Sabtu, April 03, 2010

PROGRAM: CERAMAH PUISI TRADISIONAL KOMSAS BATU PAHAT


Cikgu Hj. Mohd Rosli Hj. Bakir bersama sebahagian pelajar lelaki.
Foto dirakam dari atas pentas - sebahagian pelajar yang terlibat.

Hj. Mohd Rosli Hj. Bakir - Penceramah tunggal yang ada dalam negeri Johor untuk ceramah dan bengkel tentang puisi Melayu tradisional khususnya dalam mata pelajaran KOMSAS.

Sebahagian para pelajar perempuan sedang menyampaikan nazam.

1. Program Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Melayu Tradisional KOMSAS Daerah Batu Pahat diadakan secara bersama oleh DBPWS dengan pihak Jawatankuasa Kurikulum Bahasa Melayu Daerah Batu Pahat dan Pejabat Pelajaran Daerah Batu Pahat, diselenggarakan oleh SMK Tun Ismail, Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada 3 April 2010 di Dewan Tun Ismail, SMK Tun Ismail. Seramai 220 pelajar dan guru yang meliputi 23 buah sekolah menengah dalam daerah Batu Pahat hadir dalam program ini.

2. Ini merupakan program penghayatan ilmu khas buat para pelajar tingkatan empat dan guru untuk penghayatan serta melagukan puisi tradisional (antaranya termasuklah gurindam, syair, seloka, pantun, nazam, teromba dan pelbagai lagi khazanah puisi tradisional). Sememangnya puisi-puisi tradisional ini termasuk dalam pembelajaran KOMSAS di sekolah.

3. Pada 4 Mac 2010 yang lalu diadakan untuk peringkat daerah Segamat di SMK Gemereh, Segamat, Johor. Program yang diadakan sejak tahun 2008 telah menjelajah ke daerah dalam negeri Johor iaitu Johor Bahru, Pontian, Kulai, Kota Tinggi, Muar dan negeri Melaka sebelum ini. Daerah yang belum lagi terliput untuk pengisian program sebegini merupakan daerah Kluang, Mersing dan Pasir Gudang. Hanya ada seorang penceramah tunggal setakat ini yang bersama DBPWS dalam menyampaikan ceramah dan bimbingan ini - Tn. Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir (guru kanan SMK Dato’ Mohd. Yunus Sulaiman - Setiausaha 1 PPJ - Jurulatih Utama Kesusasteraan Melayu JPNJ).

4. Sekalung penghargaan terima kasih kepada Cikgu Rohaidah Yon, guru SMK Tun Ismail (merangkap penulis karya kreatif khususnya cerpen dan puisi yang prolifik dalam kalangan guru di Johor) yang mengusahakan program ini diadakan di Batu Pahat, dan kepada pihak Jawatankuasa Kurikulum Bahasa Melayu Daerah Batu Pahat. Terima kasih sekalung penghargaan besar buat Cikgu Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir atas curahan ilmu dalam memberikan kaedah penghayatan serta ilmu cara melagukan puisi-puisi tradisional dalam program ini.

5. Seterusnya program ini akan hadir ke Kluang pada 24 April 2010 nanti. Jika ada ruang dan upaya lagi, program sebegini akan dirancang untuk dibawa ke daerah lain dalam negeri Johor dan Melaka. Ini program biasa dan berskala biasa sahaja untuk penghayatan ilmu tetapi punyai makna dan manfaat yang besar suatu hari nanti; demi kelangsungan dan pemantapan puisi Melayu tradisional yang masih ada kini!

Tiada ulasan: