Khamis, April 01, 2010

BUKU KUNING YANG BERMAKNA

Buku kuning yang dicetak dan diedarkan sekitar tahun 1996-1997.
Sekian lama mencari dalam simpanan sendiri (kerana lupa letak di mana - sama ada tersimpan di rumah ataupun di pejabat) buku berwarna kuning ini, akhirnya terjumpa jua buku penuh bermakna ini. Buku berjudul 'Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan' ini merupakan antara buku terawal yang diperoleh dan diberikan oleh pegawai kanan ketika mula berkhidmat di DBP pada Julai 1997.
Buku kuning ini diterbitkan pada tahun 1996, kata alu-aluan tercatat nama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu Dato' Dr. Ting Chew Peh dan prakatanya oleh Hj. A. Aziz Deraman (kini Dato'), Ketua Pengarah DBP.
Serba ringkasnya isi kandungan buku garis panduan termasuklah:
i. Huraian Ringkas Istilah Jenis dan Judul Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat dan Jalan.
ii. Contoh Penamaan Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan.
iii. Contoh Penamaan Syarikat dan Perniagaan.
iv. Contoh Nama Tempat yang Sedia Ada yang Berdasarkan Unsur Tempatan.
v. Senarai nama berdasarkan unsur:
- Buah-buahan, Bunga dan Pokok Hias, Palma, Pokok Hutan, Burung, Haiwan, Ikan Air Tawar, Hidupan Laut, Tarian, Permainan Rakyat, Silat, Peralatan Tradisional, Alat Muzik Tradisional, Senjata Tradisional, Tokoh Sejarah dan Sastera, Tempat Sejarah, Batu-Batuan dan Mineral, Pekerjaan, Bintang/Astronomi, dan Kata-kata Sastera/Klasik.
Buku kuning setebal 108 halaman ini merupakan antara buku-buku terawal yang diterima ketika mula menjejakkan kaki untuk berkhidmat di DBP; beberapa pegawai kanan dan kakitangan menyerahkan buku-buku yang berjenama pedoman, panduan dan garis panduan yang terbit sekitar pertengahan sehingga penghujung 1990-an sungguh bermakna dalam tugasan ketika itu. Buku sebegini penuh maklumat, contoh dan huraian yang mesra pembaca.
Apakah buku-buku sebegini masih ghairah untuk dicetak dan disebarkan oleh pihak swasta yang memegang konsesi dan kontrak prapercetakan, percetakan dan pengedaran buku-buku yang dihasilkan oleh sebuah organisasi bahasa dan sastera tanah air ini...?

2 ulasan:

Unknown berkata...

Salam RAR. Wow, betapa hebatnya DBP dahulu? Sekarang, buku-buku panduan seperti itu hanya tersimpan di kutubkhanah dan ditinggalkan berabuk...

Md Nizar Parman berkata...

Salam RAR,
Saya fikir suatu tindakan agresif perlu dilakukan oleh semua pihak, khususnya DBP untuk mendedahkan perkara ini kepada orang ramai. Jika buku itu masih dicetak oleh DBP, saya benar-benar ingin memilikinya. (sakit mata melihat nama-nama syarikat di negara kita yang semakin mengabaikan bahasa Melayu).