Jumaat, April 16, 2010

MALAM GEMA PUISI MELAYU TRADISIONAL

Penari zapin - guru pelatih IPGKPMM.

Roslan Madun.

Prof. Rahman Shaari.

Malam Gema Puisi Melayu Tradisional diadakan pada 14 April 2010 (8.30 malam - 11 malam) anjuran bersama IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPGKPMM) dan DBPWS di Dewan Srikandi IPGKPMM, Durian Daun, Melaka. Kesemua deklamasi puisi dan lagu puisi yang ditampilkan merupakan puisi tradisional.
Penyair yang mendeklamasikan puisi ini termasuklah Prof. Rahman Shaari (gurindam dan sketsa), Hj. Mohd Yasin Ahmad (pantun - dondang sayang), Hj. Muhamed Salehudin Aman, Munsyi Dewan DBP (burdah), Ariffin Uzir (nazam), Hj. A. Rani Embi (rejang), Mohamad Hj. Musip, Munsyi Dewan DBP (syair), Fairuzan Abdul Majid (syair), dan Rohayah Abu (gurindam). Penyanyi lagu-lagu rakyat yang terkenal iaitu Roslan Madun turut menyampaikan dua buah lagu rakyat. Selain itu dipersembahkan juga puisi drama (puisidra), tarian dan kumpulan gamelan yang dianggotai para guru pelatih IPGKPMM. Burdah yang dilagukan oleh Hj. Muhamed Salehudin Aman turut menarik perhatian ramai kerana amat jarang sekali dapat dinikmati irama serta penuh unsur nasihat tentang agama.
Sesungguhnya program ini punyai kelainan kerana kesemua puisi yang dideklamasikan dan dilagukan merupakan himpunan puisi Melayu tradisional. Usikan Roslan Madun juga merupakan satu unsur 'spektakular' dalam persembahan ini pabila beliau mengusik dengan meluahkan kata-kata agar dalam peruntukan belanjawan Rancangan Malaysia ke-10 nanti Dewan Srikandi IPGKPMM ini perlu 'naik taraf' kerana masih menggunakan kipas tanpa ada pendingin hawa walaupun usia IPGKPMM sudah masuk tahun ke-75! Sdra. Mohd Nazmi Yaakub (Sastera Berita Harian) turut hadir menyaksikan program ini.
Usaha gigih Cikgu Ramly Abu, Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu IPGKPMM dan tenaga pensyarah serta para guru pelatih yang merancang untuk diadakan program sebegini harus diberikan penghargaan besar dalam merealisasikan program ini dengan baik walaupun ada gangguan kecil teknikal sistem siar raya pada peringkat awal program. Terima kasih sekalung budi buat pihak IPGKPMM yang mempelawa pihak DBPWS terlibat selaku penganjur bersama dalam pelaksanaan program ini.

Tiada ulasan: