Selasa, Februari 02, 2010

SEMINAR KECIL-KECILAN - MELEPASI SASARAN...

Shamsudin Othman penuh semangat dalam kelantangannya, Hj. Shapiai Mohd Ramly tenang dalam usianya, Mohd Kasim Mahmud sedang memikirkan sesuatu untuk 'menyekat masa', dan Maskiah Hj. Masrom memerhatikan para peserta.

Amiruddin Ali (baju batik warna ungu...) menerangkan sesuatu kepada YB Datuk Halimah Mohamed Sadique tentang buku 'Astaka Bahasa'.
Buku Antologi Puisi 'Astaka Bahasa'.

Akhirnya terlaksana juga seminar kecil-kecilan iaitu Seminar Pengarang dan Kepengarangan Johor pada 31 Januari 2010 di Dewan Ad-Dhasuki, Sekolah Agama Bandar, Kota Tinggi, Johor. Seminar kecil-kecilan ini bermaksud peruntukan serta biayanya yang rendah / kecil (kesan pemotongan belanjawan), tempat yang kecil (hanya boleh memuatkan 200 orang dalam sesuatu masa), dan berlangsung hanya setengah hari sahaja. Seminar ini merupakan anjuran bersama DBPWS dan PPJ dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi, Jawatankuasa Penyelarasan Parlimen Tenggara dan Majlis Belia Daerah Kota Tinggi dihadiri seramai 210 orang termasuk pelajar UTM yang mengambil mata pelajaran Penulisan Kreatif UQP 1041 (seramai 190 orang yang mendaftar dalam borang kehadiran).

Sebanyak 5 kertas pembentangan disampaikan iaitu:
i. 'Penulis Dimartabat, Bahagia Masyarakat' - kertas ucap utama Amiruddin Ali.
ii. '40 Cerpen Terbaik Johor (1999-2009)' - Hj. Shapiai Mohd Ramly.
iii. 'Penyair Johor: Gagasan dan Keupayaan yang Tersingkap' - Shamsudin Othman.
iv. 'Menggalur Drama Pentas Johor' - Rahimah Muda.
v. 'Citra Ketabahan Wanita: Karya Novelis Wanita Johor' - Maskiah Hj. Masrom.
Amiruddin Ali (Ketua 1 PPJ) menyampaikan beberapa cadangan dan gagasan dalam ucap utamanya; Shamsudin Othman (Pensyarah UPM - Penulis Prolifik Tanah Air) dalam nada yang tegas dan bersemangat mencabar para peserta agar menaikkan nama Johor dalam dunia kepenyairan tanah air; Hj. Shapiai Mohd Ramly (AJK PPJ - Penulis Prolifik Tanah Air) membentangkan kajian tentang cerpen penulis Johor yang pernah memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim; Rahimah Muda (Aktivis / Pengarah Teater Johor) menggalurkan perkembangan drama pentas / teater negeri Johor; dan Maskiah Hj. Masrom (Pensyarah IPG Temengong Ibrahim Johor Bahru) merungkaikan hal novelis wanita Johor yang mendapat tempat dalam dunia kepengarangan peringkat negeri dan kebangsaan.
Seminar ini dirasmikan oleh YB Datuk Halimah Mohamed Sadique, Ahli Parlimen Pengerang serta melancarkan buku antologi puisi karya pelajar Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Johor dan Melaka 2008-2009 terbitan DBPWS iaitu 'Astaka Bahasa'.
Sdra. Mohd Nazmi Yaakub (wartawan Berita Harian) dan Sdra. Rahimidin Zahari (Khas dari Istana Budaya), Cikgu Nazim Mohd Subari (datang dari Endau, Mersing), dan Sdra. Wahyu Budiwa Rendra turut hadir dalam seminar ini (walaupun diri agak malu juga dengan penulis-penulis prolifik ini kerana seminar ini bersifat dan berskala kecil sahaja). Namun Sdra. Rahimidin Zahari sempat bergambar (atas permintaan peserta) dengan beberapa mahasiswa UTM kerana mahasiswa ini pernah belajar menelaah puisi 'Anak Laut'. Manakala Cikgu Mohd Kasim Mahmud selaku Pengerusi Sesi berjaya pada tahap yang amat membanggakan kerana menghidupkan sesi pembentangan dengan lancar serta 'usikan' yang membuatkan peserta ceria!
Sesungguhnya seminar kecil-kecilan sahaja sifatnya diharap dapat dimanfaat dengan baik oleh para peserta dan hadirin. Berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan buat En. Ishak Ismail (Pegawai Khas Koakademik Kota Tinggi), Cikgu Amad Bahri (Penolong Kanan SMK Bandar, Kota Tinggi - wartawan sambilan), AJK PPJ, pihak Badan Kebajikan Sekolah Agama Bandar, pihak PPD Kota Tinggi, para pembentang dan pengerusi sesi, urus setia DBPWS (Mohd Rizal - Shahrur - Siti Hajar - Norsheilla), dan kepada semua pihak yang banyak dan tekun membantu secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan seminar ini.
Walau hanya kecil-kecilan namun syukur kepada-Nya kerana seminar ini melepasi sasaran serta berjalan dengan baik serta mengikut waktu yang ditetapkan.

4 ulasan:

Korakora berkata...

tetapi kehadiran saya dicemburui oleh seseorang... hehehe

Zaid Akhtar berkata...

Tuan RAR,
tahnia!
maaf tak dapat hadir.
lagipun saya kurang enak bertemu dengan penyokong Spurs dan Chelsea.
:-)
kalau separuh Liverpool separuh Chelsea tak apa. hehe.

Melihat Kesunyataan berkata...

Rusdi,
Meskipun kecil-kecilan, tapi pada saya majlis tersebut besar ertinya buat kami para penulis. DBPWS nampaknya sentiasa berada di hadapan semua kegiatan yang amat bermanfaat ini, khususnya buat perkembangan sastera dan bahasa di Johor.

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

en.rusdi, tahniah! majlis lancar. saya tergesa2 sedikit. namun sangat bersyukur dapat hadir, mendengar & bertemu teman2 penulis.