Rabu, Februari 17, 2010

CUTI TAHUN BAHARU CINA 2: BERKUNJUNG KE TUGU NEGARA DAN PUTRAJAYA

Tugu Negara (dari sudut bawah rakaman foto).

Kawasan hadapan persekitaran Tugu Negara.


Pemandu pelancong menerangkan cara-cara pergerakan solat kepada para pelancong di hadapan pintu masuk Masjid Putrajaya.

Pemandangan kubah Masjid Putrajaya.

Kompleks Jabatan Perdana Menteri (foto dirakam dari tepi Masjid Putrajaya).

Pemandangan Tasik Putrajaya (foto dirakam dari tepi Masjid Putrajaya).

Selesai urusan di Melaka pada hari Jumaat (12 Februari 2010) lalu terus berkelana ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu (13 Februari 2010) untuk menghadiri dua acara sempena Hari Pejuang Bahasa 152 yang dilangsungkan pada 14 - 15 Februari 2010 di Rumah PENA dan Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP.
Cuaca panas terik berterusan, suhu sekitar 34-35 darjah celcius. Pada 14 Februari 2010 (Ahad) sempat juga berkunjung ke Tugu Negara dan Putrajaya. Secara ikhlas, inilah kali pertama menjejakkan kaki di kawasan Tugu Negara walaupun sudah lama juga bermastautin di Kuala Lumpur (bermula Jun 1992 - Mei 2001). Sebelum ini hanya lalu sahaja di jalan raya menuju Parlimen iaitu jalan menuju ke kawasan Tugu Negara ini. Selepas berkunjung di kawasan Tugu Negara terus ke Putrajaya (ingin menemui sahabat di Putrajaya). Ketika di kawasan Tugu Negara sempat merakamkan sejumlah hampir 20 foto di situ. Ramai jugalah pengunjung ke Tugu Negara ini. Sememangnya ketika tahun 1970-an sehingga 1990-an kawasan Tugu Negara menjadi sebutan pabila orang luar Kuala Lumpur melawat Kuala Lumpur, namun kini Tugu Negara sudah tidak lagi menjadi rebutan untuk dikunjungi kerana sudah ada gerbang atau monumen lain yang lebih dipromosikan untuk dikunjungi antaranya termasuklah KLCC dan Menara KL serta kompleks beli-belah yang besar dan gah yang banyak di Kuala Lumpur.
Di Putrajaya sempatlah juga ke beberapa kawasan antaranya Masjid Putrajaya dan Tasik Putrajaya serta merakamkan hampir 15 foto di situ. Namun kunjungan ke Masjid Putrajaya kali ini merupakan kunjungan kali ketiga, kali pertama ketika mula-mula Masjid Putrajaya ini dibuka pada penghujung tahun 1999. Sempat menyaksikan seorang pemandu pelancong (rasa-rasanya keturunan Cina) menerangkan kepada para pelancong yang rasa-rasanya dari Korea @ Jepun (foto di atas - pelancong berjubah warna merah jambu) tentang pergerakan dalam solat bagi umat Islam. Memang terdapat keterangan bertulis dan bergambar yang dipaparkan tentang cara sujud, rukuk dan sebagainya yang tertera pada papan kenyataan di hadapan pintu masuk masjid ini.

Tiada ulasan: