Selasa, Mac 09, 2010

HUJUNG BENUA - MAKANAN LAUT YANG SEGAR DAN ENAK...

Buku antologi puisi 'Bicara Hujung Benua' terbitan PPJ.

Ria Asmira penuh khusyuk mengucapkan puisinya 'Bahasa Rindu Ini, Piai'.

Acara Senandung Puisi Hujung Benua dilangsungkan pada 6 Mac 2010 (Sabtu - sekitar pukul 8.30 malam sehingga 11 malam) di tempat dan pentas terbuka Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor. Acara ini merupakan anjuran bersama Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor (JKKNNJ) dan Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Piai. Acara diadakan sambil makan malam di tempat terbuka sempena lawatan ahli dan AJK Persatuan Penulis dan Kebajikan Selangor (KEMUDI) seramai 40 orang.
Walaupun cuaca agak panas namun suasana malam di tanah daratan hujung benua Asia ini cukup mengesankan para khalayak seramai 160 - 180 orang pabila sesekali angin bertiup agak kencang. Makan malam berlauk ketam, sotong dan udang menyelerakan ditambah kilauan lampu kapal dagang di seberang yang jelas kelihatan. Muzik dan nyanyian lagu ghazal oleh para pelajar sekolah juga menyerikan makan malam dan pengucapan puisi.
Deklamasi puisi melibatkan para penyair PPJ dan KEMUDI termasuk deklamasi oleh tetamu jemputan iaitu Dr. Gunawan Mahmood (penasihat PPJ / Setiausaha Politik MB Johor) dan Pengarah DBPWS. Wakil penyair PPJ yang membacakan puisi termasuklah Amiruddin Ali (Ketua 1 PPJ), Md. Yusof Ali (Ria Asmira), Yahaya Suip, Zolkeple Jemadar, Sulaiman Md. Nor, Hamzah Hamdan, dan Nurzihan Mohd Zain manakala wakil penyair KEMUDI merupakan Abu Hassan Ashari Abas (Ketua 2 KEMUDI), Mohd Khairi Ahmad, Ismail Supandi dan Mahwa Mohamed. Penampilan khas pula merupakan Khalid Salleh serta yang agak mengejutkan nyanyian lagu oleh Ayai Ilusi (tanpa dirancang oleh pihak PPJ).
Sempena acara ini pihak PPJ berjaya menerbitkan sebuah buku antologi puisi iaitu 'Bicara Hujung Benua' yang mengumpulkan 38 puisi (38 penulis) yang banyak mengandungi puisi khas tentang Tanjung Piai. Para penulis puisi prolifik negeri Johor yang menyumbangkan karyanya termasuklah (ikut susunan abjad... hanya menyebut beberapa nama) Amiruddin Ali, Azhar Salleh, Mohamad Taufek, Mohd Khairy, Mohd Rosli Bakir, Nazim Subari, Ria Asmira, Shamsudin Othman, Shapiai Mohd Ramly, WB Rendra, Yahaya Suip dan Zolkeple Jemadar. Buku ini dilancarkan pada malam itu oleh Dr. Gunawan Mahmood; beliau juga merupakan mantan Ketua 1 PPJ sebelum ini dan seorang penulis puisi prolifik serta punyai nama tersendiri peringkat negeri Johor dan kebangsaan sejak tahun 1980-an lagi.

3 ulasan:

mohamad kholid berkata...

ingat lagi perhimpunan penulis muda bbrp tahun lepas di tanjung piai...

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Maaf kerana berterusan menemukan kegagalan untuk bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuangan di tanjung, biarpun karya dideklamasikan oleh Pengarah. Saya masih terbelenggu oleh tuntutan lain. Entah sampai bila...

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan Mohamad Kholid,
Terima kasih atas ingatan itu... ada hasil dalam bentuk antologi karya pelajar yang dihasilkan juga...

Cikgu Azhar,
Hamba mengerti atas halangan yang Cikgu hadapi, namun hamba tidak pernah kecewa untuk sentiasa mengundang @ mengajak Cikgu...