan generasi tua dengan muda.

Selain itu, bagi memastikan hala tuju setiap ahli tidak terkeluar daripada landasan yang sebenar, beliau mencadangkan PPJ mengadakan seminar bagi menjelaskan hala tuju persatuan dengan lebih teliti, agar tiada kekeliruan pendirian terhadap isu yang membabitkan sastera dan bahasa. Ahli Jawatankuasa PPJ, Shapiai Mohd Ramly, berkata walaupun sukar menentukan hala tuju persatuan berikutan sikap masyarakat Melayu yang mempunyai pelbagai fahaman dan prinsip, pihaknya akan memastikan senario itu tidak berlaku di kalangan ahli PPJ. “Dulu Angkatan Sasterawan (Asas 50) yang memperjuangkan kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam pelajaran sudah menjelaskan seni untuk masyarakat, tetapi berlalunya Asas 50, orang Melayu seakan-akan hilang hala tuju,” ujarnya. Justeru, beliau berharap hala tuju PJJ akan ditentukan dengan lebih jelas kepada setiap ahli dalam bentuk kenyataan, sentiasa mengadakan perbincangan secara berdialog dan perjumpaan berkala empat kali setahun.

Shapiai turut mencadangkan PPJ lebih agresif dalam membimbing penulis yang sudah dan belum berkarya, selain meningkatkan nama penulis Johor pada peringkat antarabangsa seperti Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Dr Usman Awang dan ramai lagi tokoh hebat kelahiran negeri itu. “Hampir 80 peratus penulis Johor menghasilkan karya untuk DBP, selain aktif menyumbangkan karya di syarikat penerbitan lain. Situasi ini cukup menjelaskan betapa beriltizamnya PPJ dalam merencanakan kedudukan sastera Melayu,” jelasnya.


(Catatan kecil: Terima kasih Puan Rashiqah Ilmi - kali pertama berurusan dengannya, sebelum ini banyak berurusan dengan Nazmi Yaakob. Program di atas hanyalah kecil-kecilan sahaja sifat dan skalanya, namun pengisiannya cukup santai serta punyai makna untuk DBPWS dan persatuan-persatuan penulis mahupun penulis bergerak seterusnya dengan hala tuju yang lebih realistik berdasarkan upaya yang ada agar langkah terarah dan tersusun baik untuk manfaat penulis dan masyarakat seterusnya. Insyaallah.)


Selasa, Julai 28, 2009

ANGKA HEBAT: 5 MESYUARAT - 2 JAM 30 MINIT!

Dilaporkan dalam media elektronik (televisyen dan radio) dan laman web berita malam ini bahawa seorang pemimpin besar telah mempengerusikan 5 mesyuarat dalam tempoh 2 jam 30 minit! Cuma satu lagi mesyuarat tidak dapat dipengerusikan kerana pemimpin yang seorang lagi itu sibuk berada di benua Afrika! (Dalam sibuk-sibuk beliau berada di benua Afrika masih sempat fikirkan tentang pemimpin dan negeri Kelantan.)


Mungkinkah 1 rekod besar dan 1 rekod dunia bakal tercipta demi untuk 'rakyat didahulukan'?

KUTIPAN: KENYATAAN BALAS NIK AZIZ

'Pergi jahanamlah UMNO' - Nik Aziz

Oleh AZRAN FITRI RAHIM azran.rahim@utusan.com.my

KOTA BHARU 27 Julai - ''Salam ini bukan di antara UMNO dengan Pas, tetapi antara kerajaan Kelantan dan Pusat, tak timbul masalah UMNO ini, pergi jahanamlah UMNO.''
Demikian reaksi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diminta menjelaskan lebih mendalam mengenai 'salam' yang dihulurkan beliau kelmarin.
Malah, Mursyidul Am Pas itu tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan UMNO kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Beliau berkata, kesediaan untuk bekerjasama disebabkan negara ini mengamalkan sistem persekutuan dan di antara kerajaan negeri atau Pusat mempunyai kewajipan masing-masing.
"Sistem yang diamalkan kita ialah federalisme, bukan kerana apa, Pusat ada kewajipan kepada negeri dan negeri ada kewajipan kepada Pusat.
"Kerana apa nak sekat (peruntukan dan kerjasama), ada menteri sekat pegawainya beri kerjasama dengan kementeriannya, ini bukan menteri," katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Ternakan sempena Hari Peladang peringkat di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pandangan pelbagai pihak terhadap kenyataannya sebelum ini yang mahukan sebarang sengketa di antara kerajaan negeri dan Pusat diselesaikan demi kepentingan rakyat.

Kenyataan itu juga disambut baik oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengalu-alukan kesediaan Nik Abdul Aziz untuk menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Pusat. Nada Nik Aziz amat berbeza dengan kenyataannya pada kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang menyamakan UMNO sebagai tunjang utama kepada Barisan Nasional (BN) dengan ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis, Chin Peng.
Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut mempertikaikan tindakan Kerajaan Pusat yang tidak menyalurkan terus peruntukan kepada kerajaan negeri untuk membangunkan negeri ini kerana ia jelas melanggar Perlembagaan.

"Memang tidak ada dalam Perlembagaan, negeri pembangkang dihalang oleh Pusat, apa kata kalau parti lain kuasai Pusat.
"Kami juga buat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan halang peruntukan, tujuan apa tak bagi duit terus kepada kerajaan," jelasnya.

Katanya lagi, walau apa sekali pun, Kerajaan Pusat perlu membantu kerajaan negeri kerana ia termaktub dalam Perlembagaan di bawah sistem federalisme.
"Negeri ini bukan hak UMNO, kalau tak bantu, dia kena bantu negeri ini bukan dengan sukarela, tetapi dengan Perlembagaan.
"Kalau tak buat kita gulinglah. Pandailah kita guling, misal yang selalu saya kata, nak pergi ke Kuala Krai, tapi pemandu bawa bas ke Terengganu. Adakah boleh dengan riuh rendah sahaja. Kita kena tolak pemandu ambil stereng dan pandailah kita buat," katanya.

Ahad, Julai 26, 2009

TUMPAHNYA CINTAKU DI P. PINANG - 3























1. Masuk hari ketiga di P. Pinang, kali ini tidak mahu lagi bercerita pasal makanan istimewa P. Pinang. Kali ini ingin khabarkan sedikit tentang Pasar Chowrasta. Penang Road - tentang koleksi buku-buku dan majalah-majalah lama.

2. Di tingkat satu Pasar Chowrasta ini (sebuah pasar lama yang banyak istimewanya) atau lebih tepat di hujung tingkat satu terdapat khazanah ilmu yang tersimpan banyak buku-buku dan majalah-majalah lama, jika tidak silap bermula buku cetakan tahun 1950-an hingga sebahagian kecil cetakan terkini terdapat di sini.

3. Beberapa buah kedai yang agak usang di sini terlihat timbunan buku dan majalah lama yang mempunyai nilai yang istimewa, cuma susunannya agak mengelirukan dan tidak kemas. Pemilik beberapa kedai di sini pastinya dimonopoli kaum India Muslim serta ada sebuah pemilik kaum Cina. Kelabu mata (walaupun dalamnya panas) melihat timbunan buku dan majalah di sini.

4. Maka berkesempatan membeli enam buah buku lama cetakan tahun 1950-an dan 1960-an di sini sebagai koleksi peribadi. Buku yang dibeli seperti berikut:

a. PELITA BAHASA MELAYU PENGGAL II - Terkarang oleh Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba): Cetakan tahun 1959 - Terbitan dan Cetakan oleh Macmillan and Co Limited, St Martin's Steet London.
b. SIMPLE MALAY GRAMMAR - By Mansor b. Sanusi: Cetakan tahun 1953 - Terbitan Sinaran Bros. Penang.

c. AKU DI-SABUAH PULAU DAN LAIN-LAIN CHERITA - Siri Perpustakaan Sekolah DBP Bil. 19: Cetakan pertama 1957, kedua 1963 dan ketiga 1965 - Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.

d. KESUSASTERAAN LAMA MELAYU - Untok Pelajar2 Tingkatan Tinggi Sekolah Menengah dan Pelajar2 Maktab Perguruan oleh Arifin Nur: Cetakan pertama 1964 dan kedua 1971 - Cetakan dan Terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan.

e. KAJIAN PUISI MELAYU - Di-susun oleh Harun Aminurrashid: Cetakan pertama 1960 - Terbitan Pustaka Melayu, North Bridge Road, Singapore.

f. CHERAMAH BAHASA DAN SASTERA - oleh Shahrim Abdullah: Cetakan pertama 1964 dan kedua 1971 - Cetakan dan Terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan.

5. Jika diikutkan perasaan banyak lagi buku dan majalah yang ingin dan harus dibeli, namun apakan daya tiada upaya untuk berlama-lamaan di sini kerana kekangan masa dan wang. Jika mahu benar-benar melihat timbunan khazanah buku dan majalah lama itu perlulah menghabiskan satu hari suntuk. Menariknya pasar lama Chowrasta ini walaupun kawasannya luar dan dalamnya agak kurang selesa dan kurang tersusun namun pelbagai khazanah ilmu terdapat di sini.

6. Ya... selain 'khazanah pelbagai jeruk' di bahagian bawahnya yang sesak dengan pengunjung tapi di bahagian tingkat satu lengang dan sepi. Jeruk Buah Pala dan pelbagai jenis lagi jeruk lain serta pelbagai jenis kain dan baju lebih memikat daripada khazanah buku dan majalah lama di sini, ini lumrah biasa bukannya sesuatu yang pelik berkenaan situasi masyarakat di Malaysia - masing-masing insan punyai minat dan keinginan yang berlainan serta bebas memilih dan membeli, ini negara demokrasi!

Sabtu, Julai 25, 2009

TUMPAHNYA CINTAKU DI P. PINANG - 2

Foto Jambatan P. Pinang dirakam dari feri yang menuju ke Butterworth.

1. Sudah 2 hari menikmati lazat dan enaknya nasi kandar asli P. Pinang tanpa jemu serta sentiasa ingin makan. Dalam menikmati nasi kandar sempat juga makan tanduri dan roti canai serta laksa Penang, 'char kuey teow' dan pasembor! Menariknya juga dapat menikmati durian Balik Pulau yang menuju ke musim penghabisannya...

2. Lalu terfikir... bagaimanakah agaknya jika pelbagai rencah dan rempah ratus kari yang mempunyai rasa daging, ayam dan ikan itu tiba-tiba kehabisan bekalan atau langsung tiada rempah untuk membuat kari nasi kandar, nasi beriani dan sebagainya? Apakah meriah suasana dan hidangan makanan di P. Pinang?

3. Sememangnya suasana restoran dan gerai biasa di Penang Road yang menjual nasi kandar dan sewaktunya menggambarkan 1 Malaysia kerana semua kaum ada dan menikmatinya, namun bukan setakat 1 Malaysia boleh dilabelkan tapi '1 Dunia' pabila kelihatan pelancong luar negara (kulit putih dan kulit hitam) sama-sama beratur dan makan dalam restoran di kawasan tersebut.

TUMPAHNYA CINTAKU DI P. PINANG!

Feri dan lautan biru P. Pinang.


Pemandangan P. Pinang (kawasan persekitaran Bukit Jambul - USM)
dari sebuah hotel di Bukit Jambul.

(Foto di atas dirakam sendiri menggunakan kamera murah berkuasa rendah)


(Catatan: TUMPAHNYA CINTAKU DI P. PINANG - kerana kelazatan dan kepelbagaian hidangan makanan serta keindahan dan keharmonian suasana pulau mutiara ini.)


1. Setelah selesai menguruskan dua program minggu lalu di Johor Bahru, maka kesempatan masa yang ada untuk memenuhi undangan selaku peserta sebuah seminar di USM P. Pinang. Kali terakhir ke Pulau Mutiara ini pada Disember 2008. Negeri Pulau Mutiara yang melahirkan seorang pakar @ perujuk ulung bahasa Melayu dan penulis kreatif yang prolifik serta insan yang arif tentang pengurusan kewangan - Cikgu Azhar Salleh.

2. Sampai di P. Pinang pukul 7 malam, lalu segera makan nasi kandar di Restoran Pelita. Rasa nasi kandar di P. Pinang enak dan lazat sekali berbanding nasi kandar di Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Inilah cintaku yang tertumpah!

3. Berada di P. Pinang selama 3 hari ini akan dipenuhi juga dengan sesi makan dan jalan-jalan pabila waktu terluang. Terpandang dan terbaca beberapa kertas bersaiz A3 yang ditampal di dinding bangunan di tepi jalan raya bahawa malam esok (25 Julai 2009) ada ceramah isu semasa di Guar Perahu - jika tidak silap antara penceramahnya merupakan Ketua Menteri P. Pinang dan Mat Sabu. Jika ada kesempatan masa pasti akan turut serta 'memeriahkan' sesi penyampaian maklumat ini. Tertumpah lagi cintaku!
4. Ketika berkunjung pada Disember 2008 lalu projek melebarkan laluan Jambatan P. Pinang masih giat berjalan, namun ketika sampai awal malam tadi (untuk memasuki P. Pinang dari tanah besar) tiada kesesakan langsung kerana pelebaran jalan telah siap sepenuhnya. Siapa kata kerajaan P. Pinang mundur selepas diperintah PR? Pergerakan kenderaan, kepesatan perniagaan dan kehidupan manusia seharian serta pelbagai aktiviti seperti biasa sama seperti sebelum 8 Mac 2008! Keenakan nasi kandar tetap sama dan lazat juga!
Bersambung...

Selasa, Julai 21, 2009

KUTIPAN: KOLOKIUM PENULIS JOHOR


Ketua Pengarah DBP turun padang
Zulkifli Khair (Malaysiaharmoni.com)

JOHOR BAHRU, 18 Julai – Buat julung kalinya Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menemui penulis Johor secara khusus di DBP Wilayah Selatan di Larkin Perdana. Beliau hadir di Kolokium Penulis Johor selama hampir dua jam. Kolokium ini merupakan anjuran DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor (PPJ). Kira-kira 40 penulis Johor lama dan baru hadir, termasuk penulis veteran, Mohammad @ Mokhtar Talib, 72 atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob.

Ketua Pengarah DBP, Dato’ Hj Termuzi Abdul Aziz ternyata begitu tegas dalam memartabatkan dan mengembangkan bahasa dan sastera Melayu. Beliau juga mahukan agar bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Beliau menyasarkan penerbitan lebih 400 buah judul dalam setahun di samping berasa bangga dengan pencapaian penulis Johor yang komited dalam penentangan PPSMI sejak awal lagi. Selain itu, hampir 80 peratus penulis DBP terdiri daripada anak Johor.
Sesi soal jawab berjalan dengan cukup hangat. Pelbagai persoalan dan pertanyaan ditimbulkan daripada isu kelewatan dalam penerbitan buku hinggalah kepada isu dasar bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi.

Sebelum itu, Dr. Gunawan Mahmood yang diwakili secara rasmi oleh Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), En Amiruddin Md. Hanafiah antara lain mengumumkan mengenai penerbitan kumpulan puisi berkenaan pembangunan di Iskandar Malaysia. Dr. Gunawan Mahmood adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Johor, manakala PPJ dinaungi oleh MB Johor. Dr. Gunawan sebelum ini merupakan antara penulis sastera prolifik Johor.

Peserta kolokium yang juga guru agama, Mohd. Soufi Hj. Kadirin, 26 berpendapat bahawa guru mesti menanamkan rasa cinta kepada bahasa dan penulisan jika mahu bahasa Melayu terus dimartabatkan. “Membaca mesti dibudayakan,” kata guru yang menyambung pengajian di Kolej Islam Johor itu lagi.

Kolokium Penulis Johor dianjurkan bersempena majlis Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) Ke-7 pada malam sebelumnya. Ia merupakan anjuran Kerajaan Johor melalui Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Persatuan Penulis Johor (PPJ), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ). Dalam majlis tersebut, Pak Matlob dianugerahkan Hadiah Karyawan Sastera Johor. Hadiah disampaikan oleh MB Johor, YAB Datuk Abdul Ghani Othman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada.

Isnin, Julai 20, 2009

HSDT VII 2009 - SUATU CATATAN ABADI

Persembahan selingan - Pementasan Monolog 'Dogma'.

Cikgu Azhar menerima hadiah 'hatrik' kategori puisi eceran. Tahniah!


Cikgu Azhar bersama tiga pemenang kategori karya remaja bawah 19 tahun.

Buku antologi puisi 'Jaring Harapan' dan antologi cerpen 'Pengorbanan'.
(maaf... foto melintang)

1. Majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) ke-7 2009 telah berjaya disempurnakan pada 17 Julai 2009 di Dewan Tanjung Puteri 303, PERSADA Johor, Johor Bahru. Majlis dihadiri YAB Menteri Besar Johor.


2. HSDT merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor sejak kali pertama pada tahun 1996, beterusan ke tahun 1999, 2001, 2003, 2005, 2007 dan 2009. HSDT diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan (DBPWS), Persatuan Penulis Johor (PPJ), GAPENA dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ). Pelibatan DBPWS bermula sejak penganjuran kali ketiga (2001) iaitu tahun bermulanya DBPWS bertapak di negeri, dan berterusan sehingga kini iaitu sudah 5 kali pelibatan DBPWS. Puluhan penulis dan penggiat sastera dan persuratan telah menerima pelbagai kategori hadiah yang ditawarkan sejak sedekad yang lalu.


3. Beberapa catatan abadi untuk HSDT ke-7 2009 kali ini yang terkesan dalam diri sendiri (hakikatnya banyak perkara yang meninggalkan kesan) seperti berikut:
a. Kategori Karya Remaja Bawah 19 Tahun - kategori ini menawarkan 6 hadiah iaitu 3 karya puisi dan 3 karya cerpen dibolot sepenuhnya oleh mantan pelajar Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Johor 2007 melalui karya dalam buku antologi puisi 'Jaring Harapan' dan buku antologi cerpen 'Pengorbanan'. Dua buku antologi (seperti foto di atas) ini diusahakan oleh DBPWS yang merupakan hasil karya pelajar yang terbaik dalam Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Johor dan Melaka tahun 2006 - 2007.

b. Kategori Puisi Eceran - Cikgu Azhar Salleh (Sifuku) telah melakukan 'hatrik' pabila merangkul hadiah kategori ini untuk tiga kali berturut-turut (2005 - 2007 - 2009). Tahniah Sifuku! Karya puisi cikgu sememangnya prolifik dan bermutu!

c. Kategori Kumpulan Cerpen Remaja dan Kategori Kumpulan Puisi - Dua hadiah ini dibolot oleh dua penulis dalam dua generasi iaitu W.B. Rendra (cerpen remaja) dan Hj. Shapiai Mohd Ramly (kumpulan puisi). Dua nama besar berbeza generasi ini amat dikenali serta prolifik karyanya, malahan dua insan ini bekerja di tempat yang sama.

d. Persembahan selingan - Pada HSDT ini buat pertama kalinya satu persembahan selingan dimuatkan pementasan monolog berjudul 'Dogma'. Naskhah ini merupakan tulisan W.B. Rendra serta diarahkan oleh Rahimah Muda. Pelakonnya Rosita Anim yang dibentuk lakonannya oleh Mohd Razif Hj Adnan (Setiausaha MTNJ) serta dibantu oleh beberapa pemuzik dan penyanyi latar antaranya ayah Rosita, Man Chek Kak dan lain-lain. 'Dogma' merupakan salah satu naskhah yang bertanding dalam Pertandingan Monodrama Johor 2007 anjuran DBPWS. Diri ini pula dilabelkan sebagai Pengurus Produksi dalam pementasan 'Dogma' yang khas dipentaskan pada malam HSDT itu.

Hakikatnya banyak lagi catatan indah yang tidak boleh dilakarkan semuanya di sini... banyak manis serta ada yang sedikit pahit juga (tapi berlalu hilang dalam kemanisan). Sempat dicatat di sini juga tentang kejayaan rakan-rakan yang dikenali kerana berurusan dalam hal rasmi serta tidak rasmi antaranya Cikgu Amiruddin Ali (Ketua 1 PPJ), kejayaan Shamsudin Othman (blogger TANAH NURANI yang kental!) memperoleh hadiah untuk 2 kategori, kejayaan Cikgu Hj. Mohd Rasli Bakir (Setiausaha 1 PPJ @ Guru Unggul Puisi Tradisional), kejayaan Cikgu Mohd Kasim Mahmud, kejayaan novelis unggul yang dikenali seluruh tanah air iaitu Cikgu Zaid Akhtar (peminat Liverpool yang dihormati), dan pemilihan tepat penulis Mersing iaitu Cikgu Nazim Mohd Subari sebagai penerima Hadiah Cipta Karyawan Muda Johor.


TAHNIAH SEMUANYA!

Ahad, Julai 19, 2009

MU - TAJUK AKHBAR YANG MELOYAKAN!

Seperti dijangka tajuk dan isi kandungan akhbar (bahasa Melayu dan Inggeris) hari ini cukup jenaka dan meloyakan. Mengulas tentang 'menang tipis' MU, akhbar dan berita televisyen Malaysia ghairah memuji pasukan Malaysia seperti telah menjuarai Piala Dunia! Berikut beberapa kutipan tajuk akhbar (bahasa Melayu) yang menggambarkan 'betapa hebatnya pasukan bola sepak Malaysia?':



a. Kalah kita bermaruah (Mingguan Malaysia)
b. Ferguson kagum persembahan anak-anak buah Rajagobal (Mingguan Malaysia)
c. Saya tahu gaya Van Der Sar - Amri (Mingguan Malaysia)
d. Dua gol Amri buat United gubra (Berita Minggu)
e. Kenangan manis buat saya: Amri (Berita Minggu)
f. Amri buat Van Der Sar gigit jari (Berita Minggu)
g. Fergusan kagum aksi Malaysia (KOSMO)
h. Tewas tapi membanggakan (KOSMO)
i. Kenangan manis Amri (KOSMO)



Seperti tulisan (entri) sebelum ini ditegaskan sekali lagi bahawa:
Jika ada laporan dan kenyataan pihak Man U (pemain dan pengurus) yang memuji pemain Malaysia - itu hanya PUJI AMBIL HATI cuma! Dalam hati mereka cuma 'main-main, buat latihan ringan dan melancong sahaja'! Terimalah hakikat bahawa pasukan kebangsaan bola sepak Malaysia masih terkial-kial di rantau Asia Tenggara - mungkin suatu hari di bawah pasukan Timor Leste, Filipina, Kemboja dan Brunei; apatah lagi jika hendak disamakan dengan pasukan Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Myanmar - Malaysia terus ketinggalan!

Sabtu, Julai 18, 2009

MAN U HANYA MAIN-MAIN BUAT LATIHAN RINGAN SAHAJA...!

1. Mungkin catatan ini bersifat 'tidak patriotik', tidak mengapa. Memang sudah lama ramai peminat bola sepak di Malaysia tidak patriotik dalam hal menyokong pasukan kebangsaan. Serata negara peminat bola sepak lebih meminati dan mengenali pemain dan pasukan di luar Malaysia terutamanya kelab dan negara Eropah dan Amerika Selatan.
2. Man U datang lagi 'melancong' ke Malaysia tahun ini atas nama Jelajah Asia (Asia Tour) sebelum bermula musim hangat English Premier League dan kejohanan serata Eropah. Man U datang kali ini tanpa Ronaldo yang telah berpindah ke Real Madrid dengan perpindahan paling mahal memecah rekoh dunia!
3. Menonton perlawanan Man U menentang Malaysia di rangkaian Astro 811 (5.45 petang - secara langsung) seperti menonton perlawanan di Old Trafford kerana Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur dibanjiri penuh penonton baju merah. Man U berpakaian merah tradisinya, cuma kenapa Malaysia tidak memakai jersi warna kuning-hitam berbelang (kononnya Harimau Malaya?) tetapi jersi biru ketat! Hakikatnya Man U dan Malaysia setaraf sebenarnya kerana memakai jersi 'NIKE''! Malaysia hanya boleh berbangga kerana memakai jersi berjenama 'NIKE' yang sama dengan Man U, itu sahaja!
4. Man U hanya main-main, corak permainannya jelas merupakan satu latihan ringan semata-mata manakala Malaysia 'lelah berpeluh' untuk bersaing! Kasihan lihat pemain Malaysia, dan menyampah mendengar ulasan pengulas perlawanan Astro 811 pabila menjelaskan bahawa pemain Malaysia 'absolutely performance', apa yang hebat dan menarik itu? Pengulas juga puji melambung tinggi pasukan Malaysia, inilah penyakit kekal pasukan bola sepak Malaysia... baru dapat sedikit menggelecek dan melepasi kawalan pemain Man U sudah besar kepala dan riak! Apa yang hebat pemain Malaysia ini?
5. Man U menang 3-2 itupun dalam main-main buat latihan ringan sahaja di Stadium Bukit Jalil, 2 gol Malaysia jaringan Amri Yahya itupun kerana Van Der Sar dan Foster nampak jelas sengaja melepaskannya, habis apakah Malaysia hebat? Tidak! Lawan pasukan di Asia Tenggara masih terkial-kial lagi! suatu hari nanti mungkin Malaysia tewas kepada Timor Leste!
6. Tahniah besar buat Man U kerana 'mempermainkan' pasukan Malaysia kali ini. Hakikatnya Man U hanya main-main dan buat latihan ringan sahaja di Stadium Bukit Jalil itu. Ingat pemain Malaysia; Rooney, Giggs, Berbatov, Ferdinand, Nani, Van Der Sar dan kawan-kawannya datang untuk melancong sahaja, bukan apa-apapun - datang main-main sahaja; jika Man U bermain dalam kekuatan sebenarnya pasti Malaysia kena belasah lebih 6 gol, itu 1 Malaysia sudah tahu serta 1 Malaysia tidak hairan jika dibelasah hingga 10 - 0!
7. Jika ada laporan dan kenyataan pihak Man U (pemain dan pengurus) yang memuji pemain Malaysia - itu hanya PUJI AMBIL HATI cuma! Dalam hati mereka cuma 'main-main, buat latihan ringan dan melancong sahaja'! Terimalah hakikat bahawa pasukan kebangsaan bola sepak Malaysia masih terkial-kial di rantau Asia Tenggara - mungkin suatu hari di bawah pasukan Timor Leste, Filipina, Kemboja dan Brunei; apatah lagi jika hendak disamakan dengan pasukan Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Myanmar - Malaysia terus ketinggalan!

Rabu, Julai 15, 2009

ALAHAI... ANGKA LAGI!

Hari ini padat diperkatakan tentang angka; angka 65, angka 117, angka 5348, dan angka 5283; tetapi angka baharu muncul pula jauh dari Mesir iaitu angka 103. Ikuti kutipan yang diambil dalam web berita Malaysiakini (Jul 15, 09 11:38am):


"Kita tidak boleh merasakan bahawa segala-galanya telahpun kita lepasi ujiannya tetapi saya begitu puas hati bahawa apa yang telah kita mulakan selama 103 hari ini menampakkan sambutan rakyat yang menggalakkan," katanya.

SIARAN AKHBAR / MEDIA: KOLOKIUM PENULIS JOHOR 2009

KOLOKIUM PENULIS JOHOR 2009

Anjuran bersama:
DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor (PPJ)

PENDAHULUAN
Penulis Johor ramai yang telah berjaya menempatkan nama dalam dunia pengkaryaan tanah air khasnya dalam media massa tempatan. Kejayaan mereka dalam bidang pengkaryaan kreatif dan persuratan ilmiah berdasarkan bakat dan usaha gigih yang berterusan. Namun, kebanyakan penulis hanya menulis dan berkarya seolah-olah tanpa tujuan yang jelas untuk jangka masa panjang.

Sehubungan dengan itu pihak Unit Sastera DBPWS bersama PPJ akan mengadakan satu kolokium yang membincangkan beberapa aspek dalam mengatasi kemelut sebegini bagi tujuan melihat hala tuju masa hadapan serta mengupas kejayaan penulis Johor dalam bidang penulisan karya kreatif dan ilmiah pada masa kini. Program ini diadakan juga bersempena majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Takzim ke-7 2009 yang diadakan pada 17 Julai 2009 (Jumaat) di Persada Johor, Johor Bahru, Johor.

Kolokium Penulis Johor 2009 akan diadakan seperti maklumat berikut:

Tarikh : 18 Julai 2009 (Sabtu).
Pukul : 8.30 pagi - 1.30 tengah hari.
Tempat : Balai Seminar DBP Wilayah Selatan,
Larkin Perdana, Johor Bahru, Johor.

Antara objektif penganjuran kolokium ini termasuklah:
i. Mengetengahkan dan mendedahkan idea dan perancangan mengenai hala tuju penulis Johor pada masa hadapan.
ii. Mendedahkan kejayaan para penulis Johor yang berjaya menempatkan nama dalam bidang penulisan kreatif dan ilmiah pada masa kini.
iii. Memartabatkan penulis dan karya penulis Johor bagi tujuan kelangsungan pengkaryaan sastera tanah air.
iv. Menggerakkan usaha yang lebih sepadu antara institusi kerajaan yang berperanan dalam pengembangan dan apresiasi sastera dan bahasa dengan pihak badan bukan kerajaan khususnya persatuan-persatuan penulis.

MASUK PERCUMA. SEMUA DIJEMPUT HADIR.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, sila hubungi:
Rusdi Abd. Rahman (no. telefon: 07-235 8802).

Sekian, terima kasih.

Rusdi Abd. Rahman,
Pegawai Perancang Bahasa,
DBP Wilayah Selatan.
15 Julai 2009.
ATUR CARA KOLOKIUM PENULIS JOHOR 2009

8.30 pagi - Pendaftaran dan Kehadiran Peserta.
9.00 pagi - Majlis Perasmian dan Ucap Utama.
10.00 pagi - Minum Pagi.
10.30 pagi - Dialog Bersama Ketua Pengarah DBP.
12.00 tengah hari - Sesi Forum : ‘Hala Tuju Penulis Johor’.
1.00 tengah hari - Majlis Penutupan.
1.30 tengah hari - Makan Tengah Hari dan Bersurai.

Selasa, Julai 14, 2009

KALAH LAGI! 1 MALAYSIA SUDAH TAHU

1. SYUKUR BESAR KEPADA-NYA kerana tewasnya pasukan biru putih @ merah-putih-kuning. Tewasnya menandakan bahawa pasukan hijau-putih tetap dan terus diminati.

2. KALAH TETAP KALAH! walaupun kalah tipis atau kalah kerana tendangan penalti, namun kalah untuk pasukan biru putih @ merah-putih-kuning merupakan kalah yang memalukan jika dilihat segala gah dan besar persediaan strategi pasukan ini. Sebelum inipun pasukan ini kalah dalam perlawanan sebegini kecuali menang di sebuah tempat yang entah bukan-bukan, satu lagi perlawanan di stadium P. Pinang tidak berani langsung berlawan! Katanya membazir...? Hahaha...

3. Hebat sungguh pasukan biru putih @ merah-putih-kuning ini hingga terpaksa import Pengurus dari Pagoh serta meminta nasihat dari Penasihat Khas di Pekan! Jurulatih senior dan muda dilatih secara keras dan tegas oleh orang Pontian dan Rembau! Juga hampir 1 Malaysia dibawanya untuk menunjukkan sokongan di laman stadium MU, diserangnya habis-habisan stadium MU.

4. Dengar katanya Pengurus pasukan biru putih @ merah-putih-kuning dalam perlawanan ini ada menyatakan bahawa jika mahu jambatan baharu terus ke stadium MU kenalah sokong pasukannya! Indah dan enak sungguh 'sogokan' Pengurus itu! Dengar katanya juga beberapa orang pihak pengurusan pasukan ini memperkecilkan pemain utama pasukan hijau-putih!

5. Hebat yang amat sungguh pasukan biru putih @ merah-putih-kuning mempromosi dirinya ke 1 Malaysia sarat menyerlahkan 'angka-angka' yang kononnya mempunyai 'faktor X', lalu lihatlah strateginya... penyerang diletakkan di bahagian pertahanan!

6. Namun harus diingat, PASUKAN PUTIH-HIJAU JANGANLAH TERLALU SELESA DENGAN KEMENANGAN TIPIS INI! Buang sahajalah dan jual terus 'pemain jersi no. 2' dalam pasukan hijau putih itu kerana 'pemain itu sungguh-sungguh berminat' hendak 'bersatu' dengan pasukan biru putih @ merah-putih-kuning itu, kenapa 'pemain no. 2' itu sungguh-sungguh amat nampaknya, kenapa? Penyebab menang tipisnya pasukan hijau-putih kerana sikap dan sifat 'pemain no. 2' inilah rasanya? Mantapkan kembali penjaga gol yang komited, pemain pertahanan yang kental, posisi bahagian tengah yang tersusun, dan strategi menyerang yang mantap buat pasukan hijau-putih iini. BUANG DAN JUALLAH PEMAIN NO. 2 YANG ADA KINI... SEMACAM MAHU BERMAIN UNTUK PASUKAN LAIN (Pasukan Biru Putih @ Merah-Putih-Kuning)!

7. Pasukan biru putih @ merah-putih-kuning ini nampaknya masih tidak serius dan 'main-main' untuk berubah menyeluruh (berubah sikap angkuh, cakap besar, besar kepala, riak, sombong, berlaku tidak adil dan lain-lain sifat negatif lain), jika begitu bagaimanakah masyarakat inigin menyokong dan mendokong pasukan ini buat masa terdekat atau terjauh nanti?

Isnin, Julai 13, 2009

KUTIPAN: INILAH RAKYAT DIDAHULUKAN...

Nik Aziz isytihar esok cuti umum
Jul 13, 09 11:54am - Malaysiakini


Kelantan mengisytiharkan esok sebagai cuti umum bagi semua penjawat awam yang bekerja di negeri itu.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata langkah itu diambil selepas mengambil kira kepentingan umum, memandangkan pilihan raya kecil DUN Manek Urai akan berlangsung esok.
Beliau berkata pihaknya melihat bahawa hari mengundi yang ditetapkan esok boleh menimbulkan banyak kesulitan kepada pengundi kerana ia diadakan pada hari bekerja.

"Saya isytihar esok 14 Julai (Selasa) sebagai cuti umum bagi seluruh negeri Kelantan, diambil atas sebab 'Cuti Peristiwa'. Dalam semangat pro demokrasi, kami mesti mengutamakan kepentingan rakyat dan mendahulukan pencapaian," katanya.

Ahad, Julai 12, 2009

ANGKA LAGI YANG DIDENGAR...

1. Semalam 11 Julai 2009 dalam pukul 11 pagi berkesempatan menyaksikan satu 'perhimpunan besar' secara siaran lagsung televisyen. 'Tersentuh hati dan minda' melihat penuh sesaknya manusia dalam dewan itu (namun alangkah indah dan damainya hati jika yang berbondong-bondong itu datang atas usaha susah payah sendiri serta penuh ikhlas dalam hati - analoginya seperti ingin menyaksikan perlawanan bola sepak yang melibatkan kelab atau negara kegemaran sendiri). Rupa-rupanya 'lautan manusia' itu menunggu ANGKA BAHARU yang akan disebut dan dihebahkan.
2. Awal bulan April lalu terdengar angka 1, beberapa hari lalu terdengar angka 2012, namun semalam terdengar pula angka 100, angka 6 dan angka 11. Selepas ini apakah angka yang disebut pula? Dalam laporan sebuah akhbar hari ini disebut angka 11 merupakan angka istimewa - angka 11 tercatat pada nombor kenderaan kereta, 11 kanak-kanak memakai pakaian tradisional rakyat, dan gah serta istimewanya juga ucapan perkhabaran angka 11 itu juga tercatat pukul 11.11 pagi! Pujian buat wartawan yang membuat analisis, peka dan cakna dalam melaporkan tentang perkara ini.
3. Masih hangat juga diperkatakan tentang angka 11 ini dalam laporan rasmi akhbar harian serta dalam laman web berita dan blog. Namun dalam memperkatakan angka 2012 pula, berleluasa pula sebutan BAHASA MALAYSIA! Bukankah angka 152 menyebut bahawa BAHASA MELAYU? Isu dan polemik ini pernah muncul serta hangat dibahaskan dua tahun lepas sehingga seorang penulis menganggap dirinya sebagai 'wira' dalam memperjuangkan sebutan BAHASA MALAYSIA!
4. Sama-sama dinantikan angka seterusnya yang bakal tercatat dalam akhbar dan laman web / blog serta disebut dalam televisyen / radio untuk hari-hari seterusnya. Apakah pada 14 Julai nanti tercatat angka 5 - 1 atau 4 - 2?

Rabu, Julai 08, 2009

ADA APA DENGAN 2012?

Foto Hiasan: Pementasan Monodrama 'Mandatori'
- Apakah kaitan dengan angka 2012?

1. Berita yang diterima dan dibaca sekitar pukul 2.45 petang tadi tertera 2012, kenapa 2012?

2. Mungkin angka 2012 ini angka keramat buat sesetengah pihak, tapi angka 2012 ini merupakan tahun 2012, jadinya kenapa dan ada apa dengan tahun 2012 itu? Mungkinkah tahun 2012 yang ditunggu itu merupakan tahun untuk acara sukan besar berikut:
i. Sukan Olimpik.
ii. Kejohanan Bola Sepak Piala Negara-Negara Eropah.

3. Makanya tahun 2012 itu jika dikira dari tarikh hari ini ada lebih kurang 2 tahun 6 bulan lagi (mengambil perkiraan Julai 2009 hingga Januari 2012) . Pelbagai kemungkinan akan berlaku, mungkinkah ketetapan yang dikhabarkan @ diputuskan hari ini akan berubah jika ada hujahan dan 'gerakan' untuk mengekalkan sesuatu perkara itu?
4. Secara berfikiran positif (untuk tenteramkan emosi semata-mata serta bersangka baik)- mungkin ada hujah akademik yang mewajarkan angka 2012 itu tetapi adakah mungkin ada hujah atau sentimen lain yang menyebabkan angka 2012 itu timbul? Sama-sama nantikan hujah dan perkembangan seterusnya!

Isnin, Julai 06, 2009

MASYARAKAT MELAKA JANGAN LEPASKAN PELUANG INI...

Satu program anjuran Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) dengan kerjasama DBPWS, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM) dan Kerajaan Negeri Melaka iaitu 'Wacana Seni 2009' akan diadakan pada 11 - 12 Julai 2009 di Al-Ghaffur Villa, Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah, Melaka. Acara dalam program Wacana Seni 2009 ini seperti berikut:


a. 11 Julai 2009 / 2.30 petang - 5.00 petang (Sabtu) :
Sepetang Bersama SN Datuk A. Samad Said.


b. 11 Julai 2009 / 8.30 malam - 10.30 malam (Sabtu) :
Pementasan Teater 'MENUNGGU KATA DARI TUHAN' - karya Dinsman, lakonan Sabri Yunus dan Sani Sudin. Satu sesi deklamasi puisi diadakan sebelum pementasan, manakala selepas pementasan diadakan sesi interaksi bersama pengarah dan pelakon.
(Sekadar makluman, pementasan teater 'MENUNGGU KATA DARI TUHAN' telah dipersembahkan di Kuala Lumpur, Kelantan dan Pulau Pinang. Pementasan selepas di Melaka akan dipersembahan di Kedah, Selangor dan Terengganu.)


c. 12 Julai 2009 / 8.30 pagi - 11.30 pagi (Ahad) :
Wacana Pemikiran SN Usman Awang dan Majlis Tahlil untuk Arwah Usman Awang. Pembicara dalam acara ini merupakan Tan Sri Aziz Tapa, Datuk Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Prof. Madya Arbak Othman.


Kutipan akhbar SIASAH terbitan 5 - 11 Julai 2009 dalam ruangan Seni Budaya tulisan Razali Endun berjudul IPM anjur wacana seni di Masjid Tanah: Menurut Hj. Mokhtar Yasin (Ketua 1 IPM), program wacana seni ini adalah kemuncak daripada beberapa dialog seni yang telah diadakan oleh IPM sebelum ini. Pengisiannya kali ini lebih padat dan mantap.


Program yang diadakan ini secara percuma, semua golongan masyarakat dijemput hadir.

PROGRAM: BENGKEL EKSPRESI PUISI MELAKA

Bangunan Radio Malaysia Melaka.FM di Jalan Taming Sari, Melaka.

Amiruddin Md. Ali Hanafiah tekun dan bersahaja dalam penghayatan sajak.

Pembesar Suara - Peserta - Amiruddin: Suatu Ekspresi Sajak!



Hj. Mohd. Zazmi Mohd. Zain menyampaikan cenderamata.

(Catatan: Foto-foto amatur di atas yang dirakam sendiri menggunakan kamera berkuasa rendah dan murah. Seadanya yang mampu untuk rakaman peristiwa ini.)
1. Program Bengkel Ekspresi Puisi Radio Malaysia Melaka.FM merupakan program bengkel dalam skala biasa tetapi inilah program julung kali diadakan khasnya melibatkan sebuah stesen radio. Program ini diusahakan bersama oleh DBPWS bersama Radio Malaysia Melaka.FM dan Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) diadakan pada 5 Julai 2009 di Auditorium Radio Malaysia Melaka.
2. Sekadar untuk makluman, pihak Melaka.FM ada menyiarkan satu slot khas yang dinamakan 'Ekspresi Puisi' yang bersiaran pada pukul 9 malam - 10.30 malam setiap hari Isnin. Dalam rancangan ini pelbagai perkhabaran tentang dunia sastera dan bahasa (khasnya di negeri Melaka) dan deklamasi puisi disiarkan termasuk para pendengar boleh mendeklamasikan puisi secara langsung.
3. Program bengkel khas yang menumpukan aspek deklamasi dan penghayatan puisi moden dan tradisional ini menampilkan penceramah dan pembimbing dalam dua kategori iaitu aspek puisi tradisional oleh Hj. Mohd. Yasin Ahmad yang mencurahkan ilmu serta memberikan bimbingan tentang nazam, gurindam, pantun umum dan pantun khas dalam dondang sayang, Hj. Mohd Yasin Ahmad juga merupakan Presiden Persatuan Dondang Sayang Melaka dan Presiden Persatuan Pelukis Melaka. Dalam aspek puisi moden (sajak) dibimbing cara penulisan (secara ringkas) dan kaedah mendeklamasikan sajak dengan betul dan tepat oleh Amiruddin Md. Ali Hnafiah, Ketua 1 Persatuan Penulis Johor (PPJ). Dua penceramah ini dibantu penuh oleh Hj. A. Rani Embi (AJK IPM - Penulis Karya Sastera - Guru SMK Tun Perak) dan Cikgu Ramly Abu (AJK IPM - Penulis Karya Sastera - Pensyarah Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka) dalam sesi perbengkelan khasnya tentang bacaan nazam dan gurindam yang betul dan tepat.
4. Hj. Mohd. Zazmi Hj. Mohd. Zain yang merupakan seorang juruhebah radio yang terkenal suatu ketika dahulu dalam kalangan juruhebah di Angkaspuri, Kuala Lumpur (ketika belum ada era radio swasta) turut terlibat selaku peserta dalam bengkel ini. Beliau kini memegang jawatan selaku Ketua Bahagian Rancangan RTM Melaka. Beliau bersama kakitangannya mengikuti bengkel ini sepenuhnya bermula 8.30 pagi sehingga pukul 4.30 petang pada hari berkenaan. Hj. Mokhtar Mohd. Yasin, Ketua 1 IPM turut hadir dalam bengkel ini.
5. Sekalung penghargaan terima kasih kepada pihak Radio Malaysia Melaka.FM. Penghargaan terima kasih juga buat Hj. Mohd. Zazmi Mohd. Zain, Ketua Bahagian Rancangan RTM Melaka, Cik Amrina Ahmad, juruhebah merangkap Penerbit Rancangan 'Ekspresi Puisi' dan urus setia dalam kalangan petugas RTM Melaka. Amat tidak dilupakan sekalung penghargaan terima kasih buat Hj. A. Rani Embi, Cikgu Ramly Abu, Hj. Husin Embi (Setiausaha IPM) dan Hj. Mokhtar Mohd. Yasin (Ketua 1 IPM) kerana menjayakan program bengkel berskala biasa dan kecil yang seadanya ini buat tiga pihak bersama iaitu DBPWS-IPM-RTM Melaka. Terima kasih sekalung penghargaan buat Cikgu Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Hj. Mohd Yasin Ahmad atas curahan ilmu dalam memberikan kaedah penghayatan serta ilmu cara mendeklamasikan serta melagukan puisi-puisi tradisional dan moden dalam program ini.
6. Jika ada ruang dan upaya lagi, program sebegini akan dirancang untuk program susulan atau setidak-tidaknya membesarkan lagi skala bengkel ini buat masa hadapan. Yang penting serta utamanya juga pihak DBPWS memperoleh rakan kongsi yang boleh menggerakkan dunia karya sastera dan bahasa dalam upaya yang ada khasnya buat negeri Melaka secara berperingkat. Walaupun ini merupakan program kecil sahaja untuk penghayatan ilmu tetapi punyai makna dan manfaat besar; demi kelangsungan dan pemantapan pengkaryaan sastera dan bahasa yang masih ada kini!

PROGRAM: CERAMAH PUISI TRADISIONAL KOMSAS MUAR




Foto di atas dirakam sendiri, rakaman kamera berkuasa rendah dan murah.

1. Program Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Tradisional KOMSAS Daerah Muar diadakan secara bersama oleh DBPWS dengan pihak Pejabat Pelajaran Daerah Muar, Panitia Bahasa Melayu Menengah Atas Daerah Muar, dan Perkumpulan Penulis dan Peminat Bahasa Muar (PPPBM) pada 4 Julai 2009 di SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar, Johor. Seramai 180 pelajar dan guru yang meliputi 30 buah sekolah dalam daerah Muar hadir dalam program ini.
2. Ini merupakan program penghayatan ilmu khas buat para pelajar dan guru untuk penghayatan serta melagukan puisi tradisional (antaranya - gurindam, syair, seloka, pantun, nazam, teromba dan pelbagai lagi khazanah puisi tradisional). Sememangnya puisi-puisi tradisional ini termasuk dalam pembelajaran KOMSAS di sekolah. Program juga telah menjelajah daerah dalam negeri Johor iaitu Johor Bahru, Pontian, Kulai, Kota Tinggi, dan negeri Melaka sebelum ini. Hanya ada seorang penceramah tunggal setakat ini yang bersama DBPWS dalam menyampaikan ceramah dan bimbingan ini - Tn. Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir (guru kanan SMK Dato’ Mohd. Yunus Sulaiman - Setiausaha 1 PPJ - Jurulatih Utama Kesusasteraan Melayu JPNJ).
3. Sekalung penghargaan terima kasih kepada pihak Panitia Bahasa Melayu Menengah Atas Muar, Pejabat Pelajaran Muar dan PPPBM. Penghargaan terima kasih juga buat Pn. Suhana. Pengetua SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar bersama guru petugas selaku urus setia, Cikgu A. Hamid Jemain (penulis unggul tanah air - AJK PPPBM) yang mengusahakan program ini dibawa ke Muar, Cikgu Ruzaini Yahya (penulis wanita prolifik - guru SMK (P) Sultan Abu Bakar - AJK PPPBM), Cikgu Md. Ishak Rahman (AJK PPPBM), dan semua yang terlibat. Terima kasih sekalung penghargaan buat Cikgu Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir atas curahan ilmu dalam memberikan kaedah penghayatan serta ilmu cara melagukan puisi-puisi tradisional dalam program ini.
4. Jika ada ruang dan upaya lagi, program sebegini akan dirancang untuk dibawa ke daerah lain dalam negeri Johor dan Melaka. Ini program kecil sahaja untuk penghayatan ilmu tetapi punyai makna dan manfaat yang besar suatu hari nanti; demi kelangsungan dan pemantapan puisi tradisional yang masih ada kini!