Memaparkan catatan dengan label AM - SUKAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AM - SUKAN. Papar semua catatan

Sabtu, November 20, 2010

SEPAK TAKRAW MALAYSIA: SETAKAT MENCIUM GELANGGANG DAN JARING...?

Foto hiasan: Thailand memperoleh pingat emas, Malaysia memperoleh...?

Tahniah buat Thailand kerana melenyapkan serta menghapuskan ego dan lagak besar pasukan sepak takraw Malaysia dalam perlawanan akhir (penentuan pingat emas - perak) acara berpasukan sepak takraw Sukan Asia 2010 sebentar tadi. Pemain dalam dua regu Malaysia juga hanya ceria berbangga 'mencium gelanggang dan jaring?' sahaja. Thailand menang 2-0 yang mencatatkan bahawa regu pertama Thailand 'membelasah' regu pertama Malaysia (yang termuat pemain paling melampau-lampau Malaysia iaitu Mohamad Putra; beliau dan dua rakan sepasukan berjoget-joget serta menunjukkan aksi angkuh setiap kali Malaysia memperoleh mata) dengan kiraan 21-16 dan 21-10, dan seterusnya regu kedua Thailand 'melibas' regu kedua Malaysia dengan tenang dan profesional dengan kiraan 21-15 dan 21-17.
Selayaknya Malaysia tewas dan Thailand meraih emas kerana sikap angkuh, sombong dan tidak sedar diri pemain regu Malaysia itu sendiri. Ditambah pula ulasan pengulas rangkaian Astro Arena iaitu Shauki Kahar yang penuh ketaksuban memuji dan mengagungkan pemain Malaysia dalam perlawanan akhir ini. Pengulas ini kerap juga mengulang kata-kata nostalgia kejayaan lampau Malaysia (yang hanya sepicing sahaja) menewaskan Thailand.
Melihat pasukan Malaysia bermain sebelum ini sejak peringkat kumpulan dan separuh akhir (menentang Korea Selatan) sememangnya meluat dan menyampah kerana aksi ego dan angkuh pemain Malaysia setiap kali memperoleh mata. Tidak dapat dinafikan serta hakikatnya mutu permainan Malaysia memang bagus dan hebat juga tapi atas sifat dan sikap ego dan angkuh (berjoget-joget serta semacam mengejek pasukan lawan) setiap kali memperoleh mata itulah yang menyebabkan ramai yang menyampah dan meluat pemain Malaysia ini. Mungkinkah suatu hari nanti Malaysia akan tewas kepada pasukan Ghana, Zimbabwe, Muaritius, Gabon, Ethiopia, Nigeria dan lain-lain negara dari benua Afrika dalam sukan sepak takraw nanti, usah cakap pasal pasukan dari benua Asia seperti Korea Selatan, China dan Jepun yang hanya selangkah lagi dapat menyaingi pasukan Malaysia dalam sukan sepak takraw ini...!

PENCAGARA ASTRO ARENA YANG MELAMPAU-LAMPAU DAN TIDAK BERKELAYAKAN...

Foto hiasan: Ulasan dan pengacaraan Rahim Razali ketika Piala Dunia 1986 Mexico (ketika itu siaran langsung di Malaysia ditaja oleh syarikat rokok Benson) masih diingati kerana beliau merupakan pengulas yang dalam dan luas ilmu serta ada aura yang dinantikan oleh para penonton ketika itu.

Sejak bermula Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China seminggu lalu televisyen di rumah sering terarah ke rangkaian Astro Arena 801, serta ada 'butang merah' untuk mengikuti 6 rangkaian tambahan sempena Sukan Asia ini. Menonton secara aktif, santai dan tidak aktif acara-acara sukan yang dipaparkan sesuatu yang dapat menenangkan minda dan fizikal diri.

Namun ketenangan minda kerap terganggu pabila mendengar dan menonton liputan 1-2 orang pengacara Astro Arena yang cukup tidak berpengalaman serta ilmu ulasan sukan yang cetek apatah lagi lagak serta gaya pengacaraan juga 'menyakitkan telinga dan mata'. Seorang pengacara wanita Astro Arena ketika di studio bernama Azura Zainal sebenarnya belum layak untuk mengulas acara sukan sebesar Sukan Asia ini kerana kerap tergagap, tersilap cakap dan fakta ditambah pula gaya penyampaian (penggunaan bahasa dan bahasa tubuh) yang agak buruk serta emosi yang tidak sepatutnya ditonjolkan ketika bersiaran. Satu hal yang diingati ketika acara akhir lumba basikal kategori keirin pabila Azizul Hasni dan Josiah Ng menang pingat emas dan perak..., maka pengacara ini cukup 'melampau' meluahkan rasa berdebar ketika saingan berlangsung serta perasaan penuh gembira ketika pelumba Malaysia meraih emas dan perak tersebut. Maaf cakap..., pengacara bernama Azura ini rasa-rasanya layak mengulas untuk acara sukan peringkat sekolah-sekolah Malaysia sahaja buat setakat ini jika cara dan kaedah penyampaian ulasannya masih pada takuk begitu...!
Satu lagi 'perangai' pengacara rangkaian Astro Arena ini iaitu suka 'cakap besar dan melebih-lebih pujian dan harapan tahap melampau' pabila melibatkan pemain dan pasukan Malaysia; lihat dan dengar sahaja pengulas senior iaitu Shauki Kahar pabila mengulas perlawanan akhir berpasukan sepak takraw antara Malaysia menentang Thailand, Shauki Kahar ini melampau-lampau memuji pemain Malaysia serta 'seumpama menghina pemain Tahiland...'
Namun begitu cara ulasan dan penyampaian Zainal Abidin Rawop cukup menyenangkan hati dan selesa pabila ke udara bersiaran, Zainal ini cukup profesional dan seimbang pabila mengulas tentang Malaysia dan pasukan lawan. Cara dan kaedah beginilah yang diharapkan dalam mengulas dan menyampaikan ulasan secara langsung dalam sesuatu acara sukan khususnya sukan era abad ke-21 ini. Harapan agar pihak Astro Arena mencari pengulas yang baik dan dalam ilmunya serta yang tidak melampau-lampau dalam ulasan serta menyatakan pendapat, usah lagi menampilkan pengulas seperti Azura Zainal itu selagi beliau tidak berubah... Maaf sekali lagi, ini suatu pandangan ilkhlas secara terbuka yang terbuku dalam hati sejak menonton Astro Arena khususnya dalam konteks laporan dan liputan Sukan Asia 2010 sahaja...

Jumaat, November 19, 2010

SEPAK TAKRAW MALAYSIA YANG MELUAT DAN MENYAMPAH...

Foto hiasan: Korea Selatan begitu gah dalam kejohanan Piala Dunia 2002 sehingga layak ke separuh akhir serta sering bersaing hebat dalam Piala Dunia sejak edisi Piala Dunia 1982 sehingga 2010; namun di manakah kedudukan Malaysia dalam bola sepak Asia dan Asia Tenggara...?

Maaf, kerana kurang patriotik dalam hal ini...! Meluat dan menyampah lihat pasukan sepak takraw Malaysia dalam Sukan Asia iaitu melibatkan pertandingan peringkat separuh akhir acara berpasukan menentang Korea Selatan hari ini. Berlagak dan penuh angkuh pemain-pemain Malaysia setiap kali memperoleh mata dengan berjoget di hadapan jaring sambil 'mengejek' pemain Korea Selatan. Pemain Malaysia memakai jersi biru nombor 5 serta dahinya dililit kain putih (jika tidak silap namanya) bernama Mohd Putra dan pemain Malaysia memakai jersi nombor 2 (bertubuh kecil tapi lagak hingga tidak sedar diri...) terlalu 'melampau' berjoget dan mengejek pemain Korea Selatan. Memanglah ini suatu kaedah moral bagi menentang pasukan lawan tetapi sikap melampau pemain Malaysia sebegini cukup memualkan... berlagak lalu sombong serta angkuh dan semacam menghina pasukan lawan!
Sikap berlagak melampau-lampau pemain-pemain Malaysia ini bukanlah sesuatu yang dibanggakan kerana Korea Selatan bukan lagi pasukan belasahan malahan pasukan Korea Selatan menyaingi Malaysia dengan sengit dan hebat; apatah lagi pasukan sepak takraw Malaysia pernah tewas kepada Korea Selatan dalam kejohanan dunia 1-2 bulan yang lalu. Jikalah begini Malaysia "lebih lagak daripada mutu permainan" maka Malaysia juga bakal akan kalah suatu hari nanti kepada pasukan seperti Jepun, India, Vanuatu, Trinidad, Ivory Coast, Timor Leste dan negara-negara lain dari benua Asia, Afrika dan Amerika Selatan...!!!???
Makanya perlawanan siang tadi Malaysia menang mengatasi Korea Selatan lalu akan bertemu Thailand dalam penentuan pingat emas dan perak acara berpasukan sepak takraw Sukan Asia. Jika lagak melampau-lampau sebegini terus terpapar lagi esok maka sewajarnya Malaysia hanya genggam pingat perak cukuplah...!

