Rabu, April 21, 2010

KUTIPAN: PUISI TRADISIONAL MELAYU

Pak Tenas menjelaskan tentang peta daratan dan kepulauan Riau.
(Foto rakaman sendiri)
Puisi tradisional Melayu
Oleh Nazmi Yaakub - nazmi@bharian.com.my - 2010/04/21

Beri nafas baru untuk tarik perhatian generasi muda

SEMINAR Puisi Melayu Tradisional menekankan kepentingan puisi tradisional diselitkan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi membuka minda dan mata pelajar terhadap warisan tradisional itu di samping memberi nafas baru kepadanya agar mudah didekati generasi muda.
Saranan terbabit dikemukakan pada seminar dua hari anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu (IPGKPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) yang berlangsung di institut terbabit di Melaka, baru-baru ini.
Tokoh budaya Melaka, Mohd Yasin Ahmad, berkata nazam kreatif diwujudkan untuk menarik minat pelapis muda terhadap genre itu, sekali gus mempertahan dan mengembangkan puisi tradisional terbabit agar tidak hapus ditelan zaman.
“Kita turut menggalakkan penyampaian nazam kreatif ini menggunakan alat muzik berbentuk genderang yang boleh dimainkan di dalam atau serambi masjid seperti kompang, tamborin, gong, tambor, rebana dan marakas agar lebih menarik dan rancak,” katanya ketika mengupas mengenai nazam.
Beliau turut berkisah mengenai sejarah nazam yang digunakan tuan guru untuk mengajar agama dan pengajarannya, sekali gus menjadi kaedah pengajaran kerana ada di antara pelajar ketika itu tidak pandai membaca.
“Melalui iramanya, pelajar mudah mengingati isi kandungan nazam seperti yang terkandung dalam Nazam Sifat Dua Puluh, Nazam Rukun Islam, Nazam Kisah Nabi, Nazam Kisah Ajal Maut , Nazam Bab Air dan Nazam Bab Sembahyang karya mantan Mufti Melaka pertama, Ahmad Abdul Rauf.
“Bagaimanapun, nazam masa kini lebih dikarang dengan tema nasihat, pengajaran, kebaikan, sambutan dan majlis adat, sekali gus menjadikan isi nazam perlu yang positif saja,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka dan Jurulatih Nazam di Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA).
Dalam konteks dunia pendidikan pula, Ketua Jabatan Pengajian Melayu IPGKPM, Mohamad Zaki Abd Majid, menyarankan bahan estetika sastera digunakan dalam kurikulum Bahasa Melayu untuk dilaksanakan guru melalui penggunaan bahan sastera seperti pantun, gurindam dan seloka.
“Dalam proses pengajaran dan pemelajaran ini, guru boleh menggunakan kreativiti dan inovasi untuk merancangnya agar lebih menarik minat dan tumpuan pelajar, sekali gus menekankan konsep didik hibur sehingga pelajar dapat mengikuti aktiviti penguasaan kemahiran dan ilmu dalam keadaan menggembirakan.
“Contohnya, melagukan puisi dengan iringan muzik dapat menjadikan aktiviti pengajaran-pembelajaran menjadi lebih menarik dan mencabar serta tidak membosankan kerana alat muzik dapat membantu memperkemas pengucapan puisi,” katanya ketika membincangkan Puisi Melayu Tradisional Dalam Pengajaran-Pembelajaran Bahasa.
Bagi guru yang tidak mempunyai kebolehan bermain alat muzik, Mohamad Zaki mencadangkan mereka memberikan irama kepada puisi itu dengan suara semula jadi yang diiringi gerakan kreatif kerana pendekatan terbabit boleh memberi nilai tambah terhadap aktiviti nyanyian beramai-ramai atau berkumpulan.
“Dalam kegiatan luar jadual waktu, guru boleh membimbing pelajar merancang kegiatan seperti mestamu, pantomim, melodika, cerpendra, nyanyian, baca drama, deklamasi dan ucapan berirama, manakala pihak sekolah menyediakan ‘sudut sastera’ agar pelajar boleh menampilkan bakat mereka dalam khalayak.
“Kemuncak pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan sepanjang tahun ialah aktiviti pementasan atau sayembara kebahasaan tahunan, sekali gus dapat memberi kesempatan kepada pelajar untuk belajar tatacara mengekspresi dan berekreasi melalui seni persembahan,” katanya pada seminar yang dihadiri lebih 200 peserta.
Pandangan Mohamad Zaki diperkukuhkan dengan cadangan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Melayu IPGKPM, Md Rahim Ab Majid, agar ia turut digunakan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di bilik darjah sebagai projek.
“Aktiviti yang membabitkan kumpulan tugasan seperti membina rancangan kajian bagi mengutip data empirikal, menganalisis dan membuat laporan secara lisan atau bertulis. Penggunaan puisi dalam pembelajaran membolehkan pembentukan kemahiran kognitif dan intelek murid, sekali gus memperkenalkan pemikiran, nilai, pandangan hidup dan budaya masyarakat Melayu kepada murid.
“Penggunaan kaedah pembelajaran secara projek dapat mendidik murid menyelesaikan masalah tugasan yang membolehkan mereka menguasai kemahiran asas bahasa Melayu di samping meneroka pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai disiplin,” katanya ketika merincikan Puisi Tradisional: Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Projek.
Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, menyarankan puisi Melayu dijadikan latihan dan ujian lisan mata pelajaran Bahasa Melayu serta Sastera Melayu dalam peperiksaan utama di sekolah negara ini.
“Melalui peperiksaan ini, penuntut wajar dinilai daripada aspek pembacaan dan penghayatan terhadap puisi Melayu lama dan baru, selain penilaian terhadap pembacaan karya prosa atau berdialog. Jabatan Pelajaran dan Kementerian Pelajaran perlu lebih kerap menganjurkan sayembara puisi Melayu lama dan baru di samping menyediakan hadiah menarik,” katanya ketika membincangkan Didik Hibur Menerusi Puisi Melayu Tradisional.

(Catatan: Kutipan diambil langsung dalam laman web Berita Harian ruangan Sastera. Terima kasih buat Sdra. Mohd Nazmi Yaakub atas siaran berita @ artikel ini.)

Tiada ulasan: