Isnin, April 05, 2010

PPMPSMNJ 2010 - HARI PERTAMA

Cikgu Mohd Kasim Mahmud - sesi malam 'Penulisan Cerpen'.

Sebahagian para pelajar dari seluruh daerah negeri Johor.
(Catatan dari Gunung Pulai, Kulaijaya, Johor - 1.15 pagi - 6 April 2010)

Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor (PPMPSMNJ) 2010 bermula pada 5 - 7 April 2010 di Kem Bina Negara Gunung Pulai, Kulaijaya, Johor. Program anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) melibatkan seramai 47 pelajar dari seluruh daerah dalam negeri Johor iaitu melibatkan 10 daerah (4 pelajar setiap daerah - daerah Kulaijaya punyai lebihan peserta selaku daerah tuan rumah). Program ini bermula sejak tahun 2002 sehingga tahun ini telah berlangsung sebanyak 9 kali dengan komitmen serta izin penuh pihak JPNJ.

Hari pertama program bermula pukul 5.15 petang dengan diadakan sesi taklimat dan penerangan (selepas selesai pendaftaran sekitar pukul 3 - 4.30 petang). Program diteruskan pada pukul 5.30 - 6.30 petang dengan sesi 'Motivasi Penulisan' yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud, seorang penulis prolifik karya kreatif khususnya cerpen, novel dan puisi peringkat negeri Johor dan kebangsaan. Beliau juga merupakan Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa di SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor.

Sesi malam bermula pukul 8.30 sehingga 10.30 malam melibatkan sesi 'Penulisan Cerpen' juga disampaikan oleh Cikgu Mohd Kasim Mahmud. Tugasan untuk menghasilkan sebuah cerpen untuk penilaian diamanahkan kepada setiap pelajar. Para pelajar wajib menghantar karya cerpen menjelang pukul 6 petang esok harinya.
Kehadiran guru pengiring dari setiap daerah juga membantu kelancaran hari pertama PPMPSMNJ 2010 ini antaranya melibatkan guru yang aktif menulis serta karya mereka sering mendapat tempat peringkat negeri dan kebangsaan iaitu Cikgu Rohaidah Yon (Batu Pahat), Cikgu Nazim Mohd Subari (Mersing), Cikgu Khuzaimah Hj. Siraj (Kota Tinggi) dan Cikgu Hamzah Hamdan (Kluang).

Tiada ulasan: