Isnin, Februari 01, 2010

KUTIPAN: BICARA KARYA SASTERA MELAKA

Para peserta dalam kalangan guru pelatih yang teruja dengan pembentangan tiga kertas oleh ahli panel, ya... apatah lagi kewibawaan Cikgu Azhar Salleh yang berbicara soal perempuan dan semangat seorang Srikandi. (Foto ihsan kamera sendiri.)

(Berita / Laporan di bawah dikutip langsung dalam Berita Harian Online - 1 Februari 2010: Terima kasih Sdra. Mohd Nazmi Yaakub atas siaran dalam akhbar Berita Harian - Ruangan Sastera hari ini.)


Dunia sastera Melaka dicabar
Oleh Nazmi Yaakub

Negeri Hang Tuah itu diharap dapat melahirkan lebih ramai pengarang dan penyair, khususnya wanita. BICARA Karya Sastera Negeri Melaka 2010 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka, baru-baru ini, mencabar khalayak sastera Negeri Hang Tuah untuk melahirkan lebih ramai pengarang dan penyair khususnya wanita. Apatah lagi program anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan DBP Wilayah Selatan (DBPWS) itu, melihat keupayaan pengarang wanita untuk diletakkan sebaris dengan penulis lelaki.

Pensyarah Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, berkata Melaka kekurangan penyair, novelis dan cerpenis, sekali gus menjadikan sejarah penyair negeri itu tidak sehebat Kelantan, Terengganu, Selangor dan Johor. “Saya membayangkan nama seperti Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said, Mokhtar Yassin, Zainal Palit (Zen Kasturi), Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani), Aladin Mohammad, Borhan Md Zain, Razali Endun, A Rani Embi, Ramli Abu, Ehsan Jamily dan A Jalil Alimun. “Sayangnya daripada sebaris nama itu, saya tidak dapat membayangkan seorang pun srikandi setanding Tun Fatimah yang dapat menghunus pena untuk memperjuangkan tamadun kesusasteraan Melayu di Melaka,” katanya ketika melapah Menyaring Rasa Insaniah dalam Kumpulan Puisi Simbiosis.

Dalam kelompok penulis yang kecil itu, Shamsudin menyifatkan A Samad Said sebagai tokoh penulis yang berjaya mendominasi keseluruhan genre sastera yang kemudian disusuli Faisal Tehrani dan Zaen Kasturi “Mereka bertiga boleh dianggap sebagai pahlawan Melaka yang berani melontarkan gagasan, menghunus pena dan bermain kata-kata, demi meneruskan waadat suci Sang Sapurba. “Bagaimanapun, selepas dunia kesusasteraan Melaka agak suram dalam gerhana akibat ramai pengarang dan penyair memilih untuk bermastautin di Kuala Lumpur, kelahiran kumpulan puisi Simbiosis oleh Borhan diharap dapat mencerahkan kembali kesuraman dunia kepenyairan Melaka,” katanya pada bicara yang dipengerusikan Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu IPGM, Ramli Abu. Shamsudin turut menyarankan peserta untuk melihat bagaimana Borhan memanfaatkan rasa cinta dalam mengungkapkan puisi sehingga melahirkan karya hebat dan mengagumkan, walaupun ia lahir daripada generasi lama.

“Kumpulan puisi Simbiosis menyerlahkan bakat Borhan sebagai penyair yang menyedari kepentingan insan memanipulasi intelektualnya ketika melihat gejala negatif generasi muda yang sewajarnya didorong ke arah kehidupan lebih positif demi masa depan bangsa yang cemerlang. “Sikap ini terbina kerana latar belakang penyair sebagai pendidik yang sentiasa peka terhadap masa depan generasi muda yang pernah dididiknya, sekali gus memaksanya untuk menjadi pengkritik sosial,” katanya pada program yang turut dihadiri Pengarah IPGM Kampus Perempuan Melayu, Noor Hayatee Md Noor dan Ketua Bahagian Teori dan Kritikan DBP, Mohamad Daud Mohamad.

Munsyi Dewan DBP, Azhar Salleh, ketika membicarakan novel Meranduk Ranjau karya Mohd Kassim Mahmud, berkata pemilihan kata berkaitan unsur feminisme menyerlahkan pemikiran pengarangnya kerana pengulangan konsep kedudukan wanita dan perjuangan mereka mendasari novel itu. “Pengarang menyuguhkan falsafah dan unsur feminisme yang terlalu menebal, sekali gus memperlihatkan kesediaannya untuk menjadikan srikandi Melayu seperti Dang Bunga dan Galuh Ajeng. “Pengarang berusaha untuk menganjak paradigma pembinaan akal budi dan citra wanita kerana novel itu meletakkan pendekar tidak semestinya lelaki, manakala wanita hanya berperanan di belakang sebagai pendukung semangat seperti yang banyak berlaku dalam karya sastera,” katanya ketika membincangkan Unsur Feminisme dalam Meranduk Ranjau: Falsafah Nasionalisme berdasarkan Teori Konseptual Kata Kunci.

Meranduk Ranjau, tegas Azhar, meletakkan watak protagonis wanita di hadapan dengan lebih berani dan perkasa, selain diberi label dan tanda yang lebih gagah kerana sumbangan mereka mempertahankan tanah air. “Sumbangan wanita dalam mempertahankan tanah air lebih cenderung dipalitkan secara berhemah sesuai dengan fitrah mereka. Bagaimanapun, novel ini tidak sealiran dengan pegangan feudal yang sering berlingkar dalam masyarakat. “Ia mengangkat wanita sebahagian daripada persepsi sosial dengan peristiwa dan sejarah yang dilalui mereka dalam sesuatu budaya tidak seharusnya disusun atur oleh lelaki untuk lelaki dan mengikut kehendak lelaki,” katanya.

Seorang lagi Munsyi Dewan DBP, Mohamad Musip yang membicarakan novel Haruskah Aku Berlari karya Hanita Hassan, menyifatkan novel itu ditulis dengan gaya penceritaan beragam, segar dan terperinci, sekali gus membolehkan pembaca mempelajari kerenah manusia. “Pengarang yang terdidik dengan ilmu dan adab, akan menggunakan kesempatan yang terbaik untuk mendidik pembaca agar berpegang kepada kebenaran mengikut tuntutan agama,” katanya ketika merincikan Pemaparan Wacana Psikologi Cinta Menerusi Janaan Ayat yang Mesra Nahu dalam Haruskah Aku Berlari: Suatu Penerapan Pendekatan Stilistik.

6 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Terima kasih kerana mem'bold'kan penyataan saya dalam blog tuan! Terima kasih atas segala kesempatan dan peluang! Terima kasih kerana menghantar SMS tentang siaran akhbar ini. Ya, srikandi hebat perlu dilahirkan untuk mengisi kekosongan yang lagi tiga! Eh, tersasul pulak! Untuk mengisi kekosongan wahana sastera negeri Hang Tuah. Cantik foto yang dimuatkan! Jikalau ada bicara lagi di negeri Melaka, saya rasa di situlah tempat yang paling ideal. Apa kata perkampungan penulis dibuat di situ jugak! he..he..

Zaid Akhtar berkata...

RAR,
saya mau lihat gambar Azhar Salleh dan al-Johori, bukan sekadar gambar "awek-awek" IPGM tu.
:-)

Korakora berkata...

tahniah, dbpws sudah menang 2-0 dengan wilayah lain. hehehe

zaid, pandai rusdi ambik gambar. ha ha ha

Md Nizar Parman berkata...

Salam RAR,
Gambar yang terang dan jelas... Mujur hari ini saya membeli Berita Harian. Dapatlah saya simpan wajah SIFU kita itu. Bukan calang-calang orang yang duduk di barisan hadapan tu. Tahniah, RAR!

azura berkata...

DBPWS memang selalu mendahului...dan sentiasa menang majoriti 2/3 (sebab kita ada tauke besar! Besarrr punyaaa!!! bajet Sastera paling besar kan???). Tahniah!

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Azhar, Munsyi Dewan DBP (cikgu faham maksud ini ya... hehehe...),
Foto yang dikatakan "Cantik foto yang dimuatkan!" itu merupakan usaha sendiri diri ini menggunakan kamera sendiri yang berkapasiti rendah dan murah sahaja...
Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Melaka tidak boleh di situ kerana terlalu ramai Srikandi yang boleh menyebabkan objektif asal tersasar jauh...! Hehehe...
Ada satu lagi program yang bakal dibuat di IPG KPMM iaitu Seminar sempena Jubli Intan, jika dapat Cikgu bentangkan satu kertas (serius ini...).

Cikgu Zaid,
Ada banyak foto Cikgu Azhar dan Tuan Shamsudin tapi semuanya kelabu... makanya kena masukkan foto pesertanya yang cerah-cerah (hehe... gurau aja, Cikgu Azhar dan Tuan Shamsudin tetap ganteng dan memikat).

Sdra. Nazmi,
1. Pandai cari 'syot' yang baik untuk tatapan semua...
2. Setakat sebulan ini (sehingga 1 Februari) sudah 6 program terlaksana, apakan daya demi tugas yang berteraskan minat - cinta - sayang.
3. Nanti mahu bikin program ke pedalaman Kota Tinggi - Mersing, bagaimana Sdra., boleh bersama BH / PENA nanti?

Cikgu Nizar,
Terima kasih Cikgu.
Wajah SIFU sejak 1-2 tahun belakangan ini bertambah ganteng nampaknya, diri ini ada banyak gambar SIFU sejak tahun 2002 sehingga kini... banyak berubah dan transformasinya dapat diri ini buktikan... Hehehe....

Azura,
Terima kasih.
Bajet keseluruhan diterima semakin mengecil, beza lebihnya dengan unit lain kecil sahaja hanya sekitar 10K...
Jika momentum program dan perbelanjaan program seperti bulan pertama 2010 ini berterusan makanya bulan 5 atau 6 sudah habis bajetnya... Hehehe...