Jumaat, Disember 24, 2010

SANTAI: KUTIPAN SUMBER BERITA CHINA

Dua tiga kali membaca berita ini awal pagi tadi; berita ini tersiar dalam akhbar Sinar Harian hari ini (24 Disember 2010) dalam ruangan 'Global' (halaman N28). Ketegasan dan kuat kuasa pemerintah dapat dibaca dalam sumber berita... Kutipan penuh berita ini seperti dalam akhbar Sinar Harian:

KERAJAAN CHINA LARANG GUNA BAHASA INGGERIS
Bimbang ketulenan bahasa kebangsaan tidak dapat dipertahan
BEIJING - Kerajaan China mengumumkan larangan penggunaan singkatan bahasa Inggeris dalam surat khabar tempatan, buku, dan laman sesawang kerana bimbang ketulenan bahasa Cina berada dalam bahaya, Isnin lalu.
Pentadbiran Am Akhbar dan Penerbitan melaporkan, peningkatan penggunaan perkataan dan singkatan Inggeris dalam penerbitan di China menimbulkan kebingungan pembaca.
Amalan penulisan itu dikhuatiri merosakkan taraf bahasa Cina dan mampu mengganggu keharmonian bahasa serta persekitaran budaya sehingga mengakibatkan kesan sosial negatif.
"Adalah dilarang untuk mencampurkan frasa bahasa asing seperti ayat atau singkatan Inggeris dalam penerbitan bahasa Cina sehingga mencipta kata-kata yang tidak membawa maksud dalam bahasa Cina atau bahasa asing lain.
"Syarikat penerbitan dan media harus mengukuhkan peraturan penggunaan bahasa asing yang ditetapkan dan menghormati struktur, glosari dan tatabahasa bahasa Cina dan bahasa luar," menurut pertubuhan itu.
Syarikat televisyen di China menerima notis daripada kerajaan untuk mengelakkan penggunaan singkatan bahasa Inggeris dalam program berbahasa Cina, awal tahun ini.
Bagaimanapun, singkatan perkataan bahasa Inggeris masih digunakan secara kerap dalam siaran berita utama dan berita sukan.

1 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

RAR,
Langkah China pasti dipandang sepi oleh kerajaan pimpinan BN yang sepatutnya dah buang salah satu klausa dalam perlembagaannya, iaitu memelihara bahasa Melayu...