Khamis, Februari 11, 2010

KUTIPAN: ANUGERAH SASTERA NEGERI MELAKA

MOKHTAR (tengah) berkongsi kegembiraan dengan penerima lain pada majlis anugerah Sastera Negeri Melaka 2009 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

MOHD Khalil menyarungkan selempang dan tanjak kepada Mokhtar.

Melaka terus ampuh
Mahu buktikan kesungguhan dalam memartabatkan sastera
Oleh Nazmi Yaakub nazmi@bharian.com.my
ANUGERAH sastera peringkat negeri boleh dianggap tenggelam timbul dalam samudera sastera tanah air, seolah-olah penganjurannya sudah tersurat dengan takdir program tidak berterusan dan terbelenggu dengan masalah kewangan. Tidak banyak anugerah sastera negeri yang dapat dianjurkan secara tekal dan berkala seperti Hadiah Sastera Darul Takzim yang diberikan kepada pengarang Johor secara dwitahunan sejak 1996, selain Anugerah Sastera Negeri Sarawak, Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak dan Hadiah Sastera Sabah.

Selain tiga negeri itu, anugerah dan hadiah yang mengiktiraf sumbangan kepengarangan, kepenyairan dan kesarjanaan dalam dunia sastera seolah-olah muncul sekali-sekala seperti yang menimpa beberapa negeri. Anugerah Sastera Negeri Kelantan, Anugerah Penulis Perak dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan, hanya tinggal nama kini, manakala Hadiah Sastera Pahang pula hanya menjengah khalayak sastera lewat kenyataan akhbar. Justeru, penganjur Anugerah Sastera Negeri Melaka 2009 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, baru-baru ini, seolah-olah mahu membuktikan ketekalan dan kesungguhan mengiktiraf sumbangan pengarang kreatif dalam konteks pembangunan menyeluruh.
Apatah lagi pada hari sama, Bicara Karya Sastera Negeri Melaka 2010 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kampus Perempuan Melayu, Durian Daun, mencabar khalayak sastera Negeri Hang Tuah itu untuk melahirkan lebih ramai pengarang dan penyair khususnya wanita. Pada bicara karya itu, Pensyarah Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, berkata Melaka kekurangan penyair, novelis dan cerpenis, menjadikan sejarah penyair negeri itu tidak sehebat Kelantan, Terengganu, Selangor dan Johor.
Bagaimanapun, Anugerah Sastera Negeri Melaka itu menjadi serampang dua mata, iaitu pemangkin pertumbuhan pengarang remaja dan baru serta pencetus kesedaran kepada pihak berwajib di negeri lain untuk mengiktiraf kelompok yang menyumbang dalam pembangunan intelek, mental dan kerohanian. Pada majlis penganugerahan itu, Mokhtar Yasin menerima Anugerah Sasterawan Negeri Melaka 2009 daripada Yang di-Pertua Melaka, Tun Khalil Yaakob, sekali gus melayakkannya menerima hadiah RM7,000, sijil dan sepersalinan.

Hadir sama pada majlis itu, isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Zurina Kassim; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Anugerah Sastera Negeri Melaka, Datuk Omar Kaseh; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz serta Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep), Datuk Mohd Said Yusof.
Mokhtar yang dilahirkan di Sungai Rambai Melaka pada 29 Mac 1937, menulis sejak sebelum kemerdekaan dan turut terbabit dalam Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), terkenal dengan puisi pendek, penekanan rima, bahasa lembut lagi lunak dan idea terkawal. Ketua Satu, Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM) itu mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MITC), Tanjung Malim, pada 1953 hingga 1956 dan memperoleh Sarjana Muda Sastera dengan pengkhususan Kesusasteraan Bandingan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1980.
Bagi kategori Anugerah Tokoh Penulis Muda pula, Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani merangkul hadiah berkenaan dengan membawa pulang hadiah RM3,000, sijil dan plak. Pengarang pelbagai genre yang dilahirkan di Melaka pada 7 Ogos 1974, memperoleh Sarjana Muda Syariah Politik dari Universiti Malaya (UM) dan Sarjana dalam Kesusasteraan serta berkhidmat di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Faisal Tehrani cenderung memperkenalkan pembaharuan dalam karya dan condong menghasilkan karya eksperimen, sering memenangi hadiah termasuk Hadiah Sayembara Mengarang Jubli Emas DBP hingga melayakkannya membolot RM74,000 lewat tiga anugerah utama, iaitu kategori novel menerusi Bedar Sukma Bisu; novel remaja (Manikam Kalbu) dan cerpen (Rindu Ini Luar Biasa), selain memenangi Anugerah Seni Negara 2006.
Penerima Anugerah Tokoh Penulis Bukan Melayu pula dimenangi Joseph Selvam, sekali gus melayakkan bekas guru besar sekolah rendah itu membawa pulang hadiah RM2,000, sijil dan plak. Selvam menggunakan nama pena Elili, menghasilkan kumpulan puisi seperti Sajak-sajak Kecil, Perhimpunan, Pertemuan, Penerimaan, Suara, Dalam Sinar Matamu dan Dalam Perjuangan, selain turut menulis buku umum, Sastera Tamil Di Malaysia: Satu Pengenalan.
Hadiah Galakan Penulis Remaja diberikan kepada pelajar Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Perempuan Melaka, Ilya Ireeza Noor Zehan dan pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Seri Tanjong, Muhammad Hasif Mohd Jelani. Ilya Ireeza menghasilkan siri novel Lala Zehan seperti Lala Zehan dan Serangan Lintah, Lala Zehan dan Penyeluk Saku Baguio dan Lala Zehan dan Cik Siti Wan Kembang, manakala Muhammad Hasif pula dengan novel sulungnya, Bagaikan Mimpi, masing-masing menerima RM1,000, sijil dan plak. Mokhtar dalam ucapan penerimaannya menyarankan pengarang negeri yang diasaskan Parameswara itu, mengangkat kehidupan harmonis rakyat di negeri berkenaan yang diwarnai pelbagai keturunan dan bangsa ke dalam karya mereka. “Sebagai penulis, hal bersifat realiti, imaginasi dan pengalaman menjadi bahan yang dapat membina dan menghidupkan karya sastera. Saya berharap penulis muda negeri ini, dapat menerus dan memperhebatkan sastera bangsa ke mercu lebih tinggi, dengan kesungguhan dan kejujuran,” katanya.
Anugerah Sastera Negeri Melaka anjuran Kerajaan Melaka melalui urusetia, Iksep dengan kerjasama DBP Wilayah Selatan, IPM dan Persatuan Penulis Melaka (Penama), manakala panel penilai diketuai Timbalan Pengerusi Iksep, Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin dan dianggotai Datuk A Aziz Deraman, Prof Rahman Shaari, Mohamad Saleeh Rahamad dan Abdul Wahab Hamzah. Anugerah ini diberikan kepada penulis kalangan anak jati Melaka dan pemastautin yang menetap selama 10 tahun, sekali gus menghasilkan karya sastera bermutu tinggi hingga mengharumkan nama negeri berkenaan.
----------------------------------------------------------------------
Catatan: Berita, tulisan, foto dan catatan foto di atas dikutip langsung dalam laman web Berita Harian Online (dalam ruangan Sastera).
Berbanyak terima kasih buat Mohd Nazmi Yaakub, Wartawan Sastera Berita Harian atas penyiaran berita ini yang tersebar ke seluruh negeri di Malaysia, apatah lagi sejak lewat Januari lalu hingga hari ini (dalam tempoh 2 minggu) sudah menyiarkan 3 berita @ artikel tentang kegiatan sastera yang ada kaitannya dengan DBPWS.

Tiada ulasan: