Memaparkan catatan dengan label SASTERA - BAHASA - BBK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SASTERA - BAHASA - BBK. Papar semua catatan

Khamis, Disember 24, 2009

MAJLIS 'YANG INDAH ITU BAHASA'


1. Bahagian Komunikasi Korporat DBP telah menganjurkan majlis 'Yang Baik Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa' iaitu sebuah majlis penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak dan individu yang bersama-sama menjayakan program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009.

2. Seramai 200 orang hadir yang terdiri daripada pelbagai badan kerajaan, swasta, media penyiaran dan individu dalam majlis yang dilangsungkan pada 22 Disember 2009 (Selasa) di Dewan Bankuet DBP, Kuala Lumpur.

3. Diri ini sempat mengambil sijil khas iaitu Sijil Penghargaan dan Sijil Penyertaan BBK 2009 yang mempunyai tandatangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia untuk dibawa pulang serta ingin diagihkan kepada pelbagai pihak dan individu yang menjayakan BBK 2009 negeri Johor dan Melaka khasnya yang banyak menyumbang tenaga dan penat lelah dalam menjayakan program BBK 2009 peringkat negeri Johor dan Melaka sepanjang program yang berlagsung dalam bulan Oktober yang lalu.

4. Dalam majlis santai beserta majlis penyampaian sijil dan cenderamata penghargaan kepada banyak pihak, selingan lagu turut dimuatkan. Istimewanya juga penampilan Ramli Sarip yang membawakan lagu-lagu bertemakan puisi serta lagu baharunya dalam majlis ini. Pihak media cetak dan elektronik utama negara juga turut hadir dalam majlis ini.

(Catatan: Foto latar pentas Majlis pelancaran BBK 2009 Negeri Melaka pada 1 Oktober 2009)

Selasa, November 03, 2009

BBK 2009 JOHOR DAN MELAKA - TERIMA KASIH BUAT ANDA SEMUA

Berakhirnya bulan Oktober 2009 maka lengkaplah sudah pelaksanaan program khas sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 untuk negeri Johor dan Melaka yang diri ini gerakkan. Cuma berkesempatan melaksanakan 7 program dalam konteks diri ini selaku pengurus programnya, secara keseluruhan sebanyak 13 program BBK 2009 Johor dan Melaka yang dilaksanakan oleh DBPWS. 7 program yang dilaksanakan oleh diri ini seperti di bawah:
1. Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Prauniversiti Negeri Johor, 30 September 2009, Hotel Good Hope, Skudai, Johor Bahru. Anjuran bersama SPRM Johor, DBPWS dan JPNJ.
2. Majlis Pelancaran BBK 2009 Negeri Melaka, 1 Oktober 2009, Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka. Anjuran bersama DBPWS, IKSEP dan Kerajaan Negeri Melaka.
3. Gema Puisi Patriotisme, 1 Oktober 2009, Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka. Anjuran bersama DBPWS, IKSEP dan Kerajaan Negeri Melaka.
4. Pementasan Monodrama ‘Rebab Berbisik’ dan Teater 15 Minit ‘Bidan Ketujuh’, 3 - 4 Oktober 2009, Panggung Seri, Taman Budaya Melaka, Ayer Keroh, Melaka. Anjuran bersama DBPWS dan JKKNNM dengan kerjasama IKSEP dan RTM Melaka.
5. Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan, 4 - 8 Oktober 2009, Kukup, Pontian, Johor. Anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia diselenggarakan oleh Jabatan Pelajaran Johor dengan kerjasama DBPWS.
6. Sembang Bahasa dan Sastera Bersama Penulis KOMSAS, 8 Oktober 2009, SK Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor. Anjuran bersama PPJ, DBPWS dan PPD Pontian.
7. Pementasan Teater Negeri Johor ‘Srikandi Tanah Jauhar’, 23 - 24 Oktober 2009, Auditorium RTM Johor, Johor Bahru.Anjuran bersama DBPWS, Persatuan Teater KESUMA-I Johor Bahru dengan kerjasama RTM Johor dan JKKNNJ.

Terima kasih buat semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, yang giat serta aktif membantu dan bersama dalam menggerakkan program di atas. Sebarang kekurangan dan kelemahan dalam pelaksanaan program ini merupakan kekurangan dan kelemahan diri ini, mohon maaf atas segala kelemahan yang ada. Jika ada kelebihan dalam program yang dilaksanakan, itu merupakan kekuatan anda semua yang membantu dan menyokong diri ini.

Sabtu, Oktober 31, 2009

SESI SUMBANG SARAN STJ

Rahimah Muda selaku pengarah dan penulis skrip STJ (kiri) mendengar pandangan sebahagian para pelakon dan tenaga produksi.

Sebahagian pelakon dan tenaga produksi yang hadir.

Tenaga kuat bahagian teknikal dan pengurusan belakang pentas.

Sebahagian para penari, suara latar dan pelakon wanita STJ.

Azi (kanan) antara tenaga kuat wanita dalam STJ.


Semalam (30 Oktober 2009) pihak Persatuan Teater KESUMA-I Johor Bahru mengadakan sesi sumbang saran pascapementasan 'Srkandi Tanah Jauhar' (STJ) di ruang pentas Pejabat Tanah dan Daerah Johor Bahru, Larkin, Johor Bahru. Ruang pentas inilah merupakan tempat latihan dan mengasuh bakat lakonan khasnya buat tenaga pelakon baharu sepanjang dua bulan untuk mempersipakan diri dalam STJ.
Separuh tenaga pelakon dan produksi hadir dalam sesi ini yang diketuai oleh En. Mohd Razif Hj. Adnan, Pengerusi KESUMA-I merangkap Pengarah Lakon serta Pengurus Produksi STJ dan Pn. Rahimah Muda selaku Pengarah dan Penulis Skrip STJ. Sesi bermula pukul 9.30 malam hingga 12.00 tengah malam.
Pn. Rahimah dan En. Mohd Razif bersama para pelakon dan tenaga produksi banyak memberikan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada diri ini dan DBPWS. Bagi diri ini itu biasa sebagai tanda penghargaan dan terima kasih dalam 'adat orang memberi dan orang menerima' bangsa Melayu, lalu diri ini juga membalas ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan buat semua yang terlibat dalam STJ ini. Selain ucapan terima kasih dan tahniah, hakikatnya dalam sesi ini banyak juga saran yang membina dan terbuka dalam kalangan tenaga STJ ini.
Diri ini juga berkesempatan memberikan serba sedikit ceramah dan luahan hati yang istimewa buat semua penggerak STJ ini, satu yang diri ini katakan pasal peruntukan kecil STJ ini tetapi hasilnya dua kali ganda daripada peruntukan asal, inilah semangat dan komitmen padu semua yang terlibat - bukanlah soal wang yang diutamakan tapi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan! Itulah yang mengharukan diri ini.
Cuma ada diri ini katakan dalam bentuk gurauan bahawa "jika ada peruntukan RM150,00.00 ke atas, bolehkah dengan peruntukan ini boleh menghasilkan kerja semacam STJ dan Roh Semberani (tahun 2008)...?" Apa-apapun STJ ini banyak pengalaman baharu yang dikutip oleh semua yang terlibat termasuk diri ini - nilai pengalaman dan ilmu yang diperoleh ini tiada nilai wang yang boleh disamakan!
TERIMA KASIH DAN SEJUTA PENGHARGAAN BUAT SEMUA PIHAK, ORGANISASI DAN INDIVIDU YANG TERLIBAT SECARA LANGSUNG DAN TIDAK LANGSUNG DALAM STJ; BUAT PARA PENONTON YANG HADIR SEMEMANGNYA ANDA SEMUA KEKUATAN SEMANGAT ROH DAN JIWA KEPADA KAMI DALAM KEJAYAAN STJ. SEBARANG KELEMAHAN DAN KEKURANGAN DALAM STJ INI PIHAK KAMI MOMOHON KEMAAFAN YANG SEIKHLASNYA...

TERLAKSANA 'SRIKANDI TANAH JAUHAR' (STJ): FOTO SISI LAIN - 2

"Tun Fatimah bermimpi bulan retak..."

Bulan mula retak...

Belakang pentas.

Belakang pentas.

Satu daripada tiga kamera yang digunakan untuk rakaman.

Tempat petugas teknikal - bunyi dan pencahayaan.

Petugas bahagian tengah auditorium: Murad (DBPKL) - Pengacara, Zaidi (JKKNNJ) - Pengurus Pentas, dan Mazlan (KESUMA-I) - Pengurus Teknikal.

Penonton beratur untuk masuk ke dalam auditorium.

Penonton beratur untuk masuk ke dalam auditorium.
Kali ini dipaparkan beberapa foto rakaman kamera sendiri dan rakaman kamera rasmi yang termuat antaranya foto bulan retak, belakang pentas, peralatan dan petugas teknikal, dan penonton beratur. Foto di atas dipilih daripada ratusan foto (kamera sendiri dan kamera rasmi ofis) yang terakam dalam pementasan STJ. Secara sengaja dalam blog ini memaparkan foto-foto sisi lain untuk tatapan bersama kerana foto sisi lain sebegini punyai makna mendalam yang sebahagian besarnya terkesan dalam jiwa dan minda.
i. Foto Bulan Retak - ketika Tun Fatimah bermimpi.
ii. Foto Belakang Pentas - pantas gerak tenaga pelakon untuk keluar masuk ke pentas.
iii. Foto Peralatan dan Petugas Teknikal - tulang belakang pementasan.
iv. Foto Penonton Beratur - kesabaran dan minat yang penuh penonton amat dihargai.

Khamis, Oktober 29, 2009

TERLAKSANA 'SRIKANDI TANAH JAUHAR' (STJ): FOTO SISI LAIN - 1

Paparan LCD - video BBK 2009 sebelum pementasan.

Gegantung BBK 2009 di dalam auditorium.

Paparan LCD - video dan gegantung BBK 2009 di dalam auditorium.


Paparan LCD - video BBK 2009 sebelum pementasan.

Paparan LCD - video BBK 2009 sebelum pementasan.

Gegantung BBK 2009 di pintu masuk RTM Johor.

Gegantung BBK 2009 di pintu masuk RTM Johor (balai pengawal).

Kain rentang STJ di pintu masuk RTM Johor.
Banyak foto pementasan STJ dirakamkan sama ada kamera peribadi mahupun kamera rasmi. Paparan foto di atas tidak memaparkan aksi pementasan STJ, cuma sebahagian foto sisi lain yang ditampilkan. Foto-foto di atas menampilkan paparan tentang hal Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 sama ada paparan video dan gegantung termasuk kain rentang STJ yang menyatakan pementasan ini diadakan sempena BBK 2009 Peringkat Negeri Johor.
Jumlah masa paparan video tentang BBK tersebut selama 10 minit, video ini diulang tayang sepanjang 30 minit sebelum pementasan STJ bermula - ketika penonton mula masuk ke dalam auditorium. Paparan video dan gegantung BBK 2009 ini merupakan salah satu elemen penting juga dalam proses pengisian pementasan ini kerana melibatkan sebahagian sambutan / acara dalam BBK 2009 negeri Johor. Paparan video sebegini harus ditayangkan kepada umum agar masyarakat sedar tentang adanya sambutan BBK 2009 di seluruh negeri di Malaysia.

Bersambung...

Selasa, Oktober 27, 2009

TERLAKSANA 'SRIKANDI TANAH JAUHAR' (STJ) - 2





Kehadiran Penonton
Inilah sebahagian rakaman foto kehadiran penonton dalam tiga pementasan STJ. Jangkaan naif jumlah kehadiran setiap pementasan seramai 650 - 700 orang yang memenuhi ruang bawah dan atas Auditorium RTM Johor, Johor Bahru ini.
Agresifnya menggerakkan undangan dan pelbagai jenis promosi sejak dua minggu sebelum pementasan STJ membuahkan hasil yang baik dan memuaskan, ya... pementasan teater sebegini khas untuk tontonan umum seramai yang boleh, jika tidak agresif dalam undangan dan promosi walaupun sesebuah teater itu penuh bermutu dan hebat sekalipun tiada seronoknya jika kurang orang menontonnya. Seni dan persuratan untuk masyarakat
Terima kasih serta penghargaan besar buat para penonton yang hadir menyaksikan teater STJ ini. Kehadiran anda semua merupakan semangat serta menyampaikan 'roh dan jiwa' kepada kekuatan serta komitmen para pelakon dan tenaga produksi STJ.
Bersambung...

Ahad, Oktober 25, 2009

TERLAKSANA 'SRIKANDI TANAH JAUHAR' (STJ) - 1

Sebahagian para pelakon dan produksi STJ.

Ruang aras bawah tempat penonton 15 minit sebelum pementasan.

Ruang aras bawah tempat penonton 1 jam sebelum pementasan.

(Catatan: Hampir 500 foto dirakam menggunakan kamera digital kos murah milik sendiri sepanjang 4 pementasan sama ada sebelum, semasa dan selepas setiap pementasan pada 22 - 24 Oktober 2009).
Akhirnya terlaksana sudah pementasan teater 'Srikandi Tanah Jauhar' (STJ) setelah perancangan selama hampir 3 bulan serta usaha-usaha giat 2 minggu sebelum pementasan ini yang cukup menambahkan pengalaman untuk melaksanakan sesebuah program apatah lagi program yang melibatkan pementasan teater di ruang auditorium yang besar pentas dan kapasiti muatan penonton. Usaha dan curahan idea dalam melaksanakan STJ ini sememangnya banyak cabaran, emosi, suka, duka, bahagia dan ketawa dalam konteks kecerdikan semua pihak bersatu merancang dan melaksanakannya. 4 pementasan telah dilaksanakan (termasuk sebuah pementasan untuk raptai penuh) pada 22 - 24 Oktober 2009 di Auditorium RTM Johor, Johor Bahru.


22 Oktober 2009 (Khamis) - 8.30 malam : Raptai Penuh

1. Set pentas dan persiapan teknikal telah dijalankan di auditorium pada 21 Oktober 2009 (Rabu). Bantuan penuh petugas RTM Johor melancarkan persiapan ini. Pementasan untuk raptai penuh ini dibuat dengan rakaman penuh menggunakan tiga kamera melalui peralatan Multi Camera Production (MCP). Perkhidmatan MCP serta kamera Ibu Pejabat DBP Kuala Lumpur dan DBP Wilayah Timur melengkapkan rakaman ini.

2. Pementasan malam ini selama 1 jam 30 minit. Pementasan bergerak lancar dalam kadar komitmen para pelakon, penyanyi latar dan penari yang cukup bersedia dan bertenaga. Selesai pementasan raptai penuh ini, satu sesi bedah siasat dan percambahan pendapat secara ringkas disampaikan kepada semua pelakon dan tenaga produksi.

3. Penggerak utama STJ yang diketuai oleh En. Mohd Razif Hj. Adnan (Ketua Produksi dan Pengarah Lakon), Pn. Rahimah Muda (Pengarah dan Penulis Skrip) dan diri ini (Pengurus Produksi dan Penerbit). Sesi ringkas ini perlu diadakan untuk persediaan yang lebih baik dan mantap dalam 3 pementasan yang sebenarnya untuk 23 - 24 Oktober 2009.


23 Oktober 2009 (Jumaat) - 8.30 malam

1. YB Pn. Asiah Md. Ariff, Exco Kerajaan Negeri Johor bersama suami serta Pn. Hjh. Nor Hashimah Ali, Pengarah DBPWS, En. Abd. Hamid Mohamad, Pengarah JKKNNJ dan En. Zainal Abidin Asri, Pengarah Penyiaran Kawasan Selatan (RTM) termasuk YB Adam Sumiro, ADUN Tanjung Puteri merupakan tetamu kehormat yang hadir menyaksikan pementasan.

2. Sasaran penonton seramai 300 - 400 orang yang hadir menonton meleset pabila seramai 700 orang hadir memenuhi ruang bawah dan atas auditorium ini. Kehadiran penuh khalayak merupakan suatu kekuatan secara 'roh dan jiwa' buat para pelakon dan tenaga produksi. Penonton pelbagai peringkat umur dan kategori masyarakat datang menyaksikan pementasan ini; suatu rasa rendah diri ini kerana masih ada masyarakat yang sudi dan ingin dekati 'produk' sastera dan seni budaya yang dikategorikan sebagai kurang laku - kurang diminati - kurang didekati sebegini.


