Kutipan kartun 'Senyum Kambing' Utusan Malaysia halaman depan 7 Disember 2009.
______________________________________________________
______________________________________________________
Kutipan sumber berita BERNAMA 7 Disember 2009:
Skuad Negara Diberi Amaran Keras,
Skuad Wanita Ditegah Beraksi Di Perlawanan Antarabangsa
PETALING JAYA, 7 Dis (Bernama - 6.58 petang) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan amaran keras kepada skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun negara supaya tidak mengulangi tindakan luar kawalan selepas mereka mencetuskan insiden kekecohan menyerang pengadil perlawanan selepas mengalami kekalahan 1-3 di tangan pasukan Vietnam pada temasya Sukan SEA Laos ke-25 semalam.
FAM turut mengeluarkan tegahan terhadap skuad bola sepak wanita negara, yang menjadi pasukan belasahan di temasya yang sama, daripada beraksi dalam mana-mana pertandingan antarabangsa mulai tahun depan.
Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden FAM Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas mesyuarat FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin.
"Pihak FAM hari ini telah menerima laporan pengurus pasukan Malaysia di Vientiane yang melaporkan tahap pengadilan yang tidak memuaskan. Berikutan itu pengurus pasukan telah membuat aduan rasmi berhubung mutu pengadilan dengan pihak penganjur," katanya.
Selain itu, Khairy berkata pihak FAM, menerusi pengurus pasukan, telah memberi amaran keras kepada setiap pemain supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut dalam dua baki perlawanan Kumpulan A nanti.
"Walaupun, mutu pengadilan tidak baik atau tidak setuju dengan keputusan pengadil perlawanan, mana-mana pemain tidak boleh bertindak mengikut emosi masing-masing. Disiplin harus diutamakan kerana ia melambangkan sikap profesional," tambahnya.
_____________________________________________________
Insiden Kekecohan Pemain Bola Sepak M'sia Memalukan Negara - MSN
VIENTIANE, 7 Dis (Bernama - 4.40 petang) -- Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong menganggap insiden pemain bola sepak lelaki Malaysia mencetuskan kekecohan selepas perlawanan menentang Vietnam semalam tidak sepatutnya berlaku dan memalukan negara. Beliau berkata alasan jurulatih kebangsaan K. Rajagobal yang mendakwa insiden tersebut berlaku kerana pengadil perlawanan tidak membuat keputusan yang tepat, adalah tidak benar kerana pada beliau, pengadil berlaku adil.
"Pengadil semalam berlaku adil malah membuat beberapa keputusan yang menguntungkan Malaysia," katanya kepada pemberita di sini Isnin.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden pemain bola sepak lelaki Malaysia yang menimbulkan kekecohan selepas tamat perlawanan saingan Kumpulan A menentang Vietnam semalam. Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, Malaysia tewas 1-3, sekaligus menyukarkan laluan negara ke separuh akhir.
Rajagobal mendakwa insiden tersebut berpunca daripada kekecewaan pemainnya berhubung sikap pengadil perlawanan yang didakwa banyak membuat keputusan tidak tepat yang merugikan Malaysia. Dalam insiden tersebut, pemain-pemain Malaysia mengerumuni pengadil selepas pemain gantian, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak dilayang kad merah sejurus sebelum tamat perlawanan. Insiden tersebut termasuk tindakan pemain Malaysia membaling botol air minuman kepada pengadil bagaimanapun berjaya dileraikan selepas pihak keselamatan Laos dan pegawai perlawanan menyuraikan pemain dan membawa mereka ke bilik persalinan.
Zolkples turut membidas pegawai pasukan Malaysia termasuk jurulatih kerana didakwa mengapi-apikan semangat pemain untuk mencetuskan kekecohan."Kecuali penolong jurulatih, Tan Cheng Hoe yang saya lihat tenang dan duduk sahaja di bangku simpanan," katanya.
Beliau berkata pasukan Malaysia sepatutnya menerima keputusan perlawanan kerana pemain Vietnam sememangnya bagus daripada segi kecerdasan dan kelajuan. Berdasarkan pemerhatian beliau, pemain negara bermain di bawah kemampuan sebenar dan terlalu menghormati pemain lawan.
6 ulasan:
Salam. Berita-berita ini menjawab dan memberi justifikasi mengapa tuan sinikal terhadap pasukan bola sepak negara. Saya yang tidak mengikutinya, tidak terasa apa-apa. Kesian budak-budak yang berbakat tetapi mempunyai kepimpinan yang pincang...
Salam RAR,
Saya amat tertarik dengan satu artikel kecil dalam surat khabar BH beberapa hari lalu. Tajuk kecilnya, "Salah Asuhan". Ringkasannya begini, dua orang adik-beradik telah terpilih untuk menjalani latihan bola sepak di sebuah kelab terkemuka di UK. Jurulatih program itu berpendapat, Malaysia sebenarnya mempunyai pemain bola sepak yang berpotensi dan setanding dengan pemain-pemain bola sepak di Eropah. Dalam kenyataannya, beliau menyatakan bahawa ada kepincangan dalam program pembangunan bola sepak di negara kita. (Ini pendapat saya, selagi orang yang tak berapa reti menendang bola sepak memegang kerusi teratas persatuan2 bola sepak di negara kita, selagi itulah bola sepak di negara kita tidak akan berubah). Lebih2 lagi orang yang memberikan amaran seperti yang RAR tulis. Dia tu siapa?)
Salam RAR,
Soh Chin Aun mengumpan bola kepada Shukor Salleh yang merembat kencang. Eh, Zaquan Adha kemudiannya menjaringkan gol sendiri! Sebuah anekdot...
Bola sepak di Malaysia seperti juga "Eye Of Malaysia" sentiasa berpusing tapi tidak pernah ke mana perginya...
Bola lagi?
re: tinggi sungguh pujian tuan menjadikan saya gusar. saya bukanlah yang layak untuk gelaran SUFI yang suci. SUFI berada pada satu tahap yang lain. Sekadar menulis. dan tulisan sajak itu hanya mengandungi unsur islam.
Tuan Shamsudin,
Kebiasaannya media utama kita terlalu 'ghairah' melaporkan yang bukan-bukan besarnya tentang pencapaian kecil pasukan bola sepak kebangsaan, itulah yang buatkan pembaca @ peminat mual dan sakit hati...!
Cikgu Nizar,
Kepimpinan dalam pengurusan bola sepak kebangsaan itu suatu hal yang ramai sedar tentang 'pincangnya' pentadbir yang ada sejak 2-3 dekad lalu, tapi apakan daya 'dia' masih diperlukan demi kononnya 'sebuah penghormatan'...
Cikgu Azhar,
Anekdot yang klise dan kadang kalanya 'menyusahkan' ramai peminat bola sepak negara, maka ramailah yang meminati bola sepak luar negara...
Sdra. Jaafar,
Setuju dengan analogi itu, namun 'Eye On Malaysia' tidak bergerak di situ tetapi tinggi kedudukannya... Hehehe...
Tuan azam,
1. Apakan daya hamba hanya mampu dan layak menulis hal-hal bola sepak..., mahu tulis karya kreatif tiada bakat yang tinggi dan mutunya pasti rendah.
2. Cuma 'gurauan manja dan menyakat' tuan tentang SUFI itu, itupun kerana hal ini pernah diluahkan oleh mantan Pengarah tuan, hamba cuma mencedok kata-kata itu... hehehe...
3. Apa-apapun secara ikhlas tulisan tuan ada nilai yang tinggi dan bermutu buat bacaan dan pandangan peribadi hamba semata-mata, itu jangan tuan nafikan ya...
Catat Ulasan