Isnin, November 23, 2009

PERTANDINGAN MONODRAMA ADAPTASI CERPEN DBPWT



Pada`22 November 2009 (Ahad) bertempat di Dewan Seminar DBP Wilayah Timur (DBPWT), Kota Bharu, Kelantan berlangsung buat julung kalinya Pertandingan Monodrama yang diusahakan oleh DBPWT. Pertandingan monodrama ini agak berlainan dan unik kerana mengambil karya cerpen untuk dijadikan skrip lalu dipentaskan. Lima kumpulan menyertai pertandingan yang mensyaratkan hanya 20 minit pementasan monodrama. Kelainan inilah yang menjadikan pertandingan kelolaan DBPWT ini cukup menarik perhatian. Bermula perancangan, idea awal dan pengurusan oleh En. Syaidul Azam Kamarudin (mantan Pengurus Projek Sastera DBPWT) lalu diteruskan oleh Sn. Shahrul Rizal (Pustakawan serta merangkap Pengurus Projek Sastera DBPWT yang terkini) maka pertandingan berlangsung dengan baik dan lancar.
Hakim yang mengadili pertandingan yang menawarkan hadiah sebanyak RM3,000.00 (johan), RM 2,000.00 (tempat kedua), RM1,000.00 (tempat ketiga) dan RM500.00 untuk dua hadiah sagu hati merupakan Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan, En. Rahimidin Zahari (Pegawai Istana Budaya) dan En. Hassan Jali (mantan Pengarah JKKNN Kelantan). Terdapat kumpulan yang memaparkan pementasan yang bertenaga dan penuh semangat lalu mengangkat mesej dalam karya cerpen yang ditetapkan dengan teratur dan difahami oleh khalayak.
Diri ini berkesempatan menyaksikan pertandingan ini kerana undangan khas pihak DBPWT. Asal hasrat pihak DBPWT berminat untuk mengadakan pertandingan monodrama ini setelah diri ini mengusahakan Pertandingan Monodrama Negeri Johor 2007 yang diadakan pada bulan April 2007 dahulu. Pihak DBPWT ada bertanyakan serta merujuk gerak kerja diri ini dalam mengadakan pertandingan sebegini, lalu diri ini tidak bersembunyi lalu memberikan banyak hal berbentuk lisan dan kertas perancangan (seadanya dan semampunya) tentang konsep dan kaedah penganjuran pertandingan sebegini. Membanggakan pihak DBPWT mempunyai kaedah yang berlainan dengan mengangkat karya cerpen untuk dijadikan skrip lalu dipentaskan.
TAHNIAH PIHAK DBPWT ATAS PENGANJURAN PERTANDINGAN MONODRAMA INI YANG PUNYAI KELAINAN SERTA UNIK ATAS DASAR MENGANGKAT KARYA CERPEN UNTUK DIPERTANDINKAN DAN DIPENTASKAN.

3 ulasan:

Azhar Salleh berkata...

Salam RAR,
Memang monodrama ini anjuran dan usaha DBPWT, namun tanpa monodrama DBPWS,rasa-rasanya idea sebegini sukar untuk diterjemahkan dengan baik oleh penggiat yang lain. Tahniah kepada RAR dan pastinya tahniah kpd DBPWT atas usaha ini. Mungkin idea ini boleh dimurnikan di DBPWS pula? Saya percaya, boleh!

Rusdi Abd Rahman berkata...

Cikgu Azhar,
Sekadar angan-angan kosong cuma... mungkin TONGKAT @ AKU MAHU PULANG @ EMBRIO atau cerpen seumpamanya milik seorang penulis prolifik cerpen itu (yang suatu ketika dahulu prolifik kerana penulis penulis itu sudah tiada adanya menulis cerpen lalu tersiar rasanya kini... hehehe...) boleh dijadikan skrip monodrama lalu dipentaskan? Rasa-rasa macam sesuai sungguh serta boleh buat skrip cerpen penulis itu... kerana hamba sudah acap kali membaca cerpen itu apatah lagi pabila tibanya musim Perkampungan Johor dan Melaka...
Ya... ini cuma angan-angan kosong dahulu...

Sharrul Rizal Hashim berkata...

Salam,
Terima kasih atas ulasan dan komen yang diberikan. Terima kasih juga kerana sudi hadir dan telah banyak membantu pihak DBPWT menjalankan program seadanya ini. Dalam serba kekurangan, Alhamdulillah dengan sokongan semua akhirnya program ini dapat dijayakan juga.