24 Oktober 2009 (Sabtu) - 3 petang
1. Pementasa kedua, cabaran buat pelakon dan tenaga produksi kerana mementaskan pada waktu siang (petang). Momentun pementasan semalam harus diteruskan demi untuk tontonan masyarakat didahulukan. Pementasan yang diadakan pada petang hari ini sebenarnya khas buat para pelajar dan guru sekolah namun terbuka juga kepada masyarakat umum.

2. Diri ini terus menyasarkan penonton seramai 300 - 400 orang sahaja tetapi tetap meleset pabila kehadiran sama seperti pementasan semalam seramai hampir 700 orang, memenuhi ruang bawah dan atas auditorium. Hampir 450 - 500 penonton (75%) dalam kalangan pelajar dan guru sekolah sekitar daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai Jaya dan Kota Tinggi. Berbanyak terima kasih buat Pejabat Pelajaran Daerah iaiti daerah Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai Jaya dan Kota Tinggi kerana mengizinkan para pelajar dan guru hadir bersama menyaksikan pementasan ini.

3. Selesai pementasan, diri ini terus menyelesaikan beberapa perkara utama yang melibatkan hal-hal honorarium dan sedikit cenderamata serta sijil kepada para pelakon dan tenaga produksi - bimbang tidak sempat diserahkan selepas pementasan akhir pada malam ini. Acara ringkas dan singkat penyampaian honorarium, sijil dan sedikit cenderamata kepada para pelakon dan tenaga produksi kerana mereka harus menumpukan tenaga dan momentum pementasan ketiga pada sebelah malam.


24 Oktober 2009 (Sabtu) - 8.45 malam

1. Kehadiran puteri Sultan Johor, Tunku Maisera mengejutkan pihak produksi. Tunku menyatakan hasrat untuk hadir menyaksikan pementasan STJ melalui Pn. Rahimah Muda. Kehadiran Tunku Maisera memeriahkan pementasan pada malam ini, juga kehadiran En. Abd. Ghapar Hj. Abdullah, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat DBP.

2. Diri ini tetap realistik hanya menyasarkan 300 - 400 penonton sahaja tetapi tetap meleset pabila kehadiran untuk pementasan terakhir ini juga hampir 700 penonton memenuhi ruang bawah dan atas auditorium. Kehadiran masyarakat umum cukup membuktikan bahawa 'produk' sastera dan seni budaya ini masih ada ramai peminat walaupun dilabelkan sebagai 'produk' kurang laku - kurang diminati - kurang didekati.

3. Tunku Maisera bertanya berapakah kos keseluruhan pementasan STJ ini, maka Pn. Rahimah menjawab hanya sekitar RM40,000.00 ke RM50,000.00 sahaja, beliau terkejut... maka adalah perbualan selanjutnya yang menyatakan hasrat pada masa hadapan agar dapat diberitahukan kepada pihaknya. En. Abd. Ghapar juga secara peribadi bertanyakan hal tentang bajet ini, maka diri ini menjelaskan pecahan perincian belanjanya, beliau turut terkejut... apatah lagi bayaran honorarium kepada para pelakon dan tenaga produksi jauh 5-6 kali rendah berbanding kadar bayaran sebenar DBP!


TERIMA KASIH SERENDAH HATI KEPADA SEMUA PIHAK DAN MASYARAKAT AWAM YANG HADIR MENYAKSIKAN DAN MENYOKONG PEMENTASAN STJ INI YANG KECIL (PERUNTUKANNYA...) NAMUN SAMBUTAN CUKUP MEMBANGGAKAN SEMUA PARA PELAKON DAN TENAGA PRODUKSI. KEHADIRAN RAMAI KHALAYAK ITULAH YANG MENYALURKAN KEKUATAN DAN JIWA KEPADA PARA PELAKON DAN TENAGA PRODUKSI, TERIMA KASIH SEJUTA PENGHARGAAN BUAT SEMUA...
MOHON MAAF ATAS SEGALA KEKURANGAN DAN KELEMAHAN YANG ADA DALAM STJ INI SAMA ADA SEBELUM DAN KETIKA PEMENTASANNYA MAHUPUN ASPEK PENGURUSAN KESELURUHANNYA...
Bersambung....

Khamis, Oktober 22, 2009

HARI-HARI TERAKHIR PROMOSI TEATER - 3

Pemandangan pentas dari atas tempat duduk penonton di Auditorium RTM Johor.

Ruang dalam Auditorium RTM Johor yang boleh memuatkan 500 penonton.

Persiapan set dan pentas di Auditorium RTM Johor.

Kerja-kerja menyiapkan set dan props pentas.

Semalam (21 Oktober 2009) berkesempatan meninjau kerja-kerja persiapan set dan pentas termasuk pencahayaan di Auditorium RTM Johor, Jalan Tasek Utara, Johor Bahru. Para petugas dan tenaga produksi sibuk menyiapkan kerja-kerja akhir set dan pentas dengan dibantu penuh komited oleh kakitangan RTM Johor.
Melihat set yang dibina, dianggarkan kos kasar keseluruhan pementasan teater ini boleh mencecah sehingga RM150,000.00! sedangkan kos yang mampu dibiayai oleh DBPWS cuma sekitar RM40,000.00 hingga RM50,000.oo sahaja. Apakan daya peruntukan kecil yang diperoleh maka pihak DBPWS juga hanya mampu sedaya upaya merealisasikan belanja sebanyak peruntukan yang diberikan, namun atas kesungguhan dan komitmen penuh hampir 70 tenaga produksi teater ini maka gambaran kos seumpama RM150,000.00 serta mungkin lebih (andaian tanggapan mata awal) yang melibatkan set, props, kostum, tenaga kerja, tenaga pelakon dan hal-hal berkaitan pengurusan prapementasan seperti promosi, makan minum tenaga kerja, sambutan dan rakaman muzik termasuk hal-hal kecil yang lain.
Honorarium tenaga produksi dan pelakon usahlah dibicarakan kerana mereka menerima kadar yang tidak layak (kadar amat rendah) diterima berdasarkan kadar bayaran yang sebenar. Mereka iaitu tenaga produksi dan pelakon ingin juga 'bermain teater' atas dasar minat, sayang dan cintakan pementasan teater walaupun bayaran tidak memadai!
Akhirnya sekali lagi... DIPERSILAKAN TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN HADIR MENYAKSIKAN TEATER INI SEADANYA MAMPU YANG DIPENTASKAN DI AUDITORIUM RTM JOHOR, JOHOR BAHRU PADA 23 OKTOBER 2009 (JUMAAT - 8 MALAM) DAN 24 OKTOBER 2009 (SABTU - 2.30 PETANG DAN 8 MALAM).

Rabu, Oktober 21, 2009

HARI-HARI TERAKHIR PROMOSI TEATER - 2




Sebahagian foto yang dirakam ketika Berita NTV7 semalam (20 Oktober 2009) pada pukul 7.05 malam hingga 7.20 malam yang memaparkan maklumat tentang program BBK 2009 - terpapar tentang Pementasan Teater 'Srikandi Tanah Jauhar' yang bakal dipentaskan pada 23 - 24 Oktober 2009.

Selasa, Oktober 20, 2009

HARI-HARI TERAKHIR PROMOSI TEATER

Cetakan laman web sinar.fm yang memaklumkan tentang pemakluman pementasan teater 'Srikandi Tanah Jauhar' (juga tersiar dalam radio Sinar - Zon Aktiviti Sinar).


Sebahagian keratan akhbar tentang pemakluman pementasan teater 'Srikandi Tanah Jauhar' yang tersiar sejak 16 - 20 Oktober 2009.


Beginilah sedaya mampunya setakat hari ini (20 Oktober 2009) untuk promosi perkara atau 'produk' sastera dan bahasa yang kurang diminati, kurang laku dan kurang didekati masyarakat ramai, melainkan jika 'produk' itu ditempelkan artis popular dan selebriti terkenal maka tidak perlulah giat untuk acap kali promosi.
Setelah mula bergerak 2 minggu yang lalu untuk promosi pementasan teater 'Srikandi Tanah Jauhar' sempena BBK 2009 Negeri Johor ini yang melibatkan kad dan surat undangan, poster buat dan cetak sendiri, 10 kain rentang, dan 'flyers' (kertas kecil semacam promosi 'along'), maka peringkat seterusnya melalui media cetak dan elektronik.
Sudah mula tersiar berita pemakluman ini dalam akhbar harian (Berita Harian, Utusan Malaysia dan News Straits Times) sejak 16 Oktober 2009 lalu sehingga hari ini. Berita dan pemakluman yang agak besar keluar dalam Berita Minggu (ruangan hiburan B.Pop) yang agak panjang lebar memberikan maklumat. Dalam siaran Radio SINAR.fm sudah mula kedengaran pemakluman khasnya dalam ruangan Zon Aktiviti Sinar.
Inilah usaha-usaha semampu yang ada dalam kekangan peruntukan untuk mengadakan pementasan teater sebegini, namun pihak produksi (pelakon dan krew) tetap penuh komitmen untuk 'bermain' sebaik mungkin untuk teater kali ini. Secara peribadi diri ini menaruh harapan agar setiap kali pementasan yang melibatkan 3 kali pementasan pada 23 - 24 Oktober 2009 di Auditorium RTM Johor, Johor Bahru dapat terisi seramai 300 - 350 penonton atau 60 - 70% memenuhi auditorium ini kerana kapasiti auditorium ini boleh memuatkan semaksimum 500 penonton dalam sesuatu masa. Tuan-tuan dan puan-puan dipersilakan hadir serta membawa seramai mungkin yang mampu sama ada kenalan atau saudara mara untuk menyaksikan pementasan ini. Khabarnya 2 - 3 kumpulan teater dari Seberang Tambak akan turut hadir menyaksikannya (walaupun baru selesai pementasan 'Muzikal Impak Maksima' di Esplanade, Singapura.
PENUH HORMAT DAN RENDAH DIRI DIPERSILAKAN UNTUK HADIR MENONTONNYA... TERIMA KASIH.

Rabu, Oktober 14, 2009

PROMOSI PERLU BERTERUSAN - TEATER SRIKANDI TANAH JAUHAR BBK 2009 NEGERI JOHOR

Contoh lakaran kain rentang promosi.

Poster awal bersaiz kertas A3 untuk ditampal di beberapa tempat.

'Flyers' (helaian kertas kecil) untuk edaran.
1. Menggerakkan promosi untuk hal-hal berkaitan program sastera dan bahasa yang umum mengetahui bahawa produk sastera dan bahasa ini yang kurang laku, kurang diminati dan kurang didekakti masyarakat umum memerlukan sesuatu pendekatan yang agresif seadanya mampu.
2. Untuk pementasan teater 'Srikandi Tanah Jauhar' sempena BBK 2009 Negeri Johor juga memerlukan seseuatu pendekatan agresif (sedaya mampu yang boleh) agar mendapat perhatian dan kehadiran khalayak. Pelbagai langkah mula giat dijalankan antaranya menghantar undangan dalam bentuk kad dan surat serta promosi dan pemakluman dalam media. Mengambil contoh yang sama seperti pementasan teater 'Roh Semberani' tahun lepas, syukur kerana sepanjang tiga kali pementasan diadakan kehadiran khalayak memberangsangkan pabila setiap pementasan kehadiran seramai 500 - 600 khalayak. Sekadar makluman, Auditorium RTM Johor, Johor Bahru boleh memuatkan maksiumum seramai 700 penonton dalam sesuatu masa.
3. Setakat hari ini telah mula beredar 'flyers' (helaian kertas kecil - semacam kertas along), poster awal ke beberapa tempat awam yang terpilih (termampu dalam jangkauan), dan kain rentang akan mula digantung pada hari esok. Hal-hal ini harus giat serta berterusan giat digerakkan kerana dalam hal pementasan teater 'Srikandi Tanah Jauhar' ini tiada pelakon atau tokoh seni bertaraf selebriti yang ditonjolkan kerana peruntukan kewangan yang ada kecil sahaja. Hampir keseluruhan pelakon merupakan tenaga dan penggerak muda teater negeri Johor yang cukup berminat dan terangsang untuk 'bermain' dalam pementasan teater ini. Jika terdapat 2 atau 3 nama pelakon besar atau selebriti membuat penampilan khas maka rasanya tidak perlulah terlalu giat untuk promosi - ya... sekadar gantung 1 - 2 kain rentang cukup untuk menarik khalayak?


Isnin, Oktober 12, 2009

PROMOSI AWAL - TEATER NEGERI JOHOR SEMPENA BBK 2009


Foto pementasan teater 'Roh Semberani' pada 25 - 26 Julai 2008 di Auditorium RTM Johor, Johor Bahru anjuran DBPWS sempena BBSN 2008 Negeri Johor.



1. Pementasan teater yang agak berskala besar kembali lagi diusahakan oleh DBPWS. Kali ini naskhah dan arahan Rahimah Muda berjudul 'Srikandi Tanah Jauhar' bakal dipentaskan pada 23 - 24 Oktober 2009 di Auditorium RTM Johor, Johor Bahru sempena BBK 2009 Negeri Johor. Pementasan ini merupakan usaha sama DBPWS dengan Kumpulan Teater KESUMA-I Johor Bahru dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor (JKKNNJ) dan RTM Johor. 3 kali pementasan akan diladakan iaitu pada 23 Oktober 2009 (8 malam) dan pada 24 Oktober 2009 (2.30 petang dan 8 malam). Seperti biasa setakat ini pementasan ini berskala PERCUMA - SEMUA DIJEMPUT HADIR.
2. Promosi dan undangan awal telah mula giat dijalankan, pihak DBPWS sejak 9 Oktober lalu hingga hari ini 12 Oktober; telah mula menghantar dalam lingkungan sebanyak 300 kad undangan, sebanyak 200 surat dan beberapa surat khas undangan kepada institusi pendidikan yang berkapisiti setiap satu institusi ini boleh menghantar pelajarnya seramai 40 orang (sebuah bas). Kad dan surat undangan juga dihantar kepada beberapa individu dan 2 - 3 kumpulan teater di Singapura.
3. Promosi melalui kain rentang sedang diusahakan cetakkannya, pabila siap dalam minggu ini akan direntangkan di tempat strategik dalam bandar raya Johor Bahru sebanyak 10 - 12 kain rentang promosi dan pemakluman. 'Flyers' atau kertas kecil pemakluman bersaiz kertas A4 potong tiga juga dicetak dalam lingkungan sebanyak 1,000 unit untuk diedarkan seperti edaran iklan 'ah long' gayanya, diletakkan di kereta atau di kompleks beli-belah dan sebagainya.
4. Promosi melalui media cetak dan radio juga akan mula digerakkan dalam minggu ini. Sasaran seperti biasa melibatkan media khusus di Johor serta media peringkat nasional. Rangkaian yang ada dalam hubungan yang baik dengan pihak media sebelum ini akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan promosi, saya menghantar siaran media secara sukarela tetapi pihak media itu sendirilah yang menentukan sama ada hendak dikeluarkan atau dihebahkan berita dan pemakluman dalam media mereka. Usaha tetap digerakkan demi seni teater dan persuratan peringkat negeri Johor sebegini.
5. Begitulah gayanya untuk promosi dan pemakluman awal yang harus dan perlu giat dilakukan semaksimum dan sedaya upaya yang ada untuk menarik khalayak menonton kerana kapisiti maksimum penonton boleh dimuatkan dalam Auditorium RTM Johor berjumlah 500 orang, ya apatah lagi pementasan teater ini dipentaskan sebanyak 3 kali dengan tenaga pelakon dan produksi yang bukan bertaraf selebriti atau pelakon popular. Bayangkan jika pelakon dalam pemenatasan ini merupakan artis yang popular dan berjenama besar makanya cukup sekadar promosi kain rentang yang berjumlah 3 - 4 unit sahaja serta tidak perlu menghantar ratusan kad dan surat undangan sekali pun. Apakan daya dalam kos yang diterima untuk melaksanakan pementasan ini kecil maka perlulah 'ukur baju di badan sendiri', namun pementasan tetap diadakan dalam skala semampunya yang perlu ditonjolkan.

Sabtu, Oktober 10, 2009

BBK 2009 JOHOR - SEMBANG BERSAMA-SAMA PENULIS KOMSAS




Program saat akhir yang direncanakan oleh Cikgu Amiruddin Ali iaitu Sembang Bersama-sama Penulis KOMSAS anjuran bersama Persatuan Penulis Johor (PPJ), DBPWS dan Pejabat Pelajaran Daerah Pontian telah diadakan pada 8 Oktober 2009 di SK Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor. Program ini juga diangkat sebagai program BBK 2009 Peringkat Negeri Johor. Walaupun agak kecil skalanya, seramai 80 murid darjah 6 sekitar daerah Pontian menyertai program ini. Program yang diadakan ini khusus buat pelajar darjah 6 sebagai langkah awal para pelajar berkenaan mengenali karya sastera khasnya dalam mata pelajaran KOMSAS pabila memasuki tingkatan 1 pada tahun hadapan tahun 2010. Cikgu Amiruddin selaku penceramah utama turut mengundang Cikgu Hj. Dzulkarnain Ithnain dan Cikgu Mohd Kasim Mahmud untuk menyampaikan ilmu dan motivasi. Cikgu Amiruddin memperkenalkan buat pertama kalinya dalam negara ini skrip dramanya 'Surat Untuk Ina' yang dimuatkan dalam KOMSAS tingkatan 1 tahun 2010. Para pelajar didedahkan tentang pengenalan dan konsep mata pelajaran KOMSAS khasnya untuk pemahaman tentang skrip drama tersebut.



Terima kasih atas susah payah Cikgu Amiruddin selaku Ketua 1 PPJ bersama AJK PPJ antaranya Cikgu Hj. Mohd Rosli Bakir dan Cikgu Zulaiha Paikon atas usaha kecil yang besar maknanya serta kali pertama diadakan di Malaysia ini (mengambil kata-kata Cikgu Amiruddin) kerana inilah kali pertama didedahkan tentang skrip drama KOMSAS tingkatan 1 kepada pelajar. Menariknya pada hari yang sama dalam akhbar Berita Harian (ruangan sastera) terpapar nama penulis yang terpilih karyanya untuk karya-karya baharu dalam mata pelajaran KOMSAS termasuk Amiruddin Ali, Datuk Johan Jaaffar, Zaharah Nawawi dan lain-lain. Terima kasih juga buat Guru Besar SK Kayu Ara Pasong, Pontian dan Pejabat Pelajaran Daerah Pontian atas keizinan dan kerjasama dalam mengadakan program ini.

Khamis, Oktober 08, 2009

BBK 2009 JOHOR - PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA SEKOLAH-SEKOLAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2009

Latar pentas perkampungan.


Penceramah / Pembimbing popular Amiruddin Ali didekati peserta.

Amiruddin Ali dalam sesi ceramah dan bengkel teknik deklamasi puisi.
(Catatan: Foto di atas dirakam menggunakan kamera sendiri, tidak sempat untuk merakam foto penceramah lain kerana diri ini tiada ketika penceramah lain (khasnya Sifuku Azhar) berceramah, namun akan diusahakan paparan foto lain yang bakal diambil dalam kamera rasmi DBPWS dan JPNJ sedikit masa lagi.)
Perkampungan Penulis Muda Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2009 diadakan di Kukup Golf Resort, Kukup, Pontian, Johor pada 4 - 8 Oktober 2009. Program ini merupakan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) diselenggarakan oleh Jabatan pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama DBPWS. Secara terus terang dinyatakan bahawa negeri Johor merupakan 'bidan terjun' serta pengurusannya berskala saat-saat akhir dalam penganjuran kali ini kerana pihak Labuan dan Kelantan menolak untuk menjadi tuan rumah. Perkampungan peringkat kebangsaan ini mula diadakan pada tahun 2001, maksudnya edisi ke-9 ini negeri Johor sudah dua kali menjadi tuan rumah, kali pertama Johor tuan rumah pada tahun 2002 di Ledang, Muar, Johor. Seramai 80 pelajar keseluruhannya tingkatan 4 seluruh negeri terlibat kecuali Labuan, Kelantan, Sabah dan Selangor. Pihak DBPWS dipelawa oleh JPNJ untuk bekerjasama juga pada saat-saat akhir. Namun begitu bersempena bulan Oktober 2009 sebagai BBK maka program ini juga dinamakan sempena BBK 2009 Negeri Johor. Pada tahun 2002 ketika Johor menjadi tuan rumah kali pertama, pihak DBPWS juga dipelawa selaku rakan kerjasama.
Catatan Pengalaman Kecil Praperkampungan

1. Saat-saat akhir iaitu menjelang 4-5 hari perkampungan yang sebenarnya, saya dan Cikgu Azhar Salleh dipohon bantuan oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) untuk mencari dan menamakan penceramah dan fasilitator bagi pengisian jadual ceramah dan bengkel ilmu penulisan kreatif sepanjang 4 hari pengisian perkampungan ini.
2. Lalu saya bersama Cikgu Azhar Salleh menggunakan pengalaman perkampungan peringkat negeri yang telah diadakan sejak tahun 2002 setiap tahun hingga tahun 2009 ini untuk mengatasi masalah ini. Maka tersenarai 17 nama guru dalam kalangan penulis prolifik dan penggiat sastera dan bahasa, lalu diserahkan kepada JPNJ.
3. Pihak JPNJ menerima 17 nama guru tersebut lalu pihak JPNJ menyerahkan sepenuhnya kepada saya dan Cikgu Azhar menentukan jadual dan pengisian ceramah dan bengkel ilmu penulisan kreatif. Satu mesyuarat segera diadakan di JPNJ melibatkan hampir 12 orang guru yang dinamakan tersebut selaku penceramah dan fasilitator bagi sesi ceramah dan bengkel ilmu penulisan kreatif.
Catatan Pengalaman Kecil Sesi Perkampungan
1. Maka bermulalah perkampungan pada 4 Oktober 2009, saya tidak berkesempatan berada di Kukup, Pontian pada hari pertama dan hari kedua (4 dan 5 Oktober 2009) kerana bertugas melaksanakan 3 program sempena BBK 2009 Negeri Melaka pada 1 - 4 Oktober 2009.
2. Saya mendapat laporan secara langsung melalui telefon dan SMS oleh Sifu Azhar Salleh, Alhamdulillah sesi ceramah dan bengkel ilmu penulisan kreatif berjalan lancar (saya tekankan sekali lagi iaitu khas untuk sesi ceramah dan bengkel ilmu penulisan kreatif - Sifu Azhar dan beberapa rakan guru penceramah dan fasilitator faham akan maksud ini). Penceramah dan pembimbing setiap sesi ditetapkan sepenuhnya dua hari sebelum perkampungan oleh Sifu Azhar kerana saya telah berada di Melaka ketika itu selama 4 hari.
3. Penceramah dan pembimbing sesi termasuklah Sifu Azhar (puisi), Hj. Dzulkarnain Ithnain (motivasi), Zaid Akhtar @ YNWA (cerpen), Hj. Mohd Rosli Bakir (puisi tradisional), Mohd Kasim Mahmud (cerpen), Nazim Mohd Subari (puisi), dan Amiruddin Md. Ali Hanafiah (teknik deklamasi).
4. Saya berkesempatan hadir pada 6 Oktober 2009 setelah selesai program BBK 2009 Negeri Melaka. Antara pengisian sampingan dalam perkampungan ini termasuklah Malam Apresiasi Puisi, Persembahan Budaya Setempat dan Lawatan (7 Ogos 2009). Menariknya juga saat-saat akhir ditetapkan bahawa sesi lawatan akan berkunjung ke DBPWS, itupun setelah saya cadangkan kerana lawatan yang diaturkan seperti kurang manisnya jika tidak ke DBPWS (kerana 3 buah bas akan melawat sekitar Johor Bahru).
5. Para peserta dan guru pengiring termasuk urus setia seramai 100 orang hadir ke pejabat kecil dan kerdil rumah kedai DBPWS pada 7 Ogos 2009 pukul 9.30 pagi - 11 pagi, lalu saya berikan sedikit taklimat tentang peranan DBP, DBPWS dan program BBK 2009 serta ahli rombongan melawat pejabat kecil dan kerdil DBPWS (lot rumah kedai) yang berjiran dengan sebuah bank dan sebuah stesen minyak.
6. Malam 7 Ogos 2009 majlis penutupan, beberapa 'gangguan' dalam majlis penutupan ini antaranya kehadiran VIP untuk menutup rasmi dan masalah teknikal sedikit mengganggu majlis pada malam tersebut. Bukan untuk menyatakan salah sesiapa tetapi kami pihak penceramah dan fasilitator tidak terlibat dalam Jawatankuasa (JK) ini, ramai dilantik untuk kerja pelbagai JK itu dan ini; kami rasa agak terganggu atas 'gangguan' itu kerana jadual dan pengisian saat-saat akhir untuk sesi ceramah dan bengkel ilmu penulisan kreatif berjalan sebaiknya walaupun agak lemas sebelum perkampungan bermula tempoh hari.
7. Saya dan Sifu Azhar turut mencadangkan kepada pihak JPNJ agar karya pelajar yang terbaik dalam perkampungan peringkat kebangsaan ini diusahakan penerbitan antologinya seperti amalan perkampungan peringkat negeri Johor dan Melaka sejak tahun 2002 menerbitkan antologi karya pelajar yang menyertai perkampungan peringkat negeri ini. Pihak JPNJ berminat serta cuba berusaha menjelaskan perkara ini kepada pihak KPM. Sama-sama kita nantikannya, namun untuk hasil karya pelajar perkampungan negeri Johor dan Melaka tahun 2008 - 2009 sedang saya usahakan penerbitannya kini.
Terima kasih buat JPNJ yang melibatkan DBPWS selaku rakan kerjasama penganjuran peringkat kebangsaan ini walaupun ada 'gangguan' dan berskala 'bidan terjun' ini; tetapi ada hikmah besar kurnian-Nya berdasarkan pengalaman yang diperoleh buat kali ini, pengalaman yang ditimba dapat mematangkan fikiran dan cara bertindak. Pengalaman kali cukup menjadi kenangan dan panduan dalam usaha menggerakkan lebih giat hal-hal berkaitan kemajuan sastera dan bahasa Melayu. Buat guru yang dinamakan selaku penceramah dan fasilitator antaranya Sifu Azhar, Zaid Akhtar @ YNWA, Mohd Kasim Mahmud, Amiruddin Ali, Dzulkarnain Ithnain, Mohd Rosli Bakir, Nazim Mohd Subari, Hamzah Rahman Soriat, Md Nizar Parman, A. Hamid Jemain, Rohaidah Yon, Ruzaini Yahya, Khuzaimah Siraj, Zulaiha Paikon dan beberapa nama lain yang membantu secara langsung dan tidak langsung atas kelancaran sesi ceramah dan bengkel ilmu penulisan kreatif termasuk guru pembimbing dari negeri lain; ya... sempat juga berkenalan dengan penulis guru yang prolifik peringkat kebangsaan dari Pahang iaitu Cikgu Shahrunizam.