Khamis, Mac 04, 2010

PROGRAM CERAMAH PUISI TRADISIONAL KOMSAS SEGAMAT

Hj. Mohd Rosli Hj. Bakir - Penceramah tunggal yang ada dalam negeri Johor untuk ceramah dan bengkel tentang puisi Melayu tradisional khususnya dalam mata pelajaran KOMSAS.


1. Program Ceramah dan Bengkel Penghayatan Puisi Melayu Tradisional KOMSAS Daerah Segamat diadakan secara bersama oleh DBPWS dengan pihak Jawatankuasa Kurikulum Bahasa Melayu Daerah Segamat dan Pejabat Pelajaran Daerah Segamat, diselenggarakan oleh SMK Gemereh, Segamat pada 4 Mac 2010 di Dewan Seri Gemereh, SMK Gemereh, Segamat, Johor. Seramai 320 pelajar dan guru yang meliputi 25 buah sekolah menengah dalam daerah Segamat hadir dalam program ini.

2. Ini merupakan program penghayatan ilmu khas buat para pelajar tingkatan empat dan guru untuk penghayatan serta melagukan puisi tradisional (antaranya termasuklah gurindam, syair, seloka, pantun, nazam, teromba dan pelbagai lagi khazanah puisi tradisional). Sememangnya puisi-puisi tradisional ini termasuk dalam pembelajaran KOMSAS di sekolah.
3. Program yang diadakan sejak tahun 2008 telah menjelajah ke daerah dalam negeri Johor iaitu Johor Bahru, Pontian, Kulai, Kota Tinggi, Muar dan negeri Melaka sebelum ini. Daerah yang belum lagi terliput untuk pengisian program sebegini merupakan daerah Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Pasir Gudang. Hanya ada seorang penceramah tunggal setakat ini yang bersama DBPWS dalam menyampaikan ceramah dan bimbingan ini - Tn. Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir (guru kanan SMK Dato’ Mohd. Yunus Sulaiman - Setiausaha 1 PPJ - Jurulatih Utama Kesusasteraan Melayu JPNJ).

4. Sekalung penghargaan terima kasih kepada Cikgu Mohamad Noor (Munsyi Dewan DBP - Guru Kanan SMK Gemereh) yang mengusahakan program ini diadakan di Segamat, dan kepada pihak Jawatankuasa Kurikulum Bahasa Melayu Daerah Segamat. Terima kasih sekalung penghargaan besar buat Cikgu Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir atas curahan ilmu dalam memberikan kaedah penghayatan serta ilmu cara melagukan puisi-puisi tradisional dalam program ini. Buat kakitangan DBPWS iaitu Mohd Rizal dan Shahrur yang bersama ke Segamat atas tugasan rasmi - berbanyak terima kasih.

5. Jika ada ruang dan upaya lagi, program sebegini akan dirancang untuk dibawa ke daerah lain dalam negeri Johor dan Melaka. Ini program biasa dan berskala biasa sahaja untuk penghayatan ilmu tetapi punyai makna dan manfaat yang besar suatu hari nanti; demi kelangsungan dan pemantapan puisi Melayu tradisional yang masih ada kini!

Tiada ulasan: