Isnin, Ogos 31, 2009

CATATAN 31 OGOS 2009

1. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Hari ini Malaysia menyambut kemerdekaan kali ke-52. Dalam akhbar, televisyen dan di jalan raya banyak sungguh terpapar angka 1. Sana sini penuh angka 1 serta slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Harapan sempena merdeka kali ini slogan keramat ini terbukti adil dan terlaksana buat semua golongan rakyat. Jika dahulu (4-5 tahun lalu) penuh dengan slogan 'Cemerlang, Gemilang dan Terbilang'!


2. Baca Akhbar BH hari ini (muka depan) -
Tajuk: Parti pemerintah Jepun tumbang
Kutipan sebahagian berita itu:
Tokyo: Parti Demokratik Jepun (DPJ) mencatat sejarah apabila mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum semalam, menyingkirkan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang sudah memerintah selama hampir 54 tahun.


3. Jurai Keturunan Pembesar dan Pertalian Darah Hebat!
Baca juga akhbar hari ini tentang keluarga seseorang yang 'hebat dan hangat' kini diperkatakan 1 Malaysia menjelaskan bahawa keluarganya merupakan keturunan pembesar dan punyai pertalian darah yang hebat.

Ahad, Ogos 30, 2009

EPL 09/10 BERMULA RANCAK

English Premier League (EPL) 2009/2010 baru bermula untuk 3 - 4 perlawanan bagi setiap pasukan sejak pertengahan Ogos. Ada pasukan yang menang kesemua perlawanan awal dalam 3-4 perlawanan pertama iaitu pasukan Chelsea, Spurs, dan Man City. Secara ringkas Man U telah melalui 4 perlawanan dengan mengalami kekalahan kepada Burnley (0-1) , manakala Liverpool telah kalah kepada Aston Villa (1-3).


Semalam Man U tewaskan Arsenal 2-1 berdasarkan nasib semata-mata - gol penalti dan gol sendiri pemain Arsenal (Diaby). Liverpool pula menang bergaya dalam keadaan getir menewaskan Bolton 3-2, Chelsea mudah menewaskan Burnley 3-0, dan Spurs menang dalam perlawanan sengit menewaskan Birmingham 2-1.


Jadual EPL sepanjang Sepetember 2009 cukup getir yang akan menggambarkan pasukan yang akan terus kukuh dalam 5 tempat teratas kedudukan Liga EPL, antara perlawanan pilihan melibatkan pasukan Chelsea, Liverpool, Spurs, Man U dan Man City sepanjang September seperti berikut:

12/09/09: Man. City - Arsenal
12/09/09: Liverpool - Burnley
12/09/09: Stoke - Chelsea
12/09/09: Tottenham - Man. United
19/09/09: West Ham - Liverpool
20/09/09: Man. United - Man. City
20/09/09: Chelsea - Tottenham
26/09/09: Wigan - Chelsea
26/09/09: Stoke - Man. United
26/09/09: Liverpool - Hull
26/09/09: Tottenham - Burnley
28/09/09: Man. City - West Ham


Selamat menonton dan menikmati perlawanan bola sepak yang bermutu ini (kecuali jika pengadil tertentu yang 'berat sebelah' menyebelahi sesuatu pasukan sahaja).

UCL 2009 / 2010: MUSIM HANGAT BERMULA

1. Sudah selesai undian untuk UEFA Champions League (UCL) 2009/2010 dua hari lalu. 32 pasukan terbaik di Eropah dibahagikan kepada 8 kumpulan (A - H). Perlawanan peringkat awal kumpulan ini bermula pada 15 September - 9 Disember 2009, seterusnya hanya 16 pasukan terbaik iaitu 2 pasukan teratas setiap kumpulan melangkah ke pusingan kalah mati yang berlangsung pada 16 Februari - 17 Mac 2010; peringkat suku akhir melibatkan 8 pasukan bermula pada 30 Mac - 7 April 2010; separuh akhir pada 20 - 28 April 2010; dan perlawanan akhir pada 22 Mei 2010.
2. Dalam undian kumpulan 32 pasukan ini, menarik diperhatikan pertembungan pasukan-pasukan elit kelab Eropah iaitu dalam kumpulan A melibatkan Bayern Munich dan Juventus; kumpulan C - AC Milan dan Real Madrid (pasukan angkuh @ ego); kumpulan D - Chelsea dan Atletico; dan kumpulan F - Barcelona dan Inter Milan. Dalam hal ini pemain seperti Zlatan Ibrahimovic (Barcelona) akan menentang bekas pasukannya Inter Milan, sama juga Eto'o (InterMilan) berjumpa kembali kelab lamanya Barcelona. Kaka (Real Madrid) akan berjuang menentang kelab lamanya AC Milan.
3. Di manakah duduknya Man U, Liverpool dan Arsenal? Man U paling bertuah dalam kumpulan B bersama pasukan kurang ternama (tapi tidak semestinya tidak kuat) iaitu CSKA Moskow, Besiktas, dan Wolfsburg. Arsenal (yang hanya layak selepas perlawanan play-off) dalam kumpulan H bersama AZ Alkmaar, Olympiacos, dan Standard Leige. Liverpool dalam kumpulan E bersama Lyon, Fiorentina, dan Debrecen.
4. Setelah bermulanya kejohanan liga-liga yang besar di Eropah (English Premier League, La Liga, Serie A, dan Bundesliga) pada Ogos ini, akan bermula juga saingan baharu UCL 2009/2010 yang membuatkan ramai peminat bola sepak di Malaysia akan melupakan Piala Malaysia dan bola sepak tempatan... benarkah?
5. Pasukan manakah pilihan anda? Mungkin ada kejutan nanti... mungkinkah Man U dan Real Madrid akan tersingkir awal? atau mungkin Man U dan Real Madrid akan bertemu dalam perlawanan pusingan kedua atau suku akhir atau separuh akhir? Masing-masing punya pilihan hati sendiri, inikan sebuah negara demokrasi bebas membuat pilihan - tiada salahnya..

Selasa, Ogos 25, 2009

TERUS KALAH! 1 MALAYSIA SUDAH TAHU

Dalam berita TV3 malam ini disiarkan tentang berita kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir hanya dalam 1 minit sahaja, selepas itu disusuli omongan membosankan serta kosong oleh Sang Pembesar Pagoh yang menyatakan parti pembangkang bertindak kasar, tidak mematuhi peraturan pilihan raya, bla... bla.. bla.. , serta diikuti cakap besar Sang Pembesar Sembrong yang tersilap sebut pasal SPR dinyatakan SPRM! Alahai pemimpin besar dua orang ini...! Sudah kalah terima sahaja kekalahan itu!
Selepas ini akan kedengaran macam-macam kenyataan daripada puak ini tentang kekalahan; antaranya "Kita sepatutnya menang tapi disebabkan parti pembangkang bla.. bla... bla... ", "Rakyat tetap menyokong kita...." dan lain-lain kenyataan puak ini yang memualkan dan cuba membodohkan rakyat ramai!
Melalui kenyataan sinis dan sindiran oleh Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS merangkap Pengurus Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir bagi PAS sebelum ini; PAS hanya menyasarkan kemenangan dengan hanya 1 UNDI majoriti sahaja! Kenyataan Mahfuz ini lebih berbentuk sindiran tajam buat lawan yang terkenal diselebungi sikap dan tindakan penuh ego, angkuh, cakap besar, riak, takabur, dan pelbagai hal negatif puak ini!
Seminggu lalu puak-puak angkuh ini cakap besar dan riak menyatakan yakin dan pasti menang serta menghamburkan pelbagai kata-kata kurang enak kepada pihak Pakatan Rakyat... Nah, kini 1 Malaysia sudah tahu siapa yang menang siapa yang kalah!
TAHNIAH! 1 Malaysia sudah tahu puak-puak itu kalah lagi...!

BICARA KARYA SASTERA JOHOR 2009








1. Program Bicara Karya Sastera Johor 2009 yang tertangguh sekali ini (sepatutnya diadakan pada bulan Jun / Julai) akhirnya berjaya dilaksanakan pada 20 Ogos 2009 di SMK Raja Muda, Parit Jawa, Muar, Johor. Program ini merupakan anjuran bersama DBPWS dan Bahagian Teori dan Kritikan Sastera (BTKS) DBP dengan mendapat kerjasama penuh pihak Panitia Kesusasteraan Melayu Daerah Muar, Persatuan Penulis Johor (PPJ), dan Pejabat Pelajaran Daerah Muar.

2. Amalan tradisi diteruskan sejak tahun 2002 bersama pihak BTKS DBP dengan mengadakan 1 atau 2 kali program sebegini untuk kuota negeri Johor, sememangnya seboleh mungkin (tetapi bukan wajib) membicarakan karya penulis Johor atau kelahiran Johor, juga jika dapat pembentangnya juga dari negeri Johor (tetapi bukan wajib).

3. Kali ini hasrat untuk menampilkan tiga karya penulis Johor tercapai dengan terpilihnya (saya meyakinkan En. Jusoh, BTKS DBP agar karya tersebut dibicarakan) karya antologi cerpen W.B. Rendra 'Mazhab Cinta', karya antologi puisi Shapiai Mohd Ramly 'Keris Sebilah Itu', dan karya novel Zulkifli Khair 'Meniti Batas'. Dua daripada tiga pembentang karya tersebut saya juga yang tentukan termasuk Pengerusi program iaitu Cikgu Mohamad Taufek Mahamud setelah diberikan kepercayaan oleh En. Jusoh.


4. Tajuk kertas pembentangan seperti di bawah:
i. En. Azhar Salleh, Munsyi Dewan DBP - 'Kritikan Sosial dalam Keris Sebilah Itu - Suatu Penerapan Teori Konseptual Kata Kunci'.
ii. Prof. Madya Arbak Othman, Pensyarah UPM - 'Rujukan dan Tafsiran Estetik dalam Cerpen W.B. Rendra: Suatu Pendekatan Semiotik'.
iii. Pn. Ruzaini Yahya, SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar - 'Meniti Batas: Potret Realiti Masyarakat'.


5. Pada program kali ini juga kehadiran 3 penulis karya yang dibicarakan juga sesuatu yang istimewa. Hj. Shapiai Ramly juga agak 'rusuh' dengan kata-kata pujian dan kata-kata semangat yang ditujukan oleh pembentang iaitu En. Azhar Salleh, namun menurut En. Azhar Salleh dalam blog popularnya 'Witra', "Jikalau tuan haji ikhlas ketika berkarya, demikian juga saya ketika menelaah dan memberikan pandangan tentang Keris Sebilah Itu".


6. Ucapan penghargaan terima kasih buat Panitia Kesusasteraan Melayu Muar; SMK Raja Muda; Cikgu Mohamad Taufek Mahamud; En. Jusoh, BTKS DBP; para pembentang iaitu En. Azhar Salleh, Prof. Madya Arbak Othman, Pn. Ruzaini Yahya; penulis karya yang dibicarakan Hj. Shapiai Ramly, W.B. Rendra dan Hj. Zulkifli Khair; para petugas dan urus setia dalam kalangan guru daerah Muar; para hadirin dan peserta sekalian.
Mohon maaf juga jika terdapat serba kekurangan dalam program ini termasuk juga terpaksa dibuat program ini pada hari bekerja setelah 2 - 3 pilihan tarikh yang ada tidak bersesuaian dengan pelbagai faktor, namun tarikh 20 Ogos itu merupakan tarikh pilihan terbaik yang ada dengan pelbagai faktor yang bersesuaian.


Insyaallah, program Bicara Karya Sastera Melaka 2009 akan menyusul dalam bulan Oktober atau November nanti. Terima kasih.

Jumaat, Ogos 21, 2009

KUTIPAN: PPSMI TERHAPUS SEPENUHNYA 2017? - 2

K'jaan 'terus hina' bahasa Melayu: Samad
Jimadie Shah Othman Aug 21, 09 12:07pm - Malaysiakini

Datuk A Samad Said menyifatkan keputusan kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di semua peringkat sehingga tahun 2017 sebagai "penghinaan berterusan" terhadap bahasa kebangsaan.

"Ia menunjukkan ketidaksungguhan kerajaan (memartabatkan bahasa Melayu), yang mahu menenangkan (kemarahan ramai) di ketika-ketika tertentu. "Bahasa Melayu itu diperhina terus," kata sasterawan negara itu kepada Malaysiakini. Lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) diminta mengulas penjelasan terbaru Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berhubung pemansuhan dasar itu kelmarin.

Rabu, Ogos 19, 2009

KUTIPAN: PPSMI TERHAPUS SEPENUHNYA 2017?

PPSMI: Guru diingat jangan ambil kesempatan
Jimadie Shah Othman Aug 19, 09 2:06pm - Malaysiakini

Kementerian Pelajaran memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru yang mengambil kesempatan untuk mengajar matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia sepenuhnya sebelum 2012. Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, guru yang didapati berbuat demikian, akan diberi surat amaran.
Berikutan itu, beliau meminta guru besar dan pengetua sekolah supaya memantau perkara itu.
Beliau mengulas rungutan ibu bapa yang bimbang apabila diberi pilihan dwi-bahasa, para guru akan mengajar dua matapelajaran tersebut sepenuhnya dalam bahasa Malaysia.
Bagaimanapun, Alimuddin berkata, mungkin wujud kekeliruan berhubung pemansuhan dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Menjelaskan perkara itu, beliau berkata, di peringkat UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), pengajaran sains dan matematik akan terus diajar dalam dwi-bahasa sehingga 2016; PMR (Peperiksaan Menengah Rendah) sehingga 2013 dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sehingga 2015.Alimuddin berkata pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik akan diajar dalam bahasa Malaysia sepenuhnya mulai tahun 2017.

Selasa, Ogos 18, 2009

TAHNIAH SASTERA BH


1. Tahniah buat akhbar Berita Harian (BH) khasnya pengendali ruangan Sastera BH. Bermula semalam (17 Ogos 2009) ruangan Sastera terbit setiap hari (setidak-tidaknya 1 halaman untuk hari tertentu).

2. Saya mendapat khabar bahawa ruangan Sastera dalam akhbar BH bakal diterbitkan setiap hari sejak sebulan yang lalu melalui rakan baik yang merupakan wartawan kanan di BH tetapi beliau bukan berkhidmat di Unit Sastera BH. Ketika itu saya hanya menyatakan "baguslah". Kata rakan saya lagi ini merupakan cadangan oleh peneraju atasan utama yang baharu di NSTP / BH.

3. Semalam awal pagi lagi membelek akhbar BH didapati ada ruangan Sastera, kebiasaannya ruangan Sastera hanya pada hari Rabu dan Khamis termasuk hari Sabtu (ruangan siaran karya kreatif cerpen dan puisi). Kebetulan halaman sastera semalam terkandung berita / liputan oleh Rashiqah Ilmi tentang program DBPWS-PPJ iaitu Kolokium Penulis Johor buat kali kedua namun kali ini dalam aspek yang lain berjudul 'DBP Janji Terbit Segera Buku' (berita / liputan penuh dikutip dalam BH seperti di bawah).

4. Suatu ketika dahulu pernah ruangan Sastera dalam akhbar BH ini hanya sekali seminggu sahaja kerana tuntutan iklan dan komersil dalam hal-hal lain, namun kini usaha menyiarkan berita dan liputan sastera setiap hari merupakan langkah murni dalam konteks pengisian ilmu dan jiwa pembaca secara keseluruhannya (sama ada peminat sastera mahupun bukan peminat sastera). Setidak-tidaknya dunia sastera tanah air diketahui masyarakat ramai secara lebih terarah dan tersusun.


Kutipan dalam ruangan Sastera BH - 17 Ogos 2009

DBP janji terbit segera buku
Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahimmailto:Rahimrashiqah@bharian.com.my

PENGARANG kreatif yang sering merungut berhubung kelewatan penerbitan buku yang mereka kemukakan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga ada kalanya memakan masa lebih lima tahun untuk diterbitkan pasti akan berasa lega dengan jaminan yang diberikan orang kanan badan berkanun terbabit. Jaminan menyelesaikan segera perkara terbabit diberikan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abd Aziz, pada Kolokium Penulis Johor 2009: Hala Tuju Penulis Johor di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), Larkin Perdana, baru-baru ini.

“DBP sedia bekerjasama dengan karyawan tempatan bagi mengatasi masalah kelewatan penerbitan buku yang selama ini membelenggu mereka sehingga ada yang membuat keputusan menarik diri daripada bidang penulisan sebagai tanda protes,” katanya pada Sesi Soal Jawab kolokium anjuran DBPWS dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) Termuzi memberi jaminan semua buku yang sudah diteliti dan dipersetujui penerbitannya oleh badan berkanun terbabit akan cuba diterbitkan oleh DBP selewat-lewatnya dalam tempoh setahun, agar ia dapat segera berada di pasaran untuk dibeli pembaca yang berminat. “Dalam memartabat dan mengembangkan sastera serta bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, DBP mensasarkan untuk menerbitkan lebih 400 judul buku dalam setahun,” katanya yang julung kali turun padang untuk menemui ahli PPJ yang turut dimanfaatkan oleh peserta kolokium bagi meluahkan segala rungutan mengenai badan berkanun terbabit.

Pada sesi terbabit, Termuzi turut menekankan menjadi kewajipan setiap kaum di negara ini untuk memperkasakan bahasa Melayu di negara ini dan semua pihak perlu bergabung tenaga bagi melahirkan masyarakat yang fasih berbahasa Melayu. “Kami sudah pun mengadakan perbincangan dengan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan beliau bersetuju mewajibkan kelas bahasa Melayu kepada setiap kakitangan bank pusat terbabit, sebagai tanda sokongan dengan usaha kami itu,” katanya. Selain itu, Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) juga akan turun padang bagi mengendalikan kelas bahasa Melayu kepada ahli Majlis Peguam sebagai sebahagian daripada usaha memastikan golongan profesional dan tidak profesional fasih menggunakan bahasa ibunda. “Bahasa Melayu yang sudah berjaya menonjolkan dirinya sebagai bahasa ilmu sebelum ini perlu diberi kedudukannya semula. Sekiranya ia dibiarkan, perkembangannya sebagai bahasa Melayu akan terbantut. Kita tidak mahu bahasa Melayu hanya menjadi bahasa pertuturan seperti penggunaan bahasa Hindi di India dan bahasa Melayu di Singapura,” ujarnya.

Pada sesi itu, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amiruddin Md Hanafiah, mengumumkan penerbitan kumpulan puisi mengenai pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia, Johor dan akan diedarkan ke sekolah dan agensi kerajaan. “Penerbitan buku ini adalah bagi menghargai dan memperkenalkan Wilayah Pembangunan Iskandar sebagai pusat pentadbiran terbaru dan tercanggih di Johor,” katanya yang berucap mewakili Setiausaha Politik Menteri Besar Johor, Dr Gunawan Mahmood.

Kolokium Penulis Johor bersempena majlis Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) Ke-7 anjuran Kerajaan Johor melalui Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama PPJ, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), DBPWS dan Majlis Kebudayaan Negeri Johor (MKNJ). Penulis veteran, Mokhtar Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Matlob dianugerahkan Hadiah Karyawan Sastera Johor dan menerima anugerah berkenaan daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.

Isnin, Ogos 17, 2009

KLIK SANA KLIK SINI... MUNCUL 'FACEBOOK'!

1. Dunia teknologi maklumat sungguh cepat berkembang daripada wujudnya laman web ke e-mel dan seterusnya blog, jika tidak silap blog mula membiak sekitar tahun 2004-2005. Dalam kehangatan dunia informasi blog maka muncul pula 'facebook' dan seterusnya 'twitter'. Hebat serta pening juga dibuatnya!
2. Saya bukanlah insan yang fasih serta mengerti sangat tentang semua kemudahan dunia teknologi maklumat ini tetapi atas saranan rakan dan kawan maka terjerumus juga ke alam blog, itupun baru lagi bermula bulan Mac 2009 lalu. Kini selepas beberapa bulan... maka sahaja cuba-cuba 'klik sana dan klik sini...' maka sudah masuk pula ke alam 'facebook' baru 2 hari lalu... Ini hanya belajar pandai-pandai sendiri sahaja. Masih terkial-kial mencari manfaat besar penggunaan 'facebook' ini.
3. Makanya sesiapa yang sudah profesional dan mahir tentang manfaat dan kelebihan 'facebook' ini mohonlah tunjuk ajar seadanya buat saya. Tunjuk ajar anda semua amat dihargai. Usaha sendiri untuk 'klik sana klik sini...' sebenarnya memadai untuk pandai namun untuk lebih cepat pandai dan pintar tunjuk ajar anda juga penting. Terima kasih.

BAHASA DAN RAKAMAN FOTO



























1. Kesempatan berada di Melaka pada 14 - 15 Ogos 2009 lalu, maka tidak terlepas peluang mengunjungi Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2009 yang diadakan di MITC, Ayer Keroh, Melaka. Program besar ini diadakan bermula 10 hingga 16 Ogos 2009. Kehadiran ke MITC ini pada 15 Ogos 2009 kerana ada urusan saudara dan rakan dari Terengganu yang turut serta dalam program ini.

2. Walaupun heboh pasal H Satu N Satu namun para pengunjung ke MITC Melaka tetap hebat dan penuh sesak juga. Dalam kesempatan yang ada tersebut lalu dirakamkan banyak foto antaranya foto sayur-sayuran, haiwan, buah-buahan, ruang indah pameran, dan pelbagai lagi foto-foto menarik yang sempat dirakam. Jika tidak silap kesemua foto yang sempat dirakam sebanyak 50 - 60 foto dalam tempoh 2 - 3 jam ketika berada di situ. Meriah dan hebat pameran serta promosi pertanian dan perladangan yang diadakan itu.

3. Dirakamkan juga tentang penggunaan bahasa dalam program peringkat kebangsaan ini; ada menggunakan bahasa Melayu yang baik namun tidak kurangnya yang mengabaikan bahasa kebangsaan secara leluasa adanya. Bahan yang dirakam dan dicatat akan ditulis seterusnya dihantar untuk siaran majalah. Sebahagian foto pilihan penggunaan bahasa yang sempat dirakam seperti di atas. Antara yang menarik perhatian juga iaitu merupakan penggunaan perkataan 'PAVILION' atau 'PAVILLION'; 'PAVILION SELANGOR' atau 'SABAH PAVILLION'; - manakah yang betul?

PROGRAM KEMBARA PUISI KEMERDEKAAN 2009





1. Pada hari Jumaat dan Sabtu lalu (14 - 15 Ogos 2009) berlangsungnya satu lagi program sastera anjuran bersama Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dan DBPWS iaitu Kembara Puisi Kemerdekaan 2009. Program setiap tahun diadakan oleh pihak ISMMA dengan mempelawa pihak DBPWS sebagai rakan bersama ini bermula sejak tahun 2006.


2. Kembara pada tahun 2006 dari Melaka ke Perak, tahun 2007 ke Johor dan tahun 2008 ke Pahang. Pada tahun ini kembara dari Melaka ke Negeri Sembilan. Para peserta turut menghasilkan karya puisi. Hasil tiga tahun pertama kembara ini sebuah antologi puisi telah diterbitkan berjudul 'Muara Pahlawan' terbitan bersama ISMMA dan DBPWS.


3. Maljis perasmian dilaksanakan di Muara Sungai Duyung, Melaka pada 14 Ogos 2009 pukul 9 malam. Buku antologi puisi 'Muara Pahlawan' turut dilancarkan dalam majlis perasmian ini. Esoknya berkembara ke Negeri Sembilan. Program kembara ini bukan semata-mata melawat dan mengunjungi tempat bersejarah tetapi setiap peserta dikehendaki menghasilkan karya puisi moden dan tradisi sebagai tanda apresiasi dan penghayatan mereka terhadap suasana dan rahmat kemerdekaan.


Jumaat, Ogos 14, 2009

MAKA BERMULALAH EPISOD BAHARU EPL...

Esok bermulanya musim baharu English Premier League 2009 - 2010 (EPL) atau dalam bahasa Melayu 'Liga Perdana Inggeris 2009 - 2010'. Dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini, pihak ASTRO yang memonopoli siaran televisyen berbayar negara juga telah menaikkan kadar bayaran bulanan (ada surat khas yang dikirimkan oleh ASTRO tentang kenaikan kadar ini - bertambah RM10 sebulan) khasnya untuk rangkaian sukannya (rangkaian 811 hingga 815). Inilah akibatnya jika hanya sebuah 'gergasi' sahaja memonopoli siaran televisyen berbayar di Malaysia - ya tiada saingan dan pilihan lain buat peminat bola sepak @ sukan...!

Perlawanan untuk musim baharu ini akan bermula esok 15 Ogos 2009 hingga 9 Mei 2010. 'Pertarungan' bakal bermula; di bawah ini dilampirkan sedikit maklumat untuk bacaan dan rujukan yang dikutip daripada sumber Harian Metro Online (hmetro.com.my) tentang EPL:
Musim penuh ranjau
SEBANYAK 380 perlawanan membabitkan 20 kelab pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan berlangsung musim ini.Perlawanan yang bakal menjadi tumpuan pastinya pertemuan empat pasukan yang memiliki reputasi kelab gergasi England - Manchester United, Liverpool, Chelsea dan Arsenal.
United akan melayan kunjungan Arsenal pada 29 Ogos ini, diikuti Liverpool (20 Mac 2009) dan Chelsea (3 April 2010). Skuad Red Devils akan bertandang ke Liverpool pada 25 Oktober depan, Chelsea (8 November 2009) dan Arsenal (30 Januari 2010).
Chelsea pula berdepan Arsenal pada 6 Februari 2010 di Stamford Bridge, tapi sebelum itu berkunjung ke Highbury, 29 November depan.
EPL akan membuka tirainya secara rasmi, esok, sebelum menamatkan kempen pada 9 Mei tahun depan. Ini bermakna peminat liga itu akan menikmati aksi berterusan EPL selama hampir sembilan bulan.
--------------------------------------------------------------
STADIUM EPL
Manchester United - Old Trafford: 76,212
Arsenal - Emirates: 60,355
Sunderland - Stadium of Light: 49,000
Manchester City - City of Manchester: 47,726
Liverpool - Anfield: 45,522
Aston Villa - Villa Park: 42,573
Chelsea - Stamford Bridge: 42,055
Everton - Goodison Park : 40,158
Tottenham Hotspur - White Hart Lane: 36,310
West Ham United - Boleyn Ground : 35,303
Blackburn Rovers - Ewood Park: 31,367
Birmingham City - St. Andrew's: 30,016
Wolverhampton Wanderers - Molineux: 29,396
Bolton Wanderers - Reebok: 28,723
Stoke City - Britannia: 28,383
Fulham - Craven Cottage: 25,678
Hull City - KC Stadium: 25,404
Wigan Athletic - DW Stadium: 25,138
Burnley - Turf Moor: 22,546
Portsmouth - Fratton Park: 20,688
--------------------------------------------------------------
PENJARING TERBANYAK
1992-93: Teddy Sheringham (Nottingham Forest/Tottenham Hotspur) - 22 gol
1993-94: Andy Cole (Newcastle United) - 34
1994-95: Alan Shearer (Blackburn Rovers) - 34
1995-96: Alan Shearer (Blackburn Rovers) - 31
1996-97: Alan Shearer (Newcastle United) - 25
1997-98: Chris Sutton (Blackburn Rovers), Dion Dublin (Coventry City), Michael Owen (Liverpool) - 18
1998-99: Jimmy Floyd Hasselbaink (Leeds United), Michael Owen (Liverpool), Dwight Yorke (Manchester United) - 18
1999-2000: Kevin Phillips (Sunderland) - 30
2000-01: Jimmy Floyd Hasselbaink (Chelsea) - 23
2001-02: Thierry Henry (Arsenal) - 24
2002-03: Ruud van Nistelrooy (Manchester United) - 25
2003-04: Thierry Henry (Arsenal) - 30
2004-05: Thierry Henry (Arsenal) - 25
2005-06: Thierry Henry (Arsenal) - 27
2006-07: Didier Drogba (Chelsea) - 20
2007-08: Cristiano Ronaldo (Manchester United) 31
2008-09 Nicolas Anelka (Chelsea) - 19

Khamis, Ogos 13, 2009

KUTIPAN: PAK SAMAD DAN PPSMI

Pak Samad usul demo anti-PPSMI
Jimadie Shah Othman Aug 12, 09 2:57pm - Malaysiakini

Datuk A Samad Said akan mengutarakan cadangan berdemonstrasi sekali lagi bagi mendesak pemansuhan serta-merta dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam satu mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) hujung minggu ini.

"Ya, memang cadangan asalnya dari mulut saya. Saya akan lontarkan saja," kata sasterawan negara itu kepada Malaysiakini petang ini."Kalau dituntut (berdemo) dan atas sebab-sebab yang munasabah dan luhur, apa salahnya."

Beliau, juga popular dengan panggilan Pak Samad, diminta menjelaskan cadangannya agar perhimpunan besar diadakan bagi kali kedua sebaik sahaja pengumuman Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin memansuhkan dasar itu mulai 2012 awal bulan lalu.

Pak Samad menambah, terpulanglah kepada ahli jawatankuasa GMP untuk memutuskannya kerana beliau hanya bertindak sebagai penasihat gabungan NGO dan parti pembangkang itu.Ditanya tujuan mesyuarat itu diadakan, beliau berkata:"Mesyuarat ini diadakan ekoran perkembangan baru PPSMI yang pada mulanya dikatakan akan dimansuhkan pada 2012, nampaknya mula ditarik-tarik (dilengahkan) ke 2014, atas alasan untuk menghabiskan apa yang telah dimulakan. Saya memang tidak berapa senang atas alasan itu."

Beliau juga berkata, jika kerajaan mahu, dasar itu boleh dimansuhkan dalam tempoh enam bulan sahaja, seperti mula-mula diperkenalkan pada 2003.

Rabu, Ogos 12, 2009

SAYEMBARA MENDEKLAMASI PUISI DAN PERTANDINGAN LAGU-LAGU PATRIOTIK 2009


Latar Pentas di Pentas Utama Plaza Angsana, Johor Bahru.

3 pemenang utama Sayembara Mendeklamasi Puisi.



10 peserta peringkat akhir Sayembara Mendeklamasi Puisi.

Persembahan lagu-lagu koir patriotik oleh pelajar SJK (C) Foon Yew 1.



Sebahagian peserta dan penonton memenuhi ruang di pentas utama.


Langkah keselamatan buat para peserta untuk mengelak wabak H Satu N Satu...

(Foto di atas ihsan penuh kamera rasmi DBPWS)


1. Bermula tahun 2005 sehingga kini, pihak Perpustakaan Sultan Ismail, Majlis Bandaraya Johor Bahru (PSI MBJB) mengundang DBPWS untuk mengadakan program sempena sambutan kemerdekaan di Johor Bahru. Sudah masuk tahun kelima pihak DBPWS terlibat bersama PSI MBJB dalam pengisian program ini yang melibatkan pelajar sekolah dalam daerah Johor Bahru. Format yang wajib oleh pihak PSI MBJB merupakan Pertandingan Lagu-lagu Koir Patriotik manakala DBPWS mengisi format program ini dengan mengadakan sayembara menulis puisi dan cerpen, sayembara mendeklamasi puisi kemerdekaan dan sayembara mendeklamasi syair kemerdekaan.



2. Pada tahun kelima ini (tahun 2009), DBPWS mengisi slot untuk Sayembara Mendeklamasi Puisi Kemerdekaan. Peringkat saringan yang melibatkan 30 peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah daerah Johor Bahru (asalnya mengikut borang penyertaan yang dihantar hampir 50 peserta - terpaksa ditolak penyertaan dan ada pelajar tidak dapat hadir) tekah diadakan di Balai Seminar DBPWS pada 5 Ogos 2009. Peringkat saringan perlu diadakan untuk memilih hanya 10 peserta terbaik yang bertanding di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 8 Ogos 2009 (bermula 12.30 tengah hari - 1.30 tengah hari). Manakala peringkat saringan pertandingan lagu patriotik diadakan pada 6 - 8 Ogos 2009 di Plaza Angsana yang melibatkan 18 buah sekolah rendah untuk memilih hanya 10 buah sekolah ke peringkat akhir yang diadakan pada 8 Ogos 2009 (bermula 2.30 petang - 4.30 petang).



3. Pada hakikatnya sayembara ini biasa sahaja seperti sayembara mendeklamasi puisi yang lain juga kerana format pemarkahan dan pengisiannya termasuk nilai hadianya biasa serta sama sahaja tetapi yang membuatkan sayembara ini agak besar kerana lokasi peringkat akhirnya iaitu di Plaza Angsana. Penduduk dan masyarakat bandar raya Johor Bahru khususnya mengetahui tentang keistimewaan Plaza Angsana ini kerana kompleks beli-belah cukup popular serta dikunjungi ramai (termasuk warga Singapura serta pekerja warga asing Indonesia, Bangladesh dan Myanmar) terutamanya pada hari Jumaat hingga Ahad.



4. Johan dan Naib Johan Sayembara Mendeklamasi Puisi Kemerdekaan ini diraih oleh dua beradik yang bersekolah di SMK Sultan Ismail dan SMK (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru. Untuk kategori Pertandingan Lagu-lagu Koir Patriotik johannya diraih oleh kumpulan SJK (C) Foon Yew 1, Johor Bahru. Hadiah kepada para pemenang dua kategori ini telah disampaikan oleh Datu Bandar MBJB yang baharu dilantik seminggu yang lalu.



5. Terima kasih buat pihak PSI MBJB yang terus mempelawa DBPWS untuk turut serta mengadakan program khasnya melibatkan program pemasyarakatan sastera sebegini buat warga Johor Bahru; juga berbanyak terima kasih juga buat panel penilai peringkat saringan dan akhir sayembara mendeklamasi puisi ini yang penuh komited dan jitu menilai iaitu Hj. Mohd. Rosli Hj. Bakir (Setiausaha 1 PPJ / Jurulatih Utama Kesusasteraan Melayu Jabatan Pelajaran Johor), Hj. Shapiai Mohd Ramly (mantan pensyarah Maktab Perguruan Batu Pahat - kini dikenali Institut Perguruan Tun Hussein Onn Batu Pahat / AJK PPJ / penulis prolifik karya kreatif sastera negeri Johor dan kebangsaan) dan Rahimah Muda (AJK Majlis Teater Negeri Johor / ahli PPJ / penulis prolifik karya kreatif sastera peringkat negeri Johor dan kebangsaan).


TAHNIAH BUAT 2 ANWAR

1. Berita pertama yang menyatakan Datuk Anwar Ridhwan dinobatkan selaku Sasterawan Negara ke-10 didengar melalui BERNAMA TV lewat petang semalam (11 Ogos 2009). Khabarnya perkara ini diumumkan oleh pemimpin besar dari Pagoh yang kini sibuk ingin 'berperang' dengan pemimpin Permatang Pauh.
2. Datuk Anwar Ridhwan selayaknya merangkul dan menjulang piala SN ke-10 ini, sudah lama dikhabarkan dan diusahakan, beliau memang layak dan berwibawa untuk anugerah besar dan penuh makna dalam dunia sastera tanah air. Tahniah buat Datuk Anwar Ridhwan. Memantau dan membaca banyak blog sejak semalam hingga kini, ramai yang setuju dan ucapkan tahniah buat beliau.
3. Namun… Anwar yang satu lagi walaupun berterusan dihina, dikeji, dikutuk, didera dan dizalimi sejak September 1998 hingga kini… beliau tetap gagah, kukuh dan berkarisma! Setinggi gunung tertinggi dunia dan sedalam lautan terdalam dunia sekalipun beliau dikutuk, dihina dan diperlakukan negatif hakikatnya beliau bertambah kuat…! Silap besar jika pemimpin besar Pagoh itu berterusan ingin ‘berperang’ dengan beliau… LAWAN TETAP LAWAN! Tahniah... semakin dikutuk, dihina, dikeji dan pelbagai lagi propaganda dan perlakuan negatif yang dilemparkan dan dirancang oleh puak dan juak itu namun beliau tetap kuat dan gagah!
4. Mengutip tulisan MSO dalam entri blognya berjudul... 'Himpunan Kutuk Anwar Bahaya Bagi Najib?' seperti berikut...
Namun saya tidak percaya kutukan itu akan membawa padah dan masalah kepada Anwar. Anwar tidak akan hina dan jatuh dengan kutukan itu. Ia tida memberi sedikit bekas pun. Lama sebelum ini pun Anwar sudah dikutuk dan dihina. Sudah dicap macam-macam jenis petualang, agen Yahudi dan sebagainya. Tetapi ternyata Anwar tetap juga gagah dan boleh ke mana-mana.Rakyat masih terus menyambut dan menerimanya. Bibit-bibit kebencian yang ditanamkan Umno ke atasnya kering dan layu begitu saja. Rakyat tidak mempercayainya, bahkan menjadi makin simpati kepadanya. Tarikan politik yang ada kepadanya memukau setiap yang memandangnya! Idea-idea dan pandangannya dinanti-nantikan dan bernas.Anwar tidak perlu melawan sendiri. Dia tidak perlu kata huduh dan menesta kepada Muhyiddin atau sesiapa yang mengutuknya. Tetapi rakyat akan mengambil tanggungjawab membalas segala kutukan itu. Begitu juga dengan hal Muhyiddin ini rakyat akan menjadi galang ganti untuk mengutuk timbalan presiden Umno itu. Para pembelanya akan menengkis segala tohmahan dan kecaman itu.

Isnin, Ogos 10, 2009

PULAU PISANG PONTIAN (PPP) - 1

Kain rentang program.
Ketibaan ahli rombongan di jeti PPP.
Tanda nama jeti di Sungai Pinggan / Sungai Benut, Pontian.


Para ahli rombongan siap sedia berlepas dari jeti Wak Sehan ke PPP.


Pendakian sebenar menuju ke Rumah Api Pulau Pisang.


Salah satu rakaman pokok pisang dalam kawasan Rumah Api.
1. Belum sempat menghabiskan catatan pengalaman program ke Gunung Ledang (GL), satu lagi cabaran kembara telah ditempuh - selang satu minggu selepas ke GL kali ini ke pulau pula iaitu pulau yang kontroversi iaitu Pulau Pisang, Pontian (PPP). Kontroversi dan tumpuan 1 Malaysia terhadap PPP ini selepas Malaysia terlepas pegangan Pulau Batu Putih kepada nagara jiran atas keputusan Mahkamah Antarabangsa di The Hague, Belanda.
2. Program ini sebenarnya telah lama dirancang iaitu sejak akhir tahun 2007 @ awal tahun 2008 oleh Persatuan Penulis Johor (PPJ) melalui idea Ketua 1 PPJ, Amiruddin Md. Ali Hanafiah. Beliau ketika itu bersungguh-sungguh ingin mengadakan program lawatan seni dan sejarah ini dengan mengusulkan agar DBPWS terlibat sekali.
3. Maka hasrat tercapai akhirnya pada tarikh 9 Ogos 2009; dengan penganjuran rasmi (mengikut buku atur cara) iaitu melibatkan Pejabat Parlimen Pontian, PPJ, DBPWS dan Persatuan Sejarah Johor Cawangan Pontian. Empat badan bergabung ini tidak akan berjaya melaksanakan program ini jika tanpa bantuan utama pihak Pejabat Daerah Pontian, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pontian, Jabatan Alam Sekitar, dan lain-lain jabatan serta pertubuhan bukan kerajaan yang lain.
4. Seramai 50 - 60 ahli rombongan daripada pelbagai jabatan dan organisasi bergerak ke PPP lebih kurang pukul 10.00 pagi dengan menaiki 3 buah bot nelayan dan satu bot kecil. Ahli rombongan dilepaskan secara rasmi oleh YB Hj. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pontian.
5. Dari jeti menyusuri Sungai Benut, Pontian sampai ke jeti PPP mengambil masa 1 jam bergantung kelajuan bot dan cuaca serta ombak di laut Selat Melaka. Menaiki bot kecil dan bot nelayan yang membawa lebih muatan ahli rombongan serta kurangnya jaket keselamatan menyebabkan sebahagian besar ahli rasa dalam hati agak ketakutan! (selepas berjaya pulang ke daratan Benut pada petangnya - kebanyakan ahli yang ditanya meluahkan rasa takut itu.)
Sambungan untuk cerita @ pengalaman lanjut serta foto yang dirakam sendiri yang melibatkan sekitar PPP, Rumah Api dan kawasan jeti di Benut serta beberapa kisah benar dan mitos PPP...

Selasa, Ogos 04, 2009

MASALAH SISTEM BUNYI, KENAPA?

1. Dalam ruangan hiburan akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia hari ini (4 Ogos 2009) terliput secara meluas Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru di Polo Pavilion, Kelab Ekuestrian, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu. Penuh dua halaman dan foto yang menarik dalam akhbar ini. Namun sebahagian liputan itu mendedahkan tentang SISTEM BUNYI konsert ini, kenapa terjadi sebegini terhadap sebuah kumpulan rock legenda negara ini?
2. Seperti juga Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru di Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru pada 9 Mei 2009 yang lalu, hebat dan menarik tetapi ramai yang kurang berpuas hati dengan SISTEM BUNYI dalam konsert ini! Cikgu Azhar Salleh merupakan insan pertama meluahkan rasa kurang puas hati terhadap mutu SISTEM BUNYI dalam konsert di Johor Bahru itu, ya... belum sempat keluar stadium Cikgu Azhar meluahkan rasa kurang puas hatinya itu... saya angguk dan berkata 'ya' atas luahannya itu...
3. Ikuti beberapa petikan dalam akhbar yang melahirkan rasa tidak puas hati tentang mutu SISTEM BUNYI ini:


Cukup luar biasa
Oleh Zaidi Mohamad (Berita Harian)

Sistem bunyi jejas perjalanan konsert

Bagaimanapun, konsert yang berlangsung dalam tempoh dua jam itu sebenarnya dianggap sangat mengecewakan terutama daripada sudut sistem bunyi yang disediakan. Kalau diamati, memang persembahan konsert itu bagai ada yang tak kena.

Persembahan konsert itu turut dicacatkan dengan masalah teknikal yang terjadi di awal persembahan selepas lagu kedua, Balada Pemuzik Jalanan dinyanyikan Amy. Penampilan khas Kid ketika menggoreng gitarnya untuk lagu Isabella bergema di ruang udara juga kelihatan seperti tenggelam timbul. “Saya sendiri juga agak panik apabila masalah teknikal itu berlaku. Perkara sedemikian memang kita tak dapat jangka. Yang berlaku tetap akan berlaku, kita tidak boleh halang,” kata Amy ringkas. Ketika itu juga, Nasir mula mencelah seperti cuba merungkaikan sedikit perasaan hatinya. “Kita pakai sistem bunyi yang berbeza dengan konsert sebelum ini. Apa yang kita nak yang terbaik untuk konsert ini tak dapat. Ia seperti gangguan emosi kepada kami,” kata Nasir.

Berbaloikah menonton konsert ini? Jawapannya tepuk dada tanya isi hati. Sayang juga kerana persembahan itu tidak berjalan dengan baik sedangkan ia sebenarnya perlu menjadi memori yang indah. Amy Search juga kurang berkomunikasi dan hanya selepas lagu kelapan, Gelora Cinta, baru bapa kepada pelakon Nabila Huda itu mula bersuara. Bermula dengan lagu Panggung Khayalan, Amy melabuhkan tirai konsert dengan lagu Fantasia Bulan Madu. Diamati, lagu Isabella paling memberi nostalgia tersendiri dan cukup mengesankan kepada peminat Search apabila mereka turut menyanyikan sama lagu terbabit. Antara lagu lain yang dipersembahkan Search ialah Emanuelle, Hilang Dalam Terang, Plastik Ke Bintang, Rock & Roll Pie, Bencana, medley Gadis Misteri, Gadis Ayu dan Gadisku, Isi Dan Kulit, Laila Namamu Teratas, Pelesit Kota, Setelah Hujan dan tidak ketinggalan lagu cari makan, Pawana.

_________________________________________________


Sayang sistem bunyi 'hancur'
Oleh ABD. AZIZ ITAR (Utusan Malaysia)


Sayangnya, konsert anjuran Art-Is At Work dan penaja utamanya, Celcom Blue itu seakan-akan belum mencapai matlamat Search dalam memberi kepuasan serta penghargaan kepada hampir 25,000 penonton yang hadir pada malam itu.
Masalah teknikal pada sistem bunyi paling banyak membelenggu pada konsert yang mengenakan tiket berharga RM88 dan RM58 itu sehingga ia menganggu kosentrasi persembahan Search dan juga penghayatan para peminat mereka.

Masalah teknikal pada sistem bunyi berada pada tahap paling kritikal sewaktu Search menyanyikan lagu yang dipetik daripada album Cinta Buatan Malaysia itu apabila seluruh pentas sunyi seketika akibat gangguan elektrik.
Bukan sekejap, malah masalah itu berlarutan sehingga hampir 10 minit apabila bukan sahaja tidak kedengaran vokal Amy atau dentuman muzik bingit Search, tetapi tiada juga suara pengacara, Isma Halil Hamzah yang sepatutnya tampil memohon maaf.

Sebaliknya, suasana sunyi sepi di pentas itu diganti pula dengan pelbagai nada jerit pekik para penonton yang seperti tidak puas hati dengan konsert yang diuar-uarkan sebagai 'berbaloi-baloi' oleh pihak penganjur itu.
"Woi! mahal tiket ni... Berbaloi apanya macam ni?" itu antara suara-suara sumbang para penonton yang bukan setakat resah kedengaran nadanya, malah menagih tindakan segera daripada pihak penganjur yang terbabit.

Selepas masalah teknikal itu dapat diatasi, Amy bersama anggota-anggota Search iaitu Yazit (dram), Hillary (gitar), Din (gitar) dan Nasir tampil semula di pentas dengan membawakan lagu berjudul Laila Namanu Teratas.


(Untuk laporan penuh - silalah membacanya dalam ruangan hiburan dua akhbar utama hari ini yang penuh terliput dalam dua halaman.)

Isnin, Ogos 03, 2009

GUNUNG LEDANG (GL): SUATU REALITI - 2

Amiruddin Ali - 'Bicara Cucu Puteri'
Shamsudin Othman - 'Kembali Menagih Janji'

Rahimidin Zahari - 'Tun Mamat'

Hj. Shapiai Mohd Ramly - 'Belajarlah Memahami GL'


Rahimah Muda - 'Sebuah Pertanggungjawaban'

Weheeda dan Raflik bersama Kumpulan Muzik YWJ.
(Foto-foto di atas dikutip daripada rakaman kamera rasmi DBPWS)

1. Setelah penat melawat dan mendaki GL pada siang harinya, maka program seterusnya iaitu Malam Pengucapan Puisi Alam GL diadakan pada 1 Ogos 2009 bermula pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam. Malam ini terhidang majlis ucapan oleh Timbalan Pengarah PTNJ dan Penolong Pegawai Daerah Ledang, dan seterusnya acara deklamasi puisi oleh seramai 10 pendeklamasi dalam kalangan peserta. Persembahan selingan lagu-lagu puisi juga terhidang yang dibawakan oleh dua penyanyi YWJ iaitu Waheeda dan Raflik yang diiringi Kumpulan Muzik YWJ. Selain para peserta mendeklamasikan puisi bertemakan GL, para tetamu jemputan iaitu Timbalan Pengarah PTNJ, Pengarah YWJ dan Pengarah DBPWS termasuk Amiruddin Ali, Ketua 1 PPJ turut mendeklamasikan puisi pada sesi penamat acara. Para peserta dan tetamu khas mendeklamasikan puisi dengan diiringi muzik oleh Kumpulan Muzik YWJ.
2. Sesi pertama deklamasi puisi seramai 5 orang peserta iaitu Hamzah Hamdan (Sukma Alam), Hj. Khairy Halimi (Sebuah Lukisan Hati), Rahimah Muda (Sebuah Pertanggungjawaban), Hj. Shapiai Mohd Ramly (Belajarlah Memahami GL), dan Yahaya Suip (Kali Pertama Aku Berbicara). Walaupun secara spontan, kesemua 5 peserta ini rupa-rupanya hebat mendeklamasikan puisi ciptaan sendiri dalam nada dan gaya yang meyakinkan - Tahniah!
3. Sesi kedua pula melibatkan 5 orang peserta lagi iaitu Shamsudin Othman (Kembali Menagih Janji), Khuzaimah Hj. Siraj (Syair Legenda Ledang), Zulkeple Jamadar (Ledang Puteri Tersembunyi), Rahimidin Zahari (Tun Mamat) dan Muhamad Taufek Mahamud (Ceritera Sang Rama Robek Sayapnya). Semua hebat dalam spontan yang membanggakan bersulam nada dan gaya memikat buat setiap hadirin - Tahniah!
4. Sesi akhir istimewa buat tetamu khas mendeklamasikan puisi dimulakan dengan Timbalan Pengarah PTNJ (Suara Alam), Pengarah YWJ (Balada Terbunuhnya Beringin Tua), Pengarah DBPWS (Suara Alam), dan terakhirnya Ketua 1 PPJ (Bicara Cucu Puteri). Deklamasi oleh Amiruddin Ali, Ketua 1 PPJ memikat dalam nada suara yang lain serta ada unsur jenaka tetapi punyai makna yang tersirat!
5. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata antara satu sama lain melibatkan pertukaran cenderamata pihak PTNJ, DBPWS dan PPJ serta penyampaian cenderamata tanda kenangan oleh PTNJ, DBPWS, PPJ dan YWJ kepada wakil rasmi Pegawai Daerah Ledang.
6. Selesai minum malam, sesi berbual mesra dan berbual jenaka bersama En. Hasnizam Hamzah, Timbalan Pengarah PTNJ yang melibatkan Amiruddin, Shamsudin, SM Zakir dan Rahimidin berlangsung di laman hadapan bangunan Kompleks Taman Negara GL dalam suasana dingin udara dan limpahan cahaya yang cerah. Dalam berbual-bual mesra sempat juga merencanakan (jika ada upaya dan keizinan PTNJ) untuk program di kawasan lain bawah kawaln PTNJ seperti di Endau-Rompin atau di Tanjung Piai-Kukup atau di gugusan pulau perairan Mersing. Insyaallah.
7. Esok (2 Ogos 2009) ada sedikit majlis tanda kenangan dan terima kasih dalam suasana tidak formal...
Bersambung...!


LAGI LIPUTAN KOLOKIUM PENULIS JOHOR!


1. Lagi berita dan liputan tentang program berskala kecil iaitu Kolokium Penulis Johor 2009 anjuran bersama DBP Wilayah Selatan (DBPWS) dan Persatuan Penulis Johor (PPJ) yang berlangsung pada 18 Julai2009 di Balai Seminar DBPWS, Larkin Perdana, Johor Bahru. Kali ini program ini terliput dalam akhbar mingguan (akhbar tabloid politik) iaitu MINGGUAN WASILAH. Foto akhbar tersebut seperti di atas.
2. Liputan oleh Isma Ahmad dalam halaman 5 berjudul 'DBP lega PPSMI dimansuhkan' terbit dalam edisi akhbar ini yang bertarikh 2 - 8 Ogos 2008. Penulis Isma Ahmad merupakan wartawan sambilan yang hadir dalam program ini menulis secara meluas tentang program ini - ya... mengambil sudut yang agak berbeza.
3. Untuk bacaan dan maklumat lanjut liputan ini, bolehlah segera ke kedai tertentu kerana akhbar ini agak terhad seperti akhbar tabloid politik lain juga seperti HARAKAH, SUARA KEADILAN DAN SIASAH (akhbar-akhbar sebegini sukar untuk diperoleh - umpama akhbar sebegini boleh merosakan akidah agama pula!). Selain sering membaca 'propaganda' akhbar harian arus perdana, bacalah juga akhbar tabloid sebegini agar maklumat yang diperoleh itu seimbang (selain membaca dalam web dan blog). Bukankah negara yang 1 Malaysia ini negara demokrasi! Tidak salah rasanya...!
4. Sentiasalah mencari dan membeli akhbar mingguan sebegini (HARAKAH - SUARA KEADILAN - SIASAH - WASILAH) untuk setiap keluaran agar minda tidak terlalu mudah terjajah dan terserap dengan 'propaganda' akhbar harian arus perdana! Sekadar untuk memperoleh maklumat dan mengetahui perkembangan semasa pastinya baca dan tatap juga dua akhbar harian utama yang ada kini tapi bukan semua harus diserap sebegitu mudah khasnya berita politik yang hanya menyebelahi pihak yang 1 Malaysia itu sahaja...!
Selamat Membaca Akhbar yang Terhad Sebegini (yang sentiasa ditekan dan dihalang)! Tidak salah rasanya dalam negara 1 Malaysia yang demokrasi sifatnya...!

Ahad, Ogos 02, 2009

GUNUNG LEDANG (GL): SUATU REALITI - 1

Kain rentang program di hadapan pintu masuk Kompleks Taman Negara GL.

Bergambar kenangan di puncak GL bersama AJK dan ahli PPJ. Dari kiri Cikgu Hamzah Hamdan, saya, Hj. Aman Shukor, Cikgu Yahaya Suip, Cikgu Amiruddin, Cikgu Mohd Taufek, Cikgu Mohd Rosli Bakir dan Sdra. W.B. Rendra.

Bergambar kenagan bersama Shamsudin Othman, S.M. Zakir dan Rahimidin Zahari.


Batu Penanda puncak GL.


Kabus dan hujan renyai di kawasan Menara TM.


Di puncak GL yang berkabus lebat dan hujan sedikit renyai.


Lori JPA yang membantu lawatan hingga ke Menara TM (pergi-balik).
(Foto-foto di atas menggunakan kamera milik sendiri yang berkuasa rendah.)

1. Akhirnya hasrat untuk melaksanakan program Pengucapan Puisi Alam Gunung Ledang tercapai dengan jayanya. Program anjuran bersama Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), DBP Wilayah Selatan (DBPWS), Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Yayasan Warisan Johor (YWJ) telah dijalankan pada 31 Julai - 2 Ogos 2009.
2. Sekalung rakaman penghargaan terima kasih buat PTNJ yang sudi menjemput pihak DBPWS, PPJ dan YWJ untuk melaksanakan program yang julung kali diadakan ini. Buat En. Abdul Aziz Mohd Top, Pegawai PTNJ dan En. Fadzil, Pengurus Operasi PTNJ GL bersama kakitangannya yang banyak membantu dan mengusahakan kejayaan awal perjalanan program 3 hari 2 malam ini di GL dan Kompleks Taman Negara GL ini.
3. Terima kasih buat Ketua 1 PPJ, Cikgu Amiruddin Ali bersama AJK dan ahlinya yang penuh bersemangat (walaupun ramai lagi ahli yang ingin turut serta - tapi tempat dan pengangkutan amat terhad kepada 24 peserta sahaja) berbanyak terima kasih selaku penyumbang utama ke arah kelancaran program melalui penyertaan peserta yang sungguh bersemangat, juga buat pihak YWJ yang turut menyumbang ke arah kemeriahan dan semangat kerjasama dalam program ini.
4. Program dimulakan dengan pendaftaran peserta pada 31 Julai 2009 bermula pukul 3 petang sehingga 6.30 petang yang diuruskan secara bersama oleh pihak PTNJ GL, DBPWS dan PPJ. Pada malamnya bermula pukul 9 malam diadakan taklimat program dan taklimat khas tentang PTNJ GL secara khususnya. Taklimat program lebih menekankan pelbagai aspek keselamatan dan pengurusan program termasuk yang utama iaitu para peserta harus menghasilkan 2-3 karya puisi khas GL untuk diterbitkan oleh PTNJ yang berhasrat melancarkan buku antologi puisi ini selewat-lewatnya dalam bulan November 2009. Selesai dua taklimat ini bermulalah sesi tidak rasmi berbual dan berkongsi cesrita di chalet penginapan khasnya di chalet yang dihuni oleh ahli dan AJK PPJ. Banyak cerita serius dan lawak jenaka muncul yang menambahkan kemesraan. Juga sempat berbual-bual bersama penulis prolifik karya sastera tanah air dari Kuala Lumpur iaitu Shamsudin Othman, S.M. Zakir dan Rahimidin Zahari. Selain itu, Rahimidin Zahari juga merupakan seorang pegawai dan penggiat utama teater untuk Istana Budaya.
5. Pada 1 Ogos 2009 bermulalah cabaran utama program iaitu lawatan dan mendaki ke puncak GL. Atas bantuan lori Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan 2-3 buah kenderaan pacuan empat roda (4WD) pihak JPA dan PTNJ maka kembara peserta, urus setia dan kakitangan PTNJ bergerak dalam pukul 8.30 pagi. Cuaca pada pagi itu mendung yang berlarutan. Berikut catatan masa dalam proses lawatan dan pendakian ke puncak GL:
8.30 pagi: Bertolak dari Kompleks GL. (mendung berlarutan)
9.15 pagi: Tiba di Empangan Tadahan Air GL. (kabus tebal mula tersebar meluas)
9.30 pagi: Menyambung perjalanan menuju ke Menara TM. (kabus semakin 'mengganas')
10.00 pagi: Tiba di Menara TM - jalan berturap tamat. (kabus tebal dan hujan sedikit renyai)
10.15 pagi: Bermula pendakian dari Menara TM. (kabus terus tebal)
10.50 pagi: Peserta sampai ke puncak. (kabus amat tebal dan hujan sedikit renyai)
(Catatan: Di puncak GL dan di kawasan Menara TM kabus tebal dan hujan sedikit renyai menyebabkan kesemua peserta tidak dapat melihat ke bawah kawasan persekitaran GL. Ketika sesi lawatan tapak sebulan yang lalu bersama kakitangan PTNJ cuaca cerah serta dapat meyaksikan ke bawah kawasan Tangkak, jalan menuju Segamat dan Asahan, Melaka.)
11.20 pagi: Mula turun dari puncak GL menuju ke Menara TM.
11.50 pagi: Menaiki kenderaan turun ke kawasan empangan dari Menara TM.
12.20 tengah hari: Makan tengah hari di kawasan empangan.
12.50 tengah hari: Turun balik ke Kompleks GL.
1.30 tengah hari: Sampai di tempat penginapan Kompleks GL.
6. Kesemua peserta keletihan mengikut peringkat umur masing-masing. Berehat di chalet. Saya bersama Amiruddin dan beberapa AJK PPJ duduk berbincang untuk pengisian program malam ini, juga berbincang tentang program minggu hadapan (8-9 Ogos 2009) iaitu lawatan pula ke sebuah pulau - Pulau Pisang, Pontian.
7. Malam - program Malam Pengucapan Puisi Alam Gunung Ledang di Dewan Kompleks GL, sebuah acara perasmian dan deklamasi puisi para peserta... bersambung!