Memaparkan catatan dengan label AM - TEATER. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AM - TEATER. Papar semua catatan

Rabu, Julai 27, 2011

TEATER SKALA BESAR DAN HEBAT - "SRI MERSING 2"

Tiket disimpan buat kenangan masa hadapan.


Barisan pelakon utama bersama-sama Rosdeen Suboh (Pengarah).


Aksi sebahagian babak sengit dan mendebarkan.


Aksi dan perwatakan Damak (Zul Huzaimy).


Menonton pementasan teater berskala besar produksi Istana Budaya iaitu naskhah SRI MERSING 2 di Johor Bahru ini merupakan julung kalinya. Nikmati watak-watak bernama DAMAK, PAK MALAU, SRI MERSING, AWANG SULONG, MAK BANANG, MAK DARA...

Pada 15 Julai 2011 di Stadium Tertutup MBJB menyaksikan pementasan teater skala besar dan hebat ini hasil produksi besar Istana Budaya bersama-sama ramai penggerak teater negeri Johor. Hasil kerja Pengarahnya Tuan Rosdeen Suboh cukup membanggakan dalam produksi berskala besar yang melibatkan beberapa pelakon ternama antaranya Zul Huzaimy, A. Galak, Yus Raja Lawak, Elly Mazlein, Azizah Mahzan, Rozie Othman, Zulkifli Zain, Abu Bakar Juah, Fazurina dan lain-lain.

SRI MERSING telah dipentaskan serta mendapat sambutan cukup membanggakan pada tahun lepas di Istana Budaya, Kuala Lumpur namun pementasan di Johor Bahru ini juga amat menarik sehinggakan set-set di pentas dibawa khas dari Kuala Lumpur. Puas hati juga kerana dapat duduk meyaksikan pementasan ini di barisan paling hadapan yang secara jelas... dapat melihat para pelakon beraksi serta yang utama juga dapat melihat dengan jelas pertukaran set-set di pentas yang dilaksanakan oleh krew dengan penuh profesional dan teratur.

TEATER MUZIKAL "BUMI BERLANTAI PERMATA 2" - SUATU KESUNGGUHAN KERJA YANG MEMBANGGAKAN

Pekarangan Bangunan Bukit Timbalan - tempat pementasan BBP2.


Rakaman foto dari jauh.


Sebahagian babak pementasan BBP2.


Berkesempatan menyaksikan pementasan teater muzikal BUMI BERLANTAI PERMATA 2 (BBP2) sempena Festival Kesenian Johor Bahru ke-8 2011 bersama-sama Cikgu Azhar Salleh pada 14 Julai 2011 di Pekarangan Bukit Timbalan, Johor Bahru. Pementasan teater muzikal BBP2 arahan Sahruddin Manas dan skrip oleh Rahimah Muda merupakan kesinambungan BBP yang pertama diadakan pada tahun 2010 juga di Bukit Timbalan. BBP2 berlangsung pada 12 - 16 Julai 2011. BBP2 ini juga sempat disaksikan oleh Sultan Johor dan YAB Menteri Besar Johor pada 16 Julai 2011.

Tahniah serta penghargaan besar buat penulis skrip Rahimah Muda dan pengarahnya Sahruddin Manas termasuk para pelakon, penari dan krew yang terlibat dalam BBP2 ini.

Selasa, Disember 28, 2010

KUTIPAN AKHBAR: PRATONTON TEATER 'PRIMADONA... PERAHU MIMPI'

Brosur acara pratonton dan sidang media 'Primadona... Perahu Mimpi' pada 20 Disember 2010.

Kutipan siaran akhbar tentang pratonton teater amal 'Primadona... Perahu Mimpi' diambil secara langsung dan penuh dalam laman web NST seperti paparan di bawah; dalam akhbar NST hari ini (28 Disember 2010) tersiar dalam ruangan Johor Streets (halam S6 dan S7) juga terkandung tiga foto menarik termasuk foto pelakon Anne Ngasri.

Inspiring tale of a troubled heroine

2010/12/28 - By Ahmad Fairuz Othman

THE setting is a halfway house for toubled women, and the time is the distant past. The play Primadonna... Perahu Mimpi (Primadonna, the vessel of dreams), which combines dance and poetry, will be staged at the Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia from Jan 28-30.
Proceeds from the sales of tickets will go to the Nusajaya Community-based Rehabilitation Centre, which provides training for the disabled.

The play, a collaboration with Grup Inspirasi Unik, is under the patronage of Nusajaya state assemblyman Datuk Abd Aziz Sapian. Siblings Anne and Bell Ngasri are among the cast and crew of 70 in the charity play. It is directed by Zamri Pangat with a story by playwright Rahimah Muda.
Rahimah said the central character, Dian (Anne Ngasri), is a troubled heroine who is slowly trying to get over a traumatic past.
With the help of the halfway house's caretaker Donna (Noraziayati Abu Bakar), she experiences pain and suffering during her healing process.
Rahimah said: "The central character of Donna has a universal appeal as she is the type of person who defends other people's rights.
"She may be a primadonna, but her true character is the opposite of that.
"The other character, Dian, is more fragile as she is traumatised after being a victim of rape," she added.
"Dian's character is also affected by another, Aduna, who is played by Anne's brother Bell Ngasri.
"Both Dian and Aduna were previously married and their characters have a lot of background story," said Rahimah during the play's preview at the Diva karaoke outlet in Giant Southern City, Johor Baru on Dec 20.
The cast presented a short dance and dramatic scene from the play. Present during the preview were Johor Culture and Arts Department director Abdul Hamid Mohamad and Johor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) language planning officer Rusdi Abdul Rahman.
Anne said the setting of the play was similar to a pusat serenti or rehabilitation centre, in which every inmate is troubled in one way or another.
"My character is among the many inmates in the rehabilitation centre who seek help from the Primadonna to improve themselves.
"I have been rehearsing for the past month, and I find the play very interesting as there is music, dance and acting."
Anne, whose parents are Johorean, is popular for her television drama roles. She said it was her second time acting in theatre. Unlike her previous roles, she gets to perform a dance.
"Being an actor on stage is different from being on television as one gets an immediate response from the audience. Whatever a stage actor feels from the audience, he or she would interpret it on stage.
Primadonna...Perahu Mimpi will be staged at 8.30pm on Jan 28 and 29 at Dewan Sultan Iskandar, UTM.
There is a matinee show at 3pm and later at 8.45pm on Jan 30 at the same venue.
Tickets are priced at RM100, RM50, and RM20. For reservations, call Suraya at 012-734 2665 or Joe at 019-788 7781.

Selasa, Disember 21, 2010

PROMOSI AWAL TEATER AMAL PPM - PENAMPILAN ANNE NGASRI

Brosur acara pratonton dan sidang akhbar PPM.

Anne Ngasri ditemu bual wartawan NST dan BERNAMA.

Anne Ngasri dalam satu babak PPM.

Kini menuju penghujung Disember 2010, dalam tempoh 10 hari lagi akan tiba tahun baharu 2011. Sejak akhir Oktober 2010 lagi sudah merancang secara asas dan kasar program yang ingin dilaksanakan tahun 2011. Mengikut perkiraan kasar terkini sudah merancang hampir 30-35 program berskala kecil, sederhana dan besar termasuk program BBK 2011 yang melibatkan beberapa jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan di negeri johor dan Melaka. Secara kasarnya juga telah ada 4-5 program yang sudah pasti dilaksanakan untuk bulan Januari - Mac 2011.
Semalam, bertempat di Diva Karaoke, Taman Suria, Johor Bahru (sebuah tempat persantaian yang elok lagi mesra keluarga) menghadiri satu pratonton dan sidang akhbar untuk mempromosikan pementasan teater yang dikategorikan sebagai teater amal berjudul 'Primadona... Perahu Mimpi' (PPM). Teater amal PPM ini merupakan usaha besar pihak Grup Inspirasi Unik dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) DUN Nusajaya dengan mempelawa pihak DBPWS untuk bekerjasama dalam pementasan teater ini, selain itu pihak yang turut bekerjasama merupakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor (JKKNJ) dan Pusat Kebudayaan UTM.
Mengikut ketetapan perancangan pementasan PPM akan diadakan pada 28 - 30 Januari 2011 di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai, Johor. Pementasan ini merupakan ada jualan tiket iaitu RM100.00, RM50.00 dan RM20.00; jualan tiket bukanlah untuk meraih untung tetapi lebih kepada kutipan amal untuk didermakan bagi membantu insan-insan kurang upaya.
Dua pelakon adik beradik iaitu Anne Ngasri dan Bell Ngasri turut terlibat selaku pelakon dalam PPM ini. Semalam ketika pratonton Anne Ngasri sudah menonjolkan sedikit aura profesional dalam lakonannya. Pratonton semalam yang mengambil beberapa babak dalam PPM memakan masa selama 15-20 minit.
PPM yang diklasifikasikan sebagai "teater puisi tari" diarahkan oleh Zamri Pangat manakala skrip/karya tulisan penulis prolifik Johor dalam teater dan karya kreatif negeri Johor iaitu Rahimah Muda. Dikhabarkan bahawa banyak juga penaja dalam kalangan pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan akan menaja dalam tempoh terdekat ini.
Sesungguhnya masa ada lebih kurang sebulan lagi untuk menuju pementasan PPM ini, hakikatnya promosi awal sudah bermula serta seharusnya secara terus menerus dalam pelbagai cara digiatkan secara menyeluruh lagi promosi media umum (akhbar - radio - televisyen) dan media alternatif yang berpaksikan teknologi maklumat dan komputer kini. Pelawaan kepada DBPWS untuk berkerjasama dalam PPM ini satu penghormatan yang baik serta ini merupakan salah satu pementasan teater yang terkandung dalam program DBPWS; dan ini merupakan pembukaan tahun 2011 untuk kegiatan teater di negeri Johor.

Isnin, Julai 05, 2010

BBP YANG PENUH MEMBANGGAKAN

Bangunan Bukit Timbalan dipenuhi sinaran cahaya lampu.


Para Pembesar Melayu Johor.

Lagak Isteri-isteri Pembesar Inggeris.

Sebahagian tenaga pelakon dan produksi BBP bersama-sama Din Manas, Pengarah BBP.
Semalam sempat menyaksikan pementasan teater 'Bumi Berlantai Permata (BBP)' di Bukit Timbalan, Johor Bahru (lebih tepatnya pentasnya di belakang bangunan Bukit Timbalan). Pementasan ini diadakan sempena "The 7th JB Arts Festival" yang diadakan bermula 29 Jun - 24 Julai 2010. Pelbagai acara seni dan budaya diadakan sepanjang JB Arts Festival ini termasuklah pementasan teater BBP ini.
BBP dipentaskan selama tiga malam bermula 2 - 4 Julai 2010. Kesempatan menyaksikan semalam (malam terakhir) kerana 'sibuk dengan agenda PD 2010' iaitu dua malam sebelumnya peringkat suku akhir PD 2010. BBP merupakan skrip Rahimah Muda dan diarahkan oleh Sahruddin Manas (Din Manas).
Teater berskala besar yang memakan masa pementasan selama dua jam bergerak melalui muzik layak diklasifikasikan sebagai teater muzikal. Muzik dan nyanyian yang disampaikan secara langsung (live) cukup memikat dan menghiburkan tetapi bukanlah nada muzik dan nyanyian yang membuatkan diri ini memberikan markah teater ini dengan skala 8.5/10. Hakikatnya mesej tentang sejarah Johor itulah yang utama selain muzik dan nyanyian yang dialunkan begitu dominan membantu jalan ceritanya.
BBP memaparkan pelbagai watak dan peristiwa dalam sejarah Johor sekitar tahun 1886 - 1907 antaranya Dato' Jaaffar, Wong Ah Fook, Abdullah Tahir, Ungku Abdul Rahman Andak, Mohd Salleh Perang, Cecil Clementi Smith, Frederick Weld, kongsi Ngee Heng dan pelbagai watak dan kisah yang berkaitan tentang pembangunan Johor dan kelicikan British ingin menawan dan mengambil Johor. Unsur kelucuan juga diselitkan antaranya watak dan babak Wak Marjan, Penglipur Lara dan isteri-isteri pembesar British dan pembesar Melayu 'bersaing' menunjukkan kehebatan masing-masing. Loghat dan sebutan bahasa Melayu oleh Wong Ah Fook yang 'bersahaja dan menjadi' ikut pelat Cina juga menimbulkan ketawa dalam kalangan 500-600 orang penonton termasuk tetamu VIP iaitu YAB Menteri Besar Johor dan YB Datuk Setiausaha Kerajaan Johor. Ada juga diselitkan babak pertarungan seni pertahanan diri kaum Cina yang pantas iaitu wushu.
Terdapat satu babak dalam BBP yang diangkat iaitu tentang penubuhan Pakatan Belajar - Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB). Gagasan penubuhan PBMPB ini dilontarkan oleh Ungku Abdul Rahman Andak sekitar tahun 1888. Terdetik dalam hati bahawa babak tentang PBMPB ini boleh diangkat menjadi satu pementasan teater yang lain tentang kisah berkembangnya bahasa Melayu secara teratur dan terancang yang bermula di negeri Johor.
Sesungguhnya, pementasan teater BBP ini cukup memuaskan hati, teater antara yang terbaik dan diingati sepanjang 10 tahun menyaksikan dan melibatkan diri dalam pementasan teater di negeri Johor ini. Ya... tanpa selebriti atau artis popular para pelakon watak utama dan pembantunya (kebanyakannya dikenali kerana ada juga yang terlibat dalam penganjuran teater oleh DBPWS) semakin meningkat mutu gerak lakon dan dialog yang dilontarkan. Tidak salah diklasifikasikan teater ini cukup berbekas dalam hati dan membanggakan.
Tahniah dan penghargaan besar buat semua yang terlibat (seramai 70-80 orang termasuk penari dan petugas teknikal) dalam BBP. Din Manas selaku pengarah semakin melebarkan sayapnya yang luas serta bertambah meningkat mutu teater arahannya. Secara pendapat peribadi sahaja..., selayaknya BBP ini boleh diangkat ke peringkat nasional khususnya pementasan di Istana Budaya atau sekurang-kurangnya Auditorium DBPKL dan Auditorium DBP sendiri...

Isnin, Mei 03, 2010

2 MEI: DI SINGAPURA 10 JAM - MENONTON TEATER BERBAHASA MELAYU

Pukul 9.30 pagi menaiki bas dari Larkin menuju ke Queen Street, Singapura melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang tersergam indah di Johor Bahru. Atas undangan Kumpulan Teater Artistik Singapura maka diri ini sekali lagi ke Singapura untuk menyaksikan teater berjudul 'Depot 5 Dara' di Arts House, Old Parliament (berhampiran patung Raffles). Ini kali ketiga rasanya sejak tahun 2007 memenuhi undangan En. Roslan Mohd Daud, Presiden Kumpulan Teater Artistik. Berdasarkan maklumat dalam poster dan brosur teater ini tiket berharga SD22 (lebih kurang tukaran RM sebanyak RM50), namun atas budi baik dan jasa baik En. Roslan diri ini dipanggil khas menontonnya. En. Roslan juga sudah 2-3 kali datang ke Johor Bahru atas undangan diri ini menyaksikan teater berskala kecil dan sederhana yang diusahakan secara hakiki dalam tugasan diri ini. Dikhabarkan juga bakal ada beberapa pementasan berskala kecil dan sederhana yang bakal dipentaskan oleh Kumpulan Teater Artistik dalam bulan Jun - Julai ini termasuk ingin membikinkan teater monolog.
Pabila harga tiket yang tinggi (dalam kadar RM) maka mutu pementasannya juga tidak mengecewakan atau boleh dikategorikan sebagai lengkap dan menarik; dikategorikan juga sebagai tahap profesional dan berjaya. Mengutip sinopsis 'Depot 5 Dara' dalam brosurnya...
"...berkisah tentang wajah-wajah rintihan perempuan yang menjual dengan harga murah mahkotanya. Namun perjalanan hidup golongan ini tidak pernah seindah yang diriwayatkan; keistimewaan yang diberi, penghinaan yang diraih. Perlindungan yang dicari, penganiayaan yang mencengkam. Kebahagiaan yang dirancang, kedukaan yang tercambah. Hidup yang madu menjadi racun. Setiap daripada mereka terperangkap dalam kotak angan yang tidak menjadi kenyataan."

Teater ini dipentaskan selama 2 jam (3.15 petang - 5.15 petang) cukup rencah asam garamnya antaranya dialog yang kemas, gerak lakon yang memikat, bahasa yang sesuai dengan situasi, pencahayaan yang mudah tapi berkesan, lagu latar yang menyentuh naluri, sari kata dalam bahasa Inggeris yang lengkap, mesej yang kesampaian buat penonton, dan garapan situasi dan insiden yang tersusun. Isu dan mesejnya mudah tentang hal masyarakat realiti seharian iaitu kisah penderitaan 5 wanita yang 'dikasari' oleh lelaki bertunjangkan soal gejala sosial remaja wanita bawah umur, persoalan maruah dan agama, impian rumah tangga yang luar jangka, eksploitasi suami terhadap isterinya, dan wanita yang mengubah dirinya untuk cantik. Garapan aksi yang padat dikaitkan itu juga dipaparkan dalam bentuk tayangan video rakaman awal yang menghubungkan setiap kejadian antaranya aksi 'mat dan minah rempit', lakonan lelaki puas selepas menikmati ...., dan doktor yang menjelaskan tentang penyakit barah rahim.
Aksi-aksi secara langsung yang agak bertaraf '18SX dan 18SG' juga terpapar secara profesional antaranya aksi permulaan untuk merogol, kekerasan fizikal suami terhadap isteri, dan pertengkaran kasar adik dan kakak. Menariknya juga ada tersentuh pasal teguran dan sindiran tentang penggunaan 'bahasa rojak'. Beberapa patah perkataan dan ayat juga menimbulkan keterbukaan dalam dialog antaranya "...dia buat cara 'bersiput'..." dan "...lalu membuka ladang dan menyuburkan tanaman ku...".
Aksi dan dialog yang dihidangkan dijalin dengan isu dan mesej yang disampaikan cukup emosinya dalam keyakinan yang baik dan teratur. Menarik juga terdapat sindiran halus tentang isu bantuan oleh badan atau organisasi berwajib Melayu untuk membantu masyarakat Melayu yang susah pabila dialog yang terucap 'menyoal' tentang ke mana dana yang ada disumbangkan serta terlalu 'birokrasi' sifatnya. Penutup aksi akhir teater ini menimbulkan kesedaran yang boleh dijadikan panduan dan pengajaran pabila 5 watak wanita ini akhirnya 'mati serentak' dalam keadaan misteri. Khabarnya juga lagu dalam teater ini dicipta khas yang bersesuaian dengan tema dan mesej ceritanya.

Teater ini diarahkan oleh Yusop Atan mengambil skrip tulisan Yazid Hussein. Sempat juga bertemu dan berbual seketika dengan pengarah dan penulis skrip teater ini. Memetik kata-kata oleh penulis dalam brosur atur cara teater ini... "D5D adalah susunan, renungan, penelitian, dan ilham yang tercambah berdasarkan mata burung bukan dengan mata katak di bawah tempurung."

Hakikatnya pementasan teater yang berwadah bahasa Melayu di Singapura masih ada kekuatannya walaupun diketahui bahawa Singapura banyak mementaskan teater atau drama atau sketsa dari negara-negara Barat yang banyak terhidang di Esplanade (panggung 'mata lebah' yang bertaraf kelas satu dunia) yang terletak di kawasan indah dan tersusun di Teluk Marina berjiran dengan muara sungai Singapura. Gerakan pementasan teater berbahasa Melayu bukan sahaja digerakkan oleh Kumpulan Teater Artistik tetapi banyak juga kumpulan lain yang bergerak sama ada secara kecil-kecilan dan kadang kalanya berskala besar serta bermusim. Gerakan pementasan oleh Kumpulan Teater Artistik yang diterajui oleh presidennya iaitu Roslan Mohd Daud cukup meyakinkan bahawa teater berbahasa Melayu masih ada dan aktif di Singapura. Tahniah buat tenaga pelakon dan produksi 'Depot 5 Dara' dan Kumpulan Teater Artistik!
Catatan: Dalam entri berikutnya akan dipaparkan catatan kunjungan 10 jam ke Singpaura iaitu melawat pameran foto-foto lama masyarakat Melayu di Istana Kampung Gelam (berhampiran Masjid Sultan di Arab Street - Baghdad Street - Kandahar Street).

Sabtu, Mei 01, 2010

BANGSAWAN NILAM DEWANI - MENARIK LAGI MENGHIBURKAN...

Semalam berkesempatan menonton Bangsawan Nilam Dewani di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru. Pementesan bangsawan ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Johor yang dikelolakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Johor (JKKNNJ) dan Kumpulan Bangsawan Seri Mahkota Alam Johor Bahru dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ), Taman Seni Budaya Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Kerusi yang disediakan dalam Dewan Jubli Intan Johor Bahru penuh diisi penonton yang dianggarkan sekitar 350 - 400 penonton. Muzik dimainkan secara langsung (bukan rakaman awal atau muzik 'minus one') oleh kumpulan muzik yang mengiringi pementasan dan persembahan selingan cukup bertenaga dan memikat hati. Secara umum dapat dilihat dan dirasa bahawa majoriti (sekitar 85% penonton) cukup terhibur dan tertarik menonton pementasan bangsawan ini.

Mengutip sebahagian sinopsis Bangsawan Nilam Dewani mengisahkan... Puspa Kencana Pura adalah sebuah negeri kayangan yang diperintah oleh Raja Gemala Dewa dan permaisurinya Ratna Seri Kesuma. Mereka mempunyai seorang puteri bernama yang rupawan bernama Puteri Seri Nilam Dewani. Lakonan Raja Jin oleh Hussin Ismail (foto di sebelah) memikat perhatian para penonton yang terhibur dengan dialog dan gerak lakonnya. Antara pelakon watak utama lain yang terlibat merupakan Ismail Abu Aris @ Masbun (Raja Gemala Dewa), Zamri Pangat (Raja Demaga), Mohd Afendi Sarban (Menteri Raja Gemala Dewa), Zulkifle Abdul Majid (Menteri Raja Demaga), dan Natasha Mohd Yazir (Puteri Seri Nilam Dewani). Sebahagian besar pelakon dan tenaga produksi dalam bangsawan ini diri ini kenali kerana banyak juga terlibat dalam pementasan teater berskala besar, sederhana dan kecil sebelum ini. Seramai 60-70 pelakon, pembantu pelakon, dan tenaga produksi termasuk penari terlibat dalam pementasan bangsawan ini. Khabarnya bangsawan ini akan dipentaskan pula di Panggung Bandaraya DBKL pada 7 - 9 Mei 2010.

Pementasan selama 1 jam 30 minit ini diselangkan dengan nyanyian dan tarian selingan antaranya melibatkan nyanyian lagu ghazal, lagu pop yeh-yeh (lagu La Obe), lagu irama asli, lagu hindustan, lagu kumpulan Beatles, dan tarian zapin kreatif. Konsep selingan lagu dan tarian sebegini (yang disebut oleh juruacara sebagai 'extra turn') sememangnya sinonim dalam pementasan sesebuah bangsawan yang sedari awal cukup popular dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat ketika zaman 1950-an sehingga 1970-an.

Sesungguhnya hati cukup terhibur dan terpikat menonton bangsawan ini sehinggakan tidak terlayan menjawab beberapa soalan berbentuk logik akal yang dilontarkan oleh anak kecil ketika menonton. Ramai juga generasi muda sekitar umur 17 - 25 tahun dan anak-anak kecil menonton bangsawan ini. Sesekali bangsawan harus juga diangkat pada tahap tinggi yang dapat menarik minat ramai untuk menontonnya dalam konteks seni hiburan berbentuk pementasan di Johor dan di Kuala Lumpur.

Esok (Ahad - 2 Mei 2010) pula jika tiada aral yang besar sifatnya akan pergi menonton teater di Arts House, Singapura atas undangan Kumpulan Teater Artistik Singapura. Rasanya sudah 3 kali juga sebelum ini memenuhi undangan kumpulan ini juga beberapa orang ahli kumpulan ini turut beberapa kali datang menonton teater di Johor Bahru yang diundang oleh diri ini.