Khamis, Mac 18, 2010

KUTIPAN: PUISI DI HUJUNG BENUA

Kawasan pohon bakau Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Kumpulan Ghazal pelajar SMK Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor.

Senandung Puisi Hujung Benua
Keindahan dan kelestarian alam Tanjung Piai diungkap dalam bahasa puitis
Oleh Rusdi Abd Rahman bhsastera@nstp.com.my 2010/03/18
SENANDUNG Puisi Hujung Benua di Tanjung Piai, Pontian, baru-baru ini, menggunakan keindahan kata-kata untuk mengungkap keistimewaan kedudukan Tanjung Piai di penghujung tanah daratan benua Asia, sekali gus mempereratkan penyair Johor dan Selangor dengan latar ombak dan pohon bakau.

Malam baca puisi anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) itu, memukau 180 penonton walaupun cuaca malam yang agak panas dan dihembus angin kuat. Penyair dari Pontian, Nurzihan Mohd Zain memulakan ombak puitis melalui puisinya, Senandung Senja Penghujung Benua, yang mengungkapkan rahmat dari alam dan semaian unsur tradisi kampung menjadikan Taman Negara Tanjung Piai sebagai destinasi unik, sekali gus menghulurkan harapan terhadap tanah hujung benua itu.
Dari nama tanpa wajah
rupa bentuk tanpa kenal
Tanjung Piai kini
tercatat di peta
terpahat megah
tugu bertanda
terkenal di bibir dan
muka media
menggamit pelawat ke
penghujung benua.

Pegawai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor (JKKNNJ), Md Yusof Ali atau lebih dikenali Ria Asmira, pula bermain dengan pilihan kata-kata rindu yang disulam dengan pujian terhadap kebesaran Tuhan yang menghadiahkan flora dan fauna di tanjung itu serta meluahkan rasa kekagumannya melalui puisinya, Bahasa Rindu Ini Piai.
Bahasa rindu ini Piai
kekal abadi dalam kantung
membaca seluruh takjub rasa
keindahan rahmat
ciptaan-Nya
monodrom sebuah kehidupan
terpancar rahang alam.
Piai, kutanam
bahasa rindu ini
di dada suara
tanjung hatiku!
Senandung puisi yang berlangsung dalam suasana santai itu, digegarkan oleh suara Ketua Satu PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah melalui puisi ringkasnya, Bicara Hujung Benua yang menekankan kata-kata bakau, laut dan gelombang.
Bakau berbicara
biarkan kedamaian ini
menjadi saksi cinta
kekasih yang datang.
Laut berbicara
biarkan gelombang ini
menguji kasih
setiap pasangan yang hadir.
Pengarah DBPWS, Nor Hashimah Ali tidak ketinggalan untuk tampil di pentas puisi berlatarkan alam lestari apabila mendeklamasi puisi berjudul Astakona Benua karya Azhar Salleh yang mengangkat kebesaran anugerah Tuhan melalui pelbagai jenis tumbuhan dan serangga yang memberi makna kepada khazanah alam berkenaan.
Di penjuru tanjung ini
ada riak permata
tersembunyi
antara sesat perjalanan
dan rumpun bakau
keras mati
nyalinya rebak mekar
melela serata maya.
Selain penyair Johor, penulis Persatuan Penulis dan Kebajikan Selangor (Kemudi) turut mendeklamasi puisi yang dipimpin Ketua Duanya, Abu Hassan Ashari Abas dan Mohd Khairi Ahmad, Ismail Supandi serta Mahwa Mohamed.
Setiausaha Politik Menteri Besar Johor, Dr Gunawan Mahmood, turut mendeklamasikan puisi, selain pemimpin masyarakat seperti Penghulu Mukim Pengkalan Raja dan Jeram Batu, Md Ilaham Mahujan, serta kumpulan ghazal Sekolah Menengah Kayu Ara Pasong.
Pelakon dan aktivis teater terkenal tanah air, Khalid Salleh, mendeklamasikan puisi pada acara yang turut membabitkan penyair PPJ seperti Zolkeple Jemadar, Yahaya Suip, Hamzah Hamdan dan Sulaiman Md Nor.
Senandung Puisi Hujung Benua turut mendapat kerjasama Pejabat Parlimen Tanjung Piai, dan JKKNNJ, selain menyaksikan antologi puisi Bicara Hujung Benua dilancarkan Dr Gunawan.
Catatan: Kutipan ini diambil secara langsung dalam laman web Berita Harian Online bertarikh 18 Mac 2010. Terima kasih buat pihak Unit Sastera Berita Harian termasuk wartawannya Sdra. Mohd Nazmi Yaakub.

Tiada ulasan: