Sabtu, Julai 31, 2010

HARI KEDUA DI PLAZA ANGSANA

Pasukan koir unik berpakaian 'tentera komando'.

Foto dirakam dari aras 3 Plaza Angsana.

Foto dirakam dari aras 3 Plaza Angsana.

Pertandingan 'Santai Sahibba' diteruskan di ruang pameran DBPWS.

Pameran tentang koleksi PDM DBPWS dan keahlian Rakan Dewan.

Hari kedua (Sabtu - 31 Julai 2010) program di Plaza Angsana, Johor Bahru diteruskan dengan Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik Sekolah-sekolah Rendah Daerah Johor Bahru. Semalam peringkat saringan melibatkan 7 sekolah manakala hari ini melibatkan 13 buah sekolah rendah. Hari ini (Sabtu - 31 Julai 2010) penuh sesak ruang legar pentas utama Plaza Angsana ini, ramai peserta dan ibu bapa termasuk pengunjung Plaza Angsana menyaksikan pertandingan peringkat saringan yang berlangsung pukul 2 - 5 petang. 10 buah sekolah rendah (daripada 20 buah sekolah yang menyertai) terpilih ke peringkat akhir pada hari esok (Ahad - 1 Ogos 2010). Pelbagai ragam dan gelagat dapat disaksikan pada hari ini yang melibatkan para peserta, guru, ibu bapa dan para pengunjung ketika pertandingan peringkat saringan serta gelagat panel pengadil juga...

Jumaat, Julai 30, 2010

SANTAI: METALLICA TETAP KONSISTEN UNGGUL...



Foto-foto klip video 'The Day That Never Comes'.

Dua malam berturut-turut secara tidak sengaja dan tanpa dirancang tertekan alat kawalan jauh televisyen lalu sempat menonton rangkaian Astro Hitz 705. Rangkaian Astro Hitz ini merupakan rangkaian yang memaparkan klip-klip video lagu-lagu berbahasa Inggeris. Sekitar pukul 9 - 10 malam ada slot rancangan yang dinamakan "Riffs" yang hanya memaparkan klip-klip video muzik berentak pantas dalam pelbagai kategori atau genre 'rock'.
Berkesempatan menonton dan menghayati lagu dan tayangan klip video Metallica berjudul 'The Day That Never Comes'. Klip video lagu ini memaparkan kisah beberapa askar di sebuah gurun 'bertembung' dengan dua watak (seorang berpurdah) yang mengalami kerosakan kereta. Para askar cuba untuk 'menembak' tetapi akhirnya membantu menolak kereta yang rosak itu.
Hakikatnya bukannya kisah askar itu tetapi mesej lagu ini serta hakikatnya rentak muzik yang dibawakan oleh anggota Metallica tetap mantap dan unggul dalam kelas serta mutunya tersendiri walaupun sudah berusia dan lama jejaknya. Jika didengar muzik dan suara Metallica tanpa melihat visual klip video pasti penggemar muzik yang amat arif tentang genre muzik Metallica tidak akan salah menekanya pabila kali pertama mendengarnya...
Dalam slot "Riffs" ini juga dipaparkan beberapa klip video daripada kumpulan yang berentak pantas dalam pelbagai kategori genre rock. Sekadar untuk bersantai dan menikmati muzik genre sebegini dalam merehatkan minda serta menonton klip video tiada salahnya tidak kiralah sesebuah kumpulan itu semangnya kumpulan unggul bertaraf legenda mahupun yang baharu berjinak dalam genre pantas rock sebegini.
Janganlah terlalu 'layan dan taksub' dengan genre muzik yang dibawakan oleh kumpulan seperti Jumpa Pak Cik Hussin, Bunkface, Hujan dan seangkatannya yang kononnya dengan bendera 'alternatif' tapi lebih 'indah khabar glamor daripada muziknya...'

PROGRAM DI PLAZA ANGSANA - SUKAR DILEPASKAN!

Konduktor koir SK Kempas merupakan anak kenalan rapat diri ini...

Foto dirakam dari aras 3 Plaza Angsana.

Ada pertandingan 'Santai Sahibba' di ruang pameran DBPWS.

Para peserta koir (foto dirakam dari aras 3 Plaza Angsana).

Tahun ini masuk tahun keenam pihak Perpustakaan Sultan Ismail Majlis Bandaraya Johor Bahru (PSI MBJB) mempelawa DBPWS bersama-sama dalam penganjuran program sempena sambutan bulan kemerdekaan dan patriotisme. PSI MBJB pastinya saban tahun menumpukan perhatian dalam pertandingan koir lagu-lagu patriotik khusus buat sekolah rendah daerah Johor Bahru manakala DBPWS mengisi slot untuk sayembara deklamasi dan penulisan puisi patriotik sejak tahun 2005. Program ini juga mendapat kerjasama pihak Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru dan Uda Angsana.
Pelawaan pihak PSI MBJB ini pastinya sukar ditolak kerana pihaknya dapat menggunakan kawasan pasar raya paling panas dan strategik di bandar raya Johor Bahru iaitu Plaza Angsana untuk melaksanakan program sebegini setiap tahun. Kesempatan yang diberikan oleh pihak PSI MBJB cukup bermakna buat DBPWS kerana umum mengetahui bahawa bagi sesuatu program yang berlangsung di Plaza Angasana khususnya hujung minggu (Jumaat - Ahad) haruslah ditempah 6 bulan awal serta melibatkan kosnya yang besar berbanding acara yang dibuat pada hari biasa (Isnin - Khamis).
Bermula hari ini sehingga hari Ahad (30 Julai - 1 Ogos 2010) Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik Sekolah-sekolah Rendah Daerah Johor Bahru manakala Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Pelajar Sekolah-sekolah Menengah Daerah Johor Bahru akan berlangsung pada Ahad ini sahaja (1 Ogos 2010). Pertandingan koir melibatkan dua hari peringkat saringan iaitu hari ini dan Sabtu (30 - 31 Julai 2010). Sebanyak 20 buah sekolah rendah sekitar Johor Bahru yang terlibat manakala peringkat akhir pada 1 Ogos 2010 (Ahad) yang melibatkan 10 buah sekolah yang terpilih melalui peringkat saringan.
Sayembara deklamasi puisi kemerdekaan pula akan berlangsung pada hari Ahad (1 Ogos 2010) pukul 11 pagi yang melibatkan sebanyak 25 peserta dalam kalangan pelajar sekolah-sekolah menengah Johor Bahru. Pada kali ini tiada peringkat saringan dijalankan kerana kesuntukan dana kewangan (namun nilai hadiah wang tunainya kekal seperti beberapa tahun yang lalu)... makanya pelajar yang berdaftar akan terus ke peringkat akhir...!
Sesiapa yang lapang masa bolehlah dan sudilah berkunjung ke Plaza Angsana pada Sabtu dan Ahad untuk bersama-sama memeriahkan acara pertandingan koir lagu-lagu patriotik dan sayembara deklamasi puisi ini.

PROGRAM BICARA PUISI REMAJA

Amiruddin Ali dan buku 'Anak Warisan'.

Sebahagian guru yang menyertai program.

Hj. Shapiai Mohd Ramly penuh ilmu dan pengalaman luas.

Program Bicara Puisi Remaja yang diadakan pada 24 Julai 2010 di SMK Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor diusahakan bersama-sama Persatuan Penulis Johor (PPJ), Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Gudang dan DBP Wilayah Selatan. Program yang dihadiri para guru sekolah menengah daerah Pasir Gudang merupakan program ilmu yang bersifat penyampaian maklumat serta kaedah buat para guru menulis, menghayati dan mengajar puisi. Peranan Hj. Yahaya Suip, Pengetua SMK Bandar Seri Alam selaku AJK PPJ dalam menjayakan program ini cukup membuahkan hasil yang bermakna.
Dua penceramah utama yang unggul dan wibawa menyampaikan ilmu dan panduan buat para peserta, dua penulis prolifik atau digelarkan sebagai tokoh penulis Johor dan PPJ ini merupakan insan yang besar dan luas pengalaman dalam dunia penulisan kreatif iaitu Hj. Shapiai Mohd Ramly dan Amiruddin Md Ali Hanafiah (Ketua 1 PPJ).
Para guru yang mengikuti program separuh hari ini memperoleh banyak ilmu dan panduan dalam hal menulis dan mengajar kepada para anak murid. Hj. Shapiai Mohd Ramly sempat juga memberikan tunjuk ajar dan kaedah berguna buat para guru dalam menghasilkan sesebuah puisi. Amiruddin Ali juga sempat menyampaikan beberapa petua dan amanat buat guru dalam menimbulkan minat para pelajar remaja agar mendekati dunia sastera. Beliau turut membawa kumpulan puisi remajanya berjudul 'Anak Warisan' yang dapat dijadikan panduan buat para guru yang menyertai program ini.
Sesungguhnya program yang ditampilkan ini dapat menambahkan minat guru dalam dunia penulisan kreatif serta dapat menimba ilmu tentang teknik membimbing para pelajar agar meminati dunia penulisaan dan pemikiran kreatif.

Rabu, Julai 28, 2010

LSM YANG SERING PELIK...

Perlis tuan rumah di stadium milik Terengganu...

Perlis selaku 'tuan rumah' tewas 2-4 kepada Terengganu.
Liga Super Malaysia (LSM) serta liga bola sepak seangkatannya di Malaysia sentiasa dihidangkan dan dikhabarkan hal-hal pelik, janggal dan melucukan. Setuju dengan kata-kata yang diucapkan oleh Zainal Abidin Rawop, pengulas perlawanan LSM melibatkan Perlis menentang Terengganu semalam. Zainal berkata bahawa dalam LSM pelbagai hal 'pelik dan luar jangka' akan terjadi; sebagai contohnya belum tentu pasukan tercorot dalam LSM akan tersingkir ke Liga Premier sedangkan peraturan yang telah dietapkan awal musim boleh diubah sesuka hati oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). FAM juga banyak mengubah peraturan yang kebanyakannya mengelirukan pasukan apatah lagi kepada peminat bola sepak Malaysia. Sekejap boleh pemain import sekejap dilarang sekejap begitu dan sekejap begini, format itulah format inilah mengalahkan FIFA dan UEFA...! Jadinya, FAM tidak boleh salahkan rakyat Malaysia jika rakyat lebih 'gila dan taksub' terhadap liga-liga di Eropah.
Semalam perlawanan LSM melibatkan Perlis - Terengganu disiarkan secara langsung melalui Astro Arena 801. Perlawanan ini berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruudin Shah, Kuala Terengganu tetapi Perlis selaku tuan rumah...? Memang ada dikhabarkan sebelum ini mengikut jadual perlawanan asal perlawanan ini seharusnya di Kangar, Perlis tetapi disebabkan stadium di Kangar tidak boleh digunakan maka stadium di Kuala Terengganu dipilih. Ada protes dari pasukan Perlis, mengapakah perlawanan ini tidak dilangsungkan di sebuah stadium berkecuali? Satu hal tentang stadium di Kuala Terengganu itu akan digunakan hari ini pula untuk perlawanan penting melibatkan pasukan T-Team menentang Selangor. Mutu padang di stadium ini dapat dilihat dengan jelas tidak begitu baik dan bermutu. Stadium 'gah' di Gong Badak, Kuala Terengganu pula masih belum dibaik pulih setelah bumbungnya runtuh setahun yang lalu, maka pasukan Terengganu dan T-Team terpaksa berkongsi stadium di pusat bandar Kuala Terengganu...!
Perlawanan semalam tidaklah menarik, perlawanan tahap umum dan biasa sahaja tetapi semalam ingatan terimbau ketika zaman persekolahan khususnya sekolah menengah. Apa-apapun kesempatan menonton perlawanan Perlis - Terengganu semalam dapat mengubat rasa rindu terhadap Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang kerap dikunjung ketika masih sebagai pelajar sekolah menengah. Stadium yang terletak di pusat bandar Kuala Terengganu ini cukup meninggalkan sejarah dalam diri - ya... salah satunya terbayang pada tahun 1988 (jika tidak silap tahunnya - ketika hujan amat lebat) Terengganu berjaya menewaskan Singapura pada peringkat suku akhir Piala Malaysia, cukup meriah dan meninggalkan kesan...! Banyak lagi kenangan menyaksikan perlawanan pasukan Terengganu di stadium yang boleh memuatkan secara padat sekitar 15,000 - 20,000 penonton dalam sesuatu masa ini antaranya juga slot pergaduhan melibatkan pasukan Terengganu - Kelantan.

Jumaat, Julai 23, 2010

BOLING YANG SANTAI SERTA MELETIHKAN JUGA...

Piala kategori johan individu lelaki.

Hadiah makanan dan minuman ringan untuk juara berkumpulan.

Lantai pertandingan boling di Danga City Mall.

Inilah akibat dan kesannya pabila tiada senaman yang khusus, bahagian tangan kanan dan 2-3 jari tangan kanan kini mengalami 'tekanan regangan otot' yang kuat. Selepas permainan boling itu tangan dan jari tangan kanan tidak terasa apa-apa tetapi selepas 12 jam baru terasa ada 'tekanan regangan otot'.
'Tekanan' yang dialami akibat ghairah bermain boling semalam di Danga City Mall, Johor Bahru. Pertandingan boling ini merupakan kategori suka-suka atau main-main sahaja tetapi ada hadiahnya diusahakan oleh Badan Keluarga dan Kebajikan DBPWS atau dikenali BAKWIS. Hampir kesemua kakitangan hadir dan menyertai pertandingan ini, cuma 2-3 kakitangan sahaja tidak dapat turut serta kerana ada halangan yang lain. Inilah pertandingan julung kali buat kakitangan DBPWS sejak ditubuhkan 10 tahun yang lalu. Usaha gigih sebahagian besar kakitangan DBPWS agar pertandingan dan penyertaan mendapat sambutan besar telah berjaya dizahirkan. Kakitangan yang masih masih cuti panjang (cuti belajar) iaitu Syaidul Azam bersama ahli keluarganya turut hadir bermain dan memberikan komitmen yang cukup jitu.
Hairannya, pasukan diri ini diwartakan selaku pemenang dengan jumlah jatuhan pin paling tinggi! Satu pasukan melibatkan 3 orang, sebanyak 6 pasukan kesemuanya terlibat bertanding. Hairannya juga diri ini kerana diplih selaku pemain terbaik kategori lelaki...?; yang sebenarnya mengikut kedudukan diri ini sekadar di tempat keempat terbaik secara individu yang banyak menjatuhkan pin daripada 18 pemain kesemuanya...!
Tidak mengapalah meraih juara berkumpulan dan dipilih pemain terbaik lelaki, itu bukanlah matlamat tetapi yang utama secara suka-suka dan main-main dalam pertandingan boling ini dapat menjadikan terapi yang baik dalam membentuk komuniti yang dapat beramah mesra dalam kalangan kakitangan serta setidak-tidaknya mewujudkan suasana ceria yang dapat melupakan seketika pelbagai hal kerja hakiki di pejabat.
Tahniah dan penghargaan buat semua ahli BAKWIS yang mengusahakan pertandingan boling buat julung kalinya dengan hadiah dan cenderamata yang agak besar juga dalam situasi kini. Semoga ada lagi pertandingan sebegini buat masa hadapan demi bertujuan mewujudkan suasana harmoni dan ramah mesra yang baik. Khabarnya ingin diusahakan pula pertandingan badminton..., nampak gayanya jadi penonton dan pengadil sahajalah kerana pegang reket badminton masih tidak berapa pandai apatah lagi ingin lakukan 'smash'...!

IKLAN 'PAUL' DAN EDISI PD DALAM MIMPI...

Pengaruh sotong kurita bernama 'Paul' yang menghiasi suasana PD 2010 yang baru berlalu 2 minggu lepas masih belum dapat dipadamkan. Sejak 2-3 hari lalu terpandang dan terbaca satu iklan dalam sebuah akhbar harian popular yang memaparkan satu iklan minuman ringan untuk menambahkan tenaga dan menghilangkan rasa haus bersaiz separuh halaman akhbar ini.
Paparan foto dapat dilihat jelas bahawa 'Paul' melekat dan memilih minuman jenama R berbanding jenama minuman isotonik yang lain. Ya... ada juga 1-2 iklan lain yang memaparkan 'peranan gimik' sotong kurita dalam membuat pilihan antara dua jenama tertentu.
Hakikatnya 'watak Paul' dihebahkan sepanjang PD 2010 yang lalu untuk memeriahkan suasana luar gelanggang sahaja tetapi terdapat pihak yang kreatif mengeksploitasi peranan 'Paul' ini dalam banyak keadaan.
Tertanya sendirian juga tentang angan-angan Malaysia hendak menawarkan diri menjadi tuan rumah bersama-sama Indonesia dalam PD 2026...? Jika setakat punyai pengadil yang selayaknya jadi pengadil simpanan dalam PD, jika Malaysia masih berada pada kedudukan sekitar 30 terbawah dalam senarai FIFA, jika Malaysia masih bergelut pada kedudukan 4-5 di rantau Asia Tenggara... maka beranganlah lagi untuk jadi tuan rumah pada edisi PD 2030 atau PD 2034 atau PD 2038 atau PD dalam mimpi sahaja...

Selasa, Julai 20, 2010

SAYEMBARA PUISI MERDEKA HANYA PERINGKAT NEGERI...

Para peserta sayembara bergambar kenangan bersama-sama tetamu khas.

Jalan utama di tepi Bastion Middleburg - kereta sesekali sesak (foto dirakam sekitar pukul 11 malam).

Bastion Middleburg @ Kubu Belanda.

Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka.

Sketsa santai dan melucukan oleh kakitangan JKKNNM.

Pihak induk utama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tidak mengadakan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat kebangsaan tahun ini atas sebab-sebab tertentu seperti dikhabarkan dalam akhbar Berita Harian (ruangan Sastera) minggu lepas. Sayembara peringkat kebangsaan sebenarnya telah diadakan secara berterusan sejak 23 tahun yang lalu tetapi tahun ini dihentikan?
Hakikatnya pihak induk JKKN tidak menghalang jika pihak negeri ingin atau tidak mahu melaksanakannya; maka pihak negeri Melaka iaitu Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM) telah mengambil langkah positif tetap menganjurkannya bagi masyarakat negeri Melaka.
Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Negeri Melaka 2010 telah dirancang oleh JKKNNM pada awal bulan Jun yang lalu lagi. Pihak JKKNNM turut mengundang pihak DBP Wilayah Selatan dan Jabatan Penerangan Negeri Melaka untuk bersama-sama selaku rakan kerjasama dalam sayembara ini. Sayembara peringkat negeri Melaka ini dalam bentuk santai dan terbuka diadakan di Pekarangan Bastion Middleburg, Bandar Hilir, Melaka (juga berhampiran Bangunan Merah Belanda - Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka - Muzium Samudera) pada 17 Julai 2010 pukul 9 malam. Indahnya kawasan ini juga kerana terletak di tebing Sungai Melaka, boleh lihat bot 'river cruise' lalu lalang bawa pelancong.
Sayembara ini melibatkan 4 kategori iaitu Sajak Terbuka, Sajak SMJK (Cina), Syair dan Pantun. Program yang diadakan kali ini di tempat terbuka iaitu di kawasan kubu Belanda (Bastion Middleburg); menariknya diadakan malam hari minggu yang menyaksikan masih ramai pelancong dan pengunjung lalu lalang sekitar kawasan tersebut dan sekitar Bangunan Merah Belanda. Bagi kategori sajak tetap menggunakan buku antologi 'Jamung Merdeka' yang menjadi teks tetap sayembara ini sejak beberapa tahun belakangan ini. Walaupun hanya diadakan peringkat negeri langkah JKKNNM tetap mengadakan sayembara ini merupakan khidmat berterusan dalam mengangkat martabat bahasa dan sastera Melayu serta jati diri dalam mengungkapkan semangat cintakan negara dan menyanjungi kemerdekaan negara.
Sayembara ini turut diselitkan sketsa yang ditampilkan oleh kakitangan JKKNNM yang mencuit hati dan menghiburkan selain ada tarian selingan pihak JKKNNM. Para pengunjung kawasan sekitar ada yang duduk menyaksikan sayembara ini secara tetap dan ada menyaksikan sayembara ini dari jauh (dari tepi jalan utama yang sesekali sesak walaupun sudah pukul 11 malam...).
Sayembara peringkat negeri tahun ini terhenti setakat itu sahaja tanpa ada wakil negeri untuk ke peringkat kebangsaan, ya... sesuatu yang agak mengecewakan bagi pemenang negeri kali ini namun kesungguhan pihak negeri khususnya JKKNNM tetap mengadakan sayembara peringkat negeri Melaka harus dibanggakan...!

MERIAHNYA PUSAT SENI SETEMPAT MELAKA

Perlawanan akhir congkak - Sepanyol lawan Belanda?

Bulatan Bangunan Merah dikuasai Kancil Putih...

Joget Lambak dan Barangan Kraf Tangan.

Pentas Kecil PSS Penuh Manfaat...!

Bot 'River Cruise' melalui kawasan Jambatan Tan Kim Seng - Jonker Street.

Hari Sabtu yang lalu (17 Julai 2010) berada di Melaka untuk program Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Negeri Melaka 2010. Acara sayembara ini merupakan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKNNM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Melaka dan DBP Wilayah Selatan. Seawal pukul 2 petang sudah berada di Melaka khususnya di Bandar Hilir atau lebih tepatnya di sekitar bulatan Jalan Laksamana - Jalan Kota - Jalan Merdeka - Jalan Hang Jebat (Jonker Street) - Jambatan Tan Kim Seng. Kawasan bulatan jalan di sini (sekitar ukuran lilit 300 meter) terdapatnya beberapa tempat tumpuan utama pelancong yang dikenali juga 'bangunan merah Belanda' antaranya termasuklah Stadhuys - Muzium Belia Malaysia - Galeri Seni Melaka - Bastion Middleburg (kubu Belanda) - Jambatan Tan Kim Seng menuju Jonker Street - Pusat Penerangan Pelancongan. Berada di kawasan ini juga boleh melihat bot 'River Cruise' menyusuri Sungai Melaka.
Berada awal di situ kerana ingin berjumpa beberapa orang kakitangan JKKNNM serta ingin lihat persiapan tempat acara sayembara yang bakal berlangsung pada malam harinya di Pekarangan Bastion Middleburg - Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka. Sempat juga melihat aktiviti di kawasan sekitar iaitu program Pusat Seni Setempat (PSS) yang diusahakan oleh JKKNNM. Menurut kakitangan JKKNNM, program PSS diadakan pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan. Pihak JKKNNM disediakan ruang berhampiran jalan utama sekitar bulatan itu oleh pihak Majlis Bandar Raya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk menggerakkan PSS. Pihak JKKNNM akan mengundang kumpulan kesenian yang bernaung sebagai pertubuhan bukan kerajaan untuk membuat persembahan tarian dan permainan tradisional serta diadakan gerai jualan untuk mempamerkan dan menjual barangan kraf tangan. Terdapat juga pelancong asing berjoget dan mencuba permainan tradisional seperti congkak dan gasing pangkah.
Sempat melihat dan menikmati suasana di situ sekitar satu jam dengan menyaksikan tarian joget Melaka, nyanyian lagu rakyat, permainan tradisional dan jualan kraf tangan. Pelancong di kawasan itu usah dipertikaikan lagi sentiasa penuh dengan ada antara mereka bersama-sama menikmati program PSS dan ada yang lalu lalang di situ memerhati dari jauh. PSS ini bermula sekitar 12 tengah hari sehingga pukul 6 petang. Terfikir juga kenapa negeri lain tidak dapat sehebat Melaka dalam menarik pelancong untuk berkunjung dalam keadaan yang teratur? Cuma sejak meningkat dan melonjak majunya pelancongan Melaka khususnya sekitar Bandar Hilir kesesakan jalan raya sudah mula terasa bermula memasuki tol Ayer Keroh khususnya pada hari Jumaat - Ahad dan ketika cuti persekolahan. Kesesakan ini harus dapat diatasi segera oleh pihak berwajib sebelum para pelancong dan pengunjung mulai 'rasa muak dan letih' untuk ke Melaka...!
Selepas berada di situ maka berkesempatan pula berjalan-jalan sekitar Jonker Street yang penuh juga dengan pelancong yang majoritinya (rasa-rasanya) rakyat asing dari China, Jepun, Singapura dan negara-negara Eropah. Meriah sungguh kawasan bulatan bangunan merah dan Jonker Street ini khususnya pada hari Sabtu, kawasan di situ cukup dijaga keaslian dan kebersihannya. Cuma sejak 3-4 tahun belakangan ini nama Jonker Street lebih dipopularkan berbanding nama asalnya Jalan Hang Jebat!
Sememangnya negeri Melaka khususnya sekitar Bandar Hilir amat menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negeri. Secara peribadi dapat dilihat dan dirasai bahawa dalam tempoh 10 tahun belakangan ini Kerajaan Negeri Melaka cukup komited dan amat bersungguh-sungguh memajukan bidang pelancongan khususnya dapat dilihat di sekitar Bandar Hilir, ini belum lagi diperkatakan tentang tempat tarikan pelancongan lain di sekitar Ayer Keroh, Klebang, Peringgit, dan kawasan lain di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin lagi serta kawasan pantai asal dan pantai yang telah ditambak. Melaka atas nama sejarahnya berjaya mengeksploitasi tempat bersejarahnya untuk memikat kunjungan bertali arus pelancong dalam dan luar negara. Kunjungan ke Melaka sejak 4-5 tahun belangan ini dalam hal tugas hakiki dan tidak rasmi merupakan antara catatan kenangan yang bermutu dan sentiasa diingati.

KEMBALI BERTARUNG...

Hal ini telah diucapkan olehnya sejak awal pemeriksaan dahulu sekitar bulan Disember 2008 - Februari 2009. Benarlah katanya bahawa hal ini akan menjelma juga akhirnya, lalu sememangnya diri ini sudah bersiap sedia - siap sedia mental dan fizikal. Pengalaman 30 minit melalui proses 'perbengkelan hal ini' pada pertengahan Januari 2009 membuatkan diri ini cukup bersedia menghadapinya; ya... rasanya ingin dipercepatkan sahaja tetapi senarai menunggunya panjang.
Hal ini mula terasa kembali sejak sebulan yang lalu, semalam berkunjung ke tempat itu yang lokasinya di tepi Selat Tebrau. Khabarnya hal ini sudah mulai 'masak' serta harus dipercepatkan prosesnya. Seperti biasa serta mengikut pengalaman dahulu proses pemeriksaan hal ini akan berlangsung selama 4 jam kerana ramai yang bertumpu ke situ untuk mendapatkan pelbagai pemeriksaan dan rawatan berkenaan hal ini dalam pelbagai kategori. Selesai jalani proses itu (campur tolak menunggu dan buat pemeriksaan) dalam tempoh 4 jam maka pihak di situ minta datang kembali sebulan lagi untuk buat pemeriksaan serta menentukan bilakah boleh dijalankan 'hal perbengkelan dan pembaikan' itu. Kemungkinan dalam September atau Oktober nanti jika ada kekosongan.
Hal ini pasti dilalui lagi... ada rahmat besar-Nya untuk pengalaman dan ilmu dalaman diri.

KEMBALI BERKHIDMAT...

Bermula hari Rabu yang lalu (14 Julai 2010) maka kembalilah berkhidmat semula selama 14 minggu (bersamaan 28 jam pertemuan) selaku jurulatih sambilan (nama jawatan yang diberikan). Sesi kelas pertama kali ini agak tenang sedikit kerana telah memperoleh pengalaman pertama penuh bermakna ketika berkhidmat pada sesi yang lepas (sekitar November 2009 - Mac 2010).
Kali ini mungkin ada penambahbaikan atas kelemahan diri sendiri sebelum ini bagi sedikit khidmat semampu seadanya buat para pelajar agar sekurang-kurangnya meminati dan mendekati hal-hal kesusasteraan dan kebahasaan di kampus yang majoriti pelajarnya menimba ilmu banyak atau sekitar 80% dalam bahasa Inggeris. Setakat minggu lalu ada pelajar luar negeri yang berminat mengikuti sesi kali ini; luar negeri itu bukannya jauh iaitu pelajar asal dari Indonesia (serumpun).
Selain menyampaikan serba sedikit ilmu dan pengetahuan yang ada, penerapan tentang penggunaan yang tepat dan keistimewaan bahasa Melayu akan terus diterapkan secara selari dan diselitkan agar para pelajar jurusan sains, teknologi, kejuruteraan, dan komputer sebahagian besarnya ini tidak sesekali meminggirkan jati diri bahasa Melayu. Sastera tetap unggul dan utama merupakan alat dan kaedah untuk semarakkan kecintaan terhadap bahasa Melayu. Walau peluang ini kecil sahaja khidmatnya tetapi diharap dapat melebarkan kecintaan dan kesedaran buat para pelajar tentang hal sastera dan bahasa Melayu dengan sedaya mampu.
Ilmu kecil yang dimiliki sepicing cuma ini berlandaskan pengalaman kerdil diri ini, dan tunjuk ajar bimbingan besar serta unggul melalui Sifuku Azhar Salleh akan terus disebarkan semampu dan seadanya. Insya-Allah.

ASTRO TV TUTOR - TAMBAHAN MANFAAT PELAJAR

Sekadar Foto Hiasan: Malam Penutup PD 2010 (luar Stadium Soccer City, Johannesburg).
Tambahan enam rangkaian khas PD 2010 dalam rangkaian Astro bermula awal Jun lalu akan tamat pada hari ini. Semenjak 3-4 hari lalu dapat dilihat wujudnya siaran Astro TV Tutor (rangkaian 100). Rangkaian ini sebenarnya satu khidmat yang baik dan bermanfaat buat pelajar sekolah rendah khususnya yang bakal mengambil peperiksaan UPSR. Umum mengetahui bahawa siaran Astro yang khusus buat kanak-kanak banyak tertumpu melalui rangkaian 611 - 616 yang menghidangkan rancangan kartun 24 jam.
Astro TV Tutor ini memberikan peluang buat para pelajar untuk memperoleh ilmu tambahan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Setakat ini bahan yang terkandung dalam setiap mata pelajaran banyak juga yang berfaedah buat para pelajar, selain itu paparan yang menarik melalui susunan grafik dan pemilihan warnanya juga memikat untuk diikuti. Ada juga sisipan kuiz mengikut mata pelajaran selain kaedah menjawab soalan serta ditambah dan dipaparkan teknik yang boleh dimanfaatkan dalam menjawab soalan.
Langkah pihak Astro ini sebenarnya suatu langkah bijak buat pengguna (pembayar) rangkaian Astro memanfaatkannya khusus buat ibu bapa yang mempunyai anak yang masih belajar di sekolah rendah. Ayuh... semua ayah dan ibu manfaatkan rangkaian ini untuk menambahkan ilmu buat anak-anak sekolah rendah tidak kiralah anak kini darjah 6 atau masih jauh lagi untuk peperiksaan UPSR.

Khamis, Julai 15, 2010

TEATER TLT DI UiTM JOHOR, SEGAMAT: 800-900 PENONTON...

Sebahagian penonton dalam kalangan pelajar UiTM Johor.

Aksi Wan Abu Bakar (kiri) bersama-sama pelakon pengiring.

Wan Abu Bakar (lakonan Zamri Pangat) bertengkar dengan Hana (lakonan Nurulein).
Catatan: Foto di atas rakaman kamera sendiri.
Demam dan 'sakit' PD 2010 mulai reda kini. Demam ini sebelum cukup dirasakan pabila kadang kalanya tertinggal untuk mencatat sesuatu yang baharu dalam blog ini sehingga ada beberapa acara dan coretan terpaksa 'ditinggalkan'.
Dalam keghairahan menjelang sehari sebelum perlawanan akhir PD 2010 lalu sempat juga ke Segamat atas tujuan rasmi dan hakiki. Pihak UiTM Johor khususnya Persatuan Bahasa Mandarin dan Grup Seni Gerbang Unik mempelawa pihak DBPWS bersama-sama dalam penganjuran pementasan teater mini berjudul 'Tanah Lindungan Tuhan' (TLT). Pementasan ini diadakan pada 10 Julai 2010 di Dewan Sri Temenggung, UiTM Johor, Segamat, Johor.
Usaha gigih dan penuh semangat pihak UiTM Johor melalui pegawai / pensyarah iaitu En. Ainol Hasanal dalam hal pementasan ini cukup membanggakan kerana berjaya memikat dan menghimpun seramai lebih kurang 800 - 900 pelajar dan penonton (bilangan agakan diri ini semata-mata) menyaksikan pementasan ini walaupun dikenakan tiket RM2. Tiket ini bukanlah untuk keuntungan tetapi hasrat murni untuk mengumpul sumber kewangan bagi persatuan pelajar untuk menggerakkan aktiviti pada masa hadapan. En. Ainol Hasanal merupakan tenaga pengajar utama dalam bidang Pengajian Bahasa Mandarin. Persiapan dan kemudahan tempat yang disediakan oleh En. Ainol Hasanal cukup memuaskan dalam keadaan teater berskala kecil atau mini ini yang dipentaskan selama 55 minit.
Pihak Grup Seni Gerbang Unik pula bersungguh-sungguh mengadakan latihan sejak sebulan sebelum pementasan. Dianggarkan seramai 20 orang tenaga pelakon dan produksi yang terlibat dalam kumpulan ini bagi menjayakan pementasan ini. Skrip TLT ini merupakan karya Pn. Rahimah Muda, sementara itu Sdra Zamri Pangat selaku Pengarah TLT. Cerita dan perkembangan cerita dalam TLT secara mudah dan boleh difahami majoriti penonton kerana mesejnya jelas tentang kecintaan dan kebanggaan terhadap bahasa, persuratan dan budaya Melayu harus terus dikekalkan walau dalam pelbagai keadaan. Selepas pementasan ada disediakan sesi diskusi bersama-sama tenaga produksi.
Sekalung besar penghargaan tahniah dan terima kasih buat En. Ainol Hasanal yang tinggi komitmennya dalam menjayakan pementasan ini, buat Grup Seni Gerbang Unik yang menampilkan pementasan yang dapat diterima majoriti penonton, dan pihak urus setia khususnya dalam kalangan pentadbir UiTM Johor serta para pelajar Persatuan Bahasa Mandarin. Maklumat lanjut tentang pementasan TLT ini juga boleh dibaca dalam blog En. Ainol Hasanal (ainolhasanal.blogspot.com).

Isnin, Julai 12, 2010

SANTAI PD 2010: SEPANYOL TETAP BERSAING REBUT TEMPAT PD 2014...

Juara yang sebenar dan muktamad - Sepanyol.

Robben - dua percubaannya jika gol pasti menobatkan Belanda selaku juara...?

Saat pergerakan Iniesta menjaringkan gol...

Statistik umum perlawanan.
(Catatan: Foto dirakam secara langsung melalui siaran Astro 805 di rumah.)

Pertamanya, tahniah buat Belanda kerana berjaya melangkah ke perlawanan akhir. Tewas kepada Sepanyol bukanlah sesuatu yang perlu ditangiskan tetapi kegembiraan menewaskan pasukan penuh ego dan cakap besar Brazil pada peringkat suku akhir lalu itulah yang amat membanggakan. Kesungguhan dan kehebatan Belanda menyekat Sepanyol menjaringkan gol sehingga minit ke-116 (masa tambahan) sesuatu yang luar biasa juga.
Iniesta berjaya menjaringkan gol buat Sepanyol empat minit sebelum tamat permainan masa tambahan. Iniesta berjaya memanfaatkan peluang yang beliau sendiri hampir terperangkap 'offside'. Torres yang baharu masuk menggantikan David Villa 15 minit sebelum masa tambahan tamat juga penyumbang kepada gol Iniesta. Torres baharu bermain sekitar 3-4 minit terus tercedera ketika mengejar bola. Dalam banyak serangan Sepanyol, pasukan Belanda seharusnya juga memperoleh dua gol melalui Robben namun ketangkasan Casillas menyekat kehebatan Robben.
15 kad kuning dan 1 kad merah sepanjang 120 minit permainan. 1 kad merah dilayangkan kepada Heitinga, pemain Belanda ketika separuh masa kedua masa tambahan. Howard Webb, pengadil dari England cukup tegas tetapi kenapa ketika pemain Belanda De Jong melakukan 'karate kid' yang keras terhadap Alonso langsung tidak diberikan kad merah? Webb sememangnya dikenali dalam saingan EPL, beliau sering mengadili perlawanan utama melibatkan kelab-kelab utama dalam EPL.
Menarik juga pabila selesai perlawanan pemain-pemain Sepanyol menukar jersi biru gelap kepada jersi utama warna merah yang tertera SATU BINTANG di atas logo pasukan, jumlah bintang yang dipamerkan pasukan dalam PD ini menandakan bilangan sesebuah negara memenangi PD iaitu Brazil (5 bintang), Itali (4 bintang), Jerman (3 bintang), Argentina (2 bintang), England (1 bintang), dan Uruguay (4 bintang - sebenarnya hanya 2 bintang kerana khabarnya ditambah 2 bintang lagi kerana memenangi 2 kejuaraan Olimpik...?).
Hakikatnya, Sepanyol layak bergelar juara tanpa menunggu sepakan penalti. Sepanyol sememangnya cemerlang dalam pelbagai sisi namun kerap kali juga (selain dua cubaan Robben yang hampir gol) Belanda mengancam gol Sepanyol kerana sedikit kecuaian pertahanan Sepanyol iaitu Puyol dan Pique. Kelihatan Belanda banyak mengharapkan Robben untuk mengancam Sepanyol, hanya sesekali sumbangan Sneijder dapat dilihat kali ini manakala Kuyt agak tenggelam.
PD 2014 Brazil empat tahun lagi; Brazil telah layak secara automatik selaku tuan rumah, Sepanyol tidak layak secara automatik ke Brazil kerana peraturan FIFA sejak 2006 bahawa pasukan juara juga harus melalui peringkat saringan nanti. Selepas ini Sepanyol harus tumpukan untuk pertahankan Piala EURO yang diraihnya pada 2008, EURO 2012 bakal berlangsung dua tahun lagi. Sepanyol diharap tidak mengulangi nasib malang menimpa Perancis dan Itali; Perancis ketika juara PD 1998 lalu bertandang ke PD 2002 dalam keadaan memalukan pabila gagal layak ke pusingan kedua, juga Itali juara PD 2006 yang gagal layak ke pusingan kedua PD kali ini.
PD 2010 kali ini tidak menobatkan pemain terbaik kejohanan yanmg melibatkan dua pasukan yang berjaya ke akhir, Diego Forlan pemain Uruguay dipilih selaku pemain terbaik kejohanan. Jerman berjaya tewaskan Uruguay dalam penentuan tempat ketiga dan keempat dua hari lepas dengan pemain muda Jerman Mueller berjaya mengumpul 5 gol sepanjang kejohanan bersama-sama David Villa dan Sneijder.
Pelbagai lagi catatan dan rekod tercipta dalam PD 2010 ini akan dikupas jika ada kesempatan masa, namun satu hal bertambah menarik tentang ramalan 'Paul' Si Sotong Kurita tepat lagi kali ini serta mengekalkan rekod 100% ketepatannya... tapi ramalan ini amat dilarang sama sekali untuk dipercayai kerana hanya kebetulan semata-mata! Yang pastinya juga pengadil Malaysia yang bernama Subkhiddin itu tetap berada hanya di tepi padang selaku pengadil simpanan @ pengadil keempat sahaja dalam peringkat perlawanan kumpulan...!

Khamis, Julai 08, 2010

SANTAI PD 2010: JERMAN HEBAT - SOTONG KURITA - 'GRACIAS EL-MATADOR' - 'KU BAHAGIA'

Sepanyol bukanlah pasukan yang mantap ketika PD 1982...


'Ku Bahagia'
Sekitar pukul 6.40 pagi melalui siaran Radio Sinar FM, juruhebahnya Khairil Rashid berkata-kata dalam usikan ceria... "terimalah lagu 'Ku Bahagia' Melly Goeslow buat penyokong Sepanyol...", lalu lagu itu berkumandang. Sebelum itu, juruhebah Saleh Yaakob membaca tajuk-tajuk berita yang bakal disampaikan sepenuhnya jam 7 pagi dalam loghat Sepanyol (menjadi macam loghat Thailand pula...). Ya... Sepanyol menang 1-0 hasil jaringan tandukan cantik Carlos Puyol. Ketika menyaksikan perlawanan Sepanyol - Jerman ini, tangan ini cukup aktif menekan alat kawalan jauh televisyen (remote control) - sesekali tekan rangkaian 101 (TV1), 801 (Astro Arena) dan Astro 805.
Lucunya dalam rangkaian Astro Arena 801 ketika ulasan dan paparan selepas tamat perlawanan oleh Akhbar Sahari bersama bekas pemain Perak, Ahmad Shahrul Azhar; disebut bahawa pasukan Sepanyol dan Belanda kali pertama berjaya ke perlawanan akhir... Sepanyol memang kali pertama masuk perlawanan akhir tetapi Belanda sudah dua kali menjejak perlawanan akhir sebelum ini, dan satu lagi dipaparkan visual pilihan pemain terbaik perlawanan iaitu Carlos Puyol sebagai 'pemain penyerang'? Apalah tahap pengulas Malaysia ini...?


Jerman Tetap Hebat...!
Walaupun kalah kepada Sepanyol, Jerman tetap punyai rekod yang cukup membanggakan dalam kejohanan Piala Dunia (PD). Selaku pasukan yang telah menjuarai PD sebanyak 3 kali (1954 - 1974 - 1990), Jerman merupakan pasukan paling kerap memasuki peringkat separuh dalam sejarah PD. Edisi PD 2006 Jerman, pasukan Jerman juga gagal pada peringkat separuh akhir iaitu tewas kepada Itali 0-2 dalam masa tambahan. Jerman dibanggakan dalam PD 2010 kerana berjaya menjinakkan England (4-1) dan Argentina (4-0) pada peringkat pusingan kedua dan suku akhir. Pemain muda yang dimiliki kini akan bakal menyengat lagi dalam EURO 2012 dan PD 2014 nanti.


Sotong Kurita Diancam Bunuh?
Ramalan atau tilikan 'Paul' seekor sotong kurita bahawa Sepanyol layak ke perlawanan akhir dengan menewaskan Jerman menjadi kenyataan. 'Paul' kini lebih popular dalam PD 2010 berbanding nama-nama besar seperti Rooney, Ronaldo, Kaka, dan Messi sehinggakan 'Paul' diancam bunuh lalu ingin diratah dagingnya oleh penyokong Argentina kerana ramalannya bahawa Argentina akan tewas kepada Jerman pada peringkat suku akhir menjadi kenyataan.
Gracias El-Matador!
Selayaknya Sepanyol menang ke atas Jerman dengan jaringan 2-0 atau 3-0. Salah satu yang hampir pasti gol pada minit ke-81 pabila peluang yang ada di hadapan pintu gol Jerman hanya melibatkan pemain Sepanyol, Pedro dan Torres tetapi Pedro dengan 'tamak haloba' tidak langsung melorongkan bola kepada Torres lalu berjaya disekat pertahanan Jerman. Iniesta juga dalam perlawanan ini banyak mengawal bola secara individu serta agak lambat membuat hantaran kepada rakan yang yang lain. Xabi Alonso pula gagal dalam 2-3 tendangannya dari luar kotak penalti.
Sepanyol bermain penuh teliti dan secara teratur sehinggakan banyak masa pemain Jerman terpaksa mengikut rentak untuk mengawal pergerakan cantik dan menarik rangkaian pemain Sepanyol. Kecekapan Neuer, penjaga gol Jerman juga menafikan tambahan 1 atau 2 gol Sepanyol kecuali tandukan kencang Puyol hasil sepakan sudut yang gagal diselamatkan oleh Neuer. Hairan juga kenapa pemain pertahanan Jerman yang tegap dan tinggi lampai seperti terkejut lalu kurang mencabar tandukan Puyol ini? Puyol melonjak untuk menanduk bersama seorang lagi pemain pertahanan Sepanyol iaitu Pique.
Dalam perlawanan akhir nanti akan muncul juara baharu kali pertama Piala Dunia. Sepanyol kali pertama layak ke perlawanan akhir manakala Belanda sudah dua kali meraih naib juara (1974 - 1978). Khabarnya Belanda tidak mahu lagi bergelar 'pasukan sindrom hampir juara'. Sepanyol ingin mencipta beberapa sejarah antaranya menjadi negara yang menjuarai PD selepas meraih juara EURO pada tahun 2008. Jerman pernah lakukan sebegini ketika menjuarai EURO 1972 lalu memenangi PD tahun 1974. Pasukan Perancis agak terbalik pula pabila juara PD tahun 1998 lalu seterusnya juara EURO 2000.

Catatan: Yang pastinya pasukan jersi ADIDAS atau NIKE akan mencul juara nanti, jersi lain seperti PUMA atau JOMA atau LEGEA atau BROOKS tidak akan bergelar juara dalam PD 2010 ini. Yang pastinya jersi NIKE BRAZIL juga bukanlah juara kali ini...!

Rabu, Julai 07, 2010

SANTAI PD 2010: 'HANYA NYANYIAN DALAM SEPI'

Gullit - PD 1990 Itali.

Runtuhnya ego dan lagak Brazil kepada Belanda - PD 2010.

Seawal pagi pukul 6.30 pagi mendengar radio dalam kereta iaitu rangkaian Sinar FM lalu terdengar juruhebah (Khairil Rashid) menyebut "... dengarkan lagu 'Hanya Nyanyian Dalam Sepi' nyanyian Chris Vadham... buat penyokong Uruguay...". Tergelak dalam hati dengar usikan juruhebah itu.
Ya... Uruguay tewas 2-3 kepada Belanda, selayaknya Uruguay tewas dengan jaringan 2-4 atau 2-5 sebenarnya kerana pemain Belanda (Robben - Sneijder - Van Persie) gagal dalam beberapa percubaan yang hampir menjaringkan gol. Lagak dan impian besar Uruguay akhirnya tersekat lalu selayaknya menyanyi lagu 'Hanya Nyanyian Dalam Sepi' sahaja.
'Perbalahan' diri ini dengan seorang sahabat berkaitan ramalan bahawa Belanda akan layak ke perlawanan akhir berdasarkan tradisi beberapa siri PD sebelum ini menjadi kenyataan. Ramalan dan keyakinan bahawa pasukan yang berjaya tumbangkan ego dan lagak besar Brazil sama ada dalam peringkat pusingan kedua, suku akhir dan separuh akhir akan ke perlawanan akhir berdasarkan beberapa siri PD sebelum ini seperti di bawah:
PD 1974: Belanda 2-0 Brazil (pusingan kedua) - Belanda ke akhir (naib juara).
PD 1982: Itali 3-2 Brazil (pusingan kedua) - Itali ke akhir (juara).
PD 1990: Argentina 1-0 Brazil (suku akhir) - Argentina ke akhir (naib juara).
PD 2006: Perancis 1-0 Brazil (suku akhir) - Perancis ke akhir (naib juara).
PD 2010: Belanda 2-1 Brazil (suku akhir) - Belanda ke akhir.
Maka, Brazil juga selayaknya nyanyikan lagu 'Hanya Nyanyian Dalam Sepi'. Belanda sudah ke akhir, tidak mengapalah jika Belanda hanya meraih naib juara buat kali ketiga (selepas PD 1974 dan PD 1978) namun Belanda cukup membanggakan kerana merobek dan merentap ego dan lagak besar Brazil dalam edisi PD 2010 ini.

Isnin, Julai 05, 2010

BBP YANG PENUH MEMBANGGAKAN

Bangunan Bukit Timbalan dipenuhi sinaran cahaya lampu.


Para Pembesar Melayu Johor.

Lagak Isteri-isteri Pembesar Inggeris.

Sebahagian tenaga pelakon dan produksi BBP bersama-sama Din Manas, Pengarah BBP.
Semalam sempat menyaksikan pementasan teater 'Bumi Berlantai Permata (BBP)' di Bukit Timbalan, Johor Bahru (lebih tepatnya pentasnya di belakang bangunan Bukit Timbalan). Pementasan ini diadakan sempena "The 7th JB Arts Festival" yang diadakan bermula 29 Jun - 24 Julai 2010. Pelbagai acara seni dan budaya diadakan sepanjang JB Arts Festival ini termasuklah pementasan teater BBP ini.
BBP dipentaskan selama tiga malam bermula 2 - 4 Julai 2010. Kesempatan menyaksikan semalam (malam terakhir) kerana 'sibuk dengan agenda PD 2010' iaitu dua malam sebelumnya peringkat suku akhir PD 2010. BBP merupakan skrip Rahimah Muda dan diarahkan oleh Sahruddin Manas (Din Manas).
Teater berskala besar yang memakan masa pementasan selama dua jam bergerak melalui muzik layak diklasifikasikan sebagai teater muzikal. Muzik dan nyanyian yang disampaikan secara langsung (live) cukup memikat dan menghiburkan tetapi bukanlah nada muzik dan nyanyian yang membuatkan diri ini memberikan markah teater ini dengan skala 8.5/10. Hakikatnya mesej tentang sejarah Johor itulah yang utama selain muzik dan nyanyian yang dialunkan begitu dominan membantu jalan ceritanya.
BBP memaparkan pelbagai watak dan peristiwa dalam sejarah Johor sekitar tahun 1886 - 1907 antaranya Dato' Jaaffar, Wong Ah Fook, Abdullah Tahir, Ungku Abdul Rahman Andak, Mohd Salleh Perang, Cecil Clementi Smith, Frederick Weld, kongsi Ngee Heng dan pelbagai watak dan kisah yang berkaitan tentang pembangunan Johor dan kelicikan British ingin menawan dan mengambil Johor. Unsur kelucuan juga diselitkan antaranya watak dan babak Wak Marjan, Penglipur Lara dan isteri-isteri pembesar British dan pembesar Melayu 'bersaing' menunjukkan kehebatan masing-masing. Loghat dan sebutan bahasa Melayu oleh Wong Ah Fook yang 'bersahaja dan menjadi' ikut pelat Cina juga menimbulkan ketawa dalam kalangan 500-600 orang penonton termasuk tetamu VIP iaitu YAB Menteri Besar Johor dan YB Datuk Setiausaha Kerajaan Johor. Ada juga diselitkan babak pertarungan seni pertahanan diri kaum Cina yang pantas iaitu wushu.
Terdapat satu babak dalam BBP yang diangkat iaitu tentang penubuhan Pakatan Belajar - Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB). Gagasan penubuhan PBMPB ini dilontarkan oleh Ungku Abdul Rahman Andak sekitar tahun 1888. Terdetik dalam hati bahawa babak tentang PBMPB ini boleh diangkat menjadi satu pementasan teater yang lain tentang kisah berkembangnya bahasa Melayu secara teratur dan terancang yang bermula di negeri Johor.
Sesungguhnya, pementasan teater BBP ini cukup memuaskan hati, teater antara yang terbaik dan diingati sepanjang 10 tahun menyaksikan dan melibatkan diri dalam pementasan teater di negeri Johor ini. Ya... tanpa selebriti atau artis popular para pelakon watak utama dan pembantunya (kebanyakannya dikenali kerana ada juga yang terlibat dalam penganjuran teater oleh DBPWS) semakin meningkat mutu gerak lakon dan dialog yang dilontarkan. Tidak salah diklasifikasikan teater ini cukup berbekas dalam hati dan membanggakan.
Tahniah dan penghargaan besar buat semua yang terlibat (seramai 70-80 orang termasuk penari dan petugas teknikal) dalam BBP. Din Manas selaku pengarah semakin melebarkan sayapnya yang luas serta bertambah meningkat mutu teater arahannya. Secara pendapat peribadi sahaja..., selayaknya BBP ini boleh diangkat ke peringkat nasional khususnya pementasan di Istana Budaya atau sekurang-kurangnya Auditorium DBPKL dan Auditorium DBP sendiri...

SANTAI PD 2010: JERMAN DISIPLIN DAN SEPANYOL MALANG...

Terakhir Jerman juara Piala Dunia ketika edisi PD 1990 Itali. Berjayakah Jerman meletakkan tanda 'bintang' yang keempat pada logo pasukannya kali ini...?

Jerman Penuh Disiplin
Tewasnya Argentina kepada Jerman serta kecundang (dan malu) Brazil kepada Belanda menandakan bahawa bola sepak masih dan terus kekal sukan nombor satu di dunia. Gembira dan ceria melihat Brazil tewas masih menguasai diri kerana 'sakit hati bercampur geram' melihat Brazil menjulang Piala Dunia dalam edisi PD 1994 USA masih membekas.
Jerman sebuah pasukan penuh disiplin dan bijak dalam congakan taktikal cukup membuatkan Argentina merana. Selayaknya pertemuan Jerman - Argentina dalam peringkat separuh akhir atau akhir atau sekurang-kurangnya penentuan tempat ketiga tetapi peraturan telah menetapkan begitu. Hakikatnya dua pasukan ini diminati tetapi adat perlawanan pasti ada pasukan yang kecundang.
Jangkaan awal sebelum perlawanan (ketika melihat Jerman berjersi hitam) semacam Jerman akan kecundang kerana pakai jersi kedua (bukannya jersi putih seluar hitam) kerana ketika perlawanan akhir PD 1986 Mexico Jerman pakai jersi kedua (warna hijau) lalu tewas kepada Argentina 2-3. Jerman bertemu Sepanyol dalam separuh akhir, satu lagi kekeliruan minda bakal terjadi kerana dua pasukan ini diminati... habis pasukan manakah yang bakal dipilih?

Sepanyol Malang...!
Sepanyol berjaya tewaskan Paraguay 1-0 tetapi hati ini menganggap bahawa Sepanyol malang kerana permainan pantas dan segarnya tidak menggambarkan jumlah jaringan yang sebenar. Torres terus buntu menghasilkan gol, David Villa bijak di bahagian serangan, Iniesta lincah di bahagian tengah, dan Puyol serta Pique kebal di kawasan pertahanan.
Menarik kata-kata penjaga gol Iker Casillas, beliau dapat menyelamatkan sepakan penalti pemain Paraguay Oscar Cardozo kerana memperoleh nasihat daripada penjaga gol Liverpool Pepe Reina. Reina merupakan penjaga gol kedua Sepanyol melalui pengalaman ketika Liverpool bertemua Benfica dalam Liga Europa (Liverpool tewas 1-2), Reina gagal menyelamatkan dua penalti Cardozo. Kata Casillas, "Reina memberitahu saya bahawa Cardozo menyepak penalti dengan laju ke arah kiri, nasihatnya membuahkan hasil."
Pelik juga pengadil dalam perlawanan Sepanyol - Paraguay ini, kenapa Xavi Alonso terpaksa mengambil dua kali penalti (penalti pertama dibatalkan walaupun sudah gol) kerana sepakan kali kedua berjaya ditepis penjaga gol Paraguay. Menurut kata-kata pengulas siaran langsung penalti pertama Alonso dibatalkan kerana pemain Sepanyol masuk ke kotak penalti ketika Alonso mula menendang? Tidak kiralah keputusan pengadil itu tapi seorang pemain Paraguay bernombor 18 iaitu Nelson Valdez; cukup tidak suka melihatnya sejak peringkat kumpulan lagi pabila ego dan lagaknya yang melampau, maka layaklah Paraguay setakat (bernasib baik) peringkat suku akhir sahaja...!

Sabtu, Julai 03, 2010

SANTAI PD 2010: SEDAR DIRI YANG BAIK...

Ghana tewas cukup tragis kepada Uruguay. Permainan penuh 90 minit dan 30 minit masa tambahan seri 1-1; cukup perit penalti minit akhir ke-120 masa tambahan tidak mengahsilkan gol lalu penentuan penalti, Ghana tewas 2-4.


Eloklah jika sudah sedar diri dan insaf awal serta bercakap benar kepada masyarakat agar ramai lagi yang tidak kecewa dan rasa macam menyampah. Sifat jujur dan berkata secara ikhlas serta terus terang inilah yang ingin dibanggakan walaupun pemergian untuk tugasan di Afrika Selatan selaku pengadil simpanan dan pengadil keempat sahaja. Sikap Subkhiddin yang meluahkan rasa sebenar hatinya cukup menyenangkan ramai pihak agar tidak terus menghentamnya. Jika kepulangan beliau ini dengan nada lain iaitu nada 'bangga dan besar diri' pasti ramai yang terus mencaci dan mengejinya. Beberapa akhbar harian melaporkan tentang kepulangan Subkhiddin yang kekal selaku 'pengadil simpanan @ keempat' sahaja dalam peringkat kumpulan PD 2010. Kutipan di bawah diambil dalam laman web akhbar Utusan Malaysia dan Harian Metro.


Subkhiddin kecewa, rasa bersalah
(Utusan Malaysia)
' Saya kecewa dan rasa bersalah kepada rakyat Malaysia'. Itu luahan pengadil tunggal negara yang dipilih ke Piala Dunia 2010, Subkhiddin Mohd. Salleh. Menurut pengadil No. 1 negara itu, perasaan itu membelenggu dirinya, apabila langsung tidak diberi peluang menjadi pengadil utama dalam sebarang perlawanan pada kejohanan berprestij di Afrika Selatan itu.
Subkhiddin, 44, yang hanya menjadi pengadil keempat dalam lapan perlawanan Piala Dunia, termasuk perlawanan pembukaan antara Afrika Selatan dan Mexico. Jelas Subkhiddin, hatinya bertambah kecewa apabila terpaksa 'memusnahkan' impian dan harapan seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihatnya beraksi di tengah padang, meskipun dirinya cukup bersedia untuk tujuan tersebut.
''Pengorbanan dan cabaran dilalui sepanjang empat tahun lalu untuk mempersiapkan diri sebagai pengadil dalam Piala Dunia kali ini seperti sia-sia, kerana hanya menjadi pengadil keempat.
''Apatah lagi FIFA sudah memberi jaminan kepada kami ketika perlawanan pembukaan bahawa tiada pengadil simpanan untuk edisi kali ini. Ia memberi semangat kepada saya.
''Tetapi peluang sebagai pengadil utama tidak diberi kepada saya dan saya mula menyedari mengenainya ketika sesi kedua pengumuman pengadil (bagi perlawanan kalah mati).
''Saya amat kecewa dan rasa bersalah kepada rakyat Malaysia. Pengalaman ini tidak mungkin akan saya lupakan seumur hidup saya," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini, semalam.
Sebelum ini, dua pengadil negara terpilih ke Piala Dunia iaitu Allahyarham Kapten Abdul Halim Hamid pada Piala Dunia 1998 di Perancis dan Mat Lazim Awang Hamat (Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan) tetapi hanya sebagai pembantu pengadil.
Pengorbanan empat tahun bagaikan sia-sia
(Harian Metro)
“SAYA kecewa apabila tidak diberi peluang untuk menjadi pengadil utama,” kata pengadil tunggal negara ke Piala Dunia 2010, Subkhiddin Mohd Salleh ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTABL), Bayan Lepas, semalam. Pengadil nombor satu negara itu berkata, beliau ditugaskan sebagai pegawai perlawanan keempat bagi lapan perlawanan Piala Dunia, termasuk aksi pembukaan Afrika Selatan menentang Mexico serta beberapa perlawanan menarik seperti Brazil bertemu Korea Utara dan Brazil berjumpa Ivory Coast.
Bagaimanapun, beliau kecewa kerana tidak berpeluang mengendalikan sebarang perlawanan di tengah padang sejak kejohanan di Afrika Selatan itu bermula 11 Jun lalu. Guru Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Nibong Tebal itu berkata, rasa kecewanya bertambah apabila mengetahui rakyat Malaysia menaruh harapan untuk menyaksikan beraksi di tengah padang.
“Saya rasa segala pengorbanan dan persiapan sejak empat tahun lalu untuk menyiapkan diri sebagai pengadil dalam Piala Dunia kali ini sia-sia saja, namun pengalaman di peringkat antarabangsa akan menjadi pedoman kepada saya untuk membantu generasi muda dalam bidang ini,” katanya.
Katanya, Fifa juga pernah memberi jaminan kepadanya pada perlawanan pembukaan bahawa tiada pengadil simpanan untuk perlawanan tahun ini, namun semangat serta harapannya musnah selepas sesi kedua pengumuman pengadil (bagi perlawanan kalah mati).

SANTAI PD 2010: NAH... RASAKAN BRAZIL YANG EGO DAN SOMBONG BESAR!

Zidane tonggak utama yang dibanggakan ketika menghancurkan Brazil dalam peringkat suku akhir PD 2006 Jerman. Terima kasih Perancis (ketika PD 2006) dan tahniah besar Belanda (PD 2010) kerana menghapuskan 'ego dan sombong besar' Brazil...

NAH... TERIMALAH PENANGAN BELANDA WAHAI BRAZIL YANG SOMBONG LAGI EGO BESAR...!

Teramat berpuas hati menyaksikan pasukan yang diklasifikasikan sebagai 'ego dan sombong besar' tewas kepada Belanda. Inilah saat-saat indah cukup gembira kali ini dalam edisi PD 2010 pabila melihat pasukan yang kononnya 'terlalu hebat dan megah' rebah. Sejak PD 1982 sehinggalah edisi PD 2010 ini sering harapkan pasukan Brazil agar tewas apatah lagi kalau boleh tewas awal dalam peringkat kumpulan. Teramat gembira hati melihat Brazil tewas kepada Perancis (peringkat suku akhir) hasil jaringan tunggal Henry pada edisi PD 2006 Jerman dan tewasnya Brazil dalam perlawanan akhir PD 1998 juga kepada Perancis masih berbekas di hati hingga kini apatah lagi kalahnya pasukan ego besar ini semalam.
Sesetengah media menyatakan ini salah satu kejutan besar dalam PD 2010 tetapi ini bukanlah kejutan kerana Belanda bukannya taraf pasukan seumpama Korea Utara atau Honduras (atau Malaysia? - Malaysia layak cuma selaku pengadil simpanan sahaja lalu pengadil yang seorang itu pulang semalam tanpa jadi pengadil utama atau penjaga garisan sekalipun, hahaha...). Kekalahan Brazil ini amat dinanti bagi penggemar yang inginkan Brazil jatuh tersungkur lalu rebah tanpa bangun. Pabila jaringan pertama Brazil oleh Robinho seluruh pemain dan pegawai Brazil begitu yakin bahawa dapat menambahkan gol lalu ke peringkat separuh akhir; Brazil tersilap memandang rendah Belanda pabila Belanda bangkit dengan 2 jaringan pada separuh masa kedua.
Ego dan sombong besar Brazil terserlah sebelum PD 2010 bermula lagi (begitulah juga bagi setiap PD yang sebelum ini), memandang rendah pasukan lain lalu mengangkat setinggi-setingginya bahawa tiada pasukan dapat mengalahkannya. Kesombongan Brazil bertambah terserlah pabila bertemu Korea Utara, Ivory Coast, Portugal dan Chile sebelum ini. Dalam perlawanan menentang Belanda semalam juga begitu dengan watak jurulatihnya Dunga (kapten Brazil dalam PD 1994 USA yang menjulang Piala Dunia ketika tewaskan Itali melalui penalti... cukup besar egonya ketika itu) sering pertikaikan keputusan pengadil, watak Robinho yang 'samseng dan gengster' yang asyik cuba ingin bertelagah dengan pemain Belanda, watak Felipe Melo yang 'ganas' lalu ditunjuk jalan keluar dengan hadiah kad merah, dan pelbagai lagi sikap dan watak pemain Brazil yang sombong lagi memualkan; maka terimalah selayaknya padahnya...!
Wira-wira Belanda yang setia dengan warna oren diucapkan tahniah; Robben yang licik dan berkesan (ada kalanya liciknya sedikit berlebihan), Kuyt yang gagah selaku penyerang dan ada ketikanya selaku pertahanan (pemain Liverpool yang berjasa), Sneijder yang pintar berbanding Kaka yang longlai (akan bersama Benitez di Inter Milan), dan beberapa pemain Belanda yang lain. Kali ini Belanda 'bijak' kerana tidak menggunakan penjaga gol Man U iaitu Van Der Sar tetapi kurang bijak kerana menggunakan Van Persie, pemain Arsenal yang longlai buat pasukannya sendiri...! Belanda berjaya juga menebus kekalahan ketika separuh akhir PD 1998 Perancis (itupun Brazil menang nasib ketika sepakan penalti selepas tambahan masa).
Gembira sungguh hati ini tidak terkata dengan kemenangan Belanda ini, tidak kira pasukan manakah yang berjaya ke akhir lalu menjulang piala hati ini tetap berpuas hati pabila Brazil tersingkir lalu menunggu dan menyambut tetamu yang bakal datang pada 2014 di Brazil juga nanti. PD 2010 kali ini pasti membekas dalam hati dengan malunya pasukan ego dan sombong besar ini tersekat lagi untuk menjulang Piala Dunia buat kali keenam! Nah... rasakan buat peminat tegar Brazil, terimalah hakikat bahawa Brazil yang sombong dan ego tidaklah selamanya kuat dan hebat kerana ada pasukan yang boleh menafikannya...
Apa-apapun selagi Brazil masih sombong dan ego serta tidak sedarkan diri selagi itulah banyak pasukan berkobar-kobar ingin menewaskannya termasuk pasukan dari negara-negara Afrika dan Asia (termasuk Malaysia? tidak mungkin sama sekali - jika Malaysia lawan Brazil, tetap sokong Brazil juga nanti...). Brazil bolehlah bersiap awal untuk menyiapkan pelbagai hal selaku tuan rumah PD 2014 nanti.