Rabu, Februari 03, 2010

'DARI BUMI FELDA KE KOTA METROPOLITAN' - DIALOG SASTERAWAN KOMSAS

Cikgu Amiruddin begitu bersemangat sehingga membolot dua mikrofon untuk berceramah dan bercerita...!

Wajah-wajah pelajar muda tingkatan 1 daerah Kota Tinggi yang gemar dan cukup tertawan mendengar ceramah @ cerita Cikgu Amiruddin.

Sejak 17 Januari 2010 sehingga 1 Februari 2010 telah terlaksana 6 program yang berkaitan sastera dan bahasa di Johor dan Melaka. Pada 1 Februari 2010 lalu program keenam terlaksana iaitu Dialog Sasterawan KOMSAS Daerah Kota Tinggi di SMK Tun Habab, Kota Tinggi yang merupakan anjuran bersama DBPWS, Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi dan Panitia Bahasa Melayu Daerah dengan kerjasama PPJ. Program ini diselenggarakan oleh SMK Tun Habab melalui tenaga utamanya Cikgu Mohd Kasim Mahmud.
Cikgu Amiruddin Md. Ali Hanafiah, Ketua 1 PPJ juga selaku penulis naskhah drama berjudul 'Surat untuk Ina' yang terkandung dalam buku teks KOMSAS tingkatan 1 yang baharu digunakan tahun ini telah menyampaikan ceramah dan bimbingannya kepada 300 pelajar tingkatan 1 yang melibatkan sebanyak 22 sekolah dalam daerah Kota Tinggi. Para guru pengiring setiap sekolah juga mendengar celoteh Cikgu Amiruddin yang berlandaskan kertasnya berjudul 'DARI BUMI FELDA KE KOTA METROPOLITAN'. Cikgu Amiruddin (yang kecil dan kuat tenaganya) tidak henti-henti bergerak di dalam dewan tempat acara diadakan. Wajarlah Cikgu Amiruddin bertindak sebegitu dalam konteks membimbing para pelajar atas pengalaman dan ilmunya yang cukup besar dan luas yang dimilikinya (Tuan WITRA pasti tersenyum sinis...).
Selain menyampaikan ceramah dan bimbingan juga bertanyakan soalan kepada para pelajar tentang mata pelajaran KOMSAS apatah lagi tentang genre drama, Cikgu Amiruddin juga sempat bercerita serba sedikit tentang hidupnya ketika zaman persekolahan dan remajanya ketika di Kota Tinggi.
Dalam sesi soal jawab para pelajar cukup aktif sehingga Cikgu Mohd Kasim Mahmud terpaksa 'menghalang' masa daripada berlanjutan kerana tempoh masa yang tidak mencukupi. Cikgu Amiruddin sendiri agak terkejut pabila para pelajar tingkatan 1 yang baharu mengenali dunia mata pelajaran KOMSAS bertanyakan soalan luar dugaan seperti "apakah yang dimaksudkan dengan drama satira?", "bagaimanakah untuk menghasilkan skrip drama bertemakan misteri?" dan "bagaimanakah untuk menghasilkan skrip drama komedi yang baik?".
Ucapan berbanyak terima kasih buat Cikgu Mohd Kasim Mahmud, Cikgu Amiruddin, PPD Kota Tinggi, Panitia Bahasa Melayu Daerah, pihak pengurusan dan urus setia SMK Tun Habab, para pelajar dan guru, dan urus setia DBPWS (Mohd Rizal - Shahrur) atas bantuan penuh komitmen dalam menjayakan program ini.

5 ulasan:

Korakora berkata...

amirudin yg difahami oleh remaja :)

Zaid Akhtar berkata...

amir memang sentiasa kelihatan remaja.
bila nak ke segamat lagi, Tuan RAR?

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Cikgu Amir yang 'wajar' bersama-sama khalayak sastera yang dahagakan ilmu dan celotehnya!

Melihat Kesunyataan berkata...

Satu yang saya kagum dengan Amiruddin ni, meskipun menetap di KL tetapi semangat dan tenaganya tetap kuat untuk kemajuan PPJ.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Sdra. Nazmi,
Cikgu Amir kadang-kadang 'tenggelam' bersama-sama para pelajar itu pabila beliau banyak bergerak...

Cikgu Zaid @ YNWA,
Cikgu Amir yang remaja pabila turun ke tanah tumpah persekolahannya...
Ke Segamat lagi nanti kerana ingin gerakkan 1 - 2 program lagi, mungkin yang terdekat 27 Februari ini dan satu lagi sekitar bulan Mei-Jun ini...

Cikgu Azhar,
'Wajarlah' beliau atas penuh pengalamannya itu, tapi Cikgu sendiri sudah sama tahap dengannya... (ilmu dan pengalaman).
Suatu hari nanti boleh ceramah pula tentang KOMSAS, bagaimana Cikgu?

Tn. Hj. Shapiai,
Saya mula kenal Cikgu Amir sejak September 2001, terlalu banyak hal yang beliau cukup tekun dan penuh semangat... salah satunya walau tanpa sebarang nota di tangan ketika berceramah atau dalam sesi bengkel beliau tetap gagah dan perkasa!