Selasa, Disember 01, 2009

BAHASA MELAYU DAN SUKAN


Selaku peminat dan pengikut rangkaian sukan Astro (Saluran 811 hingga 816) pasti ada sedikit kejutan pabila ESPN SportCenter Malaysia menyiarkan berita sukan dalam bahasa Melayu. Semalam pukul 10.30 malam diri ini dan anak dapat mengikuti berita SportCenter dalam bahasa Melayu sepenuhnya termasuk catatan tentang keputusan perlawanan sukan dan kedudukan liga bola sepak Eropah melalui visual yang dipaparkan.

Sememangnya rangkaian sukan Astro melalui Saluran 811 hingga 816 banyak menyiarkan perlawanan dalam sukan (khasnya bola sepak) dan berita sukan seluruh dunia, namun dengan penyiaran berita sukan dalam bahasa Melayu melalui ESPN SportCenter merupakan suatu kebanggaan kerana mengangkat peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.


Memang siaran berita pertama dalam bahasa Melayu melalui saluran ini semalam masih ada kekurangan penyampaiannya tetapi boleh diperbaiki melalui peringkat demi peringkat. Tahniah kepada ESPN SportCenter Malaysia atas usaha baik ini dalam menyuburkan penggunaan bahasa Melayu secara meluas melalui penyiaran televisyen yang bersifat serantau ini.

________________________________________________________

Kutipan akhbar Utusan Malaysia - 1 Disember 2009

ESPN lancar edisi bahasa Melayu

KUALA LUMPUR - Peminat sukan tempatan kini berpeluang mengikuti berita dan informasi sukan tempatan dan antarabangsa dalam edisi bahasa Melayu di saluran sukan Astro, ESPN StarSports yang ke udara pertama kali pada 10.30 malam semalam. Program SportsCenter Malaysia edisi bahasa Melayu itu dikendalikan oleh pengacara Lisa Wong dan Reem Shahwa.
Berikutan tumpuan yang semakin tinggi terhadap berita sukan tempatan, para penonton berpeluang menyaksikan lebih banyak wira-wira sukan di saluran ESPN, juga liputan lebih menyeluruh sukan antarabangsa dalam bahasa Melayu.

Program SportsCenter Malaysia dilancarkan pada April 2007 dalam bahasa Inggeris dan ia terus menjadi saluran kegemaran di kalangan peminat sukan dan mencatat rating penonton yang tinggi. Pengarah Urusan ESPN StarSports, Manu Sawhney, berkata, pihaknya terus komited untuk membawa info sukan terbaik kepada para penonton saluran tersebut.

''Program SportsCenter Malaysia dalam edisi bahasa Melayu merupakan bukti komitmen kami untuk menyampaikan berita sukan tempatan dan antarabangsa yang terbaik untuk para peminat.
''Ia dilakukan demi memenuhi keperluan dan bahasa pilihan para penonton.
''Dengan jumlah peminat sukan yang semakin bertambah di Malaysia, berita sukan dalam edisi bahasa Melayu ini akan membawa sukan lebih dekat dengan mereka, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,'' katanya.

Sabtu, Oktober 17, 2009

BOLING SPRM - SANTAI DAN MESRA

Paparan kutipan markah masih kosong.

Kakitangan SPRM dan JPNJ bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Gaya Shahrur membuat lontaran yang meyakinkan.
Bukan pemain profesional malahan bukan amatur sekalipun.


Semalam menghadiri dua acara anjuran dan jemputan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor. Selepas solat Jumaat menghadiri majlis sambutan hari raya SPRM Johor di MAWAR, Johor Bahru. Majlis ini dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Sri Hj. Ahmad Said Hamdan.

