Selasa, Februari 23, 2010

KUTIPAN: 'KENYATAAN SEPARUH BETUL'

Dari kiri: Maskiah Hj. Masrom, Mohd Kasim Mahmud, Hj. Shapiai Mohd Ramly dan Shamsudin Othman ketika sesi pembentangan Seminar Pengarang dan Kepengarangan Johor anjuran bersama DBPWS dan PPJ pada 31 Januari 2010 di Kota Tinggi, Johor.

- Di bawah dikutip sepenuhnya paparan akhbar Berita Harian (Ruangan Sastera) hari ini (23 Februari 2010) tentang pendapat 4 penulis kelahiran Johor berkenaan kenyataan Shamsudin Othman, pembentang kertas berjudul 'Penyair Johor: Gagasan dan Keupayaan yang Tersingkap' yang dibentangkan ketika Seminar Pengarang dan Kepengarangan Johor anjuran bersama DBPWS dan PPJ pada 31 Januari 2010 di Kota Tinggi, Johor.

- Dalam akhbar Berita Harian (Ruangan Sastera) bertarikh 16 Februari 2010 bertajuk 'Penyair Wanita Johor Dicabar' telah dipaparkan pendapat Shamsudin Othman yang sebahagiannya menjelaskan bahawa "Mereka didakwa tidak menyerlah dalam penulisan genre puisi."

- Kertas pembentangan Shamsudin Othman dalam seminar ini masih kemas dalam simpanan diri ini sama ada dalam bentuk kertas bercetak dan dalam simpanan e-mel @ komputer.
-------------------------------------------------------------
Reaksi: 'Kenyataan separuh betul'

PADA Seminar Pengarang dan Kepengarangan Johor, Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, membelasah pengarang wanita negeri kelahirannya itu tidak menonjol dalam genre puisi ekoran ketandusan idea serta bahasa di samping dikongkong gaya pengucapan. Justeru, mereka dicabar agar keluar daripada tradisi takut dan makan hati ketika menampilkan idealisme agar pemikiran dapat diungkap pada peringkat antarabangsa serta memungkinkan mereka mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkenaan. Ikuti wawancara Rashiqah Ilmi Abd Rahim dan Nurul Farina Nazlan dengan beberapa pengarang Johor berhubung perkara ini.


Amiruddin Ali Hanafiah, Ketua Satu Persatuan Penulis
"Jumlah pengarang genre puisi wanita Johor sudah jelas menunjukkan bahawa mereka masih ketandusan karya kerana kebanyakannya tidak konsisten dalam berkarya. “Justeru, saya berharap mereka bersedia untuk melakukan anjakan pemikiran melalui penghasilan karya secara berterusan demi mengubah persepsi negatif masyarakat, sekali gus membuktikan bahawa mereka mampu menghasilkan karya setanding pengarang lelaki"


Dr Mawar Shafei, Ketua Program Persuratan Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM
"Saya menganggap kenyataan bahawa penyair wanita Johor kurang menyerlah sebagai kurang relevan kerana kebanyakan daripadanya sudah membuktikan bahawa mereka berkarya dengan baik seperti dibuktikan Samsina Abd Rahman, Rahimah Muda, Ruzaini Yahya dan ramai lagi. “Walaupun ada sesetengah pihak memandang serong terhadap senario penulisan puisi di Johor, saya yakin mereka turut memberi sumbangan besar dalam genre puisi. Pandangan negatif perlu dikikis kerana perkara paling penting ialah mengembangkan genre puisi kepada masyarakat umum"


WB Rendra A Wahid, Pengarang Lelaki Johor
"Kenyataan ini sedikit sebanyak ada benarnya kerana Johor ketandusan penyair pelapis wanita untuk menggantikan penyair wanita mapan seperti Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi, Anis (Amida Abdul Hamid) dan Anismas AR, meskipun Johor ada beberapa nama yang masih tekal menulis dalam pelbagai genre seperti Hasidah Disan, Rohaidah Yon, Rahimah Muda, Ruzaini Yahya, Tiras R dan Saadiah Ibrahim. “Senario masa kini berbeza dengan satu ketika dulu apabila Saadiah Ibrahim mengungguli Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) pada 1996 dan 2001, manakala Hasidah Disan (1996), Aminah Mokhtar HSDT (1999, 2001) dan puisi mereka diterbitkan dalam antologi Manggar-manggar Kemerdekaan (YWJ, 2007) dan Suara Ledang (PPJ, 2009)"


Hasidah Disan, Pengarang Wanita Johor
"Johor tidak mempunyai ramai generasi pelapis dalam dunia penulisan kreatif dan berkemungkinan penulis sedia ada sibuk dengan urusan peribadi dan keluarga sehingga mengehadkan kegiatan mereka dalam dunia penulisan. “Selain itu, kurangnya publisiti dari media menyebabkan kami kurang menyerlah dan saya sendiri sudah kembali menulis selepas berehat beberapa tahun. Malangnya, sukar untuk mendapat perhatian media kerana mungkin editor sekarang susah menerima gaya penulis lama"

2 ulasan:

Melihat Kesunyataan berkata...

Rusdi,
Yang betul tu apa? Yang separuh betul tu apa?

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tn. Hj. Shapiai,
1. Yang Betul itu pendapat Shamsudin Othman.
2. Yang Separuh Betul itu pandangan Cikgu Amiruddin.
Hehe... hanya gurauan, namun seminar kecil tempoh hari ada lontaran idea yang tersiar ke seluruh negara serta susulan media yang menarik.