Selasa, Januari 26, 2010

BICARA YANG SEGAR...

Azhar Salleh tekun membentangkan kajiannya tentang 'Meranduk Ranjau' - para guru pelatih IPG KPMM terpegun dan terpikat terhadapnya...!

Para hadirin termasuk Hanita Hassan (penulis novel 'Haruskah Aku Berlari), Hj. Mokhtar Yasin, En. Mohamad Daud Mohamad dan Hj. Razali Endun.

Tersiar dalam akhbar Melaka Hari Ini - 23 Januari 2010.

Program BICARA KARYA SASTERA NEGERI MELAKA yang merupakan anjuran DBP Wilayah Selatan dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera (BTKS) DBP dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu Melaka (IPG KPMM) berjaya diadakan pada 22 Januari 2010 (Jumaat) di Dewan Tun Fatimah, IPG KPMM, Durian Daun, Melaka. Bicara melibatkan tiga karya yang dibentangkan seperti maklumat di bawah:

i. Meranduk Ranjau - novel karya Mohd. Kasim Mahmud, dibicarakan oleh Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP melalui tajuknya 'Unsur Feminisme dan Falsafah Nasionalisme dalam Meranduk Ranjau: Suatu Penerapan Teori Konseptual Kata Kunci'.
ii. Haruskah Aku Berlari - novel karya Hanita Hassan, dibicarakan oleh En. Mohamad Hj. Musip, Pensyarah IPG KPMM / Munsyi Dewan DBP melalui tajuknya 'Pemaparan Wacana Psikologi Cinta Menerusi Janaan Ayat yang Mesra Nahu dalam Haruskah Aku Berlari: Suatu Penerapan Pendekatan Stilistik'.
iii. Simbiosis - kumpulan puisi Borhan Md. Zain, dibicarakan oleh Hj. Shamsudin Othman, Pensyarah UPM melalui tajuk 'Menyaring Rasa Insaniah dalam Kumpulan Puisi Simbiosis'.
Tiga penulis karya yang dibicarakan hadir iaitu Mohd Kasim Mahmud (yang sanggup ambil cuti guru turun dari Kota Tinggi), Hanita Hassan (yang bakal meninggalkan.....) dan Hj. Borhan Md. Zain (dari Kuala Lumpur). Terima kasih kerana hadir dan dapat mendengar secara langsung karya anda dikupas. Turut hadir En. Mohamad Daud Mohamad, Ketua BTKS DBP serta menyampaikan ucapan alu-aluan yang penuh bersemangat.
Sesungguhnya kehadiran seramai 210 orang hadirin (seperti yang tercatat dalam senarai daftar kehadiran iaitu 160 guru pelatih dan 50 orang awam, tidak termasuk insan yang tidak mendaftar) menghangatkan program ini pabila tiga pembentang tersebut termasuk peranan Pengerusi iaitu Cikgu Ramly Abu, Pensyarah IPG KPMM telah menghidupkan suasana mesra khalayak pabila terpapar pelbagai reaksi termasuklah ketegasan, jenaka berilmu, usikan dan keceriaan sesama pembentang serta khalayak.
Kepentingan program sebegini sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan karya sastera secara langsung melalui perbincangan dan kajian melalui pendekatan teori sastera, malahan dapat meningkatkan minat masyarakat khusus dalam kalangan guru pelatih (dalam konteks program ini diadakan di sebuah tempat yang melahirkan guru) mendekati seterusnya membaca serta memperoleh manfaat melalui pembacaan dan pengkajian tentang karya sastera.
Terima kasih besar dan utuh
- buat Mohd Jusoh Majid, BTKS DBP yang tidak serik menerima pelawaan diri ini untuk mengadakan program bicara sebegini seadanya mampu,
- buat Cikgu Mohamad Hj. Musip, Pensyarah IPG KPMM bertindak selaku pembentang merangkap Pengurus Program bagi pihak IPG KPMM yang berjaya menguruskan program bagi pihak tuan rumah dengan lancar sedari awal lagi,
- buat Cikgu Ramly Abu, Pensyarah IPG KPMM yang bertindak selaku Pengerusi yang dapat menghubungkiatkan peranan tiga pembentang dalam suasana ceria,
- buat tiga pembentang yang prolifik (Azhar Salleh - yang seperti biasa memikat serta buat orang terpikat!; Shamsudin Othman - yang tegas dan lantang namun berhemah dalam konteks insaniah; Cikgu Mohamad Hj. Musip - yang teliti dan tenang),
- buat para petugas / urus setia IPG KPMM termasuk Pengarah dan Timbalan Pengarah IPG KPMM yang mengizinkan program ini dilaksanakan serta turut serta ketika program berlangsung,
- buat Nazmi Yaakob yang sanggup turun dari Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur ingin membuat liputan,
- buat urus setia DBPWS (Mohd Rizal - Shahrur - Siti Hajar - Norsheilla- Roz Idayu) yang banyak membantu,
- buat DAWAMA yang membuat jualan buku,
- serta kepada semua insan yang hadir dalam program seadanya mampu dilaksanakan ini.

4 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Wah, nampaknya saya kena mengelakkan diri daripada tempat ceramah yg terdiri drpd kaum Hawa selepas ini! Bukan apa, takut ada yang nak jadi nombor dua! Apa-apapun, saya berasakan program pada hari tersebut cukup berjaya dan diharapkan dapat mencapai tujuannya. Saya berterima kasih kpd RAR atas pelantikan dan kepercayaan ini. Terima kasih atas kiriman foto2, dan mudah-mudahan, janganlah RAR pulak terpikat kat saya! Kes naya tuh!

Tanpa Nama berkata...

Salam,
Terima kasih untuk Tuan RAR yang telah membuat hebahan bicara karya sastera ini. Sejujurnya saya langsung tidak mengetahui bahawa majlis ini bakal diadakan di kolej saya. Mujur aja beberapa hari sebelum 22 Jan, hati saya bagai digerak-gerak untuk menziarahi blog tuan. Dan akhirnya, saya menjadi salah seorang peserta yang tidak mendaftar. Harapan saya, selepas ini DBPWS terus lagi menganjurkan majlis-majlis seumpama ini di IPG KPM. Sebagai salah seorang guru pelatih di sini, saya sangat mengalu-alukan kedatangan tuan!

azura berkata...

Salam sdr. RAR,
tahniah!tahniah!tahniah! sayang sekali saya berhalangan untuk hadir...kalau tidak..mungkin saya juga 'terpikat' dgn sifu...hhehehe (boleh gitu???).

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Azhar,
1. Pelantikan seseorang pembentang dalam program khas Bicara Karya sebegini harus dengan ketelitian kerana hanya insan yang mampu serta penuh faham - tekun sahaja dapat membuat kertas kerjanya mengikut konsep yang ditetapkan, juga yang dapat menyampaikan melalui kaedah 'memikat yang berkesan' ketika bicara berlangsung; maka itulah insan bernama Azhar Salleh sudah 4-5 kali (sejak 2005 hingga kini) dipilih khas oleh RAR.
2. Memang sudah lama RAR terpikat kepada Witra sejak mula mengenalinya lewat tahun 2001 hingga kini...! ya... kerana ketinggian ilmu bahasa dan sasteranya dan penampilan komunikasi yang mantap serta punyai wibawa unggul.

Sdri. Tanpa Nama,
Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog kecil ini serta kerana sudi hadir dalam program ini.
Insya-Allah ada lagi program bersama IPG KPMM iaitu seminar sempena Jubli Intan IPG KPMM dalam bulan April @ Mei ini.

Azura.
Terima kasih atas ucapan. Kalau tidak kerana buku 'Haruskah Aku Berlari' dan 'Meranduk Ranjau' yang diusahakan penilaian serta penerbitannya oleh Azura maka sukar juga untuk memilih buku yang sesuai dalam konteks penulis anak Melaka.