Malamnya juga dijemput menyertai program Gerak Mesra Boling SPRM di Pelangai Leisure Mall, Johor Bahru. DBPWS diminta menghantar pasukan yang melibatkan dua lelaki dan seorang wanita, maka pasukan DBPWS yang bersaing bersama 10 pasukan lain antaranya SPRM Johor, Ibu Pejabat SPRM, JPNJ, MBJB dan JKKNNJ. Pasukan DBPWS terdiri daripada saya, Shahrur dan Syuhada yang menentang pasukan SPRM cukup hebat diketuai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Pertandingan yang bersifat santai dan ramah mesra ini mencapai matlamat kerana merapatkan hubungan antara pihak SPRM dengan jabatan dan badan kerajaan yang banyak bekerjasama dalam tujuan dan matlamat yang sama. Lontaran dan jatuhan pin pasukan amatur @ suka-suka DBPWS bolehlah juga dibanggakan kerana Shahrur dan Syuhada serta saya sendiri ada membuat 4-5 kali jatuhan pin secara penuh (strike). Boleh tahan juga pasukan DBPWS ini walaupun tanpa latihan dapat bersaing juga seadanya mampu. Terima kasih atas kesungguhan Shahrur dan Syuhada.
Johan pertandingan diraih pasukan JPNJ. Hadiah disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato' Sri Hj. Ahmad Said Hamdan dan Tn. Hj. Simi, Pengarah SPRM Johor. Menurut pegawai kanan SPRM majlis hari raya dan program santai sebegini sering diikuti oleh Ketua Pesuruhjaya jika bersesuaian waktu dan tarikh di setiap negeri. Saya mula mengenali kakitangan, pegawai kanan dan beberapa pengarah BPR / SPRM bermula tahun 2004 lagi kerana pihak BPR (ketika itu) mula memanggil pihak DBPWS untuk bersama dalam penganjuran pertandingan pidato pencegahan rasuah bagi peringkat pelajar sekolah serta beberapa program lain yang bersangkutan dengan peranan DBP secara umumnya.
Terima kasih buat SPRM Johor kerana mengundang DBPWS dalam dua acara yang diadakan dalam tempoh satu hari ini. Permainan boling tersebut bukanlah sangat untuk diraih hadiahnya tetapi kemesraan dan hubungan semakin kukuh serta meningkat dalam kalangan kakitangan SPRM Johor itu yang terserlah.

Jumaat, September 04, 2009

SANTAI: TENIS TERBUKA AMERIKA




1. Sejak melanggan ASTRO 3-4 tahun yang lalu rangkaian kegemaran pastinya bermula angka 8 iaitu rangakaian 811 hingga 815. Rangkaian sukan 24 jam ini kadang-kadang amat memuaskan tetapi kadang-kadang membosankan juga mengikut musim atau bulan tertentu.


2. Jika terdapat sesuatu kejohanan sukan yang besar dan mendapat tempat di seluruh dunia, maka ASTRO akan menambahkan rangkaian khas sukan terutama mewujudkan rangkaian 816. Wujudnya rangkaian tambahan khas 816 ini melibatkan kejohanan sukan besar antaranya bola sepak Piala Dunia dan Piala Eropah, tenis, sukan Olimpik dan Asia, badminton dan sebagainya. Namun begitu ketika kejohanan bola sepak Piala Dunia 2006 di Jerman yang berlangsung selama sebulan sebanyak 4 rangkaian wujud iaitu 816 hingga 819.


3. Sejak 2-3 tahun belakangan ini minat terhadap kejohanan dan perlawanan tenis semakin meningkat. Melalui siaran sukan ASTRO mulalah kenal secara mendalam apakah seni dan hebatnya perlawanan tenis. Dahulu pernah juga ikuti kejohanan tenis melalui berita televisyen dan akhbar semata-mata, maka kenallah juga nama seperti Ivan Lendl, Boris Becker, Pete Sampras, Andre Agassi, Stefi Graf, Martina Navratilova, Gabriel Sabatini dan lain-lain.


4. Terkini (sejak 2-3 hari lepas) kerap juga menonton kejohanan tenis Terbuka Amerika. Kejohanan ini merupakan taraf Grand Slam dalam tenis termasuklah kejohanan Terbuka Perancis, Terbuka Australia, dan Wimbledon dalam kalendar kejohanan tenis dunia. Kini sudah tahu agak mendalam tentang kiraan mata perlawanan tenis (0/15/30/40...), juga kenali istilah dan makna dalam permainan tenis antaranya 'double fault', 'tie break', 'challenge', dan lain-lain seadanya.


5. Dalam kejohanan tenis terutamanya kejohanan Grand Slam sering ada kejutan yang hebat, bukan seperti badminton yang hanya nama-nama yang sama sahaja yang akan masuk peringkat suku akhir /separuh akhir. Melalui tontonan perlawanan tenis mulalah mengenali nama tersohor pemain tenis lelaki dan wanita yang terkini antaranya Federer, Nadal, Djokovic, Murray, Roddick, Ana Ivanovic, Maria Sharapova, Darina Safina, Jelena Jankovic, Serena/Venus Williams, dan lain-lain lagi.


6. Siapakah pilihan yang bakal juara Terbuka Amerika kali ini. Pilihan: Nadal (lelaki) dan Safina (wanita)....