Ahad, November 22, 2009

PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA - TAHNIAH PENA

Lim Swee Tin mendeklamasikan puisi dalam majlis perasmian Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 2009 di DBP Kuala Lumpur. (foto rakaman sendiri - gunakan telefon bimbit)

Jumaat lalu (20 November 2009) sempat menghadiri majlis perasmian Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 2009 anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) dengan kerjasama DBP, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Dewan Bankuet DBP, Kuala Lumpur. Program ini merupakan acara kali ketiga selepas 2007 dan 2008 diadakan di Indonesia yang melibatkan peserta @ penyair dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.
Sempena program ini sebuah buku antologi puisi penyair 5 negara ini diterbitkan oleh PENA yang berjudul 'RUMPUN KITA' yang terkandung lebih 100 puisi. Mengutip kata-kata pengenalan dalam buku ini pihak penyelenggara (Shamsudin Othman - Rahimidin Zahari - Mohamad Saleeh Rahamad - SM Zakir) menyatakan "walaupun jumlah puisi tidak seimbang antara negara, sekurang-kurangnya inilah buah tangan yang akan kekal menjadi bukti pertemuan ini."
Diri ini sempat juga menyumbang sebuah puisi dalam antologi ini setelah dipelawa oleh SM Zakir dan Shamsudin Othman, dan diri ini juga mempelawa Cikgu Azhar Salleh (Munsyi Dewan DBP @ Penulis Prolifik Karya Puisi - Cerpen negeri Johor dan kebangsaan) menyumbang sebuah puisi, lalu Cikgu Azhar Salleh menghantar puisi berjudul 'MELECURLAH BAHASA' yang turut terkandung dalam antologi ini. Terima kasih yang besar sifatnya buat Sdra. SM Zakir dan Shamsudin Othman atas pelawaan ini.
Sempatlah juga berjumpa beberapa penulis dan penyair puisi yang kebanyakannya bertaraf prolifik serta terkenal dalam dunia kepenyairan kebangsaan pada malam perasmian tersebut. Tn. Hj. Shapiai Mohd Ramly dan Sdra. W.B. Rendra wakil penulis prolifik karya puisi peringkat kebangsaan dari Johor turut hadir. Sayangnya program yang bermula Jumaat hingga Ahad (20 - 22 November 2009) tidak dapat disertai sepenuhnya kerana diri ini terpaksa ke Kota Bharu (DBP Wilayah Timur) kerana ada dua program undangan di sana pada tarikh 22 - 23 November 2009.

2 ulasan:

Md Nizar Parman berkata...

Salam RAR,
Tahniah sebab puisi saudara terkandung dalam antologi "Rumpun Kita". Sampaikan salam tahniah kepada Azhar Salleh, sifu kita.

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Terima kasih Sahabat Md. Nizar atas bingkisan tahniah itu. Atas usaha tuan RAR, hamba ucapkan ribuan terima kasih hingga sebuah puisi hamba turut termuat. Mohon izin untuk melampirkan puisi tersebut sebagai tanda terima kasih.

MELECURLAH BAHASA
Lembayung di langit makin kelabu
dan hitam mengarak di lembar juang
terdengar desis semilir petang yang ranum
bicara bahasa bonda menyongsong gelisah
bicara pendeta di daun yang terkoyak
menjadi lunyai digerit petir lidah bangsa
menunggu gugur sembari hujan melintas.

Lidah bahasa makin lecur terendam
tanah bangsa makin percaya bahawa
bahasa bonda akan kara melara
di tempayan peradaban
sulit untuk mentafsirkan
realiti yang tersembunyi
agenda yang berteka-teki
kita pancangkan setia bahasa
kita pincangkan martabatnya
bahasa makin lelah dan parah
makin sesak nafas dan bernanah
kita masih ingin berteka-teki
tentang kehormatan dan jati diri
hingga tertitislah air mata sumpah
mempertahankan maruah.

Azhar Salleh
PPJ Johor Bahru