Sabtu, Februari 20, 2010

TUNKU MAHKOTA JOHOR DAN BOLA SEPAK




Catatan: Foto-foto di atas dirakam menggunakan kamera telefon bimbit yang murah dan uzur yang berkapasiti 2.0 Megapixels cuma...

Petang tadi (Sabtu - 20 Februari 2010 - sekitar pukul 4 hingga 5 petang) tanpa dirancang dan tanpa disengajakan telah melalui jalan sekitar padang Dataran MBJB ketika sedang bersiar-siar sekitar bandar raya Johor Bahru. Terlihat banyak kereta di tepi padang Dataran MBJB ini, ya... ada perlawanan bola sepak di situ lalu berhenti ingin menjenguk-jenguk cuma serta berhajat ingin menonton sekejap sahaja, rupa-rupanya ada satu perlawanan bola sepak yang boleh dikategorikan 'istimewa dan khas'. Istimewa dan khas kerana perlawanan bola sepak ini melibatkan seorang pemain iaitu Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Perlawanan melibatkan pasukan JMF United FC menentang JPJ FC pada peringkat separuh akhir Liga Bola Sepak Negeri Johor. Pasukan Tunku Mahkota Johor iaitu JMF United FC memakai jersi putih dan pasukan JPJ FC berjersi kuning - hitam (belang). Jersi JMF sama jenis dan jenama dengan jersi yang dipakai pasukan Real Madrid - jenama Adidas (hadapan baju tertulis 'bwin'). Jersi JPJ FC berjenama Joma; belang kuning-hitamnya semacam jersi Malaysia dan kelab Hull City (dalam EPL).
Tunku Mahkota Johor bermain selaku penyerang memakai jersi bernombor 84, diri ini tafsirkan sendiri nombor 84 ini sempena tahun kelahiran Tunku Mahkota Johor iaitu pada 30 Jun 1984. Tunku Ismail Idris yang kini berusia 26 tahun baharu ditabalkan selaku Tunku Mahkota Johor pada 27 Januari 2010.
Ada beberapa cubaan termasuk sepakan percuma di hadapan kotak penalti pasukan JPJ FC yang hampir menghasilkan gol malah sepakan percuma secara terus diambil oleh Tunku Ismail Idris ini terkena palang gol JPJ FC. Ada pengulas ketika perlawanan berlangsung (walaupun tidak secara berterusan dan profesional semacam Hasbullah Awang) yang menyebut beberapa nama dalam pasukan JMF, terdengar juga ada pemain JMF berpangkat Leftenan.
Suasana petang yang mendung dan berangin di tepi Selat Tebrau ini membuatkan para penonton selesa selepas cuaca panas terik melanda Johor serta seluruh negeri di Malaysia sejak dua minggu belakangan ini. Menariknya juga tertera pada beberapa sudut padang iaitu perkataan JMF UNITED FC - SINCE 1922, maksudnya kelab ini telah mula ditubuhkan sejak tahun 1922! Perlawanan akhir Liga Bola Sepak Negeri Johor ini akan berlangsung pada 28 Februari 2010 nanti.
Sememangnya petang tadi sempat menyaksikan satu perlawanan bola sepak yang khas dan istimewa serta dapat menatap wajah Tunku Mahkota Johor yang baharu secara agak dekat, bukan hanya dapat menatap wajah secara agak dekat tetapi dapat melihat gaya dan aksi Tunku Mahkota Johor dalam seni permainan bola sepak.

Tiada ulasan: