Para pelajar UQP 1041 ketika Malam Puisi Citra Kota Tinggi di Pentas Laman Tun Sri Lanang, Pinggiran Sungai Kota Tinggi pada 30 Januari 2010.
1. Selama 3 bulan 2 minggu menimba pengalaman baharu penuh bermakna di UTM Skudai, Johor selaku tenaga pengajar sambilan atau dikenali dengan nama khas (mengikut surat tawaran lantikan) selaku 'Jurulatih Sambilan' oleh pihak Kokurikulum UTM. Secara tepatnya bermula awal Disember 2009 lalu sehingga 10 Mac 2010 lalu.
2. Tugas yang diamanahkan ini ditawarkan secara agak mengejut pabila tenaga pengajar asal mata pelajaran ini iaitu Hj. Zulkifli Khair menawarkan untuk menggantikannya kerana beliau ada tugasan yang tidak boleh beliau elakkan.
3. Ketika itu berfikir 'yakin - tidak yakin - mampu - tidak mampu - berani - tidak berani' hingga saat-saat akhir (3 hari sebelum kelas pertama bermula) namun akhirnya menerima tawaran itu dengan sanggup menerima pelbagai risiko walaupun ini kali pertama dalam hidup. Inilah kali pertama berhadapan secara rasmi untuk menyeru, membimbing dan menyampaikan sesuatu dalam bidang ini apatah lagi buat para pelajar yang kesemuanya tidak meminati langsung bidang ini.
4. Secara jujur dan ikhlas, soal ganjaran bukanlah yang utama kerana kadarnya sememangnya agak rendah tetapi soal cabaran dan pengalaman buat diri sendiri itulah yang ingin diperoleh. Memberikan ilmu dan menyampaikan sesuatu yang luar kebiasaan buat para pelajar yang cerdik pandai serta pakar dalam soal sains dan matematik di kampus yang melahirkan ramai jurutera, ahli sains, pakar komputer dan pelbagai bidang lagi yang sepenuhnya berkaitan sains dan matematik.
5. Para pelajar yang mengikuti kelas dalam kategori kokurikulum ini antaranya pelajar yang mengambil bidang tahap tinggi sains dan matematik iaitu Kimia Industri, Fizik, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Kimia, Seni Bina, Komputer Sains, Kejuruteraan Gas, Kejuruteraan Komputer, Sains Biologi, Matematik Industri, Matematik Tulen dan Sains Matematik termasuk pelajar jurusan Pendidikan Islam dan Psikologi. Cabaran besar untuk menyeru agar para pelajar ini sekurang-kurangnya mendekati dan meminati bidang yang 'kurang laku - kurang diminati - kurang didekati' masyarakat kini.
6. Ada yang memandang sinis, ada yang memandang sepi, ada yang tidak tahu menahu langsung, ada yang menyindir, dan pelbagai hal yang membuatkan cabaran ini semakin menarik kerana ingin meyakinkan bahawa bidang atau hal ini juga amat diperlukan dan penting dalam kehidupan.
7. Serba ringkasnya; walaupun telah selesai 14 kelas (2 jam untuk satu kelas) atau 14 kali pertemuan namun hakikatnya banyak lagi hal dan kaedah yang harus digerakkan untuk para pelajar ini meminati juga bidang ini. Membanggakan pabila para pelajar kelas ini berjaya menyiapkan 6 tugasan mingguan dengan baik serta ada pelajar yang mencapai tahap mutu yang tinggi.
8. Menyeru dan menyampaikan ilmu kepada para pelajar yang cerdik pandai dan cepat berfikir ini cukup membahagiakan dan membanggakan kerana mereka cekap dan cepat juga menangkap inti ilmu yang disampaikan walaupun awalnya (kelas 1 - 3) majoriti pelajar agak 'kelam dan kelabu'. Para pelajar ini sebenarnya memang dikurniakan fikiran yang bermutu tinggi serta bijak, oleh sebab itulah mereka masuk ke UTM ini merupakan pelajar bijak pandai di sekolah dan mendapat keputusan peperiksaan yang hebat.
9. Jujur dinyatakan banyak lagi kelemahan dalam menyeru dan menyampaikan ilmu itu buat para pelajar ini namun kesedaran atas kelemahan inilah menyebabkan rasa ingin menambah baik kaedah seruan dan keyakinan diri yang harus bertahap yang lebih tinggi serta agresif demi menyebarkan kepentingan inti ilmu ini yang dikategorikan sebagai 'kurang laku - kurang diminati - kurang didekati'.
10. Ada juga sepicing serta sekecil kelebihan dalam menyeru dan menyampaikan ilmu ini ketika 14 kali kelas yang harus dikekalkan momentumnya berdasarkan pengalaman yang diperoleh. Diri yang sebelum ini rasa kecil pabila berhadapan dengan para pelajar yang bijak pandai bidang sains, teknologi dan matematik ini semakin berkurang rasa itu peringkat demi peringkat apatah lagi setelah memperoleh pengalaman baharu dan penuh bermakna ini walau hanya seketika cuma.
11. Kutipan Umum Pengalaman Ini: Setelah memperoleh serba sedikit pengalaman di kampus unggul jurusan sains, teknologi, matematik di Malaysia ini; realitinya serta banyak, luas dan besar cabarannya lagi buat para pejuang, pembimbing, penegak dan penggerak bidang sastera dan bahasa Melayu di negara ini dalam situasi kini untuk mendekatkan bidang sastera dan bahasa Melayu kepada masyarakat di luar - bukan hanya buat para pelajar yang sarat dengan penguasaan bahasa Inggeris di universiti kini tetapi juga buat golongan masyarakat yang berstatus lain yang langsung ketepikan hal-hal sastera dan bahasa Melayu ini.
12. Melalui pengalaman ini juga, diri ini ada kutipan dan dapatan lain yang mendebarkan juga tentang hal sikap dan penerimaan para pelajar terhadap sastera dan bahasa Melayu yang mungkin akan disampaikan secara eceran-eceran dalan topik dan entri lain nanti.
13. Pengalaman ini sememangnya cukup besar maknanya; terima kasih para pelajar UQP 1041, terima kasih Pusat Kokurikulum UTM, terima kasih Hj. Zulkifli Khair, dan terima kasih Cikgu Azhar Salleh (Sifuku).
5 ulasan:
Salam RAR,
Tahniah kerana telah berjaya membuktikan bahawa selagi kepercayaan dan keyakinan bersarang dalam diri, selagi itulah sesuatu yang sukar itu dapat dijadikan kenyataan. Saya, hanyalah sebagai pendorong dan penyokong tegar tuan. Mudah-mudahan tuan akan terus melangkah dengan lebih hebat, mantap, dan berwibawa pada masa akan datang. Langkah pertama wajarlah disusuli dengan langkah seterusnya...Sekali lagi, syabas dan tahniah!
Sdr. RAR,
sudah sewajarnya mengisi kekosongan jawatan 'tersebut'. dgn ilmu dan pengalaman yg ada, sudah semestinya ini satu kredit!
Salam RAR,
Peganglah pepatah Melayu, "sebutir benih yang baik, akan bercambah menjadi pulau". Ilmu yang baik dan disebarluaskan pasti akan menjadi padang hijau menjadi ambal amal selama-lamanya.
RAR,
Ada jenis manusia berilmu tetapi tak mampu mengajar. Ada golongan yang boleh mengajar namun sangat sedikit berilmu. Tuan? Punya ilmu, sedang mengumpul kekuatan untuk belajar mengajar.
Cikgu Azhar,
Ada beberapa cerita dan dapatan menarik dan mengejutkan (tentang hal sastera / bahasa dalam kalangan pelajar U) diperoleh hasil pengalaman ini... bila dapat jumpa akan dihuraikan serba adanya nanti.
Azura,
Sememangnya ini sesuatu pengalaman baharu yang luar biasa sikit sifatnya, namun ini menambahkan ilmu dalam diri sendiri juga... Terima kasih atas ucapan.
Cikgu Nizar,
Pengalaman kecil ini juga dapat menyelami serba banyak juga keadaan sebenar seorang guru dalam mendidik pelajar. Terima kasih atas ucapan dan ingatan.
Ustaz Azman,
Terima kasih atas kunjungan, terima kasih juga atas kata-kata yang ada maknanya itu juga...
Catat Ulasan