Ahad, Mei 31, 2009

AKHIRNYA CHELSEA JULANG SATU PIALA...!

1. Akhirnya Chelsea berjaya menjulang satu piala musim ini (2008-2009). Semalam Chelsea menewaskan Everton 2 - 1 dalam Piala FA England iaitu piala paling tua dan bersejarah dalam pertandingan bola sepak di England sejak tahun 1890-an lagi. Walaupun ketinggalan dalam saat ke-27 (satu catatan sejarah - merupakan paling pantas dalam perlawanan akhir Piala FA ini) namun Chelsea bangkit menerusi tandukan Drogba dan jaringan cantik Lampard. Pengadil yang boleh dikategorikan 'buta mata dan hati' tidak mengizinkan gol Malouda yang seiras semacam gol kontroversi akhir Piala Dunia 1966 di stadium yang sama, Stadium Wembley.

2. Musim lalu Chelsea tidak merangkul sebarang piala, sekadar naib juara Champions League dan English Premier League sahaja (di belakang Man U). Tahun ini tersekat pada separuh akhir Champions League - seri (namun tewas ikut jaringan gol tempat lawan) dengan Barcelona.

3. Paling tidak Chelsea dapat menjulang satu piala musim ini jika dibandingkan dengan kelab Liverpool dan Arsenal (dalam kancah bola sepak England) dan Real Madrid (La Liga Sepanyol) yang tidak memenangi sebarang piala dalam kejuaraan utama musim ini. Sepatut dan selayaknya Liverpool menjuarai English Premier League tetapi mungkin faktor pengadil yang banyak 'memihak' kepada Man U?

4. Usahlah cakap tentang Man U yang berhajat besar merangkul 5 piala musim ini...! tetapi ucapkanlah juga tahniah buat Man U kerana membuat 'treble' merangkul Piala Charity Sheilds (piala kelas 3), Piala Carling (piala kelas 2), dan Piala English Premier League (piala kelas satu) namun tetap gagal merangkul Piala Champions League (piala kelas satu) yang amat-amat diidamkan sangat itu. Tahniah sekali lagi Man U kerana 'treble' itu dengan merangkul piala kelas 1, 2 dan 3. Paling membanggakan lagi Arsenal sudah empat musim gagal memenangi sebarang piala sama ada piala kelas 1, 2 atau 3.

5. Sama-sama bersabar menunggu musim baharu 2009-2010 bermula Ogos ini untuk terus menyaksikan kelab yang bakal mewarnai keunggulan pertandingan bola sepak peringkat tempatan mahupun Eropah. Jangan dilupa pertandingan kelayakan Piala Dunia 2010 yang sengit berlangsung dalam bulan Jun - Ogos serta pengakhirannya sekitar bulan Oktober - November ini; menuju penentuan 31 pasukan ke Afrika Selatan nanti!

Sabtu, Mei 30, 2009

KECEWA SEORANG PEMINAT BUKU

1. Saya amat-amat bersetuju dalam skala 100% kata-kata WITRA bahawa Pesta Buku Johor anjuran Jabatan Pelajaran Johor (27 Mei - 1 Jun 2009) sesuatu yang tidak rugi jika tidak dikunjungi serta mengecewakan kandungan di dalamnya. Mungkin cita rasa manusia berbeza-beza namun saya rasa buat majoriti peminat dan 'penggila' buku mungkin hampir sama dengan pendapat saya.
2. Saya berkunjung ke situ pada 30 Mei 2009 (waktu tengah hari), kesimpulan mudah... MENGECEWAKAN!, tiada yang menarik cuma kasihan melihat pelajar sekolah yang semacam 'dipaksa' datang dengan bas ke tempat itu (ya... seperti rombongan lawatan ke perpustakaan sahaja sifatnya). Buku-buku yang ada juga sudah banyak terdapat di Kedai Badan Cemerlang (Angsana) serta Johor Bookstore (Plaza Kota Raya) juga kedai-kedai buku yang terdapat di Jusco Tebrau, City Square Johor Bahru... apatah lagi banyak juga buku-bukunya yang terdapat di Stesen Bas Larkin serta beberapa kedai India Muslim (kedai mamak). Banyak juga buku-buku latihan untuk pelajar menghadapi peperiksaan! (mungkin boleh dinamakan Pesta Buku Sekolah Johor).
3. Saya dapat rasakan (mungkin anggapan khilaf saya - maaf) bahawa pekedai buku yang menyertai pesta ini mungkin yang ada kaitan secara langsung dengan pihak penganjur atau pekedai yang dijemput semacam kurang bersedia. Hampir 80% gerainya dikuasai oleh pekedai @ penjual buku semata-mata bukannya penerbit atau penegedar buku yang besar dan gah seperti MPH, PTS, Utusan dan lain-lain. Maka terdapat beberapa gerai dengan lambakan bukunya hampir sama antara sesama pekedai.
4. Seperti makluman awal yang dikhabarkan oleh WITRA, memang benar terlalu banyak gerai yang menjual dan mempromosi alat bantu komunikasi menguasai bahasa sama bahasa Melayu dan Inggeris (linguaphone). Keadaan tempat itu sendiri dalam khemah besar juga kurang selesa dan kurang bersesuaian apatah lagi kawasan ini agak sukar untuk meletakkan kenderaan (berbanding Plaza Angsana). WITRA juga maklumkan awal bahawa hampir tiada langsung tawaran diskaun yang besar dan hebat untuk menarik pembeli, saya turut akuinya kerana harga buku yang ada dijual mengikut harga yang tercetak pada kulit buku.
5. Secara positif saya lantas berfikir..., mungkin ini anjuran pertama kali yang agak terhad modalnya; mungkin juga perancangan dan pelaksanaannya dikelolakan oleh sebuah badan atau jawatankuasa yang tidak penuh pengalaman dalam hal ini; dan pelbagai kemungkinan positif untuk saya ubati kekecewaan hati ini. Mungkin cita rasa saya yang agak lain sedikit dalam hal ini, ya... mungkinkah cita rasa ini tidak sama dengan peminat dan 'penggila' buku yang lain, itulah dinamakan pilihan dan hak masing-masing dalam kehidupan.
6. Saya berfikir serta ingin mencadangakan 2 - 3 perkara yang boleh dibuat (jika mampu dan ingin buat) pada masa hadapan jika diadakan lagi pesta buku sebegini, maka bolehlah:
i. Mengundang penerbit dan pengedar besar, gah dan berjenama besar yang tersohor di Malaysia ini.
ii. Jika masih dibuat di Johor Bahru, dicadangkan mengundang penerbit dan pekedai buku dari Singapura dan Kepulauan Riau Indonesia (Batam, Tanjung Pinang, Tanjung Balai). Bukankah banyak buku-buku bermutu tinggi dan bertaraf istimewa (sama ada dalam bahasa Inggeris dan Melayu atau Melayu-Indonesia) dari Singapura dan Indonesia. Jika di Batam toko buku besar umpamanya Gramedia terdapat di sana, juga toko buku lain yang banyak menjual buku asal Indonesia serta buku-buku terjemahan (ilmiah dan kreatif). Gramedia menjadi tumpuan peminat dan 'penggila' buku dari Malaysia jika berkunjung di sana.
iii. Mencontohi dan mengambil kaedah dan pelaksanaan secara teliti dan profesional pesta-pesta buku yang sudah ternama (mungkin bukan keseluruhannya tetapi mengikut kemampuan yang ada, kemampuan yang sedia ada dan seadanya mampu digabung jalin dengan nilai-nilai kreativiti) untuk menarik semua golongan masyarakat;- kanak-kanak hinggalah tahap warga emas berusia 60 - 70-an.
MUNGKINKAH ANDA PEMINAT DAN 'PENGGILA' BUKU DALAM PELBAGAI BIDANG ILMU DAN GENRE PUNYAI PENDAPAT TERSENDIRI DALAM MENANGANI DAN MEMAJUKAN HAL INI? SILAKAN... DEMI ILMU DAN PENGEMBANGAN PENGETAHUAN!

Jumaat, Mei 29, 2009

KUTIPAN: ANGKARA TEWASNYA MAN U!

Foto sumber Berita Harian Online - 29 Mei 2009.


1. Berita sumber Berita Harian - 29 Mei 2009
Penyokong Barcelona kena pukul
Gara-gara Manchester United gagal menjuarai Liga Juara-Juara Eropah
Oleh Ifwan Tun Tuah (ifwan@bharian.com.my)

KUALA LUMPUR: Kegembiraan seorang penyokong setia Barcelona meraikan kejayaan pasukannya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah awal pagi semalam, bertukar tragedi apabila dibelasah dan ditetak sekumpulan penyokong Manchester United (MU) di sebuah restoran di Pudu Hulu di sini, awal pagi semalam. Sebelum kejadian jam 4.45 pagi itu, Muhammad Radzeley Ramlan, 25, bersama sembilan rakannya menonton perlawanan akhir antara Barcelona dan MU di restoran berkenaan.
"Kumpulan kami terdiri daripada penyokong Barcelona serta MU dan seperti biasa ketika perlawanan berlangsung kami kutuk mengutuk antara satu sama lain. "Ketika itu, saya lihat sekumpulan penyokong MU yang duduk di meja sebelah seperti tidak berpuas hati dengan perbuatan kami. "Bagaimanapun, tanpa mempedulikan reaksi mereka, saya dan rakan terus bersorak meraikan kejayaan pasukan kami yang menewaskan MU 2-0 sebelum meninggalkan restoran dan berjalan ke kereta yang diletakkan berhampiran," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dekat sini, semalam.


2. Berita sumber Harian Metro - 29 Mei 2009
Diserang angkara Barcelona - Lelaki terima 18 jahitan
oleh Salman Hamat (salman@hmetro.com.my)

KUALA LUMPUR: Kegembiraan 10 sahabat meraikan kemenangan pasukan mereka menjuarai 'Piala Juara-juara Liga Eropah awal pagi semalam bertukar tegang apabila seorang rakan mereka dibelasah sekumpulan lelaki tidak dikenali, pagi semalam.
Dipercayai sekumpulan 20 lelaki bersenjatakan parang, kayu dan besi itu dikayakan mengamuk serta membelasah mangsa berikutan berang selepas pasukan yang disokong kalah dalam perlawanan itu.


3. Berita sumber KOSMO - 29 Mei 2009
'Kami main macam orang bodoh'

ROM - "Barcelona buat kami nampak bodoh." Demikian komen ringkas pemain veteran United, Ryan Giggs selepas mereka tewas 0-2 kepada Barcelona pada perlawanan akhir Liga Juar-Juara semalam.
Menurut Giggs, corak permainan yang dipamerkan Barca seola-olah membuatkan pemain United nampak bodoh sepanjang aksi di Stadium Olimpik itu. "Kali ini, mereka (Barcelona) membuatkan kami kelihatan seperti pasukan bodoh. Mereka menguasai permainan dengan sangat baik dan kami pula selalu gagal untuk mengimbangi permainan," jelas Giggs yang bermain di bahagian sayap.

Khamis, Mei 28, 2009

SUNGGUH GEMBIRA DAN AMAT PUAS HATI..... RIAK MAN U TERCALAR BESAR!





1. Sungguh gembira dan puas hati serta teruja kerana Manchester United @ Man U (kelab yang penuh keangkuhan dan keegoaan) tumpas akhirnya dalam merebut kejuaraan Champions League pagi ini. Man U tewas 2 - 0 kepada Barcelona melalui jaringan minit ke-10 dan minit ke-70 oleh Eto'o dan Messi. TAHNIAH BESAR BUAT BARCELONA KERANA MENGAJAR MAN U ERTI SIKAP RENDAH DIRI DAN JANGAN TERLALU MUDAH CAKAP BESAR...!

2. Man U tampak garang dalam 15 minit pertama, namun mulai kendur serta sesekali mudah 'dipermainkan' oleh pemain Barcelona yang pantas serta mempunyai kawalan dan hantaran bola yang kemas. Walaupun nampaknya Henry kurang menyengat selaku penyerang Barcelona tetapi kepantasan gandingan Eto'o - Iniesta - Messi cukup membuat pertahanan Man U yang kononnya amat kebal terdiri daripada Ferdinand - Vidic lelah dan kalah dalam kepenatan, apatah lagi Edwin Van Der Sar (penjaga gol Man U) banyak bernasib baik menyelamatkan bola yang hampir menerjah jaring Man U. Jika dilihat sepatutnya Barcelona sepatutnya menang 4 - 0 namun nasib tidak menyebelahi Barcelona.

3. Pada tahun ini Man U selayaknya mampu juara dalam pertandingan yang melibatkan kelab-kelab di England sahaja. Hasrat penuh angkuh dan sombong Man U untuk merangkul lima piala dalam musim 2008-2009 ini tidak kesampaian. Man U gagal meraih juara untuk Piala FA England (setakat separuh akhir) dan terkini gagal dalam kelemasan menyaingi Barcelona untuk merebut Champions League. Namun tahniah juga buat Man U kerana menjuarai English Premier League (EPL); itupun kerana Liverpool dan Chelsea punyai masalah dalaman tersendiri dalam baki separuh musim iaitu bermula Januari - Mei 2009!

4. Ura-ura Ronaldo bakal ke Real Madrid (sebuah lagi kelab mewah yang penuh ego dan riak tetapi tidak memenangi sebarang piala musim ini) musim hadapan (2009-2010) semakin kencang atas tewasnya Man U ini...? Sama-sama ditunggu musim baharu dalam EPL dan Champions League serta dalam pertandingan lain yang bakal bermula Ogos 2009 nanti.
5. Namun buat peminat bola sepak, jangan dilupa bahawa dalam bulan Jun - Ogos ini juga giat dan hebat untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2010 dalam semua peringkat zon iaitu zon Eropah, Amerika Selatan, CONCACAF, Afrika dan Asia! Perlawanan kelayakan ini juga menuju ke penghujung untuk menentukan sebanyak 31 pasukan yang layak ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan nanti.

Selasa, Mei 26, 2009

PERHIMPUNAN PENULIS MUDA NASIONAL (PPMN) 2009 - CATATAN PENGERUSI SESI

Dari kiri: Muhammad Lutfi Ishak, Salman Sulaiman, Rusdi Abd Rahman,
dan Hj. Zulkifli Khair dalam sesi pertama PPMN 2009.

1. PPMN 2009 diadakan pada 22 - 24 Mei 2009 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka ini merupakan anjuran rasminya (seperti yang tercatat dalam buku atur cara program) oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Majlis Bandar Raya Melaka Bersejarah (MBMB), Akademi Warisan Seni Kebangsaan
(ASWARA) dan DBP Wilayah Selatan (DBPWS).


2. Saya dilantik oleh penganjur utama (berbanyak terima kasih atas pelantikan dan kepercayaan ini) selaku Pengerusi Sesi pembentangan kertas yang pertama. Pelantikan saya ini mengulangi peristiwa PPMN 2005 di Kukup, Pontian, Johor - saya juga dilantik sebagai Pengerusi Sesi yang pertama, namun ketika itu panelnya bertaraf antarabangsa @ serantau melibatkan pembentang dari Tahiland, Indonesia dan Brunei. Sesungguhnya amat teruja juga walaupun sekadar pengerusi sesi sahaja dalam program ilmu yang bertaraf nasional sebegini. Jika mengikut jadual dalam buku atur cara, sesi pertama sepatutnya bermula pukul 3 petang namun sesi ini bermula pukul 3.30 petang - mungkin kerana para peserta seluruh negara masih sibuk untuk mendaftar. Masa yang diperuntukkan selama 2 jam.

3. Secara peribadi dalam sesi ini saya dapat mengenali secara dekat Sdra. Muhammad Lutfi Ishak dan Sdra. Salman Sulaiman kerana saya hanya mengenali nama serta sesekali melihat foto dua insan ini yang boleh saya takrifkan sebagai insan atau golongan penulis muda yang penuh berilmu dan prolifik. Saya yang menetap di Johor Bahru sejak 8 tahun lalu hingga kini agak sukar sedikit untuk mengenali rapat golongan penulis muda prolifik yang majoritinya bertapak di Kuala Lumpur atas kekangan dan batasan kehadiran untuk program-program sastera dan persuratan khasnya di Lembah Kelang, namun saya mengenali golongan penulis muda prolifik ini melalui pembacaan dalam akhbar dan majalah sama ada pembacaan karya kreatif, penulisan esei dan laporan berita tentang mereka ini. Hj. Zulkifli Khair sudah saya kenali sejak 2-3 tahun belakangan ini, beliau juga insan penuh berhikmah dan sarat dengan ilmunya.

4. Terus terang saya katakan bahawa awalnya 'dalaman saya agak kelam kabut dan gelisah' kerana lima minit sebelum bermula saya lihat meja, kerusi dan pembesar suara 'belum muncul' di atas pentas untuk sesi pembentangan ini, tambahan saya tidak dimaklumkan langsung oleh pihak urus setia untuk menguruskan kelangsungan sesi pertama ini (maksud saya - jumlah peruntukan masa setiap ahli panel, perlukah ada sesi soal jawab, dan perlukah sesi penggulungan / kesimpulan). Tambahan pula tiada sehelai kertas kerja dan buku atur cara yang disediakan buat ahli panel dan pengerusi.

5. Saya mulakan juga dalam keadaan fizikal luaran yang bersahaja sambil 'mengusik manja' bahawa kuasa yang ada dalam tangan pengerusi boleh menentukan jumlah masa pembentangan sebebasnya - ya... saya bersenda bahawa setiap panel boleh membentangkan kertasnya selama 2 jam seorang! Namun atas pengalaman kecil yang ada saya mengikut konvensional biasa dalam sesuatu pembentangan kertas dalam sesebuah majlis ilmu sebegini iaitu memberikan masa selama 20 minit buat setiap panel dalam sesi ini. Pembentangan dimulakan oleh Hj. Zulkifli Khair melalui kertasnya berjudul 'Penulis Muda dan Cetusan Masa Depan Dunia Penulisan yang Lebih Cerah', beliau menepati masa yang sungguh baik dan berdisplin. Seterusnya Sdra. Salman Sulaiman membentangankan kertas berjudul 'Kalamullah Sebagai Asas Penulisan Dakwah: Saranan Mencontohi Kebijaksanaan Al-Quran', dan Sdra. Muhammad Lutfi Ishak melalui kertasnya 'Pengarang Celik Bercita Sempurna'.

6. Ketika sesi telah berlangsung hampir 30 minit, barulah urus setia memberikan kertas kerja dan buku atur cara kepada saya dan tiga panel yang terlibat di atas pentas - ya... setelah saya secara spontan namun terkawal meminta dokumen itu dari atas pentas pembentangan. Lega dan hilang gundah dalaman diri kerana dalam setiap pembentangan kertas sewajibnya pihak panel dan pengerusi perlu ada di hadapannya kertas yang dibentangkan untuk rujukan langsung ketika sesi berlangsung. Hal ini harus diteliti dengan baik dan secara profesional oleh pihak penganjur agar perjalanan sesi berjalan dalam keadaan teratur dan jelas buat panel/pengerusi serta para peserta. Ini hanyalah teguran kecil yang ikhlas (mungkin ada kekhilafan juga daripada saya sendiri dalam hal ini) agar penyusunan acara lebih teratur dan profesional kerana proses kerjanya hampir sama dengan majlis ilmu yang lain, apatah majlis ilmu ini bertaraf nasional.

7. Setelah selesai tiga panel membentangkan kertas kajiannya, saya mebuka untuk para peserta mengemukakan soalan - bagus kerana ada tindak balas daripada peserta untuk bertanya dan menyatakan pendapat. Saya sempat 'mengusik manja' bahawa soalan yang boleh dikemukan hanyalah berkisar sekitar isu PPSMI! Dalam sesi ini saya sempat 'menyebut manja' 2-3 kali frasa PPSMI ini - saya lihat ada peserta yang mebuka mata yang luas semacam penuh minat bila disebut itu, namun hal ini tiada kena mengena dengan tiga kertas yang dibentangkan dalam sesi pertama ini!

8. Saya tamatkan sesi pertama dengan memberikan setiap panel 1 minit masa penggulungan atau kesimpulan (kerana masa sudah melebihi 5 minit - jam menunjukan pukul 5.35 petang). Sesi pertama ini berjalan sebaik adanya mampu dalam kawalan fizikal dan emosi yang terarah sifatnya. Namun saya hanya sempat berada dalam PPMN 2009 pada hari pertama sahaja (sehingga sesi kedua pada sebelah malamnya) kerana terpaksa pulang ke Johor Bahru... esoknya (23 Mei 2009 - Sabtu) ada program hakiki di Kota Tinggi yang telah dirancang terlebih awal lagi.

9. Buat Saifullizan Yahya (Pengarah Program PPMN 2009), S.M. Zakir (Pengarah Bersama JK Induk PPMN 2009 - Setiausaha Agung PENA) dan Shamsudin Othman (Timbalan Pengarah JK Induk PPMN 2009 - Timbalan Setiausaha PENA) sekalung besar penghargaan dan terima kasih atas ruang dan peluang yang diberikan kepada DBPWS untuk terlibat sama dalam konteks rakan kerjasama kecil dalam penganjuran PPMN 2009 ini. Namun yang paling utama majlis ilmu ini cukup meninggalkan kesan yang amat positif dalam konteks penulis muda Malaysia yang sememangnya aktif berkarya dan menyanjung tinggi tradisi ilmu dan maklumat. Pada pandangan peribadi saya, hasrat untuk memberikan sesuatu kepada para peserta dan memohon sesuatu daripada pihak pemerintah terlaksana dalam kapisiti penuh jaya namun memerlukan tindakan susulan yang giat selepas PPMN 2009 ini.

10. Terima kasih kepada semua pihak (tidak dapat menyebut kesemua nama individu mahupun organisasi) atas pengalaman kecil yang diperoleh di Melaka tempoh hari.

PENGALAMAN MENONTON KONSERT

1. Setiap pagi pasti saya mendengar radio Sinar FM sama ada di pejabat atau dalam kereta. Celoteh juruhebahnya (Saleh Yaakob, Khairil Rashid dan Raja Azura) pasti membuat diri tersenyum dan ketawa sendirian. Dengar khabarnya yang terkini, pendengar Sinar FM meningkat secara mendadak dalam setahun belakangan ini, khabarnya stesen radio ini menduduki tempat kedua secara keseluruhan dalam kajian pendengar radio berbahasa Melayu.
2. Setiap pagi ada topik yang diketengahkan yang bersifat 'santai dan menghiburkan' buat pendengar. Pagi tadi (26 Mei 2009 / 7.30 pagi - 9.00 pagi) dilontarkan satu topik iaitu 'PENGALAMAN DAN CERITA MENONTON KONSERT'. Pelbagai cerita dan kisah serta pengalaman pahit dan manis pendengar dapat didengar, yang menariknya hampir 80% pendengar yang menghubungi dan menghantar SMS menceritakan pengalaman tentang konsert rock sekitar lewat 1980-an dan awal 1990-an.
3. Ada pemanggil yang menceritakan pelbagai kisah, banyak yang membuat diri ini ketawa dan senyum sendirian. Antara kisahnya; seorang pemanggil dari Melaka ceritakan bahawa selepas konsert beliau bersama rakannya bertemu dengan seorang 'otai rock' kerana sama-sama untuk tidur di stesen bas, maka berceritalah... pemanggil itu bertanya kepada otai itu kumpulan yang diminati, otai itu jawab beliau gemar dan suka kumpulan SYJ, apabila ditanya makna SYJ... dengan yakin otai itu jawab SYARIKAT YAYASAN JOHOR..., maka gelak ketawa besarlah pemanggil dan rakannya sampai tidak boleh tidur hingga ke pagi.
4. Lantas saya teringat 1-2 pengalaman diri sendiri tentang hal ini.
i. Jika tidak silap saya dalam tahun 1989 (tingkatan lima) saya bersama 5-6 orang rakan sanggup ke Kota Bharu, Kelantan (dari Kuala Terengganu) untuk menyaksikan konsert Search dan Wings. Menaiki bas dari Kuala Terengganu sampai ke Kota Bharu mengambil masa hampir 3 jam. Semasa konsert saya terserempak dengan arwah abang kandung sendiri yang turut berada di situ, maka cepat-cepat saya bertukar lokasi untuk mengelak bertemunya. Konsert selesai jam 11 malam, untuk menunggu pulang esoknya menaiki bas saya bersama rakan tidur di hadapan Stadium Sultan Muhammad IV sahaja.
ii. Dalam tahun 1989 juga, saya bersama rakan juga sanggup ke Kuantan, Pahang untuk menyaksikan konsert Search. Pengalaman tidur di hadapan stadium juga terjadi kepada saya dan rakan.
(Sekadar catatan: Ketika zaman gemilang rock iaitu pertengahan 1980-an hingga awal 1990-an, konsert tidak dibenarkan diadakan di Terengganu.)
5. Selepas tahun 1992 mulalah melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur, maka pelbagai konsert yang sempat ditonton sama ada di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam dalam keadaan yang baik dan selesa kerana tidak perlu lagi tidur di hadapan stadium! Maka juga bermula mengenali makna konsert yang diadakan sempena 'fun fair' di sekitar Lembah Kelang.
6. Mungkin peminat muzik rock ketika era 1980-an dan 1990-an di Lembah Kelang, Pulau Pinang, Perak dan Johor khususnya mempunyai terlalu banyak pengalaman ketika zaman persekolahan dan memasuki umur 20-an dalam memperkatakan tentang konsert sebegini, ya... di bandar-bandar besar negeri sebelah Pantai Barat Semenanjung ini konsert selalu ada di merata tempat ketika itu.

Sabtu, Mei 23, 2009

BENGKEL PENULISAN KREATIF GURU-GURU DAERAH KLUANG



(Foto: Sebahagian peserta dan sebahagian aksi penceramah tunggal...)
1. Bengkel Penulisan Kreatif Guru-Guru Daerah Kluang merupakan anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS), Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Pejabat Pelajaran Daerah Kluang (PPD Kluang) telah diadakan pada 20 Mei 2009 di SK Kluang Barat, Kluang, Johor.
2. Atas usaha dan komitmen penuh Cikgu Hamzah Hamdan, Pegawai Pendidikan Khas PPD Kluang, maka bengkel ini telah berjaya dilaksanakan. Berbanyak terima Cikgu Hamzah Hamdan dan urus setia dalam kalangan guru daerah Kluang atas terlaksananya bengkel kecil ini tetapi besar manfaatnya buat para peserta yang terdiri daripada guru sekolah rendah dan menengah dalam daerah Kluang. Terima kasih atas usaha menyediakan baju T (T-shirt) yang istimewa sulamannya buat saya dan penceramah.
3. Bengkel ini menumpukan khusus terhadap penulisan cerpen, disampaikan ilmu dan teknik penulisannya dengan penuh semangat dan berhikmah oleh CIKGU AZHAR SALLEH (Munsyi Dewan DBP - Ahli PPJ - Guru SK Taman Johor Jaya 3, Pasir Gudang) selaku penceramah tunggal. Dalam masa terhad (bermula 8.30 pagi sehingga 5.00 petang), Cikgu Azhar Salleh sedaya mungkin mencurahkan pelbagai ilmu dan panduan berdasarkan ilmu yang dimilikinya selama ini buat para guru daerah Kluang ini. Terima kasih yang tidak terhingga buat Cikgu Azhar Salleh atas khidmat dan kesungguhan dalam membimbing para guru ini untuk giat menulis karya kreatif khasnya karya cerpen.






PERTANDINGAN DEBAT IPT: DIKUASAI 'LELAKI LEMBUT @ LELAKI LEMAH LEMBUT?'

1. Saya telah dipilih sebagai hakim Pertandingan Debat Perdana Integriti Institut Pengajian Tinggi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor pada 16 - 17 Mei 2009 yang lalu. Saya dipilih oleh pihak DBP Kuala Lumpur bagi kuota hakim DBP yang diperuntukan oleh pihak IIM dan MADUM. Saya hanya mengadili pertandingan peringkat awal sahaja yang berlangsung sebanyak 6 pusingan.
2. Pertandingan ini merupakan anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan UTM. Sebanyak 20 IPT seluruh Malaysia menyertai pertandingan ini yang melibatkan 40 pasukan serta terdapat 38 usul yang diberikan untuk pendebat @ pasukan bersedia.
3. Mutu perdebatan semakin meningkat dalam pertandingan debat seperti ini terutama dalam kalangan penuntut IPT yang mula bertapak sekitar 3 - 6 tahun belakangan ini. Penguasaan IPT yang sudah ternama menjuarai serta hebat dalam pelbagai pertandingan debat yang dikelolakan oleh MADUM seperti contoh UIA, UM, UTM, USM, UKM dan UPM (sekadar menyebut beberapa nama IPT yang tersohor dalam pertandingan debat) makin tergugat dengan penampilan IPT yang baru muncul di seluruh Malaysia.
4. Namun sedikit rasa agak terkilan juga (tapi dalam tahap terkawal), kebanyakan penuntut IPT yang menyertai pertandingan ini banyak juga dalam kalangan 'lelaki lembut @ lelaki lemah lembut'. Tapi jangan terkejut melihat dan mendengar 'mereka' berhujah sama ada mereka itu pihak kerajaan atau pembangkang dalam usaha mempertahankan isi hujahan yang dilontarkan... hebat! tetapi 'lenggok dan tutur kata mereka' kadang-kadang merimaskan dan membuat para hakim tersenyum kecil sesekali...
5. Saya mula terlibat sebagai hakim debat ini sejak tahun 2005 dalam pelbagai jenis pertandingan antaranya alam sekitar, kepenggunaan dan debat citra daksina. Lantas teringat Pertandingan Debat Citra Daksina yang diusahakan oleh DBPWS sendiri ketika Cik Hasrina Baharum mengetuai program bahasa. Pertandingan Debat Citra Daksina ini khusus buat IPT dan Maktab Perguruan di negeri Johor dan Melaka. Sempat Hasrina melaksanakan dua kali pertandingan pada tahun 2005 dan 2006. Namun kini semacam berkubur sejak tahun 2007, ya... peruntukan semakin mengecil menyebabkan pertandingan ini terhenti seketika atau mungkin...

NASI 'AYAM PENYET' - SEMAKIN POPULAR?

1. Entah mengapa sejak 2 tahun belakangan ini saya amat gemar makan Nasi 'Ayam Penyet'. Saya akan makan 2-3 kali dalam seminggu hidangan ini. Mula kenali makanan ini ketika di negara seberang.
2. Menurut sumber pekedai yang menjualnya, makanan ini berasal dari Jawa Timur. Maka tidak hairanlah makanan ini popular di Johor kerana ramai pekerja dari negara seberang berada di sini.
3. Hidangannya biasa sahaja - nasi putih, sup kosong, campuran sayur-sayuran yang tidak digoreng (kubis, timun, tomato, kacang panjang, ulam, timun dan lain-lain... hidangan sayurannya mengikut pekedai yang menjualnya), dan tempe. Ayam goreng dan sambalnya merupakan keistimewaan makanan ini.
4. Di sekitar Larkin sahaja terdapat 3-4 kedai @ restoran yang menjualnya, saya telah mencuba kesemua kedai di sini. Memang ada perbezaan rasa serba sedikit antara pekedai yang menjualnya.
5. Anda pernah makan hidangan ini...? jika boleh bantu saya berikan maklumat kedai yang popular menjualnya serta menjadi tumpuan ramai yang menjual hidangan ini di sekitar Johor Bahru atau di daerah lain dalam negeri Johor. Bantuan anda amat dihargai...
6. Cuma makna 'penyet' yang terkandung dalam Kamus Dewan boleh ditambah kerana makanan ini semakin popular. Kutipan yang terdapat KD seperti berikut:
penyet
(pényét) = terpenyet penyek: songkok mereka ~-~ oleh berat Quran dan papan rehal.

Ahad, Mei 17, 2009

HARI INI DALAM SEJARAH (HIDS)

1. HARI INI DALAM SEJARAH (HIDS) merupakan satu segmen disiarkan di televisyen dalam 2-3 minit yang cukup 'popular' ketika zaman saya di sekolah rendah dan menengah, maksud 'popular' itu - popular bagi diri saya kerana gemar menonton serta memperoleh maklumat tentang sejarah. Saya juga pernah melihat, membelek dan membaca HIDS versi buku yang diterbitkan oleh Arkib Negara Malaysia.
2. Seingat saya, pada suatu ketika dahulu HIDS disiarkan melalui RTM pada pukul 6.30 petang (menjelangnya waktu Maghrib). HIDS yang mendapat kerjasama Arkib Negara Malaysia disiarkan dalam mutu visual dan audio yang rendah serta kurang menarik serta membosankan; saya jangka mungkin pengendali stesen televisyen tidak mendapat sebarang tajaan dan sokongan pihak besar dalam kerajaan sendiri apatah lagi untuk mendapat sokongan pihak swasta!!?
3. Sejak dua minggu belakangan ini, saya dapat mengesan HIDS ditonjolkan dalam versi paparan maklumat bergerak di televisyen ketika sesebuah rancangan disiarkan dalam rangkaian TV2. SUATU YANG MEMBANGGAKAN PADA TAHAP KECIL... walaupun hanya dalam bentuk paparan maklumat bergerak sahaja.
4. Lalu terfikirlah saya, kenapa hanya disiarkan dalam bentuk begitu sahaja sedangkan kini teknologi televisyen digabungkan dengan teknologi komputer dapat menghasilkan sesuatu yang menakjubkan dalam bentuk paparan visual dan audio di televisyen? Terfikir saya bahawa pihak berwajib harus serius dalam tahap tinggi serta bertindak cepat melalui paparan media untuk menonjolkan dan memberikan maklumat tentang catatan sejarah negara kerana melalui media (dalam pelbagai jenis) maklumat sebegini segera dapat dicerap oleh masyarakat, tetapi haruslah dalam mutu tinggi serta tidak berpihak kepada kepentingan dan propaganda pemimpin tertentu sahaja yang konon-kononnya mengangkat konsep dan konteks '1 Malaysia'?
5. Namun paparan segmen HIDS dalam bentuk visual dan audio perlu 'keluar dan lari' daripada label berjenama membosankan dan memualkan rasa dan mata kerana teknologi suntingan visual dan audio amat canggih kini! Segmen HIDS harus 'segar, menarik dan teruja' sifatnya jika dibuat dalam bentuk visual dan audio!

Isnin, Mei 11, 2009

EPISOD 1 KONSERT SEARCH - FOTO AMATUR SISI LAIN...





Konsert Search Di Awan Biru pada 9 Mei 2009 di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru merupakan konsert jelajah Search yang kedua selepas berlangsung di Pulau Pinang. Pada pengamatan saya jumlah penonton dalam lingkungan 10,000 - 12,000 orang. Foto amatur yang diambil sendiri oleh saya (kamera digital murah sahaja) merakamkan sisi lain konsert tersebut. Foto amatur yang seadanya ini diambil sambil menunggu WITRA untuk bersama-sama beliau masuk ke dalam stadium.
Paparan foto di luar stadium - penonton membeli tiket, penonton menunggu masuk ke dalam stadium, trak peralatan konsert, dan bas khas konsert ini yang membawa ahli kumpulan Search. Ketika hendak masuk ke dalam stadium saya diminta meninggalkan kamera (walaupun kamera digital murah sahaja) di kaunter pintu masuk!
BERSAMBUNG - UNTUK KISAH DAN CORETAN LAIN ANTARANYA TENTANG KEHEBATAN DAN KEKURANGAN PERSEMBAHAN, LAGU-LAGU YANG DISAMPAIKAN, SISTEM BUNYI DAN LAIN-LAIN...

KUTIPAN UTAMA: 11 MEI 2009 - BELUM SELESAI SELAGI...?

Hakim: Nizar MB Perak yang sah
Hafiz Yatim May 11, 09 3:45pm (Malaysiakini)
kemaskini 7.55pm
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu. Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar, lapor Bernama. "Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

Isnin Mei 11, 2009 (mStar Online)
Nizar kembali MB Perak selepas 96 hari
KUALA LUMPUR: Selepas 96 hari, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat diisytiharkan sebagai Menteri Besar sah, tetapi keputusan hari ini belum memberi petanda jelas sama ada krisis politik Perak yang memasuki bulan ketiga akan menemui jalan penyelesaian. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan keputusan itu kira-kira pukul 3.45 petang tadi. Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih tampuk kerajaan negeri 6 Februari lalu berada di bangunan SUK Perak.
Ratusan penyokong Nizar berhimpun di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta sejak tengah hari tadi dengan kawalan keselamatan ketat.

Isnin Mei 11, 2009 (mStar Online)
Umno sambut ulang tahun ke-63 hari ini
PETALING JAYA: Hari ini genap usia Umno 63 tahun, satu usia yang cukup matang dalam mengharungi perjuangan khususnya membawa bangsa Melayu ke arah kecemerlangan dan kemajuan tanpa menidakkan kepentingan agama yang menjadi landasan mengikut acuan budaya ketimuran. Bersempena ulang tahun sambutan tersebut satu majlis kesyukuran akan diadakan di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Majlis tersebut akan dirasmikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang memimpin sejak hubung Mac lalu. Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, anggota Majlis Tertinggi dan wakil pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) dijangka turut hadir dalam majlis yang diajngka bermula seawal pukul 7 malam.

_______________________________________________

Tiga kutipan berita di atas menjelaskan sebahagian makna terkini, namun harus diingat bahawa kenyataan di bawah ini perlu diambil kira secara serius atas sifat KUASA DAN PENGEKALAN KUASA, maka hal ini belum selesai selagi...:
"Kita akan merayu terhadap keputusan itu dan kita harap mendapat tarikh awal untuk melakukannya. Saya tidak boleh mengulas banyak kerana perkara ini masih dalam bidangkuasa mahkamah. Mungkin rayu esok. Jadi, saya mahu katakan bahawa kita mempunyai kes yang kuat, kedudukan yang kuat dan kita akan merayu terhadap keputusan itu" tambahnya. (Malaysiakini - 11 Mei 2009)

Sabtu, Mei 09, 2009

BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA

1. Isteri mula ditahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 4 Mac 2009 kerana dikesan bahawa uri kandungan terletak di bawah. Kata doktor kedudukan pada tahap 2-3 (ada 4 empat tahap keadaan bahayanya) serta implikasinya besar jika berlaku pendarahan, mungkin jika tidak sempat ke hospital berjumpa doktor (dalam masa 15 - 30 minit) maka nyawa ibu dan kandungannya dalam bahaya. Isteri terus ditahan sehingga 4 Mei 2009 (2 bulan). - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.
2. Berdasarkan keadaan isteri, doktor telah tetapkan perlu menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi dalam kandungan pada 5 Mei 2009. Namun pada 4 Mei 2009, doktor menjalani pemeriksaan akhir... didapati uri kembali tempat asalnya, maka boleh melahirkan bayi dalam keadaan normal. - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.
3. Isteri dibenarkan pulang setelah 2 bulan di hospital pada 4 Mei 2009, namun pada jam 1.15 pagi 6 Mei 2009 isteri terasa sakit... maka bergegaslah ke hospital lalu dimasukkan ke ruang untuk melahirkan bayi secara normal. Sedang sibuk menguruskan hal-hal pendaftaran dan dokumentasi (melibatkan dua tempat @ bangunan berbeza), maka lahirlah seorang bayi lelaki pada pukul 2 pagi (mengikut catatan rasmi hospital). Sempat melihat jururawat mencuci bayi, dan seterusnya sempat azan di telinga bayi. - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.
4. Isteri dan bayi ditahan berasingan kerana kawalan rapi untuk mencegah daripada berlaku 2-3 penyakit atau jangkitan tertentu. Isteri tinggal di blok B manakala bayi dikuarantin di blok A. - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.
5. Bayi dan isteri dibenarkan pulang pada 7 Mei 2009. Pada 8 Mei 2009 (Jumaat) ke Jabatan Pendaftaran, Wisma Persekutuan, Johor Bahru untuk mendaftar kelahiran dan memperoleh Surat Beranak. No. Surat Beranak: CE 00177 dan No. K.P.: 090506-01-0233, maka bertambahlah seorang lagi rakyat kelahiran negeri Johor bernama RAIF BIN RUSDI. - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.
6. Hakikatnya, teramat besar rahmat dan anugerah-Nya atas hal ini serta atas segala-galanya - isteri ditahan di hospital selama 2 bulan; saya menguruskan rumah dengan dua anak dengan kekuatan yang diberikan-Nya selama 2 bulan; dan isteri sepatutnya dibedah untuk melahirkan bayi tetapi saat-saat akhir kembali normal serta lahir secara normal. - BESAR RAHMAT ANUGERAH-NYA.

Khamis, Mei 07, 2009

BOLA SEPAK: BERPADU SEMUA EMOSI

1. Semua emosi terserlah dalam menyaksikan perlawanan bola sepak; emosi gembira, suka, riang, marah, sedih, kecewa dan sebagainya terluah terutamanya dalam menyaksikan sesebuah perlawanan melibatkan pasukan yang diminati dan disanjung.
2. Menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Champions League iaitu Chelsea bertemu Barcelona di Stamford Bridge semalam melalui televisyen rangkaian Astro 812 cukup dan penuh emosi yang bercampur baur itu, emosi dalam beberapa keadaan silih berganti! Seperti kata pengulas perlawanan, suatu 'Pengalaman Fantastik' (fantastic experience).
3. Chelsea mendahului 1-0 minit ke-9 melalui jaringan cantik Essein; permainan Barcelona kurang menyengat sepanjang 90 minit perlawanan. Chelsea bermain baik dalam mengawal kepantasan pemain Barcelona terutama gandingan gerakan Messi-Eto'o-Iniesta serta mempunyai beberapa peluang yang paling hampir untuk menambahkan gol.
4. Pada minit ke-93 (selama 4 minit masa kecemasan diberikan pengadil), Chelsea tersentak dengan jaringan Iniesta - kedudukan 1-1, kelebihan kepada Barcelona kerana perlu seri sahaja untuk layak secara agregat ke akhir (jaringan gol di tempat lawan). Tinggal beberapa saat sebelum minit ke-94, Chelsea pantas menyerang, bola jelas terkena tangan pertahanan Barcelona dalam kotak penalti... namun PENGADIL TIDAK MEMBERIKAN TENDANGAN PENALTI KEPADA CHELSEA! Emosi bertambah 'panas dan ganas' dalam hati!
5. Pemain Chelsea marah dan hampir bertindak 'sesuatu' terhadap pengadil sebagai tanda protes antaranya yang terawal Ballack. Permainan tamat, namun pemain, penyokong dan pegawai Chelsea terus memprotes. Terlihat Drogba serta beberapa pemain menerpa ke arah pengadil yang dikawal ketat oleh petugas perlawanan sambil menyatakan sesuatu dalam reaksi marah dan tidak puas hati.
6. Sepanjang 94 minit perlawanan, Chelsea sepatutnya memperoleh 4 sepakan penalti dalam 4 insiden kekasaran @ terkena tangan pemain (2 insiden daripadanya amat jelas boleh diberikan sepakan penalti). Pengadil mencetuskan kontroversi hebat dalam perlawanan ini.
7. Menurut laporan berita bola sepak Eropah, pemain dan pegawai Chelsea khasnya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan termasuk Hiddink (pengurus sementara) dan John Terry (kapten). Sungguh buruk dan teruk pengendalian perlawanan oleh pengadil Norway yang dikatakan kurang pengalaman dalam sesuatu perlawanan yang berklasifikasi 'penting dan 5 bintang' seperti semalam.
8. Saya bersama dua anak yang menyaksikan perlawanan itu juga amat kecewa... bukan kerana semata-mata kami penyokong dan peminat Chelsea kerana Barcelona juga dalam 5 pasukan yang kami minat di Eropah; tetapi melihat cara pengadil itu membuat beberapa tindakan yang 'tidak bijak', salah satunya memberikan kad merah kepada pemain Barcelona iaitu Abidal kerana menolak Anelka!
9. Tahniah Barcelona kerana berjaya ke akhir Champions League! Tahniah juga Barcelona kerana membelasah pasukan penuh ego iaitu Real Madrid 6-2 di stadium Real Madrid dalam La Liga Sepanyol minggu lepas.
10. BARCELONA TERUSKAN USAHA, TUMBANGKANLAH SEBUAH LAGI KELAB PENUH EGO DAN RIAK IAITU MANCHESTER UNITED DALAM PERLAWANAN AKHIR DI ROME PADA 27 MEI 2009 INI!

Sabtu, Mei 02, 2009

2 MEI 2001 - 2 MEI 2009: BERMULA SIFAR, DAN KINI SUDAH 8 TAHUN...

1. Hari ini 2 Mei 2009, genaplah 8 tahun berkhidmat di DBPWS serta menjawat jawatan tetap dalam organisasi DBP. Mula berkhidmat di ibu pejabat DBP Kuala Lumpur pada 14 Julai 1997 selaku pekerja kontrak selama hampir 4 tahun.

2. Pada 1 Mei 2001, dalam sepanjang hayat inilah kali pertama ke Johor, ya... dalam keadaan yang serba kosong segalanya. Datang ke Johor Bahru menumpang di rumah kawan dahulu dalam tempoh hampir sebulan. Selepas itu isteri dan anak turut serta lalu menetap di Bandar Baru Uda sehingga kini.

3. Sifar atau kosong itulah pemula perkhidmatan di Johor Bahru. DBPWS baharu dibuka dengan hanya ada empat kakitangan sahaja dalam dua bulan pertama, banyak juga yang belum lengkap sebagai sebuah pejabat ketika itu, masih ada serba sedikit bau cat dan perabot baharu dalam pejabat tiga tingkat ini.

4. Seawal Mei 2001 lagi bersama Pengarah DBPWS (En. Zubaidi Abas) dan En. Abd. Rahman Hj. Zakaria - kini berkhidmat di Dawama sejak pertengahan tahun 2002) ke sana ke mari sebagai pemula untuk bergerak dan bekerja. Maka bermulalah episod untuk kenal dan mesra dengan masyarakat dan persekitaran yang amat baharu ketika itu. Rasa kekok dan janggal sekali untuk tempoh 1 - 2 bulan pertama ini dalam mengatur gerak dan mengenali masyarakat Johor dan Melaka ketika itu.

5. Bermula serta bergerak daripada sifar untuk membina rangkaian dengan pelbagai jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (khasnya persatuan penulis) di negeri Johor dan Melaka merupakan sebuah pengalaman cukup bermakna dan berharga yang sukar diperoleh, sungguh meninggalkan kesan mendalam! Membina dan mewujudkan rangkaian kerja itu teramat penting dalam situasi pelaksanaan tugas dan kerja di pejabat wilayah!

6. Buat 6 bulan dalam tahun 2001 (Mei - Disember), oleh kerana kakitangan belum mencukupi saya diamanahkan untuk menggerakkan tiga unit serentak iaitu bahasa, sastera dan penerbitan. Sebuah pengalaman cukup berharga terutama dalam menguruskan program sastera dan penerbitan kerana saya di ibu pejabat DBP Kuala Lumpur selama hampir 4 tahun menangani program pengembangan bahasa di Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta pada ketika itu.

7. Bermula awal Januari 2002, boleh dikatakan hampir semua jawatan yang diperuntukan di DBPWS terisi. Kakitangan yang ada silih berganti datang dan pergi, namun saya terus kekal di sini dalam kapisiti menguruskan program hakiki sastera serta membantu sedaya mampu dalam program lain yang melibatkan urusan bahasa dan penerbitan. Saya terus mengutip banyak pengalaman baharu dalam konteks kerja hakiki serta kehidupan di Johor Bahru ini sehingga kini.

8. Sememangnya bekerja di wilayah amat berbeza dengan ibu pejabat kerana sekecil-kecil kerja hingga sebesar-besar kerja harus diketahui secara mendalam. Individu perlu memiliki kekuatan dan semangat besar untuk bekerja di wilayah, jika tiada semangat dan unsur luar biasa dalam konteks kerja, maka organisasi akan terus ditinggalkan serta tidak dipandang oleh masyarakat. Usaha gigih untuk 'menjual dan memberikan perkhidmatan untuk suatu produk yang tidak laku, tidak diminati dan dijauhi masyarakat' perlu sentiasa ada secara konsisten agar 'produk' ini semakin hari semakin ada pembeli dan peminatnya. Pucuk pangkalnya upaya atau tidak individu bergantung kepada dalaman diri masing-masing, serta satu hal yang saya pegang CINTA, MINAT DAN SAYANG!

9 Hakikatnya, saya sendiri telah banyak berubah dalam konteks kerja dan kehidupan seharian selama 8 tahun di DBPWS. Dalam hal kerja hakiki, saya tetap berusaha gigih sedaya mampu dalam upaya yang ada (upaya tenaga fizikal dan peruntukan belanjawan) serta upaya yang amat penting yang saya pegang sejak berada di DBPWS iaitu CINTA, MINAT DAN SAYANG atas kerja yang digerakkan kini..., namun keterbatasan tetap ada terutama melibatkan keupayaan peruntukan kewangan, daya fizikal dan had kreativiti.

10. Selama 8 tahun di sini banyak dibantu oleh kakitangan DBPWS sendiri serta yang utama juga pegawai/kakitangan pelbagai jabatan kerajaan, para Munsyi Dewan, AJK dan ahli-ahli persatuan penulis di negeri Johor dan Melaka (saya tidak mampu menyebut banyak nama yang banyak membantu saya selama ini dalam catatan blog ini), saya masih memerlukan bantuan dan sokongan semua, saya masih ingin terus kekal berkhidmat dengan penuh semangat CINTA, MINAT DAN SAYANG dengan tugas yang diberikan berlandaskan upaya yang sedaya mampu di DBPWS dalam apa-apa jua keadaan. Berbanyak terima kasih atas bantuan dan tunjuk ajar diberikan oleh semua pihak secara rasmi mahupun tidak rasmi setakat ini, mohon maaf atas kekhilafan yang terdapat dalam pelbagai bentuk atas urusan kerja hakiki setakat ini, segala kekurangan akan dinilai dan dibaiki mengikut upaya yang ada.

11 Atas nama CINTA, MINAT DAN SAYANG..., sesuatu kerja dan program yang dihasilkan sama ada berskala kecil, sederhana dan besar maka muncul dan timbul rasa puas dan tenang di hati dan minda atas prinsip sedaya mampu yang boleh dilaksanakan.

12 Ya..., saya masih kekal di sini, jauh dalam hati saya berhasrat untuk menjadi pemastautin tetap di negeri Johor ini... Insyaallah. Saya masih banyak perlu belajar menimba sebanyak pengalaman dalam urusan kerja dan kehidupan seharian, usia semakin meningkat maka bakti dan khidmat juga harus selari meningkat.

13. Inilah sebahagian kecil sahaja manis, suka, gembira, duka dan luka yang sempat dicatat dalam ruang yang terbatas ini. Hakikatnya banyak dan pelbagai jenis pengalaman diri dalam tempoh 8 tahun di sini..., mungkin akan tercatat dalam ruang dan kesempatan masa yang ada secara berperingkat semasa ke semasa. Bermula sifar, dan kini sudah 8 tahun...!