Khamis, November 12, 2009

JOHOR TERBUKTI NEGERI ZAPIN

























Sebahagian foto yang sempat dirakam menggunakan kamera murah milik sendiri.
1. Negeri Johor memang dikenali juga sebagai Negeri Zapin kerana aktif dan giatnya Kerajaan Negeri Johor memajukan tarian dan seni budaya ini saban tahun. Terbukti lagi bahawa negeri Johor terus menerus mengangkat serta memartabatkan seni tarian dan irama zapin melalui pertandingan zapin yang besar skalanya baru-baru ini. Pertandingan ini saban tahun diadakan sejak sedekad yang lalu.
2. Pertandingan Zapin Negeri Johor 2009 anjuran Kerajaan Negeri Johor selenggaraan Yayasan Warisan Johor (YWJ) telah diadakan pada 6 - 8 November 2009 di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru. 3 malam pertandingan dilangsungkan yang melibatkan 43 pasukan dari 10 daerah dalam negeri Johor iaitu dianggarkan seramai 700 peserta menyertainya. Kategori yang dipertandingan seperti berikut:
i. Kategori Sekolah Rendah.
ii. Kategori Sekolah Menengah.
iii. Kategori Jabatan Kerajaan.
iv. Kategori Mukim.
v. Kategori Terbuka.
3. Hadiah untuk kumpulan yang melibatkan hadiah sagu hati, naib johan dan johan berupa wang tunai disediakan bermula RM1,000.00 sehingga RM5,000.00 untuk setiap kategori termasuk hadiah kategori Busana Terbaik dan Muzik Terbaik. Selain itu disediakan sijil dan hadiah iringan.
4. Pelbagai rentak dan irama zapin yang dipersembahkan oleh kumpulan yang bertanding antaranya melibatkan Zapin Pekajang, Zapin Tenglu, Zapin Tanjung Labuh, Zapin Kores, Zapin Mahpom, Zapin Pat Lipat, dan Zapin Putar Alam. Hakikatnya terdapat 12 jenis zapin dalam negeri Johor yang dipersembahkan sama ada dalam bentuk pertandingan dan majlis keramaian.
5. Penonton yang menyaksikan pertandingan ini pada malam terakhir (8 November 2009 - Ahad) dianggarkan seramai 5,000 penonton, penuh sesak bahagian hadapan serta kiri dan kanan yang menghadap pentas. YAB Menteri Besar Johor menyampaikan sijil dan hadiah kepada setiap pasukan bertanding serta kepada setiap pemenang dalam semua kategori. Majlis malam itu tamat jam 12.00 tengah malam.

4 ulasan:

sahrunizam abdul talib berkata...

Johor memang antara negeri yang masih prihatin kepada seni dan budaya bangsa. Tahniah Johor!

al-Misri berkata...

Salam tuan, apa khabar? Rugi rasanya saya tak berkesempatan pulang ke negeri Johor. Semoga semuanya ok.

Md Nizar Parman berkata...

Salam RAR,
Zapin sebenarnya tarian yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Jika dihalusi, tarian zapin ini mempunyai pelbagai versi. Saya masih teringat lagi YWJ telah sanggup ke kampung saya untuk mempelajari salah satu tarian zapin yang hanya dimainkan di situ. Sebagai salah seorang yang terbabit dalam projek itu, saya berasa sangat gembira. Jika novel sulung saya lahir setelah mendapat keizinan-Nya, versi zapin itu saya muatkan dalam manuskrip novel itu.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Sahrunizam,
Negeri Pahang juga banyak seni dan budaya yang kuat dan bermutu, dengar katanya kerabat raja juga banyak menyokong seni dan budaya di Pahang. Johor komited meneruskan martabat zapin dan seni persuratan melalui Kerajaan Negeri, cuma kuda kepang walaupun hanya untuk persembahan semata-mata telah diharamkan! Ada arahan rasmi telah dikeluarkan pada akhir tahun lepas.

Cikgu Jafny,
Saya sihat adanya, bila cikgu hendak pulang mengajar ke Johor kembali? Cikgu yang saya kenali cukup komited tentang hal seni dan budaya.

Cikgu Nizar,
Saya doakan agar novel tersebut dapat diterbitkan, unsur zapin istimewa tersebut bukan hanya boleh dipaparkan melalui persembahan tetapi boleh diindahkan melalui penulisan kreatif. Sememangnya banyak versi zapin ini, yang ada dalam kajian serta pengamatan YWJ ada 15 versi (seperti yang terkandung dalam buku atur cara program).