(Catatan: foto rakaman sendiri.)
Sentuhan gema puisi tradisional
Oleh Nazmi Yaakub - nazmi@bharian.com.my - 2010/04/22
Ia menjadi bukti kehebatan warisan Melayu dengan aneka ragam bentuk
MALAM Gema Puisi Tradisional di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu (IPGKPM), Durian Daun, Melaka, baru-baru ini, sarat dengan unsur nasihat yang disampaikan melalui puisi tradisional, sekali gus membuka mata khalayak terhadap kehebatan warisan Melayu.
Ini kerana meskipun malam puisi tradisional anjuran IPGKPM dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) menghidangkan khazanah puisi tradisional seperti pantun, syair, burdah, nazam dan gurindam, ia tetap memikat kira-kira 300 khalayak.
Pengarah IPGKPM, Noor Hayatee Md Noor, membuka tirai dengan pantun bagi mengingati ulang tahun ke-75 institut perguruan terbabit yang akrab yang mencatat sejarah panjang dalam pengeluaran guru wanita untuk dibekalkan di seluruh negara sejak 75 tahun lalu.
Cahaya cerah api pelita
Cahaya cerah api pelita
pelita dekat asap beralun
di sini sejarah guru wanita
sudah tercatat 75 tahun.
Sekam basah tidak berbara
disusun rata di tepi bendang
perakam indah seni sastera
maktab wanita sama menyumbang.
Berbekalkan kekuatan vokal dan kemerduan suara, Munshi Dewan, Muhamed Salehudin Aman, mengejutkan khalayak dengan alunan burdah, Umat Islam Akhir Zaman sehingga puisi yang sarat dengan khutbah itu dapat dinikmati secara santai, meskipun yang diketengahkan isu semasa.
Harta watan jadi habuan
oleh pemimpin yang berjawatan
tipu dan rasuah jadi amalan
wang amanah diniagakan
ada ulama mata dunia
pelbagai fatwa mudah dikata
asalkan dapat ganjaran harta
hukum-hakam direka-reka
memang nafsu susah diatur
cinta dunia sukar dilebur.
Meskipun Pegawai Institut Seni Malaysia Melaka (ISSMA), Arifin Uzir, terikat dengan gaya khutbah ketika menyampaikan nazam, Nasihat karya Ahmad Mufti yang sarat dengan unsur didaktik, ia tetap dinikmati khalayak apabila dialunkan dengan menggunakan irama Tanjung dan Serkam.
Sabda nabi huru-hara pada kubur
masuk rantai pada mulut sampai dubur
rantai itu merah pula dengan api
hangus perut hangus otak hangus api
hairan kami akan kamu punya fikir
kamu kata kamu mati tapi mungkir
pahit mati itu bukan macam jadam
bukan pula macam api boleh padam.
Pengerusi Persatuan Dondang Sayang Melaka, Mohd Yasin Ahmad, pula mengalunkan dondang sayang, Senda Gurau yang menjadi asalnya warisan bangsa Melayu yang kaya dengan pandangan alam bangsanya, meskipun umum lebih mengaitkannya dengan kesenian Baba dan Nyonya.
Sayang pak Lebai memakai songkok
membaca kitab sambil menjala
sayang pak lebai memakai songkok
sepandai-pandai tupai di pokok
dondanglah sayang lamalah lama juga ke tanah juga.
Sayang ketupat dibelah tengah
mari diisi dalam raga sayang
ketupat dibelah tengah tupai tua jatuh ke tanah
dondang sayang termengah-mengah juga dipanjat juga.
‘Khutbah’ yang disampaikan pada malam puisi yang turut dihadiri Pengarah DBPWS, Nor Hasimah Ali dan Penerima Anugerah Sasterawan Negeri Melaka 2009, Mokhtar Yasin itu, turut disampaikan melalui Syair Sarawak yang dilagukan oleh Roslan Madun.
Rumah kita bukan di sini
telah sedia di akhirat nanti
jalan yang terang jika dicari
tidaklah sesat masa kembali.
Dunia ini tempat singgahan
bukannya tempat bersuka-sukaan
tunduk sujudlah kepada Tuhan
tempat kita minta pertolongan.
Buatlah baik setiap masa
bersyukur kepada Tuhan yang Esa
hidup jangan berbuat dosa
di akhirat kelak azablah kita.
Kelab Budaya IPGKPM juga tidak ketinggalan mempersembahkan puisi tradisional yang disampaikan sama ada dalam bentuk moden, puisidra atau pun secara tradisional, iaitu berondoi, selain menampilkan tarian Joget Pahang.
Malam Gema Puisi Tradisional turut dimeriahkan dengan persembahan gurindam oleh Prof Rahman Shaari dan Rohayah Abu; syair (Mohamad Musip dan Fakrurazan Abdul Majid); pantun (Nor Hasimah) dan rejang (Abd Rani Embi).
(Catatan: Berita @ artikel dikutip langsung dalam laman web Berita Harian Online - Ruangan Sastera. Berbanyak terima kasih buat Sdra. Mohd Nazmi Yaakub atas siaran dalam akhbar hari ini.)
1 ulasan:
^_^b
Catat Ulasan