Ahad, April 18, 2010

DARI KUALA KANGSAR KE JOHOR BAHRU

Buku antologi 'Pusaka Bangsa' terbitan DBPWS sempena sambutan 50 tahun DBP peringkat DBPWS tahun 2006.

Penggiat penuh komited PERSEBUDAYA - Cikgu Suhaimi (guru bahasa Inggeris) bersama-sama sebahagian pelajarnya membuat persembahan lagu 'Bahasa Jiwa Bangsa'.

Adik kecil darjah 3 - deklamasikan puisi bertemakan bahasa.

3 dalam 1 : Pelajar (merangkap pemain pasukan bola sepak sekolah) menyampaikan Syair - Gurindam - Nazam.

Sketsa memperkatakan tentang isu bahasa.

Kumpulan Persatuan Seni dan Budaya (PERSEBUDAYA) dari SMK Temenggong, Kati, Kuala Kangsar, Perak datang khas dari Perak untuk mengadakan lawatan rasmi ke Sekolah Seni Johor Bahru pada 17 April 2010 (Sabtu). PERSEBUDAYA diketuai oleh Cikgu Suhaimi Hj. Ahmad (guru utama mata pelajaran bahasa Inggeris) yang merupakan Pembimbing dan Penyelaras Utama kumpulan ini. Rombongan seramai 40 pelajar dan guru tiba awal pagi untuk lawatan ke Sekolah Seni Johor Bahru sehingga pukul 12.30 tengah hari.

PERSEBUDAYA pernah bersama-sama DBPWS dalam dua pementasan teater mini sebelum ini yang diadakan di DBPWS pada tahun 2007 dan di Melaka pada tahun 2008 iaitu pementasan 'Che Wan Gondah' dan 'Agussa dan Agussi'. Kali ini Cikgu Suhaimi sekali lagi ke Larkin Perdana, Johor Bahru lalu membuat pelawaan kepada DBPWS untuk diadakan program sempena lawatan rasminya ke Sekolah Seni Johor Bahru. Program kecil-kecilan dan santai sifatnya yang berjudul 'Penghayatan Citra Puisi' akhirnya terlaksana di DBPWS pada 17 April 2010 (Sabtu) sekitar pukul 3.30 petang - 5.00 petang.

Program kecil-kecilan ini dihadiri seramai 70-80 orang yang menampilkan persembahan puisi tradisi dan moden, monolog, sketsa, dan dikir kreatif yang bertemakan bahasa. Selain itu Cikgu Suhaimi selaku pembawa acara menemu bual hadirin secara langsung dan santai.

Pantun, deklamasi puisi, syair, gurindam, nazam, monolog, sketsa, dikir kreatif dan lagu bahasa dalam kadar kecil-kecilan dan santai menghiasi persembahan selama hampir satu jam 30 minit di DBPWS. Menariknya juga pabila puisi moden yang dideklamasikan oleh para pelajar PERSEBUDAYA diambil dalam buku 'Pusaka Bangsa' terbitan DBPWS sempena sambutan 50 tahun DBP peringkat DBPWS pada tahun 2006, ini tanpa perancangan, pakatan dan pengetahuan diri ini. Antara puisi dalam buku 'Pusaka Bangsa' yang dideklamasikan iaitu "Suara dari Bukit" (Amiruddin Ali) dan "Di Sini Pernah Menjadi Saksi" (WB Rendra). Sebahagian kutipan puisi WB Rendra seperti di bawah:
Di sini pernah menjadi saksi
di daksina ini
kita nyalakan nyali
dengan berani!

Program Penghayatan Citra Puisi ini merupakan acara kecil-kecilan dan santai sempena lawatan PERSEBUDAYA ke Sekolah Seni Johor Bahru, maka DBPWS berbesar hati mengadakan program ini dengan seadanya dan semampunya dalam kekurangan biaya dan tenaga. Berbanyak terima kasih buat para hadirin yang hadir dan menyokong, buat petugas DBPWS (Rizal, Ezuwan, Norsheilla), buat Sdra. WB Rendra dan Kak Rahimah Muda (bantuan penuh bermakna untuk tugas pendaftaran), dan sekalung penghargaan besar buat Cikgu Suhaimi dan para pelajar termasuk guru pengiring PERSEBUDAYA yang menjayakan program ini.

Dari Kuala Kangsar, Perak ke Johor Bahru, Johor... satu catatan ingatan serta bertambahnya pengalaman hidup dan pengalaman kerjaya. Suatu hari nanti dari Johor Bahru akan ke Kuala Kangsar, Perak pula.

4 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam en.rusdi. tahniah kepada Persebudaya & DBPWS. program santai, namun tetap menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus prolifik dalam aktiviti sastera.

Melihat Kesunyataan berkata...

Rusdi,
Tahniah kerana program Penghayatan Citra Puisi mengundang kehadiran orang Perak. Hajat hati nak jumpa juga orang Perak, tapi di Batu Pahat juga ada sesuatu yang menanti.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Sdra. Wahyu,
Terima kasih atas kehadiran serta yang paling utama membantu ketika pendaftran tempoh hari itu. Seadanya mampu untuk semarakkan acara aprisiasi sastera secara santai dalam kekangan tertentu.

Tuan Haji Shapiai,
Terima kasih. Tidak mengapa Tuan Haji, ada kesempatan undangan lain silalah datang ya...

TarmiziShukri berkata...

Salam, saya Tarmizi salah seorang daripada guru pengiring pada hari tersebut, ingin menjemput tuan-tuan untuk bertandang ke laman web rasmi persebudaya di persebudaya.co.cc. laman web ini hampir 80% siap.