Memaparkan catatan dengan label AM - BAHASA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AM - BAHASA. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 24, 2010

SANTAI: KUTIPAN SUMBER BERITA CHINA

Dua tiga kali membaca berita ini awal pagi tadi; berita ini tersiar dalam akhbar Sinar Harian hari ini (24 Disember 2010) dalam ruangan 'Global' (halaman N28). Ketegasan dan kuat kuasa pemerintah dapat dibaca dalam sumber berita... Kutipan penuh berita ini seperti dalam akhbar Sinar Harian:

KERAJAAN CHINA LARANG GUNA BAHASA INGGERIS
Bimbang ketulenan bahasa kebangsaan tidak dapat dipertahan
BEIJING - Kerajaan China mengumumkan larangan penggunaan singkatan bahasa Inggeris dalam surat khabar tempatan, buku, dan laman sesawang kerana bimbang ketulenan bahasa Cina berada dalam bahaya, Isnin lalu.
Pentadbiran Am Akhbar dan Penerbitan melaporkan, peningkatan penggunaan perkataan dan singkatan Inggeris dalam penerbitan di China menimbulkan kebingungan pembaca.
Amalan penulisan itu dikhuatiri merosakkan taraf bahasa Cina dan mampu mengganggu keharmonian bahasa serta persekitaran budaya sehingga mengakibatkan kesan sosial negatif.
"Adalah dilarang untuk mencampurkan frasa bahasa asing seperti ayat atau singkatan Inggeris dalam penerbitan bahasa Cina sehingga mencipta kata-kata yang tidak membawa maksud dalam bahasa Cina atau bahasa asing lain.
"Syarikat penerbitan dan media harus mengukuhkan peraturan penggunaan bahasa asing yang ditetapkan dan menghormati struktur, glosari dan tatabahasa bahasa Cina dan bahasa luar," menurut pertubuhan itu.
Syarikat televisyen di China menerima notis daripada kerajaan untuk mengelakkan penggunaan singkatan bahasa Inggeris dalam program berbahasa Cina, awal tahun ini.
Bagaimanapun, singkatan perkataan bahasa Inggeris masih digunakan secara kerap dalam siaran berita utama dan berita sukan.

Khamis, April 01, 2010

BUKU KUNING YANG BERMAKNA

Buku kuning yang dicetak dan diedarkan sekitar tahun 1996-1997.
Sekian lama mencari dalam simpanan sendiri (kerana lupa letak di mana - sama ada tersimpan di rumah ataupun di pejabat) buku berwarna kuning ini, akhirnya terjumpa jua buku penuh bermakna ini. Buku berjudul 'Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan' ini merupakan antara buku terawal yang diperoleh dan diberikan oleh pegawai kanan ketika mula berkhidmat di DBP pada Julai 1997.
Buku kuning ini diterbitkan pada tahun 1996, kata alu-aluan tercatat nama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu Dato' Dr. Ting Chew Peh dan prakatanya oleh Hj. A. Aziz Deraman (kini Dato'), Ketua Pengarah DBP.
Serba ringkasnya isi kandungan buku garis panduan termasuklah:
i. Huraian Ringkas Istilah Jenis dan Judul Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat dan Jalan.
ii. Contoh Penamaan Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan.
iii. Contoh Penamaan Syarikat dan Perniagaan.
iv. Contoh Nama Tempat yang Sedia Ada yang Berdasarkan Unsur Tempatan.
v. Senarai nama berdasarkan unsur:
- Buah-buahan, Bunga dan Pokok Hias, Palma, Pokok Hutan, Burung, Haiwan, Ikan Air Tawar, Hidupan Laut, Tarian, Permainan Rakyat, Silat, Peralatan Tradisional, Alat Muzik Tradisional, Senjata Tradisional, Tokoh Sejarah dan Sastera, Tempat Sejarah, Batu-Batuan dan Mineral, Pekerjaan, Bintang/Astronomi, dan Kata-kata Sastera/Klasik.
Buku kuning setebal 108 halaman ini merupakan antara buku-buku terawal yang diterima ketika mula menjejakkan kaki untuk berkhidmat di DBP; beberapa pegawai kanan dan kakitangan menyerahkan buku-buku yang berjenama pedoman, panduan dan garis panduan yang terbit sekitar pertengahan sehingga penghujung 1990-an sungguh bermakna dalam tugasan ketika itu. Buku sebegini penuh maklumat, contoh dan huraian yang mesra pembaca.
Apakah buku-buku sebegini masih ghairah untuk dicetak dan disebarkan oleh pihak swasta yang memegang konsesi dan kontrak prapercetakan, percetakan dan pengedaran buku-buku yang dihasilkan oleh sebuah organisasi bahasa dan sastera tanah air ini...?

Khamis, Januari 14, 2010

PEMAKLUMAN: HARI PEJUANG BAHASA

Foto Hiasan: Buku Antologi Puisi 'Pusaka Bangsa' yang dihasilkan dan diterbitkan DBPWS sempena sambutan 50 tahun DBP peringkat DBPWS pada tahun 2007.


Sdra. Jaafar Hamdan (jaafarhamdan.blogspot.com), seorang kenalan di Ibu Pejabat DBP memohon menyampaikan maklumat di bawah ini untuk makluman semua. Maklumat ini diambil langsung dalam entri blog beliau:

Salam,
Kepada semua Pejuang Bahasa Kebangsaan,
Sukacita dimaklumkan bahawa "Hari Pejuang Bahasa" akan diadakan pada 15 Februari 2010 (Isnin) bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Acara ini TERBUKA dan PERCUMA untuk penulis, seniman, budayawan, karyawan, artis, kakitangan kerajaan, kakitangan swasta, polis, tentera, mahasiswa, pelajar dan semua pejuang serta pencinta bahasa, sastera dan budaya.
"MARILAH BERSAMA-SAMA HADIR MENYOKONG DAN MENDUKUNG PERLEMBAGAAN 152 DEMI BAHASA KITA"
Kepada yang berminat untuk hadir, sila hubungi sdr.Taib 017 2760100, sdr. Ikram 012-2908429, sdr. Ritah 03-21483039 dan sdr. Salleh 013-2450808

Khamis, Disember 03, 2009

MARTABAT BAHASA MELAYU - BERNAMA TV

Tiga ahli panel diskusi 'Memartabatkan Bahasa Melayu' - Helo Malaysia BERNAMA TV (Astro 502).


Shamsudin Othman - ahli panel yang penuh semangat, tenang dan berkeyakinan ketika kemukakan hujah dan menjawab soalan. Tahniah anak jati Johor!

(Catatan: Foto di atas dirakam secara langsung menggunakan kamera peribadi.)

1. Semalam sempat menonton dan mengikuti rancangan bual bicara 'Helo Malaysia' melalui siaran BERNAMA TV (Astro 502) pukul 10 hingga 11 malam. Isu dan isi perbincangan tentang 'Memartabatkan Bahasa Melayu' dipengerusikan oleh Sherkawi Jirim dengan menampilkan tiga ahli panel iaitu Shamsudin Othman (dirujuk sebagai Pensyarah UPM), Borhan Mohd Zin (Pengerusi Biro Perhubungan Komunikasi dan Media GAPENA) dan Ahmad Ibrahim (Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia).

2. Sempat mencatat juga tentang isi ringkas yang disampaikan oleh ahli Shamsudin Othman antaranya seperti berikut:
- krisis identiti masyarakat kini tidak yakin dengan diri sendiri.
- pihak pelaksana di atas sendiri yang tidak berperanan.
- konsep pelaksana dan pelaksanaan yang mengelirukan.
- teras bangsa Malaysia paksinya bahasa Melayu.
- konsep 1 Malaysia cuba memartabatkan bahasa Melayu ke tahap bahasa ilmu tinggi.
- mengangkat martabat bahasa Melayu itu perlu dalam gagasan 1 Malaysia.

3. Juga sempat mencatat isi hujah dua panel lain termasuk pengerusi seperti di bawah:
- orang Melayu sendiri yang tidak martabatkan bahasa Melayu.
- kepimpinan melalui teladan.
- kalau pemimpin perlekeh bahasa maka orang bawah bagaimana.
- pelaksana itu pemimpin utama.
- GAPENA berjanji hidup mati pertahankan bahasa Melayu.
- pokok pangkalnya kesungguhan kita.

4. Menarik juga perbincangan semalam sehingga menyentuh soal bahasa Melayu dalam konsep gagasan 1 Malaysia, konsep pelaksana (pemimpin), bahasa ibunda kaum lain, teras bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam perlembagaan negara, dan pelbagai lagi isi yang tersentuh dalam tempoh hampir satu jam diskusi ini.

5. Tahniah buat Tuan Hj. Shamsudin Othman yang lancar dan penuh ilmu dalam menyampaikan hujah dan isi serta idea dalam rancangan ini semalam.

Khamis, November 19, 2009

AZHAR SALLEH DAN AKHBAR CINA

Azhar Salleh tekun dan ceria membimbing. (Akhbar Sin Chew Daily)


Penuh satu halaman berita dan foto kursus. (Akhbar Sin Chew Daily)

Berita dan foto kursus. (Akhbar Nanyang Siang Pau)

Kursus Penataran Bahasa Melayu Guru Sekolah Menengah Persendirian Cina (SPMC) diusahakan oleh Bahagian Pengembangan Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum DBP telah diadakan di Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru pada 16 - 17 November 2009. Kursus ini melibatkan seramai 30 guru bahasa Melayu SPMC di negeri Johor dan Melaka. Kursus ini mendapat liputan akhbar Cina iaitu Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau.
Akhbar Sin Chew Daily menyiarkan secara penuh satu halaman berita dan foto warna tentang kursus tersebut (seperti foto di atas) dalam akhbarnya semalam (18 November 2009) dalam ruangan Edisi Johor. Akhbar Nanyang Siang Pau juga menyiarkan berita dan foto tentang kursus dalam halaman 12 iaitu halaman nasional akhbar tersebut.
Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP dijemput selaku penceramah dan pembimbing pada 17 November 2009 menyatakan kepada diri ini bahawa beliau cukup teruja atas pelibatan penuh minat dan komited dalam kursus ini walaupun beliau hanya berpeluang memberikan tunjuk ajar dan bimbingan satu hari sahaja. Beliau juga menyatakan bahawa cabaran besar yang berskala positif dalam membimbing para guru SPMC ini atas beberapa sebab dan perkara, hanya beliau dan diri ini mengetahuinya.
Tahniah Cikgu Azhar, foto termuat dalam dua akhbar berbahasa Cina walaupun berita yang dilaporkan tidak boleh dibaca, mungkin boleh dapatkan bantuan guru @ Munsyi Dewan DBP yang berbangsa Cina untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Foto Azhar Salleh ini juga pernah termuat dalam akhbar Singapura pada tahun 2007 yang berkait tentang 'pisang sejoli'; masih tersimpan dalam koleksi diri ini.

Jumaat, November 13, 2009

PERTANDINGAN FORUM PELAJAR SEKOLAH CINA PERINGKAT KEBANGSAAN 2009

Foto kenangan para peserta bersama urus setia guru pengiring, hakim dan tetamu jemputan.


Pada 11 November 2009 (Rabu) diri ini dilantik selaku hakim Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan 2009 di SM Foon Yew, Johor Bahru, Johor. Hakim lain yang terlibat termasuklah Cikgu Azhar Salleh (Munsyi Dewan DBP), En. Abd. Karim A. Bakar (DBP Kuala Lumpur), Pn. Siti Khadijah Mion (Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia), dan Pn. Hjh. Nor Hashimah Ali, Pengarah DBPWS (selaku Ketua Hakim).
Sebanyak 6 pasukan yang terdiri daripada sekolah menengah persendirian Cina seluruh negara bertanding mewakili 6 zon. Sekolah tersebut merupakan SM Jit Sin, Bukit Mertajam, P. Pinang (Zon A), SM Poi Lam, Lahat, Perak (Zon B), SM Chong Hwa, Kuala Lumpur (Zon C), SM Foon Yew, Johor Bahru, Johor (Zon D), SM Kian Kok, Kota Kinabalu, Sabah (Zon E), dan SM Katholik Sibu, Sarawak (Zon F). SM Chong Hwa, Kuala Lumpur dinobatkan selaku johan.
Sejak tahun 2002 hingga kini diri ini sering menjadi hakim untuk Pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri Johor dan Melaka (khas untuk sekolah menengah bantuan penuh kerajaan) serta menjadi pernah sekali menjadi hakim pertandingan ini bagi peringkat kebangsaan pada tahun 2008. Untuk Pertandingan Forum Pelajar (khas untuk sekolah menengah persendirian Cina) juga sering menjadi hakim khasnya bagi pertandingan peringkat Zon D untuk negeri Johor dan Melaka.
Jika dipertandingkan forum secara terbuka ini tanpa ada pembahagian sekolah menengah bantuan penuh kerajaan dan sekolah persendirian Cina ini, diri ini dapat rasakan bahawa kemungkinan sekolah persendirian Cina akan meraih johan... kenapa? Ya... kerana mutu persembahan ahli forum serta penggunaan bahasa Melayu yang baik dan teratur diselitkan dengan penghujahan isi atau idea yang baik lagi meyakinkan bagi peserta dalam kalangan pelajar sekolah persendirian Cina ini.. kenapa? Ya... kerana mereka bersungguh-sungguh dalam pertandingan sebegini walaupun diketahui bahawa mereka (peserta kategori sekolah bantuan penuh kerajaan dan sekolah persendirian) ini telah menghafal dan menyusun topik serta isi yang dibincangkan ketika berforum.

Selasa, September 01, 2009

BAHASA DI BAZAR RAMADAN: SUATU PENGALAMAN KECIL

Sejak 1 Ramadan 1430 H bermula 22 Ogos 2009, banyak muncul Bazar Ramadan di merata tempat. Di Johor Bahru khasnya di Bandar Baru Uda, Tampoi dan Larkin sahaja (yang sempat dikunjung) terdapat 7 - 8 Bazar Ramadan. Pelbagai juadah lazat dan hebat mudah diperoleh, pastinya juga juadah dan lauk masakan Kelantan dan Terengganu yang dicari kerana ketika ini sahajalah juadah negeri Pantai Timur mudah dibeli.


Bukan soal juadah yang ingin diperkatakan di sini tetapi sedikit pengalaman kecil melalui pendengaran, komunikasi pembeli dengan penjual, dan visual tulisan yang dipaparkan. Bahasa dan sebutan yang pelbagai dapat didengar yang merangkumi pelbagai jenis juadah dan kuih serta`tertera tulisan nama setiap juadah dan kuih. Satu pengalaman kecil yang agak membekas dan menggelikan hati seperti berikut:

i. Bazar Ramadan Plaza Angsana - 2 juruhebah sibuk dengan tugasnya mempromosi gerai jualan yang ada di situ, lalu salah seorang rakannya bertanya apakah makna dan terjemahan bagi 'black pepper'? Rakannya dengan penuh yakin dengan menggunakan mikrofon menyatakan terjemahannya 'kertas hitam', lalu rakannya menegur bahawa terjemahan dalam bahasa Melayu 'lada hitam'! Seluruh kawasan letak kenderaan Plaza Angsana mendengar 'perbualan lucu' 2 juruhebah itu.
ii. Bazar Ramadan Stadium Larkin - Seorang pembeli bertanya ada jual 'caramel' kepada seorang penjual yang sudah berusia lanjut. Kebingungan mak cik penjual itu, pembeli itu melihat ke kanan dan ke kiri... lalu ternampak kuih 'caramel' yang diingininya, mak cik tersebut dengan selamba menyebut "ohh... cakaplah kuih puding telur...".
Catatan - ejaan bahasa Melayu dalam Kamus Dewan Edisi Keempat - Karamel: gula hangus yang digunakan sebagai pewarna dan perasa makanan.
iii. Bazar Ramadan Stadium Larkin - penjual lauk Gulai Kawah dieja dan ditaip besar iaitu GULAR KAWAH. Sempat tegur peniaga itu kerana sering juga beli Gulai Kawah di gerainya.
iv. Ejaan RAMADAN banyak dieja RAMADHAN secara meluas pada kain rentang dan pelbagai bentuk makluman bercetak yang tersebar di sekitar Johor Bahru.

Selasa, Jun 09, 2009

KUTIPAN: BEZA DUA KENYATAAN, KENAPA DILABEL 'BODOH'?


Wajib lulus Inggeris dalam SPM langkah yang baik - Dr. M
(Utusan Malaysia - 9 Jun 2009)

CYBERJAYA 8 Jun - Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan cadangan mewajibkan pelajar lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah langkah yang baik demi masa depan generasi akan datang.
...................................................................................................
...................................................................................................
...................................................................................................

Mengenai penangguhan keputusan dasar PPSMI, Dr. Mahathir berkata, beliau kecewa sekiranya kerajaan memutuskan untuk menggunakan semula bahasa Malaysia.

"Jika itulah jadinya, pada masa depan semua orang Melayu dan rakyat Malaysia akan jadi BODOH," katanya.

__________________________________________________


PPSMI: Jangan korbankan bahasa kebangsaan
(Utusan Malaysia - 9 Jun 2009)


KUALA LUMPUR 8 Jun - Bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan tidak sepatutnya dikorbankan melalui PPSMI.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata, ia hanya merugikan masyarakat hanya semata-mata kerana mahu mengejar kemajuan dalam dua bidang itu dengan pantas melalui penggunaan bahasa Inggeris.

"Saya khuatir anak-anak kita nanti tidak tahu mengira dalam bahasa kebangsaan. Ini satu kerugian," katanya.


Catatan kaki:
- Bahasa Malaysia seharusnya dibaca Bahasa Melayu.
- Untuk berita penuh berita di atas, sila dapatkan Utusan Malaysia hari ini (9 Jun 2009).

Jumaat, Jun 05, 2009

KUTIPAN: INI BUKAN ANUGERAH POLITIK...

Berita Harian Online - 5 Jun 2009
Pas beri anugerah pejuang bahasa kepada Hasan, Samad

SHAH ALAM: Pas hari ini memberi Anugerah Pejuang Bahasa 2009 kepada karyawan, Datuk Hasan Ahmad, dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, sebagai mengiktiraf bantahan mereka terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Anugerah itu disampaikan kepada mereka oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada majlis perasmian Muktamar Pas ke-55, di sini. Hassan adalah pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), manakala Samad adalah penasihat GMP.


m-Star Online - 5 Jun 2009
Hassan, Samad Said terima Anugerah Pejuang Bahasa PAS
Oleh G. MANIMARAN

SHAH ALAM: Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hassan Ahmad menerima Anugerah Pejuang Bahasa yang disediakan PAS.
Hassan juga merupakan Pengerusi Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP). Samad pula merupakan Penasihat GMP.
PAS turut menyokong usaha memansuhkan PPSMI. Ini kali pertama PAS menyediakan anugerah tersebut.
Kelmarin, Samad turut mendeklamasikan sajak pada sesi pembukaan Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-50 di Gombak. Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS, Datuk Abu Bakar Chik berkata, parti itu mengadakan anugerah bagi mengiktiraf perjuangan mempertahan dan memartabatkan bahasa Melayu.

Ahad, April 12, 2009

KATA PILIHAN: PINANG, MEMINANG, PEMINANG, PINANG-PINANG...

Kata Si Dia itu dari tanah tumpah berpasir emas, "Saya tidak akan meminang wanita itu, kecuali wanita itu yang meminang saya. Hingga kini saya tidak ada ilham lagi (bila ia akan berlaku)".
Tambahnya yang terkenal serta sentiasa berbaju Melayu dan bersongkok dalam dewan itu, "Saya akan timbang semasak-masaknya terlebih dahulu kerana sebarang keputusan yang dibuat secara tergopoh-gapah akan menyebabkan seseorang cepat jatuh".

Untuk memudahkan pemahaman tentang maksud kata pinang ini, di bawah ini disenaraikan maksud perkataan pinang yang terkandung dalam Kamus Dewan Edisi 4:
(mana satu pilihan yang tepat untuk maksud dialog di atas? sama-sama kita fikirkan...)

pinang I sj tumbuhan (palma yg buahnya dimakan dgn sirih), Areca catechu;
~ kotai = ~ kosi a) buah pinang tua yg dikeringkan; b) sj binatang spt halipan, gonggok;
c) Kl orang bodoh yg mempunyai sifat-sifat kekerasan; ~ masak a) warna kuning kemerah-merahan; b) buah pinang yg sudah masak; ~ muda a) buah pinang yg masih muda; b) alku, muncikari; ~ raja sj tumbuhan (palma), Cyrtostachya lakka; ~ sebatang a) tidak mempunyai sanak saudara; b) ki kurus dan tinggi;
spt ~ dibelah dua prb dua orang (suami isteri, teman dll) yg hampir-hampir serupa (sama cantik dan sama padan); ~ pulang ke tampuk prb sudah cocok benar (sudah pd tempatnya); ~ tua merah ekor prb Mn perempuan yg sudah berumur tetapi berkelakuan spt perempuan muda; bak ~ dianduh, putus tali dia berdiri prb Mn melakukan sesuatu pekerjaan kerana dipaksa; darah baru setampuk ~ prb masih muda benar; kasihkan ~ sebatang drpd aur serumpun prb Mn lebih sayang kpd orang lain drpd kaum keluarga sendiri.
pinang II; meminang 1. meminta seseorang perempuan menjadi isteri, melamar: ketika dia datang ~, ibuku tidak lengah-lengah menerimanya; 2. memohon pekerjaan dll, melamar: banyak orang yg ~ jawatan itu;
pipit ~ anak enggang prb orang miskin hendak memperisteri anak orang kaya; tabuhan ~ anak labah-labah prb mencari jodoh yg tidak sepadan;
meminangkan meminang gadis utk orang lain: mana muafakatlah ia dgn segala orang besarnya hendak ~ puteranya Raja Abdullah akan Tengku Besar;
pinangan 1. permintaan utk menjadikan isteri: dgn tiada banyak cerewet lagi, saudagar Biram suami isteri telah menerima ~ itu; 2. lamaran (pekerjaan dll);
peminangan hal (pekerjaan dll) meminang: haram melakukan ~ ke atas perempuan yg telah dipinang;
peminang 1. orang yg datang meminang; 2. pemohon pekerjaan, pelamar; 3. ark bekas (tempat) sirih.
pinang III Mn; meminang-minang menimang-nimang; - timang I.
pinang IV
sj ikan laut, Spilotichthys pictus.
pinang-pinang sj ikan laut, Caesio chrysozona (diagramma).