Sabtu, April 24, 2010

KOPI KLUANG DAN CERAMAH PUISI TRADISIONAL KOMSAS

Kopi Kluang dalam bungkusan serbuk dan uncang.

Ini baru 1 Malaysia: pelajar Melayu dan Cina bersama-sama melagukan puisi Melayu tradisional.

Guru dan pelajar yang hadir di Dewan SM Sains Johor, Kluang, Johor.

1. Program Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Melayu Tradisional KOMSAS Daerah Kluang diadakan secara bersama oleh DBPWS, Pejabat Pelajaran Daerah Batu Kluang, dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) pada 24 April 2010 di Dewan SM Sains Johor, Kluang, Johor. Seramai 230 pelajar dan guru yang meliputi 23 buah sekolah menengah dalam daerah Kluang hadir dalam program ini.
2. Ini merupakan program penghayatan ilmu khas buat para pelajar tingkatan empat dan guru untuk penghayatan serta melagukan puisi tradisional (antaranya termasuklah gurindam, syair, seloka, pantun, nazam, teromba dan pelbagai lagi khazanah puisi tradisional). Sememangnya puisi-puisi tradisional ini termasuk dalam pembelajaran KOMSAS di sekolah.
3. Pada 3 April 2010 yang lalu diadakan untuk peringkat daerah Batu Pahat di SMK Tun Ismail, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Program yang diadakan sejak tahun 2008 telah menjelajah ke daerah dalam negeri Johor iaitu Johor Bahru, Pontian, Kulai, Kota Tinggi, Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang dan negeri Melaka sebelum ini. Daerah yang belum lagi terliput untuk pengisian program sebegini merupakan daerah Mersing dan Pasir Gudang. Hanya ada seorang penceramah tunggal setakat ini yang bersama DBPWS dalam menyampaikan ceramah dan bimbingan ini - Tn. Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir (guru kanan SMK Dato’ Mohd. Yunus Sulaiman - Setiausaha 1 PPJ - Jurulatih Utama Kesusasteraan Melayu JPNJ).
4. Sekalung penghargaan terima kasih kepada Cikgu Hamzah Hamdan, Pegawai Pendidikan Khas PPD Kluang merangkap Pengerusi Daerah Kluang PPJ yang mengusahakan program ini diadakan di Kluang, dan kepada pihak PPD Kluang dan guru yang bertugas sepanjang acara ini berlangsung. Terima kasih sekalung penghargaan besar buat Cikgu Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir atas curahan ilmu dalam memberikan kaedah penghayatan serta ilmu cara melagukan puisi-puisi tradisional dalam program ini. Ini program biasa dan berskala biasa sahaja untuk penghayatan ilmu tetapi punyai makna dan manfaat yang besar suatu hari nanti; demi kelangsungan dan pemantapan puisi Melayu tradisional yang masih ada kini!
5. Sempat juga menikmati kopi Kluang di Stesen Kereta Api Kluang bersama-sama Shahrur (staf DBPWS). Pihak PPD Kluang juga menyediakan cenderamata iaitu kopi dan barangan lain. Sememangnya kopi Kluang cukup terkenal di Johor dan beberapa negeri lain, kelainan dan keaslian rasanya cukup memikat penggemar kopi, ditambah dengan makan telur rebus dan roti bakar!

1 ulasan:

Md Nizar Parman berkata...

RAR,
Saya memohon maaf sebab tidak dapat menemui saudara di SMS Johor atas sebab2 yg tidak dapat dielakkan walaupun saya sebenarnya bersungguh-sungguh untuk menemui saudara. Saya hanya berkesempatan berada di situ dari jam 8.00 pagi - 9.00 pagi sebelum menghadiri acara lain di Songmart Kluang. Walau bagaimanapun, tahniah sebab program ini telah berjaya.