Ahad, Mac 28, 2010

MALAM PUISI RIONG BH - UTM

Ramli Sarip - 4 lagu didendangkan.

SN A. Samad Said - dua kali tampil di pentas dengan 3 puisi.

Amiruddin Ali - masih ada 'ngauman harimau'.

Hj. Shapiai Mohd Ramly - lantang bersama 'Keris Sebilah Itu'.

Sebahagian penonton duduk dalam khemah.

Malam Puisi Riong Berita Harian (BH) kali ini diadakan di Padang Kawad UTM, Skudai, Johor. Program diadakan juga sempena Pesta Konvokesyen UTM ke-44. Tarikh 27 Mac 2010 mencatatkan sejarah buat UTM atas penganjuran program ini.

Sepanjang persembahan duduk bersebelahan dengan wartawan setia dan komited Unit Sastera Berita Harian siapa lagi kalau bukan Sdra. Mohd. Nazmi Yaakub. Sempat berbisik kepadanya bahawa ketika itu serentak ada perlawanan Chelsea - Aston Villa. Sdra. Nazmi yang dikenali juga seorang peminat Chelsea.

Manusia penuh berkunjung ke kawasan pesta konvokesyen UTM ini, tempat letak kenderaan juga penuh sehingga menyebabkan kawalan trafik dalam kawasan UTM ketat dikawal agar kesesakan dapat diatasi dengan baik.

Program bermula pukul 8.30 malam menyaksikan persembahan deklamasi puisi serta lagu puisi dan persembahan tarian diadakan di pentas utama. Program dihadiri oleh Naib Canselor UTM, Datuk Zaini Ujang. Sememangnya terbukti bahawa Datuk Zaini Ujang penggemar puisi kerana ketika beliau masih sebagai Ketua IPASA UTM iaitu dalam tahun 2006 sempat melaksanakan dua progran deklamasi dan penghayatan puisi dengan DBPWS iaitu program Malam Puisi Alam dan Muzikalisasi Puisi A. Aziz Deraman.

Antara para pendeklamasi yang mendeklamasikan puisi termasuklah Hj. Shapiai Mohd Ramly, Md Yusof Ali (Ria Asmira), Amiruddin Ali, Hj. Mohd Rosli Bakir, Hamzah Hamdan dan termasuklah deklamasi puisi dua kali penampilan khas Sasterawan Negara A. Samad Said. Hj. Shapiai Mohd Ramly cukup lantang dan bergema suaranya mendeklamasikan puisinya berjudul 'Keris Sebilah Itu', dan Hj. Mohd Rosli Bakir mendeklamasikan puisi berjudul 'Ceritera Orang Miskin'. Datuk Zaini Ujang turut mendeklamasikan puisi. Datuk LAT, Karyawan Tamu UTM turut hadir dalam program ini, beliau bercerita tentang zaman sekolahnya serta mendeklmasikan sebaris bait puisi.

Terdapat juga persembahan tarian dari Makasar, Sulawesi dan tarian zapin oleh Kumpulan Citra Daksina UTM - teringat nama Citra Daksina ini sempena nama Pertandingan Debat Piala Citra Daksina yang diusahakan oleh DBPWS sekitar tahun 2006-2007 untuk institut pengajian tinggi di negeri Johor dan Melaka, tetapi kini sudah terhenti seketika...?

Pastinya penampilan istimewa Ramli Sarip yang sememangnya penuh bermutu dengan nada suaranya mendendangkan empat buah lagu antaranya 'Bukan Kerana Nama' dan 'Kamelia'. Ramli Sarip juga ada mendendangkan lagu yang diambil hasil nukilan puisi mantan Perdana Menteri ke-5 yang ada bait-bait tentang Al-Ghazali, cari damai abadi... Penonton dianggarkan seramai 1,000 - 1,500 orang tidak berganjak ketika Ramli Sarip mendendangkan lagu dengan petikan gitarnya. Riuh juga pabila Ramli Sarip mengajak penonton menyanyi bersamanya lagu 'Kamelia'!

2 ulasan:

Melihat Kesunyataan berkata...

Rusdi,
Terima kasih kerana entri yang menarik tentang Pengucapan Puisi Riong ini. Sajak "Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul' oleh Zaini Ujang memang menarik untuk dihayati. Begitu juga Pak Samat tetap meninggalkan kesan dengan bait-bait sajaknya yang menyatakan bahawa, biarlah kita pandai dengan bahasa kita sendiri.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tn. Hj. Shapiai,
Mungkinkah ada Malam Puisi Riong yang kedua di Johor nanti, mungkinkah suatu hari nanti di Larkin atau di Muar atau di Batu Pahat...?
(Masih berkira-kira minda kini...)