Sabtu, Januari 02, 2010

BELANJA PERSEKOLAHAN DAN SEKOLAH KLUSTER...

Anak tetap bergembira bermain ombak Laut China Selatan.

Bersekolah di sini bermula tahun 1985 - 1991
(Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 6 Atas).


1. Persekolahan tahun 2010 ini bermula 4 Januari 2010, sejak seminggu lalu hingga ke hari ini agak sibuk sedikit untuk urusan membeli peralatan dan pendaftaran sekolah buat dua anak yang akan memasuki darjah 5 dan darjah 2. Seorang sekolah kebangsaan pada sesi pagi dan sekolah agama sesi petang, seorang lagi sekolah kebangsaan pada sesi petang dan sekolah agama sesi pagi.
2. Pengalaman tahun-tahun sebelum ini membuatkan suasana pembelian barang persekolahan dan ketika pendaftaran di sekolah berjalan lancar dan teratur mengikut tempoh masa dan situasi sama ada di tempat menjual barangan persekolahan dan di sekolah. Suasana di kompleks beli-belah cukup 'meriah' dengan jualan Kembali ke Sekolah, penuh sesak ibu bapa dan anak masing-masing ke kedai membeli kelengkapan persekolahan, namun diri ini tetap memilih untuk membeli kelengkapan sekolah anak (khususnya pakaian lengkap dan kasut sekolah) cuma di tempat berskala rendah iaitu Pasar Larkin sahaja.
3. Peningkatan jumlah perbelanjaan untuk kelengkapan persekolahan (baju - seluar - beg - kasut - kotak alat tulis - sampul buku dan sebagainya) berlaku tahun demi tahun. Secara kasarnya untuk dua beradik bagi belanja kelengkapan persekolahan sebanyak RM500.00 - RM600.00.
4. Peningkatan jumlah bayaran kepada sekolah kebangsaan dan sekolah agama (yuran - buku dan pelbagai bayaran lain) juga berlaku, secara kasarnya untuk dua beradik sebanyak RM400.00 - RM500.00.
5. Secara kasarnya perbelanjaan untuk kelengkapan sekolah dan bayaran kepada sekolah kebangsaan dan agama sebanyak RM1,100.00, namun demi kepentingan pendidikan dua beradik ini maka tidaklah 'merungut' berbanding sebilangan ibu bapa yang cepat 'menengking' tidak tentu pasal kepada guru dan pihak sekolah yang diri ini lihat dan dengar ketika sesi pendaftaran dan bayaran di sekolah. Inilah sistem pendidikan negara kita kini yang khabarnya inginkan kecemerlangan hebat bertaraf dunia - ya... seumpama sekolah dua beradik ini yang jelas terbentang besar dan luas di hadapan pintu sekolah iaitu 'KLUSTER...', diri ini sendiri tidak mengerti banyak hal apakah itu KLUSTER?

4 ulasan:

Unknown berkata...

Salam Cikgu Rusdi. Saya takut nak pegang kalkulator mengira keperluan persekolahan anak saya. 2 sekolah rendah, 2 menengah dan 2 universiti (tak ambil PTPTN). Saya tidak simpati kepada diri saya tetapi lebih sempati kepada penoreh getah, nelayan dan penduduk luar bandar dan bandar yang miskin. Bagaimanalah keadaan mereka?

Md Nizar Parman berkata...

Salam RAR,
Saya ingin meminjam kata-kata Babah, untuk perbelanjaan sekolah anak-anak (ilmu), kita tidak seharusnya berkira walaupun sebelum dan selepas ini ada ibu bapa yang sibuk mencari mesin kira, mencongak-congak belanjawan keluarga. Sebagai guru, memang pelbagai kerenah ibu bapa perlu diladeni setiap kali menjelang musim persekolahan. Kasihan rakan-rakan yang menjadi guru kelas yang adakalanya perlu mengeluarkan duit sendiri untuk mendahulukan duit yuran murid yang belum dijelaskan (tidak dijelaskan hingga hujung tahun). Sebagai ibu bapa, kita seharusnya sedar yuran perlu dibayar sekali sahaja setahun dan adakalanya pihak sekolah membenarkan yuran itu dibayar secara beransur-ansur. Bilangan yang melenting marah mungkin tidak ramai, tetapi suara mereka itu ibarat petir yang sentiasa berdentum walaupun hari sedang panas terik!

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan Samsudin,
Saya melihat wujudnya sistem sekolah bestari ke... sekolah kluster ke... akan menyebabkan yang hebat bertambah hebat yang mundur bertambah mundur, ya seperti ungkapan 'Yang Kaya Bertambah Kaya, Yang Miskin Papa Kedana'.

Cikgu Nizar,
Yang pasti tiada masalah tentang peningkatan bayaran itu dan ini... tetapi kualiti haruslah juga bersesuaian dengan peningkatan yang ada itu.
Melihat para guru dan petugas sekolah semacam 'diherdik' itu menyebabkan rasa simpati kepada pihak sekolah, namun guru dan petugas sekolah sudah lali dengan ribuan karenah sebegini.
Selamat meneruskan usaha murni mendidik pelajar dalam tahun 2010 buat cikgu.

Melihat Kesunyataan berkata...

Rusdi,
Ada kawan-kawan berkata berhabis untuk anak-anak seperti melabur. Saya tidak setuju dengan pendapat ini. Pada saya itu tanggungjawab kita sebagai ibubapa. Yang penting pastikan mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya.