Khamis, November 19, 2009

PEPERIKSAAN SPM - KISAH 20 TAHUN LALU...

Gambar Hiasan Album SEARCH - FENOMENA (1989).


Foto di atas walaupun hanya dilabelkan 'gambar hiasan' sahaja tetapi cukup dan hebat popularitinya pada tahun 1989. Lagu 'Pawana', 'Fenomena', 'Derap Komando', dan kesemua lagu dalam album ini merupakan 'lagu pembunuh' ketika itu - ketika itulah remaja sekolah berusia 17 tahun mengambil peperiksaan SPM!
Bermula semalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung. Peperiksaan SPM ini merupakan satu peperiksaan yang serius dalam menentukan hala tuju seseorang pelajar tingkatan 5 sama ada terus melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi iaitu tingkatan 6 (STPM), diploma dan seterusnya ijazah pertama, atau terus berhenti sekolah lalu bekerja dalam pelbagai bidang dengan kelayakan sijil SPM sahaja.


Kisah peperiksaan SPM tahun 1989 iaitu 20 tahun yang lalu cukup meninggalkan kesan abadi dalam diri. Kesemua pelajar tingkatan 5 pada tahun 1989 yang mengambil kertas wajib iaitu Bahasa Melayu terpaksa mengambil kertas ini dua kali peperiksaan kerana soalan Kertas 1 Bahasa Melayu bocor. Riuh dan gamat ketika itu tentang tersebarnya kertas soalan bocor termasuk (dengar katanya...) kertas peperiksaan yang lain juga. Bagi diri ini yang jauh di negeri pantai timur agak lambat mendapat khabar tentang hal-hal sebegini namun yang menjadi mangsanya kesemua pelajar terpaksa mengambil semula kertas Bahasa Melayu itu!


Pada tahun peperiksaan SPM tahun 1989 itu diri ini hanya bertujuan untuk lulus sahaja - maksudnya sasaran hanya untuk dapat masuk tingkatan 6 sudah membanggakan kerana diri ini telah 'tersilap' masuk aliran Sains ketika tingkatan 4 sedangkan diri ini lemah dalam dalam subjek Sains (Fizik - Kimia - Biologi), Matematik Moden dan Matematik Tambahan.


Diri ini ketika tingkatan 5 sudah tahu subjek tingkatan 6 kerana berkawan secara serius juga dengan pelajar yang mengambil STPM, lalu diri ini amat berminat untuk sekadar masuk tingkatan 6 sahaja... ada subjek Sejarah, Geografi, Pengetahuan Am, dan Kesusasteraan (kecuali subjek Ekonomi yang agak kurang minatnya). Maka dalam peperiksaan STPM tahun 1991 diri ini memperoleh 5P (2A - 2B - 1C) lalu masuklah diri ini ke sebuah universiti di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

maaf...