Rabu, Disember 30, 2009

SANTAI: SEARCH 'LIVE IN JB 2009'

Kulit Cakera Padat (CD) Album.


Hillary Ang dan Lirik Lagu - dalam CD album ini.

1. Album SEARCH LIVE IN JB 2009 CITY OF "ROCK N ROLL" mula berada dipasarkan dua bulan yang lalu, diri ini segera mendapatkan cakera padat (CD) kerana album ini merupakan rakaman Konsert Search Di Awan Biru pada 9 Mei 2009 di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru, Johor. Pastinya konsert ini disaksikan bersama 'otai' rock bernama Witra pada ketika itu. Setelah mendengar berbelas-belas kali CD ini maka hari ini barulah berkesempatan untuk menukilkan sesuatu dalam blog yang rencam sifatnya ini.
2. Pabila album mula dihebahkan diri ini segera mendapatkannya kerana ingin menikmati muziknya, ya... berlainan sekali berbanding ketika konsert yang sebenarnya pabila rakaman muzik asalnya telah disunting dan diadun dalam bentuk 'mastering' untuk kesesuaian mutu muzik dalam sesebuah album apatah lagi melibatkan album konsert sebegini. Mutu bunyi album ini memang pada tahap yang tinggi dan menyelerakan didengar serta dinikmati.
3. Pernah selepas konsert sebenarnya di Johor Bahru pada 9 Mei 2009 yang lalu, diri ini bersetuju dengan pendapat Witra bahawa mutu muziknya agak kurang memuaskan serta kurang dapat dinikmati dalam konteks sebuah konsert atau mungkin ketika itu telinga ini kurang menangkap alunan muziknya kerana kedudukan ketika konsert itu kerana duduk di bahagian tepi stadium - ya... mungkin kotak pembesar suara (speaker) kurang menghala kepada penonton yang duduk menyaksikan dari bahagian tepi stadium!
4. Album yang memuatkan 13 'track' lagu (ada 'track' dalam CD ini digabung 2-3 lagu serentak - kesemuanya sebanyak 19 lagu dan irama solo) ditebitkan secara eksklusif oleh Sony Music Entertainment manakala penerbitnya oleh kumpulan Search sendiri. Antara lagu yang terkandung dalam album ini termasuklah 'Paranoid', 'Balada Pemuzik Jalanan', 'Setelah Hujan', 'Langit dan Bumi', 'Pelesit Kota', 'Bencana', 'Isi dan Kulit', 'Mat Rock' dan 'Pasti' termasuklah lagu wajib Search iaitu 'Fantasia Bulan Madu'.
5. Alunan gitar solo Hillary Ang cukup memberikan kesan mendalam, manakala drum solo Yazit cukup membuatkan tangan dan kaki ini ingin sekali bermain drum (tapi tidak pandai...). Selain Amy, Hillary dan Yazit, pemuzik lain seperti biasa Din dan Nasir termasuk pemain keyboard / sessionist bernama Roza.
6. Jika anda peminat muzik 'rock otai' bolehlah mendengar CD konsert Search di Johor Bahru ini untuk menikmati muzik dan gema suara Amy termasuk laungan penonton yang hadir menyaksikan konsert ini, yang pasti laungan suara diri ini dan Witra tiada dalam CD ini kerana ketika konsert duduknya di bahagian tepi pentas.


6 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam en.rusdi. entri kali ni pula macam 'berlawan2' dengan entri kanda azhar.he.he.

Unknown berkata...

Salam tuan. Bunkface tetap di hati saya,insan tua berjiwa muda...

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Saya belum mendapatkan CD ini kerana 'bimbang' dgn mutu audionya. Tapi, selepas membaca entri ini, saya akan mendapatkannya untuk mendengar lantunan Amy, gorengan Hillary dan Nordin, ketukan Yazid, dan dengungan Nasir, dan mungkin juga suara 'kerdil' RAR dan WITRA! Search, nama besar dlm arena rock kapak dan tidak wajarlah Otai melepaskannya. Dinda Wahyu, rasanya RAR tidak berlawan dgn WITRA kerana RAR pun pelayan rock yang tegar. Ulasan RAR selalunya lengkap dan termuat fakta yang menarik dan padu, berbanding dengan WITRA yang lebih ke arah "Curahan Rasa" XPDC. Apa-apapun, gua tabik sama lu, RAR! Teruskan kupas album Otai!

Sharrul Rizal Hashim berkata...

Keep On Rockin!...he..he..Harap2 album ini bukan album terakhir Search. Cuma Yazit agak terkilan kerana sebenarnya beliau yang membuat mastering untuk album ini tetapi tercatat nama orang lain untuk kerja tersebut. Insyaallah, kalau ada rezeki Search akan ke JB lagi pada tahun 2010....

Farmilla Hamdi berkata...

Salam sdr. Rusdi,

Saya juga minat SEARCH, WING dan beberapa kumpulan rock 80-an dan 90-an. Yang jelas, lirik lagu mereka cukup "lunak" untuk didengari, apatah lagi diadun dengan iramanya yang sesuai.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Sdra. Wahyu,
Hehehe... Tiada niat untuk 'berlawan-lawan' dengan Sifu pasal paparan dunia rock 'otai' ini, sekadar berkongsi pandangan apatah lagi Sifu @ Witra merupakan perujuk unggul dan utama diri ini dalam hal-hal rock 'otai' ini.

Tuan Samsudin,
Maaf tuan, saya secara peribadi tidak berapa minat kumpulan yang bergelar 'indie' seperti Bunkface, Hujan, Meet Uncle Hussein dan lain-lainnya pada zaman ini kerana kumpulan sebegini lebih menonjolkan ciri-ciri glamor diri berbanding muziknya. Namun tidak salah kerana masing-masing punyai minat tersendiri kerana ini negara demokrasi...

Cikgu Azhar @ Sifuku,
Memang diri ini segera dapatkan CD itu kerana ingin tahu muziknya kerana ketika konsert sebenarnya cikgu dan diri ini tahu mutunya... maka setelah berulang kali dengar pastinya mutu muziknya berlainan (berbanding ketika konsert) setelah alami proses 'mastering' untuk kesesuaian terbitan CD. Cuma yang terkilan juga sedikit dalam CD ini kerana tiada lagu bernada pantas seperti 'Pawana' dan 'Derap Komando'.

Sdra. Sharrul,
Sesungguhnya Sdra. selaku antara tenaga penggerak Search mengetahui banyak tentang hal-hal Search ini berbanding kita di sini. Terima kasih atas makluman, jika ada makluman lagi segeralah beritahu ya...

Sdra. Jaafar,
Lirik dan muzik rock 'otai' memang berbeza mutunya berbanding kumpulan 'indie' yang ada kini, maka sebab itulah rock 'otai' 1980-an terus diminati...