Memaparkan catatan dengan label KONSERT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KONSERT. Papar semua catatan

Ahad, Jun 06, 2010

KDT BERLANGSUNG 2 HARI (3 JAM 5 MINIT)...!





(Sebahagian daripada lebih 30-40 foto yang dirakam sendiri ketika KDT berlangsung.)

Konsert Double Trouble (KDT) di Stadium Larkin, Johor Bahru berlangsung selama 2 hari...! Ya, KDT bermula pukul 9.20 malam (5 Jun 2010 - Sabtu) sehingga pukul 12.25 tengah malam (6 Jun 2010 - Ahad). KDT berlangsung selama 3 jam 5 minit dengan dianggarkan disaksikan seramai sekitar 10,000 penonton di padang bola sepak Stadium Larkin. Selama 3 jam itu juga berdiri walaupun tapak kaki sudah tidak berapa kuat untuk berdiri lama tapi demi KDT maka tercipta 'rekod' sendiri berdiri lama... Pulang menyaksikan KDT sempat minum dan berbual-bual lagi bersama-sama Azhar Salleh dan Syaidul Azam di kawasan pejabat, lalu pulang sebenarnya ke rumah sekitar pukul 1.45 pagi.

Sehari sebelum KDT sempat sekitar 20 minit menjenguk sesi latihan bunyi di Stadium Larkin sekitar pukul 10.30 malam (4 Jun 2010 - Jumaat). Ketika itu terbit dalam minda 'inikah bunyi yang yang didengar esok...?' kerana serba kurang dan tidak mantap. Kerisauan dalam minda terhapus pabila sistem bunyi dan pencahayaan (sekadar pandangan peribadi) cukup mantap kerana situasi KDT ini dibuat di tempat tebuka yang sememangnya agak berisiko tinggi juga. Persembahan bertenaga anggota Search dan Wings juga boleh dibanggakan walaupun ada sedikit-sedikit kelemahan biasa manusia tetapi sistem bunyi tiada gangguan berjalan lancar!

Bersama-sama Sifuku Azhar Salleh dan Syaidul Azam bertolak dari pejabat sekitar pukul 8.20 malam. Letak kereta di kawasan stadium tetapi kena berjalan (berpusing) jauh sedikit kerana hanya satu pintu stadium dibuka. Sebelum KDT bermula 9.20 malam sempat duduk di atas trek larian warna merah yang bersintetik, sempat berbual-bual dahulu sementara menunggu KDT bermula. Pabila pengacara umumkan KDT akan bermula maka bergerak ke bahagian tepi pentas di atas padang berumput.

KDT bermula dengan lagu duet Amy dan Awie iaitu lagu "Gemuruh". Selepas itu secara bergilir-gilir Search dan Wings menyampaikan lagu daripada album masing-masing. Seterusnya nyanyian secara duet Amy dan Wings yang menyampaikan lagu-lagu dalam album masing-masing. Tetap ada lagu wajib Search iaitu "Isabella" walaupun Sifuku kurang berkenan dengan penampilan lagu ini khususnya dalam konsert besar sebegini; benar juga kata Sifuku itu - tidak perlu lagu-lagu sebegini kerana banyak lagi lau-lagu dalam album Search yang lain (khususnya seperti "Rampage" dan "Karisma"). Rasa-rasanya sekitar 30-40 lagu yang dipersembahkan oleh dua kumpulan utama ini. Tertanya-tanya lagi dalam minda, kumpulan manakah yang bakal mengantikan Search khususnya dan Wings...? Mungkinkah Search akan jadi seperti P. Ramlee? Kumpulan 'indie' yang ada seperti yang dilaungkan kini iaitu Bunkface, Hujan, Meet Uncle Hussein dan macam-macam lagi yang lebih glamor dan mengada-ngada adanya usahlah cakap... kumpulan ini amat-amat jauh 'langit dari bumi'!

Persembahan Search khususnya vokal Amy memang tidak mengecewakan. Search tanpa Hillary seperti 'agak kurang' sengatan gitarnya kerana petikan gitar Din sedikit lemah berbanding petikan gitar Joe Wings. Setuju dan sependapat dengan Azhar Salleh dan Syaidul Azam bahawa gabungan rentak muzik (gitar - bass - drum) Wings lebih menyerlah berbanding Search. Alunan muzik Wings kedengaran lebih jelas sedikit walaupun Search juga mantap. Setuju dan sependapat dengan Azhar Salleh dan Syaidul Azam bahawa petikan gitar Joe Wings lebih jelas dan nyaring seumpama mendengar dalam kaset @ CD, juga dentuman drum Black lebih menangkap sedikit berbanding Yazid.

Ada juga sebuah lagu "Holy Diver" (kumpulan Dio) dipersembahkan oleh Search dan Wings sempena mengingati penyanyinya Ronnie James Dio. Beberapa lagu yang diharapkan boleh disampaikan oleh Search dan Wings juga ada yang tidak kesampaian untuk didengar dan ditonton. Wings tidak menyampaikan lagu-lagu seperti "Satelit Puaka" (album Jerangkung dalam Almari) dan "Rantai" (album Teori Domino). Rasanya sesuai juga jika Awie menyampaikan lagi "Rantai" yang sinonim juga denga situasi kini. Awie juga sesekali buat lawak yang kecil mengusik penonton dan Awie dengan menyebut lagu nasyid, lagu Siti Nurhaliza... juga Awie ucapkan 'selamat menjadi datuk' buat Amy.

Dilihat secara rawak hampir 80% penonton yang hadir menyaksikan KDT ini sekitar berumur 30 tahun ke atas atau dilabelkan sebagai 'otai'. Teringat juga kali terakhir menonton konsert serentak melibatkan Search dan Wings pada tahun 1989 ketika tingkatan 5 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan; datang dengan bas dari Kuala Terengganu bersama-sama 4 rakan lain, selepas konsert itu tidur di luar stadium sebelum pulang bas esok paginya...

Hakikatnya banyak lagi ingin dicatatkan sepanjang situasi KDT ini tetapi biarlah dalam ruangan dan kesempatan lain pula. KDT kali ini tidak mengecewakan langsung bagi diri ini, berbaloi-baloi, memuaskan hati dan minda walaupun ada beberapa aspek yang mungkin penonton sedari tetapi tidak disedari oleh pihak penganjuran dan kumpulan Search dan Wings sendiri. Biasalah... manusia biasa ada kelemahan tidak sempurna 100% tetapi kelemahan yang ada tidaklah menjejaskan langsung KDT ini.

Penerimaan setiap penonton kini cukup subjektif termasuklah buat diri ini, Sifuku Azhar Salleh dan teman sepejabat Syaidul Azam. Apa-apapun diri ini setuju lagi atas pendapat Azhar Salleh bahawa beliau menunggu konsert kumpulan May, makanya perlu ada konsert May suatu hari nanti di Johor Bahru.

Rabu, Jun 02, 2010

TIKET KDT TELAH DIPEROLEH

Tiga tiket KDT ini telah ada pemiliknya...

Poster kecil maklumat jualan tiket KDT.

Petang semalam sekitar pukul 5 - 5.30 petang pergi ke Plaza Angsana, Johor Bahru. Ada beberapa tujuan apatah lagi tujuan utama untuk mendapatkan tiket Konsert Double Trouble (KDT). Menurut makluman promosi jualan tiketnya di kedai kaset Music Valley iaitu di ruang bawah Plaza Angsana. Pergi ke kedai itu lalu seseorang menyatakan kaunter jualan tiket di sisi tangga bergerak (berdekatan Restoran Pizza Hut dan KFC). Rupa-rupanya pihak penjual tiket membuka satu ruang khas secara terbuka untuk jualan tiket serta jualan barangan cenderamata (termasuk baju T) sempena KDT.

Belilah tiga tiket, secara kebetulan peroleh tiket dengan nombor sirinya 0001122, 0001123, dan 0001124. Tiga tiket ini sudah ada pemiliknya (termasuk diri sendiri). Pihak penjual itu juga mengedarkan poster kecil (saiz kertas A4) tentang maklumat tempat jualan tiket KDT. KDT akan bermula 8.45 malam pada 5 Jun 2010 di Stadium Tan Sri Dato' Hj. Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru berdasarkan paparan pada tiket dan poster itu.

Rasa bimbang juga akan cuaca tidak menentu sejak seminggu ini di Johor Bahru, hujan turun tidak menentu masanya kadang kalanya waktu subuh (seperti hari ini), tengah hari, lewat petang dan juga sesekali hujan renyai pada malam hari. Maka sebagai langkah berjaga-jaga perlulah bersiap sepatutnya jika cuaca tidak menentu ini kerana KDT diadakan di tempat terbuka tidak seperti Stadium Tertutup MBJB ketika Konsert Di Awan Biru pada 9 Mei 2009 yang lalu.

Rabu, Disember 30, 2009

SANTAI: SEARCH 'LIVE IN JB 2009'

Kulit Cakera Padat (CD) Album.


Hillary Ang dan Lirik Lagu - dalam CD album ini.

1. Album SEARCH LIVE IN JB 2009 CITY OF "ROCK N ROLL" mula berada dipasarkan dua bulan yang lalu, diri ini segera mendapatkan cakera padat (CD) kerana album ini merupakan rakaman Konsert Search Di Awan Biru pada 9 Mei 2009 di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru, Johor. Pastinya konsert ini disaksikan bersama 'otai' rock bernama Witra pada ketika itu. Setelah mendengar berbelas-belas kali CD ini maka hari ini barulah berkesempatan untuk menukilkan sesuatu dalam blog yang rencam sifatnya ini.
2. Pabila album mula dihebahkan diri ini segera mendapatkannya kerana ingin menikmati muziknya, ya... berlainan sekali berbanding ketika konsert yang sebenarnya pabila rakaman muzik asalnya telah disunting dan diadun dalam bentuk 'mastering' untuk kesesuaian mutu muzik dalam sesebuah album apatah lagi melibatkan album konsert sebegini. Mutu bunyi album ini memang pada tahap yang tinggi dan menyelerakan didengar serta dinikmati.
3. Pernah selepas konsert sebenarnya di Johor Bahru pada 9 Mei 2009 yang lalu, diri ini bersetuju dengan pendapat Witra bahawa mutu muziknya agak kurang memuaskan serta kurang dapat dinikmati dalam konteks sebuah konsert atau mungkin ketika itu telinga ini kurang menangkap alunan muziknya kerana kedudukan ketika konsert itu kerana duduk di bahagian tepi stadium - ya... mungkin kotak pembesar suara (speaker) kurang menghala kepada penonton yang duduk menyaksikan dari bahagian tepi stadium!
4. Album yang memuatkan 13 'track' lagu (ada 'track' dalam CD ini digabung 2-3 lagu serentak - kesemuanya sebanyak 19 lagu dan irama solo) ditebitkan secara eksklusif oleh Sony Music Entertainment manakala penerbitnya oleh kumpulan Search sendiri. Antara lagu yang terkandung dalam album ini termasuklah 'Paranoid', 'Balada Pemuzik Jalanan', 'Setelah Hujan', 'Langit dan Bumi', 'Pelesit Kota', 'Bencana', 'Isi dan Kulit', 'Mat Rock' dan 'Pasti' termasuklah lagu wajib Search iaitu 'Fantasia Bulan Madu'.
5. Alunan gitar solo Hillary Ang cukup memberikan kesan mendalam, manakala drum solo Yazit cukup membuatkan tangan dan kaki ini ingin sekali bermain drum (tapi tidak pandai...). Selain Amy, Hillary dan Yazit, pemuzik lain seperti biasa Din dan Nasir termasuk pemain keyboard / sessionist bernama Roza.
6. Jika anda peminat muzik 'rock otai' bolehlah mendengar CD konsert Search di Johor Bahru ini untuk menikmati muzik dan gema suara Amy termasuk laungan penonton yang hadir menyaksikan konsert ini, yang pasti laungan suara diri ini dan Witra tiada dalam CD ini kerana ketika konsert duduknya di bahagian tepi pentas.


Selasa, Ogos 04, 2009

MASALAH SISTEM BUNYI, KENAPA?

1. Dalam ruangan hiburan akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia hari ini (4 Ogos 2009) terliput secara meluas Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru di Polo Pavilion, Kelab Ekuestrian, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Penuh dua halaman dan foto yang menarik dalam akhbar ini. Namun sebahagian liputan itu mendedahkan tentang SISTEM BUNYI konsert ini, kenapa terjadi sebegini terhadap sebuah kumpulan rock legenda negara ini?
2. Seperti juga Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru pada 9 Mei 2009 yang lalu, hebat dan menarik tetapi ramai yang kurang berpuas hati dengan SISTEM BUNYI dalam konsert ini! Cikgu Azhar Salleh merupakan insan pertama meluahkan rasa kurang puas hati terhadap mutu SISTEM BUNYI dalam konsert di Johor Bahru itu, ya... belum sempat keluar stadium Cikgu Azhar meluahkan rasa kurang puas hatinya itu... saya angguk dan berkata 'ya' atas luahannya itu...
3. Ikuti beberapa petikan dalam akhbar yang melahirkan rasa tidak puas hati tentang mutu SISTEM BUNYI ini:


Cukup luar biasa
Oleh Zaidi Mohamad (Berita Harian)

Sistem bunyi jejas perjalanan konsert

Bagaimanapun, konsert yang berlangsung dalam tempoh dua jam itu sebenarnya dianggap sangat mengecewakan terutama daripada sudut sistem bunyi yang disediakan. Kalau diamati, memang persembahan konsert itu bagai ada yang tak kena.

Persembahan konsert itu turut dicacatkan dengan masalah teknikal yang terjadi di awal persembahan selepas lagu kedua, Balada Pemuzik Jalanan dinyanyikan Amy. Penampilan khas Kid ketika menggoreng gitarnya untuk lagu Isabella bergema di ruang udara juga kelihatan seperti tenggelam timbul. “Saya sendiri juga agak panik apabila masalah teknikal itu berlaku. Perkara sedemikian memang kita tak dapat jangka. Yang berlaku tetap akan berlaku, kita tidak boleh halang,” kata Amy ringkas. Ketika itu juga, Nasir mula mencelah seperti cuba merungkaikan sedikit perasaan hatinya. “Kita pakai sistem bunyi yang berbeza dengan konsert sebelum ini. Apa yang kita nak yang terbaik untuk konsert ini tak dapat. Ia seperti gangguan emosi kepada kami,” kata Nasir.

Berbaloikah menonton konsert ini? Jawapannya tepuk dada tanya isi hati. Sayang juga kerana persembahan itu tidak berjalan dengan baik sedangkan ia sebenarnya perlu menjadi memori yang indah. Amy Search juga kurang berkomunikasi dan hanya selepas lagu kelapan, Gelora Cinta, baru bapa kepada pelakon Nabila Huda itu mula bersuara. Bermula dengan lagu Panggung Khayalan, Amy melabuhkan tirai konsert dengan lagu Fantasia Bulan Madu. Diamati, lagu Isabella paling memberi nostalgia tersendiri dan cukup mengesankan kepada peminat Search apabila mereka turut menyanyikan sama lagu terbabit. Antara lagu lain yang dipersembahkan Search ialah Emanuelle, Hilang Dalam Terang, Plastik Ke Bintang, Rock & Roll Pie, Bencana, medley Gadis Misteri, Gadis Ayu dan Gadisku, Isi Dan Kulit, Laila Namamu Teratas, Pelesit Kota, Setelah Hujan dan tidak ketinggalan lagu cari makan, Pawana.

_________________________________________________


Sayang sistem bunyi 'hancur'
Oleh ABD. AZIZ ITAR (Utusan Malaysia)


Sayangnya, konsert anjuran Art-Is At Work dan penaja utamanya, Celcom Blue itu seakan-akan belum mencapai matlamat Search dalam memberi kepuasan serta penghargaan kepada hampir 25,000 penonton yang hadir pada malam itu.
Masalah teknikal pada sistem bunyi paling banyak membelenggu pada konsert yang mengenakan tiket berharga RM88 dan RM58 itu sehingga ia menganggu kosentrasi persembahan Search dan juga penghayatan para peminat mereka.

Masalah teknikal pada sistem bunyi berada pada tahap paling kritikal sewaktu Search menyanyikan lagu yang dipetik daripada album Cinta Buatan Malaysia itu apabila seluruh pentas sunyi seketika akibat gangguan elektrik.
Bukan sekejap, malah masalah itu berlarutan sehingga hampir 10 minit apabila bukan sahaja tidak kedengaran vokal Amy atau dentuman muzik bingit Search, tetapi tiada juga suara pengacara, Isma Halil Hamzah yang sepatutnya tampil memohon maaf.

Sebaliknya, suasana sunyi sepi di pentas itu diganti pula dengan pelbagai nada jerit pekik para penonton yang seperti tidak puas hati dengan konsert yang diuar-uarkan sebagai 'berbaloi-baloi' oleh pihak penganjur itu.
"Woi! mahal tiket ni... Berbaloi apanya macam ni?" itu antara suara-suara sumbang para penonton yang bukan setakat resah kedengaran nadanya, malah menagih tindakan segera daripada pihak penganjur yang terbabit.

Selepas masalah teknikal itu dapat diatasi, Amy bersama anggota-anggota Search iaitu Yazit (dram), Hillary (gitar), Din (gitar) dan Nasir tampil semula di pentas dengan membawakan lagu berjudul Laila Namanu Teratas.


(Untuk laporan penuh - silalah membacanya dalam ruangan hiburan dua akhbar utama hari ini yang penuh terliput dalam dua halaman.)

Selasa, Mei 26, 2009

PENGALAMAN MENONTON KONSERT

1. Setiap pagi pasti saya mendengar radio Sinar FM sama ada di pejabat atau dalam kereta. Celoteh juruhebahnya (Saleh Yaakob, Khairil Rashid dan Raja Azura) pasti membuat diri tersenyum dan ketawa sendirian. Dengar khabarnya yang terkini, pendengar Sinar FM meningkat secara mendadak dalam setahun belakangan ini, khabarnya stesen radio ini menduduki tempat kedua secara keseluruhan dalam kajian pendengar radio berbahasa Melayu.
2. Setiap pagi ada topik yang diketengahkan yang bersifat 'santai dan menghiburkan' buat pendengar. Pagi tadi (26 Mei 2009 / 7.30 pagi - 9.00 pagi) dilontarkan satu topik iaitu 'PENGALAMAN DAN CERITA MENONTON KONSERT'. Pelbagai cerita dan kisah serta pengalaman pahit dan manis pendengar dapat didengar, yang menariknya hampir 80% pendengar yang menghubungi dan menghantar SMS menceritakan pengalaman tentang konsert rock sekitar lewat 1980-an dan awal 1990-an.
3. Ada pemanggil yang menceritakan pelbagai kisah, banyak yang membuat diri ini ketawa dan senyum sendirian. Antara kisahnya; seorang pemanggil dari Melaka ceritakan bahawa selepas konsert beliau bersama rakannya bertemu dengan seorang 'otai rock' kerana sama-sama untuk tidur di stesen bas, maka berceritalah... pemanggil itu bertanya kepada otai itu kumpulan yang diminati, otai itu jawab beliau gemar dan suka kumpulan SYJ, apabila ditanya makna SYJ... dengan yakin otai itu jawab SYARIKAT YAYASAN JOHOR..., maka gelak ketawa besarlah pemanggil dan rakannya sampai tidak boleh tidur hingga ke pagi.
4. Lantas saya teringat 1-2 pengalaman diri sendiri tentang hal ini.
i. Jika tidak silap saya dalam tahun 1989 (tingkatan lima) saya bersama 5-6 orang rakan sanggup ke Kota Bharu, Kelantan (dari Kuala Terengganu) untuk menyaksikan konsert Search dan Wings. Menaiki bas dari Kuala Terengganu sampai ke Kota Bharu mengambil masa hampir 3 jam. Semasa konsert saya terserempak dengan arwah abang kandung sendiri yang turut berada di situ, maka cepat-cepat saya bertukar lokasi untuk mengelak bertemunya. Konsert selesai jam 11 malam, untuk menunggu pulang esoknya menaiki bas saya bersama rakan tidur di hadapan Stadium Sultan Muhammad IV sahaja.
ii. Dalam tahun 1989 juga, saya bersama rakan juga sanggup ke Kuantan, Pahang untuk menyaksikan konsert Search. Pengalaman tidur di hadapan stadium juga terjadi kepada saya dan rakan.
(Sekadar catatan: Ketika zaman gemilang rock iaitu pertengahan 1980-an hingga awal 1990-an, konsert tidak dibenarkan diadakan di Terengganu.)
5. Selepas tahun 1992 mulalah melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur, maka pelbagai konsert yang sempat ditonton sama ada di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam dalam keadaan yang baik dan selesa kerana tidak perlu lagi tidur di hadapan stadium! Maka juga bermula mengenali makna konsert yang diadakan sempena 'fun fair' di sekitar Lembah Kelang.
6. Mungkin peminat muzik rock ketika era 1980-an dan 1990-an di Lembah Kelang, Pulau Pinang, Perak dan Johor khususnya mempunyai terlalu banyak pengalaman ketika zaman persekolahan dan memasuki umur 20-an dalam memperkatakan tentang konsert sebegini, ya... di bandar-bandar besar negeri sebelah Pantai Barat Semenanjung ini konsert selalu ada di merata tempat ketika itu.

Isnin, Mei 11, 2009

EPISOD 1 KONSERT SEARCH - FOTO AMATUR SISI LAIN...





Konsert Search Di Awan Biru pada 9 Mei 2009 di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru merupakan konsert jelajah Search yang kedua selepas berlangsung di Pulau Pinang. Pada pengamatan saya jumlah penonton dalam lingkungan 10,000 - 12,000 orang. Foto amatur yang diambil sendiri oleh saya (kamera digital murah sahaja) merakamkan sisi lain konsert tersebut. Foto amatur yang seadanya ini diambil sambil menunggu WITRA untuk bersama-sama beliau masuk ke dalam stadium.
Paparan foto di luar stadium - penonton membeli tiket, penonton menunggu masuk ke dalam stadium, trak peralatan konsert, dan bas khas konsert ini yang membawa ahli kumpulan Search. Ketika hendak masuk ke dalam stadium saya diminta meninggalkan kamera (walaupun kamera digital murah sahaja) di kaunter pintu masuk!
BERSAMBUNG - UNTUK KISAH DAN CORETAN LAIN ANTARANYA TENTANG KEHEBATAN DAN KEKURANGAN PERSEMBAHAN, LAGU-LAGU YANG DISAMPAIKAN, SISTEM BUNYI DAN LAIN-LAIN...