Rabu, Januari 20, 2010

GENAP SETAHUN PEMBEDAHAN KECIL

Contoh mata mengalami katarak.

Hari ini (20 Januari 2010) genaplah setahun menjalani pembedahan kecil mata kanan akibat penyakit katarak (selaput). Mengutip sumber Wikipedia Bahasa Melayu seperti berikut:
Katarak adalah sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun. Kanta mata menjadi keruh dan cahaya tidak dapat menembusinya. Keadaan ini menjejaskan penglihatan seseorang dan akan menjadi buta sekiranya lewat, atau tidak dirawat. Masalah katarak berbeza dengan masalah mata Glaukoma.

Menjalani pembedahan kecil ini merupakan satu pengalaman baharu yang sukar untuk diceritakan secara perinci cara dan kaedah yang dilakukan oleh doktor namun ada rahmat-Nya yang diperoleh. Masalah katarak ini mula dikesan pada Oktober 2008, selepas itu berulang alik ke hospital kerajaan untuk menjalani pemeriksaan.
Doktor menyatakan bahawa masalah katarak ini harus dibuat pembedahan segera dalam tempoh 3 - 4 bulan. Namun begitu, doktor menambah bahawa tempahan untuk menjalani pembedahan kecil itu sudah penuh sehingga pertengahan tahun 2009. Kesan katarak yang semakin membesar dalam mata kanan menyebabkan diri ini terlintas serta nekad untuk membuat rawatan dan pembedahan di hospital swasta yang belanjanya 5 kali ganda berbanding hospital kerajaan.
Tetap juga menjalani pemeriksaan di hospital kerajaan sepanjang bulan November dan Disember 2008 serta tetap merayu kepada doktor agar dapat dibuat pembedahan sekitar bulan Januari - Februari 2009, akhirnya pada penghujung Disember 2009 doktor menyatakan ada kekosongan pada tarikh 20 Januari 2009, lantas bersetuju dan bersiap sedia fizikal dan mental untuk menghadapinya.
Bermula tarikh 18 Januari 2009 mula menghuni wad hospital kerana perlu dikuarantin tiga hari sebelum pembedahan. Seawal pagi 20 Januari 2009 merupakan saat mendebarkan, jururawat menyatakan giliran pembedahan iaitu jangkaan pukul 12 tengah hari - 1 tengah hari. Menunggu dengan 'pakaian rasmi' untuk pembedahan sejak pukul 10 pagi namun sehingga pukul 3 petang masih belum dipanggil (kata jururawat ada beberapa kes kecemasan lain yang harus disegerakan pembedahan) sehinggalah pukul 4.30 petang baru dipanggil dan diusung ke bilik pembedahan.
Pembedahan bermula pukul 5.30 petang sehingga 6.00 petang, ketika itu hanya Dia yang tahu betapa hati dan perasaan ini bercampur baur 'sekejap yakin - sekejap risau - sekejap tenang - sekejap pasrah', akhirnya selesai melalui saat pembedahan dilakukan. Syukur kepada-Nya kerana berjaya mengharungi pembedahan kecil ini dengan rahmat dan kekuatan yang diberikan oleh-Nya. Pembedahan kecil ini melibatkan pembuangan selaput keras dalam mata lalu digantikan dengan kanta baharu yang dilekapkan pada mata.
Esoknya sudah dapat pulang ke rumah, pihak hospital menghulurkan kertas cuti sakit selama sebulan serta surat tempoh rawatan susulan. Doktor dan jururawat menasihatkan agar patuh dan disiplin dengan pantang larang dan jagaan untuk mata yang dibedah itu dalam tempoh 1 - 2 bulan. Ubat titis dan krim sapu disediakan.
Kini sudah setahun mata kanan sudah pulih tetapi sejak beberapa bulan lalu sehingga kini mata kiri pula mula yang bakal melanda masalah yang sama namun masih dalam kadar yang minimum. Melalui pemeriksaan awal dan susulan selepas pembedahan, doktor ada nyatakan bahawa mata kiri ini juga akan mengalami hal yang sama pabila tiba tempohnya.
Mata merupakan anugerah-Nya yang amat besar dan hebat seperti juga anggota badan yang lain bagi setiap manusia, penjagaan penuh teliti dan disiplin harus diterapkan sedari umur muda lagi. Anugerah-Nya ini merupakan kebesaran Maha Hebat kepada setiap insan.

5 ulasan:

Unknown berkata...

Salam RAR. Tuan harus banyak memakan sayur-sayuran. Sayuran-sayuran dikatakan mengandungi lutein dan zeaxanthin. Tuan juga boleh mendapatkan suplemen yang terkandung lutein dan zeaxanthin. Lutein dan zeaxanhtin merupakan "bodyguard" kepada lensa mata yang menjadi pelindung kepada unsur radikal bebas atau pengumpulan protein dan lipid yang rosak. Alhamdulillah, saya menyukai sayuran-sayuran dan mata saya tidak menghadapi sebarang masalah. Rujukan: http://www.gizi.net/cgi-bin/berita/fullnews.cgi?newsid1108962428,72368,

Md Nizar Parman berkata...

Salam RAR,
Jika tidak dicatatkan entri ini, saya mungkin tidak akan tahu RAR pernah mengalami pembedahan mata untuk membuang katarak. Syukur alhamdulillah kerana RAR telah selamat menjalani pembedahan itu. Tumpang simpati (prosedur di hospital kerajaan memang begitu - masalah kekurangan doktor pakar menyebabkan sesuatu kes tertangguh agak lama; bersabarlah). Saya mendoakan semoga RAR akan terus tabah. Ya, mata adalah salah satu anugerah-Nya yang terindah. (08 Februari ini akan ke HSAJB untuk menghantar sulung menjalani rawatan berkala jantungnya).

yazid berkata...

Assalamulaikum.. saya pun menjalankan pebedahan katarak dalam november 2012, saya nak bertanya pada RR ada kesan apa2 tak pada jahita selepas sembuh sepenuhnya, seperti kesan parut? atau mata akan normal seperti sebelum ini.. terima kasih..

Tanpa Nama berkata...

Terbaru....dgn kopi mata cengreen...tidak perlu lg pmbedahan utk katarak..in shaa allah

Dr Akbar Abdullah berkata...


Katarak boleh disebabkan oleh faktor usia dan faktor sekunder iaitu penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Untuk mencegah katarak, mata perlu dijaga dari awal kerana proses pembentukan selaput pada kanta mata adalah satu proses yang perlahan dan berterusan. Bagi mencegah katarak, seseorang yang berisiko tinggi digalakkan untuk mengamalkan pemakanan yang kaya dengan Vitamin C, beta-carotene dan Vitamin E. Selain itu, bagi mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik, kawalan penyakit itu sangat penting. Merokok dan pengambilan minuman keras juga tidak digalakkan kerana ia boleh mengurangkan kandungan air di dalam kanta dan menyebabkan kanta menjadi kering dan tidak kenyal.