Khamis, November 26, 2009

NASI KUKUS - NASI GULAI KAWAH - NASI BERLAUK: BERAT BADAN BERTAMBAH...!

Contoh foto Nasi Kukus - ini Nasi Kukus yang terhidang di hotel yang nampaknya agak mewah hidangannya...


Berada di negeri Kelantan atas urusan rasmi serta bersambung cuti pasti tidak melepaskan peluang untuk menjamah pelbagai jenis masakan dan makanan. Bermula 21 November hingga hari ini (Khamis) makan bertambah kerana selera cukup 'mengghairahkan', ya... makanan dan masakan Kelatan agak sukar diperoleh di Johor, jika dapat sekalipun rasanya kurang enak berbanding menikmatinya di negeri Kelantan sendiri. Sama juga Nasi Kandar di Pulau Pinang tidak sama rasanya di negeri Johor.
Makan NASI KUKUS - NASI GULAI KAWAH - NASI BERLAUK merupakan pilihan utama sepanjang hari bermula awal pagi sehingga malam. Pastinya NASI KUKUS cukup popular dan menyelerakan buat masa kini kerana ayam goreng berempah bersama kuah, sedikit sayur dan sambal pedasnya. Orang ramai beratur panjang di kedai yang terkenal dalam hal masakan NASI KUKUS ini! Jangan dilupa NASI GULAI KAWAH yang cukup menggiurkan hingga tambah nasi sampai tiga kali! Selain tiga jenis nasi tersebut, pelbagai jenis kuih juga dimakan dengan jumlah yang banyak.
Kesan keghairahan makan makanan tersebut sejak 6 hari berturut-turut maka berat badan terasa naik mendadak! Setakat tinjauan rambang masakan asam pedas Johor dan Melaka tiada di Kelantan, namun pabila berada di Kelantan ini maka masakan Kelantan menjadi 'ketagihan' yang sukar dikawal...?
Mungkinkah kerana hal makanan maka suatu hari nanti akan menabur khidmat di Kota Bharu, Kelantan @ DBPWT?

Isnin, November 23, 2009

SASTERAWAN NEGARA DI KOTA BHARU - PROMOSI KARYA SASTERA PERLU GIAT DAN AGRESIF!

Dato' Dr. Anwar Ridhwan bersama Rahimidin Zahari (pengerusi sesi) dalam Majlis Astaka Minda di DBPWT.


1. Rasa beruntung serta bertuah dapat menghadiri sebuah majlis ilmu yang melibatkan Sasterawan Negara yang baharu dinobatkan iaitu Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Program Majlis Astaka Minda Bersama SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan bertemakan 'Memperkasakan Sastera Kebangsaan' di Dewan Seminar DBP Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, Kelantan pada 23 November 2009 (Isnin). Majlis ini merupakan anjuran penuh Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBPWT yang diusahakan oleh En. Shahrul Rizal (Pustakawan merangkap Pengurus Program Sastera DBPWT yang terkini).
2. Ceramah berkisar tentang pemerkasaan sastera dalam negara serta luar negara. Semalam (Ahad - 22 November 2009) SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan juga mengadili Pertandingan Monodrama Adaptasi Cerpen DBPWT selaku Ketua Hakim. Idea adaptasi cerpen kepada skrip monodrama lalu dipentaskan juga merupakan jasa sumbangan pandangan beliau sebelum pertandingan itu dijalankan.
3. Banyak isu dan idea yang disampaikan oleh Dato' Dr. Anwar Ridhwan dalam majlis ini, namun satu isu yang menarik perhatian diri ini yang ingin dikongsi serba ringkasnya melalui entri blog ini - PROMOSI KARYA SASTERA. Menurut Dato' Dr. Anwar Ridhwan, "sebagus dan sebaik sesebuah karya sastera itu tidak akan ke mana jika tiada usaha promosi yang giat untuk disebarkan kepada masyarakat umum, karya sastera yang tinggi nilainya tidak akan dinikmati oleh masyarakat umum jika produknya tidak diketahui oleh masyarakat...!"
4. Selain itu, isu mata pelajaran sastera yang berkait dengan penutupan kelas sastera di sekolah yang serius juga disentuh oleh beliau; serta pelbagai isu dan isi kandungan penuh bermakna yang disampaikan oleh SN ini perlu mendapat perhatian pihak pemerintah - ya... pabila sudah bergelar SN maka diharap suara SN didengar dan diberikan perhatian oleh pihak berkuasa.

PERTANDINGAN MONODRAMA ADAPTASI CERPEN DBPWT



Pada`22 November 2009 (Ahad) bertempat di Dewan Seminar DBP Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, Kelantan berlangsung buat julung kalinya Pertandingan Monodrama yang diusahakan oleh DBPWT. Pertandingan monodrama ini agak berlainan dan unik kerana mengambil karya cerpen untuk dijadikan skrip lalu dipentaskan. Lima kumpulan menyertai pertandingan yang mensyaratkan hanya 20 minit pementasan monodrama. Kelainan inilah yang menjadikan pertandingan kelolaan DBPWT ini cukup menarik perhatian. Bermula perancangan, idea awal dan pengurusan oleh En. Syaidul Azam Kamarudin (mantan Pengurus Projek Sastera DBPWT) lalu diteruskan oleh Sn. Shahrul Rizal (Pustakawan serta merangkap Pengurus Projek Sastera DBPWT yang terkini) maka pertandingan berlangsung dengan baik dan lancar.
Hakim yang mengadili pertandingan yang menawarkan hadiah sebanyak RM3,000.00 (johan), RM 2,000.00 (tempat kedua), RM1,000.00 (tempat ketiga) dan RM500.00 untuk dua hadiah sagu hati merupakan Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan, En. Rahimidin Zahari (Pegawai Istana Budaya) dan En. Hassan Jali (mantan Pengarah JKKNN Kelantan). Terdapat kumpulan yang memaparkan pementasan yang bertenaga dan penuh semangat lalu mengangkat mesej dalam karya cerpen yang ditetapkan dengan teratur dan difahami oleh khalayak.
Diri ini berkesempatan menyaksikan pertandingan ini kerana undangan khas pihak DBPWT. Asal hasrat pihak DBPWT berminat untuk mengadakan pertandingan monodrama ini setelah diri ini mengusahakan Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007 yang diadakan pada bulan April 2007 dahulu. Pihak DBPWT ada bertanyakan serta merujuk gerak kerja diri ini dalam mengadakan pertandingan sebegini, lalu diri ini tidak bersembunyi lalu memberikan banyak hal berbentuk lisan dan kertas perancangan (seadanya dan semampunya) tentang konsep dan kaedah penganjuran pertandingan sebegini. Membanggakan pihak DBPWT mempunyai kaedah yang berlainan dengan mengangkat karya cerpen untuk dijadikan skrip lalu dipentaskan.
TAHNIAH PIHAK DBPWT ATAS PENGANJURAN PERTANDINGAN MONODRAMA INI YANG PUNYAI KELAINAN SERTA UNIK ATAS DASAR MENGANGKAT KARYA CERPEN UNTUK DIPERTANDINKAN DAN DIPENTASKAN.

Ahad, November 22, 2009

PERJALANAN KE KOTA BAHRU - HUJAN DAN BANJIR

Melalui jalan yang dilintasi air banjir yang agak deras di jalan Kuala Krai menuju Kota Bharu (selepas bandar Kuala Krai) - foto dirakam dari dalam kereta sendiri.


Pemandangan arus air deras Sungai Kelantan dari sebuah hotel ternama di Kota Bharu yang terletak di pinggir Sungai Kelantan.

Selepas berada di Kuala Lumpur pada 20 November 2009 (Jumaat), maka pada 21 November 2009 (Sabtu) bertolaklah ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur melalui Bentong - Kuala Lipis - Gua Musang - Kuala Krai. Pemergian ke Kota Bharu kerana diundang pihak DBP Wilayah Timur (DBPWT) untuk menghadiri dua program iaitu Pertandingan Monodrama Adaptasi Cerpen (22 November 2009 - Ahad) dan Majlis Astaka Minta Bersama Sasterawan Negara Dato' Anwar Ridhwan (23 November 2009 - Isnin).

Hujan sepanjang perjalanan bermula dari Bentong sehingga ke Kota Bharu. Selepas melalui bandar Kuala Krai untuk menuju ke Kota Bharu kesesakan kenderaan di jalan raya tersebut terjadi, rupanya air sudah mula naik di sebatang anak sungai di situ (seperti foto di atas), arus air pantas melintasi jalan namun masih boleh dilalui kenderaan kecil tetapi harus berhati-hati. Ramai masyarakat di situ keluar menyaksikan perkara ini termasuk pihak keselamatan menjaga keadaan dengan lancar.

Sampai di Kota Bharu sudah awal malam, menginap di sebuah hotel yang betul-betul di pinggir Sungai Kelantan. Hotel ini telah dibantu awal tempahannya oleh kakitangan DBPWT. Arus air Sungai Kelantan deras serta sudah meninggi pada tahap berjaga-jaga (seperti foto di atas).

PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA - TAHNIAH PENA

Lim Swee Tin mendeklamasikan puisi dalam majlis perasmian Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 2009 di DBP Kuala Lumpur. (foto rakaman sendiri - gunakan telefon bimbit)

Jumaat lalu (20 November 2009) sempat menghadiri majlis perasmian Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 2009 anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama DBP, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Dewan Bankuet DBP, Kuala Lumpur. Program ini merupakan acara kali ketiga selepas 2007 dan 2008 diadakan di Indonesia yang melibatkan peserta @ penyair dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.
Sempena program ini sebuah buku antologi puisi penyair 5 negara ini diterbitkan oleh PENA yang berjudul 'RUMPUN KITA' yang terkandung lebih 100 puisi. Mengutip kata-kata pengenalan dalam buku ini pihak penyelenggara (Shamsudin Othman - Rahimidin Zahari - Mohamad Saleeh Rahamad - SM Zakir) menyatakan "walaupun jumlah puisi tidak seimbang antara negara, sekurang-kurangnya inilah buah tangan yang akan kekal menjadi bukti pertemuan ini."
Diri ini sempat juga menyumbang sebuah puisi dalam antologi ini setelah dipelawa oleh SM Zakir dan Shamsudin Othman, dan diri ini juga mempelawa Cikgu Azhar Salleh (Munsyi Dewan DBP @ Penulis Prolifik Karya Puisi - Cerpen negeri Johor dan kebangsaan) menyumbang sebuah puisi, lalu Cikgu Azhar Salleh menghantar puisi berjudul 'MELECURLAH BAHASA' yang turut terkandung dalam antologi ini. Terima kasih yang besar sifatnya buat Sdra. SM Zakir dan Shamsudin Othman atas pelawaan ini.
Sempatlah juga berjumpa beberapa penulis dan penyair puisi yang kebanyakannya bertaraf prolifik serta terkenal dalam dunia kepenyairan kebangsaan pada malam perasmian tersebut. Tn. Hj. Shapiai Mohd Ramly dan Sdra. W.B. Rendra wakil penulis prolifik karya puisi peringkat kebangsaan dari Johor turut hadir. Sayangnya program yang bermula Jumaat hingga Ahad (20 - 22 November 2009) tidak dapat disertai sepenuhnya kerana diri ini terpaksa ke Kota Bharu (DBP Wilayah Timur) kerana ada dua program undangan di sana pada tarikh 22 - 23 November 2009.

Khamis, November 19, 2009

PEPERIKSAAN SPM - KISAH 20 TAHUN LALU...

Gambar Hiasan Album SEARCH - FENOMENA (1989).


Foto di atas walaupun hanya dilabelkan 'gambar hiasan' sahaja tetapi cukup dan hebat popularitinya pada tahun 1989. Lagu 'Pawana', 'Fenomena', 'Derap Komando', dan kesemua lagu dalam album ini merupakan 'lagu pembunuh' ketika itu - ketika itulah remaja sekolah berusia 17 tahun mengambil peperiksaan SPM!
Bermula semalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung. Peperiksaan SPM ini merupakan satu peperiksaan yang serius dalam menentukan hala tuju seseorang pelajar tingkatan 5 sama ada terus melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi iaitu tingkatan 6 (STPM), diploma dan seterusnya ijazah pertama, atau terus berhenti sekolah lalu bekerja dalam pelbagai bidang dengan kelayakan sijil SPM sahaja.


Kisah peperiksaan SPM tahun 1989 iaitu 20 tahun yang lalu cukup meninggalkan kesan abadi dalam diri. Kesemua pelajar tingkatan 5 pada tahun 1989 yang mengambil kertas wajib iaitu Bahasa Melayu terpaksa mengambil kertas ini dua kali peperiksaan kerana soalan Kertas 1 Bahasa Melayu bocor. Riuh dan gamat ketika itu tentang tersebarnya kertas soalan bocor termasuk (dengar katanya...) kertas peperiksaan yang lain juga. Bagi diri ini yang jauh di negeri pantai timur agak lambat mendapat khabar tentang hal-hal sebegini namun yang menjadi mangsanya kesemua pelajar terpaksa mengambil semula kertas Bahasa Melayu itu!


Pada tahun peperiksaan SPM tahun 1989 itu diri ini hanya bertujuan untuk lulus sahaja - maksudnya sasaran hanya untuk dapat masuk tingkatan 6 sudah membanggakan kerana diri ini telah 'tersilap' masuk aliran Sains ketika tingkatan 4 sedangkan diri ini lemah dalam dalam subjek Sains (Fizik - Kimia - Biologi), Matematik Moden dan Matematik Tambahan.


Diri ini ketika tingkatan 5 sudah tahu subjek tingkatan 6 kerana berkawan secara serius juga dengan pelajar yang mengambil STPM, lalu diri ini amat berminat untuk sekadar masuk tingkatan 6 sahaja... ada subjek Sejarah, Geografi, Pengetahuan Am, dan Kesusasteraan (kecuali subjek Ekonomi yang agak kurang minatnya). Maka dalam peperiksaan STPM tahun 1991 diri ini memperoleh 5P (2A - 2B - 1C) lalu masuklah diri ini ke sebuah universiti di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

AZHAR SALLEH DAN AKHBAR CINA

Azhar Salleh tekun dan ceria membimbing. (Akhbar Sin Chew Daily)


Penuh satu halaman berita dan foto kursus. (Akhbar Sin Chew Daily)

Berita dan foto kursus. (Akhbar Nanyang Siang Pau)

Kursus Penataran Bahasa Melayu Guru Sekolah Menengah Persendirian Cina (SPMC) diusahakan oleh Bahagian Pengembangan Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum DBP telah diadakan di Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru pada 16 - 17 November 2009. Kursus ini melibatkan seramai 30 guru bahasa Melayu SPMC di negeri Johor dan Melaka. Kursus ini mendapat liputan akhbar Cina iaitu Sin Chew Daily dan Nanyang Siang Pau.
Akhbar Sin Chew Daily menyiarkan secara penuh satu halaman berita dan foto warna tentang kursus tersebut (seperti foto di atas) dalam akhbarnya semalam (18 November 2009) dalam ruangan Edisi Johor. Akhbar Nanyang Siang Pau juga menyiarkan berita dan foto tentang kursus dalam halaman 12 iaitu halaman nasional akhbar tersebut.
Cikgu Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP dijemput selaku penceramah dan pembimbing pada 17 November 2009 menyatakan kepada diri ini bahawa beliau cukup teruja atas pelibatan penuh minat dan komited dalam kursus ini walaupun beliau hanya berpeluang memberikan tunjuk ajar dan bimbingan satu hari sahaja. Beliau juga menyatakan bahawa cabaran besar yang berskala positif dalam membimbing para guru SPMC ini atas beberapa sebab dan perkara, hanya beliau dan diri ini mengetahuinya.
Tahniah Cikgu Azhar, foto termuat dalam dua akhbar berbahasa Cina walaupun berita yang dilaporkan tidak boleh dibaca, mungkin boleh dapatkan bantuan guru @ Munsyi Dewan DBP yang berbangsa Cina untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Foto Azhar Salleh ini juga pernah termuat dalam akhbar Singapura pada tahun 2007 yang berkait tentang 'pisang sejoli'; masih tersimpan dalam koleksi diri ini.

PORTUGAL MARA - PERANCIS LEGA - RUSIA MERANA


Maka lengkaplah kuota pasukan Zon Eropah yang layak ke Piala Dunia 2010 nanti setelah selesai perlawanan sengit 'play-off'. Portugal mara menewaskan Bosnia 1-0 (agregat 2-0), Slovenia layak setelah menewaskan Rusia 1-0 (agregat 2-2: menang gol di tempat lawan), Greece layak menumpaskan Ukraine 1-0 (agregat 1-0), dan Perancis agak cemas terpaksa menunggu masa tambahan dengan Republik Ireland seri 1-1 (agregat 2-1).
Diri ini sempat menyaksikan perlawanan Rusia menentang Slovenia dan Portugal lawan Bosnia secara langsung Astro 811 dan Astro 816 pagi tadi iaitu bermula pukul 3.45 pagi - 5.40 pagi. Slovenia cukup agresif menyerang dan mengekang pemain Rusia, namun kelibat pemain pujaan dan kebanggaan Arsenal iaitu Arshavin tidak mencemaskan dan longlai dalam perlawanan tersebut. 2 pemain Rusia dikenakan kad merah, Rusia bermain 'bergaya' semacam pasukan hebat namun pabila ketinggalan 1-0 mulalah agresif menyerang - kasihan Guus Hiddink jurulatih pasukan Rusia yang sempat separuh musim dalam EPL (musim lepas) membimbing Chelsea.
Manakala pasukan Portugal tetap dengan 'penyakit' lama memandangkan ramai pemain ternama dan punyai bintang bermain 'bergaya dan tunjuk lagak individu' ketika menentang Bosnia. Ronaldo masih cedera, tidak bermain; jika Ronaldo ada mungkin lebih banyak skil individu yang ditonjolkan dalam pasukan Portugal ini! Bosnia lebih menyengat dalam 60 minit perlawanan namun kekuatan pengalaman pemain Portugal menafikan gol buat Bosnia.
Perancis sebenarnya cemas serta hampir tidak ke Piala Dunia 2010 pabila dalam perlawanan penuh 90 minit Perancis ketinggalan 0-1 kepada Republik Ireland. Namun mengikut peraturan perlu tambahan masa 30 minit kerana agregat ketika itu 1-1 (Perancis menang 1-0 ke atas Republik Ireland di Dublin), akhirnya William Gallas (bekas pemain Chelsea yang kini bermain untuk Arsenal) menyumbat gol penyamaan dalam masa tambahan. Layaklah Perancis dengan agregat 2-1.

Sabtu, November 14, 2009

PENILAIAN KARYA PELAJAR UNTUK ANTOLOGI

Cikgu Azhar Salleh tekun berfikir sambil 'diperhatikan' mantan dan Ketua Pengarah DBP terkini yang kesemuanya memakai kaca mata!


Karya-karya puisi dan cerpen pilihan pelajar perkampungan tahun 2008-2009 bersama Cikgu Amiruddin Ali dan Cikgu A. Rani Embi.

Cikgu Amiruddin Ali serius dalam penilaian karya-karya puisi pelajar.

Perbincangan 3 orang penilai tentang pemilihan karya pelajar diselit juga dengan perbualan 'hangat' tentang pemilihan karya dalam KOMSAS!!!?

Buku antologi karya puisi 'Jaring Harapan' pelajar Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Johor-Melaka tahun 2006-2007.

Buku antologi karya cerpen 'Pengorbanan' pelajar Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Johor-Melaka 2006-2007.

1. Usaha untuk menerbitkan karya cerpen dan puisi pelajar hasil Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2008-2009 diteruskan dalam kekangan peruntukan kewangan yang semakin mengecil. Karya pelajar harus diterbitkan setidak-tidaknya ada hasil karya terbaik yang terpilih melalui program perkampungan sebegini walaupun penerbitan ini hanya bersifat 'khidmat sosial' iaitu diberikan percuma.
2. Sebelum ini telah terhasil 5 buah antologi karya cerpen dan puisi pelajar sejak tahun 2003 sehingga 2007 yang mengikuti program perkampungan ini seperti maklumat di bawah:
i. Antologi Cerpen 'Pengorbanan' - pelajar perkampungan tahun 2006-2007.
ii. Antologi Puisi 'Jaring Harapan' - pelajar perkampungan 2006-2007.
iii. Antolgi Cerpen 'Misteri Otak Szalinsky' - pelajar perkampungan 2003-2005.
iv. Antoogi Cerpen 'Risik' - pelajar perkampungan 2003-2005.
v. Antologi Puisi 'Putik Hijau' - pelajar perkampungan 2003-2005.
3. Semalam (Jumaat - 13 November 2009 - 8.30 malam hingga 11.30 malam) di Bilik Mesyuarat DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru diadakan perbincangan dan penilaian karya pelajar tersebut oleh tiga orang guru dan penulis prolifik karya sastera merangkap tenaga pengajar/pembimbing utama program perkampungan iaitu Cikgu Azhar Salleh, Cikgu A. Rani Embi dan Cikgu Amiruddin Md. Ali Hanafiah.
4. Berdasarkan perbincangan dan penilaian tersebut beberapa ketetapan dihasilkan:
i. Sebanyak 20 karya cerpen akan diterbitkan - cerpen pelajar yang diperoleh sepanjang perkampungan 2008-2009 sebanyak 80 cerpen.
ii. Sebanyak 80 karya puisi akan ditebitkan - puisi pelajar yang diperoleh sepanjang perkampungan 2008-2009 sebanyak 250 puisi.
iii. Penerbitan 2 buah antologi iaitu karya cerpen dan karya puisi.
iv. Walaupun penerbitan ini berskala 'khidmat sosial' sahaja, namun prosesnya tetap seperti penerbitan buku lain yang bertujuan untuk pasaran umum - ada ISBN, mengikut Gaya Dewan, saiz yang bertepatan dan sebagainya.
v. Sebanyak 1,000 - 1,500 naskhah akan dicetak untuk setiap antologi yang bakal terbit menjelang akhir Disember 2009 ini.
5. Secara peribadi diri ini akan tetap mengusahakan penerbitan sebegini khasnya karya pelajar sekolah yang mengikuti program perkampungan peringkat negeri walaupun mungkin mutu kertas dan kulit bukunya pada tahap biasa sahaja (kerana peruntukan kecil serta terhad dan bernilai 'khidmat sosial') tetapi karya yang dipilih dan terpilih oleh tenaga pengajar/pembimbing seperti Cikgu Azhar Salleh - Cikgu A. Rani Embi - Cikgu Amiruddin Ali seboleh mungkin merupakan karya terbaik pelajar yang memperoleh ilmu dan bimbingan dalam bidang penulisan kreatif. Karya cerpen dan pelajar perkampungan tahun 2007 negeri Johor melalui dua buah antologi 'Pengorbanan' dan 'Jaring Harapan' meraih kesemua 6 hadiah dalam kategori karya remaja bawah 19 tahun dalam Hadiah Sastera Darul Takzim VII 2009 pada bulan Julai yang lalu.
6. Buat Cikgu Azhar Salleh - Cikgu A. Rani Embi - Cikgu Amiruddin Ali diucapkan berbanyak terima kasih serta sekalung penghargaan atas usaha penuh gigih serta komited dalam menilai dan memilih karya yang bakal diterbitkan ini. Cikgu Azhar Salleh dan Cikgu A. Rani Embi juga merupakan tonggak utama serta pembimbing utama dalam program perkampungan tahun 2008 - 2009 bagi negeri Johor dan Melaka.
7. Buat guru-guru pembimbing dan pengiring lain yang terlibat dalam program perkampungan tahun 2008 -2009 bagi peringkat negeri Johor dan Melaka juga diucapkan berbanyak terima kasih atas bantuan tenaga fikiran dan fizikal atas berlangsungnya program tersebut selama ini. Tanpa guru pembimbing dan pengiring lain maka usaha ini juga akan terbantut dalam menjayakan perkampungan dan menerbitkan karya pelajar. Buat pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor dan Melaka juga penuh komited bersama DBPWS dalam menjayakan program perkampungan sebegini buat anak pelajar di negeri Johor dan Melaka, terima kasih.

Jumaat, November 13, 2009

PERTANDINGAN FORUM PELAJAR SEKOLAH CINA PERINGKAT KEBANGSAAN 2009

Foto kenangan para peserta bersama urus setia guru pengiring, hakim dan tetamu jemputan.


Pada 11 November 2009 (Rabu) diri ini dilantik selaku hakim Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan 2009 di SM Foon Yew, Johor Bahru, Johor. Hakim lain yang terlibat termasuklah Cikgu Azhar Salleh (Munsyi Dewan DBP), En. Abd. Karim A. Bakar (DBP Kuala Lumpur), Pn. Siti Khadijah Mion (Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia), dan Pn. Hjh. Nor Hashimah Ali, Pengarah DBPWS (selaku Ketua Hakim).
Sebanyak 6 pasukan yang terdiri daripada sekolah menengah persendirian Cina seluruh negara bertanding mewakili 6 zon. Sekolah tersebut merupakan SM Jit Sin, Bukit Mertajam, P. Pinang (Zon A), SM Poi Lam, Lahat, Perak (Zon B), SM Chong Hwa, Kuala Lumpur (Zon C), SM Foon Yew, Johor Bahru, Johor (Zon D), SM Kian Kok, Kota Kinabalu, Sabah (Zon E), dan SM Katholik Sibu, Sarawak (Zon F). SM Chong Hwa, Kuala Lumpur dinobatkan selaku johan.
Sejak tahun 2002 hingga kini diri ini sering menjadi hakim untuk Pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri Johor dan Melaka (khas untuk sekolah menengah bantuan penuh kerajaan) serta menjadi pernah sekali menjadi hakim pertandingan ini bagi peringkat kebangsaan pada tahun 2008. Untuk Pertandingan Forum Pelajar (khas untuk sekolah menengah persendirian Cina) juga sering menjadi hakim khasnya bagi pertandingan peringkat Zon D untuk negeri Johor dan Melaka.
Jika dipertandingkan forum secara terbuka ini tanpa ada pembahagian sekolah menengah bantuan penuh kerajaan dan sekolah persendirian Cina ini, diri ini dapat rasakan bahawa kemungkinan sekolah persendirian Cina akan meraih johan... kenapa? Ya... kerana mutu persembahan ahli forum serta penggunaan bahasa Melayu yang baik dan teratur diselitkan dengan penghujahan isi atau idea yang baik lagi meyakinkan bagi peserta dalam kalangan pelajar sekolah persendirian Cina ini.. kenapa? Ya... kerana mereka bersungguh-sungguh dalam pertandingan sebegini walaupun diketahui bahawa mereka (peserta kategori sekolah bantuan penuh kerajaan dan sekolah persendirian) ini telah menghafal dan menyusun topik serta isi yang dibincangkan ketika berforum.

Khamis, November 12, 2009

JOHOR TERBUKTI NEGERI ZAPIN

























Sebahagian foto yang sempat dirakam menggunakan kamera murah milik sendiri.
1. Negeri Johor memang dikenali juga sebagai Negeri Zapin kerana aktif dan giatnya Kerajaan Negeri Johor memajukan tarian dan seni budaya ini saban tahun. Terbukti lagi bahawa negeri Johor terus menerus mengangkat serta memartabatkan seni tarian dan irama zapin melalui pertandingan zapin yang besar skalanya baru-baru ini. Pertandingan ini saban tahun diadakan sejak sedekad yang lalu.
2. Pertandingan Zapin Negeri Johor 2009 anjuran Kerajaan Negeri Johor selenggaraan Yayasan Warisan Johor (YWJ) telah diadakan pada 6 - 8 November 2009 di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru. 3 malam pertandingan dilangsungkan yang melibatkan 43 pasukan dari 10 daerah dalam negeri Johor iaitu dianggarkan seramai 700 peserta menyertainya. Kategori yang dipertandingan seperti berikut:
i. Kategori Sekolah Rendah.
ii. Kategori Sekolah Menengah.
iii. Kategori Jabatan Kerajaan.
iv. Kategori Mukim.
v. Kategori Terbuka.
3. Hadiah untuk kumpulan yang melibatkan hadiah sagu hati, naib johan dan johan berupa wang tunai disediakan bermula RM1,000.00 sehingga RM5,000.00 untuk setiap kategori termasuk hadiah kategori Busana Terbaik dan Muzik Terbaik. Selain itu disediakan sijil dan hadiah iringan.
4. Pelbagai rentak dan irama zapin yang dipersembahkan oleh kumpulan yang bertanding antaranya melibatkan Zapin Pekajang, Zapin Tenglu, Zapin Tanjung Labuh, Zapin Kores, Zapin Mahpom, Zapin Pat Lipat, dan Zapin Putar Alam. Hakikatnya terdapat 12 jenis zapin dalam negeri Johor yang dipersembahkan sama ada dalam bentuk pertandingan dan majlis keramaian.
5. Penonton yang menyaksikan pertandingan ini pada malam terakhir (8 November 2009 - Ahad) dianggarkan seramai 5,000 penonton, penuh sesak bahagian hadapan serta kiri dan kanan yang menghadap pentas. YAB Menteri Besar Johor menyampaikan sijil dan hadiah kepada setiap pasukan bertanding serta kepada setiap pemenang dalam semua kategori. Majlis malam itu tamat jam 12.00 tengah malam.

Rabu, November 11, 2009

MONOLOG 'DOGMA' DIPENTASKAN LAGI...

Pelakon DOGMA - Rosita Md. Anim dalam pementasan sempena HSDT ke-7 2009.


1. Kenapa Monolog DOGMA ingin dipentaskan lagi? Apa yang istimewanya DOGMA ini? Pasti ada istimewanya kerana mesej dan jalan ceritanya yang bersesuaian serta dapat diterima oleh khalayak umum. Mesej umumnya tentang sastera yang berkaitan dengan keindahan bahasanya.
2. DOGMA mula dipentaskan dalam Pertandingan Monolog Negeri Johor 2007 pada bulan April 2007 anjuran DBPWS. Karya monolog ini dihasilkan oleh penulis muda yang begitu prolifik kini di negeri Johor serta melebar luas peringkat kebangsaan iaitu W.B. Rendra.
3. DOGMA dipentaskan semula dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) ke-7 pada Julai 2009 yang lalu dengan digarap kembali oleh Rahimah Muda selaku pengarahnya. Maklum balas hadirin yang menyaksikan DOGMA dalam majlis HSDT itu cukup baik dan positif.
4. DOGMA juga telah dipentaskan dalam Festival Teater Johor iaitu sebuah pertandingan teater dwitahunan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor (JKKNNJ) pada bulan Ogos 2009 yang lalu.
5. Sempena Majlis Penyampaian Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Johor dan Melaka 2009 yang akan diadakan pada 13 November 2009 (Jumaat) di SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor, DOGMA sekali lagi dipentaskan sebagai persembahan selingan dalam majlis tersebut.
6. DOGMA ini istimewa buat diri ini kerana mesej terhadap kesedaran serta kecintaan sastera bahasanya, juga tenaga kerja yang mengusahakannya penuh komited dan kreatif serta bersungguh-sungguh, juga istimewanya kerana penulis naskhah iaitu W.B. Rendra yang telah mula mencuba dalam bidang penulisan skrip teater mini sebegini setelah W.B. Rendra kini amat prolifik khususnya dalam bidang penulisan puisi dan cerpen peringkat negeri Johor dan kebangsaan.

Isnin, November 09, 2009

MAN U TETAP 'MENANG'...

Foto kutipan dalam web uefa.com.

Diri ini bergegas pulang pukul 12.00 tengah malam bersama dua anak lelaki dari Stadium Bandaraya MBJB setelah selesai pengumuman pemenang Pertandingan Zapin Negeri Johor 2009 kerana tidak mahu lepaskan peluang menyaksikan perlawanan dua pasukan teratas EPL antara Chelsea menentang Man U di Stamford Bridge. Sampai rumah dalam pukul 12.30 tengah malam, perlawanan sudah berlangsung 35 minit namun masih 0-0 sehingga waktu rehat.
Man U akhirnya tewas 0-1 kepada Chelsea hasil gol tandukan John Terry (foto di atas) pada minit ke-76, pemain Man U membantah kononnya bola terkena kaki Drogba yang dalam kedudukan 'off-side', namun jelas bola tandukan Terry itu bersih tanpa terkena kaki Drogba. Maka mengasaklah lebih agresif pemain Man U untuk menjaringkan gol penyamaan, masa kecederaan 5 minit tetap diberikan oleh pengadil (sudah sinonim masa kecederaan 5-6 minit diberikan 'khas' kepada Man U) tetapi akhirnya keputusan berkesudahan Chelsea unggul menewaskan Man U 1-0.
Man U semalam sebenarnya 'menang', menang kerana 'bising dan riuh' terutama Fletcher, Evans, Anderson, Giggs, dan Carrick (tetapi kenapa tidak Rooney?) membantah banyak keputusan dan tindakan pengadil terutamanya dalam permainan separuh masa kedua. Selain itu, ada riak terjahan dan permainan kasar dipamerkan oleh pemain Man U antaranya oleh Evans dan Carrick (semalam Vidic tidak bermain). Kebanyakan pemain Man U semalam 'bengkeng dan bengis' tidak tentu pasal kecuali Rooney.
Satu pujian buat Rooney kerana tenang dan profesional kerana sebelum ini beliaulah dalang utama 'kebengisan' dalam pasukan Man U.
TAHNIAH CHELSEA KERANA MENGURANGKAN LAGI JURANG EGO PASUKAN TERKAYA DAN TERSOHOR DI DUNIA INI!

Ahad, November 08, 2009

85,000 PENONTON - HEBAT DAN TAHNIAH

Foto kutipan dalam paparan Berita Harian Online (8 November 2009).

Menurut laporan dalam Berita Harian Online bahawa "TIGA suku stadium dipenuhi penyokong Kelantan. Hanya di penjuru kanan saja diisi penyokong ‘kuning’ dari Negeri Sembilan pada saingan final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi." Seperti yang sama-sama ditonton melalui siaran langsung TV1, terbukti 85,000 penonton di Stadium Bukit Jalil - dilaporkan oleh pengulas bola sepak tersohor negara iaitu Hasbullah Awang bahawa stadium dipenuhi 75% penyokong 'Red Warriors'.

Diri ini cuba membayangkan jika perlawanan akhir semalam di Stadium Bukit Jalil antara Melaka lawan Negeri Sembilan atau Kuala Lumpur lawan Negeri Sembilan, bolehkah stadium ini penuh dengan kapasiti 85,000 penonton? Terakhir diri ini masuk ke dalam stadium ini bersama 85,000 penonton pada tahun 2001 ketika Terengganu menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia! Tiket perlawanan akhir 2001 ini masih tersimpan oleh diri ini.

Kemenangan Negeri Sembilan tidak boleh dipertikai langsung, menurut Azrai Khoo Abdullah mantan jurulatih Kedah dalam rancangan 'Wisel Penamat' TV1 bahawa kekalahan Kelantan kerana terlalu ghairah ingin menang sehingga hilang tumpuan lalu permainannya serba tidak menjadi, ditambah kelemahan amat ketara bahagian pertahanan Kelantan.

Persoalan menang atau kalah itu adat permainan namun sambutan penonton sungguh luar biasa, sudah lama rasanya stdium mega negara ini tidak berpenghuni seramai semaksimum ini (kecuali dibawa pasukan Man U datang 'MELANCONG' ke stadium ini).

Bila lagi agaknya stadium ini penuh 85,000 penonton - maksudnya perlawanan bola sepak piala utama peringkat antarabangsa melibatkan pasukan kebangsaan Malaysia? Selagi kedudukan Malaysia dalam senarai FIFA (Oktober 2009) masih nombor 150 daripada 198 negara di dunia atau kedudukan ke-29 daripada 46 negara di Asia; Malaysia masih ketinggalan dalam kalangan pasukan Asia Tenggara iaitu Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, dan Myanmar. Suatu hari nanti pasukan Filipina, Kemboja, Brunei, Laos dan Timor-Leste akan memintas Malaysia...? Tidak mustahil!

Rabu, November 04, 2009

BICARA TENTANG FOTO ISTIMEWA HSDT VII

Foto asal yang mula tersiar dalam blog ini bertarikh 20 Julai 2009, foto ini boleh dilihat kembali dalam entri berjudul 'HSDT VII 2009 - Suatu Catatan Abadi' .

Foto yang sama tersiar dalam majalah Tunas Cipta - Ruangan Galeri Sastera (Oktober 2009) dan majalah Dewan Siswa - Ruangan Diari Siswa (November 2009).

1. Foto di atas dirakam khas ketika selesai majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) VII 2009 pada 17 Julai 2009 di ruang pentas utama PERSADA Johor, Johor Bahru. Diri ini secara bersungguh-sungguh menarik 3 orang pemenang (mantan peserta Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Johor 2007) dan Cikgu Azhar Salleh untuk ke pentas bagi merakam hampir 8 - 10 foto di atas pentas itu. Ketika itu para hadirin mula meninggalkan Dewan Tanjung Puteri 303 untuk menuju ke dewan sebelah bagi menikmati jamuan. Foto ini sebenarnya milik rasmi DBPWS kerana menggunakan kamera rasmi DBPWS!

2. Secara peribadi diri ini memang sudah rancang khas untuk rakaman foto yang melibatkan tiga orang penulis muda yang memenangi kategori karya bawah 19 tahun dalam HSDT VII ini bersama Cikgu Azhar Salleh, kenapa Cikgu Azhar Salleh? kerana beliaulah yang menjadi pembimbing dan penceramah utama kepada tiga orang pelajar ini dalam Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Johor 2007 anjuran DBPWS dan JPNJ di Tanjung Piai, Pontian, Johor. Dalam malam yang sama Cikgu Azhar Salleh juga menang kategori puisi eceran HSDT VII ini - ya... beliau mencipta sejarah 'hatrik' pabila meraih hadiah kategori ini bagi tahun 2005, 2007 dan 2009.

3. Foto Cikgu Azhar bersama tiga pelajar mula TERSIAR DALAM BLOG INI PADA 20 JULAI 2009 dalam entri berjudul 'HSDT VII 2009 - Suatu Catatan Abadi'. Pada 21 Julai 2009, diri ini juga ada mengirimkan 9 foto khas HSDT VII ke emel Cikgu Azhar (witra@pd.jaring.my) iaitu melibatkan Cikgu Azhar termasuk foto di atas.

4. Foto ini juga tersiar dalam ruangan GALERI SASTERA - MAJALAH TUNAS CIPTA (HALAMAN 9) KELUARAN OKTOBER 2009 iaitu berita berjudul 'HADIAH SASTERA DARUL TAKZIM KETUJUH PENULIS MUDA TETAP UNGGUL'.

5. Foto ini juga telah tersiar dalam ruangan Diari Siswa (tulisan jawi) Majalah DEWAN SISWA keluaran November 2009 (halaman 57). Berita ini tulisan diri ini sendiri termasuk foto itu dan dua foto penerima yang menerima hadiah daripada Datuk Hassan Ahmad.

6. Secara peribadi diri ini sangat-sangat sayang akan foto ini kerana penuh bermakna dan berharga buat diri ini. Banyak maknanya foto yang satu ini! Foto itu juga merupakan FOTO RAKAMAN RASMI DBPWS KERANA MENGGUNAKAN KAMERA RASMI DBPWS...!

Selasa, November 03, 2009

BBK 2009 JOHOR DAN MELAKA - TERIMA KASIH BUAT ANDA SEMUA

Berakhirnya bulan Oktober 2009 maka lengkaplah sudah pelaksanaan program khas sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 untuk negeri Johor dan Melaka yang diri ini gerakkan. Cuma berkesempatan melaksanakan 7 program dalam konteks diri ini selaku pengurus programnya, secara keseluruhan sebanyak 13 program BBK 2009 Johor dan Melaka yang dilaksanakan oleh DBPWS. 7 program yang dilaksanakan oleh diri ini seperti di bawah:
1. Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Prauniversiti Negeri Johor, 30 September 2009, Hotel Good Hope, Skudai, Johor Bahru. Anjuran bersama SPRM Johor, DBPWS dan JPNJ.
2. Majlis Pelancaran BBK 2009 Negeri Melaka, 1 Oktober 2009, Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka. Anjuran bersama DBPWS, IKSEP dan Kerajaan Negeri Melaka.
3. Gema Puisi Patriotisme, 1 Oktober 2009, Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka. Anjuran bersama DBPWS, IKSEP dan Kerajaan Negeri Melaka.
4. Pementasan Monodrama ‘Rebab Berbisik’ dan Teater 15 Minit ‘Bidan Ketujuh’, 3 - 4 Oktober 2009, Panggung Seri, Taman Budaya Melaka, Ayer Keroh, Melaka. Anjuran bersama DBPWS dan JKKNNM dengan kerjasama IKSEP dan RTM Melaka.
5. Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan, 4 - 8 Oktober 2009, Kukup, Pontian, Johor. Anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia diselenggarakan oleh Jabatan Pelajaran Johor dengan kerjasama DBPWS.
6. Sembang Bahasa dan Sastera Bersama Penulis KOMSAS, 8 Oktober 2009, SK Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor. Anjuran bersama PPJ, DBPWS dan PPD Pontian.
7. Pementasan Teater Negeri Johor ‘Srikandi Tanah Jauhar’, 23 - 24 Oktober 2009, Auditorium RTM Johor, Johor Bahru.Anjuran bersama DBPWS, Persatuan Teater KESUMA-I Johor Bahru dengan kerjasama RTM Johor dan JKKNNJ.

Terima kasih buat semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung, yang giat serta aktif membantu dan bersama dalam menggerakkan program di atas. Sebarang kekurangan dan kelemahan dalam pelaksanaan program ini merupakan kekurangan dan kelemahan diri ini, mohon maaf atas segala kelemahan yang ada. Jika ada kelebihan dalam program yang dilaksanakan, itu merupakan kekuatan anda semua yang membantu dan menyokong diri ini.

Ahad, November 01, 2009

PASUKAN MERAH ALAMI NASIB BERBEZA!

Carragher 'mangsa balas dendam' pengadil!

Pemain Kelantan meraikan kejayaan di Stadium Utama, Perlis.
(sumber foto Berita Harian Online)

EPL - 2 pemain Liverpool kena 'daging masak merah'!

Semalam ada 9 perlawanan yang mencatatkan sejarah juga dalam English Premier League (EPL) ini, 7-8 kad merah dilayangkan antaranya melibatkan perlawanan Fulham - Liverpool. Liverpool tewas 3-1 di Craven Cottage, 2 kad merah dilayangkan kepada Degen dan Carragher. Pengadil perlawanan ini semacam 'geram dan dendam' nampak gayanya kerana Liverpool telah memberikan 2 'nasi lemak bungkus' kepada pasukan asal Old Trafford minggu lepas. Kali ini pengadil pula hadiahkan 'daging masak merah' kepada The Red YNWA. 3 minggu lalu hadiah 'belon @ bola pantai merah' diterima oleh Liverpool.

Perlawanan lain yang melibatkan pasukan 'Big Four', Chelsea meneruskan kemenangan besar dengan menewaskan Bolton 4-0, Arsenal menang ke atas Spurs 3-0, dan Man U menang melalui salah satu jaringan cantik Berbatov tewaskan Blackburn 2-0.

Piala Malaysia - Kelantan ke akhir!

Hidup dan meriah lagi bola sepak Malaysia, Piala Malaysia tetap diikuti peminat bola sepak Malaysia. Kali ini menarik pabila Kelantan @ Red Warriors ke akhir melalui jaringan 'hatrik' Farhan menewaskan Perlis 3-1, dalam perlawanan pertama separuh akhir di Kota Bharu Selasa lalu Kelantan tewaskan Perlis 2-0, maknanya agregat 5-1 Kelantan. Seorang pemain Kelantan hampir terkena mercun (dilihat melalui siaran langsung TV1), mungkin Perlis akan didenda nanti. Tahniah besar Kelantan! Alang-alang ke perlawanan akhir, menang Piala Malaysia itu WAJIB buat Kelantan! tewaskan Negeri Sembilan dengan jaringan besar nanti.
Kali terakhir Kelantan ke perlawanan akhir pada tahun 1970, 40 tahun yang lalu. Pasti meriah Stadium Bukit Jalil pada 7 November 2009 nanti - pasti dipenuhi lautan baju merah.